Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Selasa, 1 Oktober 2013

INTAN DELAILA - SITI ROZILAH

BAB 6


IMAN DANIEL mencampakkan baju-bajunya ke dalam almari. Lantaklah kalau hendak menimbun macam bukit, desis hatinya. Seumur hidup dia tak pernah menguruskan hal-hal sebegitu. Terkecuali hari itu, sejak dia dilahirkan ke dunia, semuanya diuruskan oleh orang gaji hatta melipat seluar dalamnya sekalipun!
“Ronyoklah baju-baju tu kau buat macam tu.” Tegur satu suara.
Iman Daniel menoleh ke arah teman sebiliknya yang telahpun siap mengemas segala barang-barang peribadinya.
“Gantunglah separuh baju-baju kau tu.” Nasihat Muzammil.
“Aku taulah!” tingkah Iman Daniel sambil meneruskan kerja melemparkan pakaian ke dalam perut almari.
Muzammil tak terkata. Dia hanya duduk memandang teman baru yang kebetulan mengambil bidang dan jurusan yang sama dengannya itu. Selepas selesai aktiviti melontar baju ke dalam almari, Iman Daniel terduduk di atas kerusi; seolah-olah melempar baju ke dalam almari adalah aktiviti yang paling memenatkan di muka bumi ini.
Muzammil tergelak kecil melihat kelakuan teman barunya itu.
“Kat rumah kau tak pernah buat kerja macam ni, ke?” soalnya.
“Nak buat apa? Ni kan kerja orang perempuan!” sahut Iman Daniel pantas. Mummynya juga seorang perempuan tapi dia tak pernah melihat mummy membasuh, menyidai ataupun melipat pakaian. Semuanya dilakukan oleh orang gaji mereka.
“Kau ni anak orang kaya ya?” soal Muzammil sambil membayangkan karakter anak-anak orang berada yang selalu ditontonnya dalam drama Melayu. Manja, sombong dan berlagak!
Tapi menurut pandangannya, teman sebiliknya yang satu itu bukanlah tergolong dalam ketegori orang yang sombong. Malah Iman Daniel terlebih dahulu menghulurkan tangan ke arahnya ketika dia masuk ke bilik itu pagi tadi.
Iman Daniel tergelak kecil. Soalan Muzammil itu dibiarkan tanpa jawapan.
“Mil, kau pandai pasang cadar ni tak?” soalnya sambil menghulurkan kain cadar berwarna hijau berbunga kuning ke arah jejaka itu.
Muzammil kerut kening. Kemudian geleng kepala.
“Pasang cadar pun kau tak tahu?” dengusnya.
“Tak tahu ke, malas! Hey, bak sini cadar tu, aku pasangkan.”
Iman Daniel ketawa senang setelah kain cadar berbunga kuning berpindah tangan. Isy... seumur hidupnya, tak pernah dia mengemaskan katilnya setiap awal pagi. Mummynya juga tak pernah mengemaskan cadar sebaik saja bangun tidur. Semuanya diuruskan oleh orang gaji.
Setelah tilam siap disarungkan cadar, Iman Daniel terus melompat dan berbaring di atasnya. Fikirannya melayang ke dewan pendaftaran pelajar baru pagi tadi, kepada barisan yang panjang dan hinggap ke arah wajah bujur sirih yang kelihatan cukup ayu di sebalik kurung biru.
Intan Delaila... cukup manis nama itu, desis hatinya. Semanis pemilik wajahnya. Alamak! Terlupa pulak nak minta nombor telefon bimbit si dia. Harap-harap adalah kesempatan untuk bertemu semula dengannya, hati anak muda itu mengharap.
“Oi! Berangan ke?” sergah Muzammil sambil membaling sebiji bantal yang telah siap disarung, ke arah Iman Daniel yang terkebil-kebil memandang siling bercat putih.
“Apalah engkau ni, Mil!” desisnya.
Muzammil menghempaskan punggungnya di sisi pemuda itu.
“Cakaplah dengan aku, siapa minah yang sedang kau angankan tu?”
Iman Daniel ketawa kecil. Soalan teman sebiliknya dibiarkan tanpa jawapan.

CAMELIA duduk di kerusi, hanya memandang ke arah Zarinna dan Intan Delaila yang sibuk mengatur kemas baju-bajunya di dalam almari serta menyarungkan sarung bantal dan cadar ke tilam. Gelagatnya ketika itu bagaikan mem besar.
Sesekali Zarinna menjeling ke arah anak gadisnya. Dia berharap agar Camelia dapat menyesuaikan diri kerana terpaksa tinggal berdikari di kolej itu kelak. Salahnya juga kerana selama ini dia terlalu memanja dan memuakan anak gadisnya itu. Seumur hidupnya, Camelia tak pernah disuruh melakukan kerja-kerja ringan di rumah hatta mengemas bilik tidurnya sekalipun. Semuanya diuruskan oleh pembantu rumah.
Di sini nanti, hendak tak hendak, Camelia terpaksa belajar berdikari.
“Jangan lupa suruh abang belikan barang-barang keperluan Mel di kedai nanti.” Pesan Zarinna ke arah anak gadisnya.
“Kalau setakat nak beli baldi, sabun mandi atau berus gigi, kat koperasi kolej pun ada jual benda-benda tu, mak cik.” Sampuk Intan Delaila.
Camelia diam. Dia kehangatan. Kipas angin yang berpusing ligat di pundak kepalanya juga gagal menghalau bahang panas daripada menyapa tubuhnya. Semuanya gara-gara baju kurung yang tersarung di badan. Walaupun kainnya daripada jenis sutera Korea yang bukan puluhan ringgit harganya, tapi kalau dah dasar berbaju kurung memanglah begitu keadaannya. Melemaskan!
Dicapainya botol air mineral lalu digogoknya rakus.
Zarinna memandang kelakuan anak gadisnya itu dengan hati yang kurang senang. Kemudian dia menoleh ke arah teman sebilik Camelia yang kelihatan penuh dengan kesantunan seorang gadis Melayu.
“Emak dan ayah Delaila tak datang ke?” Zarinna menyoal.
“Ayah dah balik, mak cik.”
Zarinna mengangguk.
“Emak?”
“Err... emak saya dah meninggal dunia.”
“Oh... maafkan mak cik, Delaila. Mak cik tak tahu.”
Intan Delaila tersenyum nipis.
“Tak apalah, mak cik. Saya tak kisah.” Sahut Intan Delaila. Dia kelihatan tenang sehinggakan Zarinna jadi kagum memandangnya.
Camelia menoleh sekilas ke arah teman sebiliknya itu. Entah apa yang berlegar di mindanya ketika itu, tiada siapapun yang tahu.
“Bila dah tinggal sebilik ni, pandai-pandailah bawa diri ya. Mak cik mintak tolong pada Delaila supaya tengok-tengokkan anak mak cik ni. Kalau ada masalah atau perselisihan faham, selesaikan secara baik. Jangan bergaduh pulak... ingat tu, Mel!” Tukas Zarinna sambil mencapai tas tangannya.
“Sapa pulak yang nak bergaduh ni, mama?” sahut Camelia dengan wajah cemberut.
Zarinna tersengih. Dia tahu sikap anak manjanya itu yang mudah tersinggung, amat sensitif dan kadangkala mempunyai sikap degil dan keras kepala yang agak sukar dikawal.
“Okeylah, mama balik dulu ya, Mel. Mak cik balik dulu, Delaila. Ingat pesan mak cik ya, tolong perhatikan Si Mel ni.” Ujar Zarinna.
Intan Delaila tersenyum dan angguk. Dia menghulurkan tangannya untuk bersalam dengan Zarinna. Di muka pintu, Camelia menyalami dan mencium tangan mamanya. Kedua beranak itu berpelukan seketika dan Camelia sempat mencium pipi mamanya, kiri dan kanan.
“Pukul berapa nak pergi kedai?” soal Zukry ketika Camelia keluar mendapatkannya yang sedang berdiri di koridor.
“Buat apa gi kedai?”
“Eh, kata nak beli baldi?”
“Tak yah... Delaila kata, kat koperasi bawah ni pun ada jual baldi.” Kata Camelia.
Zukry memandang ke arah Intan Delaila yang sedang berdiri di sebelah mamanya. Mereka berbalas senyum.
“Tugas awak temankan adik saya ke koperasi tu, okey!” getus Zukry.
Intan Delaila ketawa kecil.
“No hal! Kalau setakat temankan Mel ke koperasi, small matterlah tu!”
Mereka berbalas tawa.
“Okey, dahlah tu! Jom kita turun.” Tingkah Zarinna pantas.
“Bye, mama, abang... and bye to you too, handsome!” selamba Camelia berkata ke arah Irfan yang asyik merenungnya.
Isy, si mamat ni... kenapalah asyik tenung-tenung aku macam ular sawa nak telan kambing, desis hatinya sambil melebarkan senyumnya ke arah anak muda itu.
“Ooonk, oonk! Rebeb... rebeb!” Zukry mengusik sambil menyenggol lengannya ke arah Irfan di sisi.
Intan Delaila ketawa kecil melihatkan kemesraan kedua beradik itu, yang saling usik-mengusik antara satu sama lain.

“MACAM MANA anak manja awak tu, ma?” soal Syed Zahari sewaktu kereta mereka menyusuri lereng bukit untuk turun dari kawasan kampus yang luas tersebut. Hati papa mana yang tak risau jika terpaksa meninggalkan anak remaja yang manja seperti Camelia ke dunia yang luas untuk berdikari?
Camelia amat manja. Sebagai satu-satunya anak perempuan di dalam keluarga kecil mereka, segala kehendak anak gadis itu akan ditunaikan. Dia tak pernah dikerah membuat sebarang kerja di rumah. Semua keperluan untuknya telah tersedia atau disediakan oleh orang gaji. Mampukah Camelia berdikari kelak, hatinya tertanya-tanya.
“Kita sama-samalah berdoa agar dia dapat menyesuaikan dirinya dengan suasana kampus, pa. Tapi saya ni sebenarnya risau...”
“Tulah, dulu lagi saya dah ingatkan awak agar jangan manjakan sangat Mel tu, ma. Tapi silap saya juga agaknya kerana tak bertegas dengannya.” Keluh Syed Zahari yang memandu.
“Bagaimana dengan roommate dia?”
“Intan Delaila? Baik budaknya, pa. Dialah yang sibuk-sibuk tolong saya kemaskan beg baju anak kita tu... sedangkan Camelia, hemmph, macam mem besar! Tengok aje orang kemaskan baju dan katil dia!” adu Zarinna.
Syed Zahari ketawa.
“Sabar ajelah, ma. Ni laluan pertama dia untuk belajar berdikari. Bila dan duduk sendirian kat sana nanti taulah dia bawa diri.”
“Saya pun harap macam tu juga, pa. Eh, malam ni jadi tak bawa saya keluar makan kat hotel?” soal Zarinna sambil melirikkan senyuman ke arah suaminya.
Syed Zahari ketawa. Hai, setelah kedua-dua orang anak mereka dilonggokkan di kampus, seluruh isi rumah menjadi milik mereka berdua. Terasa macam baru berkahwin pulak, desis hatinya sambil mencapai dan menggengam erat tangan isterinya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan