INTAN DELAILA-SITI ROZILAH
BAB 5
INTAN DELAILA menggantung kemas baju-baju kurung dan kebaya labuhnya di
dalam almari. Walaupun dia tahu yang dia tak patut melakukan sedemikian
sebelum teman sebiliknya tiba tapi dia tak suka membuang masa. Dia akan
memohon maaf kepada teman sebiliknya itu nanti dan berdoa di dalam hati
agar mereka tak akan bergaduh disebabkan dia telah terlebih dahulu
memilih katil, meja bacaan dan almarinya. Sebenarnya, tiada apa yang
perlu digaduh atau direbutkan kerana segala-galanya serupa. Hanya dia
memilih sudut kanan bilik sementara temannya itu nanti akan menghuni di
sudut kiri bilik tersebut.
Ayahnya telah lama pulang. Malah mereka sempat mengalas perut bersama-sama di gerai yang berhampiran.
“Ayah harap kau belajar dengan tekun di sini nanti. Kalau ibu kau masih
hidup tentu dialah orang yang paling gembira hari ni kerana anak gadis
kesayangannya berjaya menjejakkan kaki ke menara gading.” Kata-kata
ayahnya hinggap semula ke pantai kenangan Intan Delaila.
Dia hanya
mampu mengangguk. Itulah azamnya sebelum melangkah keluar dari rumah
mereka awal pagi tadi. Dia mahu berjaya dalam pelajarannya, kerana ibu
amat mementingkan pendidikannya selama ini. Pesanan ibu, manusia tak
akan melarat selagi ilmu pengetahuan melekap di dada, amat diingati
olehnya.
Ibunya amat cintakan ilmu pengetahuan. Mungkin sebab itulah
dia memilih kerjaya sebagai pendidik kerana mahu mendidik anak
bangsanya agar menjadi insan yang berguna kepada bangsa dan negara suatu
hari nanti.
Setelah selesai mengatur pakaiannya di dalam almari
kayu, dia terduduk kepenatan di katilnya. Berkeriut katil besi
bertilamkan getah itu menampung berat badannya. Dia menoleh jam digital
yang diletakkan di atas meja belajarnya. Waktu menunjukkan tepat ke
pukul sebelas setengah tengah hari, namun bayang teman sebiliknya masih
juga belum kelihatan.
Siapakah yang bakal berkongsi bilik dengannya
nanti? Bagaimanakah wajah dan sikapnya? Bolehkah mereka menyesuaikan
diri bersama?
Dia berdoa di dalam hati agar dia dapat menyesuaikan
diri dengan teman sebiliknya, walau siapapun dia. Susahlah kalau
terpaksa berkongsi bilik dengan orang yang tak sebulu dengan kita. Tak
sebulu saja tak mengapa, tapi jangan sampai muncul perasaan benci
membenci di antara satu sama lain.
Sebelum pulang tadi, ayahnya sempat menasihatinya agar berbaik-baik dengan teman sebiliknya itu kelak.
CAMELIA sedar sejak tadi mata Irfan asyik mencuri pandang ke arahnya.
Dan sesekali tatkala mata mereka berlaga, pemuda itu akan tersenyum
manis padanya.
Eleh, kalau setakat mamat gondrong ni, boleh jalanlah, desis hatinya sambil segera membalas senyuman Irfan itu.
Ketika itu mereka berlima sedang mengisi perut di gerai berhampiran
dengan padang yang menghijau. Beg baju dan barang-barang peribadi
Camelia ditinggalkan di bilik bacaan.
Abangnya, Zukry, melantak
mengikut sesedap rasa. Lapar, katanya. Camelia pun lapar dan dahaga juga
tapi oleh kerana Irfan berada di hadapannya, dia cuba sedaya upaya
untuk menjaga kelakuannya.
Lagipun gadis yang berbaju kurung merah
bata dan berbunga tabur diwajibkan untuk bersopan santun sepanjang masa.
Lainlah kalau gadis itu hanya berkemeja T dan berseluar jeans, bolehlah
mengikut jejak abangnya melantak sesedap rasa!
Ai, maintain... maintain!
“La, tak luak pun nasi goreng tu, Mel? Apehal bersopan santun sangat hari ni, yerk?”
Isy, Si Cipan ni... rasa nak tonyoh-tonyoh mulutnya dengan garfu ni, desis hati Camelia.
Dia melirik ke arah Irfan. Dan pemuda itu mengambil kesempatan untuk memandang tepat ke matanya.
Isy, maintain... maintain jelita!
“Takkan sebab pakai baju kurung macam ni, terus jadi gadis sopan kut?” usik Zukry lagi membuatkan Camelia menggetap bibirnya.
“Abang, jaga mulut tu sikit boleh tak?” jerkahnya.
Zukry terkekeh-kekeh kerana berjaya mengenakan Camelia. Zarinna dan
Syed Zahari berpandangan sesama sendiri sambil menggeleng-gelengkan
kepala mereka.
“Tak habis-habislah korang berdua ni! Asyik bercekau aje.” Tegur Zarinna.
“Cepatlah sikit makan tu, Mel. Kita nak angkat barang ke bilik Mel ni.”
Isy, mama ni tak fahamlah, Mel kena bersopan, suap nasi pun
perlahan-lahan sebab Mel pakai baju Kebangsaan kebanggaan mama.
Sesiapapun yang memakai baju kurung seperti yang sedang tersarung di
tubuh Mel ni, harus bersopan santun dalam segala segi, gerutu hatinya.
Lagipun pemuda di depan ni... alahai...
Dan mata Camelia serta Irfan bertaut lagi!
“Err... Mel dah kenyanglah, ma!” sahutnya pantas sambil mencapai gelas
berisi air tembikai. Disedutnya laju-laju sehingga habis.
“Okey,
papa nak pergi bayar harga makanan ni. Mama boleh bawa budak-budak ni
angkut beg-beg Mel tu naik ke atas.” Kata Syed Zahari.
Zarinna
mengangguk lalu segera mengerah anak-anak agar bangkit. Mereka berempat
termasuklah Irfan melangkah pantas menuju ke bilik bacaan untuk
mendapatkan barang-barang Camelia yang diletakkan di situ tadi.
Camelia hendak mencapai beg birunya tetapi jari-jemarinya bersentuhan
dengan jari-jemari Irfan yang turut mahu mencapai beg sama.
“Err...
biar saya aje angkat beg ni. Berat nampaknya ni. Awak angkatlah yang
ringan-ringan tu ya.” Kata Irfan. Camelia kehilangan kata-kata. Dia
segera mengalihkan tangannya.
“Suka hati awaklah!” desis Camelia.
Mereka berempat mendaki ke tingkat tiga. Dada anak gadis itu sedikit
berdebar apabila mendapati sepasang kasut telah berada di luar pintu
bilik. Ini bermakna teman sebiliknya telahpun mendahuluinya.
“Ketuk pintu dulu, Mel!” tingkah Zarinna.
Camelia mengetuk daun pintu. Mereka menunggu beberapa ketika sebelum pintu terkuak dan seorang gadis berkurung biru tercongol.
“Hai, saya Camelia, teman sebilik awak.” Dia memperkenalkan dirinya.
Si gadis berkurung biru tersenyum manis.
“Saya Delaila. Silakan masuk.” Kata Intan Delaila.
“Maaflah sebab saya dah cop katil, almari dan meja bacaan ni. Saya harap awak tak marah.”
Camelia tersenyum. Dia melabuhkan punggungnya di atas tilam yang masih
belum bercadar. Abangnya dan Irfan menunggu di koridor, tak berani masuk
ke dalam bilik anak dara.
“Saya tak kisah. By the way, awak boleh panggil saya Mel aje.” Katanya.
Intan Delaila tersenyum. Walaupun gadis yang menjadi teman sebiliknya
itu kelihatan seperti anak gadis kota, tapi keramahan Camelia membuatkan
dia berasa tak sukar untuk mereka menyesuaikan diri bersama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan