SUAMIKU DI MANAKAH KAU?
Mastura
termenung jauh. Maria yang sedang
bermain di laman rumah langsung tidak dihiraukan. Sejak dia sampai di rumah emaknya, hanya air
mata menjadi teman setia. Siang bagaikan
malam baginya, malam begitu sepi menghimpit diri. Sudah dua malam dia berada di rumah
emaknya. Bayang suaminya masih tidak
kelihatan. Hendak menelefon ibu mertuanya terasa malu di hati
apatah lagi mendapat tahu suaminya sudah berkahwin lagi.
Kenapa? Apa salahnya?
Apa yang kurang dengan dirinya? Dia sendiri tidak faham. Selama ini tidak pula dia melihat apa-apa
perubahan pada diri suaminya. Biasa-biasa sahaja. Ah! Orang lelaki pandai menyorokkan diri. Kalau hati sedang sakit seluruh tubuh merasa
pedihnya.
“Mas…
sudah, sudahlah bawa termenung. Cuba
telefon Hassan. Dapatkan
penjelasan.” Nasihat Mak Yam. Dia mengeluh sendiri. Sedih melihat nasib anaknya yang tiba-tiba
sahaja dimadukan. Dia sendiri tidak
faham. Selama ini rumah tangga anak
menantunya baik-baik sahaja. Tidak pula
ada pertelingkahan atau salah faham.
Kalau setakat sikit-sikit itu, biasalah.
Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri.
“Kenapa
mak? Kenapa?” soal Mastura.
Air mata masih berembas keluar.
“Sabarlah,
bawa mengucap. Ini ketentuan takdir Mas.
Jangan fikirkan sangat!” terus
memujuk.
“Siapa
yang tak fikir, mak? Sudahlah rumah
hangus terbakar. Suami pula tiba-tiba
menghilangkan diri. Tidak tahu di mana? Eh! Dengar-dengar sudah kahwin lagi. Tak hairan ke?”
“Semua
ini ujian, nak!” Mak Yam mengusap
belakang Mastura. Ditariknya anak itu ke
dalam pelukan. Sedih juga mengenang nasib anaknya itu.
“Mas
tak boleh terima, mak!” tangis Mastura,
sayu.
“Mak
tahu, mana perempuan yang boleh terima.
Mak faham sangat-sangat.”
“Tak
sangka Mas, mak. Tak pernah terfikir
Abang Hassan sanggup menduakan Mas.
Tergamak dia, mak!” pelukan
semakin erat.
“Mama…
mama!” panggil Maria Dia melangkah
mendekati mamanya yang sedang memeluk Mak toknya. Mastura menoleh, pelukan dileraikan.
“Maria,” semakin sayu hati Mastura apabila
terpandangkan wajah anaknya itu. Dia
mengamit Maria mendekat. Dia memeluk
Maria sepenuh hati. Dicium anak itu
berkali-kali.
“Ayah,”
kata Maria. Mastura mengerutkan
dahi. Dia melangkah bangun mendekati tingkap. Berdiri di laman rumah dengan muka serba
salah. Mastura mengetap bibir, menahan
geram dan marah.
“Kau
nak apa hah? Kenapa ke mari?”
kata Mastura, kasar. Geram benar
hatinya. Biar terhambur segala kemarahan
yang berbuku di hati.
“Mas,”
perlahan. Mastura menjeling tajam. Hassan melangkah naik.
“Jangan
naik! Pergilah balik ke rumah bini muda kau!”jerit Mastura bagaikan orang
hilang akal.
“Mastura,” Hassan cuba menenangkan isterinya.
Dia terus melangkah masuk ke dalam rumah.
“Duduk
Hassan,” pelawa Mak Yam. Mastura tetap
berdiri di tepi tingkap sambil mencekak pinggang. Maria menerpa memeluk Hassan.
“Mak,
Mas.. maafkan saya,” Hassan duduk sambil memandang wajah isteri
dan emak mertuanya silih berganti. Maria
duduk di atas pangkuannya.
“Apa
yang terjadi Hassan? Kenapa?
Macam mana boleh berlaku?” bertalu-talu soalan keluar daripada mulut Mak
Yam.
“Maafkan
Hassan, mak,” Hassan mengeluh
kasar. Semuanya salah dirinya
sendiri. Dia meraup muka. Mengeluh lagi.
Mastura
dan Maria yang tidur di sisi ditenung
lama. Hiba pula hatinya. Namu keputusan sudah dibuat. Dia sudah berjanji. Kata putus sudah di ambil. Kedua belah pihak sudah setuju. Hanya menunggu hari langsungnya sahaja. Semua sudah diatur. Dia cuma
perlu menghadirkan diri. Maafkan abang,
Mas, detik hati kecilnya. Akad nikah,
esok pukul 10.00 pagi. Dia harus
keluar sekarang juga jika ingin sampai awal ke rumah keluarganya di Kelantan. Dia
masih merahsiakan perkara itu daripada pengetahuan Mastura. Dia tahu Mastura pasti tidak akan bersetuju.
Hassan mencapai beg pakaian.
Setelah
mengisinya dia terus membawanya keluar, di masukkan ke dalam kereta. Dia terus memandu keluar dari kawasan
rumah. Nanti abang, akan terangkan
kepada Mastura kenapa abang ambil tindakan ini, bisiknya di dalam hati. Hassan tercari-cari telefon bimbitnya. Ya,
ALLAH tertinggal di rumah. Dia patah
semula, kereta di letakkan di bahu jalan besar. Dia berjalan kaki kembali ke
rumahnya semula. Perlahan-lahan daun
pintu dibuka. Dia melangkah masuk. Isteri dan anaknya masih enak dibuai
mimpi. Bau hangit menerja
hidungnya. Suara orang menjerit
membuatkan dia merasa hairan. Hassan membuka
tingkap bilik. Asap tebal menendang
masuk. Api yang sedang marak menerangkan
kawasan kampung setinggan yang gelap itu.
Api! Katanya dalam hati. Hassan
cepat-cepata mengejutkan Mastura dan Maria. Nyalaan api semakin menghampiri
rumahnya. Nasib baik dia berpatah
semula, kalau tidak dia hanya akan melihat mayat anak dan isterinya sahaja.
“Mas!
Mas!” jerit Hassan. Mastura yang nyenyak
tidur, terjaga.
“Kenapa
bang?” Tanya Mastura.
“Rumah
terbakar!” kata Hassan. Maria diangkat
dalam dukungan. Api sudah mula menjamah
sebahagian dinding rumah mereka.
“Macam
mana ini bang! Api tu!” jerit Mastura, ketakutan.
“Tak
payah ambil apa-apa, jom keluar!” arah Hassan.
Mastura akur. Nyawa lebih penting
dari harta yang tinggal. Selamatkan diri
dahulu. Hassan membawa Mastura melintas
rel keretapi. Kaki mereka berhenti
melangkah. Mata menatap api memusnahkan rumah mereka. Hati Mastura hiba. Hassan hanya mampu mengeluh dan
beristighfar. Malapetaka berlaku secara
tiba-tiba. Tanpa diduga. Apa yang harus dia lakukan sekarang. Apakah dia perlu ke Kelantan atau menunggu di
sini?
“Habis
kampung kita, Hassan!” kata seorang lelaki yang turut berada di kawasan
tersebut. Ramai juga berkumpul di
kawasan tersebut, tiada apa lagi yang mampu mereka lakukan untuk menyelamatkan
harta benda mereka. Kereta bomba sedang
berusaha memadamkan api yang sedang marak membakar tanpa belas ehsan. Bunyi letupan kedengaran, mungkin tong gas.
“Sudah
ketentuan ILAHI, Pak Ayob,” kata Hassan.
Pak Yob mengangguk. Dia hanya
mampu mengurut dada. Anak isteri Pak Yob turut sedih dengan apa yang
berlaku. Pak Yob sempat juga
menyelamatkan beberapa barang penting miliknya.
Api
yang marak akhirnya dapat juga dipadamkan setelah hampir sejam pihak bomba
bertungkus lumus memadamkannya. Hassan
mula gelisah. Masa semakin berlalu
pergi. Dia masih tidak bergerak lagi. Mastura mendukung Maria yang lena di
bahunya.
“Semua
penduduk kampung diminta ke Dewan
Seroja. Semua penduduk diminta ke
Dewan Seroja!” jerit seseorang. Hassan
mengeluh. Dewan Seroja satu kilometer
dari kawasan tersebut. Dia harus
menghantar Mastura dan anaknya ke
sana. Baharulah dia bergerak ke
Kelantan.
“Jom
ke kereta!” ajak Hassan agak
tergesa-gesa. Mastura memandang wajah
suaminya.
“Kenapa
kereta ada di sini? Bukan ada di hadapan
rumah petang tadi?” Mastura kehairanan atau dia tersilap pandang. Hassan tidak menjawab pertanyaan isterinya. Dia terus sahaja memandu. Mastura tidak bertanya lanjut. Badannya masih menggigil, ketakutan. Terkejut dengan apa yang sedang berlaku.
Mereka
melangkah masuk ke dalam dewan yang
sudahpun dipenuhi oleh penduduk kampung. Ada yang menangis. Ada juga saling bercerita apa yang
terjadi. Anak-anak kecil ada yang mula
bermain, tidak kurang juga yang sudah tidur, keletihan.
Hassan
mencari ruang untuk menempatkan Mastura dan anaknya. Dia harus segera bergerak. Kejamnya dia meninggalkan isterinya dalam
keadaan seperti itu.
“Tunggu
sini, rehat di sini. Nanti abang datang
balik!” beritahu Hassan. Mastura hanya
mengangguk. Hassan bingkas bangun. Dia menelefon seseorang. Jawapan yang diterima cukup mengecewakan
hatinya. Dia tidak mahu jadi anak
durhaka. Anak dan isterinya telahpun
selamat. Dari kejauhan dia melihat
Mastura bercakap dengan seseorang. Dia
terus melangkah keluar dari dewan tersebut.
Dengan hati yang berat dan terpaksa, Hassan memandu keretanya menuju ke Kelantan.
Dia
sampai di Kelantan, hampir pukul 8.00 pagi.
Terus dia pulang ke rumah orangtuanya.
Sanak saudara sudahpun berkumpul, hanya menunggu kehadirannya sahaja. Wajah Hassan muram.
“Macam
mana dengan Mastura? Dia tak syak ke?” Tanya
Puan Halijah.
“Tidak
ibu. Saya tinggalkan dia begitu
sahaja. Kenapa ibu buat Hassan macam
ini? Kasihan Mastura. Sudahlah rumah kami terbakar, ibu pula paksa
saya kahwin dengan perempuan pilihan ibu, sedangkan ibu tahu rumah tangga saya
dan Mastura bahagia. Cuma ibu sahaja
masih belum dapat menerima kehadiran dia,”
Hassan mendengus kasar. Perlahan-lahan
dia memakai baju melayu yang disediakan
oleh ibunya.
“Kalau
Hassan hendak ibu menerima kehadiran Mastura, Hassan ikutlah cakap ibu!” Puan Halijah
mencebik.
“Okey
Hassan ikut cakap ibu. Tapi… ibu kena berpegang dengan janji ibu untuk
menerima Mastura sebagai menantu ibu.”
“Macam
itulah anak ibu.” Puan Halijah tersenyum puas. Kalau dari dahulu Hassan
berkahwin dengan gadis pilihannya pasti kehidupan Hassan lebih baik dari
sekarang. Dia merampas semua saham syarikat milik Hassan sebaik sahaja
anak lelaki itu berkahwin dengan Mastura, gadis yang berasal dari kampung dan
tidak berpelajaran itu. Walaupun sudah
ada cucu, dia masih tidak boleh menerima kehadiran Mastura. Lebih-lebih lagi mereka tinggal di tanah
setinggan yang baharu sahaja dijilat api.
Majlis
yang sudah dirancang enam bulan yang lalu tidak mungkin dibatalkan gara-gara
musibah yang menimpa Hassan dan keluarganya.
Dia tidak akan menangguhkan perkara yang baik. Saudara-mara jauh dan dekat sudah
dipanggil. Takkan hendak dibatal.
Memalukan sahaja. Biarlah Mastura
selesaikan sendiri masalahnya. Nanti
usai majlis perkahwinan ini, Hassan hendak pulang melihat keluarganya,
ikutlah. Dia tidak akan melarang. Itulah janjinya. Asalkan Hassan sudi berkahwin dengan Katrina,
anak kawan baiknya. Nasib baik Hassan
tidak menolak. Mudah sahaja dia
memujuk. Dia akan menerima kehadiran
Mastura dalam keluarganya. Itu sebab
Hassan tidak menolak dan menerima cadangannya.
Majlis
berjalan lancar. Senyuman bahagia
terukir di bibir Puan Halijah. Harapan dan impiannya sudah tertunai. Hassan cuba berlagak riang. Namun hati dan fikirannya asyik teringkatkan
anak dan isteri yang ditinggalkan sehelai sepinggang.
Malam
pertama bagaikan tidak bererti, badannya di situ, hatinya entah ke mana
pergi. Resah dan gelisah. Isteri yang jelita, seksi dan mampu
meruntuhkan perasaan kelelakiannya tidak
langsung mengamit rasa. Malam berlalu
tanpa suara. Tanpa rasa. Hiba menghimpit bagaikan menyesak nafasnya.
“Abang
kenapa? Muram sepanjang masa. Sepatah Rina tanya.
Sepatah abang jawab. Apa yang
tidak kena? Apakah kehadiran Rina tidak menyenangkan hati abang,” lembut isteri baharunya bersuara. Hassan menoleh sambil mendengus kasar.
“Maaflan
abang Rina, ada masalah yang menghenyak kalbu.
Abang sebenarnya sudah beristeri dan sudah mempunyai seorang anak. Sebelum abang ke mari, musibah menimpa. Rumah
kami hangus terbakar. Demi janji abang
ke mari juga.” Cerita Hassan. Dia tidak
mahu menipu sesiapa. Hatta isteri
sendiri, namun terpaksa.
“Innalillah…
jadi anak isteri abang bagaimana?” tanya
Katrina, ingin tahu. Terkejut dia
mendengar berita itu.
“Mereka
selamat, cuma tidak tahu bagaimana keadaan mereka sekarang,” luah Hassan lagi.
“Rina
sudah tahu, yang abang sudah beristeri.
Rina setuju berkahwin dengan abang sebab, hati Rina hanya ada abang
seorang. Rina tidak kisah menjadi isteri
kedua, asalkan abang berlaku adil.” Kata
Katrina. Hassan terkejut
mendengarnya.
“Rina!”
“Abang,
pergilah balik, tengok keadaan isteri
abang. Rina akan tunggu
kepulangan abang.” Suruh Katrina.
“Tapi.”
“Pergilah
bang. Rina tidak apa-apa. Sudah ambil hak orang, kenalah pandai-pandai
bawa diri. Lebih-lebih lagi keadaan isteri
abang tidak tahu bagaimana. Uruskan hal
mereka sehingga selesai. Abang jangan
bimbangkan Rina. Terangkan kepadanya
yang abang sudah mempunyai seorang lagi isteri.
Kalau dia dapat menerimanya, Alhamdulillah. Jika tidak, pandai-pandailah abang memujuknya."
“Terima
kasih Rina,” Hassan memeluk isteri
baharunya. Hatinya berbunga
bahagia. Masalah ini selesai, masalah di
sana belum tahu bagaimana.
Hassan
menunduk. Wajah Mastura yang masam
mencuka tidak mampu ditenung lama. Dia
tahu dia bersalah. Tetapi demi restu
ibunya, dia terpaksa.
“Rina
kena faham, kenapa abang buat begini.
Itulah syarat ibu. Dia hendak
abang berkahwin dengan gadis pilihannya, barulah dia dapat menerima kehadiran
Mas sebagai isteri abang, anak kita sebagai cucunya.”
“Ibu
abang kejam. Siap telefon emak, beritahu
abang sudah bernikah lagi. Abang
tinggalkan Mas dan Maria sehelai sepinggang.
Rumah hangus, abang pergi begitu sahaja.
Apa yang ada dalam hati abang?
Kerana janji abang, abang lupakan kami?”
Mastura mengetap bibir. Kelat
wajahnya, sekelat hatinya sekarang untuk menerima kehadiran orang lain dalam
hidupnya dan Hassan. Jika perempuan itu
boleh menerima dia sebagai madu, belum tentu dia dapat menerima orang ketiga
dalam hidupnya dan Hassan.
“Jangan
cakap macam itu, Mas,” tegur Mak Yam.
Walaupun dia kesal dengan apa yang berlaku. Mungkin ada hikmahnya yang terbaik untuk anak
menantunya.
“Pergilah
abang balik ke rumah isteri muda abang.
Biar Mas di rumah emak. Hati Mas
masih belum dapat menerima apa yang berlaku.
Selama ini hidup Mas bahagia sahaja walaupun tanpa restu ibu abang. Bergembiralah dia dengan menantu baharunya
itu. Abang boleh sahaja menolak, kalau
abang hendak. Tapi… lelakikan? Orang sudah tawar, kenapa hendak ditolak?” kata Mastura geram. Hassan terdiam.
“Abang
tidak akan sia-siakan, Mas. Abang akan cuba berlaku adil antara Mas dan isteri
baharu abang. Maafkan abang kerana
merahsiakan perkara ini daripada pengetahuan Mas dan keluarga. Maafkan saya mak!” Hassan menghulurkan tangan bersalaman
dengan emak mertuanya. Tiada kata
secubitpun keluar dari bibir Mak
Yam. Sudah kehendak ILAHI anaknya akan
hidup berkongsi kasih dengan perempuan lain. Suka atau tidak, itulah takdir
yang telah tertulis.
Hassan
berharap Mastura akan terbuka hatinya.
Dia ingin membahagiakan kedua-dua orang isterinya. Dia hanya ingin membahagiakan semua
orang. Terutama ibu tersayang. Salahkah tindakannya itu?
Mastura
tidak mahu bertekak lagi dengan suaminya.
Segalanya sudah terjawab.
Segalanya sudah berlaku. Dia
perlukan masa. Dia perlu menenangkan
fikiran. Di manakah suamiku? Hatinya sudah bercabang, hilang bersama orang
lain. Mastura menutup mata, setitis air
jernih mengalir keluar tanpa dipinta.
sedihnyer... mak hassan kejam sangat. dan Rina? dia benar-benar ikhlas ke nak berkongsi suami dengan Mastura? Musykil saya...
BalasPadamsambunglah lagi kak... :)