AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Thursday, 26 May 2016

PELAYARAN KASIH - BAB 4 - Nukilan Rohani Deraman



D
ebar di dada Kamaruzaman semakin tidak teratur. Dia meneliti wajah Ahmad Adham dan Kartina. Dia mencari kepastian yang benar. Jantungnya berdenyut-denyut.
“Kami tidak berbohong. Muhayat adalah darah daging awak. Saya berkahwin dengan Tina ketika Muhayat berusia enam bulan. Saya menjaganya seperti anak sendiri. Namun saya tak merampas dia dari awak. Muhayat tahu dia anak tiri saya. Saya selalu beritahu dia begitu. Sebab itu saya selalu berdoa kepada ALLAH agar saya diketemukan dengan awak. Saya nak serahkan Muhayat sebelum saya menutup mata,” kata Ahmad Adham, menjawab keraguan yang tergambar di wajah Kamaruzaman.
       “Ya ALLAH! Kenapa selama ini saya tak diberitahu? Tina, kenapa buat abang macam ni?” tanya Kamaruzaman berpaling kepada Kartina.

“Semasa Tina di hospital, Tina ada telefon abang beberapa kali. Namun sekali pun abang tak jawab. Tidak lama, ada seorang perempuan menjawab panggilan Tina. Tina sampaikan pesan suruh beritahu abang yang Tina dah selamat melahirkan seorang anak lelaki. Tina tunggu abang datang. Namun ...” Kartina sebak. Seperti baharu semalam peristiwa itu berlaku, walhal Muhayat sudah berusia 30 tahun sekarang.
Kamaruzaman menepuk dahi. Perempuan yang dikatakan oleh Kartina itu memang dia kenal. Sangat kenal zahir dan batin. Angkara wanita itulah semuanya berlaku. Namun tidak lama, Kamaruzaman mengeluh perlahan.
“Maafkanlah dia. Dia dah tak ada lagi di dunia ini,” kata Kamaruzaman separuh berbisik.
“Dia dah meninggal? Bila?” Kartina segera menoleh.
“Dah lama.”
Giliran Kartina pula tunduk diam. Dia membisikkan al-fatihah sebagai sedekah. Semua kejahatan wanita itu sudah lama dilupakannya. Dia tidak pernah meletakkan rasa dendam dan marah.

BALIK dari Ipoh, fikiran Kamaruzaman amat terganggu. Tidak tidak menjangka selama ini ada rahsia besar yang dia tidak tahu. Dia teringat akan semua kata-kata Ahmad Adham dan Kartina. Dia terbayang akan wajah Muhayat.
Walaupun dia tidak bertemu anaknya itu. Namun dia melihat gambar Muhayat yang berdiri segak dalam sebuah bingkai gambar yang cantik.
Kemudian ada sekeping gambar Muhayat diapit Ahmad Adham dan Kartina. Sangat mesra dan penuh kasih sayang.
“Muhayat ada di luar negeri. Bulan depan dia akan balik,” beritahu Ahmad Adham.
“Dia masih belajar?”
“Ya. Sambung belajar. Dia ambil jurusan ekonomi. Cita-citanya besar. Ingin meluaskan empayar perniagaan kami ke seluruh dunia. Dan pengajiannya dah tamat. Dia akan segera pulang dengan segulung ijazah,” jawab  Ahmad Adham.
Ketika itu dia melihat wajah Ahmad Adham dan Kartina dibuai bangga. Ketika menyebut nama anak itu, wajah mereka ceria.
“Dia tahu mengenai saya?” Kamaruzaman mencari kepastian. Walaupun memang dia sudah mendengarnya dari mulut Ahmad Adham.  
“Kami tak pernah mematikan watak seorang ayah kandung. Dia tahu dia bukan anak kandung saya, tapi kasih sayang kami tetap erat. Muhayat anak yang baik. Sebaik ibunya,” kata Ahmad Adham sambil menarik tangan Kartina. Tanpa silu, dia mengucupnya.
“Sebab itu kami berusaha cari abang. Kami nak dia kenal abang sebelum kami menutup mata. Kami tak nak terhutang apa-apa dengan dia,” celah Kartina pula.
“Cari abang?” Mata Kamaruzaman merenung Kartina. Sudah berpuluh tahun berpisah, baru hari ini dia tahu Kartina mencarinya.
“Kami bertanya ke sana sini. Pernah kami ke Johor, ke rumah lama kita. Namun tak ada yang tahu abang di mana. Kami juga ke pejabat abang. Tapi mereka kata abang dah berhenti kerja dan berpindah.”


Kamaruzaman mengeluh perlahan. Terlalu banyak yang berlaku dalam hidupnya selepas Kartina tiada. Keputusannya menceraikan Kartina telah menjadi petaka untuk dirinya. Dia hampir kehilangan pekerjaan. Dan dia hampir kehilangan hidupnya sendiri. Dia benar-benar tertekan dengan perangai dan sikap Naimah.
Kalau boleh dia tidak mahu mengingati lagi semua yang telah berlalu itu. Naimah  pun sudah tiada. Kenangan bersama wanita itu juga sudah lama berkubur. Malah dia jarang mengingati wanita itu lagi sehingga Kartina menyebutnya.
“Abah, kenapa ni? Kami tengok abah tak ceria sejak balik dari Ipoh. Apa sebenarnya yang berlaku di sana?” tegur Firdaus yang sering terdengar keluhan Kamaruzaman yang amat berat dan mendesah.
Firdaus anak Naimah. Firdaus bukan sahaja sebagai anak, malah seperti seorang kawan. Semua masalah akan diluahkan kepada Firdaus. Sejak kecil, anak itu memang amat mengerti.
“Kalau abah ada masalah, ceritakanlah dengan Fir. Mana tahu Fir dapat tolong.”
“Memang abah nak cerita. Memang abah nak kongsi. Tapi, abah tak tahu nak mulakan dari mana.”
“Abah mulakan dari awal. Fir tak kisah kalau terpaksa menunggu lama. Fir sedia mendengarnya.” Firdaus menggenggam tangan Kamaruzaman.
Dengan sedikit kekuatan yang ada, Kamaruzaman membetulkan duduknya. Hanya kepada Firdaus dia mampu bercerita akan kisah itu.
“Fir ingat pada cerita abah mengenai isteri pertama abah, Kartina?”


“Isteri abah sebelum mama? Kenapa dengan dia?” Mata Firdaus terbuka luas. Ada kecurigaan yang menusuk hatinya.
“Fir ingat pada orang yang kita jumpa di lapangan terbang tempoh hari?”
Firdaus mengangguk.
“Kalau Fir nak tahu, itulah orangnya.”
Firdaus mengangguk lagi. Dia langsung tidak terkejut. Sebaliknya dia termenung sejenak. Dia cuba memahami susur galur kejadian. Abahnya bertemu bekas isterinya di lapangan terbang. Kemudian abahnya dijemput ke Ipoh.
Kononnya ada urusan mustahak. Balik dari Ipoh, abahnya nampak begitu gusar dan murung. Asyik termenung dan mengeluh. Mesti ada yang tidak kena.
“Apa hal yang mustahak di Ipoh tu, abah?” Akhirnya Firdaus mula mengesyaki bahawa urusan itulah yang sedang mengganggu fikiran Kamaruzaman ketika itu.
Kamaruzaman tidak mahu berselindung apa-apa dengan Firdaus.
Lalu seperti air di sungai, dia menceritakan semua yang didengarnya mengenai Muhayat. Usai berkisah, kedua-duanya terdiam. Mereka seperti kehilangan ayat untuk bersambung kata.
Kamaruzaman  hanyut dengan rasa kesalnya.
Firdaus pula tenggelam dengan rasa pilunya. Dia membayangkan kalau dia menjadi Muhayat yang terpisah dari ayah kandung begitu lama. Setelah dewasa, baharu ALLAH pertemukan mereka. Alangkah sedihnya.




No comments:

Post a Comment