Haikal
melangkah laju. Dia terkejut melihat
adik-adik masih di luar rumah, Maisarah sudahpun tertidur, begitu juga dengan
Haris dan Hani. Haida memangku Maisarah. Halim menyandar di tiang sambil memeluk lutut.
“Mak
su tidak balik lagi?” tanya Haikal
terpinga-pinga.
Halim
menggelengkan kepala.
“Macam
mana nak masuk rumah?” Haikal mengerut
dahi. Dia memandang kiri dan kanan. Mangg di pintu dipegang seketika. Dia mencari sesuatu yang berat. Pintu rumah harus dibuka. Adik-adik sudah seharian di luar rumah.
Batu
besar diambil, Haikal mengetuk mangga
pintu sehingga pecah. Pintu rumah
terbuka luas. Halim dan Haida memandang
Haikal tidak berkelip.
“Masuk!”arah
Haikal.
Haida
mengendung Maisarah yang lena dipangkuan masuk ke dalam rumah.
“Halim,
mandikan adik-adik,” suruh Haikal.
“Baik
long,” Halim menurut arahan. Haris dan
Hani dibawa ke bilik air. Dalam hati
sempat berdoa, semoga mereka tidak demam.
Pakaian bersih diganti.
Haikal
pula mengisi nasi ke dalam pinggan. Lima
bungkus nasi dibawa balik untuk adik-adiknya.
Hanya berlaukkan ikan goreng dan sedikit sayur pemberian
majikannya. Cukuplah untuk mengalas
perut adik-adiknya.
“Lepas
mandi, solat dan makan. Jangan lupa buat
ulangkaji pelajaran Halim, Haida.” Mata
Haikal singgah di wajah kedua-dua adiknya.
Setin susu dibeli sewaktu balik dari kerja. Dibancuh untuk Maisarah yang sudah
berhari-hari tidak menjamah susu. Rakus
adik bongsunya itu menghisap susu yang diberi sambil memejamkan mata kembali. Haikal tersenyum bahagia.
Haikal
merebahkan diri sambil meletakkan tangan di dahi. Dia tidak tahu hendak ke mana bawa
adik-adiknya. Rumah siapa lagi mereka
hendak menumpang Hendak cari rumah sewa,
manalah dia mampu. Gajinya bekerja di
restoran itu hanya RM5.00 sejam. 8 jam
sehari dapatlah RM40.00. Nasi tengahari
dan malam diberi percuma oleh majikannya.
Dia mampu menarik nafas lega, sekurang-kurangnya adik-adik ada makanan
hendak dijamah. Hari ini mak sunya tiada
di rumah, sudah tentu tiada makanan untuk mereka.
Azan
maghrib berkumandang. Dia memandang
Haida dan Halim sedang membuat kerja sekolaj.
“Pergi
ambil wuduk, kita solat berjemaah.
Haris, Hani dan Maisarah masih lagi tidur. Mungkin keletihan.
“Baik
long!” Haida berlalu ke bilik air mengambil wuduk. Haikal menjadi iman, Halim dan Haida
makmumnya. Kata arwah orangtua mereka, solat berjemaah mampu
menyatukan hati-hati mereka. Itu sebab
dia tidak pernah meninggalkan solat berjemaah bersama adik-adiknya. Tangan ditadah, doa dibaca. Memohon petunjuk daripada Yang Esa, selamat
hidup di mana sahaja. Murah rezeki
dan berbahagia sentiasa.
“Siapa
pecah masuk rumah aku ini?” jerit seseorang dari luar. Haikal dan adik-adik yang baru selesai solat
menoleh serentak ke arah pintu hadapan yang tertutup rapat. Haikal melangkah bangun dan membuka daun
pintu perlahan. Ditolak dengan kasar
dari luar.
“Kau
pecahkan mangga pintu ya?” Mak Su Tijah
menjegilkan mata.
“Mak
su tidak tinggalkan kunci, adik-adik bermandi hujan sehingga basah kuyup. Maafkan Haikal terpaksa memecahkan pintu
rumah. Bukan sengaja, tapi terpaksa,” kata Haikal mempertahankan tindakannya
“Kau
tidak faham rupanya? Itu bermakna aku
suruh kau adik beradik keluar dari sini?
Menyampalah tengok muka kau adik-beradik setiap hari. Pak saudara kau tak balik-balik, sudah
berminggu-minggu kononnya kerja luar!
Rimas aku, tahu tak!” jerkah Mak Su
Tijah hampir di telinganya.
“Mak
su!” Haikal terlopong mendengar
kata-kata emak saudaranya.
“Mulai
esok, aku tak nak tengok muka kau adik beradik lagi! Aku tahu kalian keluar
dari rumah ini! Pak su kau takkan balik lagi! Aku dengar dah kahwin lain di
sempadan Thailand! Kau orang memang
pembawa malang!” suaranya
terjerit-jerit melepaskan rasa marah.
“Pak
su kahwin lagi? Tak mungkin?” Haikal
tidak percaya.
“Kau
tak percaya? Itu kau punya pasal. Kau dan adik-adik kau tiada kena mengena
dengan aku lagi. Mulai esok pagi aku tak
mahu tengok kalian di sini, faham!” Mak
Su Tijah mengetap bibir. Dia menarik
anak-anaknya masuk ke dalam bilik, dikunci.
Halim
dan Haida memandang sayu ke arah Haikal yang berdiri kaku.
“Long!” panggil Halim perlahan. Haikal menyandar di dinding. Pak sunya kahwin lagi. Mak sunya pula menghalau mereka keluar. Dia memejamkan mata seketika, mencari
kekuatan dari dalam diri.
Halim
mendekati, tangan Haikal diraih perlahan-lahan.
Mata mereka saling bertentangan, menatap mencari jalan keluar dari
masalah yang melanda.
Haikal menepuk bahu Halim lembut.
“Kita tidur dulu, nanti kita fikirkan
caranya dan hendak ke mana?” Haikal tersenyum, namun senyuman itu kelat, pahit
dan terasa berbisa.
Halim dan Haida memandang satu sama
lain. Mereka melipat sejadah. Menyambung semula kerja yang tertangguh. Usai solat isyak baharulah mereka boleh
melelapkan mata.
Haikal
menyandar di dinding dapur. Wajah
adik-adik ditenung seorang demi seorang.
Hancur berkecai hatinya. Kepalanya terasa dihempap batu besar, hanya
tunggu nyawa dicabut dari tubuhnya.
Kepada siapa dia harus mengadu.
Air mata lelaki akhirnya gugur juga.
Bukan lemah tetapi meluahkan apa yang dirasakan ketika itu. Kalau dia sendiri, mudah untuk dia ke mana
sahaja hatta tidur di kaki lima. Tetapi
adik-adiknya masih kecil, masih memerlukan tempat berteduh.
Biarlah hanya pondok buruk asalkan terhindar dari hujan dan panas. Ya ALLAH, Kau berikanlah aku petunjuk dan
hidayah-MU. Esok pagi dia akan ke tempat
kerja. Tidak mungkin dia bawa
adik-adiknya bersama. Di mana dia hendak
tinggalkan mereka. Orang kampung tidak
mahu membantu lantaran mereka adik-beradik dicop sebagai anak perompak.
Mak Su Tijah sejak balik tadi tidak
keluar dari biliknya. Anak-anaknya turut
dikurung di dalam bilik. Ringan sahaja
mulutnya hendak bertanya dan memohon simpati agar diberi ruang untuk mencari
tempat tinggal dahulu. Kalau esok pagi
mereka keluar dari rumah itu ke mana pula
mereka hendak pergi? Pak su pula, kenapa tiba-tiba kahwin lagi? Kalau ikutkan manalah pak sunya mampu. Ah, dia pula pandai-pandai memikirkan masalah
orang lain. Masalah sendiri tidak
tertanggung dek badan dan fikiran.
Maisarah semakin susut badannya.
Baharu dua tiga hari ini dapat meneguk susu. Semakin memikirkan adik-adiknya semakin sakit
hatinya. Bukan kesal dengan beban yang terpaka ditanggung tetapi mampukah
dia mengatasi masalah yang mendatang bagaikan tiada penghujungnya.
Semakin difikir semakin berserabut. Dia perlu mencari tempat berteduh. Tidak mungkin dia membawa adik-adik tidur di
jalanan. Tapi ke mana? semakin dikenang semakin perit rasanya. Semakin sesak nafasnya. Semakin sakit hatinya. Semakin rindu kepada kedua orangtuanya. Haikal mengambil surah Yassin. Dia ingin sedekahkan surah itu kepada kedua
orangtuanya. Biar mereka aman di
sana. Matanya masih belum mampu
dipejamkan. Dia mencari ketenangan
dengan membaca ayat-ayat suci al-Quran. Semoga ada damai di hatinya walaupun
hanya seketika.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan