Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Isnin, 27 Januari 2014

RINDU YUSUF, CINTA ZULAIKHA- BAB 14

Bab 14

“IKA gembira tak hari ni?” Yusuf Hakimi menyoal isterinya yang duduk di sisi. Sesekali tangannya meramas jari jemari kanan isterinya dengan penuh kasih sayang.
“Ya, Ika gembira sebab Ika rasa antara Taufik dengan Ayu ada harapan.” Sahutnya dengan senyuman mekar di bibir. “Yang Ika risaukan ialah abang...”
Yusuf Hakimi menoleh ke arah isterinya. Mata mereka berdua berlaga.
“Kenapa?”
“Yelah, mula-mula Ika tengok abang marah benar sebab Ika rahsiakan hal ni daripada pengetahuan abang. Sekali lagi Ika minta maaf, bang.”
“Abang maafkan Ika.”
“Ikhlas ke ni?”
Yusuf Hakimi ketawa kecil. Dia mengangguk.
“Ya, abang maafkan Ika. Tapi lain kali abang minta sangat-sangat agar Ika jangan berahsia daripada abang, okey?”
“Okey, bang! Ika janji. Ika pun harap agar abang jangan sesekali berahsia dengan Ika.” Balas Zulaika.
Permintaan isterinya itu membuatkan Yusuf Hakimi terdiam. Sebenarnya dia juga banyak berahsia dengan isterinya terutamanya hal-hal yang berkaitan dengan teman baiknya, Intan Juliana. Kadangkala dia dan gadis itu keluar makan di restoran, dan dia perlu merahsiakannya daripada pengetahuan Zulaika.
Kenapa Zulaika perlu mencemburui Intan Juliana? Alangkah baiknya kalau rasa cemburu dan curiga itu dipadamkan dari sudut hatinya kerana banyak ilmu yang boleh dikoreknya daripada Intan Juliana, desis hati Yusuf Hakimi.
Argh, orang perempuan memang kuat cemburu agaknya, desis hatinya sambil menumpukan perhatian pada pemanduannya.
“Abang rasa Taufik tu boleh jadi seorang suami yang baik tak?” soal Zulaika setelah agak lama mendiamkan diri.
“Semua orang akan jadi suami yang baik kalau ada keinginan untuk jadi macam tu. Ika percaya tak bahawa keinginan, cita-cita dan kehendak setiap daripada kita ni harus diterapkan dalam minda kita? Kita boleh jadi apa aje yang kita mahu asalkan ada keinginan, cita-cita dan kehendak. Lepas tu diperkuatkan dengan usaha. Ala, bukannya susah benar nak jadi suami yang baik macam abang ni! Auuch!!” Yusuf Hakimi menjerit ketika lengannya dikutil isteri.
“Macam ketamlah Ika ni,” komennya membuatkan Zulaika mengherotkan bibirnya.
“Padan muka! Tiba-tiba aje naik bakul angkat sendiri. Hmmm... betul ke abang berkawan baik dengan Taufik tu?”
“Kenapa Ika tanya soalan tu?”
“Saja aje nak tau...”
“Ya, masa abang menuntut kat universiti dulu. Lepas tamat dapat ijazah, dia melanjutkan pengajiannya ke peringkat Sarjana di UK. Kami terputus hubungan selepas tu. Semasa di U dulu, Taufik memang jenis kaki perempuan. Pantang ada perempuan cantik, pasti jadi kekasihnya. Tulah sebabnya abang seram bila Ika bagitau yang Ika dengan dia berhubung tanpa pengetahuan abang walaupun niat Ika tu baik.” Ujar Yusuf Hakimi lembut. Dan dia memaksudkan seluruh kata-katanya itu. Dia tidak sanggup kehilangan Zulaika sebagaimana dia pernah kehilangan Aliza di tangan Taufik suatu ketika dahulu.
Zulaika terharu mendengarnya. Dia segera melentukkan kepalanya ke bahu suaminya.
“Ika sayangkan abang sepenuh hati Ika. Tak mungkin Ika buat benda-benda tak senonoh di belakang abang.” Ujarnya separuh berbisik.
“Ya, abang percayakan Ika.” sahut Yusuf Hakimi.

FATIN ADIBA keluar juga walaupun Fatimah cuba menghalangnya. Dia membonceng motosikal teman lelakinya dan menghilang dalam kegelapan malam.
“Teruk betul emak kau tu!” kutuk Amir yang sudah tidak dapat menahan rasa dengan maki hamun yang dilemparkan oleh Fatimah ketika datang menjemput Fatin Adiba di muka pintu rumahnya senja tadi. Ketika itu mereka sudah sampai ke pekan dan menikmati nasi goreng pattaya di sebuah gerai.
Fatin Adiba mendengus. Dia sendiri pun kadangkala tidak tahan dengan perangai emaknya yang kuat mengomel itu.
“Jangan layanlah emak aku tu. Dah macam tu perangainya, aku nak buat macam mana. Mulutnya hanya akan diam kalau kau plaster aje!” sahutnya sambil menyudu nasi goreng yang tinggal sedikit ke mulutnya.
Amir berdekah. Dia merenung gadis di hadapannya. Walaupun Fatin Adiba tergolong dalam kategori nakal tapi sehingga kini dia masih belum berjaya menakluki kegadisannya. Dan sebelum gadis itu berangkat ke Kuala Lumpur dia bertekad untuk merobohkan kegadisan Fatin Adiba – itulah misinya! Kalau misinya tidak berjaya, dia bukanlah Amir.
“Lepas ni kita nak ke mana?”
Fatin Adiba angkat muka. “Kan kau kata nak tengok wayang?”
“Kita tukar plan ajelah. Aku dah lama tak main snooker dengan gang-gang.”
“Ala... boringlah!” dengus gadis di hadapannya.
“Kalau macam tu, lepas makan ni aku hantar kau balik ajelah.” Suara Amir sudah lain macam.
“Okey... okeylah! Aku ikut kau aje.” Fatin Adiba mengalah dan Amir tersenyum lebar.
“Macam tulah...”
Selesai makan, mereka berdua tidak membuang masa lagi terus menuju ke pusat snooker yang dimaksudkan. Amir meninggalkan Fatin Adiba seketika dan berbual-bual dengan dua tiga orang temannya. Hampir lima minit dia menghabiskan masa dengan mereka. Dia melangkah semula ke arah Fatin Adiba dengan membawa segelas minuman berwarna oren di tangannya.
“Minumlah, air oren je.” Katanya sambil mula menunjal bola di meja.
“Jangan mudah percayakan orang, Fatin. Lebih-lebih lagi budak tak senonoh macam Si Amir tu. Sekali maruah kau hilang, kau takkan dapat tebusnya semula sampai bila-bila.” Kata-kata Fatimah menyentak ke ruang fikir membuatkan dia tidak jadi meneguk minuman yang dihulurkan oleh Amir seketika tadi. Gelas itu diletakkan di atas meja berhampiran.
“Kenapa tak minum?” soal Amir apabila melihat tindakannya itu.
“Kenyang lagilah. Kita kan baru aje lepas makan.” Sahutnya dengan alasan yang kuat.
“Okey.” Sahut Amir. “Kau tak nak main ke? Takkan nak tengok aje?”
“Aku tak ada moodlah malam ni. Hantarkan aku balik.”
Amir berhenti bermain dan menghampirinya.
“Kenapa dengan kau ni, Fatin? Selalunya kau tak macam ni. Yelah, orang tak lama lagi nak ke Kuala Lumpulah katakan...”
“Bukan macam tu. Tapi aku betul-betul tak ada moodlah malam ni. Hantarkan aku balik. Aku takut emak aku mengamuk sakan.”
Amir menoleh jam di lengannya.
“Baru pukul sepuluh setengah ni, Fatin.” Desisnya dengan nada kurang senang. Dijelingnya ke arah gelas minuman yang tak luak isinya. Dia kecewa kerana Fatin Adiba enggan minum minuman yang telah dicampurkan dengan pil khayal itu.
“Kalau kau tak nak hantar, biar aku balik sendiri!” suara Fatin Adiba mula meninggi. Dia hendak berlalu meninggalkan Amir. Anak muda itu segera menarik lengannya.
“Okey, kalau kau nak balik sangat, aku hantar!” dengusnya. “Jom!” dia menarik tangan Fatin Adiba dengan kasar lalu meninggalkan ruang snooker itu.
Entah mengapa buat pertama kalinya dia jadi kecut perut membonceng motosikal Amir ketika meredah kegelapan untuk pulang ke rumahnya malam itu. Hatinya kurang enak, digaru-garu bagaikan sesuatu yang tidak elok bakal terjadi. Dia cuba memberi ruang di antara dirinya dengan Amir.
“Peluk kuat-kuat, cicir nanti!” jerit Amir melawan kebisingan enjin.
Dia menurut saja kata-kata Amir lalu membelitkan tangan ke pinggang dan merapatkan badannya ke tubuh anak muda itu. Dia cuba membuang segala keresahannya dan menganggapnya hanya mainan perasaan semata-mata.
“Kenapa kita berhenti kat sini?” soalnya ketika anak muda itu memberhentikan motosikal dan mematikan enjinnya di sebuah kawasan yang agak sunyi dan bersemak. Hatinya yang sudah mula tenang gelisah semula.
“Janganlah gabrah semacam, Fatin. Aku nak qada hajat dalam semak tu kejap.” Kata Amir sambil berdekah.
“Macam-macamlah kau ni. Dah, pergilah cepat!” dengus Fatin Adiba sambil membelakangkan teman lelakinya itu. Dia terkejut apabila tangan sasa Amir hinggap ke bahunya. Dia segera berpaling. Dan pandangan mereka berlaga.
“Apa kata kalau kau temankan aku masuk dalam semak tu, Fatin?” suara Amir kedengaran kasar di telinganya.
Isy, apalah malangnya nasib aku malam ni, desis hati Fatin Adiba. Sepanjang perkenalan mereka berdua, dia cukup arif dengan kenakalan teman lelakinya itu, tapi tidaklah sampai melampaui batasan.
“Tolonglah, yang, jangan main-main. Kau ni buat aku takutlah...” rayunya sambil menolak tangan Amir yang mencengkam bahunya.
“Kau panggil aku sayang? Maknanya kau sayangkan aku. Tak lama lagi kau nak ke Kuala Lumpur kan, jadi apa salahnya kau hadiahkan sesuatu pada aku malam ni untuk dijadikan kenangan abadi antara kita berdua, Fatin?”
“Kau ni dah gila ke?”
“Ya, memang aku gila. Aku gila bayang dengan kau yang jinak-jinak merpati ni...” Amir memaksa Fatin Adiba masuk ke celah-celah semak.
Gadis itu menjerit dan meronta-ronta untuk melepaskan dirinya. Keperitan di badan akibat dilibas dengan pokok-pokok renek langsung tak diendahkan. Dia harus melepaskan dirinya daripada musibah yang bakal berlaku.
Amir menolaknya dengan kuat sehingga dia terbaring di atas tanah yang lembab. Sebelum anak muda yang telah dikuasai oleh hawa nafsu itu sempat menindih tubuhnya, dia sempat melayangkan sepakannya ke celah kelangkang Amir. Akibat hentakan di bahagian yang sensitif itu, Amir terdorong ke belakang sambil mengerang. Dia tidak menghiraukan kesakitan di tubuhnya. Dengan kudrat yang masih bersisa, dia berlari keluar dari semak itu untuk menyelamatkan dirinya.

JAM menunjukkan ke pukul dua belas tengah malam dan kelibat Fatin Adiba masih juga belum kelihatan. Itulah yang membimbangkan hatinya. Entah apa salahku Tuhan sehingga aku dikurniakan dengan anak sedegil dia, desis hati Fatimah sambil membandingkan perangai anak kandungnya dengan anak tirinya, Zulaika.
Mungkin nilah pembalasan atas segala dosaku yang telah menganiayai Ika selama ni, hatinya terus bermonolog. Sekejap-sekejap matanya dihalakan ke arah jarum jam yang terus berputar tanpa secebis pun bersimpati dengan penanggungannya.
Tiba-tiba dia terlihat sebuah kereta Proton Saga warna putih berhenti di halaman rumahnya. Dia bergegas menuruni tangga. Alangkah terkejutnya dia apabila melihat anak gadisnya keluar dari tempat duduk belakang kereta itu dengan pakaian yang rabak serta wajah yang tak terurus.
Fatin Adiba kelihatan sedang menangis.
“Kami jumpa anak mak cik ni sedang berlari sorang-sorang kat tepi jalan dalam keadaan gelap gelita. Bila kami tanya siapa yang buat begini padanya, dia diam aje.” Kata wanita bertudung yang memimpin Fatin Adiba naik ke rumah.
“Terima kasih kerana tolong hantar anak saya pulang, cik.” Kata Fatimah. Perempuan itu dan suaminya hanya mengangguk dan meminta diri untuk berlalu dari situ.
“Siapa yang buat macam ni pada kau, Fatin?” jerkah Fatimah. “Cakap dengan mak, Amir ke yang buat kau macam ni?”
Fatin Adiba geleng kepala.
“Habis, siapa punya kerja ni? Kan aku dah kata, jangan rapat sangat dengan budak tu...”
“Diamlah, mak! Bukan dia yang punya kerja.”
Fatimah terkejut. Wajah anaknya yang serabai itu direnung.
“Dia dah buat engkau macam ni pun kau masih nak bela dia lagi? Bodohnya kau ni, Fatin.”
“Mak, kan Fatin dah cakap... ni bukan kerja Amir. Yang penting maruah anak mak ni masih belum tergadai lagi. Dahlah, mak... kita lupakanlah aje apa yang terjadi malam ni!”
“Mana boleh! Kita mesti laporkan perbuatannya ke balai polis.” Desak Fatimah.
“Mak tak malu ke kalau berita tentang anak mak ni hampir-hampir diperkosa, heboh satu kampung? Orang kampung ni hanya akan gelak dan padankan muka kita aje, mak. Dahlah... tak payahlah kita besar-besar lagi hal ni. Fatin nak lupakan segala yang berlaku. Sekarang Fatin hanya fikir nak ke Kuala Lumpur aje!” begitu tegas kata-kata yang keluar dari bibirnya.
Fatimah terdiam. Kata-kata anak gadisnya memang sarat dengan kebenaran. Orang-orang di kampung itu pastinya akan mencemuh mereka berdua. Fatin Adiba akan dikata sebagai anak gadis yang rosak akhlaknya. Sementara dia pula akan dilabel sebagai ibu yang tak tahu menjaga anak.
“Biar mak sapukan minyak gamat pada luka-luka kau tu, Fatin.” Katanya lemah sambil memimpin Fatin Adiba masuk ke biliknya.
Setelah membersih dan menyapu ubat pada kesemua luka di badan anak gadisnya, dia mengurut tubuh Fatin Adiba yang sakit-sakit akibat dikasari oleh Amir. Ketika itulah rahsia siapa yang memperlakukannya sebegitu rupa terbongkar.
“Dulu lagi mak dah nasihatkan kau. Mak memang tak percaya dengan dia tu.” Keluh Fatimah. “Dahlah, kau tidur. Esok mak temankan kau ke klinik. Lusa kita dah nak berangkat ke Kuala Lumpur.”
“Mak, tolong rahsiakan perkara ni daripada semua orang termasuklah Ika, ya.” Pinta Fatin Adiba ketika tubuhnya diselimutkan oleh Fatimah.
Fatimah hanya mengangguk perlahan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan