Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Ahad, 1 Oktober 2017

ADUHAI ISTERI - KISAH 4



Dia sudah siap berpakaian.  Bukan main lagi cantiknya dia berhias.  Lebih cantik daripada biasa.  Terbit rasa cemburu di hati.  Keterujaan di wajahnya buat hatiku berasa kesal pula membenarkan dia ke pertemuan semula sekolahnya.  Alahai, cemburukah aku? Dalam fikiran bermain seribu satu anggapan yang bukan-bukan.  Isteriku akan bertemu kekasih pertamanya. Isteriku akan bertemu dengan cinta monyetnya.  Mungkinkah isteriku akan terpikat kembali  dengan  lelaki itu?  Pelbagai persoalan sedang merasuk di fikiran.  Syaitan pula semakin galak menyucuk dan memujuk.       
            “Kalau ayang tak pergi, tak bolehkah?” tanyaku, perlahan sekali nada suaraku.      
            “Kenapa?  Bukan selalu, kami sudah lama tidak bertemu bang.  Takkan tak boleh?”  Liya memandangku.           
            “Yalah, abang tak ada, nanti ayang buat yang bukan-bukan pula, maklumlah sudah jumpa kawan lama,” kataku. Aku memandang ke arah lain. Tidak sanggup bertentang mata dengannya. 
            “Jangan macam ini, bang.  Liya teringin sangat bertemu teman-teman sekolah Liya.  Kebanyakan  mereka tidak tinggal di KL.  Bolehlah bang,” rayu Liya.
            Aku mengeluh.  Berat hatiku tiba-tiba.  Perasaan cemburu meneroka seluruh hatiku.  Ya ALLAH! Ya ALLAH! Apa yang  harus  aku lakukan? Betulkah tindakanku ini?  Berjumpa rakan lama, dalam kepala mesti terbayangkan zaman sewaktu mereka bersekolah dahulu. Pergaulan lelaki dan  perempuan tanpa batasan, aku tidak suka. Bukan itu caraku. 
            Isteriku datang mendekati. Memeluk lenganku manja.  Wajahnya berkerut dan keruh.  Dia sudah berhias cantik, semakin kuat rasa cemburu di hati. Bagaimana jika ada rakan sekolah isteri berstatus duda, atau bekas teman lelaki isteriku merayu kembali.  Tidak mustahil itu berlaku.  Aku  tidak mahu menempah neraka, jika isteriku berlaku curang di belakangku. 
            “Kasihanlah Aiman.  Dia mana pernah berpisah dengan Liya.”  Anakku jadikan alasan.  Ah! Kejamnya aku. 
            “Liya sudah bayar duit untuk turut serta. Kawan-kawan dan sahabat Liya sudah tahu akan kehadiran Liya.  Hari ini Liya akan ke sana dengan harapan untuk menyambung silaturahim.  Bukan menyambung kasih yang telah lama Liya lupakan.  Abang jangan fikir yang bukan-bukan?  Kalaulah terbit rasa cemburu di hati abang, Liya kesal.  Liya tidak ada niat lain. Liya ingin bertemu hanya untuk bertanya khabar, tidak lebih daripada itu,” rintih Liya.
            Aku terkedu mendengar kata-katanya.  Adakah aku terlalu kejam? Sedangkan seawalnya aku sendiri yang membenarkan.  Kejamkah aku? Cemburu yang tidak bertempat dan tidak kena dengan waktunya.  Aku tidak berkenan kerana pertemuan yang diadakan tidak membenarkan membawa pasangan, kenapa?  Kenapa tidak boleh berkenalan dengan pasangan rakan dan kawan-kawan kita itu?  Adakah pertemuan semula rakan sekolah hanya untuk berjumpa semula rakan-rakan sekolah sahaja?  Bukankah lebih manis jika pasangan, anaka-anak ikut sekali. Itu baru betul, dan silaturahmi pun boleh dipanjangkan.
            “Liya.” Aku mati kata-kata ketika melihat titisan manik jernih di pipinya.  Dia duduk di birai katil.  Menangis? Ya, dia menangis.  Aku semakin serba salah.  Bahunya terhenjut-henjut menahan tangis. Ya ALLAH! Apa yang telah aku lakukan?
            “Abang tidak yakin dengan cinta abang pada Liya, abang was-was. Abang juga tak yakin dengan diri sendiri. Liya bukan manusia yang tidak ada agama. Liya tahu batas-batas pergaulan sebagai seorang isteri.  Liya tahu dosa pahala, halal dan haram.  Jangan samalah Liya dengan orang lain.  Liya sudah abang kahwini sekian lama, kita kenal sejak di universiti lagi. Kenapa baru sekarang ada rasa tidak percaya di hati abang?  Kenapa baru sekarang?”  Air matanya mengalir laju membasahi wajahnya yang telah siap disolek.
            “Liya.”  Aku terkedu mendengar kata-katanya.  Benar katanya.  Kenapa aku tidak yakin dengan cinta dan diriku sendiri?  Aku telah didiknya dengan baik. Dia seorang isteri yang baik dan taat. Tidak pernah melawanku. Tidak pernah membantah segala kemahuanku.  Semuanya dituruti dengan baik dan senyuman yang sentiasa menghiasi bibirnya.  Perlahan-lahan aku mendekatinya.  Mengelap pipinya yang dibasahi air mata.  Aku menarik nafas panjang.  Seharusnya aku menanamkan rasa kepercayaan yang tinggi terhadapnya.  Sudahlah aku tidak membenarkan dia bekerja. Seharian masanya dihabiskan di rumah.  Menunggu kepulanganku dari tempat kerja dengan penuh setia.  Masanya di habiskan dengan surirumah tangga yang lain, siapa lagi kalau bukan jiran tetangga kami. 
            “Maafkan abang,” kataku, ingin memujuk. Berasa bersalah dengannya.  Salahku juga, memikirkan yang bukan-bukan, membayangkan dan berprasangka yang tidak sepatutnya ada dalam diri seorang suami.  Sepatutnya aku mengenali dia sepenuhnya.  Sudah lama kami saling mengenali, sudahku tahu hati budinya.  Sudahku fahami caranya.  Ya ALLAH! Ya ALLAH! Janganlah aku menjadi suami yang hanya mementingkan diri sendiri.
            “Liya faham perasaan abang.  Liya takkan menduakan abang, atau berlaku curang.  Tuduhan yang bermain di fikiran abang langsung tak berasas. Jangan terjebak dengan permainan syaitan, bang!”  kata Liya.
            Aku menunduk seketika. Betul.  Aku tidak boleh berfikir yang bukan-bukan.  Aku perlu yakin dengan kesetiaan isteriku sendiri. 
            “Jom abang hantar Liya,” pelawaku.
            Senyuman terukir di bibir.  Dia menghulurkan tangan dan mencium tanganku. 
            Aku mengusap lembut kepalanya.  Selesai sudah walang di hatiku. Aduhai isteri, keranamu sayang, abang sanggup buat apa sahaja, detik hati kecilku.

Tiada ulasan:

Catat Komen