Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Jumaat, 31 Januari 2014

BAHAGIA MILIK KITA - BAB 16





 

BAB 16          
            Mariam memandang sahaja tingkahlaku anak lelakinya  yang mundar-mandir di dalam rumah.  Wajah penuh kegelisahan.  Dia melangkah ke ruang tamu.  Terus melabuhkan punggung di sofa.  Wajah kelat anak lelakinya ditenung lama.
            “Kenapa mak?  Tengok Kadir macam nak telan aje?”  Kadir kurang senang ditenung begitu. 
            “Pergilah menyerah diri, hidup dibawah kesengsaraan orang lain, hati kita takkan tenteram.”
            “Apa mak cakap ini?  Kadir tak faham?” Kadir mengerling sekali imbas ke arah Mariam yang masih memandangnya tidak berkelip.
            “Kau jangan nak bohong mak, Kadir?  Mak tahu kau yang merompak pasaraya tempat kau bekerja.  Lepas itu kau letak barang curi di dalam bakul motosikal  arwah  Mak Cik Halimah kau dan arwah Pak Cik Hafiz, tidak pasal-pasal nama mereka buruk kerana kau!” marah Mariam. 
            “Mak jangan nak tuduh Kadir?  Kadir tak buat itu semua?”  Kadir menafikannya. 
            Mariam mencebik.  Dia menarik tangan Kadir duduk di sebelahnya.
            “Mak lahirkan kau di dunia ini, bukan untuk buat kau jadi anak durhaka dan perosak kehidupan orang lain.  Biarkau bodoh!  Tidak pandai.  Biar kau tidak bekerja! Tapi kau jadi manusia baik, berhati mulia.  Kau hancurkan hati mak, Kadir.  Kau pecah-belahkan perasaan emak!  Kenapa tergamak kau dan ayah bersekongkol menfitnah ahli keluarga sendiri, anak-anak mak cik kau hidup melarat tidak terbela.  Kau penyebabnya!”   Hati  Mariam benar-benar sakit sejak hari dia mendengar perbualan anak dan ayah tempohari.
            “Mak nak Kadir masuk penjara ke?”  Kadir bengang.  Memang dia bersalah.  Dia terdesak.  Gajinya tidak cukup menyara kehidupannya yang suka berjudi.  Lagipun hutangnya juga banyak.  Tidak tahu bagaimana hendak bayar.  Minta daripada ayahnya langsung tidak dilayan.  Hanya itu yang dapat difikirkan ketika itu.  Merompak.  Kebetulan  waktu itu bahagian pengambilan sedang mengutip duit jualan.   Dia yang membawa duit itu keluar.    Kesempatan itu diambil untuk merompak duit tersebut.  Belum sempat dia berbuat apa-apa ada rakan setugas yang perasan, duit yang diletakkan di atas meja hilang.  Dia terus keluar dan meletakkan bungkusan yang berisi puluhan ribu ringgit itu ke dalam  motosikal Pak Cik Hafiz yang  menunggu di hadapan pasaraya.  Dia terus menjerit mengatakan Pak Cik Hafiz pencuri apabila terlihat kelibat polis.  Pihak polis ingat Pak Cik Hafiz ingin melarikan diri, rupanya hendak ke bilik air, beliau terus ditembak, salah satu peluru terkena Mak Cik Halimah yang baharu sahaja keluar dari pintu  pasaraya.  Dia sendiri terkejut sebenarnya.
            “Biar kau masuk penjara daripada kau menganiaya orang lain!” tinggi nada suara Mariam.  Mahu sahaja dia mengheret anak lelakinya itu ke balai polis.  Nama adik ipar dan birasnya harus dibersihkan.  Dia tidak mahu bersekongkol dengan suami dan anaknya itu.  Mereka memang kejam.  Suaminya pula menabur fitnah sekelililing kampung demi menjaga nama baik anak sendiri.  Kejam.
            “Mak! Ingat senang ke duduk di penjara?  Mak nak saya mati kering?”  Kadir mencebik.
            “Biar mati kering dari mati menangung dosa orang lain! Mak bagikau peluang Kadir, jika tidak mak sendiri akan buat aduan ke balai polis!” ugut Mariam.
            “Mak!”  Kadir mengeluh kesal.  Kalau boleh dia hendak keluar dari rumah itu.  Dia sudah jemu duduk berkurung di dalam rumah.
            “Mak tak nak tanggung dosa kau Kadir.  Mak tak nak ada anak macam kau!  Solat tidak, mengaji jauh sekali.  Sedangkan waktu kecil dahulu semua itu emak ajar, emak cuba menjadi seorang ibu yang baik.  Tapi bila besar, apa jadi dengan kau?  Berjudi, berhutang, lepas tu merompak pula!”  Mariam benar-benar kecewa.  Hatinya sudah terhempas ke batu.  Terluka dan berderai. 
            “Sepupu-sepupu kau jadi mangsa, merempat mereka.  Semua kerana kau dan ayahkau punya angkara.  Malulah dengan  ALLAH, Kadir.  Kalaupun tidak mahu malu dengan manusia.  Berlaku benarlah atas kesilapan sendiri.  Tiada ruginya.  Berani buat salah, beranilah tanggung. Kau ingat, kau boleh selamanya menungkat langit?”  semakin keras nada suara Mariam.  Kenapalah anaknya tidak mahu faham hatinya sebagai seorang ibu.  Dia tidak mahu menjadi manusia buta hati, buta rasa.  Hendak membantu anak-anak yatim piatu itu juga tidak boleh.  Entah bagaimana nasib mereka.  Hampir gugur air matanya bila terkenangkan apa yang terjadi.
            “Mak jangan masuk campur hal Kadir! Kalau polis datang cari Kadir, tahulah Kadir siapa yang buat aduan!”  Kadir bingkas bangun.  Dia mencekak pinggang.
            “Kau nak kurangajar dengan mak pula, Kadir?  Tak habis-habis buat perangai burukkau  itu!”  lengking Mariam.  Rasa hendak naik penampar ke muka anak lelakinya itu yang tidak makan diajar.
            “Rimaslah duduk di rumah! Hendak keluar tidak boleh, mak pula asyik berleter!”  Kadir menghempas punggung ke sofa.  Dia mencuka, bibir tidak mampu tersenyum lagi.  Sudah bosan mengurung diri.  Kalau ikut hati dia keluar sahaja dari rumah itu.  Biar dia lari pergi.  Tidak sanggup lagi hidup terkurung.
            “Siapa suruh  jadi penjenayah? Siapa suruh kau merompak?  Siapa suruh kau khianat saudara sendiri?  Hah! Sekarang rasalah!”   kalau boleh dia tidak mahu membenci anak sendiri.  Buruk-burukpun anak dia juga.  Tapi  hati siapa boleh tahan, jika perangai anak sudah keterlaluan.  Berdoa, itu sahajalah jalan yang dia ada.  Kepada ALLAH SWT dia berserah.  Semoga pintu hati anaknya terbuka untuk berubah dan menjadi manusia dan insan yang baik hati budinya.  Susah sangatkah menjadi anak yang baik kepada orangtuanya?  Mahal sangatkah permintaannya? 
            “Mak bukan nak menenangkan hati Kadir yang berserabut ini!  Malah menambah beban sahaja!”  Kadir menjeling tajam.
            “Kalau nak hati yang tenang, sujud kepada ALLAH, bukan jadi hamba syaitan!”   jerit Mariam sudah hilang sabar.  Sudah tidak mampu menahan rasa dan tutur kata.  Anak yang tidak sedar diuntung.  Tidak mahu mendengar nasihat dan hanya mengikut hawa nafsu.  Ada ketua keluarga juga begitu.  Hati busuk mengalahkan bangkai.  Mariam berlalu pergi.  Buat sakit mata dan hati kalau berlama-lama melihat anak sendiri.    Dia ke anjung rumah.  Cuba menenangkan diri.  Di awal pagi sudah membebel kepada zuriat yang dikandung dengan penuh rasa kasih dan sayang.  Bila besar kenapa hidupnya menyusahkan.  Air mata kekecewaan seorang ibu mengalir  lalu.  Di mana salah dan silapnya dalam mendidik?  Bukan ini yang dia harapkan daripada seorang anak.  Kejayaan dan menjadi manusia berguna itulah harapan seorang ibu.  Sudah berkali-kali diberitahu bagaikan tidak mengerti.  Hati syaitan juga yang menjadi ikutan diri.
            Di kejauhan kelihatan seorang pemuda sedang mendukung adik dan mengheret dua orang lagi.  Berkerut dahi Mariam memerhati.  Bagaikan kenal yang empunya diri. Adakah Haikal dan adik-adiknya? Mereka hendak ke mana?  Air mata yang berbaki dikesat dengan jari.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan