DI MANAKAH SUAMIKU 3
Mastura
memandang sepi kenderaan milik suaminya berlalu meninggalkan laman rumah
emaknya. Mak Yam di sisi hanya menepuk
bahu anaknya tanpa berkata apa-apa. Dia
tidak mahu memaksa anaknya. Biarlah mereka sama-sama membuat keputusan
sendiri. Maria pula masih menangis
kerana ingin mengikut ayahnya. Mastura
menarik tangan Maria dan cuba memujuk.
“Nanti
ayah baliklah, kejap lagi kita ke kedai, beli ais krim. Maria suka ais krimkan?” pujuk
Mastura. Hatinya masih
marah. Masih geram, apa yang terjadi
benar-benar mencabar kesabarannya. Dia
tahu benar sikap ibu mertuanya. Tidak
berkenan dia menjadi menantu. Sejak awal
lagi hubungan dia dan suaminya tidak
disukai. Namun mereka degil. Tetap juga ingin berkahwin. Natijahnya sehingga ke hari ini kehadirannya
dengan Maria tidak direstui. Dia
redha. Buat apa paksa orang yang tidak
menyukai dirinya. Biarlah.
“Kenapa
tak ikut Hassan balik tadi?” tanya Mak
Yam. Mastura memandang wajah emaknya.
“Balik
ke mana mak? Rumah kamikan sudah tidak ada?”
Mastura sebak. Sudahlah
kehilangan rumah dan harta benda, kini dia kehilangan suami pula. Musibah yang bertimpa-timpa. Dia tidak boleh
menyerah kalah. Dia perlu bersabar
dengan apa yang terjadi. Semoga ada
hikmah disebalik kejadian yang terjadi kepadanya.
“Jadi,
apa cadangan, Mas?” Mak Yam mengusap lembut rambut Maria yang sudahpun lena di
pangkuan Mastura.
“Masih
tidak fikir apa-apa lagi mak. Otak ini
dah kosong, tak tahu nak fikir apa lagi.
Masalah yang datang buat fikiran
Mas buntu,” keluh Mastura. Mak Yam
mengeluh.
“Sabarlah
Mas,” hanya itu sahaja yang mampu dia perkatakan.
Mastura mengeluh kesal. Kalaulah suaminya menolak untuk berkahwin
lagi, apalah salahnya. Selama inipun ibu
mertuanya tidak pernah suka kepadanya. Ada dia kisah. Selama mereka berkahwin tidak pernah
sekalipun dia pulang menjenguk ibu mertuanya.
Amaran orangtua itu sendiri. Jijik
benar dirinya. Maria, anaknya langsung
tidak pernah tengok neneknya di sebelah
suami. Hanya Maria tahu Mak Yam
sahajalah neneknya. Mastura mengesat air
mata yang mula menitis di pipinya.
Dia
sedar siapa dirinya, gadis kampung yang tidak berpelajaran tinggi. Dalam zaman moden ini masih ada lagi manusia
yang menilai darjat dan pangkat. Tidak
tahukah mereka yang harta dan kekayaan itu boleh dicari. Apa yang penting usaha. Kalau setakat mengaku kaya tetapi harta
kepunyaan orangtua buat apa? Walaupun
dia tidak berpelajaran namun fikirannya tidaklah sempit seperti ibu
mertuanya. Menilai orang hanya pada
harta dan kedudukan.
Dia
benar-benar kecewa dengan suaminya.
Mudah sahaja menerima cadangan ibu mertuanya. Sanggup berkahwin lagi atas alasan supaya ibu
mertuanya menerima kehadirannya.
Benarkah? Sampai sekarang tiada
langsung orangtua itu menelefon bertanyakan
khabarnya. Terimakah itu? Sengaja ingin memisahkan dia dan
suaminya. Lelaki, kata mulut tidak,
dalam hati mahu. Mastura mendengus
kasar. Sebal rasa di hati. Geram rasa di jiwa. Ketenangannya dirampas dengan begitu mudah sahaja. Semuanya kerana suaminya yang gatal ingin bernikah lagi. Bila disuakan oleh ibu mertuanya terus setuju.
Dasar lelaki, tidak tahu diuntung.
Mastura mengomel sendiri.
Hassan
memandu keretanya dengan hati yang
kecewa. Tiada beban cari beban. Terasa menyesal pula berkahwin lagi. Nasi sudah menjadi bubur, hendak diapakan
lagi. Isteri muda sudahpun menunggu di rumah mamanya. Perjalanan dari Klang ke Kelantan bukannya
dekat. Hendak pulang ke rumahnya,
rumahnya telah hangus dijilat api.
Hendak menumpang di rumah mertuanya, Mastura sedang dalam keadaan marah. Tidak guna tunggu jika orang tidak suka. Biarlah Mastura bertenang dahulu.
Dia
keluar dari rumah emak mertuanya,
sudah lewat petang. Hampir tengah malam baharulah dia sampai di
rumah ibunya. Hassan terbayangkan wajah
Mastura yang lesu dan marah. Tiada
langsung senyuman di bibir isterinya.
Dia tahu dia bersalah. Tidak
mahukah Mastura diterima oleh mamanya.
Maria diakui cucunya. Sukar
sangatkah hendak berkongsi kasih dengan perempuan lain? Orang perempuan selalu tamak. Hassan mendengus sendiri.
Susah
betul hendak menjaga hati seorang perempuan.
Ada sahaja rajuknya. Kalau tidak
kerana hal besar, hal kecil-kecilpun mereka ambil kira. Entah berapa lama Mastura hendak
merajuk. Entah berapa lama Mastura harus
ambil masa untuk bertenang dan
menerima perkahwinan keduanya. Biarlah… biar berapa lamapun. Mastura berhak. Jangan sampai mereka berpisah sudahlah.
Bunyi
deringan telefon, Hassan terus menjawabnya.
Suara perempuan disebalik sana amat dikenalinya.
“Ada
apa ibu?”
“Kau
di mana?”
“Dalam
perjalanan balik ibu.”
“Kau
pergi jumpa Mastura?” suara mamanya
kedengaran agak kasar.
“Yalah
ibu. Dia kan isteri Hassan juga.”
“Kalau
aku tidak suka, sampai bilapun aku tak suka!”
“Ibu! Bukankah ibu sudah berjanji akan terima
Mastura sebagai menantu, jika Hassan kahwin dengan pilihan ibu!” Hassan benar-benar terkejut. Ibunya sanggup menipu dirinya.
“Kalau
ibu tak buat seperti itu, adakah Hassan akan setuju?”
“Sampai
hati ibu!” Hassan sedih mendengar
kata-kata ibunya.
“Kau
lupakan sahaja isteri kau itu. Baik kau
layan isteri baharu kau yang setia menunggu di rumah ibu ini.”
“Ibu
kejam! Kejam!” Hassan mematikan
panggilan tersebut. Dia
menghentak-hentak stereng kereta.
Geramnya hati hanya ALLAH yang tahu.
Bagaimana mungkin dia melupakan Mastura dan anaknya, Maria. Apa yang ada di dalam fikiran mamanya. Hassan kesal.
Dia terlalu mempercayai mamanya.
Dia ingatkan mamanya benar-benar telah berubah. Mamanya sudah mahu menerima kehadiran Mastura, itu sebab dia bersetuju
berkahwin lagi. Rupanya ini hanya
sandiwara mamanya sahaja. Kepalanya
berat. Dia pening secara tiba-tiba. Jantungnya berdegup kencang. Terlalu laju sehingga… Phang!
Mastura
hampir pengsang apabila menerima panggilan telefon bahawa suaminya sudah meninggal dalam
kemalangan. Air matanya laju
mengalir. Musibah lagi. Aduhai, nasib badan. Mak Yam memeluk erat anak perempuannya. Dia sendiri sedih dengan apa yang
berlaku. Tidak disangka sama sekali. Pertemuannya dengan menantunya siang tadi
adalah yang terakhir. Maria masih enak
dibuai mimpi. Bagaimanalah nanti reaksi
anaknya apabila terjaga nanti.
“Mak,
Abang Hassan sudah tinggalkan Mas!”
Mastura menangis sayu di bahu Mak Yam.
“Sabarlah,
Mas,” pujuk Mak Yam. Dia sendiri tidak mampu menahan sedih. Kehilangan menantu secara tiba-tiba. Masih
terasa kehangatan bibir menantunya bersalaman dengannya tadi. Pergi tanpa pesan, membawa terus hati yang
lara. Mak Yam hanya mampu mengeluh.
“Mas
hendak ziarah jenazah Hassan ke?” tanya Mak Yam perlahan. Mastura memandang wajah emaknya tidak
berkutik. Dia termenung jauh. Haruskah dia pergi? Dia tidak berani berhadapan dengan keluarga
mertuanya. Kalau dia tidak pergi…
Mastura
melangkah perlahan. Dia masih
berkira-kira sama ada hendak masuk atau tidak ke dalam rumah itu. Rumah di mana jenazah suaminya masih
ada. Dia isteri, itu suaminya. Dia berhak menziarahi suaminya. Mastura memberanikan diri. Dia ingin melihat wajah suaminya buat kali
terakhir.
“Buat
apa kau datang ke sini? Kerana kaulah anak aku mati!” jerit Puan Halijah sebaik
sahaja melihat kelibat Mastura. Mak Yam
yang turut bersama Mastura memandang wajah besannya dengan penuh tandatanya. Kenapa begitu benci besannya terhadap anak
perempuannya itu?
“Ibu!” seorang wanita muda menahan Puan
Halijah. Mastura memandang wajah itu
tidak berpaling lagi. Tentu isteri muda
arwah suaminya.
“Masuklah
kak,” pelawa perempuan muda itul Mastura
mengangguk lemah. Air mata
berjujuran mengalir.
“Kenapa
kau benarkan dia masuk, Rina? Dia
pembawa malang!” jerkah Puan Halijah.
“Ibu,
kak Mastura tetap isteri Abang Hassan.
Biarlah kak Mastura melihat arwah buat kali terakhir. Jangan bising-bising macam ini, malu didengar
oleh orang lain.” Nasihat Rina. Puan Halijah menjeling tajam.
“Kau
pun hendak menentang aku, Rina?” lengking suara Puan Halijah. Tidak menghiraukan kehadiran para tetamu yang
datang menziarahi . Dia benar-benar
membenci menantunya itu. Langsung
tiada sedikitpun perasaan sayang atau kasih.
Kerana Masturalah Hassan langsung tidak balik menjengahnya
bertahun-tahun.
“Ibu!”
Rina menarik tangan Puan Halijah jauh dari situ.
“Lepaskan
ibu, biar ibu bamboo perempuan itu puas-puas!”
“Ya,
ALLAH, ibu… ingat kepada ALLAH, bawa mengucap.
Buat apa ibu terus membenci kak Mastura?
Abang Hassan sudahpun tunaikan permintaan ibu. Rina sudah menjadi isteri dia. Perkara yang lepas jangan dikenang, ibu. Maafkanlah Kak Mastura. Terimalah kehadirannya dalam hidup ibu.” Rayu Rina.
Puan Halijah memeluk tubuh. Dia
mendengus kasar. Dia melangkah masuk ke
dalam bilik. Daun pintu ditutup kuat.
Rina
kembali ke ruang tamu. Para tetamu masuk
dan pergi, seorang demi seorang menziarahi jenazah. Mastura dan Mak Yam masih berteleku di
hadapan jenazah. Maria menangis sedih di
sisi mamanya. Rina menghampiri.
“Kak,
saya Rina… isteri muda arwah Abang Hassan.
Maafkan ibu, ya. Terima kasih
kerana sudi datang.” Rina menghulurkan
tangan ingin bersalaman. Mastura menghulurkan tangan. Mereka saling berkenalan. Mastura menatap seketika wajah madunya. Cantik, memang sesuai dengansuaminya yang
kacak. Mastura menunggu sehingga jenazah dibawa ke tanah perkuburan. Selama itulah juga ibu mertuanya tidak keluar
dari bilik. Hiba benar hatinya. Hancur lulur jiwanya dengan sikap ibu
mertuanya. Buruk sangatkah dia sehingga
begitu sekali kebencian ibu mertuanya
terhadap dirinya.
“Jomlah
kita balik, Mas. Orang tak suka kita
berlama di sini. Tiada gunanya lagi kau
di sini,” ajak Mak Yam. Sebal hatinya
dengan sikap besannya. Membenci
sehingga ke tulang hitam agaknya.
“Janganlah
mak cik, tunggu sehingga majlis tahlil mala
mini.”pelawa Rina. Mak Yam tersenyum.
“Tidak
mengapalah Rina. Dapat melihat arwah
buat kali terakhir pun sudah cukup buat kami.
Terima kasih kerana melayan kami dengan baik,” kata Mastura. Rina mengeluh. Kenapalah ibu mertuanya keras hati
sangat. Tentu arwah tidak tenang di alam
sana. Sudahlah arwah anak tunggal. Dia
pula baharu sahaja berkahwin dengan arwah.
Mereka belum dapat bersama.
Marialah satu-satunya zuriat arwah suaminya. Tidak mahukah ibu mertuanya memeluk
satu-satunya pewaris keturunannya.
“Kak,
jangan ambil hati dengan sikap ibu ya,
sesekali bawalah Maria ke mari.
Hanya dia sahajalah anak arwah.”
Rina menunduk. Sememangnya arwah
bukanlah jodohnya. Baharu sahaja
berkahwin arwah pergi buat selama-lamanya.
“Insya-ALLAH,
Rina. Akak balik dahulu. Rina jemputlah datang ke rumah akak ya, ini
nombor telefon dan alamat akak. Semoga
hubungan kita terus kekal selama-lamanya.”
Maria menghulurkan sekeping kertas yang tercatat nombor telefon dan
alamat rumah emaknya. Biarlah arwah
suaminya bersemadi dengan aman. Biar
bagaimana buruk pandangan ibu mertuanya terhadap dirinya, dia akan tetap
menghormatinya. Mastura berlalu dari
rumah tersebut dengan hati yang tenang,
Semadilah abang dengan tenang ya, detik hati kecilnya. Air mata mengalir laju keluar. Semua kenangan bersama arwah akan tersimpan
kemas di hatinya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan