Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Jumaat, 27 Mei 2016

PELAYARAN KASIH - BAB 6- Nukilan Novelis Rohani Deraman




M
uhayat membesar dengan sempurna dan penuh kasih sayang. Dia menjadi abang yang baik dan menjadi contoh kepada adik-adiknya Marsyila dan Mursyid.  Tidak lama, kesangsian yang dijangka pun muncul di celah hati Muhayat.   
“Abah, kenapa nama bapa kami berbeza?”
Itu kekeliruan yang pertama terbit dari bibir Muhayat selepas dia mula bersekolah dan tahu membaca.
“Sebab Hayat ni bukan anak kandung abah. Tapi abah kasihkan seperti abah kasihkan Syila dan Syid.” Ahmad Adham tidak berbohong dan dia tidak akan mengajar Muhayat mendengar kisah-kisah rekaan untuk mengambil hatinya.
“Siapa ayah kandung Hayat?”

“Dia ada di Johor. Nanti kalau Hayat dah besar, kita cari dia.”
“Tapi kenapa dia tinggalkan Hayat?”
“Hayat masih kecil untuk faham masalah orang dewasa,” pujuknya.  Kemudian hal itu tidak ditanya lagi. Muhayat seperti faham bahawa soalan itu tidak penting dalam hubungan mereka di rumah itu.     
Bukti kasih sayang, cinta dan kesetiaan Kartina begitu banyak untuk dihitung. Namun yang paling tidak dilupakan untuk diingat dan dikenang ialah ketika dia jatuh sakit dan terlantar lama akibat satu penyakit aneh. 
Dia dimasukkan ke hospital. Namun doktor tidak dapat mengesan apa-apa penyakit. Setelah pemeriksaan darah, najis dan kahak sudah dibuat dan tidak ada penyakit yang dapat dikesan, dia dibenarkan pulang.
Namun bila sampai di rumah, dua malam sahaja yang dia dapat tidur dengan lena. Selepas itu, dia akan batuk sampai ke pagi. Batuk yang langsung tidak berhenti. Semua ubat sudah dimakan. Semua petua juga sudah dibuat. Namun batuknya tetap begitu. Akhirnya atas nasihat seorang rakan, dia cuba ikhtiar dengan cara berbomoh. Bomoh mendakwa dia terkena santau angin.
Benar atau tidak hanya ALLAH yang tahu. Dia terus berusaha. Macam-macam cara bomoh buat. Begitu juga macam-macam ubat yang dia telan.
Batuknya tidak juga pulih sepenuhnya. Malah batuk yang berpanjangan itu membuatkan dia semakin lemah hingga tidak mampu bangun dari tempat tidurnya. Semua kelangsungan hidupnya dibuat di tempat pembaringan. Jika dia buang air besar, Kartina yang membersihkannya. Jika dia termuntah, Kartina yang akan menadahnya. Kalau tidak sempat dengan besen, dia akan menadah dengan tangannya!
“Kenapa abang jadi macam ni?”

“Jangan mengeluh bang. Anggap ini ujian ALLAH. Dah lama DIA berikan kesihatan yang baik. Baru sekali ini dia menarik nikmat-Nya itu. Bersyukur dan reda, bang.”
Itulah Kartina. Sentiasa tenang dan tabah. Dia tetap setia saban malam bersengkang mata di sisi katilnya.  Dia tidak jijik membuang muntah dan najisnya!
“Terima kasih kerana Tina sudi menjaga abang,” bisiknya pada satu malam. Ketika itu batuknya sedikit reda tetapi demamnya pula yang muncul. Tangan Kartina tidak henti-henti menjelum kepalanya dengan air asam jawa.
“Ini adalah tugas dan tanggungjawab Tina sebagai isteri. Tina tak nak abang berfikir dan ingat yang bukan-bukan. Tina nak abang kuat melawan kesakitan ini. Tina akan sentiasa ada di sisi abang. Tina akan tetap menjaga abang selagi abang perlukan Tina,” balas Kartina.
Dia mendengar ketulusan kata-kata Kartina. Dia juga melihat keikhlasan dalam matanya. Juga ada kejujuran dalam setiap gerak gerinya. Akhirnya dia tidak mampu menahan tangis. Hatinya sungguh sebak dan terharu mendengar kata-kata itu.
“Kenapa abang menangis ni? Adakah kata-kata saya menyakitkan hati abang?” Kartina mendekatinya. Tubuhnya dipeluk erat. Dia dibelai seperti seorang anak kecil.
“T...  tidak. Abang cuma rasa terharu dengan layanan dan kasih sayang Tina.”
“Tina nak abang tahu bahawa Tina amat kasihkan abang. Cinta Tina hanya untuk abang. Kalau benar abang juga kasihkan Tina, abang kena kuat dan tabah menghadapi dugaan ini. Kita akan hadapi bersama,” kata Kartina lagi.

“ALLAH berikan sakit ini sebagai kifarah untuk semua dosa-dosa abang. Lalu abang kena sabar dan tabah,” bisik Kartina ke telinganya.
“ALLAH juga sedang menunjukkan sebuah kebenaran, tentang kesetiaan, kejujuran dan ketulusan hati manusia,” balasnya dengan juraian air mata yang tidak putus-putus mengalir.
“Abang, Tina tak bersedia nak terima semua pujian abang. Cukuplah ALLAH memberikan semangat dan kekuatan untuk Tina lalui semua ini dengan tabah. Selebihnya adalah milik DIA,”
“Ya ALLAH! Ya Rahman! Ya Rahim... aku bersyukur kepadamu ya ALLAH kerana memberikan aku isteri sebaik ini.”  Dia mendongak ke atas.
“Sejak abang sakit, baru abang tahu betapa abang memang amat perlukan Tina dalam hidup abang.”
“Kalau abang tak sakit, abang tak perlukan Tina?” tanya Kartina dengan senyum. Dia tahu Kartina sedang menduga hatinya. Dia ingin bersuara meluahkan rasa hatinya. Dia ingin menjelaskan apa yang ada dalam jiwa raganya.
Namun ketika itu jari Kartina sudah menutup mulutnya. “Abang tak perlu cakap apa-apa. Tina tahu kasih sayang abang selama ini. Jasa abang membesarkan Muhayat amat besar. Kasih abang pada kami berdua tak terbalas.”
“Itu tanggungjawab abang.”
“Samalah juga dengan Tina. Menjaga abang, mengasihi abang adalah tanggungjawab yang tulus dari Tina. Selagi abang sudi jadikan Tina isteri abang, Tina tidak akan abaikan tanggungjawab dan amanah ALLAH ini,” kata Kartina sambil memeluknya sekali lagi. 

Alangkah manisnya cinta. Alangkah indahnya rasa. Itulah Kartina. Kalau dulu dia dilayan begitu. Sekarang pun layanan itu tetap sama.
Kartina pula, sejak pertemuan semula itu jiwanya sedikit kacau. Semua kenangan yang sudah lama dilupakan, kembali terimbau. Dia ingin menolak semua ingatan itu. Namun, dia tidak berdaya. 
Lelaki itu pernah dicintainya. Pernah mengisi jiwa raganya. Dia adalah lelaki pertama yang dicintainya.
Selepas Natasya lahir, semuanya menjadi indah. Kasih sayang mereka begitu erat. Kemudian lelaki itu dinaikkan pangkat. ALLAH Yang member rezeki.
“Inilah rezeki anak namanya,” bisiknya selepas ucapan syukur. Dia gembira dengan apa yang ALLAH kurniakan kepada keluarganya. Namun, rupanya ALLAH memberikan sesuatu sebagai ujian.
Itulah permulaannya. Ujian berupa nikmat itu membuatkan suaminya berubah. Dia lupa diri. Cinta yang dilafazkan tiba-tiba menjadi hempedu yang pahit untuk ditelan. Janji yang dipadu, terbiar lesu. Perubahan demi perubahan yang ditunjukkan membuatkan dia mengesyaki sesuatu. Namun dia tidak mempunyai bukti yang kukuh.
Setiap detik dia berdoa : “Tuhan, berilah aku kekuatan. Tunjukkan aku jalan. Berikan aku petunjuk.” Hanya itu doa yang diulang-ulang dalam hati. Hanya ALLAH tempat dia menyandarkan dirinya yang semakin tidak kuat.  
Akhirnya doanya dimakbul Tuhan. Akhirnya apa yang disyaki itu terbongkar. Seorang wanita mengetuk pintu rumahnya dan menyerah diri.
“Saya Naimah, isteri kepada suami awak. Dah tiga bulan kami kahwin,” kata wanita itu memperkenalkan dirinya dengan angkuh.

Ketika itu hatinya menggelupur. Dia kesakitan. Perempuan mana yang tidak sakit hati dan marah bila suaminya berkahwin lain. Namun, dia cuba bertenang. Dia cuba bersikap selamba.
“Saya harap awak sedar diri dan tahu,” kata wanita itu lagi. Gayanya angkuh dan sombong.
“Nak sedar diri kenapa?” Dia cuba bersabar dengan keangkuhan itu.
Naimah meneliti wajahnya. Kemudian tangan wanita itu membelek baju yang dipakainya. Ketawanya berdesir sinis.
“Aku tak tahu kenapa dia berkahwin dengan kau. Perempuan yang selekeh macam ni, dia jadikan isteri. Entah-entah kau dah bomohkan dia ya?”
Dia menelan air liur yang amat pahit sepahit hidupnya. Jauh dari sudut hati, dia beristighfar menghalau anak-anak iblis yang sedang berlumba-lumba menawanya. Tidak. Dia tidak akan kalah pada musuh ALLAH itu.
“Dengan baju yang serebeh ni, kau nampak macam orang tua! Sedarlah diri kau tu. Kau tak sesuai dengan dia.” Keangkuhan Naimah semakin memualkan.
“Jadi?” Tiba-tiba dia menjadi berani.
“Awak pergilah balik ke kampung awak. Tak payah nak tunggu dia di sini. Dia tak akan pilih awak. Saya akan jaga dia. Saya akan pastikan dia jadi hak saya seorang.”
“Wahai cik puan, saya ni ada iman. Sungguhpun saya tak secantik awak, tak seksi macam awak tapi iman saya tetap cantik. Awak tahu apa hukum meninggalkan rumah suami tanpa izin suami. ALLAH akan melaknat sehingga suami memaafkannya,” katanya dengan lantang. Langsung tidak gentar. Tidak juga bimbang.

Ketawa wanita itu membelah ruang. Sinis dan begitu munafik.
“Awak jangan ketawa kerana itu bermakna awak telah mempersendakan hukum ALLAH.”
Wanita itu segera bangun dan meninggalkan ruang tamu rumahnya. Dia menarik nafas lega. Namun, tidak lama air matanya mengalir akibat sungai rasanya yang pecah!
“Sampai hati dia buat aku macam ni. Inikah balasan untuk pengorbananku selama ini.” Lama dia teresak. Berhari-hari dia menangis. Namun, akhirnya dia sedar bahawa dia tidak boleh kalah dengan perasaan itu.
Dia harus terus bersemangat. Kalau bukan untuk dirinya, untuk Natasya. Anaknya tidak boleh membesar dengan semangatnya yang lemah.
“Abang dah kahwin kan? Sampai hati abang buat saya macam ni?”
“Jangan nak buat fitnah.”
“Saya tak buat fitnah. Bini abang tu dah datang ke sini. Siap suruh saya balik kampung. Siap hina saya. Apa ni bang?”
Lelaki yang bernama suami itu gugup. Dia langsung tidak berani mengangkat muka dan menjawab lagi. Terus terkunci mulutnya. Selepas seketika lelaki itu berkali-kali mengucap kata maaf. Semudah itu rupanya cinta bertukar arah.
“Abang janji akan berlaku adil. Abang janji tak akan abaikan awak dan Tasya.”
“Jangan berjanji bang. Abang tak akan mampu nak tunaikan janji itu. Dah banyak janji yang abang mungkiri,” katanya dengan tangis.


Apa lagi yang ada pada seorang wanita selain air mata. Tangisan itu kembar kepada seorang wanita.
Apa yang dijangka, itulah yang terjadi. Suami dan ayah itu tidak pulang menjalankan tanggungjawabnya. Hanya wang nafkah dihantar. Itupun tidak pernah cukup.  Ada sahaja alasannya untuk mengurangkan pemberian.
Dimadukan, masih mampu diterima. Mungkin itu takdir hidupnya. Di dunia ini wanita lebih ramai berbanding dengan lelaki. Yang tidak mampu diterimanya ialah dia tidak diperlakukan dengan adil.
“Saya tahu abang mampu untuk berkahwin lagi. Tapi, abang tak mampu nak adil. Abang abaikan kami. Tasya masih kecil untuk abang pisahkan dengan kasih abang,” katanya kepada lelaki itu pada satu hari.
Lelaki itu hanya terkelip-kelip. Tidak menjawab dan tidak juga menunggu lama.
“Sampai hati ayah buat ibu macam ni, Tasya,” rintihnya kepada anak yang baru berusia setahun itu. Anak itu belum memahami apa-apa. Lalu dia menarik tubuh anak itu dan memeluknya. Dia melepaskan semua sedih dan duka laranya kepada anak itu.
Sejak suaminya beristeri baru, dia semakin tidak dipedulikan. Dia semakin disisihkan. Dia terpaksa rela dan reda. Dia pasrah dan menyerah. Setiap malam dia mengadu pada ALLAH minta diberikan kekuatan.
Setahun dia melara dalam ketandusan cinta suami. Dalam masa setahun itu, dia seperti hidup di atas bara. Bukan sahaja panas dengan sikap suami, malah mendidih dengan sikap madu yang selalu mencari pasal.


Suami tidak pernah pedulikan perasaannya lagi. Tidak pulang mengikut giliran. Tidak akan menelefon kalau tidak ada yang penting. Kalaupun dia pulang, dia akan meletakkan keretanya jauh dan bersembunyi. Dia hidup dalam ketakutan.
Kartina memujuk hati supaya sentiasa sabar. Akhirnya dia menjadi semakin pasrah dan tidak pernah merungut atau melayan sedih yang melampau. Dia menerima semua pemberian dengan seadanya. Jika tidak balik, dia tidak akan mencarinya.
Namun, kesabarannya ada batas.
Berkali-kali dia dihina dan diserang oleh madunya, dia masih mampu bertahan dan tenang. Tetapi bila dia dihina oleh suaminya sendiri, hatinya menjadi luluh. Walaupun itu hanya perkara kecil, namun dia rasa amat terluka.
Hanya yang pernah merasai, akan faham kesakitan yang sedang ditanggungnya.
Ceritanya tidak habis begitu mudah. Pada suatu hari, suaminya pulang ke rumah membawa sebuah peti sejuk,  set meja makan dan sofa. Kononnya barang-barang itu dibeli di kedai barang-barang terpakai.
“Abang minta maaf kerana tak beli barang baru. Ini yang abang mampu. Abang tengok peti sejuk kita tu selalu rosak. Jadi, abang rasa nak tukar.”





Tiada ulasan:

Catat Ulasan