AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Wednesday, 25 May 2016

ADUH, PENING! - BAB 13



ALEEYA menongkat dagu memerhatikan rakan-rakannya bekerja. Hilang mood betullah. Desakan dan gesaan Nadia membuatkan hatinya panas menggelegak. Boleh pula telefon dia dan paksa dia tinggalkan suaminya? Hoi! Mana punya manusia agaknya. Kalau nak sangat nikah semula dengan suami dia, nikahlah! Apa masalahnya? Kenapa paksa dan suruh dia tinggalkan suaminya itu? Memang tidak ada akal punya manusia. Kalau tidak memikirkan menjaga adab isteri dan muslimah, sudah tentu dia amuk Nadia yang degil dan dianggap sudah gila talak itu. Menyusahkan orang sahaja.
            “Kak… buatlah kerja. Nanti bos tengok akak menung aje, kena marahlah pula,” tegur Lin yang mejanya menghadap Aleeya.
            “Tak ada mood, Lin!” luah Aleeya dengan muka cemberut.
            “Malam ni kita keluar nak? Boleh cerita panjang,” sampuk Ros yang entah dari mana munculnya. Terus sahaja menyergah.
            “Malam ni?” Aleeya berkira-kira lagi. Oh, suaminya ada urusan sendiri. Boleh jugalah. Nanti dia akan minta izin suaminya dahulu. Kalau dibenarkan, bolehlah dia melepak dengan anak-anak gadis serba manis itu.
            “Nanti akak tanya suami akak dulu. Kalau bagi lampu hijau, akak ikut,” kata Aleeya riang semula. Gelagat mereka bertiga buat dirinya ceria semula.    
            “Seronoknya dapat keluar dengan kau orang. Kalaulah akak solo, akak terjah sama tau,” kata Rozita yang mencuri dengar.
            “Hisy, Rozita ni! Sempat curi dengar ya?” Aleeya menyengih.
            “Ala, teringinlah nak keluar dengan kau orang!” kata Rozita teruja sangat. Suaminya pasti tidak benarkan apatah lagi pada waktu malam. Untunglah Aleeya kerana suaminya tidak pernah kisah jika keluar dengan kawan-kawan. Kalaulah dia dapat seperti itu, tentu seronok.
            “Jomlah Rozita,” ajak Aleeya.
            “Susahlah.” Rozita mencebik.
            “Kalau ada berita terkini, kongsi-kongsilah dengan akak,” kata Rozita sambil menayang muka manis manjanya.
            “Mana boleh kak? Cerita kami adalah rahsia orang perempuan!” usik Ina.
            “Habis akak ni apa? Wanita!” Rozita memuncungkan bibirnya.
            “Erk… tak sama ke perempuan dan wanita, kak?” sampuk Ros.
            “Samalah tu.” Aleeya ketawa nipis. Ceria seketika.
            “Hoi! Buat kerjalah. Membebel aje pagi-pagi ni,” tegur seseorang.
            “Ops! Orang kuat sudah bersuara!” Aleeya menyambung tugasnya yang tertangguh tadi.  Begitu juga rakan-rakannya yang lain. Tugas di pejabat satu amanah dan juga termasuk dalam ibadah. Perlu jujur dan bertanggungjawab. Tidak boleh curi tulang, tak boleh ambil mudah.

MALAM yang dingin menyapa tubuhnya yang berbalut baju kurung cekak musang. Bertudung sehingga paras dada menutup sebahagian khazanah wanita yang harus dilindungi daripada pandangan lelaki-lelaki yang ajnabi. Tuntutan agama disanjung tinggi agar kehidupan jauh lebih berkat. Bersantai dengan kawan-kawan setelah mendapat izin suami tercinta adalah saat yang paling indah dalam hidup. Biarpun mereka ketiga-tiganya gila-gila, tetapi hati mereka baik. Dia senang berkawan dengan mereka.
            Restoran SBR CafĂ© @ Rumbia yang terletak berhampiran stesen bas Pekeliling menjadi pilihan. Jauhnya pergi makan? Biar jauh, tetapi sedap. Dengar kata makanan di situ sedap-sedap belaka. Ada karaoke dan jika nasib baik boleh tengok artis menyanyi di situ. Aleeya mencuba kuetiau kung fu special dan lai chi kang. Setiap daripada mereka memilih menu yang berlainan. Bolehlah bertukar-tukar rasa. Yang penting boleh duduk bersantai tanpa gangguan.
            “Kak, akak ni kenapa? Asyik moody aje?” Lin memandang wajah Aleeya yang sedang menjamah makanan kegemarannya. Mesti sedap sehingga habis kuah kuetiau masuk ke tekaknya. Laju benar temannya makan.
            “Entahlah Lin, kadang-kadang rasa menyesal pula akak kahwin,” luah Aleeya. Perutnya sudah kenyang, dia menyandar di kerusi.
            “Susah hati ya? Tapi boleh habiskan sepinggan gedebuk kuetiau tu kira okeylah, kak...” usik Ina. Dia memesan nasi ayam special bersama semangkuk ABC special juga.
            “Pasal susah hatilah akak makan banyak, Ina.”
            “Ooo… orang susah hati kena makan banyaklah ya?” Ros mengangguk-angguk. Entah apa yang dia faham.
            Bukan sengaja ingin membuka pekung di dada atau bercerita tentang hal rumah tangganya. Kalau tidak bercerita dengan orang yang dia percaya, tentulah merana dirinya memendam rasa. Dia hanya ingin berkongsi cerita biar terbang semua rasa buruk yang telah membenih di hati. Jangan dibiarkan tumbuh menjadi pokok hasad yang akan memusnahkan kerukunan rumah tangganya. Dia tidak mahu mencari musuh, juga tidak mahu rumah tangganya hancur.
Apa yang harus dia lakukan? Nadia sudah beri kata dua, tidak sanggup bermadu dengannya. Takkan dia nak minta cerai dengan suaminya? Apa kesalahan suaminya? Perlukah dia berkorban demi kebahagiaan orang lain terutama anak-anak tirinya? Semua ini buat dirinya berserabut. Aduh… peningnya! keluhnya dalam hati.
            “Tak boleh jadi, kak! Akak kena pertahankan rumah tangga akak. Siapa suruh perempuan itu mintak cerai daripada suami akak? Sekarang dah gila talak. Padan muka dia,” kata Lin setelah mendengar cerita Aleeya.
            “Memanglah akak boleh cuba pertahankan. Kalau dibuatnya bekas isteri suami akak tak benarkan suami akak jumpa anak-anaknya, macam mana?” Soal itulah yang paling Aleeya takutkan.
            “Boleh bawa hal ini ke mahkamah, kak. Kita kan ada undang-undang. Alasan apa yang perempuan tu nak beri nanti? Takkan dia nak letak sebab suami akak tak nak kahwin semula dengan dia, maka dia tak benarkan suami akak jumpa anak-anak? Silap hari bulan boleh kalah dia, kak. Mintalah penjagaan sepenuhnya kak,” ajar Ros pula.
            “Entahlah. Buntu fikiran akaklah.”
            “Sabarlah, kak. Mesti ada jalan keluar. Saya rasa, akak kena berbincang dengan suami akak. Kalau akak pendam sendiri, masalah takkan selesai. Minta juga nasihat ahli keluarga, emak dan ayah akak ke?” cadang Ina.
            Pandai juga gadis-gadis ini menasihatinya. Walaupun mereka belum berumah tangga, tetapi nasihat mereka bernas juga. Ya, kenapa dia tidak berterus terang sahaja dengan suaminya? Kenapa dia tidak minta nasihat kedua orang tuanya? Mungkin dengan cara itu, masalah yang sedang memberat di kepalanya boleh diselesaikan. Aleeya menarik nafas lega. Terasa ringan beban yang ditanggungnya.

No comments:

Post a Comment