AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Monday, 23 May 2016

DIA, TIADA GANTINYA.




                Setiap pagi, baju yang tergantung di dinding bilik akan menjadi tatapan mataku.  Bau haruman tubuhnya begitu kuat menyinggah hidungku.  Haruman itu buat aku semakin rindu padanya, biarpun setahun sudah berlalu.  Dia pergi takkan kembali lagi, meninggalkan aku dan anak-anak buat selamanya.  Titisan manik jernih mengalir laju tanpa dipinta.  Sendu menyentap jiwa kesayuan yang tidak pernah luntur dari hatiku.  Dia tidak pernah hilang dari pandangan mata ini.  Suaranya bagaikan terngiang-ngiang bermain-main dan  menari-nari di cuping telinga ini.  Gelak ketawanya  masih jelas menjadi halwa telinga.  Dia terasa begitu dekat di hati ini. 
                Sesekali kata-kata kasarnya menyentap amarahku. Sesekali rajukku menerpa kerana dia tidak menunai permintaanku.  Kadangkala usikkannya membuatkan tawaku berdekah-dekah.  Kata-kata nasihatnya membuatkan aku menunduk malu.  Ah! semua itu tidak akan aku nikmati lagi.  Tidak lagi teman berbicara, tidak ada lagi teman berbual mesra.  Jauh sekali tempat untuk berkongsi duka.  Tiada lagi orang yang sudi mendengar bebelanku.  Tiada siapa yang sudi mendengar leteranku dengan sabar seperti dirinya.  Marahku disambut dengan senyuman mengusiknya.  Rajukku disambut dengan rajuknya juga.  Akhirnya aku mengalah jua.
                Aku sepi sendiri, tiada teman untuk berbicara.  Anak-anak sudah besar panjang, sudah ada aktiviti mereka sendiri.  Abang, kalaulah abang ada bersama, keluhku sendiri.  Semakin semarak rasa rindu yang bertandang. 40 tahun hidup bersama, suka dan duka kami harungi bersama, mana mungkin aku melupakan segalanya. Mana mungkin kenangan 40 tahun itu akan lenyap terus dari ingatanku.  Dia orang yang aku cintai sepenuh hati, sepenuh jiwa ragaku, tiada dua.  Dia ayah anak-anakku.  Di hadapan anak-anak aku berlagak kuat, aku berlagak mampu hidup sendiri tanpa dia.  Tetapi, jauh di sudut hatiku menangis pilu mengenangkan insan tersayang yang pergi meninggalkanku selamanya.
                Pakaian-pakaiannya masih kusimpan, tidak sampai hati membuangnya keluar, biarpun untuk diberi kepada orang lain.  Gambar-gambarnya masih tersimpan kemas di dalam kamar kami.  Tidak sanggupku berpisah daripadanya.  Biarlah ia di situ, kenangan itu terlalu indah untuku buang pergi.  Dialah imamku, syurgaku. Biarpun dia tidak sesempurna mana, namun  dia tetap istimewa di hatiku.
                Kekosongan tidak akan kuisi.  Aku suka hidup begini, bermain dengan kenangan itu sekali-sekala. Mengingatkan kenangan itu buat aku menghargai setiap inci kehidupan ini bersama orang-orang yang masih ada di sisiku.  Aku tidak mahu kehilangan itu nanti buat aku menyesal kerana tidak menghargai mereka ketika ada bersama.  Apa sahaja boleh berlaku.  Hargai setiap detik nafas ini.
                “Leya rindukan abang,” luahku pada gambarnya yang duduk  tersenyum di sebelahku.  Ah! terlalu pahit untuk aku telan. Kehilangannya benar-benar menguji kesabaran dan ketabahanku sebagai seorang isteri dan ibu.  Seminggu aku berkurung dalam bilik, menangis dan menangis.  Setiap kali teringatkannya, setiap kali itulah aku kalah melawan hawa nafsu sedihku, mudah sahaja air mataku mengalir. Mudah sahaja aku berasa pilu.   Gelora resah yang melanda, meragut rasa gembira di hati, kerinduan yang menyapa sesekali menghimpit sanubari, membawa gelombang kecewa yang tumbuh biarpun tidak kubaja setiap masa.  Aku tidak boleh kecewa, inilah ketentuan buatku dan buatnya.  Aku harus terima takdir ini dengan sepenuh hati.  Giliranku akan tiba juga. Sama sepertinya.

                “Malam ini, Leya dan anak-anak akan buat tahlil dan baca Yassin untuk abang, Kami tak pernah lupa mendoakan kesejahteraan abang di sana, hanya itulah bakti Leya pada abang,”  ceritaku, biarpun dia tidak lagi dapat berinteraksi denganku, itu tidak menjadi kudis padaku.  Cukuplah sekadar dia menjadi pendengar tanpa suara.  Bukan ketika hidupnya aku berbakti kepadanya, biarpun dia sudah tiada, aku masih berbakti dengan menyedekahkan al-Fatihah buatnya setiap kali  solat lima waktu.   Hanya itu yang dapat aku sumbangkan buat insan tersayang selain doa yang tidak putus-putus buat kesejahteraanya di sana.

                Dia tidaklah kacak sangat tetapi sempurna sebagai seorang lelaki, suami dan ketua keluarga.  Baik dan santun dengan anak-anak, jarang berkasar namun tegas.  Baik dengan jiran tetangga dan saudara mara.  Disenangi oleh kawan-kawannya.  Sewaktu hidupnya, dia menghabiskan masa berbakti di masjid usai  bekerja di pejabat kerajaan.  Aku kagumi kesungguhannya.  Aku tidak pernah melarang minatnya yang suka membantu menguruskan masjid berhampiran rumah kami.  Aku memahami minatnya.  Kuredha apa sahaja yang dilakukannya selama hidupnya.  Dia tidak pernah mengabaikan aku dan anak-anak, keperluan kami tertunai sepenuhnya.  Dia tidakan akan ada galang gantinya, biarpun pepatah berkata, yang hilang akan berganti.  Biarlah dia menjadi imanku di syurga juga. Itulah doaku setiap hari.  Aku mengesat air mata yang masih membasahi pipiku yang semakin direntap usia.  Tidak perlu kutegangkan apa yang sudah kendur. Biarlah.  Aku sudah cukup tua untuk berasa cantik dan lawa.  Cukuplah aku habiskan kecantikanku buat insan yang sentiasa bertahta di hatiku.
                “Mama, mama.”
                Suara anak anak perempuan sulongku menerbangkan semua kenanganku bersama dia.  Aku mengesat saki baki air mata yang masih bersisa di pipi.  Cepat-cepat aku melangkah keluar. 
                “Ada apa long?” tanyaku, air muka kuceriakan serta-merta. 
                Along menolak pintu bilik, dia menarik nafas seperti mencium sesuatu.
                “Ayah!” sepatah kata itu keluar dari bibirnya.
                “Along!”  Aku menerpa ke arahnya yang sudah terjelepuk di lantai. Menangis.  Ya Allah, adakah along juga merindui  ayahnya?
                “Bau ayah masih berlegar dalam bilik ini, mama tentu rindukan ayah, kan?” kata along, wajahnya bertukar riak sedih, memandangku dengan linangan air mata.
                Aku duduk mencangkung di hadapannya.
                “Siapa yang tidak rindu along.  40 tahun kami hidup bersama, mana mungkin mama lupakan ayah begitu sahaja,” luahku.
                “Bagaimana mama hadapi semua ini?  Kalau along, tak tahulah, mampukah along hadapi kehilangan suami along nanti,” ucap along dengan deraian air mata yang semakin mengalir laju. Lantas aku memeluknya erat.
                “Semua orang akan melaluinya along. Cepat atau lambat.  Semua ini takdir Ilahi, kita tak tahu bila waktunya akan tiba giliran kita.  Mama terpaksa redha dengan takdir ini, biarpun dengan hati yang berat,” ceritaku.
                Along memelukku erat, menangis dibahuku, seolah-olah dia yang kehilangan suami.
                “Along, mama, kenapa?” tanya menantuku, baharu keluar dari biliknya.  Wajahnya berkerut kehairanan.
                “Abang, maafkan along ya, along janji akan jadi seorang isteri yang baik buat abang,” kata along lalu berdiri memeluk erat suaminya.
                Menantu lelakiku merenungkU sambil mengangkat kening, seolah-olah bertanya sesuatu kepadaku.  Aku hanya melakarkan senyuman buatnya.
                Kehilangan buat aku menghargai sesuatu, kehilangan buat aku sedar, semua yang ada di hadapan aku adalah pinjaman  cuma.    Sama seperti anak-anakku juga.  Mereka juga perlu  bersedia menerima pemergiaanku juga. Seperti mana aku bersedia menerima pemergiaan suamiku buat selamanya.  Ajal maut ketentuan Ilahi, tidak tahu bila aku akan dijemput bertemu-NYA.

No comments:

Post a Comment