Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Isnin, 3 Februari 2014

RINDU YUSUF, CINTA ZULAIKA - BAB 17


Bab 17

DIA menoleh ketika merasakan bahunya ditepuk oleh seseorang. Taufik tersengih di belakangnya, dan tanpa menunggu dipelawa jejaka kacak itu terus menarik kerusi dan duduk di hadapannya.
“Tak sangka terserempak dengan kau kat sini, Suf!” tingkah Taufik sambil melambaikan tangannya ke arah seorang waiter yang bertugas di hotel tiga bintang itu.
Yusuf Hakimi sengih.
“Aku tengah tunggu client kat sini. Lambat pulak dia ni sampai. Kau pula?”
“Sekali-sekala aku memang suka singgah makan kat sini. Nasi goreng nanasnya superb! Kau cubalah.” Cadang Taufik.
“Selalu makan dengan siapa?” korek Yusuf Hakimi. Entahlah! Kadangkala di hatinya masih bersisa ‘bengkek’ dengan Taufik. Nostalgia silam di mana kekasih pertamanya yang pernah digoda oleh lelaki itu sesekali tetap mencengkam perasaan.
“Kadang-kadang dengan kawan. Selalunya sendirian.” sahut Taufik sambil berkata sesuatu ke arah waiter yang menhulurkan menu ke arahnya.
“Dah bawa Atika Ayuni kemari?”
Taufik geleng kepala. “Tengoklah esok lusa.” Sahutnya sambil berdekah. “Kenapa kau tengok aku macam nak telan, Suf? Kau tak percaya yang aku dah berubah?” soalnya tiba-tiba.
“Bukan tugas aku nak mempertikaikan sama ada sikap don juan kau dah berubah ataupun belum. Tapi Fik, Atika Ayuni tu kawan baik isteri aku!”
“Aku faham, Suf. Aku tahu kau masih tak percaya dengan aku. Aku akui yang Ayu tu gadis baik dan insya-Allah aku tak akan buat apa-apa yang boleh memudaratkan dia.” Taufik seolah-olah berjanji.
Kata-kata Taufik yang menyebut perkataan ‘insya-Allah’ seketika tadi berjaya melenturkan hati Yusuf Hakimi. Maknanya, jejaka itu masih berpaksikan pada Tuhan Yang Maha Esa. Dan orang yang di hatinya masih berpaksikan Tuhan akan lebih menjaga tingkahlakunya.
“Jadi maksud kau Aliza bukan gadis yang baik?” entah mengapa mulutnya mengungkit kisah yang telah bertahun-tahun ditinggalkan.
Wajah Taufik nyata berubah sebaik sahaja mendengar nama Aliza muncul dari bibir lelaki di hadapannya; lelaki yang pernah menjadi teman baiknya ketika bergelar mahasiswa dahulu. Lelaki yang pernah dicalarkan hatinya dengan sebuah pengkhianatan.
“Suf, aku betul-betul minta maaf dengan kau. Aku tak sangka setelah kau kini bahagia dengan isteri kau, kau masih simpan dendam pada aku.” Tukas Taufik.
Yusuf Hakimi tergeleng-geleng.
“Kata orang, tempat jatuh lagikan dikenang, Fik. Aku ni belum tua pikun lagi nak lupa segala kenangan pahit tu. Aku akui yang aku kini bahagia dengan Ika tapi kenangan lalu yang menyaksikan hati aku dihancurkan oleh dua orang manusia yang aku percaya iaitu kau dan Aliza, bukan senang nak dikikis!” sahut Yusuf Hakimi dengan nada tegas.
“Demi Allah aku dah berubah, Suf!”
“Fik, lidah kau jangan mudah bermain-main dengan sumpah!” Yusuf Hakimi mengingatkan. Taufik segera memekup tangan ke mulutnya.
“Aku... aku...”
Yusuf Hakimi senyum.
“Sudahlah, Fik. Walaupun kadang-kadang aku masih lagi teringat kisah silam tapi aku tengok kau memang dah berubah, atau cuba berubah. Tu memang bagus, Fik. Setiap manusia harus berubah ke arah kebaikan. Aku harap kau kini berpijak di landasan yang betul.”
“Terima kasih, kawan. Macam mana aku nak terangkan pada kau yang aku cukup menyesal tentang hal Aliza tu.”
“Dah bukan jodoh aku dengan dia, Fik. Mungkin jodoh aku dah ditetapkan dengan Ika. Aku bahagia dengan dia sekarang. Aliza hanyalah sebuah memori yang tiba-tiba muncul apabila aku bertemu dengan kau semula.” Tukas Yusuf Hakimi dengan wajah yang tenang. Bukankah jelas bahawa jodoh Yusuf adalah dengan Zulaika?
“Aku gembira melihat kau senang menikmati kebahagiaan dengan isteri kau sekarang. Kau beruntung dapat isteri yang muda, cantik dan baik budi pekertinya macam Ika tu. Kau dianugerahkan dengan perempuan yang seribu kali lebih baik daripada bekas kekasih kau dulu.” Komen Taufik.
Yusuf Hakimi mencerlangkan matanya.
“Jadi, kau menuduh Aliza bukanlah gadis yang baik sehingga kau sanggup menggodanya?” nada yang tadinya telah melembut, bertukar garangs emula.
“Bukan... bukan tu maksud aku, Suf!” Taufik benar-benar terperangkap.
“Kenapa kau pilih dia sebagai sasaran kau setelah kau cukup tahu dia telah punya kekasih?”
“Err...”
Yusuf Hakimi geleng kepala.
“Dahlah, Fik. Baik kita jangan ungkit lagi kisah silam yang menyakitkan hati tu. Kau kini dah insaf dan aku dah bahagia dengan Ika. Tu yang penting.” Desisnya membuatkan pemuda di hadapannya menarik nafas lega. “Tapi kadang-kadang aku tertanya-tanya juga di mana Aliza sekarang ya? Dan bagaimanakah kehidupannya?”
“Kau tak pernah cari dia selama ni?”
“Untuk apa aku cari perempuan yang dah lukakan hati aku? Dahlah, Fik, aku malaslah nak panjang-panjangkan isu ni. Kita bincang pasal hal lain ajelah ya.” Tingkahnya ketika waiter yang bertugas menghantar makanan dan minuman yang telah dipesan. “Hmmm... memang sedap nasi goreng nanas ni! Bolehlah aku bawa orang rumah kemari.” Pujinya.
Taufik gelak. “Kan aku dah cakap. Aku pun ingat nak bawa Ayu kemarilah!” dia merancang.
“Kau baik ingat kata-kata aku ni, Fik, kalau kau benar-benar sukakan dia tu, buat betul-betul. Jangan main-mainkan perasaan dia nanti penumbuk aku singgah kat muka kau!”
“Yelah, aku tahulah!” sahut Taufik pantas.
Telefon bimbitnya berbunyi tiba-tiba. Dia segera memekapkannya ke telinga.
“Ya, Ju! Apa khabar?” soalnya pada teman yang menelefon nun jauh dari kota London. Taufik di hadapannya menoleh. “Hujung minggu ni you nak balik kemari? Go ahead! I tak kisah, you nak balik ke, tak nak balik ke... you bukannya bini I!” dia berlawak di hujung talian.
Dia hanya menyengih pada Taufik setelah perbualannya dengan Intan Juliana tamat. Mereka meneruskan acara makan tanpa banyak cerita.

INTAN JULIANA membuang pandang ke luar tingkap. Yusuf Hakimi; kadangkala berlawak nyata mengguris perasaannya. “I tak kisah, you nak balik ke, tak nak balik ke... you bukannya bini I!” Kata-kata itu benar-benar menyentap emosinya. Dia rasa seperti orang asing yang tak penting satu sen pun dalam hidup Yusuf Hakimi.
Kenapa kau harus penting dalam hidupnya, Intan Juliana? Memang benar apa yang dituturkannya. Kau bukannya sesiapa pada Yusuf Hakimi untuk dikisahkan. Kau hanyalah seorang teman – teman yang silih berganti. Teman yang boleh datang dan pergi sesuka hati. Lainlah kalau kau kekasihnya ataupun isterinya yang tak boleh diperlakukan sesuka hati!
Jadi kenapa kau perlu bersedih, Ju?
Intan Juliana menarik nafas dalam-dalam. Kenapa dalam ramai-ramai kenalanku, aku menyimpan rasa yang istimewa terhadap Yusuf Hakimi, desis hatinya. Bukankah dia telah beristeri? Dan aku sebagai seorang wanita, sanggupkah menghancurkan hati wanita lain hanya kerana cinta?
Intan Juliana mengeluh.
“Apa yang dimenungkan tu, Ju?” soal seorang lelaki.
Intan Juliana menoleh ke arah Datuk Johan, lelaki yang telah dianggapnya sebagai pengganti ayahnya. Lelaki yang sanggup memberikan kasih sayang seorang ayah yang tak pernah dimilikinya selama ini.
“Nothinglah uncle.” Sahutnya pantas dan berusaha untuk memaniskan wajahnya.
“Jangan tipu unclelah. Ni mesti teringatkan somebody special kat KL. Ju rindukan Yusuf ya?”
“Uncle... nak buat apa Ju rindukan suami orang?” luahnya.
“Zaman sekarang ni, mana ada border lagi dalam sesebuah hubungan? Menjalinkan hubungan dengan suami orang atau lebih tepat lagi uncle katakan, isu poligami ni dah jadi lumrah dalam masyarakat kita. Lainlah orang putih yang mengamalkan asas monogami. Tapi dia orang simpan perempuan dan kunjungi rumah-rumah pelacuran, semuanya tak jadi hal dah!”
“Hesy, uncle ni! Tak pernah terfikir di benak Ju ni nak rampas laki oranglah, uncle.” Intan Juliana terpekik.
Datuk Johan sengih.
“Apa nak dimalukan, Ju? Seorang lelaki muslim boleh kahwin lebih daripada satu tau, asalkan dia mampu dan sanggup berlaku adil!” Datuk Johan terus-menerus mengusik. Dia ingin menerbak jauh ke dalam hati wanita di hadapannya yang telah lama membujang itu. Kalau betullah Intan Juliana benar-benar menaruh hati pada Yusuf Hakimi, tak menjadi kesalahan padanya walaupun lelaki itu telah beristeri.
“Biar betul, uncle! Uncle fikir, nak ke Yusuf tu pilih Ju dan menduakan isterinya yang begitu muda? Bayangkan uncle, she’s just twenty one, still too young untuk dimadukan. Dan Ju rasa uncle pun dah tengok perempuan tu. She’s very pretty, uncle!”
Datuk Johan mengangguk.
“Ya, she’s too young yet too pretty untuk bergelar isteri tua. Tapi kalau hati Yusuf terbuka untuk terima Ju, apa salahnya? Jangan tipu uncle, Ju. Uncle tahu Ju dah lama jatuh hati dengan dia kan? Tapi Ju tak berani luahkannya di hadapan Yusuf Hakimi. Dan jangan sesekali pandang rendah pada diri Ju sebab Ju lebih berusia daripada Zulaika. Ju kata isteri Yusuf tu, cantik, memang tu uncle tak nafikan. Tapi siapa yang berani kata Ju tak cantik? Bawa dia sini, biar uncle bagi penampar kat muka dia!”
Intan Juliana tergelak kecil.
“Ju, bila kita dah tua nanti semua yang cantik tu akan hilang. Masa tu baru kita akan sedar ianya hanyalah lapisan kulit di tubuh kita. Dan setelah kita mati nanti, setiap manusia semuanya sama. Yang tinggal hanyalah tulang-belulang semata!” tegas Datuk Johan. “Jadi, jangan sesekali pandang rendah pada diri kita. Mungkin ada kelebihan pada diri Ju yang tak dimiliki oleh Zulaika...”
“Cukup, uncle! Ju rasa baik kita berhenti saja dari bincangkan hal ni!” Intan Juliana merasa muak berbincang tentang hal yang sama sekali tak mungkin menjadi kenyataan itu.
Mustahil! Mustahil dia dan Yusuf Hakimi bakal berpadu. Bukankah jodoh Yusuf adalah dengan Zulaika? Dan jodoh mereka berdua telah ditakdirkan sejak azali lagi?
Mustahil Intan Juliana bakal mencelah. Mustahil!

RINDU YUSUF, CINTA ZULAIKHA - BAB 16 ( SITI ROZILAH)

Bab 16

SELESAI mengerjakan solat Subuh, Zulaika segera turun untuk menyediakan sarapan pagi. Dia begitu lincah di dapur. Setengah jam kemudian semangkuk besar mi goreng, seteko Milo dan segelas nescafe pekat khas untuk suaminya telah siap dihidangkan di meja makan.
“Assalamualaikum.” Ujar Yusuf Hakimi sambil melemparkan ciuman hangat ke tengkuk isterinya. Zulaika segera berpaling dan melemparkan senyuman manis untuk suami tersayang.
“Waalaikumussalam.” Sahutnya lembut. “Jemput minum, bang.”
“Turun ni sebab nak minumlah. Eh, kenapa mak cik dan Fatin turun lagi ni?” soal Yusuf Hakimi.
Zulaika jongket bahu.
“Manalah Ika tahu. Agaknya Fatin tak tahu nak pakai baju yang mana untuk hadiri temuduganya.” Dia tergelak kecil. “Senang lagi orang yang kerja sendiri macam Ika ni kan, bang, tak payah nak susah-susah fikir tentang baju untuk ke tempat kerja. Pakai t-shirt dan kain batik macam ni pun boleh. Pakai baju tidur pun boleh!”
Yusuf Hakimi tersenyum.
“Tulah sebabnya abang tak bagi Ika keluar bekerja. Menulis kat rumah tu dah mencukupi. Kalau Ika tak nak bekerja langsung pun tak apa, abang ada. Abang boleh tanggung Ika.”
“Tapi terasa bosan juga. Apa taknya kadang-kadang tu sehari suntuk Ika tak jumpa manusia lain kecuali abang.” Tukas Zulaika sambil menyendukkan mi goreng ke pinggan suaminya.
“Senang aje kalau nak ubat kesepian Ika tu. Cepat-cepatlah mengandungkan zuriat abang.” Kata Yusuf Hakimi sambil membelai jari-jemari isterinya dengan sepenuh kasih sayang dan renungan penuh maknanya membuatkan Zulaika tersipu malu. “Kalau dah ada anak nanti, mesti Ika tak sunyi lagi...”
Ehem!
Bunyi deheman membuatkan saat-saat romantis mereka terganggu. Zulaika segera menarik jari-jemarinya dari genggaman Yusuf Hakimi. Sementara Yusuf Hakimi hanya tersengih ke arah Fatimah dan Fatin Adiba yang telah turun untuk menikmati sarapan pagi bersama mereka.
“Maaflah kalau mengganggu kau orang berdua.” Ujar Fatimah dengan selamba.
“Ala, tak ada apa-apalah, mak cik. Eh, duduklah Fatin. Kenapa tercegat aje kat situ? Cepatlah sarapan, malam tadi aku tengok kau makan sikit sangat.” Tingkah Zulaika sambil menghulurkan pinggan ke arah Fatimah.
Fatin Adiba menyengih. Dia menarik kerusi dan duduk di sebelah kiriYusuf Hakimi. Fatimah menjelingnya dengan ekor mata tanda kurang senang dengan telatah anak gadisnya itu. Namun dia hanya menunjukkan wajah selamba sahaja.
“Sikit sangat makan tu, Fatin?” soal Zulaika apabila dilihatnya Fatin Adiba telah selesai bersarapan.
“Cukuplah, Ika. Lagipun aku tak berselera sangat memikirkan temuduga yang akan aku hadapi sekejap lagi ni.” Sahutnya sambil melirik ke arah Yusuf Hakimi. Entah mengapa hatinya jadi tidak menentu tatkala duduk serapat itu dengan suami kakak tirinya.
“Alah, jangan risaulah. Soalan kacang aje tu...” sampuk Yusuf Hakimi.
“Aku harap kau berjaya dalam temuduga tu nanti, Fatin.” Kata Zulaika ketika menghantar gadis itu dan juga Yusuf Hakimi ke muka pintu.
“Terima kasih.” Jawabnya.
“Masuk bilik temuduga tu nanti jangan lupa baca bismillah dan selawat ke atas Nabi Muhammad tiga kali. Kelakuan kena jaga!” ingat Fatimah pula.
Fatin Adiba mengherotkan bibirnya. Pagi-pagi lagi gegendang telinga telah diasak dengan omelan ibunya.
“Aku pergi dulu, Ika.” Katanya pada Zulaika. Kakak tirinya angguk. “Mak, Fatin pergi dulu ya.” Katanya pada Fatimah pula. Setelah menyalam dan mencium tangan ibunya, dia bergegas masuk ke kereta Yusuf Hakimi yang telah sedia hendak bertolak ke tempat kerja.

YUSUF HAKIMI terpaksa bertoleransi dengan bau minyak wangi murah yang disembur oleh Fatin Adiba ke tubuhnya. Terasa cukup kekok ketika terpaksa berdua-duaan dengannya di dalam kereta kerana selama ini dia memang tidak pernah menyukai adik tiri isterinya itu.
Sunyi sepi memenuhi ruang. Keduanya lebih senang melayan fikiran masing-masing. Mungkin kerana tidak tertahan lagi dengan sunyi sepi itu, Yusuf Hakimi segera memasang radio.
“Banyak betul kenderaan kat KL ni kan, bang?” Yusuf Hakimi yang tidak menyangka gadis di sisinya akan mencari isu untuk diperbualkan hanya mengangguk.
“Hari-hari ke abang terpaksa berdepan dengan semua ni?”
“Ala, orang KL takde hallah dengan traffic jammed macam ni!” sahutnya.
Fatin Adiba melirik lelaki di sisinya dengan ekor mata. Bukan main sombong lagi mamat kota ni dengan aku ya, desis hatinya. Tak sedar diri isterinya perempuan kuno dari ceruk kampung!
“Abang memang lahir dan dibesarkan di pinggir KL ni lah, ya?”
“Hmm...”
“Tu yang Fatin pelik bila Ika bertemu jodoh dengan abang. Abang anak jati kota yang jatuh cinta dengan dara dari ceruk kampung! Ika tu berbelas tahun tak pernah jejakkan kaki ke bandar tau tak, bang, apatah lagi kota metropolitan macam KL ni... aleh-aleh sekarang ni dah jadi warga kota pulak.” Tukas Fatin Adiba dengan nada sinis.
“Apa yang nak dipelikkan? Kata orang tua-tua ikan di laut asam di darat, dalam peruk bertemu juga.”
“Macam mana abang boleh jatuh cinta dengan Si Ika tu? Seingat Fatin, lelaki kota macam abang ni akan memilih gadis kota juga untuk dijadikan isteri. Boleh ke Ika sesuaikan diri dia dengan kehidupan di kota ni dan kawan-kawan abang?”
“Kalau kau nak tahu sangat tentang tu, kau tanyalah yang empunya diri sendiri. Kenapa nak tanya abang?” hempuk Yusuf Hakimi sambil menekan minyak setelah lampu isyarat merah bertukar hijau.
“Sorrylah... Fatin saja aje nak tahu. Abang marah ke?”
“Taklah! Tapi terus-terang abang katakan kat sini yang abang memang tak berapa suka Fatin kemari.”
Fatin Adiba terlongo. Ditolehnya wajah lelaki di sisi.
“Kenapa?”
“Sebab reputasi engkau tu lah!”
“Cubalah abang cakap terang-terang dengan Fatin biar Fatin faham!”
“Okey, sekarang abang nak berterus-terang dengan kau, Fatin. Abang harap kau tak ambil hati. Kat kampung dulu kau asyik bertukar-tukar kerja aje. Mak cik pernah bagitau Ika yang kau malas dan selalu ponteng kerja dengan berbagai-bagai alasan. Ni abang nak ingatkan kau, bila kau dah ambil keputusan untuk bekerja di syarikat kawan abang ni, kerja betul-betul. Jangan buat malu abang dan Ika aje. Kau faham tak cakap abang ni?”
Fatin Adiba hanya membatu. Telinganya bagaikan berkeladak mendengar segala macam omelan di awal pagi begitu. Di rumah tadi dia telah dileteri oleh ibunya. Dan kini, Yusuf Hakimi pula?
“Fatin! Boleh tak janji dengan abang kau akan bekerja dengan bersungguh-sungguh dan jangan sesekali beri malu abang dan Ika?” tekan Yusuf Hakimi.
“Okey, Fatin janji tak akan hampakan abang dan juga Ika.” Sahutnya acuh tak acuh.
Lima belas minit kemudian mereka sampai ke destinasi yang dituju. Yusuf Hakimi menemankan Fatin Adiba sehingga ke bilik Encik Fauzan.
“Fatin, abang kena ke pejabat. Jam lima petang abang akan ambil Fatin kat sini. Tunggu sampai abang datang, okey.” Ingatnya pada Fatin Adiba. Gadis itu hanya mengangguk.

FATIMAH memandang anak tiri yang pernah dibencinya suatu ketika dahulu kerana dianggap membawa beban di pundaknya. Zulaika sedang asyik membaja dan menyiram bunga-bunga di halaman. Bukan setakat membenci malah tangannya juga pernah hinggap ke tubuh kurus Zulaika.
“Hoi, budak sial! Berani kau tidur lagi ya?” jeritnya ke arah Zulaika yang sedang mengerekot di atas tilam. “Dah pukul berapa ni? Kau nak warung kat depan tu tak berasap? Memang dasar pemalas!”
“Ika tak sihat hari ni, mak cik. Ika sakit perut... uzur.”
“Ada aje alasan kau. Bangun! Aku tak nak dengar sebarang alasan!”
“Tapi mak cik... Ika betul-betul...”
“Menjawab kau ya!” dia menyentap rambut panjang Zulaika sehingga anak gadis itu menjerit kesakitan.
“Tolonglah Ika, mak cik. Kenapa mak cik buat macam ni dengan Ika?”
Baik ngongoi ataupun rayuan Zulaika, semuanya tak diendahkan. Tangannya hinggap ke wajah mulus itu. Dia kemudiannya melangkah keluar dari bilik itu dengan ugutan bahawa kalau Zulaika tidak sampai juga di warung dalam masa sepuluh minit, sepak terajangnya akan hinggap lagi ke tubuh kurus itu.
Memang ya, suatu ketika dahulu Zulaika dijadikan macam babu baik di rumah mahupun di warung tempat dia berniaga. Setiap keringat gadis itu dikikisnya. Haknya untuk menyambung pelajaran sehingga ke tingkatan enam juga telah dinafikan sebaliknya dia lebih suka melihat Zulaika terperuk membantunya di warung. Kalau ada mana-mana lelaki kaya yang berkenan dengannya kelak, dia akan mengahwinkannya dengan anak tirinya itu.
Melihatkan keikhlasan Zulaika terhadapnya, kadangkala dia jadi malu pada diri sendiri. Anak arwah suaminya itu memang terkenal dengan sikapnya yang lembut hati serta baik budi pekerti. Dan yang paling penting Zulaika masih sanggup menabur kemaafan untuknya setelah begitu banyak penyesaan yang hinggap baik ke telinga mahupun ke tubuhnya.
Kini, hatinya yang murni dan pekertinya yang mulia telah dibalas oleh Tuhan setelah mempertemukan jodohnya dengan lelaki seperti Yusuf Hakimi. Siapa sangka anak gadis yang terperuk di warung itu akan bertemu jodoh dengan jejaka kota seperti sekarang?
Dia terbayangkan wajah anak kandungnya, Fatin Adiba. Anak gadis itu adalah anak emasnya. Tidak seperti Zulaika yang diperas setiap titis keringatnya, Fatin Adiba mendapat segala keistimewaan. Dia tidak pernah memaksa anaknya membantu di warung. Dia lebih suka anaknya duduk di rumah dan mengulangkaji pelajaran dengan harapan agar anak gadisnya itu akan berjaya dalam persekolahannya. Kalau boleh dia mahu memenuhi setiap permintaan Fatin Adiba. Hendak baju baru, dia belikan baju baru. Hendak alat mekap, dia belikan alat mekap.
Oleh sebab itulah orang-orang kampung juih bibir padanya yang membeza-bezakan kasih terhadap anak kandung dengan anak tirinya. Ketika orang sekeliling mengata, dia tidak merasa apa-apa di atas sikap pilih kasihnya itu. Dia menganggap Zulaika yang menumpang hidup dengannya wajar membalas setiap budi yang telah ditaburkannya.
Kini, setelah anak gadis itu dengan rela hati menabur kemaafan malah sanggup pula membantunya mencarikan kerja untuk adik tirinya, barulah rasa malu dan penyesalan datang bertimpa-timpa.
“Eh, mak cik...” kata Zulaika sebaik saja melihatkan kemunculan Fatimah di sisinya.
“Rajin kau tanam bunga ya, Ika?” puji Fatimah sambil melabuhkan punggungnya ke bangku batu.
“Saja nak isi masa lapang, mak cik. Sambil-sambil tu dapatlah keluarkan peluh sikit.” Sahutnya.
Fatimah senyum. Sejuk mata memandang kembang heliconia.................... yang mekar di halaman rumah itu.
“Mana kau dapat benih bunga ni, Ika?” soalnya ingin tahu.
“Kenapa? Mak cik nak tanam bunga ke?”
“Saja je nak tahu! Aku ni manalah ada masa nak tanam bunga. Menguruskan warung tu pun dah cukup memenatkan.” Ujarnya seolah mengeluh.
“Benih bunga ni Ika dapat daripada nurseri yang berhampiran. Kebetulan pula pengusaha nurseri tu adalah kawan Abang Yusuf. Jadi selalulah kami dapat potongan harga.” Terangnya. Fatimah terangguk-angguk.
“Ni bunga apa, Ika?”
.....................................
.......................................
Sinar matahari pagi yang menyuluh wajah membuatkan keduanya beralih ke tempat yang teduh.
“Rasa-rasanya dah dua tahun kau dan Yusuf kahwin kan, Ika?” Fatimah menoleh wajah bersih di sisinya. Zulaika angguk. “Belum ada tanda-tanda nak mengandung ke?”
“Belum lagi, mak cik. Entahlah, agaknya belum ada rezeki.”
“Kawan baik kau Si Sakinah yang baru kahwin tahun lepas pun dah mengandung empat bulan. Kau tak pergi check dengan doktor ke?”
Zulaika serba salah dengan pertanyaan sebegitu. Hati kecilnya juga sering tertanya-tanya kenapa sehingga kini dia dan Yusuf Hakimi masih gagal untuk menimang cahayamata? Malah dia pernah juga bertanya dengans uaminya itu apabila sering sangat dihentakkan dengan pertanyaan oleh orang-orangd i sekelilingnya, tetapi dengan tenang Yusuf Hakimi berkata usia perkahwinan mereka masih terlalu muda. Cuma rezeki mereka yang mungkin masih belum tiba.
“Sabarlah, Ika. Apa nak dirisaukan sangat dengan kata-kata orang? Kita baru aje dua tahun berkahwin. Ada pasangan tu yang sepuluh... lima belas tahun kahwin baru dapat anak. Anak ni anugerah Allah. Insya-Allah suatu hari nanti Dia akan kurniakan kita dengan seorang anak yang sihat, comel dan cantik seperti kita berdua.” Pujuk Yusuf Hakimi.
“Kita sabar dan doa ya, sayang.” Tingkah suaminya lagi memadamkan segala kegusaran yang bertapak di hatinya.
Memang betul kata Yusuf Hakimi, zuriat adalah anugerah Allah Taala pada hamba-Nya. Manusia harus berusaha, berdoa dan bertawakkal dan bukannya menyerah kalah.
“Ika, kau tak ada check doktor ke?” Fatimah mengulang soalannya.
“Abang Yusuf suruh bersabar dulu, mak cik. Buat masa ni Ika amalkan makan spirulina dan minyak ikan omega plus. Ramai orang yang cadangkan. Lagipun kami baru aje dua tahun mendirikan rumah tangga, mak cik, masih ada masa lagi.” Zulaika mengekel untuk menyedapkan hatinya sendiri walaupun sebenarnya di kurang senang tatkala membincangkan isu itu.
Walaupun usianya masih muda baru dua puluh satu tahun, tapi demi kasihnya terhadap suami, tak sanggup rasanya dia digelar perempuan yang mandul; yang tak mampu mengandungkan benih suaminya sendiri. Malah, dia banyak membaca di majalah-majalah bagaimana seorang suami yang sanggup mencari perempuan lain dengan alasan isterinya mandul. Heei... tak sanggup dia memikirkan perkara seperti itu. Tak sanggup berkongsi kasih dengan perempuan lain kerana kegagalannya untuk berfungsi sebagai seorang wanita iaitu mengandungkan zuriat untuk suaminya sendiri.
“Tak pergi berurut?” korek Fatimah lagi.
Zulaika geleng kepala.
“Belum lagi, mak cik. Abang Yusuf kata tak perlu buat masa sekarang ni...”
“Kenapa?” Fatimah kerut kening.
“Katanya kami baru aje dua tahun kahwin. Masih terlalu awal nak risaukan tentang hal anak ni.”
“Suka hati kaulah, Ika. Tapi aku nak nasihatkan kau supaya berusaha untuk cepat hamil. Laki kau tu ada rupa, ada harta. Kalau kau gagal beranak, dia ada alasan yang kukuh untuk cari perempuan lain jadi isteri keduanya!” hentak Fatimah.
Dada Zulaika mula tidak keruan. Namun seulas senyuman tetap diluahkan untuk ibu tirinya.
“Borak punya borak, dah pukul sepuluh setengah ni, mak cik. Perut Ika dah lapar. Jom kita tengok apa yang tinggal kat atas meja tu.” Dia segera mengalih topik perbualan.
“Mohlah, perut aku pun dah lapar juga ni.” Sahut Fatimah sambil mengangkat punggungnya yang besar dengan segala susah payah.
Zulaika sedang menuang Milo untuk ibu tirinya ketika telefon di ruang tamu berdering.
“Talipon tu, Ika!”
“Ya, mak cik.” Dia segera memekapkan gagang telefon ke telinganya. “Assalamualaikum.” Ucapnya seperti biasa.
Suara suaminya kedengaran di hujung talian, menjawab salamnya. “Ika dengan mak cik buat apa tu?” soal Yusuf Hakimi.
“Baru nak tuang air, bang. Laparlah!”
“Mengulang ke?” usik Yusuf Hakimi. Zulaika mengekel.
“Abang balik makan ke tengah hari ni?” dia segera menyoal.
“Taklah. Abang ada banyak kerja kat ofis. Abang dah hantar Fatin ke pejabat Fauzan tadi. Pukul lima petang nanti abang akan ambil dia dan balik bersama. Ika tak payah masaklah malam ni ya sebab abang ingat nak belanja mak cik dan Fatin makan kat luar. Kalau mama abang nak ikut nanti, kita bawalah sama!”
“Bagus juga cadangan abang tu. Lagipun mak cik dah cakap dengan Ika tadi, dia nak balik kampung pagi-pagi esok sebab nak uruskan warungnya tu lah.” Zulaika memberitahu suaminya.
“Ya, abang faham. Orang berniaga ni mana boleh bercuti lama-lama. Ika tanya mak cik pasal cadangan nak carikan gerai untuk dia membesarkan perniagaannya tu?”
“Belum lagi, bang. Ika rasa lain kali ajelah kita bangkitkan hal tu. Uruskan warung kecil tu pun mak cik tak cukup tangan.” sahut Zulaika.
“Yelah, sebelah tangannya dah berada di Kuala Lumpur. Dah terikat dengan lelaki bernama Yusuf Hakimi kan?” usiknya.
“Abang ni! Kalau Ika tak ada pun, warung mak cik tu masih ada orang lain yang uruskan!”
“Tapi air tangan Ika mana sama dengan air tangan minah Indon tu!” lelaki itu berdekah. “Okeylah Ika, abang telefon ni sebab nak bagitau Ika pasal plan petang ni aje. Sampaikan salam abang pada mak cik ya. Bye sayang, I love you.”
“Bye, I love you too!” sahut Zulaika.
“Yahoo!” dia mendengar suaminya menjerit di hujung talian. Dan senyumnya masih melebar di bibir ketika dia merapati meja makan.
“Apa kata suami kau, Ika?” soal Fatimah yang turut menelinga perbualan anak tirinya itu.
“Abang Yusuf kata petang ni tak payah masak sebab dia nak bawa kita makan kat luar.” Katanya sambil mencapai mangkuk mi gorengnya.

Ahad, 2 Februari 2014

JANGAN ADA CEMBURU











Riuh rendah di muara sungai, suara kambing dan lembu saling bertingkah dan bertikam lidah. Seekor lembu jantan yang mempunyai kulit yang cantik, perang bersih, tiada langsung kekotoran, duduk bersantai di tepi muara sungai. Seekor kambing perang memandang ke arah seekor kambing luar negara yang berkulit cantik dan lebat bulunya. Timbul rasa cemburu di hati.

Di sungai itulah tempat mereka berkumpul setiap pagi. Di situlah tempat mereka meragut rumput hijau yang menjadi santapan mereka setiap hari. Itulah makanan asasi setiap diri.

Rezeki yang ada biarkan berkongsi, jangan tamak dan jangan lupa diri. Rumput bukan setapak tetapi seluas saujana mata memandang. Luas dan lebar. Tidak perlu berebut-rebut. Pilih sahaja di mana hendak bertapak. Di bawah pokok, di tepi sungai ataupun di tengah-tengah padang. Cahaya mentari membakar terik langsung tidak berkesan kepada mereka. Cuma kalau hujan yang mendatang bertempiaranlah mereka lari mencari tempat berteduh. Dalam meragut rumput masih lagi sempat mengata sesama sendiri tanpa rasa bersalah di hati. Tidak dikira perasaan cemburu yang terbit secara tiba-tiba melihat kehadiran binatang yang mereka tidak suka.

Berapi-api rasa cemburu di hati binatang lain. Melihat kesegakan kambing dan lembu itu membuatkan mata dan hati binatang-binatang itu bernanah dan berdarah menahan rasa cemburu yang membuak-buak di jiwa masing-masing.

“Berlagak sungguh!” kata seekor kambing betina sambil mengibas-ngibas ekornya.

“Biarkan ia, selama mana dia hendak berlagak, tempat kita di sini tidak sama seperti tempat asal ia. Kita tengoklah sama ada ia boleh menyesuaikan diri,” sampuk seekor lembu yang sibuk mengunyah rumput yang telah diragut dan disimpan di dalam mulutnya. Sambil duduk bersantai, sambil mengunyah.

“Hey, cuba tengok, dia cuba goda siapa tu? Amboi, gedik sunggu,” kata lembut yang sedang duduk mengunyah.

“Laa… laki kau itu, bukan main lagi, siap menyondol,” tempek seekor lembu yang sejak tadi hanya menjadi pendengar.

“Laki siapa? Laki kau? Kau cemburu ke? Binatang ada nikah ke?” sindir satu suara. Kambing berwarna putih berjalan mendekati kumpulan kambing dan lembu yang sedang bersantai sambil menikmati makanan mereka. Berbual kosong sudah menjadi rutin mereka apabila berkumpul bersama.

“Amboi, mulut kau putih, tak ada insuran langsung! Ikut sedap sahaja,” Lembu berwarna perang menjeling tajam.

“Aku cakap betul, biarlah kambing baka luar negara itu bersatu dengan baka tempatan, nanti lahirkan baka yang cantik dan menarik.” Kata kambing putih lagi
.
“Uhuh, tiada maknanya!” kata lembu perang itu lagi.

Mata binatang-binatang itu masih lagi terarah kepada kambing dan lembu baka luar negara itu. Mereka memandang dengan penuh rasa cemburu di hati. Kenapalah tuan mereka sanggup berhabis beribu-ribu ringgit hanya untuk kambing seperti itu. Apa yang istimewa sangat? Sama sahaja seperti binatang lain, berkaki empat, ada ekor dan berbulu. Tiada bezanya dipandangan mata manusia. Lainlah ia boleh berjalan menggunakan dua kaki, boleh bercakap seperti manusia, boleh menari baharulah ia dihormati dan ada istimewanya.

“Hoi, pendatang… itu laki akulah,” jerit seekor lembu betina. Menapak mendekati kambing dan lembu luar negara itu.

“Mana laki kau?” tanya lembu betina luar negara itu. Matanya memandang kumpulan lembu dan kambing yang berada tidak jauh dari tempat ia meragut.

“Itu laki aku!” sambil memuncungkan bibirnya yang besar dan lebar itu ke arah lembu jantan yang berkulit licin dan berkilau itu.

“Hoi, jantan! Jangan buat tak faham! Aku tengah buntingkan anak kau, sedap-sedap nak pikat yang lain ya,” marah lembu betina itu lagi.

“Mana ada?” kata lembu jantan itu seolah-olah tidak mengerti apa yang dimaksudkan oleh lembu betina yang sedang sarat itu.

“Hey, lembu betina. Kita bukan manusia, kerja si jantan membuntingkan betina agar keturunan kita membiak dan tuan kita semakin besar pusat ternakannya. Mana boleh sekat-sekat si jantan membuntingkan yang lain! Kau ini tak faham atau pura-pura tak faham?” tanya lembu luar negara itu. Ketawanya pecah.

“Yalah, kenapa harus ada cemburu sedangkan memang peranan kita si jantan membuntingkan betina. Tidak perlu marah-marah atau cemburu!” kata lembu jantan yang sedang berehat sambil menikmati rumput segar.

Terdiam seketika kambing berwarna perang itu. Benarlah kata kawan-kawannya. Buat apa rasa cemburu sesama mereka, sedangkan mereka adalah satu bangsa satu budaya, namapun binatang, apa bezanya. Jantan tugasnya membuntingkan betina, agar betina mampu melahirkan banyak lagi anak-anak kambing dan lembu, membiak. Semakin banyak, semakin untunglah tuan punya. Manusia jangan pula ikut resmi binatang, binatang ada sebabnya. Manusia ada peraturannya. Kambing itu menyengih sendiri. Untung juga jadi kambing biar busuk tapi mahal harganya. Untung jadi binatang bebas buat apa sahaja. Cuma ada juga peraturannya, jangan ceroboh tanah orang lain.

Kambing baka luar negara mendekati kambing perang yang sedang santai, matanya sudah dipejamkan. Melayan kantuk yang tiba-tiba menerpa. Rumput itu ada ubat tidurkah, detik hati kecil kambing perang sehingga tidak sedar kehadiran kambing baharu di hadapan matanya.

“Amboi, enak tidur sambil makan? Tak tercekik ke?” gurau kambing luar negara. Kambing perang membuka mata Dia mendengus kasar, marah tidurnya diganggu-gugat.

“Kau hendak apa? Menganggu lenaku?” tengking kambing perang tanpa ada rasa segan dan silu. Namapun binatang mana tahu adab dan sopan.

“Bukankah binatang tidur di sebelah malam, siang berjaga mencari makan?” sindir Kambing baka luar negara.

“Ikut suka akulah, hendak berjaga atau mengunyah sambil pejamkan mata, kau peduli apa?” marah kambing perang. Pantang dia diganggu, semua rakan-rakan tahu, suka menyendiri mencari ilham untuk menyusun kata-kata memikat kambing jantan yang segak-segak berlaka, terutama kambing sebelah kandang tuannya.

“Tidak bolehkah kita berkawan, bukan bermusuh? Tinggal sekampung bersatu hatilah sesama kita. Padang ini luas, jantanpun banyak, usah ada risau di hati kau,” sindir kambing luar negara.

“Kalau hendak berkawan tidaklah perlu kau menyindir, aku bukan budak lagi, aku faham kata-kata kau.” Kambing perang mula mengendur. Wajah kambing luar negara ditatap seketika.

“Kau tidak pernah dengar ke bidalan manusia, bersatu kita teguh, bercerai kita roboh!” sampuk lembu luar negara juga sudah menghampiri kambing perang yang masih tidak mahu bermesra dengan kedua-dua binatang itu.

“Bukankah bercerai, kahwin lain?” kata lembu perang sambil ketawa.

“Peduli apa aku! Diri aku, aku sendiri jaga. Kau tak perlu ambil tahu!” Kambing perang bergerak bangun dan menapak ke muara sungai tempat para binatang menghilangkan dahaga.

Kambing perang berjalan sambil mendada. Ia tidak perasan ada tanah lembik berhampiran sungai. Ia terus tergelincir. Terjerit-jerit kambing perang minta diselamatkan.

Kumpulan kambing dan lembu terkejut mendengar jeritan kambing perang. Kumpulan itu terus menerpa ke sungai.

“Kambing perang lemas! Tolong!” jerit kambing luar negara.

“Siapa pandai berenang?” tanya lembu luar negara.

Masing-masing saling berpandangan.

“Ah, buang masa sahaja aku bertanya,” kambing luar negara terus terjun ke sungai. Dengan kaki hadapannya dia menarik leher kambing perang dengan sekuat tenaga. Diri hampir terkorban sama apabila kambing perang pula bertindak menarik lehernya.

Keadaan menjadi kecuh semula, suara binatang-binatang itu saling menjerit. Lembu perang terjun ke dalam sungai, ingin membantu. Akhirnya berjaya juga menarik kambing perang naik ke tebing sungai. Termuntah-muntah kambing perang. Sejuk menggigil. Kambingkan takut dengan air. Mana ada kambing mandi atau terjun ke sungai.

“Kau berhutang nyawa dengan aku, namun aku tidak akan meminta balasan. Kita hidup saling tolong menolong, saling bantu membantu. Jangan dipandang kepada imbuhan. Pandanglah kebaikan yang kita perolehi bersama. Aku kambing juga walaupun datang dari luar negara. Tiada apa yang membezakan kita. Hamba ALLAH juga,” kata kambing luar negara yang basah kuyup.

“Terima kasih kawan!” kata kambing perang. Dia menyesal atas kesombongan diri sendiri terhadap sesama jenisnya.

Semua kambing dan lembu bersorakan gembira kerana kambing perang tidak apa-apa. Terselamat dari menjadi mangsa sungai yang deras airnya. Hubungan yang jauh menjadi dekat, perasaan benci bertukar sayang.

Kambing perang insaf sendiri, lain kali jangan pandang apa sahaja dengan sebelah mata. Hidup di dunia hanya sementara tiba masanya bertemu dengan pencipta-NYA. Nyaris dia kembali kepada ALLAH SWT. Hidup bersama tanpa sengketa pasti terbit bahagia. Hidup berkongsi apa sahaja pasti membawa gembira. Cemburu api pembakar setia kawan. Cemburu pemusnah sebuah kekeluargaan.. 

RINDU YUSUF, CINTA ZULAIKHA - BAB 15 KARYA SITI ROZILAH.

Bab 15

HARI dan masa yang dijanjikan tiba juga. Zulaika dengan ditemani oleh suaminya dan juga Atika Ayuni menunggu ketibaan Fatimah serta Fatin Adiba di terminal bas Puduraya. Suasana di sana agak sesak dengan orang ramai. Setelah melihat Fatimah dan anaknya tiada di platform yang telah dijanjikan, mereka bertiga melilau mencari.
“Tupun Fatin dan Mak Cik Timah!” kata Atika Ayuni dengan agak kuat sambil menudingkan jari telunjuknya ke suatu arah. Mata Zulaika dan suaminya mencorong ke arah yang dimaksudkan. Memang betul, kelihatan Fatin Adiba dan Fatimah sedang berdiri berhampiran dengan sebuah gerai yang menjual pelbagai jenis makanan ringan termasuklah buah-buahan yang telah siap dipotong-potong yang diisi ke dalam plastik-plastik kecil.
Yusuf Hakimi sekadar geleng kepala. Hey, menyusahkan betul! Kita suruh depa tunggu kat platform tujuh, depa berdiri kat tepi gerai tu pulak, dia mendengus dalam hati. Dengan rasa mendongkol yang cukup kuat dalam hati, dia sekadar membuntuti isterinya dan juga Atika Ayuni merapati kedua orang manusia yang baru datang dari kampung terpencil itu.
“Apa khabar, mak cik?” hei, nak salam dengan pompuan gemuk ni pun rasa macam tak ikhlas aje, desis hatinya sambil sedaya mungkin untuk bermanis muka dengan Fatimah. Kemudian matanya melirik ke arah Fatin Adiba yang nampak lesu sahaja.
“Kenapa diam aje ni, Fatin? Letih ke?” soal Zulaika ketika mereka dalam perjalanan pulang ke rumah.
“Dia tak berapa sihat sikit. Dah tiga hari dia demam ringan.” Fatimah segera menjawab. Fatin Adiba di sisinya hanya mengangguk. “Suf, Ika kata temuduga tu, esokkan?”
“Ya, mak cik.”
“Boleh tak kalau Fatin berehat sehari lagi kat rumah kau? Kalau ditangguhkan pada hari Selasa ni, macam mana?”
“Err... saya akan cuba telefon kawan saya tu kejap lagi. Tapi kalau Fatin tak sihat, saya rasa temuduga tu boleh ditangguhkan.” Sahut Yusuf Hakimi.
“Kau demam apa, Fatin?” soal Atika Ayuni pula.
Fatin Adiba diam tak berkutik.

“TERIMA KASIH kerana benarkan aku tinggal kat rumah kau ni, Ika.” Kata Fatin Adiba ketika membawanya masuk ke bilik yang disediakan khas untuknya.
“Sama-sama. Ala, pertolongan kecil aje ni. Ika harap kau selesa di bilik ni nanti.” Jawab Zulaika.
Fatin Adiba melilau ke seluruh ruang bilik. Kalau hendak dibandingkan dengan biliknya di kampung sana, bilik ini nyata lebih selesa dan luas. Dia tersenyum lebar.
“Betul ke kau tak nak makan apa-apa ni?” soal Zulaika.
Fatin Adiba geleng kepala.
“Aku nak rehat kejap. Kalau dah lapar nanti, aku turunlah.” Katanya.

ATIKA AYUNI sedang sibuk mengatur hidangan di meja makan. Menu utamanya petang itu ialah mi kari dan kuih koci labu yang disediakan oleh Zulaika.Yusuf Hakimi pula sedang berbual dengan Encik Fauzan meminta jasa baiknya agar menangguhkan temuduga untuk Fatin Adiba ke hari Selasa.
“Macam mana, bang? Apa kata Encik Fauzan?” soal Zulaika yang baru turun dari tingkat atas.
“Dia tak ada masalah.” Sahut suaminya. “Mana Fatin? Dia tak turun minum ke?”
“Dia nak berehat kat dalam bilik. Katanya kalau ah lapar nanti, dia turunlah.” Sahut Zulaika.
“Jangan jadi tuan puteri sudahlah...”
“Isy, abang ni! Dia betul-betul tak sihat tu. Ika tengok mukanya lesu aje. Bang, pelawalah mak cik tu ke meja makan.” Bisiknya ke telinga suami.
“Uh, Ika ajelah yang pelawa dia!” sahutnya pantas. Zulaika geleng kepala.
“Mak cik, jom kita minum. Ika buat mi karilah petang ni.” Hangat dan mesra suaranya membuatkan Fatimah tersenyum lebar.
Dia angkat punggung dan membuntuti anak tirinya ke meja makan.

ATIKA AYUNI dan Zulaika duduk di sebuah kerusi batu di halaman rumah sementara menunggu ketibaan Taufik.
“Kau rasa Fatin tu sakit apa, tak keluar-keluar dari bilik sampai sekarang?” soal Atika Ayuni setelah puas bersembang tentang tatacara menjaga taman seindah taman mini di halaman rumah milik Zulaika dan suaminya.
“Ika tak tanya pun. Ala, letih agaknya sebab perjalanan jauh.” Ringkas jawapan yang keluar dari bibirnya.
“Betul ke Ika sanggup jaga dia?”
“Nak buat macam mana, Ayu, dah dia adik tiri Ika. Kenalah juga bertanggung jawab. Tapi dia kan dah besar panjang, pandai-pandailah dia jaga dirinya sendiri. Tugas Ika dan Abang Yusuf adalah untuk menasihatinya aje. Ah... Ayu ni tak habis-habis nak bangkitkan persoalan tu. Think positivelah.”
Atika Ayuni tergelak kecil mendengar Zulaika menyebut perkataan Inggeris.
“Kau ni, Ika, sejak jadi isteri Abang Yusuf ni makin bijaklah!”
Zulaika mengekel. “Terima kasih kerana memuji. Emm... Ika nak tanya sikit, boleh tak?”
“Tanya banyak pun boleh...”
“Macam mana hubungan Ayu dengan Taufik?”
“Kalau nak rahsiakan yang tu, boleh tak?” usik Atika Ayuni.
“Ala... tak bestlah macam ni!”
“Macam harapan kau tentang Fatin, think positive! Buat masa sekarang ni, kami berdua masih lagi dalam peringkat saling mengenali hati budi masing-masing. Tapi terus-terang Ayu katakan yang Ayu sukakan dia!”
“Wow! Tu petanda baik. Taufik pula macam mana?”
“Daripada layanan yang diberikannya pada Ayu, rasa-rasanya kami memang mengongsi perasaan yang sama. Tapi dia belum declare apa-apa lagi, tau!”
Zulaika bertepuk tangan. Hatinya gembira mendengar perkembangan terkini itu.
“Ika harap hubungan ni menjadi.” Tingkahnya bersungguh-sungguh.

Jumaat, 31 Januari 2014

BAHAGIA MILIK KITA - BAB 16





 

BAB 16          
            Mariam memandang sahaja tingkahlaku anak lelakinya  yang mundar-mandir di dalam rumah.  Wajah penuh kegelisahan.  Dia melangkah ke ruang tamu.  Terus melabuhkan punggung di sofa.  Wajah kelat anak lelakinya ditenung lama.
            “Kenapa mak?  Tengok Kadir macam nak telan aje?”  Kadir kurang senang ditenung begitu. 
            “Pergilah menyerah diri, hidup dibawah kesengsaraan orang lain, hati kita takkan tenteram.”
            “Apa mak cakap ini?  Kadir tak faham?” Kadir mengerling sekali imbas ke arah Mariam yang masih memandangnya tidak berkelip.
            “Kau jangan nak bohong mak, Kadir?  Mak tahu kau yang merompak pasaraya tempat kau bekerja.  Lepas itu kau letak barang curi di dalam bakul motosikal  arwah  Mak Cik Halimah kau dan arwah Pak Cik Hafiz, tidak pasal-pasal nama mereka buruk kerana kau!” marah Mariam. 
            “Mak jangan nak tuduh Kadir?  Kadir tak buat itu semua?”  Kadir menafikannya. 
            Mariam mencebik.  Dia menarik tangan Kadir duduk di sebelahnya.
            “Mak lahirkan kau di dunia ini, bukan untuk buat kau jadi anak durhaka dan perosak kehidupan orang lain.  Biarkau bodoh!  Tidak pandai.  Biar kau tidak bekerja! Tapi kau jadi manusia baik, berhati mulia.  Kau hancurkan hati mak, Kadir.  Kau pecah-belahkan perasaan emak!  Kenapa tergamak kau dan ayah bersekongkol menfitnah ahli keluarga sendiri, anak-anak mak cik kau hidup melarat tidak terbela.  Kau penyebabnya!”   Hati  Mariam benar-benar sakit sejak hari dia mendengar perbualan anak dan ayah tempohari.
            “Mak nak Kadir masuk penjara ke?”  Kadir bengang.  Memang dia bersalah.  Dia terdesak.  Gajinya tidak cukup menyara kehidupannya yang suka berjudi.  Lagipun hutangnya juga banyak.  Tidak tahu bagaimana hendak bayar.  Minta daripada ayahnya langsung tidak dilayan.  Hanya itu yang dapat difikirkan ketika itu.  Merompak.  Kebetulan  waktu itu bahagian pengambilan sedang mengutip duit jualan.   Dia yang membawa duit itu keluar.    Kesempatan itu diambil untuk merompak duit tersebut.  Belum sempat dia berbuat apa-apa ada rakan setugas yang perasan, duit yang diletakkan di atas meja hilang.  Dia terus keluar dan meletakkan bungkusan yang berisi puluhan ribu ringgit itu ke dalam  motosikal Pak Cik Hafiz yang  menunggu di hadapan pasaraya.  Dia terus menjerit mengatakan Pak Cik Hafiz pencuri apabila terlihat kelibat polis.  Pihak polis ingat Pak Cik Hafiz ingin melarikan diri, rupanya hendak ke bilik air, beliau terus ditembak, salah satu peluru terkena Mak Cik Halimah yang baharu sahaja keluar dari pintu  pasaraya.  Dia sendiri terkejut sebenarnya.
            “Biar kau masuk penjara daripada kau menganiaya orang lain!” tinggi nada suara Mariam.  Mahu sahaja dia mengheret anak lelakinya itu ke balai polis.  Nama adik ipar dan birasnya harus dibersihkan.  Dia tidak mahu bersekongkol dengan suami dan anaknya itu.  Mereka memang kejam.  Suaminya pula menabur fitnah sekelililing kampung demi menjaga nama baik anak sendiri.  Kejam.
            “Mak! Ingat senang ke duduk di penjara?  Mak nak saya mati kering?”  Kadir mencebik.
            “Biar mati kering dari mati menangung dosa orang lain! Mak bagikau peluang Kadir, jika tidak mak sendiri akan buat aduan ke balai polis!” ugut Mariam.
            “Mak!”  Kadir mengeluh kesal.  Kalau boleh dia hendak keluar dari rumah itu.  Dia sudah jemu duduk berkurung di dalam rumah.
            “Mak tak nak tanggung dosa kau Kadir.  Mak tak nak ada anak macam kau!  Solat tidak, mengaji jauh sekali.  Sedangkan waktu kecil dahulu semua itu emak ajar, emak cuba menjadi seorang ibu yang baik.  Tapi bila besar, apa jadi dengan kau?  Berjudi, berhutang, lepas tu merompak pula!”  Mariam benar-benar kecewa.  Hatinya sudah terhempas ke batu.  Terluka dan berderai. 
            “Sepupu-sepupu kau jadi mangsa, merempat mereka.  Semua kerana kau dan ayahkau punya angkara.  Malulah dengan  ALLAH, Kadir.  Kalaupun tidak mahu malu dengan manusia.  Berlaku benarlah atas kesilapan sendiri.  Tiada ruginya.  Berani buat salah, beranilah tanggung. Kau ingat, kau boleh selamanya menungkat langit?”  semakin keras nada suara Mariam.  Kenapalah anaknya tidak mahu faham hatinya sebagai seorang ibu.  Dia tidak mahu menjadi manusia buta hati, buta rasa.  Hendak membantu anak-anak yatim piatu itu juga tidak boleh.  Entah bagaimana nasib mereka.  Hampir gugur air matanya bila terkenangkan apa yang terjadi.
            “Mak jangan masuk campur hal Kadir! Kalau polis datang cari Kadir, tahulah Kadir siapa yang buat aduan!”  Kadir bingkas bangun.  Dia mencekak pinggang.
            “Kau nak kurangajar dengan mak pula, Kadir?  Tak habis-habis buat perangai burukkau  itu!”  lengking Mariam.  Rasa hendak naik penampar ke muka anak lelakinya itu yang tidak makan diajar.
            “Rimaslah duduk di rumah! Hendak keluar tidak boleh, mak pula asyik berleter!”  Kadir menghempas punggung ke sofa.  Dia mencuka, bibir tidak mampu tersenyum lagi.  Sudah bosan mengurung diri.  Kalau ikut hati dia keluar sahaja dari rumah itu.  Biar dia lari pergi.  Tidak sanggup lagi hidup terkurung.
            “Siapa suruh  jadi penjenayah? Siapa suruh kau merompak?  Siapa suruh kau khianat saudara sendiri?  Hah! Sekarang rasalah!”   kalau boleh dia tidak mahu membenci anak sendiri.  Buruk-burukpun anak dia juga.  Tapi  hati siapa boleh tahan, jika perangai anak sudah keterlaluan.  Berdoa, itu sahajalah jalan yang dia ada.  Kepada ALLAH SWT dia berserah.  Semoga pintu hati anaknya terbuka untuk berubah dan menjadi manusia dan insan yang baik hati budinya.  Susah sangatkah menjadi anak yang baik kepada orangtuanya?  Mahal sangatkah permintaannya? 
            “Mak bukan nak menenangkan hati Kadir yang berserabut ini!  Malah menambah beban sahaja!”  Kadir menjeling tajam.
            “Kalau nak hati yang tenang, sujud kepada ALLAH, bukan jadi hamba syaitan!”   jerit Mariam sudah hilang sabar.  Sudah tidak mampu menahan rasa dan tutur kata.  Anak yang tidak sedar diuntung.  Tidak mahu mendengar nasihat dan hanya mengikut hawa nafsu.  Ada ketua keluarga juga begitu.  Hati busuk mengalahkan bangkai.  Mariam berlalu pergi.  Buat sakit mata dan hati kalau berlama-lama melihat anak sendiri.    Dia ke anjung rumah.  Cuba menenangkan diri.  Di awal pagi sudah membebel kepada zuriat yang dikandung dengan penuh rasa kasih dan sayang.  Bila besar kenapa hidupnya menyusahkan.  Air mata kekecewaan seorang ibu mengalir  lalu.  Di mana salah dan silapnya dalam mendidik?  Bukan ini yang dia harapkan daripada seorang anak.  Kejayaan dan menjadi manusia berguna itulah harapan seorang ibu.  Sudah berkali-kali diberitahu bagaikan tidak mengerti.  Hati syaitan juga yang menjadi ikutan diri.
            Di kejauhan kelihatan seorang pemuda sedang mendukung adik dan mengheret dua orang lagi.  Berkerut dahi Mariam memerhati.  Bagaikan kenal yang empunya diri. Adakah Haikal dan adik-adiknya? Mereka hendak ke mana?  Air mata yang berbaki dikesat dengan jari.