Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Jumaat, 11 Januari 2019

NERACA NISA' - BAB 2




Betapa gementarnya dia! Bagaimana mungkin sejarah berulang kembali dalam hidupnya, apatah lagi untuk menerimanya? Rintih Munirah yang berusia awal 30-an, dibalut kerusuhan. Terasa amat betapa awan hitam kembali menyelubungi hatinya, gelap-gelita merentap kembali rasa kecewa yang selama ini berkubur jauh di sanubari. Tiada suara yang mampu diluahkan untuk memperdengarkan rintihan jiwanya. Tidak pernah sekurang-kurangnya dalam kes ini.
            “Ini fitnah, Mun. Ini fitnah!” rintih Nisa’ lewat panggilan telefon pada waktu petang ketika dia duduk memikirkan nasib Harris usai solat Asar.
            ‘Profesional, Munirah, profesional!’ Bentak Munirah, sepupu kepada Harris, sebelah ayah, sambil mematikan enjin kereta di hadapan laman Rumah Kebajikan Permai. Lambat-lambat dia mematikan enjin kereta dengan hati yang bagaikan seberat Gunung Tahan yang diletakkan di bahunya, mengitari pandangan di sekitar rumah kebajikan. Kawasan yang tenang dan mendamaikan. Bersih dan indah, angin sepoi-sepoi bahasa seperti meraikan kehadirannya. Perasaannya diulit pilu. Suasana tenang dan damai di kawasan Rumah Kebajikan Permai itu tidak langsung mendamaikan. Kerasukan, kehampaan, kegalauan hati yang dilanda ribut kencang, bergulung-gulung menghempas kasar ke lubuk jiwanya yang paling dalam.
            Hembusan nafasnya turun naik, sesuai dengan fikrah manusia bernyawa. Rasanya, begitu jarang dia menziarahi keluarga Harris oleh kekangan waktu dengan tugas hakikinya. Kadangkala, dia sendiri hairan bagaimana dia boleh membahagikan masa antara tugasnya sebagai peguam sivil di Kuala Lumpur dan melayan anak tunggalnya yang berusia lapan tahun yang ditinggalkan dengan pembantu rumahnya sewaktu dia bekerja. Setelah cengkerik berbunyi, bulan melihatkan cahayanya, bintang mula berkelip, barulah dia dapat memeluk dan membelai anak tunggalnya dan suaminya yang bertugas sebagai peguam syarii di Selangor juga begitu.
            Rembulan juga kadangkala berasa rindu pada sang pungguk yang jarang ada, begitu juga dia dan suami. Kesibukan tugas kadangkala membuatkan mereka jarang bertemu, duduk makan dan berbual tentang kerjaya masing-masing. Masa yang terluang tidak pernah dilepaskan begitu sahaja. Waktu cuti hujung minggu memang diperuntukkan untuk dia bersama suami dan anak tunggalnya. Bersaksikan air tasik yang tenang dan damai, alunan siulan burung-burung kelicap dan murai berterbangan dari dahan ke dahan mencari makan, begitu mengasyikkan. Wajah dua insan dambaan hati, pengarang jantung yang menjadi sulaman sayang di hati dipandang seketika.
            “Mun tak nak tukar kerjaya? Jadi pensyarah, hanya perlu mengajar, tidak lagi perlu naik turun mahkamah, abang bimbang, kadangkala kes yang Mun ambil agak bahaya, terutama kes jenayah,” luah Ashraf, suami Munirah.
            “Kerjaya abang juga bahaya, abang tak nak tukar kerjaya?” usik Munirah dengan wajah tenang, sekuntum senyuman dipamer buat suami tersayang.
            “Abang peguam syarii, kes cerai kahwin, paling tidak kena serang dengan suami yang gila talak saja, ataupun isteri yang marah sebab suami tak bayar nafkah,” balas Ashraf, mempertahankan kerjayanya.
            Munirah terdiam, kerjayanya dan suami agak jauh berbeza. Menguruskan nikah kahwin, cerai dan tuntutan harta serta nafkah anak isteri tidak begitu merisaukan seperti mana tugasnya sekarang. Mengambil kes jenayah tidak kira besar kecil, semuanya ditangani. Sejak lima tahun dahulu, dia bergelumang dengan kerjaya, bermain dengan onak dan duri sikap mereka yang diwakili kadangkala mengusik jiwa kebimbangannya. Bagaimana jika ada yang membalas dendam? Bagaimana jika mereka mengganggu ahli keluarganya? Semua itu ada dalam fikirannya setiap kali dia menerima kes-kes jenayah seperti pembunuhan, penipuan dan sebagainya.    Baginya, dia membela mereka yang yakin dirinya dianiaya, dipaksa, terpaksa demi kerana rasa tanggungjawab dan minatnya pada kerjaya yang disandang ini. Jika ditakdirkan dia mati di tangan mereka yang berdendam dengannya, dia hanya mampu berserah kepada Allah SWT. Hidup dan matinya bukan di tangan manusia. Dia tidak akan berganjak.
            Begitu juga dengan suaminya, pernah dilanggar kereta mereka oleh bekas suami yang sakit hati akibat kalah dalam menuntut hak penjagaan anak. Dua hari suaminya ditahan di hospital akibat kecederaan pada kepala, semuanya itu asam garam apabila memilih kerjaya sebagai pengamal undang-undang.
            “Setiap kerjaya profesional seperti kita ini ada risikonya. Mun akan jaga diri, begitu juga abang. Setakat ini kita masih mampu mengatasi segalanya,” ucap Munirah sambil mengusap lengan suami yang setia di sisi.
            “Abang harap, Mun sentiasa berhati-hati,” pesan Ashraf dengan penuh harapan.
            Mereka saling berpandangan dan tersenyum.
            Kelibat wanita berumur awal 40-an, berkulit cerah, hidung mancung, mata sedikit sepet, bibirnya yang lebar dan nipis, bertudung labuh dan berjubah hitam yang tiba-tiba muncul di belakangnya segera mematikan lamunannya. Serentak itu, Munirah yang menyandar keletihan dek melayan gejolak perasaan sendiri di tempat memandu keretanya bergegas keluar. Ketika keluar, cahaya matahari yang bersinar bak ketulan emas yang memancar pandangan mata menyentuh kulit mukanya yang putih bersih, tudung instant shawl diperbetulkan kedudukannya, agar tidak senget benget.
            Munirah tahu, wajah wanita bertudung labuh itu tampak tenang, akan tetapi bergelora jauh di lubuk hatinya dan lebih parah daripada hati Munirah yang pernah mengalami gelora yang sama suatu ketika dahulu. Nafasnya sesak seolah-olah kembali diterjah gelora semalam. Alunan rentak risau di hujung nafas, merobek rasa tenang dan damai seorang anak gadis yang masih sunti dan bersih hatinya. Tiupan angin kencang membadai jiwanya yang dibaluti rasa sedih tidak berkesudahan, berhujan air mata, membengkak hatinya direntap kasar oleh mereka yang tidak ada jiwa.
            Cerita yang didengari lewat panggilan telefon kelmarin ketika dia masih di kawasan mahkamah daripada wanita itu hanya mengingatkan dia kepada ayahnya dan mendadak sahaja jiwanya dirasuk amarah. Kenapa kemarahan itu masih bersisa? Kenapa jiwanya tidak pernah tenang daripada diganggu oleh kisah silam saat mendengarkan butir bicara dan luahan rasa seorang isteri dan ibu yang hanya mampu memandang suaminya dibawa pergi lantaran fitnah oleh seorang budak yang masih mentah tentang kehidupan?
            Mendadak peristiwa hitam 15 tahun dahulu, kembali bergentayangan semula di ruang matanya. Dia seakan dapat melihat kembali wajah arwah ayahnya yang terkejut gempar dan cuba menafikan segala fitnah yang dilemparkan kepadanya. Wajah-wajah orang kampung yang kemarahan sehingga ada yang sanggup ingin memukul dan mengheret arwah ayahnya keluar dari rumah.
            “Aku tak buat! Aku tak buat apa-apa! Aku nampak dia terbaring dalam semak, aku cuma bantu dia!” nafi arwah ayahnya. Pucat lesi wajah arwah ayah.
            “Penipu! Pembohong! Bawa dia ke balai! Jangan bagi peluang! Perosak anak orang!” jerit orang kampung beramai-ramai. Riuh-rendah halaman rumah.
            “Saya saksinya!” jerit seorang remaja lelaki dengan senyuman sinis. 
            “Kau bohong, Johan! Aku nampak kau di situ,” jelas arwah ayah. Tiada siapa yang mendengarkan kata-kata ayah.
            “Kalau sudah ada saksi dan terbukti tuan haji bersalah, saya harap tuan haji menyerah!” kata ketua kampung dengan wajah sinis.
            “Aku tak bersalah! Kau orang fitnah aku!” jerit arwah ayah lagi.
            Hiba benar hatinya ketika itu, tangisannya bertali arus, tiada henti hingga ke malam, arwah ayah sudah dibawa ke balai ketika itu. Hilang maruah dan harga diri arwah diperlakukan seperti sampah, siapa bersalah dan siapa yang melakukannya, hanya Allah yang Maha Mengetahui. Dia yakin, pasti suatu hari nanti mereka yang telah menfitnah arwah ayahnya pasti akan dihukum juga. Bukankah Allah itu Maha Adil dan Saksama? Munirah mengeluh berat, seberat jiwanya yang sedang menanggung sekali lagi keadaan yang sama.
            Munirah ketika itu berumur 17 tahun, tercegat di sisi ibunya yang menangis di tepi dinding rumah sambil memeluknya erat, ahli keluarga yang lain melarikan diri masuk bilik, ketakutan.
            Bunyi petir sambung-menyambung, berdentum dan mengaum membelah bumi. Angin kencang bertiup laju menghempas dedaun tingkap kayu yang terbuka luas, bertambah bising dengan suara jeritan orang kampung menyuruh ayahnya keluar. Gadis terencat akal yang dikatakan telah ternoda itu turut berada bersama. Anak jiran sebelah yang sering datang bertandang bermain dengan Munirah setiap hari jika Munirah tidak ke sekolah. Wajah arwah ayah yang bersungguh-sungguh menafikan, telah menyuntik rasa hiba yang mendalam di hatinya. Dia yakin ayahnya tidak bersalah.
            Kenangan itu membunuh jiwa tenangnya. Kelopak matanya mula terasa basah, Munirah cepat-cepat menghentikan kenangan pahit yang sudah cuba dilupakan daripada diari hidupnya, namun gagal. Dia mengeluh kekesalan.
Sesungguhnya, seperti arwah ayahnya, dia juga amat mengenali akan hati budi Harris, abang sepupunya itu. Mereka sering berjumpa ketika pulang ke kampung. Seorang yang pendiam tetapi apabila bercakap, penuh dengan kata-kata nasihat dan semangat. Rajin menolong, ringan tulang, jika ada kenduri-kendara di kampung, Harris adalah orang yang akan bersama-sama turun padang membantu, tanpa disuruh. Merendah diri, tutur katanya penuh sopan dan menghormati semua orang tidak kira usia.
            Sering mendahulukan orang lain daripada diri sendiri. Mengambil berat akan hal ehwal ahli keluarga tidak kira sepupu atau adik-beradik sendiri. Sewaktu Munirah masih belajar, dan Harris sudah bekerja, jika mereka bertemu pasti diberi duit belanja. Tidak pernah berkira soal tenaga dan masa. Minta sahaja pertolongan, pasti dilakukan dengan jayanya. Kenapa ada orang tergamak menuduhnya berlaku sumbang?
            Munirah melangkah keluar, tangan segera dihulurkan, ditarik dirinya ke dalam pelukan wanita yang berwajah selamba dan senyuman terukir, tetapi tiada manisnya ibarat kopi yang kehabisan gula.
            Munirah mengekori langkah Nisa’ menuju ke gazebo yang terletak di tepi laman Rumah Kebajikan Permai. Angin tenang, sesekali kencang menyapa wajahnya. Suara anak-anak mengaji sayup-sayup kedengaran kerana tempat itu berada tidak jauh dari aula, tempat para pelajar Rumah Kebajikan Permai belajar dan menghafal al-Quran.
            Keadaan itu membuatkan dia teringat sewaktu kecilnya yang hanya dipelihara oleh ibu setelah kematian arwah ayah. Membesar dan berdikari sendiri tanpa semangat daripada seorang lelaki bergelar ayah. Kelelahan dan kesakitan oleh peristiwa semalam bergelumang dengan  seribu dendam yang tertanam di hati. Bukan untuk membalas dendam, tetapi mempertahankan mereka yang teraniaya seperti arwah ayahnya menyebabkannya memilih kerjaya sebagai seorang pengamal undang-undang. Mungkin rasa sesal, marah, sakit dan geram juga wujud di hati Nisa’ sama seperti dirinya satu ketika dahulu. Perasaan itu kembali menerjah jiwanya, menghambat hatinya.
             “Terima kasih Mun kerana sudi jumpa akak,” ucap Nisa’.
            “Akak masih tak boleh menjenguk Abang Harris, akak tak tahu keadaannya macam mana,” sambung Nisa’ lagi.
            “Nanti Mun jengah Abang Harris di balai, Kak Nisa’ jangan bimbang sangat,” pujuk Munirah, bukan hanya sebagai peguam bela dan peguam cara yang telah lima tahun berkhidmat, bagi pihak Harris. Akan tetapi sebagai adik sepupu. Dia berkerut dahi. Sudah beberapa kes seperti ini yang ditanganinya, namun kenapa abang sepupunya ditahan reman lama sangat? Kes cabul seperti ini bukan susah sangat untuk disiasat, itupun jika memang benar ada bukti yang sahih. Bukankah sepatutnya mudah sahaja mendapatkan jawapannya, terutama daripada pihak hospital yang menjalankan pemeriksaan dan ada surat daripada mahkamah akan keperluan keputusan siasatan untuk prosiding mahkamah.
            Entah mengapa, apabila menangani kes yang boleh dianggap bersifat peribadi, segala yang dipelajari selamat empat tahun di universiti tempatan sehingga memperoleh Ijazah Sarjana Muda Undang-undang bagaikan tidak memadai lagi. Padahal, bukankah untuk melayakkan diri dalam bidang undang-undang sebagai peguam dan sebelum diterima menjadi peguam (called to bar), sama seperti calon lain, dia juga perlu membuat chambering iaitu kursus dan latihan kelayakan selama sembilan bulan dengan mana-mana firma guaman yang dikendalikan oleh peguam yang telah diiktiraf sebagai peguam, sekurang-kurangnya untuk tujuh tahun.
            Sebuah firma guaman di Kuala Lumpur menjadi pilihan, itu pun disarankan oleh pensyarahnya. Sewaktu itu, dia masih belum ada yang menyarungkan cincin atau tangan bersalaman dengan tok kadi. Dengan kelulusan cemerlang sewaktu SPM, dia mendapat biasiswa daripada JPA, empat tahun dia bergelumang dengan tesis dan nota, alhamdulillah, berkat kerajinan dan kesungguhan, tidak kenal erti jemu, kebosanan dan penat, akhirnya, dia lulus dengan cemerlang.
            Degupan jantungnya berdegup normal, nafasnya turun naik seperti biasa. Teringat kembali bagaimana sepanjang tempoh itu, dia bertungkus lumus memerah otak untuk menjalani latihan dan mempelajari pelbagai ilmu serta aspek yang berkaitan dengan amalan guaman, khususnya perkara-perkara praktikal yang tidak diajar di universiti.
            Senyuman manis terlakar apabila syarat utama untuk dia yang memang cemerlang dalam Bahasa Melayu dan dikehendaki lulus Bahasa Malaysia Qualifying Examination yang dijalankan oleh badan penilaian seperti yang tertera di bawah Legal Profession Act. Pengecualian menduduki peperiksaan ini biasanya diberikan berdasarkan keputusan Bahasa Melayu peringkat SPM. Bahasa Malaysia Qualifying Examination di bawah seksyen 5(f) dan 11(2). Peperiksaan ini mengandungi satu ujian lisan untuk menguji kemahiran dalam Bahasa Malaysia sebelum dibenarkan menyertai kerjaya ini.
            Tanpa sedar, dia tersenyum lembut. Masih terbayang di ruang matanya disarungkan jubah hitam labuh setelah tamat chambering selama sembilan bulan, ia seperti acara konvokesyen buat pelajar undang-undang. Sedangkan dalam hati, bertayangan kejadian yang telah meragut nyawa arwah ayahnya. Majlis dibuat di hadapan hakim utama, disaksikan ahli keluarga dan kawan-kawan sealiran. Suasananya tenang, senyap, hanya kedengaran hembusan nafas mereka yang hadir. Bukan dia sahaja yang menerima kelayakan itu, ada beberapa lagi rakan seangkatan turut menerima anugerah yang sama. Mereka turut ditemani oleh ahli keluarga terdekat. Ketika itu, ibunya datang bersama jambangan bunga dan majlis pengiktirafan itu pula diadakan di dalam mahkamah.
            Seperti berada di puncak Gunung Kinabalu, memacak bendera kejayaan dapat menawan puncaknya yang sejuk, tenang, berangin dan mendamaikan. Hatinya bernyanyi lembut dan merdu, mendayu, berbuai rasa, mengusik jiwa keharmonian suka dan gembira bercampur menjadi satu. Ditambah melihat wajah gembira ibu tercinta dan ahli keluarga termasuk Abang Harris dan Kak Nisa’ serta adik-beradiknya yang lain, mereka sama-sama meraikan kejayaannya bergelar seorang peguam.
            Lima tahun bergelumang dengan kerjaya yang diminatinya itu, memperjuangkan nasib mereka yang dituduh melakukan jenayah kerana dipaksa dan terpaksa seperti kes seorang isteri membunuh suaminya, kes seorang ibu membunuh anaknya. Minat yang tumbuh setelah melihat wajah arwah ayahnya yang dituduh mencabul seorang budak terencat akal. Ayahnya telah difitnah, lantaran terlalu malu dan tidak mampu menerima ujian tersebut telah meragut nyawanya.
            “Kau kena bantu akak Mun, bantu abang,” rayu Nisa’ sekali gus mematikan kenangan silam Munirah.
            Munirah mengangguk laju, itulah tugasnya. Tugas sebagai seorang peguam dan tanggungjawabnya sebagai salah seorang daripada ahli keluarga Harris. Tidak mungkin dia membiarkan abang sepupunya meringkuk dalam penjara, jika benar pun bersalah, perlulah dibuktikan. Bukan dengan hanya air liur atau cakap-cakap kosong, perlu ada saksi yang melihat dan menyaksikannya. Jangan main tuduh. Sudah jatuh fitnah. Kalau orang lain, mungkin dia perlu pertimbangkan kesahihan cerita, tetapi ini abang sepupunya sendiri, sudah seperti adik-beradik, dia amat mengenali Harris.
            Menangis jiwanya ketika diberitahu bahawa Harris ditahan di lokap polis oleh Nisa’ lewat petang kelmarin. Kenapa baharu hari ini dia diberitahu, kenapa tidak selepas Harris ditahan, boleh dia terus ke balai polis dan meminta ikat jamin.
            “Abang ditahan 14 hari, siasatan agak sukar sebab pelajar itu tidak mahu beri kerjasama dan katanya dalam keadaan trauma,” jelas Nisa’.
            Munirah mengerut dahi. Kes cabul sahaja pun? Takkan ditahan hingga 14 hari, apa yang ingin mereka siasat? Dia mengeluh kekesalan. Kerja pihak polis, bukan boleh masuk campur melainkan dia dikehendaki menghadirkan diri.
Sepanjang ditahan reman, abang sepupunya tidak dibenarkan menerima pelawat, hatta peguam bela sekalipun, untuk memastikan penyiasatan berjalan lancar. Dia cuma perlu ke balai polis untuk mendapatkan status kes tersebut. Itu sahaja sehinggalah kes itu dibawa ke mahkamah dan dibicarakan. Ketika itu, dia perlu menyediakan laporan kes dan menyiasat kes tersebut dengan terperinci. Dia tidak akan membiarkan abang sepupunya ditahan di penjara selagi tidak terbukti bersalah. Tidak akan!
            “Kak Nisa’ kena banyak bersabar dan berdoa, saya yakin Abang Harris tidak akan sampai masuk penjara. Sama-samalah kita berdoa ya.” Sekali lagi Munirah memujuk.
            “Insya-Allah, terima kasih Mun dan akak minta maaf. Akak tengah bingung sampai tak tahu nak hubungi siapa, nasib baik akak teringat sewaktu tengok nama kau dalam telefon akak,” kata Nisa’ dengan riak muka monyoknya.
            “Kalau akak cepat beritahu saya, Abang Harris tak perlu ditahan, boleh ikat jamin,” beritahu Munirah. Pesalah ditahan jika pihak polis risau dan menimbulkan keraguan, takut-takut pesalah akan melarikan diri.
            “Akak teringin sangat bertemu Abang Harris, tapi tidak dibenarkan,” luah Nisa’.
            “Memang tak boleh kak, sabar ya, saya sendiri tidak dibenarkan melawatnya sehinggalah soal siasat selesai, melainkan jika khidmat saya diperlukan pihak polis. Akak jangan bimbang, segalanya akan selamat.” Munirah memeluk bahu Nisa’.   Pihak polis tidak mahu peguam bela mengganggu pesalah yang mungkin dalam keadaan tidak keruan. Waktu disoal siasat, tidak boleh ada gangguan masalah yang lain. Pesalah harus bercerita dengan jujur dan benar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan