Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Isnin, 27 Januari 2014

BAHAGIA MILIK KITA- BAB 14



Rasa senak di jiwanya, rasa bersalah dalam hati menebal bagaikan besi waja.   Bagai terjun dalam gaung yang dalam terasa sakitnya.  Rasa mahu dia menjerit kepada emak saudaranya, sudah tumbuh berbagai rasa di hati.  Maisarah, Hani dan Haris duduk dipangkin sampai basah kuyup ditimpa hujan tengahari.  Sengaja dia meminta keluar  dari restoran tempatnya bekerja untuk menghantar makanan tengahari kepada adik-adiknya.  Haikal menerpa mendukung Maisarah yang terketar kesejukan.  Ya ALLAH…  hanya itu yang mampu keluar dari bibirnya.
            “Haris, kenapa main hujan?  Kenapa tak masuk dalam rumah?” tanya Haikal kepada adik yang besar sedikit.
            “Mak su, tak bagi masuk rumah.  Suruh tunggu sini sampai abang balik,”  cerita Haris.  Haikal terduduk mendengarnya.  Kalau cuaca diterangi mentari tidak mengapa, ini hujan lebat dari pagi tadi.  Tergamak mak sunya buat adik-adiknya begini.  Apa dosa mereka?    Baharu sehari di bekerja, adik-adik sudah terabai dan tidak terjaga.  Adik-adik yang lain masih di sekolah.
            “Jom masuk rumah, salin baju.  Lepas itu kita makan nasi ya?” Rasa mendidih dalam hati.  Mahu sahaja dia bawa adik-adik pergi.  Tapi ke mana? Persoalan itu sering bermain dibenaknya.
            “Mak su! Mak su!” laung Haikal dari luar rumah. Pintu rumah berkunci.  Emak saudaranya ke mana? Rumah sunyi sepi, bagaikan tiada penghuni.  Berkerut dahi Haikal.  Pagi tadi  tidak pula emak saudaranya memberitahu apa-apa atau hendak ke mana-mana.  Bagaimana dia hendak masuk ke dalam rumah sedangkan seluruh tingkap dan pintu berkunci rapat.  Ya ALLAH adik-adik sudah menggigil kesejukan.  Hujan masih membasahi bumi, walaupun hanya renyai-renyai kini.  Maisarah dipeluh erat.  Haris dan Hani berpeluk tubuh menahan sejuk.  Haikal menarik tangan adik-adik berdiri di anjung rumah.  Pakaian di ampaian basah semuanya.  Haikal mengeluh keras.  Rasa mahu sahaja dia menangis ketika itu.  Sebentar lagi dia akan ke tempat kerja, adik-adik bagaimana?  Ya ALLAH baharu sahaja bekerja tidak mungkin dia meminta  cuti.
            “Long! Lapar, sejak pagi tadi, Haris dan adik-adik tak makan.  Kita minum air paip je.  Maisarah nangis minta susu, mana nak cari?”  kata Haris lagi. 
Terduduk Haikal mendengarnya.  Kepada Mak Su Tijah sudah dititipkan pesan, agar tolong-tolong melihatkan adik-adiknya. Dia membuka  bungkusan nasi.  Dia menarik adik-adiknya duduk bersila di anjung rumah yang dibasahi air  hujan.  Redhalah hati, redhalah jiwa.  Inilah dugaan buat dirinya adik-beradik.  Menangis air mata darah sekalipun kedua orangtuanya tidak akan kembali.  Terketar-ketar tangannya menyuapkan nasi ke mulut Haris, Hani dan Maisarah yang masih kesejukan.  Ya ALLAH janganlah adik-adik jatuh sakit, doa Haikal dalam hati.  Dia menahan diri dari menangis melihat adik-adik makan dengan lahapnya.    Hampir gugur air matanya melihat nasib hidupnya adik beradik.
“Long!”  Haida berlari mendapatkan Haikal dan adik-adiknya yang basah kuyup sambil menjamah makanan.    Haida mengesat  mukanya yang dibasahi air hujan. 
Halim turut berlari melangkah masuk ke anjung rumah.  Matanya melekat ke arah abang sulongnya yang duduk bersila di atas lantai yang basah.
“Kenapa tak masuk rumah?” tanya Halim, sambil mata memerhatikan keadaan rumah yang berkunci.
“Mak su tak ada?  Rumah berkunci.  Mak su tidak tinggalkan kunci rumah.”  Haikal terus menyuap adik-adiknya.  Tidak tergamak merenung wajah kedua-dua adiknya yang baru sampai ke rumah.
“Mak su tak ada?  Kenapa adik-adik basah kuyup, long?”  Haida membetulkan rambut Maisarah yang basah.  Adiknya  itu tidak menangis walaupun tidak mendapat susu, diberi air sejuk dia minum sahaja tanpa merintih atau merengek.  Bagaikan mengerti suasana yang berlaku.  Perut yang lapar, air juga yang diminta.  Hiba hati Haida.  Namun apakan daya.  Bersabar dengan ujian yang ada.  Itulah pesan arwah orangtuanya.
“Adik-adik tunggu along di pangkin, dalam hujan!”  kata Haikal dengan hati yang bernanah.  Dia mengenggam nasi sekuat tenaga melepaskan rasa sakit di hati atas perbuatan tidak bertanggungjawab emak saudaranya. 
“Ya ALLAH, long!”  Haida menangis sayu.  Maisarah didukung, dipeluk erat.   Hanya senyuman terukir di wajah kecil itu.  Menunjukkan perutnya yang kekenyangan.  Air sirap yang dibawa pulang oleh Haikal diminum dengan puas. 
“Biarlah Haida atau Halim berhenti sekolah.  Along pergi kerja, kena ada orang jaga adik-adik di rumah.”  Halim memberi cadangan. 
“Tidak! Jangan berhenti.  Nanti along fikirkan tentang adik-adik.  Tahun ini Halim ambil PMR, Haida UPSR, along akan cuba ambil SPM,  bersabarlah beberapa bulan lagi.  Tolonglah! Tidak ingatkah pesan arwah ayah dan ibu.  Biar apapun berlaku persekolahan  harus diteruskan,”  Haikal tidak setuju.  Pelajaran penting  dalam kehidupan. 
“Tapi long?”  Haida mendengus kasar.
“Haida bawa adik-adik ke sekolah?  Biar mereka tunggu di pondok dalam kawasan sekolah.  Haida boleh perhatikan adik-adi,” cadang Haida.
“Tak boleh?  Nanti pihak sekolah tanya, apa nak jawab?”  Haikal menolak juga.
“Habis tu?  Takkan nak tinggalkan adik-adik sendirian di rumah, tengok seperti hari ini, mak su entah ke mana?  Tiada siapa di rumah.  Adik-adik bermandi hujan!  Susahlah macam ini long!”  Halim mula berkeras.
“Along kata tidak! Tidaklah!”  tengking Haikal. 
“Duduk sini sampai mak su balik. Makan nasi itu.  Jam 5.00 petang along balik.  Tengokkan adik-adik,”  pesan Haikal sebelum berlalu kembali ke tempat kerjanya.  Dia sudah lewat 10 minit.  Nanti gajinya dipotong pula.
Haida dan Halim saling berpandangan. Baju Maisarah dibuka.  Lampinnya sudah penuh oleh air kencing.  Haida membawa adiknya ke paip di hadapan rumah.  Dia mandi dan bersihkan Maisarah.  Dia perah baju Maisarah tadi dan menyarungkannya kembali.  Mana ada baju kering.  Pintu rumah  berkunci, bermangga. 
            Halim mengetap bibir.  Sampai hati emak saudaranya meninggalkan adik-adiknya tanpa pengawasan orang dewasa.  Kawasan kampung itu rumah  antara satu sama lain agak jauh jaraknya, jadi tiada siapa perasan adik-adiknya bermandi hujan di luar rumah.  Halim mengeluh.  Fikirannya benar-benar tertanggu sehingga tidak mampu fokus pada pelajaran di sekolah.  
            “Angah, jom makan nasi,”  ajak Haida. 
            “Makanlah dulu, angah tak lapar?”    Halim menolak, tidak tertelan tekaknya.  Fikirannya berserabut dengan keadaan dan nasibnya adik-beradik. 

1 ulasan:

  1. kejam betul. tak berhati perut langsung. dengan saudara sendiri pun boleh buat macam ni. >.<

    BalasPadam