Riuh rendah di muara sungai,
suara kambing dan lembu saling bertingkah dan bertikam lidah. Seekor lembu
jantan yang mempunyai kulit yang cantik, perang bersih, tiada langsung
kekotoran, duduk bersantai di tepi muara sungai. Seekor kambing perang
memandang ke arah seekor kambing luar negara yang berkulit cantik dan lebat
bulunya. Timbul rasa cemburu di hati.
Di sungai itulah tempat mereka
berkumpul setiap pagi. Di situlah tempat mereka meragut rumput hijau yang
menjadi santapan mereka setiap hari. Itulah makanan asasi setiap diri.
Rezeki yang ada biarkan
berkongsi, jangan tamak dan jangan lupa diri. Rumput bukan setapak tetapi
seluas saujana mata memandang. Luas dan lebar. Tidak perlu berebut-rebut. Pilih
sahaja di mana hendak bertapak. Di bawah pokok, di tepi sungai ataupun di
tengah-tengah padang. Cahaya mentari membakar terik langsung tidak berkesan
kepada mereka. Cuma kalau hujan yang mendatang bertempiaranlah mereka lari
mencari tempat berteduh. Dalam meragut rumput masih lagi sempat mengata sesama
sendiri tanpa rasa bersalah di hati. Tidak dikira perasaan cemburu yang terbit
secara tiba-tiba melihat kehadiran binatang yang mereka tidak suka.
Berapi-api rasa cemburu di hati
binatang lain. Melihat kesegakan kambing dan lembu itu membuatkan mata dan hati
binatang-binatang itu bernanah dan berdarah menahan rasa cemburu yang
membuak-buak di jiwa masing-masing.
“Berlagak sungguh!” kata seekor
kambing betina sambil mengibas-ngibas ekornya.
“Biarkan ia, selama mana dia
hendak berlagak, tempat kita di sini tidak sama seperti tempat asal ia. Kita
tengoklah sama ada ia boleh menyesuaikan diri,” sampuk seekor lembu yang sibuk
mengunyah rumput yang telah diragut dan disimpan di dalam mulutnya. Sambil
duduk bersantai, sambil mengunyah.
“Hey, cuba tengok, dia cuba goda
siapa tu? Amboi, gedik sunggu,” kata lembut yang sedang duduk mengunyah.
“Laa… laki kau itu, bukan main
lagi, siap menyondol,” tempek seekor lembu yang sejak tadi hanya menjadi
pendengar.
“Laki siapa? Laki kau? Kau
cemburu ke? Binatang ada nikah ke?” sindir satu suara. Kambing berwarna putih
berjalan mendekati kumpulan kambing dan lembu yang sedang bersantai sambil
menikmati makanan mereka. Berbual kosong sudah menjadi rutin mereka apabila
berkumpul bersama.
“Amboi, mulut kau putih, tak ada
insuran langsung! Ikut sedap sahaja,” Lembu berwarna perang menjeling tajam.
“Aku cakap betul, biarlah kambing
baka luar negara itu bersatu dengan baka tempatan, nanti lahirkan baka yang
cantik dan menarik.” Kata kambing putih lagi
.
“Uhuh, tiada maknanya!” kata
lembu perang itu lagi.
Mata binatang-binatang itu masih
lagi terarah kepada kambing dan lembu baka luar negara itu. Mereka memandang
dengan penuh rasa cemburu di hati. Kenapalah tuan mereka sanggup berhabis
beribu-ribu ringgit hanya untuk kambing seperti itu. Apa yang istimewa sangat?
Sama sahaja seperti binatang lain, berkaki empat, ada ekor dan berbulu. Tiada
bezanya dipandangan mata manusia. Lainlah ia boleh berjalan menggunakan dua
kaki, boleh bercakap seperti manusia, boleh menari baharulah ia dihormati dan
ada istimewanya.
“Hoi, pendatang… itu laki
akulah,” jerit seekor lembu betina. Menapak mendekati kambing dan lembu luar
negara itu.
“Mana laki kau?” tanya lembu
betina luar negara itu. Matanya memandang kumpulan lembu dan kambing yang
berada tidak jauh dari tempat ia meragut.
“Itu laki aku!” sambil
memuncungkan bibirnya yang besar dan lebar itu ke arah lembu jantan yang
berkulit licin dan berkilau itu.
“Hoi, jantan! Jangan buat tak
faham! Aku tengah buntingkan anak kau, sedap-sedap nak pikat yang lain ya,”
marah lembu betina itu lagi.
“Mana ada?” kata lembu jantan itu
seolah-olah tidak mengerti apa yang dimaksudkan oleh lembu betina yang sedang
sarat itu.
“Hey, lembu betina. Kita bukan
manusia, kerja si jantan membuntingkan betina agar keturunan kita membiak dan
tuan kita semakin besar pusat ternakannya. Mana boleh sekat-sekat si jantan
membuntingkan yang lain! Kau ini tak faham atau pura-pura tak faham?” tanya
lembu luar negara itu. Ketawanya pecah.
“Yalah, kenapa harus ada cemburu
sedangkan memang peranan kita si jantan membuntingkan betina. Tidak perlu
marah-marah atau cemburu!” kata lembu jantan yang sedang berehat sambil
menikmati rumput segar.
Terdiam seketika kambing berwarna
perang itu. Benarlah kata kawan-kawannya. Buat apa rasa cemburu sesama mereka,
sedangkan mereka adalah satu bangsa satu budaya, namapun binatang, apa bezanya.
Jantan tugasnya membuntingkan betina, agar betina mampu melahirkan banyak lagi
anak-anak kambing dan lembu, membiak. Semakin banyak, semakin untunglah tuan
punya. Manusia jangan pula ikut resmi binatang, binatang ada sebabnya. Manusia
ada peraturannya. Kambing itu menyengih sendiri. Untung juga jadi kambing biar
busuk tapi mahal harganya. Untung jadi binatang bebas buat apa sahaja. Cuma ada
juga peraturannya, jangan ceroboh tanah orang lain.
Kambing baka luar negara
mendekati kambing perang yang sedang santai, matanya sudah dipejamkan. Melayan
kantuk yang tiba-tiba menerpa. Rumput itu ada ubat tidurkah, detik hati kecil
kambing perang sehingga tidak sedar kehadiran kambing baharu di hadapan
matanya.
“Amboi, enak tidur sambil makan?
Tak tercekik ke?” gurau kambing luar negara. Kambing perang membuka mata Dia
mendengus kasar, marah tidurnya diganggu-gugat.
“Kau hendak apa? Menganggu
lenaku?” tengking kambing perang tanpa ada rasa segan dan silu. Namapun
binatang mana tahu adab dan sopan.
“Bukankah binatang tidur di
sebelah malam, siang berjaga mencari makan?” sindir Kambing baka luar negara.
“Ikut suka akulah, hendak berjaga
atau mengunyah sambil pejamkan mata, kau peduli apa?” marah kambing perang.
Pantang dia diganggu, semua rakan-rakan tahu, suka menyendiri mencari ilham
untuk menyusun kata-kata memikat kambing jantan yang segak-segak berlaka,
terutama kambing sebelah kandang tuannya.
“Tidak bolehkah kita berkawan,
bukan bermusuh? Tinggal sekampung bersatu hatilah sesama kita. Padang ini luas,
jantanpun banyak, usah ada risau di hati kau,” sindir kambing luar negara.
“Kalau hendak berkawan tidaklah
perlu kau menyindir, aku bukan budak lagi, aku faham kata-kata kau.” Kambing
perang mula mengendur. Wajah kambing luar negara ditatap seketika.
“Kau tidak pernah dengar ke
bidalan manusia, bersatu kita teguh, bercerai kita roboh!” sampuk lembu luar
negara juga sudah menghampiri kambing perang yang masih tidak mahu bermesra
dengan kedua-dua binatang itu.
“Bukankah bercerai, kahwin lain?”
kata lembu perang sambil ketawa.
“Peduli apa aku! Diri aku, aku
sendiri jaga. Kau tak perlu ambil tahu!” Kambing perang bergerak bangun dan
menapak ke muara sungai tempat para binatang menghilangkan dahaga.
Kambing perang berjalan sambil
mendada. Ia tidak perasan ada tanah lembik berhampiran sungai. Ia terus
tergelincir. Terjerit-jerit kambing perang minta diselamatkan.
Kumpulan kambing dan lembu
terkejut mendengar jeritan kambing perang. Kumpulan itu terus menerpa ke
sungai.
“Kambing perang lemas! Tolong!”
jerit kambing luar negara.
“Siapa pandai berenang?” tanya
lembu luar negara.
Masing-masing saling
berpandangan.
“Ah, buang masa sahaja aku
bertanya,” kambing luar negara terus terjun ke sungai. Dengan kaki hadapannya
dia menarik leher kambing perang dengan sekuat tenaga. Diri hampir terkorban
sama apabila kambing perang pula bertindak menarik lehernya.
Keadaan menjadi kecuh semula,
suara binatang-binatang itu saling menjerit. Lembu perang terjun ke dalam
sungai, ingin membantu. Akhirnya berjaya juga menarik kambing perang naik ke
tebing sungai. Termuntah-muntah kambing perang. Sejuk menggigil. Kambingkan
takut dengan air. Mana ada kambing mandi atau terjun ke sungai.
“Kau berhutang nyawa dengan aku,
namun aku tidak akan meminta balasan. Kita hidup saling tolong menolong, saling
bantu membantu. Jangan dipandang kepada imbuhan. Pandanglah kebaikan yang kita
perolehi bersama. Aku kambing juga walaupun datang dari luar negara. Tiada apa
yang membezakan kita. Hamba ALLAH juga,” kata kambing luar negara yang basah
kuyup.
“Terima kasih kawan!” kata
kambing perang. Dia menyesal atas kesombongan diri sendiri terhadap sesama
jenisnya.
Semua kambing dan lembu
bersorakan gembira kerana kambing perang tidak apa-apa. Terselamat dari menjadi
mangsa sungai yang deras airnya. Hubungan yang jauh menjadi dekat, perasaan
benci bertukar sayang.
Kambing perang insaf sendiri,
lain kali jangan pandang apa sahaja dengan sebelah mata. Hidup di dunia hanya
sementara tiba masanya bertemu dengan pencipta-NYA. Nyaris dia kembali kepada
ALLAH SWT. Hidup bersama tanpa sengketa pasti terbit bahagia. Hidup berkongsi
apa sahaja pasti membawa gembira. Cemburu api pembakar setia kawan. Cemburu
pemusnah sebuah kekeluargaan..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan