Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Sabtu, 28 Mei 2016

PELAYARAN KASIH - BAB 7 - karya Rohani Deraman




H
ati seorang isteri berbuai bangga. Pemberian suami, membuatkan Kartina terlupa seketika luka yang menyakitkan itu.
“Alhamdulillah. Terima kasih kerana abang ingat,” katanya dengan senyum senang. Dia cuba mengubat luka hatinya dengan kebaikan yang ditunjukkan oleh suaminya.
“Ini memang barang terpakai, tapi ia masih elok. Itu yang abang beli.”
Sebagai isteri yang taat, dia menerima semua pemberian itu dengan rasa syukur dan gembira. Walaupun barang terpakai, dia tetap gembira kerana ia adalah pemberian seorang  suami.

Namun, kegembiraan itu bertukar sakit hati yang teramat sangat. Dia rasa dirinya sungguh hina. Sungguh tidak ada harga di mata suami.
“Oh, kat sini dia buang barang-barang buruk ni!” kata Naimah ketika muncul di ruang tamu rumahnya. Seperti biasa, bibir madunya itu akan menguntum sebuah senyuman yang amat sinis!
“Apa maksud awak ni?”
“Awak tak tahu atau awak malu nak mengaku tahu.”
“Saya memang tak tahu apa-apa,” jawabnya kebingungan.
“Barang-barang ni aku yang punya. Dia dah belikan aku set sofa dan peti sejuk yang baru. Dia kutip barang-barang lama ni. Katanya nak tolong aku buang. Rupanya di sinilah dia membuangnya. Memang padanlah. Rumah kau dan kau sendiri adalah sampah dalam hidup kami,” jawab Naimah dengan senyum yang bertambah-tambah sinisnya.
Ketika itu matanya pijar dan berpinar. Dia menggagahi diri. Dia tidak mahu Naimah tahu dia sedang lemah dengan perasaannya. Walaupun sudah disakiti, dia tetap menghantar Naimah  balik dengan senyuman.
“Kirim salam pada suami saya.”
“Suami akulah, bukan suami kau!” bentak Naimah.
“Bila pula dia ceraikan saya?” balasnya dengan geram. Kemudian dia tersenyum-senyum, memperli. Sengaja dia ingin menyakiti hati madunya itu.
Naimah keluar dari rumah dengan tergesa-gesa. Mungkin dia marah. Mungkin juga dia malu. Tidak lama dia hilang bersama keretanya.

Selepas dia yakin Naimah sudah jauh dari rumahnya, dia terjelepuk jatuh di lantai. Dia lemah. Dia sakit hati. Dia terluka. Luka itu teramat dalam dan menyakitkan.
Berhari-hari dia terlantar lemah. Dia tidak boleh menelan makanan. Tidak boleh tidur dengan nyenyak dan tidak mampu menguruskan diri sendiri apa lagi untuk menguruskan Natasya.
“Mak, tolong jaga Tasya untuk saya.” Akhirnya dia menelefon ibu mertuanya. Ketika itu memang dia amat terdesak. 
“Apa yang terjadi Tina? Tina sakit ke?”
“Ya mak. Tina lemah sangat. Tak boleh bangun..” Hanya setakat itu dia mampu berbicara. Selebihnya dia menangis dan terus menangis.
Puan Rahidah muncul beberapa jam kemudian.  Ternyata ibu mertuanya yang baik hati itu terkejut melihat keadaannya.
“Kenapa jadi macam ni Tina? Apa yang mengganggu fikiran Tina ni?”
“Mak tak tahu?” Dia bertanya dengan hairan. Tidak mungkin suaminya tidak memberitahu Puan Rahidah mengenai pernikahan keduanya! 
“Tahu apa?” Giliran Puan Rahidah pula menoleh dan merenungnya dengan mata hairan.
Dia tidak terus menjawab. Dia mula yakin bahawa suaminya memang tidak memberitahu ibunya. Dia sudah terlanjur membuka cerita. Dia terpaksa meneruskannya. Mungkin sudah sampai masanya dia bertindak.

“Abang dah kahwin lain. Tina tak kisah dan Tina reda. Tapi, abang buat Tina melampau-lampau. Dia tak adil pada Tina dan Tasya. Dia... dia...”  Tangisan berhamburan sebelum sempat ceritanya usai. Dia menangis sungguh-sungguh. Semua yang terbendung selama ini dilepaskan.
“Hah? Kenapa mak tak tahu? Patutlah dia jarang balik ke rumah mak lagi. Dan kau pun tak beritahu mak. Kenapa hal macam ni nak tanggung sendiri?” Hajah Rahidah benar-benar terkejut. Dia melihat wanita itu ikut menangis. Lalu wanita yang pengasih itu memeluk erat tubuhnya. Ketika itu dia rasa aman. Sudah lama tidak merasai pelukan hangat seorang ibu.
“Tina ingat mak tahu. Tina ingat semua orang suka pada menantu baru itu. Tina tak nak busukkan nama abang,” ujarnya di celah esakan.
Tidak lama, dia rasa kembali kuat. Lalu dia menyambung kisah yang terbantut tadi. Hinggalah kepada kisah barang-barang Naimah yang dihantar ke rumahnya.
Hajah Rahidah mengeluh belas. Di wajahnya tergambar juga sejuta kesal dan geram atas perbuatan anaknya.
“Mak, tak payah tanya dengan abang. Mak tak payah marah dia. Biarlah... dia sedang berbahagia. Dia dah dapat apa yang dia nak. Tina ni isteri yang tak cantik.”
“Tina jangan cakap macam tu. Bagi mak, Tina adalah isteri dan menantu yang baik dan cukup sempurna. Entah apa lagi yang anak mak tu cari dalam hidupnya. Dia pasti akan menyesal   satu hari nanti. Dia pasti akan dibalas oleh ALLAH atas semua perbuatannya menganiaya Tina.”

“Mak, jangan cakap macam tu. Kita mesti mendoakan yang terbaik untuk dia. Mungkin Tina yang terlalu lemah. Tina akan berusaha untuk lebih kuat, mak.” Itu janjinya. Bukan hanya kepada Hajah Rahidah, tetapi juga kepada dirinya sendiri.
Berhari-hari dia mencari kekuatan. Dia perlu bangkit. Dia perlu tunjukkan kepada suaminya dan Naimah bahawa dia tidak gagal. Dia perbanyakkan solat malam. Dia perbanyakkan zikir. Sehingga setiap denyut nadiku aku sulami dengan zikir, ya ALLAH! ya ALLAH!
Pada satu malam, dia tertidur dalam nikmatnya zikrullah. Malam itu juga dia bermimpi didatangi sesaorang yang tidak dikenali. Wajahnya pun tidak dapat dilihat dengan jelas. 
Keesokan paginya, dia bangun seperti orang baru. Tubuhnya terasa ringan, sihat dan kuat. Hati terasa segar dan aman. Jiwa rasa sungguh tenang dan nyaman. Sesuatu yang tidak pernah dirasai sebelum ini.
“Syukur pada-Mu ya ALLAH. Syukur…” Dia mendongak ke langit dan mengucap syukur berpuluh kali dengan linangan air mata.
Seharian itu dia mengemas semula rumah yang tidak terjaga sejak beberapa hari terlantar itu. Peti sejuk, meja makan dan sofa yang membuatkan hatinya sakit itu diletakkan di tepi rumah. Dia bertekad tidak mahu barang-barang itu ada dalam rumahnya. Melihat barang-barang itu seperti melihat senyum Naimah dan cercaannya. Dia tidak mahu barang-barang itu melemahkan semangatnya.
Dua minggu selepas itu, suaminya pulang dan terkejut melihat semua barang-barang itu ada di luar rumah.
“Kenapa awak letak barang-barang tu kat luar?” tanya suaminya dengan hairan.

Ketika itu dia diam dan membatukan diri. Dia sengaja tidak mahu segera menjawab. Biar lelaki itu tahu kesilapannya. Namun, lelaki itu tetap tidak faham dan tetap ego.                           
Tangannya ditarik kuat.  Dia hampir tersungkur. Dia tidak terkejut. Malah dia benar-benar sudah bersedia untuk berhadapan dengan  apa jua kemungkinan buruk. 
“Cuba bercakap kalau ditanya!” Dia ditengking dengan keras.
Mulutnya masih terkunci. Hanya matanya merenung tajam kepada lelaki itu.
“Ada apa ni?”
“Saya minta maaf. Saya tak perlukan barang-barang itu. Samada abang ambil balik atau saya berikan kepada orang lain. Kalau abang tak mampu nak beli apa-apa untuk saya, tak payah jadikan rumah saya tempat orang buang sampah!” Dia berkata tegas. Dia menggunakan semua kekuatan baru yang ada dalam dirinya. Dia tidak mahu diri dihina. Tidak mahu maruah diinjak-injak. Tidak mahu kasih diperlekehkan.
“Apa maksud awak ni?”
“Saya dah tahu barang-barang ni semua dari rumah Naimah. Abang belikan yang baru dan bagus untuk dia, kemudian abang hantar yang buruk ni ke sini. Sampai hati abang. Tak sangka sampai ke tahap ini hinanya diri saya di mata abang…”
Suaranya mula bergetar. Dada sudah mula sebak. Kemudian, dengan mudahnya air mata mengalir deras merentasi pipinya yang setia.

“Apa salahnya barang-barang tu? Kenapa nak berkira sangat dan kenapa nak menyombong sangat. Daripada rumah siapa pun saya ambil, tak payah nak peduli asalkan barang itu masih baik dan boleh diguna!”
“Saya bukan berkira. Saya juga bukan menyombong. Tapi abang tidak adil dengan saya. Untuk dia kenapa boleh beli yang baru. Saya ni isteri pertama abang. Sejak kahwin, saya tak pernah minta apa-apa dari abang. Tapi tak semestinya saya boleh dibuat macam ni. Kalau abang tak mampu tak payah beli!”
Suasana sepi. Lama. Dia melihat lelaki itu termenung.
“Cukup-cukuplah abang beri peluang Naimah menghina saya. Kalau pun abang dah tak sayangkan saya dan Tasya lagi, abang tak perlu nak cemuh saya macam ni,” katanya perlahan. Namun kata-kata yang perlahan itu telah menyentuh kuping telinga suaminya. Dengan segera dia menoleh.
“Apa yang awak melalut ni? Bila masa pula saya ni menghina awak? Cakap tu biarlah beralas!”
“Abang, sekarang saya semakin yakin dengan apa yang saya fikirkan. Tak apalah. Abang buatlah. Saya tak akan mengamuk. Saya berserah pada ALLAH. Selapas ini, saya akan berusaha lebih kuat untuk masa depan saya dan Tasya kerana saya dah tak yakin pada keadilan yang abang janjikan.”
Dia menyeka air mata. Dia memujuk hati supaya tidak sedih. Ini semua ujian ALLAH dan dia kena kuat untuk lulus dalam ujian itu.
“Tapi, tolonglah pindahkan barang-barang ini dari pandangan mata saya. Saya lebih rela mengutip dari tempat pembuangan sampah daripada menerima penghinaan ini,” tambahnya lagi. Dia berkata ikhlas dan jujur dari lubuk hatinya yang terluka. Dia memang sungguh-sungguh tidak mahu melihat barang-barang itu lagi.

Wajah lelaki itu berubah, marah. Tanpa ucap selamat tinggal dan sepatah kata, dia bangun dan pergi meninggalkan rumah itu.
Seminggu. Dua minggu. Akhirnya sebulan lelaki itu tidak menjengah lagi. Barang-barang yang ada di tepi rumah tetap di situ.
Pada satu hari, dia menahan sebuah lori yang melalui hadapan rumahnya.
“Adik, akak nak minta tolong sikit. Boleh tak adik tolong angkat barang-barang ini dan buangkan ke tempat sampah? Nanti akak beri  upahnya.”
“Eh! Kenapa nak buang kak? Ini cantik dan baru lagi. Sayang kalau dibuang,” kata pemandu lori itu.
“Kalau macam tu, adik ambillah. Akak dah tak pakai,” katanya dengan senyum terpaksa. Anak muda itu memanggil seorang kawannya dan mengangkat peti sejuk naik ke atas lorinya. Begitu juga meja makan dan sofa yang ada.
Lega. Akhirnya dia rasa matanya dapat berkelip dengan aman.
Hari-hari selepas itu, dia bukan sahaja jarang bertemu suaminya malah suasana pertemuan pun semakin tidak mesra. Dia tidak mengharap lagi lelaki itu pulang. Kalau pulang, dia akan melayannya. Kalau tidak pulang dia tidak akan mencarinya.
Takdir ALLAH telah berlaku begitu. Ujian juga masih tetap ada.
Seminggu kemudian, Natasya demam. Suhu badannya memang sangat panas. Ubat sudah diberi. Tubuh juga sudah dijelum, namun demamnya tetap tidak kebah. Dia mula ketakutan dan bimbang.

Hari sudah jauh malam. Dia perlu membawa anaknya ke hospital. Dia tidak mahu terjadi sesuatu kepada Natasya malam itu. Namun, macam mana dia akan membawa Natasya dalam gelap malam itu? 
Lalu dia teringat  untuk menelefon suaminya. Ayah Natasya.
“Tolonglah bang… Tasya demam. Saya nak bawa ke hospital, tapi saya tak ada kenderaan. Nak cari teksi pun susah malam-malam ni. Abang baliklah. Sekejap pun jadilah. Kesian anak kita...” rayunya bersungguh-sungguh.
“Tengoklah nanti.” Itu jawapan yang diterima dari lelaki itu.
“Abang, ini soal hidup dan mati. Janganlah nak tengok-tengok macam ni!” sergahnya dengan marah. Namun ketika itu bukan suaminya yang menjawab  sebaliknya madunya, Naimah.
“Heh! Kau kalau tak ganggu orang tak boleh ke? Dah malam macam ni, orang nak rehat-rehat pun tak senang. Kalau anak sakit, uruskan sendiri. Beranak saja pandai. Nak uruskan anak tak pandai!”
Dia menghempaskan gagang telefon dengan kuat. Sengaja dia berbuat begitu agar telinga Naimah bergegar. Dia tidak menunggu lama. Dia tahu lelaki yang bernama suami itu tidak akan balik kerana tangan dan kakinya sudah dirantai oleh bini mudanya.
“Sabar Tasya. Ibu ada. Tasya tenang. Ibu tak akan biarkan Tasya derita macam ni. Ibu akan bawa Tasya ke hospital. Biarlah ayah tak nak balik. Ibu tak akan tunggu dia. Ibu akan telefon ambulan. Sabar nak ya!” Dia mendukung Natasya. Dia cuba memujuk hatinya juga agar tidak terlalu gusar. Tidak lama, sebuah ambulan sampai. Dalam kelam malam itu, Natasya dibawa ke hospital. Tanpa ayahnya!

Ketika Natasya sedang diberikan rawatan kecemasan, dia menyandarkan diri ke dinding. Dia cuba membuang semua rasa penat dan runsing. Dia cuba bertenang. Walaupun apa yang sedang dilaluinya itu amat berat dan menyakitkan, dia tidak mahu kalah dengan perasaannya.
Hidupnya hanya untuk Natasya. Dia akan telan segala pahit dan maung kehidupan demi anak kecil itu. Lama dia hanyut dalam fikirannya, akhirnya dia terlelap.  Dia tidak tahu berapa lama dia terlena. Sehinggalah ada tangan yang menepuk bahunya berkali-kali. Dia membuka mata. 
“Puan ni ibu Natasya?”
Dia membetulkan duduknya. Matanya digosok beberapa kali. Kemudian baru dia teringat bahawa dia berada di hospital kerana menghantar anaknya Natasya.
“Ya saya. Macam mana dengan anak saya, doktor?” Dia bingkas.
“Diharap puan bersabar dan tabah menerima dugaan ini. Setelah kami berusaha bersungguh-sungguh, ALLAH lebih sayangkan dia. Dia dah tak ada,” jawab doktor itu dengan nada perlahan dan kesal.
Ketika itu dunianya gelap seketika. Kesengsaraannya bertambah. Dalam saat dia memerlukan bahu untuk menyandarkan resah, tidak ada bahu yang sudi membenarkan dirinya berbuat begitu.
ALLAH memang memberikan dugaan yang amat berat kepadanya. Natasya yang dikasihi akhirnya dibawa pergi. ALLAH mengambilnya di saat dia benar-benar memerlukan anak itu sebagai tempat mencurahkan kasih sayangnya. Dia lemah. Dia hilang arah. Hanya air matanya yang mengalir tidak henti-henti hingga ke pusara Natasya.

“Maafkan abang,” kata lelaki yang bernama suami itu di hadapan pusara Natasya.  Dia diamkan diri. Dia pekakkan telinga. Tidak mahu dia mendengar suara lelaki itu. Tidak  mahu dia menerima huluran tangan suami yang tidak berhati perut itu!
“Tak sepatutnya abang buat begini pada awak.”
Dia tetap diam.
“Abang dah abaikan awak dan Tasya.”
“Buat apa abang datang? Tasya dah tak ada. Saya dah tak ada sesiapa. Abang ada Naimah. Abang pergilah. Abang berbahagialah ...” tangisnya sendu.
Dia bangun dan meninggalkan pusara itu. Dia langsung tidak sudi menoleh dan memandang wajah lelaki itu lagi. Dia benar-benar kecewa. Hancur hatinya dengan perbuatan lelaki itu.
Hidupnya memang hilang arah selepas ketiadaan Natasya.  ‘Selama ini ibu hidup kerana kamu. Susah senang ibu selalu ingin bersamamu. Namun sekarang kamu sudah tiada. Ibu seperti ingin berbaring bersamamu di sini, anakku.’
Lama dia menangisi pemergian anaknya itu. Namun pada suatu hari, dia rasa satu kekuatan muncul dan semangat hidup kembali bergelora. Dia bangun. Dia segera membetulkan diri. Dia mandi dan bersihkan diri. Kemudian dia rasa kesegarannya.
‘Ibu harus teruskan hidup. Ibu tak akan kalah dengan dugaan ini. Mungkin semua ini ada hikmahnya. Ibu akan bangkit dari duka ini anakku,’ bisiknya perlahan ketika bersimpuh di pusara Natasya.

Tiba-tiba dia hilang rasa rindu kepada suaminya. Dia hilang rasa untuk menjadi isteri. Apa yang dibuat oleh lelaki itu dirasakan tidak mampu dimaafkan lagi. Dia perlu bertindak. Dia perlu kembalikan maruah dirinya.
Dia tidak mahu lagi hidup dalam ikatan suami isteri yang semakin lama semakin menjerut dirinya.  
“Abang, saya minta maaf kerana mungkin saya bukan isteri yang baik. Saya tak lawa dan saya tak kaya. Dan saya bukan kelulusan universiti seperti isteri muda abang tu. Tapi, selama ini saya amat menyintai abang.  Sepenuh hati. Sepenuh jiwa raga,” katanya dengan tertib di hadapan suaminya.
“Apa maksud awak. Abang pun sayangkan awak dan Tasya.”
“Jangan sebut nama dia. Hancur hati saya. Mungkin dah sampai  masa untuk saya buat keputusan untuk diri saya sendiri. Abang dah bahagia. Abang dah tak perlukan saya dalam hidup abang. Saya akan pergi dari sini. Abang kena lepaskan saya.”
“Tina, jangan buat keputusan terburu-buru. Abang tahu abang salah. Abang minta maaf. Abang menyesal. Kita boleh mulakan semula hidup baru kita. Abang janji, abang tak akan abaikan Tina lagi.”
“Dah terlambat untuk menyesal. Tasya dah tak ada. Kalau tak kerana kelalaian abang, Tasya masih ada bersama kita sekarang. Saya tak boleh nak terus tinggal di sini lagi. Saya tak sanggup nak lalui hidup tanpa Tasya. Simpanlah janji abang tu untuk Naimah. Hanya dia yang layak untuk menerima kasih sayang dan cinta abang. Saya nak abang ceraikan saya!” 
Itulah keputusannya. Dia tidak sanggup lagi menahannya. Sejak sekian lama dia menyimpan duka lara dan kepahitan dalam hatinya. Kini dia tidak mampu menyimpan lagi. Sudah terlalu sakit untuk terus menelannya.











Tiada ulasan:

Catat Ulasan