BAB 13
“Haida
tidak tahan lagi long! Mak su sudah
berani pukul Haida. Bukan Haida sengaja
rosakkan baju baharunya.” Tangis Haida. Lengan dan kakinya berbirat dipukul dengan
rotan sebesar ibu jari tangan.
Haikal
menyapu minyak gamat di kaki dan lengah adik perempuannya. Arwah emak dan ayah merek tidak pernah
memperlakukan mereka seperti itu. Hina
benarkah mereka? Haikal hanya mampu
menahan rasa kecewa di hati. Tangan
terikat, kaki terpasung tidak mampu berbuat apa-apa. Kalau dia bawa adik-adiknya keluar dari rumah
itu, mereka hendak ke mana? Siapalah
yang sanggup menjaga dia enam beradik ini.
“Susu
Maisarah juga sudah habis long, petang tadi, Halim bagi dia minum air sejuk
sahaja, kesian adik long!” Halim
menunduk. Wajahnya muram. Maisarah, Haris dan Hani sudahpun terlena
setelah menjamah makan malam
mereka. Melihat sepupu-sepupu mereka
makan nasi berlaukkan kuah, sayur dan ayam kadang-kadang mereka menelan air
liur sahaja. Itu bukan untuk mereka.
“Halim,
Haida, tidurlah. Esok nak sekolah.” Arah Haikal.
Kalaulah adik-adiknya tahu bagaimana perasaan hatinya pasti mereka sudah
melihat sekeping hati yang sudah retak hampir berderai. Kalaulah mereka tahu bagaimana hibanya rasa hati melihat tangisan Maisarah
yang kelaparan susu sudah pasti mereka akan melihat air matanya seluas Lautan Cina Selatan. Dia mengenggam penumbuk. Marah kepada diri sendiri lantaran
ketidakmampuannya menyara adik-adik yang masih kecil, masih belum mengerti dan
tidak tahu apa-apa itu. Mereka hanya
tahu menangis jika keinginan tidak dipenuhi.
Di
kejauhan malam, bertemankan sang bintang di balik awan, berkawan dengan
unggas-unggas malam yang bernyanyi riang, memecah kesunyian malam. Hembusan angin menyapa tubuhnya yang tidak lagi berisi. Di situlah dia melepaskan duka di
hati. Menangis seorang diri, meratap
dan meluahkan gejolak di jiwa. Tidak sesekali dia menangis di hadapan adik-adik. Tidak mahu mereka berasa hampa dan kecewa. Lemah
dan tidak berdaya. Biarlah dia cuba
berlagak biasa asalkan terlihat senyuman terukir di bibir adik-adiknya.
Matannya yang keletihan tidak mampu dipejamkan, lantaran fikiran yang
bercelaru, berserabut bagaikan tiada ruang kosong dalam mencari ketenangan. Kekuatan dan kesabaran pula bagaikan menyepi.
Ya ALLAH, Kau berilah aku kekuatan dan kesabaran, doa Haikal di dalam hati.
Entah jam berapa matanya terlelap di luar rumah
bertemankan nyamuk dan unggas-unggas malam.
Dia melangkah masuk mengejutkan
adik-adiknya yang hendak ke sekolah pagi itu.
Di dapur masih gelap gelita. Azan
subuh sudah berkumandang memanggil
hamba-hamba ALLAH sujud kepada Penciptanya.
Hiba hatinya melihat adik berkerekut menahan sejuk awal pagi. Rasa ingin dijeritkan kepada dunia, lihatlah
kesengsaraan mereka adik-beradik. Rasa
ingin menangis sekuat hati, biar lega perasaan sedih yang semakin hari wujud
dalam diri. Biar pergi perasaan lemah
dan tidak berdaya lantaran merasa rendah diri.
Di
pagi hari tiada sarapan disediakan. Mak
Su Tijah membeli sarapan hanya untuk dia anak beranak. Adik-adiknya dibiarkan kelaparan makan di
waktu tengahari sahaja. Geram bercampur
marah, namun dia tidak mampu berbuat apa-apa.
Maisarah perlukan susu. Duit
tabung sudah menyusut. Malu hendak
meminta, mereka bukan pengemis. Pak Su
keluar membawa lori, dua minggu sekali baharu menjejakkan kaki di rumah. Kepada siapa dia hendak mengadu. Tiada saudara mara yang mahu membantu. Kepada jiran tetangga dimomokkan keburukkan
kedua orangtua mereka sehingga timbul benci di hati mereka. Aduhai, nasib diri.
“Long,
laparlah!” kata Halim sambil mengusap perutnya.
“Along
nak simpan duit ini untuk belanja sekolah dan beli susu Maisarah. Sudah berhari-hari adik tidak minum susu,
asyik menangis sahaja. Halim boleh tahan
menunggu sehingga tengahari ya?” pinta
Haikal. Bukan tidak nengerti malah
memahami, tapi apakan daya. Hendak memasak, Mak Su Tijah berkira soal gas yang
diguna. Pening memikirkan keadaan hidup mereka adik-beradik. Kalaulah rumah sendiri tentu tidak begini jadinya.
Pagi-pagi
lagi Mak Su Tijah sudah bercekak pinggang memerhatikan dia dan
adik-adiknya. Takut benar mereka mencuri
makanan yang ada. Biarlah miskin tetapi
mereka bukan pencuri. Biar meminta
walaupun dihina. Perut adik-adik lebih
penting dari segalanya. Jangan mereka
jatuh sakit sudahlah. Siapa pula yang
hendak membantu merawat mereka nanti.
“Mulai
esok, kau pergi bekerja Haikal. Maisarah
tinggalkan sahaja di rumah. Ramai boleh
tengokkan. Gaji pak su kau bukan besar
sangat nak beri kau adik beradik makan, janganlah berharap pada kami sahaja.”
Mak Su Tijah mencuka. Wajah yang tidak
pernah senyum sejak mereka menjejakkan kaki ke rumah itu. Wajah yang penuh kebencian kepada mereka
adik-beradik kerana menyusahkan.
“Maisarah
tidak pernah tinggal sendiri mak su, adik-adik yang lain siapa pula hendak
jaga? Maisarah baru sahaja setahun. Siapa pula hendak buat susu dia nanti, hendak
mandikan dia, tidurkan dia,” kata
Haikal. Mak Su Tijah mencebik.
“Hey,
jangan bagi alasan. Mak su pun ada anak kecil tahu. Boleh pun anak mak su tidur sendiri, kalau
dia hendak susu,kau siapkanlah awal-awal sebelum pergi kerja,” ajar Mak Su
Tijah. Haikal kurang setuju.
“Maafkan
Haikal mak su. Haikal tidak akan
tinggalkan Maisarah sendiri.”
“Degilnya,
kalau macam itu, kau bawa dia sekali ke tempat kerja!”
“Mak
su?” Haikal memandang wajah mak sunya
dengan penuh tanda tanya. Waktu arwah emaknya masih hidup, mak sunya mesra
dengan mereka. Kenapa cepat betul mak
sunya berubah. Dahulu bukan main sayang
dia pada mereka adik beradik. Sekarang
kenapa lain sekali sikap mak sunya.
Inilah nasib hidup orang menumpang.
Mak Su Tijah berlalu masuk ke dalam rumah. Haikal terpinga-pinga sendiri. Maisarah yang duduk di sisinya dipeluk
erat. Rasa hiba tiba-tiba menerjah di
hatinya. Ya ALLAH, Engkau berilah aku kekuatan, detik
hati kecil Haikal. Dia hanya mampu menangis dalam hati sahaja. Tidak terluah
dengan kata-kata. Maisarah yang sedang
tersenyum memandangnya dicium berkali-kali.
Maafkan along, sayang, hatinya terus berkata-kata.
“Along,
biar Haida berhenti sekolah, duduk rumah tengok-tengokkan adik-adik.” Kata
Haida sebelum melangkah ke sekolah.
“Tidak!
Haida, tahun ini UPSR. Bagi selesai.”
Marah Haikal. Dia tidak mahu
adik-adiknya mewarisi kemiskinan lantaran tidak berpelajaran. Biarlah dia susah, bercengkang mata siang dan
malam, namun memberhentikan adik-adiknya dari persekolahan tidak sama sekali.
“Pergi
sekolah!” halaunya.
Haida
akur, langkah dihayun perlahan meninggalkan perkarangan rumah papan setingkat
itu.
Kerja? Dia hendak kerja apa dan di mana? Haikal mengeluh. Wajah Maisarah yang sedang menelan air gula
yang dibancuh dipandang sayu. Haris dan
Hani sedang meneguk air kosong bagi mengalas perut. Dia perlu bekerja, kalau hendak bagi
adik-adiknya makan. Kalau dia bekerja
siapa yang hendak menjaga adik-adiknya? Masalah yang tiada penghujungnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan