Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Rabu, 16 Oktober 2013

DIA YANG MENGERTI



TAJUK                                 DIA YANG MENGERTI (ISBN 978-983-124-883-6)
PENULIS                             AZILAH WAHAB
PENERBIT                          ALAF 21 (GRUP BUKU KARANGKRAF –GBK)
TERBITAN                          OKTOBER 2013
MUKA SURAT                    546 ms
HARGA                                RM22.00

                Suriyana seorang wanita yang cantik dan pandai bergaya.  Berkahwin dengan Osman seorang ahli perniagaan.  Kehidupan mereka  berdua bahagia sehingga memperolehi  sepasang cahaya mata.   Osman  sibuk sentiasa sehingga masa dan ruang waktu bersama keluarga semakin kurang.  Pada mulanya Suriyana tidak kisah, lama kelamaan timbul perasaan bosan dan mula syak yang bukan-bukan.  Dia mula syak suaminya ada perempuan lain.   Setiap minggu  Osman pasti akan keluar daerah dan meninggalkan Suriyana sendirian menguruskan rumah dan anak-anak.  Suriyana merasa terpinggir.  Dalam waktu yang sama Suriyana tidak menyangka akan mengandung lagi.  Dia merasa berat hati untuk menerima kehadiran anak lagi.  Kalau boleh dia tidak mahu  anak tersebut.  Anak yang ada pun dia merasa tidak berdaya menguruskannya.    Dia tidak bersedia menerima kehadiran seorang lagi anak. Keadaan yang teruk waktu mengandung, ditambah tekanan perasaan terpaksa menguruskan rumah dan anak-anak menambah beban di hatinya.
                Berbagai cara dia lakukan namun kandungan itu tetap tidak gugur,  mahu atau tidak terpaksalah dia melahirkan juga kandungan tersebut.  Bayi itu dilahirkan di rumah.  Lantaran tidak sempat hendak ke hospital.  Kehadirannya tidak disukai.  Ditambah dengan kata-kata Mak Bidan Sauyah bahawa anak itu membawa sial.  Suriyana yang semenangnya tidak suka dengan kehadiran  bayi tersebut terus menerima bulat-bulat apa  yang diberitahu oleh  bidan yang menyambut kelahiran anaknya.  Ditambah konon kelahiran di bulan   Safar dikatakan membawa sial.  Suriyana amat menpercayai kata-kata Mak Bidan Sauyah.  Apatah lagi berbagai perkara buruk terjadi selepas sahaja  kelahiran Wardina Amni.  Suriyana amat benci dengan anak bongsunya itu. 
                Wardina Amni, anak bongsu Osman dan Suriyana.  Kehadiran yang tidak diingini dan dianggap pembawa sial membuatkan dia dilayan buruk oleh ibu kandungnya sendiri.    Hidupnya di rumah itu bagaikan anak tiri, dihina, diherdik dan dipukul hampir setiap hari.  Dilayan bagaikan hamba abdi tiada langsung rasa belas ehsan di hati.  Pada ayahnya Wardina Amni bermanja dan merasa disayangi.  Begitu juga dengan sikap abang dan kakaknya berubah sama sekali apabil sahaja ayahnya meninggal dunia.  Dia dituduh sebagai pembunuh dan penyebab kematian Osman.  Anak yang tidak berdosa itu terus dinafikan haknya.    Di rumah sendiri dia dijadikan pembantu rumah oleh ibu kandung sendiri. Nyaris menjadi mangsa perkosaan abang kandung sendiri.  Kebencian  Suriyana terhadap Wardina Amni tidak pernah surut.  Semakin lama semakin dia membenci anaknya itu.  Tiada langsung sekumit perasaan kasih dan sayang, yang bersarang di dada hanyalah perasaan benci yang berapi-api.  Apa sahaja yang menimpa hidupnya sekeluarga semua kesalahan diletakkan di bahu Wardina Amni.
                Bagaimana kehidupan Wardina Amni selepas kematian ayahnya?  Apakah ada kebahagian yang menunggu Wardina Amni di luar sana?  Mahukah Suriyana mengakui Wardina Amni sebagai anak kandungnya?   Kenapa Suriyana curang pada Osman?  Dapatkah Osman menghidu kecurangan isterinya itu.  Masihkan bersisa rasa kasih dan sayang Osman pada Suriyana?  Kenapa Faizul Ikhwan dan Mardiah Amna di penjara? Kenapa Suriyana  membenci ibu mentuanya Juriah?  Siapa Hafiz dalam hidup Wardiah Amni dan apakah kehadiran Amir Haziq memberi kebahagian dalam hidup Wardina Amni?  Benarkah Wardina Amni pembawa malang dan sial dalam hidup orang lain?
                Banyak soalan yang tidak mampu dijawab.  Saya meminat karya Azilah Wahab sejak membaca karya beliau sebelum ini iaitu KAU CIPTA KASIH  dan UNTUK SEKALI LAGI. Karya yang tidak menghampakan.  Membuatkan mata yang mengantuk terasa segar.  Garapan cerita yang baik.  Plot berjalan lancar dan mudah difahami.  Gaya bahasa yang bersahaja.   Tahniah penulis.  Karya yang bagus dan tidak mengecewakan. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan