Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Ahad, 2 Februari 2014

RINDU YUSUF, CINTA ZULAIKHA - BAB 15 KARYA SITI ROZILAH.

Bab 15

HARI dan masa yang dijanjikan tiba juga. Zulaika dengan ditemani oleh suaminya dan juga Atika Ayuni menunggu ketibaan Fatimah serta Fatin Adiba di terminal bas Puduraya. Suasana di sana agak sesak dengan orang ramai. Setelah melihat Fatimah dan anaknya tiada di platform yang telah dijanjikan, mereka bertiga melilau mencari.
“Tupun Fatin dan Mak Cik Timah!” kata Atika Ayuni dengan agak kuat sambil menudingkan jari telunjuknya ke suatu arah. Mata Zulaika dan suaminya mencorong ke arah yang dimaksudkan. Memang betul, kelihatan Fatin Adiba dan Fatimah sedang berdiri berhampiran dengan sebuah gerai yang menjual pelbagai jenis makanan ringan termasuklah buah-buahan yang telah siap dipotong-potong yang diisi ke dalam plastik-plastik kecil.
Yusuf Hakimi sekadar geleng kepala. Hey, menyusahkan betul! Kita suruh depa tunggu kat platform tujuh, depa berdiri kat tepi gerai tu pulak, dia mendengus dalam hati. Dengan rasa mendongkol yang cukup kuat dalam hati, dia sekadar membuntuti isterinya dan juga Atika Ayuni merapati kedua orang manusia yang baru datang dari kampung terpencil itu.
“Apa khabar, mak cik?” hei, nak salam dengan pompuan gemuk ni pun rasa macam tak ikhlas aje, desis hatinya sambil sedaya mungkin untuk bermanis muka dengan Fatimah. Kemudian matanya melirik ke arah Fatin Adiba yang nampak lesu sahaja.
“Kenapa diam aje ni, Fatin? Letih ke?” soal Zulaika ketika mereka dalam perjalanan pulang ke rumah.
“Dia tak berapa sihat sikit. Dah tiga hari dia demam ringan.” Fatimah segera menjawab. Fatin Adiba di sisinya hanya mengangguk. “Suf, Ika kata temuduga tu, esokkan?”
“Ya, mak cik.”
“Boleh tak kalau Fatin berehat sehari lagi kat rumah kau? Kalau ditangguhkan pada hari Selasa ni, macam mana?”
“Err... saya akan cuba telefon kawan saya tu kejap lagi. Tapi kalau Fatin tak sihat, saya rasa temuduga tu boleh ditangguhkan.” Sahut Yusuf Hakimi.
“Kau demam apa, Fatin?” soal Atika Ayuni pula.
Fatin Adiba diam tak berkutik.

“TERIMA KASIH kerana benarkan aku tinggal kat rumah kau ni, Ika.” Kata Fatin Adiba ketika membawanya masuk ke bilik yang disediakan khas untuknya.
“Sama-sama. Ala, pertolongan kecil aje ni. Ika harap kau selesa di bilik ni nanti.” Jawab Zulaika.
Fatin Adiba melilau ke seluruh ruang bilik. Kalau hendak dibandingkan dengan biliknya di kampung sana, bilik ini nyata lebih selesa dan luas. Dia tersenyum lebar.
“Betul ke kau tak nak makan apa-apa ni?” soal Zulaika.
Fatin Adiba geleng kepala.
“Aku nak rehat kejap. Kalau dah lapar nanti, aku turunlah.” Katanya.

ATIKA AYUNI sedang sibuk mengatur hidangan di meja makan. Menu utamanya petang itu ialah mi kari dan kuih koci labu yang disediakan oleh Zulaika.Yusuf Hakimi pula sedang berbual dengan Encik Fauzan meminta jasa baiknya agar menangguhkan temuduga untuk Fatin Adiba ke hari Selasa.
“Macam mana, bang? Apa kata Encik Fauzan?” soal Zulaika yang baru turun dari tingkat atas.
“Dia tak ada masalah.” Sahut suaminya. “Mana Fatin? Dia tak turun minum ke?”
“Dia nak berehat kat dalam bilik. Katanya kalau ah lapar nanti, dia turunlah.” Sahut Zulaika.
“Jangan jadi tuan puteri sudahlah...”
“Isy, abang ni! Dia betul-betul tak sihat tu. Ika tengok mukanya lesu aje. Bang, pelawalah mak cik tu ke meja makan.” Bisiknya ke telinga suami.
“Uh, Ika ajelah yang pelawa dia!” sahutnya pantas. Zulaika geleng kepala.
“Mak cik, jom kita minum. Ika buat mi karilah petang ni.” Hangat dan mesra suaranya membuatkan Fatimah tersenyum lebar.
Dia angkat punggung dan membuntuti anak tirinya ke meja makan.

ATIKA AYUNI dan Zulaika duduk di sebuah kerusi batu di halaman rumah sementara menunggu ketibaan Taufik.
“Kau rasa Fatin tu sakit apa, tak keluar-keluar dari bilik sampai sekarang?” soal Atika Ayuni setelah puas bersembang tentang tatacara menjaga taman seindah taman mini di halaman rumah milik Zulaika dan suaminya.
“Ika tak tanya pun. Ala, letih agaknya sebab perjalanan jauh.” Ringkas jawapan yang keluar dari bibirnya.
“Betul ke Ika sanggup jaga dia?”
“Nak buat macam mana, Ayu, dah dia adik tiri Ika. Kenalah juga bertanggung jawab. Tapi dia kan dah besar panjang, pandai-pandailah dia jaga dirinya sendiri. Tugas Ika dan Abang Yusuf adalah untuk menasihatinya aje. Ah... Ayu ni tak habis-habis nak bangkitkan persoalan tu. Think positivelah.”
Atika Ayuni tergelak kecil mendengar Zulaika menyebut perkataan Inggeris.
“Kau ni, Ika, sejak jadi isteri Abang Yusuf ni makin bijaklah!”
Zulaika mengekel. “Terima kasih kerana memuji. Emm... Ika nak tanya sikit, boleh tak?”
“Tanya banyak pun boleh...”
“Macam mana hubungan Ayu dengan Taufik?”
“Kalau nak rahsiakan yang tu, boleh tak?” usik Atika Ayuni.
“Ala... tak bestlah macam ni!”
“Macam harapan kau tentang Fatin, think positive! Buat masa sekarang ni, kami berdua masih lagi dalam peringkat saling mengenali hati budi masing-masing. Tapi terus-terang Ayu katakan yang Ayu sukakan dia!”
“Wow! Tu petanda baik. Taufik pula macam mana?”
“Daripada layanan yang diberikannya pada Ayu, rasa-rasanya kami memang mengongsi perasaan yang sama. Tapi dia belum declare apa-apa lagi, tau!”
Zulaika bertepuk tangan. Hatinya gembira mendengar perkembangan terkini itu.
“Ika harap hubungan ni menjadi.” Tingkahnya bersungguh-sungguh.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan