Bab 13
“DAH siap ke, sayang?” seru Yusuf Hakimi yang sudah pun
menggidupkan enjin kereta. “Cepatlah sikit, sayang. Nanti lama pula
kawan awak tu kena tunggu.” Katanya merujuk kepada Atika Ayuni yang
sedang menunggu mereka berdua di rumah sewanya.
Zulaika melangkah
keluar dengan kebaya labuh berwarna kuning berbunga-bunga putih yang
baru siap ditempah. Wajahnya disolek nipis, menyerlahkan lagi kecantikan
asli yang dimilikinya. Rambut yang panjang mengurai disanggul tinggi.
Terpegun Yusuf Hakimi memandang penampilannya yang agak menonjol malam
itu.
“Okey, bang. Ika dah siap.” Katanya langsung tidak mengendahkan
suami yang asyik merenungnya. Dia segera memboloskan diri ke dalam
perut kereta dengan diikuti oleh Yusuf Hakimi.
“Cantiklah sayang malam ni.” puji Yusuf Hakimi. Ikhlas.
Zulaika tersenyum. Dia menoleh suami di sisinya yang sedang memandu.
“Terima kasih, bang. Hari ni kan harijadi Ika, jadi Ika nak melaramlah
sikit.” Katanya. “Abang nak tahu tak, Ayu dah pakai tudung sekarang.
Makin ayu dia tu.”
“Orang sebelah abang ni bila lagi nak bertudung?” soal Yusuf Hakimi. Zulaika hanya tergelak kecil.
Setelah menjemput Atika Ayuni, mereka terus menuju ke restoran yang
dimaksudkan. Kerana terlalu leka berbual tentang hal-hal lain, Zulaika
terlupa untuk memberitahu Yusuf Hakimi tentang rancangannya untuk
memperkenalkan Taufik dengan Atika Ayuni. Itu membuatkan Yusuf Hakimi
agak bengang dengan isterinya.
“Sejak bila Ika dan Taufik rancang semua ni?” soalnya setelah Taufik dan Atika Ayuni berpindah ke meja lain.
“Sejak kita jumpa dia masa Kak Ju pindah ke rumah barunya dulu. Taufik
yang minta Ika rahsiakan semua ni daripada abang sebab katanya dia segan
dengan abang.”
“Jadi dah lamalah Ika berhubung dengan Taufik kat belakang abang?”
“Apa salahnya? Ika kesiankan dia dan hanya nak tolong dia aje. Ika
minta maaf kalau rahsiakan hal ni daripada abang. Maafkan Ika ya, bang.”
Tingkah Zulaika sambil mencapai tangan suaminya.
Yusuf Hakimi
membiarkan isterinya meramas jari-jemarinya. Entah mengapa dia tiba-tiba
saja menjadi cemburu apabila mengetahui bahawa isterinya berhubung
dengan Taufik tanpa pengetahuannya. Situasi itu juga menekan emosi
Zulaika. Dia tidak menyangka yang Yusuf Hakimi akan menyinga sebegitu
rupa walaupun tidak ditunjukkan di hadapan Taufik dan Atika Ayuni. Di
hadapan mereka dia berlagak selamba seperti biasa.
Mungkinkah Abang
Yusuf cemburu, desis hatinya sambil tersenyum senang. Kata orang,
cemburu tandanya sayang. Kalau dia cemburu setelah mengetahui aku
berhubung dengan teman lamanya, aku juga harap dia mengerti tentang
cemburu yang bertapak di jiwaku setiap kali melihat dia terlalu mesra
dengan Intan Juliana.
“Kenapa abang marah-marah ni? Takkan abang cemburu dengan Taufik, kut?” dia menduga.
Yusuf Hakimi tersenyum nipis. Dagu isterinya disentuh dengan hujung jari.
“Dah tentu abang cemburu. Kan Ika isteri kesayangan abang. Jadi bila
Ika dan Taufik berhubung tanpa pengetahuan abang, mestilah wujud rasa
curiga. Tapi abang percaya cakap Ika.” Tukasnya sambil menghalakan
pandangan ke arah meja Taufik dan Atika Ayuni. Mereka kelihatan berbual
dengan rancak.
“Niat Ika nak jodohkan mereka tu memang baik. Tapi
macam mana kalau hubungan tu nanti tak menjadi? Tak ke Ika yang akan
dipersalahkan oleh Ayu?”
Zulaika geleng kepala.
“Ika dah
berterus terang baik dengan Taufik mahupun Ayu. Ika hanya memperkenalkan
mereka berdua. Selepas ni terpulanglah pada mereka nak corakkan masa
depan mereka, sama ada nak teruskan hubungan ataupun pilih jalan
masing-masing. Ika dah lepas tangan.” Terangnya sambil turut menoleh ke
arah mereka pasangan tersebut. Taufik yang bercerita entah apa-apa
sementara Atika Ayuni asyik tertawa. Mereka nampak serasi bersama.
Kemudian matanya lekat ke wajah suaminya.
“Kak Ju dah sampai ke London agaknya kan, bang?” dia membuka mulut. Yusuf Hakimi angguk. “Dia ada telefon abang ke?”
“Tak ada!” sahutnya pantas.
“Kat mana abang letak lukisan yang dia bagi dulu?”
“Abang hadiahkan pada Nur Ain?”
“Huh?” Zulaika kelihatan terkejut.
“Kenapa? Kan Ika tak suka dengan lukisan tu, abang bagilah kat orang
lain.” Yusuf Hakimi bikin dosa kering dengan menipu isterinya, tapi itu
adalah lebih baik baginya daripada melukakan hati Zulaika.
Zulaika
sengih. Salahnya juga kerana terlalu mengikut kata hati kerana dia
sebenarnya amat sukakan lukisan yang dibawa balik oleh suaminya itu.
“MACAM MANA?”
“Macam mana... macam mananya?”
“Eh, buat-buat bodoh pulak! Macam mana dengan Taufik tu? Okey ke tak?”
Segarit senyuman muncul di bibir Atika Ayuni.
“Dia okey. Tapi masih awal lagi untuk Ayu buat keputusan. Dia pun tak
desak Ayu untuk buat keputusan dalam masa yang terdekat ni. Jalan yang
terbaik ialah kami berkawan dulu dan belajar menilai hati budi
masing-masing. Tapi Ayu tak nafikan bahawa dia memang seorang lelaki
yang menarik, pandai buat kelakar dan baik.” Kata-kata Atika Ayuni itu
membuatkan Zulaika menarik nafas lega. Sekurang-kurangnya ada petunjuk
positif dalam hubungan yang baru berputik itu.
“Tu yang sebaiknya,
Ayu. Kita tak boleh buat keputusan terburu-buru untuk pilih pasangan
hidup ni. Sekarang Ika dah boleh lepas tanganlah ya.”
“Lepas tangan?”
“Eh, kan tugas Ika hanya nak memperkenalkan Ayu dengan taufik aje.
Korang berdua dah kenal, siap tukar-tukar nombor telefon lagi. Jadi
tugas Ika dah berakhir di sini. Selepas ni pandai-pandai korang
berdualah nak mencorakkan hubungan yang dah terjalin ni.”
Atika Ayuni senyum. “Yelah, Ayu faham. Ayu pun tahu tak lama lagi Ika akan dibebankan dengan tugas yang lebih berat, kan?”
“Maksud Ayu?”
“Kan tak lama lagi Fatin Adiba akan datang ke rumah Ika?” desis Atika Ayuni.
Zulaika hanya mampu menyengih mendengar kata-kata temannya itu. Wajah
adik tirinya yang manja dan bermasalah itu menerpa ke ruang ingatan.
“SEJAK BILA kau perlukan khidmat matchmaker ni, Taufik?” soal Yusuf
Hakimi ketika duduk berdua-duaan dengan teman lamanya itu sambil meneguk
kopi pekat yang beraroma.
Taufik tergelak-gelak. Dia tahu itulah reaksi Yusuf Hakimi.
“Yang aku pelik tu, bini aku yang kau hire untuk dijadikan matchmaker!” ada nada kurang senang dalam kata-katanya.
“Aku minta maaf, Suf. Aku yang minta Ika rahsiakan hal ni daripada kau...”
“Sebab?”
“Sebab aku malu dengan kau, Suf. Dulu masa di kampus, akulah jagoan
dalam bab cinta ni. Aku tabur cinta macam pesawah tabur benih padi di
bendang. Simpan perempuan keliling pinggang sampaikan awek orang pun aku
sanggup kebas...”
Yusuf Hakimi terdiam. Kata-kata Taufik –
“...sampaikan awek orang pun aku sanggup kebas...” – memberikan impak
yang mendalam ke jiwanya. Dan memori pahit di suatu ketika bergelar
sejarah bagaikan bayangan hitam yang ligat mencakar keluar dari ruang
kenangannya.
Wajah seorang gadis manis yang periang dan peramah
menerpa ke jiwa. Ketika itu baik dia, Taufik mahupun si gadis manis
bertubuh montok dan berwajah bulat bernama Aliza itu masih terlalu muda.
Angin cinta ada di mana-mana. Juga bertiup hebat di puncak menara gading tempat di mana anak bangsa mencari ilmu pengetahuan.
“Suf, aku pergi dulu. Kita jumpa kat dorm petang nanti, okey. Aku ada
janji dengan awek aku lah!” Taufik tergesa-gesa berlalu meninggalkannya
tanpa menyedari yang walletnya tertinggal di meja.
Dia segera
bangkit, hendak mengejar anak muda yang bagaikan tidak cukup kaki kerana
tak sabar-sabar hendak jumpa aweknya yang entah siapa itu. Dia memang
sukar hendak mengingati nama kekasih teman sedormnya itu kerana Taufik
adalah jenis buaya darat yang tak pernahnya lekat dengan seorang
kekasih. Malah, Taufik menukar kekasih bagaikan menukar baju!
“Fik!”
panggilannya tak diendahkan. “Taufik! Wallet kaulah!” dia
menjerit-jerit sambil berlari laju mengejar temannya yang semakin
menjauh tanpa menyedari bahawa dia akan berlanggar dengan seorang gadis
di hadapannya.
Perlanggaran yang tidak disengajakan itulah yang
menemukannya dengan Aliza, siswi Fakulti Kesusasteraan. Hubungan sebagai
seorang teman biasa akhirnya membuahkan cinta di hati dua remaja.
“Tamat pengajian nanti aku nak balik kampung, jadi cikgu kat sana.” Kata Aliza dengan penuh yakin. “Kau pula macam mana, Suf?”
“Aku akan ikut ke mana aje kat pergi, Liza.”
“Nak ke mama kau benarkan?”
“Urusan aku dengan mama, biar aku yang selesaikan.”
“Kalau aku ditakdirkan posting di pedalaman?”
“Aku akan cari kerja di pekan yang berhampiran. Jabatan kerajaan juga perlukan khidmat orang macam aku kan?”
Aliza ketawa. Terserlah lesung pipit yang dalam di kedua-dua belah
pipinya. Naik geram Yusuf Hakimi memandangnya. Kalau boleh ketika itu
juga dia hendak mengheret Aliza berjumpa dengan tok kadi meminta agar
mereka dinikahkan segera, jadi bolehlah dia mencium pipi montok milik
gadis itu.
Itulah kenangan cinta pertamanya. Yang pernah didambakan
untuk kekal sehingga ke akhir hayat. Rupa-rupanya semua itu hanya
khayalan belaka. Tanpa disedari olehnya, kecantikan dan kemontokan
kekasihnya juga telah menarik minat teman baiknya, Taufik. Dari sehari
ke sehari anak muda itu ligat memasang umpan agar Aliza terjerat ke
dalam perangkapnya. Don Juan seperti Taufik menganggap enteng pada
sebuah persahabatan yang sudah terjalin sejak sekian lama apabila ianya
mengaitkan kehadiran seorang wanita.
“Kenapa sejak akhir-akhir ni
kau macam menjauhkan diri daripada aku, Liza? Aku ada buat salah pada
kau ke?” dia menyuarakan rasa kurang senangnya ketika berjaya menemui
Aliza di petang yang cerah itu.
Aliza diam. Dia sudah berubah, bukan lagi Aliza yang ceria dan peramah seperti perempuan yang pernah dikenalinya dahulu.
“Cakaplah, Liza. Kau ada masalah ke? Ceritalah dengan aku.” Dia mendesak.
Air mata yang cuba dipertahankan oleh Aliza akhirnya pecah dari
takungan. Yusuf Hakimi jadi kaget. Apa masalahnya sehingga Aliza
menitiskan air mata begitu?
“Aku minta maaf, Suf. Tapi aku rasa kita
tak ada jodoh. Aku dah fikir masak-masak, aku nak putuskan hubungan
kita ni.” Kata-kata Aliza itu bagaikan lembing yang tercacak menembusi
dadanya.
Dia kelu seketika.
“Apa kau kata? Kau nak putuskan hubungan kita ni? Tapi kenapa, Liza? Kenapa?”
Air mata Aliza melurut semakin laju, bagaikan empangan yang pecah.
“Apa yang dah aku buat, Liza? Aku ada sakitkan hati kau ke?” dia
menghentak persoalan yang bertalu-talu. Aliza hanya menggeleng. “Habis
tu, kenapa?”
“Kau tak bersalah apa-apa dengan aku, Suf. Aku yang salah. Aku yang tak setia dengan cinta kita.”
Yusuf Hakimi terkaku. Jadi benarlah desas-desus di sekelilingnya bahawa
Aliza sedang menjalinkan hubungan dengan Taufik. Tapi kenapa dengan
Taufik? Kenapa dengan teman baiknya sendiri sedangkan ramai lagi lelaki
yang lebih kacak dan segak di luar sana?
“Siapa lelaki tu?” soalnya.
“Maafkan aku, Suf! Maafkan aku...”
“Taufik? Siapa lelaki tu, Liza? Taufik ke?” tangan kanannya mencengkam
leher jenjang Aliza sehingga gadis itu terdongak memandangnya. Dan
ketika mata mereka berlaga, Aliza tak perlu membuat pengakuan apa-apa
lagi. Jawapannya sudah cukup jelas – Taufiklah orangnya.
“Taufik!!!” suaranya yang menggegarkan itu membuat rakan-rakan siswa menoleh.
“Suf! Sabar, Suf. Kau dah gila ke?”
Bam! Penumbuk padunya hinggap ke wajah Taufik sehingga Don Juan kampus
itu terdorong ke belakang. Sebelum sempat Taufik jatuh terbaring ke
simen, satu sepakan padu hinggap ke dadanya. Dan, sejak daripada itu
status mereka sebagai teman karib hanya tinggal sejarah disebabkan oleh
seorang wanita!
Itulah sebabnya Yusuf Hakimi menjadi takut dan
cemburu apabila mengetahui yang isterinya berhubung dengan Taufik di
belakangnya, walaupun Zulaika hanyalah sebagai matchmaker untuk
memperkenalkan jejaka itu dengan Atika Ayuni. Baginya, orang seperti
Taufik yang terlalu akrab dengan perempuan sehingga pernah menjadikan
kaum hawa itu sebagai permainannya, mustahil mempunyai masalah untuk
mencari jodoh yang sesuai.
Bagaimana dengan nasib Aliza, bekas
kekasihnya dahulu? Kalau Taufik benar-benar gilakan dia sehingga sanggup
menggadaikan persabahatan mereka, kenapa tak nikahi saja dia?
“Suf, aku tahu suatu ketika dulu aku pernah berlaku kurang ajar dengan
kau. Tapi tu dulu, Suf. Aku memang mengaku yang ketika tu aku tak pernah
cukup dengan sorang perempuan. Sekarang aku dah insaf. Aku dah bosan
dengan kehidupan macam tu. Aku nak kahwin dengan seorang perempuan baik
dan mempunyai sebuah keluarga yang bahagia.” Taufik berterus terang.
“Atika Ayuni adalah seorang gadis yang baik. Aku rasa dia juga akan
jadi calon isteri yang sesuai untuk kau, Fik. Tapi macam mana dengan
berderet-deret perempuan yang pernah jadi awek kau dulu?”
“Mereka tu
hanya tinggal sejarah, Suf.” Tukas Taufik sambil menoleh ke arah dua
orang wanita cantik yang sedang menuju ke arah mereka.
Perbualan
mereka tentang masa silam terus terhenti walaupun Yusuf Hakimi terlalu
ingin tahu apa yang terjadi pada Aliza, perempuan pertama yang
mengajarnya erti cinta dan kecewa.
“Bukan main rancak lagi berborak?” tegur Zulaika sambil berdiri di sisi suaminya. Yusuf Hakimi dan Taufik tergelak kecil.
“Sesekali jumpa, borak panjanglah sikit.” Sahut suaminya. “Seronok juga
bila diingat-ingatkan semula kisah silam masa di kampus dulu, kan
Taufik?” sambungnya dengan senyuman penuh makna.
Taufik hanya mampu
tergelak kecil. Dia tidak tahu apa sebenarnya yang berada dalam fikiran
lelaki itu. Atau apakah Yusuf Hakimi benar-benar telah memaafkannya.
“Dah nak balik ke, sayang?” soal Yusuf Hakimi ke arah isterinya. Zulaika mengangguk. “Siapa yang nak hantar Ayu pulang?”
“Aku boleh hantarkan!” sahut Taufik pantas.
“Hantar terus ke pintu rumah tau. Jangan bawa dia ke tempat lain pulak!” Zulaika segera mengingatkan.
Taufik, Yusuf Hakimi dan Atika Ayuni tergelak kecil mendengar kata-kata Zulaika itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan