Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Sabtu, 14 Mac 2020

KENAPA ANDA PERLU MENCARUM DALAM KWSP


KENAPA ANDA PERLU MENCARUM DALAM KWSP

Pernahkah anda mendengar tentang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja atau KWSP? Tahukah anda betapa pentingnya anda mencarum dalam  KWSP?

Ingin tahu kenapa anda perlu mencarum dalam KWSP biarpun anda bekerja sendiri?  Mari saya  terangkan satu persatu.

APA ITU KUMPULAN WANG SIMPANAN PEKERJA?

Satu badan yang  merupakan  antara tabung simpanan terbesar di dunia.

Tujuannya untuk  membantu semua tenaga pekerja di Malaysia menyimpan wang untuk hari tua  selaras dengan akta  yang telah ditetapkan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja 1991.

JENIS-JENIS CARUMAN

Ada beberapa jenis caruman:

·         Caruman wajib

·         Caruman pilihan sendiri

·         Caruman simpanan tambahan

·         I-saraan

·         I-suri

SIAPA LAYAK MENCARUM?

Mereka yang bukan bekerja dengan sektor kerajaan. Bukan warga asing, orang asli, pembantu rumah dan mereka yang telah berumur 75 tahun, selain daripada itu semua layak mencarum dalam KWSP.

Walaupun anda bekerja  dan mempunyai perniagaan sendiri, anda juga layak mencarum.

Majikan anda perlu mendaftar dengan KWSP  dalam tempoh tujuh hari anda diambil bekerja.

Jikalau anda bekerja sendiri dan ingin mencarum anda boleh menggunakan  Caruman Pilihan Sendiri. Paling penting anda adalah Warganegara Malaysia dan Ahli KWSP.

Kalau anda seorang surirumah pihak KWSP juga menyediakan skim yang dipanggil I-suri, asalkan anda adalah warganegara, mendaftar dalam pangkalan data kemiskinan  Nasional (ekasih) setakat 30 November 2019.

Isteri kepada ketua isi rumah. Belum berumur 60 tahun dan mencarum sekurang-kurangnya RM5.00 sebulan atau RM60.00 setahun ke dalam KWSP.

BAGAIMANA  MENCARUM?

 Majikan anda akan membuat potongan gaji dan membayar terus kepada pihak KWSP menggunakan borang yang telah diisi dengan nama anda serta jumlah potongan setiap bulan.

Anda juga boleh membayar melalui perbankan Internet pemindahan wang secara elektronik. Boleh juga ke kaunter  bank jika pembayaran dibuat secara tunai atau datang sendiri ke KWSP di semua cawangan seluruh negara.

Jumlah caruman adalah 11 % daripada anda,  12 % atau 13% pula daripada majikan.


CARA PEMBAHAGIAN CARUMAN

Caruman  wajib anda dikira berdasarkan pendapatan bulanan yang diterima daripada majikan.

Caruman terdiri daripada  bayaran majikan dan  syer anda  mengikut jadual yang telah ditetapkan.

Caruman  wajib akan dikreditkan ke dalam akaun KWSP anda di dibahagi kepada dua bahagia. Satu akaun dimasukkan 70% simpanan anda.

Satu lagi akaun dimasukkan 30% atau dipanggil akaun kedua. Akaun kedua inilah yang akan digunakan jika ada keperluan seperti membeli rumah, komputer atau sambung belajar.

Setiap tahun wang simpanan anda akan menerima dividen dan dijamin oleh kerajaan dengan kadar  2.5% bagi Simpanan Konvensional.

Kadar dividen untuk Simpanan Syariah pula berdasarkan prestasi pelaburan Syariah yang diurus dan dilaburkan opeh pihak KWSP.

CARA PENGELUARAN

Bila anda dapat menikmati duit tersebut? Setelah anda berumur 55 tahun, anda boleh mengeluarkan duit simpanan dari KWSP dengan tiga cara pembayaran:

1)Dengan mengeluarkan keseluruhan simpanan dan masuk ke dalam akaun anda.

2) Keluar separuh sahaja dan selebihnya dibiarkan dalam akaun dan simpanan tersebut masih menerima dividen setiap tahun selagi tidak dikeluarkan semuanya.

3)Dimasukkan ke dalam akaun bank anda setiap bulan  seperti menerima gaji sehingga simpanan dalam KWSP habis.

MANFAAT KWSP

Setelah bekerja berpuluh tahun, tentulah anda mengharapkan sesuatu.  Tidak mungkin setelah bersara anda masih terpaksa bekerja?

 Jikalau anda seorang yang sihat walafiat, mungkin tidak bermasalah untuk bekerja kembali.

 Bagaimana jika anda mengalami pelbagai jenis penyakit?  Tentulah sukar untuk anda mendapatkan pekerjaan sesuai dengan umur anda.

Duit ini jugalah yang boleh digunakan untuk merawat penyakit anda, sekurang-kurangnya membantu anda menjelaskan bil hospital dan ubat-ubatan tanpa perlu menyusahkan orang lain.

Selain menyara tanpa bekerja, duit ini boleh juga dijadikan modal untuk memulakan perniagaan kecil-kecilan dan anda tidak perlu meminjam daripada sesiapa atau dengan institusi kewangan yang ada.

Bermakna pelaburan yang dibuat, keuntungannya akan kembali kepada anda.

Anda tidak perlu bergantung hidup dengan anak-anak yang telah bekerja. Simpanan yang ada boleh membantu anda menyara diri sendiri dan keluarga.

Ditambah jika masih ada anak-anak yang bersekolah atau masih belajar, sekurang-kurangnya simpanan KWSP ini meringankan beban untuk anda menyara mereka.

Anda juga boleh melabur dalam syarikat-syarikat yang tersenarai dalam Bursa Saham  mengikut kemampuan kewangan anda.

 Bermakna duit simpanan itu akan terus beranak-pinak.

Pastikan pelaburan anda adalah pelaburan patuh Syariah bagi yang beragama Islam.  Supaya tidak was-was keuntungan pelaburan yang diterima nanti.

Jikalau anda berniaga, tidak selamanya anda mampu bekerja, dengan duit caruman ini semoga dapat menampung keperluan anda.

Paling penting, bijaklah memilih bagaimana hendak menyimpan dan menabung  untuk masa tua anda. Jadikan kehidupan tua anda amat bererti dan sediakan payung sebelum hujan.

https://www.kwsp.gov.my/ms/member/contribution



Tiada ulasan:

Catat Ulasan