AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Wednesday, 4 May 2016

TENGGELAMNYA KAPAL VAN DER WIJCK



TENGGELAMNYA KAPAL VAN DER WIJCK
 PROF. DR. HAMKA
PUSTAKA DINI
2010 ( CETAKAN TERHAD)
347 muka surat

Anak dagang tetap dipandang anak dagang, biarpun sudah berkahwin dengan masyarakat setempat serta beranak pinak.  Pendekar Sutananak jati Minangkabau  dipenjara setelah dituduh mencederakan  Datuk Mantari Labih.    Setelah dibebaskan merantaulah dia membawa diri, hendak pulang ke kampung halaman tiada sesiapa di sana.  Hanya tinggal saudara mara, adat Minangkabau mementingkan saudara perempuan, sedangkan dia tiada saudara perempuan. Lalu membawa diri merantau mencari sesuap nasi.  Tempat dituju adalah Mengkasar.  Lantaran budi pekertinya yang baik akhirnya dia berumahtangga dengan Daeng Habibah, akhirnya memperolehi seorang anak lelaki bernama Zainuddin.   Daeng Habibah meninggal ketika Zainuddin masih kecil lagi, tidak berapa lama kemudian diikuti pula Pendekar Sutan, tinggallah Zainuddin dengan ibu asuhannya  bernama Mak Base.
Setelah meningkat dewasa, teringinlah hatinya merantau dan melihat kampung halaman asal arwah ayahnya. Di Mangkasar dia tetap dianggap orang luar, mungkinlah di Padang nanti, dia akan diterima dengan baik oleh saudara mara sebelah arwah ayahnya, itulah harapan Zainuddin, ingin mencuba nasib di nigari asal arwah ayahnya itu. 

Pemergiaannya dihantar dengan berat hati oleh Mak Base, demi memenuhi keinginan anak muda itu, dilepaskan juga Zainuddin pulang ke kampung halaman arwah ayahnya.  Di situlah kampungnya. 
Sampai sahaja di Padang, Zainuddin terus menuju ke Batipuh, di situlah kampung halaman tempat asal arwah ayahnya.Sampai sahaja di sana, terus dia memperkenalkan diri kepada saudara mara sebelah arwah ayahnya. Kehadirannya disambut dengan gembira oleh saudara mara yang ada, namun lama kelamaan, kehadirannya bagai tidak dihargai lagi kerana ibunya bukan orang Minang, darah yang mengalir bukan benar-benar darah Minang tetapi sebagai orang  Mangkasar.  Semakin lama semakin lain pandangan penduduk terhadap dirinya.  Itu benar-benar mengusarkan hati Zainuddin sehingga dia sering bersendirian mengenang nasib diri.   Di kampung arwah ibunya pun dia tidak diterima dengan baik hanya kerana arwah ayahnya bukan anal asal Bugis.  Serba salah hidupnya. Dalam fikirannya, kehadirannya di kampung halaman arwah ayah mampu memberi kebahagian  dalam hidupnya tetapi sebaliknya  yang berlaku. Bukan orang membenci tetapi tidak begitu menghargai kehadirannya sepenuhnya.  Dia seperti orang luar sahaja.
Pertemuan yang tidak disangka Zainuddin dengan  Hayati telah memberi sinar baharu dalam hidupnya.  Kepada gadis itulah dia melepaskan rasa lelah di hati, rasa sepi dan bersendirian di tanah air sendiri.  Pada mulanya mereka hanya berkawan biasa, tetapi lama kelamaan rasa kasih seorang sahabat bertukar rasa cinta seorang lelaki kepada seorang perempuan. 

Cinta mereka tidak direstui lantaran Zainuddin miskin dan bukan anak jati suku Minang biarpun arwah ayahnya orang asal Batipuh. Akhirnya Zainuddin dihalau keluar dari kampungnya.  Hayati yang pernah berjanji sehidup semati dengan Zainuddin akkhirnya terpaksa melepaskan cintanya terhadap Zainuddin dan berkahwin dengan orang lain.  Zainuddin benar-benar kecewa sehingga jatuh sakit.  Dengan nasihat Muluk yang telah menjadi kawan baiknya, akhirnya Zainuddin berubah. Dia memulakan langkah mengubah hidupnya.  Dia menggunakan bakat yang dianugerahkan  menjadi seorang penulis.  Segala rasa sedih dan duka di hati dicoretkan dalam karya-karyanya. Dengan bantuan Muluk, akhirnya dia berjaya menjadi seorang penulis terkenal.  Bermulalah kisah suka dan duka Zainuddin dan Hayati setelah mereka terpisah dan bertemu semula.  Kepada yang telah membacanya sudah pasti mengetahui jalan ceritanya.

Karya cinta biasa tetapi menjadi luar biasa kerana falsafah dan sindiran kepada budaya Minangkabau itu sendiri.  Itulah yang ingin disampaikan oleh Prof. Dr. Hamka.  Dalam hidup manusia, tiada perbezaan, di sisi Allah swt, setiap manusia itu sama sahaja.  Orang yang kaya juga mampu menjadi papa kedana jika hanya tahu menghabiskan dan tidak tahu mempertahankan. Orang yang susah boleh jadi senang jika rajin berusaha.  Cinta juga tidak semestinya memiliki. 
Karya yang hebat, sesiapa yang membacanya pasti mengalirkan air mata. Keteguhan cinta Zainuddin benar-benar mengusik hati, kesetiaannya sehingga ke akhir hayat.  Bukan itu yang kita sasarkan semata-mata membaca sesebuah karya, ada nilai yang ingin kita gali dan dijadikan panduan buat diri sendiri.  Jangan dibezakan siapa kita, asal usul dan keturunan. Islam tidak pernah ada perbezaan, selagi mengucapkan kalimah syahadah, kita sama sahaja di sisi-NYA. 
Gaya bahasa  Melayu Tinggi dan kadang-kadang agak klasik,  namun masih boleh difahami oleh para pembaca.  Turut dimasukkan penulisan surat sebagai salah satu gaya penulisan terdapat dalam karya ini.  Latar tempat yang mampu membuatkan kita membayangkan keadaan di Padang, Batipuh, dan Mangkasar, lebih-lebih lagi ada yang sudah menonton filemnya.  Watak-watak yang dipaparkan juga meyakinkan dan kuat dalam menggerakkan cerita. Karya yang tidak pernah menghampakan daripada seorang  karyawan hebat.  Jika tidak, takkan karya ini bertahan sehingga ke hari ini, dan terus dicari oleh para pembaca.

2 comments:

  1. Sebuah novel yang berada di tahapnya yang tersendiri. Saya tak pernah baca lagi novel ni...

    ReplyDelete