Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Isnin, 3 Februari 2014

RINDU YUSUF, CINTA ZULAIKHA - BAB 16 ( SITI ROZILAH)

Bab 16

SELESAI mengerjakan solat Subuh, Zulaika segera turun untuk menyediakan sarapan pagi. Dia begitu lincah di dapur. Setengah jam kemudian semangkuk besar mi goreng, seteko Milo dan segelas nescafe pekat khas untuk suaminya telah siap dihidangkan di meja makan.
“Assalamualaikum.” Ujar Yusuf Hakimi sambil melemparkan ciuman hangat ke tengkuk isterinya. Zulaika segera berpaling dan melemparkan senyuman manis untuk suami tersayang.
“Waalaikumussalam.” Sahutnya lembut. “Jemput minum, bang.”
“Turun ni sebab nak minumlah. Eh, kenapa mak cik dan Fatin turun lagi ni?” soal Yusuf Hakimi.
Zulaika jongket bahu.
“Manalah Ika tahu. Agaknya Fatin tak tahu nak pakai baju yang mana untuk hadiri temuduganya.” Dia tergelak kecil. “Senang lagi orang yang kerja sendiri macam Ika ni kan, bang, tak payah nak susah-susah fikir tentang baju untuk ke tempat kerja. Pakai t-shirt dan kain batik macam ni pun boleh. Pakai baju tidur pun boleh!”
Yusuf Hakimi tersenyum.
“Tulah sebabnya abang tak bagi Ika keluar bekerja. Menulis kat rumah tu dah mencukupi. Kalau Ika tak nak bekerja langsung pun tak apa, abang ada. Abang boleh tanggung Ika.”
“Tapi terasa bosan juga. Apa taknya kadang-kadang tu sehari suntuk Ika tak jumpa manusia lain kecuali abang.” Tukas Zulaika sambil menyendukkan mi goreng ke pinggan suaminya.
“Senang aje kalau nak ubat kesepian Ika tu. Cepat-cepatlah mengandungkan zuriat abang.” Kata Yusuf Hakimi sambil membelai jari-jemari isterinya dengan sepenuh kasih sayang dan renungan penuh maknanya membuatkan Zulaika tersipu malu. “Kalau dah ada anak nanti, mesti Ika tak sunyi lagi...”
Ehem!
Bunyi deheman membuatkan saat-saat romantis mereka terganggu. Zulaika segera menarik jari-jemarinya dari genggaman Yusuf Hakimi. Sementara Yusuf Hakimi hanya tersengih ke arah Fatimah dan Fatin Adiba yang telah turun untuk menikmati sarapan pagi bersama mereka.
“Maaflah kalau mengganggu kau orang berdua.” Ujar Fatimah dengan selamba.
“Ala, tak ada apa-apalah, mak cik. Eh, duduklah Fatin. Kenapa tercegat aje kat situ? Cepatlah sarapan, malam tadi aku tengok kau makan sikit sangat.” Tingkah Zulaika sambil menghulurkan pinggan ke arah Fatimah.
Fatin Adiba menyengih. Dia menarik kerusi dan duduk di sebelah kiriYusuf Hakimi. Fatimah menjelingnya dengan ekor mata tanda kurang senang dengan telatah anak gadisnya itu. Namun dia hanya menunjukkan wajah selamba sahaja.
“Sikit sangat makan tu, Fatin?” soal Zulaika apabila dilihatnya Fatin Adiba telah selesai bersarapan.
“Cukuplah, Ika. Lagipun aku tak berselera sangat memikirkan temuduga yang akan aku hadapi sekejap lagi ni.” Sahutnya sambil melirik ke arah Yusuf Hakimi. Entah mengapa hatinya jadi tidak menentu tatkala duduk serapat itu dengan suami kakak tirinya.
“Alah, jangan risaulah. Soalan kacang aje tu...” sampuk Yusuf Hakimi.
“Aku harap kau berjaya dalam temuduga tu nanti, Fatin.” Kata Zulaika ketika menghantar gadis itu dan juga Yusuf Hakimi ke muka pintu.
“Terima kasih.” Jawabnya.
“Masuk bilik temuduga tu nanti jangan lupa baca bismillah dan selawat ke atas Nabi Muhammad tiga kali. Kelakuan kena jaga!” ingat Fatimah pula.
Fatin Adiba mengherotkan bibirnya. Pagi-pagi lagi gegendang telinga telah diasak dengan omelan ibunya.
“Aku pergi dulu, Ika.” Katanya pada Zulaika. Kakak tirinya angguk. “Mak, Fatin pergi dulu ya.” Katanya pada Fatimah pula. Setelah menyalam dan mencium tangan ibunya, dia bergegas masuk ke kereta Yusuf Hakimi yang telah sedia hendak bertolak ke tempat kerja.

YUSUF HAKIMI terpaksa bertoleransi dengan bau minyak wangi murah yang disembur oleh Fatin Adiba ke tubuhnya. Terasa cukup kekok ketika terpaksa berdua-duaan dengannya di dalam kereta kerana selama ini dia memang tidak pernah menyukai adik tiri isterinya itu.
Sunyi sepi memenuhi ruang. Keduanya lebih senang melayan fikiran masing-masing. Mungkin kerana tidak tertahan lagi dengan sunyi sepi itu, Yusuf Hakimi segera memasang radio.
“Banyak betul kenderaan kat KL ni kan, bang?” Yusuf Hakimi yang tidak menyangka gadis di sisinya akan mencari isu untuk diperbualkan hanya mengangguk.
“Hari-hari ke abang terpaksa berdepan dengan semua ni?”
“Ala, orang KL takde hallah dengan traffic jammed macam ni!” sahutnya.
Fatin Adiba melirik lelaki di sisinya dengan ekor mata. Bukan main sombong lagi mamat kota ni dengan aku ya, desis hatinya. Tak sedar diri isterinya perempuan kuno dari ceruk kampung!
“Abang memang lahir dan dibesarkan di pinggir KL ni lah, ya?”
“Hmm...”
“Tu yang Fatin pelik bila Ika bertemu jodoh dengan abang. Abang anak jati kota yang jatuh cinta dengan dara dari ceruk kampung! Ika tu berbelas tahun tak pernah jejakkan kaki ke bandar tau tak, bang, apatah lagi kota metropolitan macam KL ni... aleh-aleh sekarang ni dah jadi warga kota pulak.” Tukas Fatin Adiba dengan nada sinis.
“Apa yang nak dipelikkan? Kata orang tua-tua ikan di laut asam di darat, dalam peruk bertemu juga.”
“Macam mana abang boleh jatuh cinta dengan Si Ika tu? Seingat Fatin, lelaki kota macam abang ni akan memilih gadis kota juga untuk dijadikan isteri. Boleh ke Ika sesuaikan diri dia dengan kehidupan di kota ni dan kawan-kawan abang?”
“Kalau kau nak tahu sangat tentang tu, kau tanyalah yang empunya diri sendiri. Kenapa nak tanya abang?” hempuk Yusuf Hakimi sambil menekan minyak setelah lampu isyarat merah bertukar hijau.
“Sorrylah... Fatin saja aje nak tahu. Abang marah ke?”
“Taklah! Tapi terus-terang abang katakan kat sini yang abang memang tak berapa suka Fatin kemari.”
Fatin Adiba terlongo. Ditolehnya wajah lelaki di sisi.
“Kenapa?”
“Sebab reputasi engkau tu lah!”
“Cubalah abang cakap terang-terang dengan Fatin biar Fatin faham!”
“Okey, sekarang abang nak berterus-terang dengan kau, Fatin. Abang harap kau tak ambil hati. Kat kampung dulu kau asyik bertukar-tukar kerja aje. Mak cik pernah bagitau Ika yang kau malas dan selalu ponteng kerja dengan berbagai-bagai alasan. Ni abang nak ingatkan kau, bila kau dah ambil keputusan untuk bekerja di syarikat kawan abang ni, kerja betul-betul. Jangan buat malu abang dan Ika aje. Kau faham tak cakap abang ni?”
Fatin Adiba hanya membatu. Telinganya bagaikan berkeladak mendengar segala macam omelan di awal pagi begitu. Di rumah tadi dia telah dileteri oleh ibunya. Dan kini, Yusuf Hakimi pula?
“Fatin! Boleh tak janji dengan abang kau akan bekerja dengan bersungguh-sungguh dan jangan sesekali beri malu abang dan Ika?” tekan Yusuf Hakimi.
“Okey, Fatin janji tak akan hampakan abang dan juga Ika.” Sahutnya acuh tak acuh.
Lima belas minit kemudian mereka sampai ke destinasi yang dituju. Yusuf Hakimi menemankan Fatin Adiba sehingga ke bilik Encik Fauzan.
“Fatin, abang kena ke pejabat. Jam lima petang abang akan ambil Fatin kat sini. Tunggu sampai abang datang, okey.” Ingatnya pada Fatin Adiba. Gadis itu hanya mengangguk.

FATIMAH memandang anak tiri yang pernah dibencinya suatu ketika dahulu kerana dianggap membawa beban di pundaknya. Zulaika sedang asyik membaja dan menyiram bunga-bunga di halaman. Bukan setakat membenci malah tangannya juga pernah hinggap ke tubuh kurus Zulaika.
“Hoi, budak sial! Berani kau tidur lagi ya?” jeritnya ke arah Zulaika yang sedang mengerekot di atas tilam. “Dah pukul berapa ni? Kau nak warung kat depan tu tak berasap? Memang dasar pemalas!”
“Ika tak sihat hari ni, mak cik. Ika sakit perut... uzur.”
“Ada aje alasan kau. Bangun! Aku tak nak dengar sebarang alasan!”
“Tapi mak cik... Ika betul-betul...”
“Menjawab kau ya!” dia menyentap rambut panjang Zulaika sehingga anak gadis itu menjerit kesakitan.
“Tolonglah Ika, mak cik. Kenapa mak cik buat macam ni dengan Ika?”
Baik ngongoi ataupun rayuan Zulaika, semuanya tak diendahkan. Tangannya hinggap ke wajah mulus itu. Dia kemudiannya melangkah keluar dari bilik itu dengan ugutan bahawa kalau Zulaika tidak sampai juga di warung dalam masa sepuluh minit, sepak terajangnya akan hinggap lagi ke tubuh kurus itu.
Memang ya, suatu ketika dahulu Zulaika dijadikan macam babu baik di rumah mahupun di warung tempat dia berniaga. Setiap keringat gadis itu dikikisnya. Haknya untuk menyambung pelajaran sehingga ke tingkatan enam juga telah dinafikan sebaliknya dia lebih suka melihat Zulaika terperuk membantunya di warung. Kalau ada mana-mana lelaki kaya yang berkenan dengannya kelak, dia akan mengahwinkannya dengan anak tirinya itu.
Melihatkan keikhlasan Zulaika terhadapnya, kadangkala dia jadi malu pada diri sendiri. Anak arwah suaminya itu memang terkenal dengan sikapnya yang lembut hati serta baik budi pekerti. Dan yang paling penting Zulaika masih sanggup menabur kemaafan untuknya setelah begitu banyak penyesaan yang hinggap baik ke telinga mahupun ke tubuhnya.
Kini, hatinya yang murni dan pekertinya yang mulia telah dibalas oleh Tuhan setelah mempertemukan jodohnya dengan lelaki seperti Yusuf Hakimi. Siapa sangka anak gadis yang terperuk di warung itu akan bertemu jodoh dengan jejaka kota seperti sekarang?
Dia terbayangkan wajah anak kandungnya, Fatin Adiba. Anak gadis itu adalah anak emasnya. Tidak seperti Zulaika yang diperas setiap titis keringatnya, Fatin Adiba mendapat segala keistimewaan. Dia tidak pernah memaksa anaknya membantu di warung. Dia lebih suka anaknya duduk di rumah dan mengulangkaji pelajaran dengan harapan agar anak gadisnya itu akan berjaya dalam persekolahannya. Kalau boleh dia mahu memenuhi setiap permintaan Fatin Adiba. Hendak baju baru, dia belikan baju baru. Hendak alat mekap, dia belikan alat mekap.
Oleh sebab itulah orang-orang kampung juih bibir padanya yang membeza-bezakan kasih terhadap anak kandung dengan anak tirinya. Ketika orang sekeliling mengata, dia tidak merasa apa-apa di atas sikap pilih kasihnya itu. Dia menganggap Zulaika yang menumpang hidup dengannya wajar membalas setiap budi yang telah ditaburkannya.
Kini, setelah anak gadis itu dengan rela hati menabur kemaafan malah sanggup pula membantunya mencarikan kerja untuk adik tirinya, barulah rasa malu dan penyesalan datang bertimpa-timpa.
“Eh, mak cik...” kata Zulaika sebaik saja melihatkan kemunculan Fatimah di sisinya.
“Rajin kau tanam bunga ya, Ika?” puji Fatimah sambil melabuhkan punggungnya ke bangku batu.
“Saja nak isi masa lapang, mak cik. Sambil-sambil tu dapatlah keluarkan peluh sikit.” Sahutnya.
Fatimah senyum. Sejuk mata memandang kembang heliconia.................... yang mekar di halaman rumah itu.
“Mana kau dapat benih bunga ni, Ika?” soalnya ingin tahu.
“Kenapa? Mak cik nak tanam bunga ke?”
“Saja je nak tahu! Aku ni manalah ada masa nak tanam bunga. Menguruskan warung tu pun dah cukup memenatkan.” Ujarnya seolah mengeluh.
“Benih bunga ni Ika dapat daripada nurseri yang berhampiran. Kebetulan pula pengusaha nurseri tu adalah kawan Abang Yusuf. Jadi selalulah kami dapat potongan harga.” Terangnya. Fatimah terangguk-angguk.
“Ni bunga apa, Ika?”
.....................................
.......................................
Sinar matahari pagi yang menyuluh wajah membuatkan keduanya beralih ke tempat yang teduh.
“Rasa-rasanya dah dua tahun kau dan Yusuf kahwin kan, Ika?” Fatimah menoleh wajah bersih di sisinya. Zulaika angguk. “Belum ada tanda-tanda nak mengandung ke?”
“Belum lagi, mak cik. Entahlah, agaknya belum ada rezeki.”
“Kawan baik kau Si Sakinah yang baru kahwin tahun lepas pun dah mengandung empat bulan. Kau tak pergi check dengan doktor ke?”
Zulaika serba salah dengan pertanyaan sebegitu. Hati kecilnya juga sering tertanya-tanya kenapa sehingga kini dia dan Yusuf Hakimi masih gagal untuk menimang cahayamata? Malah dia pernah juga bertanya dengans uaminya itu apabila sering sangat dihentakkan dengan pertanyaan oleh orang-orangd i sekelilingnya, tetapi dengan tenang Yusuf Hakimi berkata usia perkahwinan mereka masih terlalu muda. Cuma rezeki mereka yang mungkin masih belum tiba.
“Sabarlah, Ika. Apa nak dirisaukan sangat dengan kata-kata orang? Kita baru aje dua tahun berkahwin. Ada pasangan tu yang sepuluh... lima belas tahun kahwin baru dapat anak. Anak ni anugerah Allah. Insya-Allah suatu hari nanti Dia akan kurniakan kita dengan seorang anak yang sihat, comel dan cantik seperti kita berdua.” Pujuk Yusuf Hakimi.
“Kita sabar dan doa ya, sayang.” Tingkah suaminya lagi memadamkan segala kegusaran yang bertapak di hatinya.
Memang betul kata Yusuf Hakimi, zuriat adalah anugerah Allah Taala pada hamba-Nya. Manusia harus berusaha, berdoa dan bertawakkal dan bukannya menyerah kalah.
“Ika, kau tak ada check doktor ke?” Fatimah mengulang soalannya.
“Abang Yusuf suruh bersabar dulu, mak cik. Buat masa ni Ika amalkan makan spirulina dan minyak ikan omega plus. Ramai orang yang cadangkan. Lagipun kami baru aje dua tahun mendirikan rumah tangga, mak cik, masih ada masa lagi.” Zulaika mengekel untuk menyedapkan hatinya sendiri walaupun sebenarnya di kurang senang tatkala membincangkan isu itu.
Walaupun usianya masih muda baru dua puluh satu tahun, tapi demi kasihnya terhadap suami, tak sanggup rasanya dia digelar perempuan yang mandul; yang tak mampu mengandungkan benih suaminya sendiri. Malah, dia banyak membaca di majalah-majalah bagaimana seorang suami yang sanggup mencari perempuan lain dengan alasan isterinya mandul. Heei... tak sanggup dia memikirkan perkara seperti itu. Tak sanggup berkongsi kasih dengan perempuan lain kerana kegagalannya untuk berfungsi sebagai seorang wanita iaitu mengandungkan zuriat untuk suaminya sendiri.
“Tak pergi berurut?” korek Fatimah lagi.
Zulaika geleng kepala.
“Belum lagi, mak cik. Abang Yusuf kata tak perlu buat masa sekarang ni...”
“Kenapa?” Fatimah kerut kening.
“Katanya kami baru aje dua tahun kahwin. Masih terlalu awal nak risaukan tentang hal anak ni.”
“Suka hati kaulah, Ika. Tapi aku nak nasihatkan kau supaya berusaha untuk cepat hamil. Laki kau tu ada rupa, ada harta. Kalau kau gagal beranak, dia ada alasan yang kukuh untuk cari perempuan lain jadi isteri keduanya!” hentak Fatimah.
Dada Zulaika mula tidak keruan. Namun seulas senyuman tetap diluahkan untuk ibu tirinya.
“Borak punya borak, dah pukul sepuluh setengah ni, mak cik. Perut Ika dah lapar. Jom kita tengok apa yang tinggal kat atas meja tu.” Dia segera mengalih topik perbualan.
“Mohlah, perut aku pun dah lapar juga ni.” Sahut Fatimah sambil mengangkat punggungnya yang besar dengan segala susah payah.
Zulaika sedang menuang Milo untuk ibu tirinya ketika telefon di ruang tamu berdering.
“Talipon tu, Ika!”
“Ya, mak cik.” Dia segera memekapkan gagang telefon ke telinganya. “Assalamualaikum.” Ucapnya seperti biasa.
Suara suaminya kedengaran di hujung talian, menjawab salamnya. “Ika dengan mak cik buat apa tu?” soal Yusuf Hakimi.
“Baru nak tuang air, bang. Laparlah!”
“Mengulang ke?” usik Yusuf Hakimi. Zulaika mengekel.
“Abang balik makan ke tengah hari ni?” dia segera menyoal.
“Taklah. Abang ada banyak kerja kat ofis. Abang dah hantar Fatin ke pejabat Fauzan tadi. Pukul lima petang nanti abang akan ambil dia dan balik bersama. Ika tak payah masaklah malam ni ya sebab abang ingat nak belanja mak cik dan Fatin makan kat luar. Kalau mama abang nak ikut nanti, kita bawalah sama!”
“Bagus juga cadangan abang tu. Lagipun mak cik dah cakap dengan Ika tadi, dia nak balik kampung pagi-pagi esok sebab nak uruskan warungnya tu lah.” Zulaika memberitahu suaminya.
“Ya, abang faham. Orang berniaga ni mana boleh bercuti lama-lama. Ika tanya mak cik pasal cadangan nak carikan gerai untuk dia membesarkan perniagaannya tu?”
“Belum lagi, bang. Ika rasa lain kali ajelah kita bangkitkan hal tu. Uruskan warung kecil tu pun mak cik tak cukup tangan.” sahut Zulaika.
“Yelah, sebelah tangannya dah berada di Kuala Lumpur. Dah terikat dengan lelaki bernama Yusuf Hakimi kan?” usiknya.
“Abang ni! Kalau Ika tak ada pun, warung mak cik tu masih ada orang lain yang uruskan!”
“Tapi air tangan Ika mana sama dengan air tangan minah Indon tu!” lelaki itu berdekah. “Okeylah Ika, abang telefon ni sebab nak bagitau Ika pasal plan petang ni aje. Sampaikan salam abang pada mak cik ya. Bye sayang, I love you.”
“Bye, I love you too!” sahut Zulaika.
“Yahoo!” dia mendengar suaminya menjerit di hujung talian. Dan senyumnya masih melebar di bibir ketika dia merapati meja makan.
“Apa kata suami kau, Ika?” soal Fatimah yang turut menelinga perbualan anak tirinya itu.
“Abang Yusuf kata petang ni tak payah masak sebab dia nak bawa kita makan kat luar.” Katanya sambil mencapai mangkuk mi gorengnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan