Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Isnin, 27 Januari 2014

RINDU YUSUF, CINTA ZULAIKHA- BAB 14

Bab 14

“IKA gembira tak hari ni?” Yusuf Hakimi menyoal isterinya yang duduk di sisi. Sesekali tangannya meramas jari jemari kanan isterinya dengan penuh kasih sayang.
“Ya, Ika gembira sebab Ika rasa antara Taufik dengan Ayu ada harapan.” Sahutnya dengan senyuman mekar di bibir. “Yang Ika risaukan ialah abang...”
Yusuf Hakimi menoleh ke arah isterinya. Mata mereka berdua berlaga.
“Kenapa?”
“Yelah, mula-mula Ika tengok abang marah benar sebab Ika rahsiakan hal ni daripada pengetahuan abang. Sekali lagi Ika minta maaf, bang.”
“Abang maafkan Ika.”
“Ikhlas ke ni?”
Yusuf Hakimi ketawa kecil. Dia mengangguk.
“Ya, abang maafkan Ika. Tapi lain kali abang minta sangat-sangat agar Ika jangan berahsia daripada abang, okey?”
“Okey, bang! Ika janji. Ika pun harap agar abang jangan sesekali berahsia dengan Ika.” Balas Zulaika.
Permintaan isterinya itu membuatkan Yusuf Hakimi terdiam. Sebenarnya dia juga banyak berahsia dengan isterinya terutamanya hal-hal yang berkaitan dengan teman baiknya, Intan Juliana. Kadangkala dia dan gadis itu keluar makan di restoran, dan dia perlu merahsiakannya daripada pengetahuan Zulaika.
Kenapa Zulaika perlu mencemburui Intan Juliana? Alangkah baiknya kalau rasa cemburu dan curiga itu dipadamkan dari sudut hatinya kerana banyak ilmu yang boleh dikoreknya daripada Intan Juliana, desis hati Yusuf Hakimi.
Argh, orang perempuan memang kuat cemburu agaknya, desis hatinya sambil menumpukan perhatian pada pemanduannya.
“Abang rasa Taufik tu boleh jadi seorang suami yang baik tak?” soal Zulaika setelah agak lama mendiamkan diri.
“Semua orang akan jadi suami yang baik kalau ada keinginan untuk jadi macam tu. Ika percaya tak bahawa keinginan, cita-cita dan kehendak setiap daripada kita ni harus diterapkan dalam minda kita? Kita boleh jadi apa aje yang kita mahu asalkan ada keinginan, cita-cita dan kehendak. Lepas tu diperkuatkan dengan usaha. Ala, bukannya susah benar nak jadi suami yang baik macam abang ni! Auuch!!” Yusuf Hakimi menjerit ketika lengannya dikutil isteri.
“Macam ketamlah Ika ni,” komennya membuatkan Zulaika mengherotkan bibirnya.
“Padan muka! Tiba-tiba aje naik bakul angkat sendiri. Hmmm... betul ke abang berkawan baik dengan Taufik tu?”
“Kenapa Ika tanya soalan tu?”
“Saja aje nak tau...”
“Ya, masa abang menuntut kat universiti dulu. Lepas tamat dapat ijazah, dia melanjutkan pengajiannya ke peringkat Sarjana di UK. Kami terputus hubungan selepas tu. Semasa di U dulu, Taufik memang jenis kaki perempuan. Pantang ada perempuan cantik, pasti jadi kekasihnya. Tulah sebabnya abang seram bila Ika bagitau yang Ika dengan dia berhubung tanpa pengetahuan abang walaupun niat Ika tu baik.” Ujar Yusuf Hakimi lembut. Dan dia memaksudkan seluruh kata-katanya itu. Dia tidak sanggup kehilangan Zulaika sebagaimana dia pernah kehilangan Aliza di tangan Taufik suatu ketika dahulu.
Zulaika terharu mendengarnya. Dia segera melentukkan kepalanya ke bahu suaminya.
“Ika sayangkan abang sepenuh hati Ika. Tak mungkin Ika buat benda-benda tak senonoh di belakang abang.” Ujarnya separuh berbisik.
“Ya, abang percayakan Ika.” sahut Yusuf Hakimi.

FATIN ADIBA keluar juga walaupun Fatimah cuba menghalangnya. Dia membonceng motosikal teman lelakinya dan menghilang dalam kegelapan malam.
“Teruk betul emak kau tu!” kutuk Amir yang sudah tidak dapat menahan rasa dengan maki hamun yang dilemparkan oleh Fatimah ketika datang menjemput Fatin Adiba di muka pintu rumahnya senja tadi. Ketika itu mereka sudah sampai ke pekan dan menikmati nasi goreng pattaya di sebuah gerai.
Fatin Adiba mendengus. Dia sendiri pun kadangkala tidak tahan dengan perangai emaknya yang kuat mengomel itu.
“Jangan layanlah emak aku tu. Dah macam tu perangainya, aku nak buat macam mana. Mulutnya hanya akan diam kalau kau plaster aje!” sahutnya sambil menyudu nasi goreng yang tinggal sedikit ke mulutnya.
Amir berdekah. Dia merenung gadis di hadapannya. Walaupun Fatin Adiba tergolong dalam kategori nakal tapi sehingga kini dia masih belum berjaya menakluki kegadisannya. Dan sebelum gadis itu berangkat ke Kuala Lumpur dia bertekad untuk merobohkan kegadisan Fatin Adiba – itulah misinya! Kalau misinya tidak berjaya, dia bukanlah Amir.
“Lepas ni kita nak ke mana?”
Fatin Adiba angkat muka. “Kan kau kata nak tengok wayang?”
“Kita tukar plan ajelah. Aku dah lama tak main snooker dengan gang-gang.”
“Ala... boringlah!” dengus gadis di hadapannya.
“Kalau macam tu, lepas makan ni aku hantar kau balik ajelah.” Suara Amir sudah lain macam.
“Okey... okeylah! Aku ikut kau aje.” Fatin Adiba mengalah dan Amir tersenyum lebar.
“Macam tulah...”
Selesai makan, mereka berdua tidak membuang masa lagi terus menuju ke pusat snooker yang dimaksudkan. Amir meninggalkan Fatin Adiba seketika dan berbual-bual dengan dua tiga orang temannya. Hampir lima minit dia menghabiskan masa dengan mereka. Dia melangkah semula ke arah Fatin Adiba dengan membawa segelas minuman berwarna oren di tangannya.
“Minumlah, air oren je.” Katanya sambil mula menunjal bola di meja.
“Jangan mudah percayakan orang, Fatin. Lebih-lebih lagi budak tak senonoh macam Si Amir tu. Sekali maruah kau hilang, kau takkan dapat tebusnya semula sampai bila-bila.” Kata-kata Fatimah menyentak ke ruang fikir membuatkan dia tidak jadi meneguk minuman yang dihulurkan oleh Amir seketika tadi. Gelas itu diletakkan di atas meja berhampiran.
“Kenapa tak minum?” soal Amir apabila melihat tindakannya itu.
“Kenyang lagilah. Kita kan baru aje lepas makan.” Sahutnya dengan alasan yang kuat.
“Okey.” Sahut Amir. “Kau tak nak main ke? Takkan nak tengok aje?”
“Aku tak ada moodlah malam ni. Hantarkan aku balik.”
Amir berhenti bermain dan menghampirinya.
“Kenapa dengan kau ni, Fatin? Selalunya kau tak macam ni. Yelah, orang tak lama lagi nak ke Kuala Lumpulah katakan...”
“Bukan macam tu. Tapi aku betul-betul tak ada moodlah malam ni. Hantarkan aku balik. Aku takut emak aku mengamuk sakan.”
Amir menoleh jam di lengannya.
“Baru pukul sepuluh setengah ni, Fatin.” Desisnya dengan nada kurang senang. Dijelingnya ke arah gelas minuman yang tak luak isinya. Dia kecewa kerana Fatin Adiba enggan minum minuman yang telah dicampurkan dengan pil khayal itu.
“Kalau kau tak nak hantar, biar aku balik sendiri!” suara Fatin Adiba mula meninggi. Dia hendak berlalu meninggalkan Amir. Anak muda itu segera menarik lengannya.
“Okey, kalau kau nak balik sangat, aku hantar!” dengusnya. “Jom!” dia menarik tangan Fatin Adiba dengan kasar lalu meninggalkan ruang snooker itu.
Entah mengapa buat pertama kalinya dia jadi kecut perut membonceng motosikal Amir ketika meredah kegelapan untuk pulang ke rumahnya malam itu. Hatinya kurang enak, digaru-garu bagaikan sesuatu yang tidak elok bakal terjadi. Dia cuba memberi ruang di antara dirinya dengan Amir.
“Peluk kuat-kuat, cicir nanti!” jerit Amir melawan kebisingan enjin.
Dia menurut saja kata-kata Amir lalu membelitkan tangan ke pinggang dan merapatkan badannya ke tubuh anak muda itu. Dia cuba membuang segala keresahannya dan menganggapnya hanya mainan perasaan semata-mata.
“Kenapa kita berhenti kat sini?” soalnya ketika anak muda itu memberhentikan motosikal dan mematikan enjinnya di sebuah kawasan yang agak sunyi dan bersemak. Hatinya yang sudah mula tenang gelisah semula.
“Janganlah gabrah semacam, Fatin. Aku nak qada hajat dalam semak tu kejap.” Kata Amir sambil berdekah.
“Macam-macamlah kau ni. Dah, pergilah cepat!” dengus Fatin Adiba sambil membelakangkan teman lelakinya itu. Dia terkejut apabila tangan sasa Amir hinggap ke bahunya. Dia segera berpaling. Dan pandangan mereka berlaga.
“Apa kata kalau kau temankan aku masuk dalam semak tu, Fatin?” suara Amir kedengaran kasar di telinganya.
Isy, apalah malangnya nasib aku malam ni, desis hati Fatin Adiba. Sepanjang perkenalan mereka berdua, dia cukup arif dengan kenakalan teman lelakinya itu, tapi tidaklah sampai melampaui batasan.
“Tolonglah, yang, jangan main-main. Kau ni buat aku takutlah...” rayunya sambil menolak tangan Amir yang mencengkam bahunya.
“Kau panggil aku sayang? Maknanya kau sayangkan aku. Tak lama lagi kau nak ke Kuala Lumpur kan, jadi apa salahnya kau hadiahkan sesuatu pada aku malam ni untuk dijadikan kenangan abadi antara kita berdua, Fatin?”
“Kau ni dah gila ke?”
“Ya, memang aku gila. Aku gila bayang dengan kau yang jinak-jinak merpati ni...” Amir memaksa Fatin Adiba masuk ke celah-celah semak.
Gadis itu menjerit dan meronta-ronta untuk melepaskan dirinya. Keperitan di badan akibat dilibas dengan pokok-pokok renek langsung tak diendahkan. Dia harus melepaskan dirinya daripada musibah yang bakal berlaku.
Amir menolaknya dengan kuat sehingga dia terbaring di atas tanah yang lembab. Sebelum anak muda yang telah dikuasai oleh hawa nafsu itu sempat menindih tubuhnya, dia sempat melayangkan sepakannya ke celah kelangkang Amir. Akibat hentakan di bahagian yang sensitif itu, Amir terdorong ke belakang sambil mengerang. Dia tidak menghiraukan kesakitan di tubuhnya. Dengan kudrat yang masih bersisa, dia berlari keluar dari semak itu untuk menyelamatkan dirinya.

JAM menunjukkan ke pukul dua belas tengah malam dan kelibat Fatin Adiba masih juga belum kelihatan. Itulah yang membimbangkan hatinya. Entah apa salahku Tuhan sehingga aku dikurniakan dengan anak sedegil dia, desis hati Fatimah sambil membandingkan perangai anak kandungnya dengan anak tirinya, Zulaika.
Mungkin nilah pembalasan atas segala dosaku yang telah menganiayai Ika selama ni, hatinya terus bermonolog. Sekejap-sekejap matanya dihalakan ke arah jarum jam yang terus berputar tanpa secebis pun bersimpati dengan penanggungannya.
Tiba-tiba dia terlihat sebuah kereta Proton Saga warna putih berhenti di halaman rumahnya. Dia bergegas menuruni tangga. Alangkah terkejutnya dia apabila melihat anak gadisnya keluar dari tempat duduk belakang kereta itu dengan pakaian yang rabak serta wajah yang tak terurus.
Fatin Adiba kelihatan sedang menangis.
“Kami jumpa anak mak cik ni sedang berlari sorang-sorang kat tepi jalan dalam keadaan gelap gelita. Bila kami tanya siapa yang buat begini padanya, dia diam aje.” Kata wanita bertudung yang memimpin Fatin Adiba naik ke rumah.
“Terima kasih kerana tolong hantar anak saya pulang, cik.” Kata Fatimah. Perempuan itu dan suaminya hanya mengangguk dan meminta diri untuk berlalu dari situ.
“Siapa yang buat macam ni pada kau, Fatin?” jerkah Fatimah. “Cakap dengan mak, Amir ke yang buat kau macam ni?”
Fatin Adiba geleng kepala.
“Habis, siapa punya kerja ni? Kan aku dah kata, jangan rapat sangat dengan budak tu...”
“Diamlah, mak! Bukan dia yang punya kerja.”
Fatimah terkejut. Wajah anaknya yang serabai itu direnung.
“Dia dah buat engkau macam ni pun kau masih nak bela dia lagi? Bodohnya kau ni, Fatin.”
“Mak, kan Fatin dah cakap... ni bukan kerja Amir. Yang penting maruah anak mak ni masih belum tergadai lagi. Dahlah, mak... kita lupakanlah aje apa yang terjadi malam ni!”
“Mana boleh! Kita mesti laporkan perbuatannya ke balai polis.” Desak Fatimah.
“Mak tak malu ke kalau berita tentang anak mak ni hampir-hampir diperkosa, heboh satu kampung? Orang kampung ni hanya akan gelak dan padankan muka kita aje, mak. Dahlah... tak payahlah kita besar-besar lagi hal ni. Fatin nak lupakan segala yang berlaku. Sekarang Fatin hanya fikir nak ke Kuala Lumpur aje!” begitu tegas kata-kata yang keluar dari bibirnya.
Fatimah terdiam. Kata-kata anak gadisnya memang sarat dengan kebenaran. Orang-orang di kampung itu pastinya akan mencemuh mereka berdua. Fatin Adiba akan dikata sebagai anak gadis yang rosak akhlaknya. Sementara dia pula akan dilabel sebagai ibu yang tak tahu menjaga anak.
“Biar mak sapukan minyak gamat pada luka-luka kau tu, Fatin.” Katanya lemah sambil memimpin Fatin Adiba masuk ke biliknya.
Setelah membersih dan menyapu ubat pada kesemua luka di badan anak gadisnya, dia mengurut tubuh Fatin Adiba yang sakit-sakit akibat dikasari oleh Amir. Ketika itulah rahsia siapa yang memperlakukannya sebegitu rupa terbongkar.
“Dulu lagi mak dah nasihatkan kau. Mak memang tak percaya dengan dia tu.” Keluh Fatimah. “Dahlah, kau tidur. Esok mak temankan kau ke klinik. Lusa kita dah nak berangkat ke Kuala Lumpur.”
“Mak, tolong rahsiakan perkara ni daripada semua orang termasuklah Ika, ya.” Pinta Fatin Adiba ketika tubuhnya diselimutkan oleh Fatimah.
Fatimah hanya mengangguk perlahan.

BAHAGIA MILIK KITA- BAB 14



Rasa senak di jiwanya, rasa bersalah dalam hati menebal bagaikan besi waja.   Bagai terjun dalam gaung yang dalam terasa sakitnya.  Rasa mahu dia menjerit kepada emak saudaranya, sudah tumbuh berbagai rasa di hati.  Maisarah, Hani dan Haris duduk dipangkin sampai basah kuyup ditimpa hujan tengahari.  Sengaja dia meminta keluar  dari restoran tempatnya bekerja untuk menghantar makanan tengahari kepada adik-adiknya.  Haikal menerpa mendukung Maisarah yang terketar kesejukan.  Ya ALLAH…  hanya itu yang mampu keluar dari bibirnya.
            “Haris, kenapa main hujan?  Kenapa tak masuk dalam rumah?” tanya Haikal kepada adik yang besar sedikit.
            “Mak su, tak bagi masuk rumah.  Suruh tunggu sini sampai abang balik,”  cerita Haris.  Haikal terduduk mendengarnya.  Kalau cuaca diterangi mentari tidak mengapa, ini hujan lebat dari pagi tadi.  Tergamak mak sunya buat adik-adiknya begini.  Apa dosa mereka?    Baharu sehari di bekerja, adik-adik sudah terabai dan tidak terjaga.  Adik-adik yang lain masih di sekolah.
            “Jom masuk rumah, salin baju.  Lepas itu kita makan nasi ya?” Rasa mendidih dalam hati.  Mahu sahaja dia bawa adik-adik pergi.  Tapi ke mana? Persoalan itu sering bermain dibenaknya.
            “Mak su! Mak su!” laung Haikal dari luar rumah. Pintu rumah berkunci.  Emak saudaranya ke mana? Rumah sunyi sepi, bagaikan tiada penghuni.  Berkerut dahi Haikal.  Pagi tadi  tidak pula emak saudaranya memberitahu apa-apa atau hendak ke mana-mana.  Bagaimana dia hendak masuk ke dalam rumah sedangkan seluruh tingkap dan pintu berkunci rapat.  Ya ALLAH adik-adik sudah menggigil kesejukan.  Hujan masih membasahi bumi, walaupun hanya renyai-renyai kini.  Maisarah dipeluh erat.  Haris dan Hani berpeluk tubuh menahan sejuk.  Haikal menarik tangan adik-adik berdiri di anjung rumah.  Pakaian di ampaian basah semuanya.  Haikal mengeluh keras.  Rasa mahu sahaja dia menangis ketika itu.  Sebentar lagi dia akan ke tempat kerja, adik-adik bagaimana?  Ya ALLAH baharu sahaja bekerja tidak mungkin dia meminta  cuti.
            “Long! Lapar, sejak pagi tadi, Haris dan adik-adik tak makan.  Kita minum air paip je.  Maisarah nangis minta susu, mana nak cari?”  kata Haris lagi. 
Terduduk Haikal mendengarnya.  Kepada Mak Su Tijah sudah dititipkan pesan, agar tolong-tolong melihatkan adik-adiknya. Dia membuka  bungkusan nasi.  Dia menarik adik-adiknya duduk bersila di anjung rumah yang dibasahi air  hujan.  Redhalah hati, redhalah jiwa.  Inilah dugaan buat dirinya adik-beradik.  Menangis air mata darah sekalipun kedua orangtuanya tidak akan kembali.  Terketar-ketar tangannya menyuapkan nasi ke mulut Haris, Hani dan Maisarah yang masih kesejukan.  Ya ALLAH janganlah adik-adik jatuh sakit, doa Haikal dalam hati.  Dia menahan diri dari menangis melihat adik-adik makan dengan lahapnya.    Hampir gugur air matanya melihat nasib hidupnya adik beradik.
“Long!”  Haida berlari mendapatkan Haikal dan adik-adiknya yang basah kuyup sambil menjamah makanan.    Haida mengesat  mukanya yang dibasahi air hujan. 
Halim turut berlari melangkah masuk ke anjung rumah.  Matanya melekat ke arah abang sulongnya yang duduk bersila di atas lantai yang basah.
“Kenapa tak masuk rumah?” tanya Halim, sambil mata memerhatikan keadaan rumah yang berkunci.
“Mak su tak ada?  Rumah berkunci.  Mak su tidak tinggalkan kunci rumah.”  Haikal terus menyuap adik-adiknya.  Tidak tergamak merenung wajah kedua-dua adiknya yang baru sampai ke rumah.
“Mak su tak ada?  Kenapa adik-adik basah kuyup, long?”  Haida membetulkan rambut Maisarah yang basah.  Adiknya  itu tidak menangis walaupun tidak mendapat susu, diberi air sejuk dia minum sahaja tanpa merintih atau merengek.  Bagaikan mengerti suasana yang berlaku.  Perut yang lapar, air juga yang diminta.  Hiba hati Haida.  Namun apakan daya.  Bersabar dengan ujian yang ada.  Itulah pesan arwah orangtuanya.
“Adik-adik tunggu along di pangkin, dalam hujan!”  kata Haikal dengan hati yang bernanah.  Dia mengenggam nasi sekuat tenaga melepaskan rasa sakit di hati atas perbuatan tidak bertanggungjawab emak saudaranya. 
“Ya ALLAH, long!”  Haida menangis sayu.  Maisarah didukung, dipeluk erat.   Hanya senyuman terukir di wajah kecil itu.  Menunjukkan perutnya yang kekenyangan.  Air sirap yang dibawa pulang oleh Haikal diminum dengan puas. 
“Biarlah Haida atau Halim berhenti sekolah.  Along pergi kerja, kena ada orang jaga adik-adik di rumah.”  Halim memberi cadangan. 
“Tidak! Jangan berhenti.  Nanti along fikirkan tentang adik-adik.  Tahun ini Halim ambil PMR, Haida UPSR, along akan cuba ambil SPM,  bersabarlah beberapa bulan lagi.  Tolonglah! Tidak ingatkah pesan arwah ayah dan ibu.  Biar apapun berlaku persekolahan  harus diteruskan,”  Haikal tidak setuju.  Pelajaran penting  dalam kehidupan. 
“Tapi long?”  Haida mendengus kasar.
“Haida bawa adik-adik ke sekolah?  Biar mereka tunggu di pondok dalam kawasan sekolah.  Haida boleh perhatikan adik-adi,” cadang Haida.
“Tak boleh?  Nanti pihak sekolah tanya, apa nak jawab?”  Haikal menolak juga.
“Habis tu?  Takkan nak tinggalkan adik-adik sendirian di rumah, tengok seperti hari ini, mak su entah ke mana?  Tiada siapa di rumah.  Adik-adik bermandi hujan!  Susahlah macam ini long!”  Halim mula berkeras.
“Along kata tidak! Tidaklah!”  tengking Haikal. 
“Duduk sini sampai mak su balik. Makan nasi itu.  Jam 5.00 petang along balik.  Tengokkan adik-adik,”  pesan Haikal sebelum berlalu kembali ke tempat kerjanya.  Dia sudah lewat 10 minit.  Nanti gajinya dipotong pula.
Haida dan Halim saling berpandangan. Baju Maisarah dibuka.  Lampinnya sudah penuh oleh air kencing.  Haida membawa adiknya ke paip di hadapan rumah.  Dia mandi dan bersihkan Maisarah.  Dia perah baju Maisarah tadi dan menyarungkannya kembali.  Mana ada baju kering.  Pintu rumah  berkunci, bermangga. 
            Halim mengetap bibir.  Sampai hati emak saudaranya meninggalkan adik-adiknya tanpa pengawasan orang dewasa.  Kawasan kampung itu rumah  antara satu sama lain agak jauh jaraknya, jadi tiada siapa perasan adik-adiknya bermandi hujan di luar rumah.  Halim mengeluh.  Fikirannya benar-benar tertanggu sehingga tidak mampu fokus pada pelajaran di sekolah.  
            “Angah, jom makan nasi,”  ajak Haida. 
            “Makanlah dulu, angah tak lapar?”    Halim menolak, tidak tertelan tekaknya.  Fikirannya berserabut dengan keadaan dan nasibnya adik-beradik. 

Jumaat, 24 Januari 2014

BAHAGIA MILIK KITA - BAB 13



BAB 13          
            “Haida tidak tahan lagi long!  Mak su sudah berani pukul Haida.  Bukan Haida sengaja rosakkan baju baharunya.”  Tangis Haida.  Lengan dan kakinya berbirat dipukul dengan rotan sebesar  ibu jari tangan. 
            Haikal menyapu minyak gamat di kaki dan lengah adik perempuannya.  Arwah emak dan ayah merek tidak pernah memperlakukan mereka seperti itu.  Hina benarkah mereka?  Haikal hanya mampu menahan rasa kecewa di hati.  Tangan terikat, kaki terpasung tidak mampu berbuat apa-apa.  Kalau dia bawa adik-adiknya keluar dari rumah itu, mereka hendak ke mana?  Siapalah yang sanggup menjaga dia enam beradik ini.
            “Susu Maisarah juga sudah habis long, petang tadi, Halim bagi dia minum air sejuk sahaja, kesian adik long!”  Halim menunduk.  Wajahnya muram.  Maisarah, Haris dan Hani sudahpun terlena setelah  menjamah makan malam mereka.  Melihat sepupu-sepupu mereka makan nasi berlaukkan kuah, sayur dan ayam kadang-kadang mereka menelan air liur sahaja.  Itu bukan untuk mereka.   
            “Halim, Haida, tidurlah.  Esok nak sekolah.”  Arah Haikal.  Kalaulah adik-adiknya tahu bagaimana perasaan hatinya pasti mereka sudah melihat sekeping hati yang sudah retak hampir berderai.  Kalaulah mereka tahu bagaimana  hibanya rasa hati melihat tangisan Maisarah yang kelaparan susu sudah pasti mereka akan melihat air matanya seluas  Lautan Cina Selatan.  Dia mengenggam penumbuk.  Marah kepada diri sendiri lantaran ketidakmampuannya menyara adik-adik yang masih kecil, masih belum mengerti dan tidak tahu apa-apa itu.  Mereka hanya tahu menangis jika keinginan tidak dipenuhi.
            Di kejauhan malam, bertemankan sang bintang di balik awan, berkawan dengan unggas-unggas malam yang bernyanyi riang, memecah kesunyian malam.  Hembusan angin  menyapa tubuhnya yang tidak lagi berisi.    Di situlah dia melepaskan duka di hati.  Menangis seorang diri, meratap dan  meluahkan gejolak di jiwa.  Tidak sesekali dia menangis di hadapan adik-adik.  Tidak mahu mereka berasa hampa dan kecewa. Lemah dan tidak berdaya.  Biarlah dia cuba berlagak biasa asalkan terlihat senyuman terukir di bibir adik-adiknya. Matannya yang keletihan tidak mampu dipejamkan, lantaran fikiran yang bercelaru, berserabut bagaikan tiada ruang kosong dalam mencari ketenangan.  Kekuatan dan kesabaran pula bagaikan menyepi. Ya ALLAH, Kau berilah aku kekuatan dan kesabaran, doa Haikal di dalam hati.
            Entah  jam berapa matanya terlelap di luar rumah bertemankan nyamuk dan unggas-unggas malam.  Dia melangkah masuk  mengejutkan adik-adiknya yang hendak ke sekolah pagi itu.  Di dapur masih gelap gelita.  Azan subuh sudah  berkumandang memanggil hamba-hamba ALLAH sujud kepada Penciptanya.   Hiba hatinya melihat adik berkerekut menahan sejuk awal pagi.  Rasa ingin dijeritkan kepada dunia, lihatlah kesengsaraan mereka adik-beradik.  Rasa ingin menangis sekuat hati, biar lega perasaan sedih yang semakin hari wujud dalam diri.  Biar pergi perasaan lemah dan tidak berdaya lantaran merasa rendah diri.
            Di pagi hari tiada sarapan disediakan.  Mak Su Tijah membeli sarapan hanya untuk dia anak beranak.  Adik-adiknya dibiarkan kelaparan makan di waktu tengahari sahaja.  Geram bercampur marah, namun dia tidak mampu berbuat apa-apa.  Maisarah perlukan susu.  Duit tabung sudah menyusut.  Malu hendak meminta, mereka bukan pengemis.  Pak Su keluar membawa lori, dua minggu sekali baharu menjejakkan kaki di rumah.  Kepada siapa dia hendak mengadu.  Tiada saudara mara yang mahu membantu.  Kepada jiran tetangga dimomokkan keburukkan kedua orangtua mereka sehingga timbul benci di hati mereka.  Aduhai, nasib diri. 
            “Long, laparlah!” kata Halim sambil mengusap perutnya.
            “Along nak simpan duit ini untuk belanja sekolah dan beli susu Maisarah.  Sudah berhari-hari adik tidak minum susu, asyik menangis sahaja.  Halim boleh tahan menunggu sehingga tengahari ya?”  pinta Haikal.  Bukan tidak nengerti malah memahami, tapi apakan daya.  Hendak  memasak, Mak Su Tijah berkira soal gas yang diguna. Pening memikirkan keadaan hidup mereka adik-beradik.  Kalaulah rumah sendiri tentu tidak begini jadinya. 
            Pagi-pagi lagi Mak Su Tijah sudah bercekak pinggang memerhatikan dia dan adik-adiknya.  Takut benar mereka mencuri makanan yang ada.  Biarlah miskin tetapi mereka bukan pencuri.  Biar meminta walaupun dihina.  Perut adik-adik lebih penting dari segalanya.  Jangan mereka jatuh sakit sudahlah.  Siapa pula yang hendak membantu merawat mereka nanti. 
            “Mulai esok, kau pergi bekerja Haikal.  Maisarah tinggalkan sahaja di rumah.  Ramai boleh tengokkan.  Gaji pak su kau bukan besar sangat nak beri kau adik beradik makan, janganlah berharap pada kami sahaja.” Mak Su Tijah mencuka.  Wajah yang tidak pernah senyum sejak mereka menjejakkan kaki ke rumah itu.  Wajah yang penuh kebencian kepada mereka adik-beradik kerana menyusahkan.
            “Maisarah tidak pernah tinggal sendiri mak su, adik-adik yang lain siapa pula hendak jaga? Maisarah  baru sahaja setahun.  Siapa pula hendak buat susu dia nanti, hendak mandikan dia, tidurkan dia,”  kata Haikal.  Mak Su Tijah mencebik.
            “Hey, jangan bagi alasan. Mak su pun ada anak kecil tahu.  Boleh pun anak mak su tidur sendiri, kalau dia hendak susu,kau siapkanlah awal-awal sebelum pergi kerja,” ajar Mak Su Tijah.  Haikal  kurang setuju. 
            “Maafkan Haikal mak su.  Haikal tidak akan tinggalkan Maisarah sendiri.”
            “Degilnya, kalau macam itu, kau bawa dia sekali ke tempat kerja!”
            “Mak su?”  Haikal memandang wajah mak sunya dengan penuh tanda tanya. Waktu arwah emaknya masih hidup, mak sunya mesra dengan mereka.  Kenapa cepat betul mak sunya berubah.  Dahulu bukan main sayang dia pada mereka adik beradik.  Sekarang kenapa lain sekali sikap mak sunya.  Inilah nasib hidup orang menumpang.   Mak Su Tijah berlalu masuk ke dalam rumah.  Haikal terpinga-pinga sendiri.  Maisarah yang duduk di sisinya dipeluk erat.  Rasa hiba tiba-tiba menerjah di hatinya.  Ya  ALLAH, Engkau berilah aku kekuatan, detik hati kecil Haikal. Dia hanya mampu menangis dalam hati sahaja. Tidak terluah dengan kata-kata.  Maisarah yang sedang tersenyum memandangnya dicium berkali-kali.  Maafkan along, sayang, hatinya terus berkata-kata.
            “Along, biar Haida berhenti sekolah, duduk rumah tengok-tengokkan adik-adik.” Kata Haida sebelum melangkah ke sekolah. 
            “Tidak! Haida, tahun ini UPSR. Bagi selesai.”  Marah Haikal.  Dia tidak mahu adik-adiknya mewarisi kemiskinan lantaran tidak berpelajaran.  Biarlah dia susah, bercengkang mata siang dan malam, namun memberhentikan adik-adiknya dari persekolahan tidak sama sekali.
            “Pergi sekolah!” halaunya. 
Haida akur, langkah dihayun perlahan meninggalkan perkarangan rumah papan setingkat itu.
            Kerja?  Dia hendak kerja apa dan di mana?  Haikal mengeluh.  Wajah Maisarah yang sedang menelan air gula yang dibancuh dipandang sayu.  Haris dan Hani sedang meneguk air kosong bagi mengalas perut.  Dia perlu bekerja, kalau hendak bagi adik-adiknya makan.  Kalau dia bekerja siapa yang hendak menjaga adik-adiknya? Masalah yang tiada penghujungnya.

Khamis, 23 Januari 2014

RINDU YUSUF, CINTA ZULAIKHA- SITI ROZILAH ( BAB 13)

Bab 13

“DAH siap ke, sayang?” seru Yusuf Hakimi yang sudah pun menggidupkan enjin kereta. “Cepatlah sikit, sayang. Nanti lama pula kawan awak tu kena tunggu.” Katanya merujuk kepada Atika Ayuni yang sedang menunggu mereka berdua di rumah sewanya.
Zulaika melangkah keluar dengan kebaya labuh berwarna kuning berbunga-bunga putih yang baru siap ditempah. Wajahnya disolek nipis, menyerlahkan lagi kecantikan asli yang dimilikinya. Rambut yang panjang mengurai disanggul tinggi. Terpegun Yusuf Hakimi memandang penampilannya yang agak menonjol malam itu.
“Okey, bang. Ika dah siap.” Katanya langsung tidak mengendahkan suami yang asyik merenungnya. Dia segera memboloskan diri ke dalam perut kereta dengan diikuti oleh Yusuf Hakimi.
“Cantiklah sayang malam ni.” puji Yusuf Hakimi. Ikhlas.
Zulaika tersenyum. Dia menoleh suami di sisinya yang sedang memandu.
“Terima kasih, bang. Hari ni kan harijadi Ika, jadi Ika nak melaramlah sikit.” Katanya. “Abang nak tahu tak, Ayu dah pakai tudung sekarang. Makin ayu dia tu.”
“Orang sebelah abang ni bila lagi nak bertudung?” soal Yusuf Hakimi. Zulaika hanya tergelak kecil.
Setelah menjemput Atika Ayuni, mereka terus menuju ke restoran yang dimaksudkan. Kerana terlalu leka berbual tentang hal-hal lain, Zulaika terlupa untuk memberitahu Yusuf Hakimi tentang rancangannya untuk memperkenalkan Taufik dengan Atika Ayuni. Itu membuatkan Yusuf Hakimi agak bengang dengan isterinya.
“Sejak bila Ika dan Taufik rancang semua ni?” soalnya setelah Taufik dan Atika Ayuni berpindah ke meja lain.
“Sejak kita jumpa dia masa Kak Ju pindah ke rumah barunya dulu. Taufik yang minta Ika rahsiakan semua ni daripada abang sebab katanya dia segan dengan abang.”
“Jadi dah lamalah Ika berhubung dengan Taufik kat belakang abang?”
“Apa salahnya? Ika kesiankan dia dan hanya nak tolong dia aje. Ika minta maaf kalau rahsiakan hal ni daripada abang. Maafkan Ika ya, bang.” Tingkah Zulaika sambil mencapai tangan suaminya.
Yusuf Hakimi membiarkan isterinya meramas jari-jemarinya. Entah mengapa dia tiba-tiba saja menjadi cemburu apabila mengetahui bahawa isterinya berhubung dengan Taufik tanpa pengetahuannya. Situasi itu juga menekan emosi Zulaika. Dia tidak menyangka yang Yusuf Hakimi akan menyinga sebegitu rupa walaupun tidak ditunjukkan di hadapan Taufik dan Atika Ayuni. Di hadapan mereka dia berlagak selamba seperti biasa.
Mungkinkah Abang Yusuf cemburu, desis hatinya sambil tersenyum senang. Kata orang, cemburu tandanya sayang. Kalau dia cemburu setelah mengetahui aku berhubung dengan teman lamanya, aku juga harap dia mengerti tentang cemburu yang bertapak di jiwaku setiap kali melihat dia terlalu mesra dengan Intan Juliana.
“Kenapa abang marah-marah ni? Takkan abang cemburu dengan Taufik, kut?” dia menduga.
Yusuf Hakimi tersenyum nipis. Dagu isterinya disentuh dengan hujung jari.
“Dah tentu abang cemburu. Kan Ika isteri kesayangan abang. Jadi bila Ika dan Taufik berhubung tanpa pengetahuan abang, mestilah wujud rasa curiga. Tapi abang percaya cakap Ika.” Tukasnya sambil menghalakan pandangan ke arah meja Taufik dan Atika Ayuni. Mereka kelihatan berbual dengan rancak.
“Niat Ika nak jodohkan mereka tu memang baik. Tapi macam mana kalau hubungan tu nanti tak menjadi? Tak ke Ika yang akan dipersalahkan oleh Ayu?”
Zulaika geleng kepala.
“Ika dah berterus terang baik dengan Taufik mahupun Ayu. Ika hanya memperkenalkan mereka berdua. Selepas ni terpulanglah pada mereka nak corakkan masa depan mereka, sama ada nak teruskan hubungan ataupun pilih jalan masing-masing. Ika dah lepas tangan.” Terangnya sambil turut menoleh ke arah mereka pasangan tersebut. Taufik yang bercerita entah apa-apa sementara Atika Ayuni asyik tertawa. Mereka nampak serasi bersama.
Kemudian matanya lekat ke wajah suaminya.
“Kak Ju dah sampai ke London agaknya kan, bang?” dia membuka mulut. Yusuf Hakimi angguk. “Dia ada telefon abang ke?”
“Tak ada!” sahutnya pantas.
“Kat mana abang letak lukisan yang dia bagi dulu?”
“Abang hadiahkan pada Nur Ain?”
“Huh?” Zulaika kelihatan terkejut.
“Kenapa? Kan Ika tak suka dengan lukisan tu, abang bagilah kat orang lain.” Yusuf Hakimi bikin dosa kering dengan menipu isterinya, tapi itu adalah lebih baik baginya daripada melukakan hati Zulaika.
Zulaika sengih. Salahnya juga kerana terlalu mengikut kata hati kerana dia sebenarnya amat sukakan lukisan yang dibawa balik oleh suaminya itu.

“MACAM MANA?”
“Macam mana... macam mananya?”
“Eh, buat-buat bodoh pulak! Macam mana dengan Taufik tu? Okey ke tak?”
Segarit senyuman muncul di bibir Atika Ayuni.
“Dia okey. Tapi masih awal lagi untuk Ayu buat keputusan. Dia pun tak desak Ayu untuk buat keputusan dalam masa yang terdekat ni. Jalan yang terbaik ialah kami berkawan dulu dan belajar menilai hati budi masing-masing. Tapi Ayu tak nafikan bahawa dia memang seorang lelaki yang menarik, pandai buat kelakar dan baik.” Kata-kata Atika Ayuni itu membuatkan Zulaika menarik nafas lega. Sekurang-kurangnya ada petunjuk positif dalam hubungan yang baru berputik itu.
“Tu yang sebaiknya, Ayu. Kita tak boleh buat keputusan terburu-buru untuk pilih pasangan hidup ni. Sekarang Ika dah boleh lepas tanganlah ya.”
“Lepas tangan?”
“Eh, kan tugas Ika hanya nak memperkenalkan Ayu dengan taufik aje. Korang berdua dah kenal, siap tukar-tukar nombor telefon lagi. Jadi tugas Ika dah berakhir di sini. Selepas ni pandai-pandai korang berdualah nak mencorakkan hubungan yang dah terjalin ni.”
Atika Ayuni senyum. “Yelah, Ayu faham. Ayu pun tahu tak lama lagi Ika akan dibebankan dengan tugas yang lebih berat, kan?”
“Maksud Ayu?”
“Kan tak lama lagi Fatin Adiba akan datang ke rumah Ika?” desis Atika Ayuni.
Zulaika hanya mampu menyengih mendengar kata-kata temannya itu. Wajah adik tirinya yang manja dan bermasalah itu menerpa ke ruang ingatan.

“SEJAK BILA kau perlukan khidmat matchmaker ni, Taufik?” soal Yusuf Hakimi ketika duduk berdua-duaan dengan teman lamanya itu sambil meneguk kopi pekat yang beraroma.
Taufik tergelak-gelak. Dia tahu itulah reaksi Yusuf Hakimi.
“Yang aku pelik tu, bini aku yang kau hire untuk dijadikan matchmaker!” ada nada kurang senang dalam kata-katanya.
“Aku minta maaf, Suf. Aku yang minta Ika rahsiakan hal ni daripada kau...”
“Sebab?”
“Sebab aku malu dengan kau, Suf. Dulu masa di kampus, akulah jagoan dalam bab cinta ni. Aku tabur cinta macam pesawah tabur benih padi di bendang. Simpan perempuan keliling pinggang sampaikan awek orang pun aku sanggup kebas...”
Yusuf Hakimi terdiam. Kata-kata Taufik – “...sampaikan awek orang pun aku sanggup kebas...” – memberikan impak yang mendalam ke jiwanya. Dan memori pahit di suatu ketika bergelar sejarah bagaikan bayangan hitam yang ligat mencakar keluar dari ruang kenangannya.
Wajah seorang gadis manis yang periang dan peramah menerpa ke jiwa. Ketika itu baik dia, Taufik mahupun si gadis manis bertubuh montok dan berwajah bulat bernama Aliza itu masih terlalu muda.
Angin cinta ada di mana-mana. Juga bertiup hebat di puncak menara gading tempat di mana anak bangsa mencari ilmu pengetahuan.
“Suf, aku pergi dulu. Kita jumpa kat dorm petang nanti, okey. Aku ada janji dengan awek aku lah!” Taufik tergesa-gesa berlalu meninggalkannya tanpa menyedari yang walletnya tertinggal di meja.
Dia segera bangkit, hendak mengejar anak muda yang bagaikan tidak cukup kaki kerana tak sabar-sabar hendak jumpa aweknya yang entah siapa itu. Dia memang sukar hendak mengingati nama kekasih teman sedormnya itu kerana Taufik adalah jenis buaya darat yang tak pernahnya lekat dengan seorang kekasih. Malah, Taufik menukar kekasih bagaikan menukar baju!
“Fik!” panggilannya tak diendahkan. “Taufik! Wallet kaulah!” dia menjerit-jerit sambil berlari laju mengejar temannya yang semakin menjauh tanpa menyedari bahawa dia akan berlanggar dengan seorang gadis di hadapannya.
Perlanggaran yang tidak disengajakan itulah yang menemukannya dengan Aliza, siswi Fakulti Kesusasteraan. Hubungan sebagai seorang teman biasa akhirnya membuahkan cinta di hati dua remaja.
“Tamat pengajian nanti aku nak balik kampung, jadi cikgu kat sana.” Kata Aliza dengan penuh yakin. “Kau pula macam mana, Suf?”
“Aku akan ikut ke mana aje kat pergi, Liza.”
“Nak ke mama kau benarkan?”
“Urusan aku dengan mama, biar aku yang selesaikan.”
“Kalau aku ditakdirkan posting di pedalaman?”
“Aku akan cari kerja di pekan yang berhampiran. Jabatan kerajaan juga perlukan khidmat orang macam aku kan?”
Aliza ketawa. Terserlah lesung pipit yang dalam di kedua-dua belah pipinya. Naik geram Yusuf Hakimi memandangnya. Kalau boleh ketika itu juga dia hendak mengheret Aliza berjumpa dengan tok kadi meminta agar mereka dinikahkan segera, jadi bolehlah dia mencium pipi montok milik gadis itu.
Itulah kenangan cinta pertamanya. Yang pernah didambakan untuk kekal sehingga ke akhir hayat. Rupa-rupanya semua itu hanya khayalan belaka. Tanpa disedari olehnya, kecantikan dan kemontokan kekasihnya juga telah menarik minat teman baiknya, Taufik. Dari sehari ke sehari anak muda itu ligat memasang umpan agar Aliza terjerat ke dalam perangkapnya. Don Juan seperti Taufik menganggap enteng pada sebuah persahabatan yang sudah terjalin sejak sekian lama apabila ianya mengaitkan kehadiran seorang wanita.
“Kenapa sejak akhir-akhir ni kau macam menjauhkan diri daripada aku, Liza? Aku ada buat salah pada kau ke?” dia menyuarakan rasa kurang senangnya ketika berjaya menemui Aliza di petang yang cerah itu.
Aliza diam. Dia sudah berubah, bukan lagi Aliza yang ceria dan peramah seperti perempuan yang pernah dikenalinya dahulu.
“Cakaplah, Liza. Kau ada masalah ke? Ceritalah dengan aku.” Dia mendesak.
Air mata yang cuba dipertahankan oleh Aliza akhirnya pecah dari takungan. Yusuf Hakimi jadi kaget. Apa masalahnya sehingga Aliza menitiskan air mata begitu?
“Aku minta maaf, Suf. Tapi aku rasa kita tak ada jodoh. Aku dah fikir masak-masak, aku nak putuskan hubungan kita ni.” Kata-kata Aliza itu bagaikan lembing yang tercacak menembusi dadanya.
Dia kelu seketika.
“Apa kau kata? Kau nak putuskan hubungan kita ni? Tapi kenapa, Liza? Kenapa?”
Air mata Aliza melurut semakin laju, bagaikan empangan yang pecah.
“Apa yang dah aku buat, Liza? Aku ada sakitkan hati kau ke?” dia menghentak persoalan yang bertalu-talu. Aliza hanya menggeleng. “Habis tu, kenapa?”
“Kau tak bersalah apa-apa dengan aku, Suf. Aku yang salah. Aku yang tak setia dengan cinta kita.”
Yusuf Hakimi terkaku. Jadi benarlah desas-desus di sekelilingnya bahawa Aliza sedang menjalinkan hubungan dengan Taufik. Tapi kenapa dengan Taufik? Kenapa dengan teman baiknya sendiri sedangkan ramai lagi lelaki yang lebih kacak dan segak di luar sana?
“Siapa lelaki tu?” soalnya.
“Maafkan aku, Suf! Maafkan aku...”
“Taufik? Siapa lelaki tu, Liza? Taufik ke?” tangan kanannya mencengkam leher jenjang Aliza sehingga gadis itu terdongak memandangnya. Dan ketika mata mereka berlaga, Aliza tak perlu membuat pengakuan apa-apa lagi. Jawapannya sudah cukup jelas – Taufiklah orangnya.
“Taufik!!!” suaranya yang menggegarkan itu membuat rakan-rakan siswa menoleh.
“Suf! Sabar, Suf. Kau dah gila ke?”
Bam! Penumbuk padunya hinggap ke wajah Taufik sehingga Don Juan kampus itu terdorong ke belakang. Sebelum sempat Taufik jatuh terbaring ke simen, satu sepakan padu hinggap ke dadanya. Dan, sejak daripada itu status mereka sebagai teman karib hanya tinggal sejarah disebabkan oleh seorang wanita!
Itulah sebabnya Yusuf Hakimi menjadi takut dan cemburu apabila mengetahui yang isterinya berhubung dengan Taufik di belakangnya, walaupun Zulaika hanyalah sebagai matchmaker untuk memperkenalkan jejaka itu dengan Atika Ayuni. Baginya, orang seperti Taufik yang terlalu akrab dengan perempuan sehingga pernah menjadikan kaum hawa itu sebagai permainannya, mustahil mempunyai masalah untuk mencari jodoh yang sesuai.
Bagaimana dengan nasib Aliza, bekas kekasihnya dahulu? Kalau Taufik benar-benar gilakan dia sehingga sanggup menggadaikan persabahatan mereka, kenapa tak nikahi saja dia?
“Suf, aku tahu suatu ketika dulu aku pernah berlaku kurang ajar dengan kau. Tapi tu dulu, Suf. Aku memang mengaku yang ketika tu aku tak pernah cukup dengan sorang perempuan. Sekarang aku dah insaf. Aku dah bosan dengan kehidupan macam tu. Aku nak kahwin dengan seorang perempuan baik dan mempunyai sebuah keluarga yang bahagia.” Taufik berterus terang.
“Atika Ayuni adalah seorang gadis yang baik. Aku rasa dia juga akan jadi calon isteri yang sesuai untuk kau, Fik. Tapi macam mana dengan berderet-deret perempuan yang pernah jadi awek kau dulu?”
“Mereka tu hanya tinggal sejarah, Suf.” Tukas Taufik sambil menoleh ke arah dua orang wanita cantik yang sedang menuju ke arah mereka.
Perbualan mereka tentang masa silam terus terhenti walaupun Yusuf Hakimi terlalu ingin tahu apa yang terjadi pada Aliza, perempuan pertama yang mengajarnya erti cinta dan kecewa.
“Bukan main rancak lagi berborak?” tegur Zulaika sambil berdiri di sisi suaminya. Yusuf Hakimi dan Taufik tergelak kecil.
“Sesekali jumpa, borak panjanglah sikit.” Sahut suaminya. “Seronok juga bila diingat-ingatkan semula kisah silam masa di kampus dulu, kan Taufik?” sambungnya dengan senyuman penuh makna.
Taufik hanya mampu tergelak kecil. Dia tidak tahu apa sebenarnya yang berada dalam fikiran lelaki itu. Atau apakah Yusuf Hakimi benar-benar telah memaafkannya.
“Dah nak balik ke, sayang?” soal Yusuf Hakimi ke arah isterinya. Zulaika mengangguk. “Siapa yang nak hantar Ayu pulang?”
“Aku boleh hantarkan!” sahut Taufik pantas.
“Hantar terus ke pintu rumah tau. Jangan bawa dia ke tempat lain pulak!” Zulaika segera mengingatkan.
Taufik, Yusuf Hakimi dan Atika Ayuni tergelak kecil mendengar kata-kata Zulaika itu.