Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Sabtu, 28 Mei 2016

ADUH, PENING! - BAB 17



IKMAL menahan sabar. Sudah dua hari dia cuba menelefon anak-anaknya tetapi panggilan tidak berjawab dan sengaja dimatikan. Apa pula permainan Nadia kali ini? Siang tadi, dia mendapat surat dari mahkamah syariah. Tuntutan baru daripada bekas isterinya itu. Tak cukup lagikah apa yang telah diberinya sebelum ini? Dia memang tak faham dengan sikap Nadia yang telah banyak berubah. Dahulu, Nadia bukan begini orangnya.
            “Kenapa bang? Masih tak ada jawapan?” tanya Aleeya yang melihat sahaja kegelisahan suaminya sejak lepas isyak tadi.
            “Masih tak berjawab,” luah Ikmal. Dia duduk bersandar di sofa. Matanya memandang ke arah peti televisyen tapi akalnya menerawang jauh.
            “Sabarlah bang,” pujuk Aleeya.
            “Bang, kenapa abang tak berbalik aje dengan dia? Selesai masalah,” luah Aleeya. Dia sendiri penat dengan permainan ini. Nadia asyik mengganggunya di pejabat. Malu dia dengan rakan-rakan sekerja. Orang yang tahu dia berkahwin dengan Ikmal setelah lelaki itu jadi duda, tak mengapalah. Yang tidak tahu, pasti beranggapan yang bukan-bukan. Aduh! Pening dan memalukan sahaja.
            “Hisy! Tak mungkinlah, Leya… dalam hidup abang, abang nak ada seorang isteri aje. Kalau sampai dua, rasanya tak mampu kot,” kata Ikmal. Memang dia tidak mampu. Bukan mudah beristeri dua, tiga atau empat. Hanya orang yang terpilih mampu lakukannya. Sekarang ini pun belum lagi kahwin dua, sudah memeningkan kepalanya. Apatah lagi bila mereka kembali bersama semula. Silap hari bulan, berjumpa Aleeya pun dia tidak dibenarkan. Jangan main-main. Sikap dan tindakan Nadia sekarang ini sukar diramalkan.
            “Leya risaulah, buatnya dia tak benarkan abang bertemu anak-anak, macam mana?”
            “Abang akan ambil tindakan mahkamah jugalah.” Ikmal mengeluh berat.
            “Naik turun mahkamah ni bukan tak boleh, bang. Tapi itulah, duit...” jelas Aleeya. Bukan murah mendapatkan khidmat peguam. Setiap kali turun mahkamah, bayaran pasti dikenakan. Bukan sepuluh dua, ratusan ringgit. Hendak buat macam mana? Sudah begitu tuntutannya.
            “Abang nak pergi jenguk budak-budak, Leya ikut abang ya?” ajak Ikmal. Dia tidak boleh bersabar lagi. Nanti anak-anaknya fikir yang bukan-bukan pula.
            “Malam-malam ni? Nanti riuh-rendah pula di situ. Tunggu esok ajelah, bang.” Aleeya tidak bersetuju. Kenal benar dia dengan sikap Nadia yang suka mengamuk dan marah-marah sekarang ini. Kalau dibuatnya mereka bergaduh, habislah… memalukan sahaja.
            “Tak boleh! Budak-budak mesti bising sebab dah dua hari abang tak dapat bercakap dengan mereka.” Ikmal sudah mula bergerak memakai seluar dan terus keluar.
            “Alamak!” Aleeya menarik tudung yang terletak di birai katil dan mengikut langkah suaminya. Tak perlulah salin baju. Masih sesuai lagi kalau setakat makan di kedai mamak.
            Setengah jam kemudian, mereka sampai di hadapan rumah Nadia yang gelap-gelita. Ikmal terjengah-jengah melalui cermin tingkap kereta. Kereta Nadia juga tidak ada. Ke mana pula perginya?
            “Macam tak ada orang aje, bang?” Aleeya mengerut dahi. Dia memerhati sekeliling. Rumah semi-D itu sunyi sepi. Gelap dan hanya lampu luar yang terpasang. Kereta pun tidak ada. Sahlah, Nadia dan anak-anak tidak ada di rumah.
            “Ke mana pula mereka pergi? Budak-budak tak sekolah ke?” Ikmal kehairanan. Dia memandang kiri dan kanan, rumah jiran tetangganya. Kalau ada sesiapa boleh jugalah dia bertanya.
            Mereka menunggu beberapa minit. Nampaknya, memang Nadia dan anak-anaknya tidak berada di rumah. Ke mana pula mereka pergi? Balik kampung? Mungkin. Ikmal mencapai telefonya yang diletakkan di dalam poket. Dia mendial nombor telefon bekas mertuanya.
            Setelah bercakap selama beberapa minit. Dia kecewa, Nadia dan anak-anaknya tidak ada di sana. Ke mana, ke mana? soalnya dalam hati.
            “Cuba telefon mak abang? Mana tahu dia bawa budak-budak ke sana,” suruh Aleeya. Tidak mustahil Nadia minta simpati emak Ikmal pula. Mak mertuanya itu lembut hatinya. Mudah kasihan dan simpati dengan orang lain.
            Ikmal menelefon emaknya di kampung. Dia tersenyum.
            “Nadia dan anak-anak ada di sana,” kata Ikmal riang.
            Betul sangkaannya. Aleeya mengeluh. Apa pulalah kisah yang dikarang oleh Nadia untuk dijadikan santapan telinga emak mertuanya. Risau bertandang di hati. Aleeya mengeluh perlahan.
            “Kita balik kampung sekarang,” ajak Ikmal.
            “Hah?” Aleeya terkejut. Bukan dekat kampung suaminya itu. Boleh tahan jauhnya. Walaupun hanya di Ipoh sahaja. Dia hanya berbaju kaftan. Hisy… tak sesuai langsung. Apalah suaminya ini, buat keputusan mendadak.
            “Esoklah, bang. Kita ambil MC. Pukul berapa nak sampai sana, budak-budak pun dah tidur, nanti bising pula mak abang,” tolak Aleeya.
            “Tapi!” Ikmal mengeluh. Dia ingin melihat keadaan anak-anaknya. Dia juga ingin tahu kenapa Nadia ke sana. Sejak bercerai belum pernah lagi bekas isterinya menjejakkan kaki ke rumah emaknya. Apa pula agenda bekas isterinya itu?
            “Tak ada tapi-tapi, kita balik dulu, esok kita ke Ipoh!” kata Aleeya tegas.
            “Leya!” Ikmal tetap mahu pulang malam itu juga.
            “Tak boleh, bang. Kita bekerja, abang tak apalah... bos di tempat kerja abang, tapi Leya?” Ingat senang-senang nak main ambil cuti agaknya. Lainlah di Kementerian itu dia orang besar. Ini tidak, orang kecil sahaja. Silap hari bulan kena tindakan tatatertib. Uh! Tak naklah rekod buruk. Baru berangan nak dapat anugerah khidmat cemerlang.
            “Yalah.” Akhirnya, Ikmal mengalah. Dia hampir terlupa, isterinya juga bekerja. Dia memandu pulang kembali ke rumah. Mendengar nada suara emaknya tadi, hatinya sudah tidak keruan. Mesti ada cerita buruk yang sudah disampaikan oleh Nadia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan