Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Isnin, 18 Julai 2016

AKU BUKAN KAMALIA- BAB 24-Karya SASYA ZAINAL



Mentari di luar tegak bersinar memancarkan kuasanya. Bagi rumah-rumah yang beratap zink, cuaca panas sebegini menambah rasa bahang di dalam rumah. Walau cuaca di luar panas terik, namun Faezah Hanim yang baru mendengar berita dari Kak Nora, berasa seram sejuk. Jari-jemarinya seperti sedang memegang ais. Degupan jantungnya berdegup kencang seakan-akan dia sedang berlari.

“Nim...kau tahu tak apa yang dah terjadi pada Adik?” Tanya Kak Nora lagi setelah soalan yang pertama tadi pun masih belum berjawab.
Faezah Hanim menggeleng dan menjawab perlahan yang dia tidak tahu menahu apa yang berlaku pada sahabatnya itu.
“Hmmm...hairan Kak Nora, dengan kau pun dia tak beritahu,” Kak Nora mengeluh. “Adik dah pergi kerja kat KL. Dua minggu lepas dia pergi,” ujar Kak Nora perlahan.

“Subhanallah...Anim ingatkan apa tadi. Buat Anim cuak aje, Kak Nora,” dia mengurut dada dan menarik nafas lega. Kedua-dua belah matanya dipejamkan tanda dia berasa lega.
“Kau ingatkan apa?” Berkerut kening Kak Nora memandang Faezah Hanim,
“Iyalah...Kak Nora kata, Adik dah tak ada. Paniklah Anim.”
“Apa kau fikir Adik dah takde terus? Heh! Selisih aje! Panjang lagi umur dia, Insya-ALLAH.”
“Erm...tapikan Kak Nora...hmmm, sikit dia tak beritahu Anim, Kak Nora,” keluhnya kesal.
“Kak Nora pun dapat tahu...hmm...macam kurang dari seminggu dia nak pergi. Memang mengejut. Katanya...dia minta kerja tu melalui internet...terus dapat. Rezeki dia agaknya, Nim.”
“Minta kerja online? Eh...risau pulak Anim, Kak Nora. Iyalah...sekarang ni, benda-benda dalam internet ni, bukan boleh percaya tau kak.” Timbul pula keresahan di dalam hatinya.
“Ahh...jangan risaulah. Dia dah masuk kerja pun. Isnin hari dia dah mula. Mak Uda beritahu Kak Nora,” bicara Kak Nora sekali lagi menghilangkan gusar di hati.
“Tapi...sampai hati, Adik. Sikit dia tak beritahu Anim. Semua SMS Anim dia tak balas,” ujarnya sayu. Dia memandai ke bawah, ke arah tikar getah yang menyelaputi lantai kayu rumah Kak Nora.

Nora memandang wajah Faezah Hanim di hadapannya itu. Anak itu dianggap sebagai adiknya sendiri. Masakan tidak, Faezah Hanim itu membesar di hadapan matanya.  Ingat lagi dia semasa anak itu lahir, ayah dan ibu anak itu mengadakan kenduri kesyukuran, akikah dan majlis cukur jambul. Noralah yang ditugaskan menyediakan bunga telur berwarna merah jambu. Kemudian, semasa Faezah Hanim khatam al-quran, dia juga yang memakaikan mekap ke wajah comel anak ini. Kini, Faezah Hanim sudah menjadi seorang wanita muda yang anggun dan matang. Nora amat mengenalinya. Nora mengetahui hubungan Faezah Hanim, Adik dan Johari. Cuma Johari sahaja yang tidak pernah pulang ke kampung. Nora tahu, mereka bersahabat sejak kecil. Mungkin keakraban mereka seperti adik beradik. Mungkin kerana itu jugalah, apabila Adik pergi begitu sahaja, sebagai sahabat, mungkin Faezah Hanim terkilan.

 “Dia dapat kerja mengejut. Banyak urusan yang dia nak buat sebelum dia nak pergi. Itu yang agaknya dia tak sempat nak beritahu Anim . Nanti-nanti, dia beritahulah,” Nora memujuk. Tangan Nora mengenggam lembut tangan Faezah Hanim.
“Iyalah...takkanlah SMS pendek cakap, kita dah dapat kerja kat KL...nanti kita sambung cerita, pun tak boleh nak taip? Bukan ambil masa panjang nak taip SMS sependek tu,” getus Faezah Hanim menyatakan rasa tidak puas hatinya.
“Dia pun tengah serabut agaknya, Nim. Dia pun berat hati nak tinggalkan Mak Uda. Dengan Mak Uda jaga menantu dan cucu lagi. TengokkanTok Bidin dan nenek sakit lagi, tapi...dia kata, dia nak tolong Mak Uda tanggung Alia. Itu...bini si Khalid tu pun, kira macam Mak Uda dengan Pak Ghani jugak yang tanggung tau...kalau takde Adik, susah juga.”
Faezah Hanim menarik nafas panjang dan melepaskannya.Nora menepuk-nepuk tangan Faezah Hanim.

“Janganlah Anim kecil hati dengan dia. Nanti, dia dah stabil, dia contact lah Anim. Walaupun Kak Nora sedih, dia pergi, tapi bagus juga, Nim. Kasihan Adik kerja kat sini. Macam tak kemana. Penat aje belajar tinggi. Jadi promoter kat bandar tu, apalah sangat yang dia dapat?” Nora masih cuba memujuk. Dari riak wajah Faezah Hanim, dia tahu gadis itu berkecil hati.
“ Sekurang-kurangnya, bila di KL tu, Kak Nora rasa, Adik akan dapat gaji yang bagus, dapat peluang naik pangkat. Anim janganlah kecil hati dengan dia, eh?”

Faezah Hanim hanya mengangguk. Kak Nora memang mempunyai daya pujukan yang tinggi. Sedari dia kecil, Kak Nora memang pandai melayan dia dan rakan-rakannya yang selalu bermain di hadapan rumah Kak Nora. Cuma kasihan Kak Nora, dia tidak punya anak sendiri untuk diberikan kasih sayang
“Dah...jangan sedih-sedih. Jom pergi dapur...kita buat-buat air sambil makan biskut ke, kerepek ke...apa-apalah yang ada kat belakang tu. Meh...,”Nora bangun dan menarik tangan Faezah Hanim untuk mengajaknya ke dapur.

Sebelum meninggalkan ruang tamu, telefon Faezah Hanim berbunyi menandakan masuknya satu pesanan SMS.
Cik Hanim, selamat berhujung minggu. Kau tak balik kampung ke minggu ni? Kalau balik BP tu, jangan lupakan aku kalau kau makan beriani tau. Aku nak Singapura esok, kau nak pesan apa-apa?

SMS dari Ilyas membuatkan Faezah Hanim mengetap bibir. Ada sekelumit perasaan kesal kerana tidak membalas SMS Ilyas tengahari tadi. Tetapi, rakannya itu, tidak pernah putus mengirimkan SMS walau dia hanya kadang-kadang membalasnya. Selalunya, Faezah Hanim hanya membiarkan SMS Ilyas tidak dibalas. Jika senang, waktu malam sahaja dia menaip SMS kepada Ilyas. Sehari hanya sekali dia membalas SMS jejaka itu. Sedangkan, Ilyas mengirimkan tiga atau empat kali SMS padanya. Kali ini, petang ini, di rumah Kak Nora, dia menghargai SMS dari Ilyas. Semasa Kak Nora menyiapkan air kopi susu panas, Faezah Hanim mengambil peluang membalas SMS Ilyas. Sambil menaip, dia tersenyum. Dia semakin menghargai kehadiran jejaka itu. Jauh di sudut hati, dia berkecil hati dengan Kamal Arif.


Goodyear Court, USJ, Subang Jaya.
Jumaat, 8.30 malam



Dia memanjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi. Agak lama dia menunaikan sujud syukur selepas solat maghrib tadi. Mengucapkan rasa syukur kepada ALLAH kerana setelah diberi ujian, DIA mengurniakan hadiah yang sangat besar. Minggu lepas, hari Jumaat juga, dia datang ke Kuala Lumpur dengan sebuah harapan. Hari Jumaat lepas, dia meninggalkan ayah ibu dan kampung tercinta dengan hati yang lara. Hari ini, pada hari kebesaran umat Islam ini, ALLAH telah memberinya satu hadiah yang amat bermakna. Dia telah lulus dengan baik pada ujian latihan praktikal yang diberi petang tadi. Maka, pada hari Isnin nanti, dia akan mula bertugas sebagai eksekutif junior Global Telco Network.

Dia tidak pernah mengimpikan gaji yang besar. Padanya, cukuplah dengan gaji yang dia dapat semasa di tanah kelahirannya dahulu. Apa yang penting adalah, ayah dan ibunya di hadapan mata. Apa yang penting, dia duduk di rumah ayah dan ibu, membantu mereka seadanya. Apa yang penting, dia gembira kerana dapat melahirkan bakat seninya dengan membantu Kak Nora. Tetapi, itu adalah perancangannya. Sesungguhnya ALLAH mempunyai perancangan yang berbeza. Hanya DIA yang tahu, apa yang terbaik untuk setiap umat-NYA di bumi ini. Adik redha dengan ketetapan yang Maha Kuasa. Siapa dia untuk mempersoalkan setiap qada` dan qadar yang ALLAH tentukan untuknya.

“Dik...dah siap?” Wajah Johari tersembul di pintu bilik ketiga rumah Alice. Sejak beberapa hari lepas, dia meminta kebenaran untuk bersolat di bilik itu kerana dia ingin memberi ruang kepada Johari untuk berehat di kamar tidur yang dikongsi. Hendak bersolat di ruang tamu pula, Alice kadang-kadang menonton televisyen sebelum keluar bekerja. Rasa tidak enak pula dia menganggu ruang privasi Alice.
“Maghrib dah sudah. Aku tunggu isya`. Kenapa, Ri?”
“Kita keluar makan eh? Aku malaslah nak masak.”

Dia mengangguk tanda bersetuju dengan cadangan Johari. Dia faham, mungkin Johari penat. Bangun pagi, meredah kesesakan lalu lintas, bekerja dan pulang dari kerja pun, perlu melalui kesesakan trafik yang menjengkelkan. Di kota ini, kedai makan dan restoren tumbuh macam cendawan tumbuh selepas hujan dan boleh dikatakan semua kedai makan penuh dengan pelanggan. Warga kota kebanyakannya makan di luar. Rutin seharian yang padat menyebabkan semuanya seperti tidak sempat dan tergesa-gesa.

Selesai menunaikan solat isya`, Adik segera bersiap. Johari akhirnya membawa Adik makan malam di salah sebuah kedai Tom Yam Seafood yang terdapat di kawasan berdekatan. Malam itu, Johari memberitahunya yang keesokan hari, dia, Diana dan Kajol akan membawa Adik membeli-belah di Sunway Pyramid.

“Nak beli apa eh, Ri? ” Tanya Adik sambil matanya merenung wajah Johari meminta pandangan. Dia mengacau-ngacau tomyam ayam dengan sudu yang untuk menyejukkannya.
“Eh...macam-macam hendak dibeli, Dik. Especially baju. Takkan kau nak pakai baju-baju lama kau tu? Lepas tu, kau belilah seluar, skirt, sandal, kasut. Takkan kau nak pakai selipar seret Amoy tu aje? Kasut yang kau bawak tu memang tak sesuai laa, Dik,” jawab Johari pantas sambil menyuap nasi goreng paprik daging kedalam mulutnya.

 Adik mengangguk-angguk walaupun, dia masih belum rela memakai skirt. Rasa canggung dia untuk memakai pakaian wanita. Johari lainlah...sedari mereka remaja, sebenarnya Johari sudah mula mengumpul baju-baju perempuan yang dibeli sorok-sorok dari pasar malam.
“Kau jangan risau pasal duit. Aku boleh dulukan. Nak belanja kau sehelai dua baju pun boleh juga,” Johari menyatakan kesanggupannya dan nampak benar yang dia lebih teruja berbanding dengan Adik yang akan mula bertugas hari Isnin nanti.
“Eh...tak apalah, Ri. Aku ada duit...insya-ALLAH.” Adik mengelak. Cukuplah budi baik Johari dengannya selama ini.
“Alah...sekadar nak belanja kau sikit aje, Dik. Kita ni dah macam adik-beradik, mak tak kesah ok.”
Adik tersenyum. Baik sungguh hati anak Mak Bedah ni. Bukan senang hendak bertemu dengan sahabat yang baik sebegini. Semasa di UiTM dulu pun, dia tidak bertemu dengan mana-mana sahabat sejati. Kawan-kawan biasa sahaja. Johari ini, memanglah sahabat. Sahabat dunia akhirat baginya.

Mereka pulang ke rumah ketika jam menunjukkan waktu pukul 10.30 malam. Pulang ke rumah, Johari meminta kebenaran untuk melihat pakaian yang dibawa oleh Adik.
“Aku akan buat transformation untuk kau tau!” Teruja benar sahabatnya itu ketika membuka beg pakaian Adik.

Beberapa pakaian yang boleh dipakai dan disesuaikan untuk pergi bekerja, diasingkan dan digantung di dalam kabinet baju yang dikongsi bersama. Beberapa helai baju dan seluar yang tidak sesuai, ditinggalkan di dalam beg dan beg itu kemudiannya diletak di atas kabinet.
“Baju-baju salesman farmasi ni, aku nak kau simpan terus ok. Kalau kau nak derma dengan orang pun, dermalah. Kau kena ada set-set pakaian baru!” Itu pesan Johari padanya.
Johari kemudian memberi cadangan warna seluar atau warna palazo mana yang boleh digayakan dengan baju-baju yang dibawa olehnya. Adik hanya mengangguk. Kebanyakan cadangan Johari dipersetujui. Memang sahabatnya itu seorang yang pandai bergaya.

Adik menawarkan diri untuk membuat air coklat panas untuk Johari dan ternyata, sahabatnya tidak menolak. Sebenarnya, dia tidak mampu berbohong yang dia juga agak teruja dengan perancangan hari esok. Mereka akan ke Sunway Pyramid pada pukul 10.00 pagi. Kata Johari, “Esok Dik, Pak Guard bukak aje pintu shopping kompleks tu, pastikan muka kita dah tercongok kat situ tau!”

Mula-mula Johari merancang agar mereka akan bersarapan pagi di kedai mamak dan kemudian barulah mereka akan membeli-belah. Menurut Johari, Diana dan Kajol juga akan turut serta. Jika ada filem yang bagus, mereka akan berhenti untuk menonton filem. Johari menyediakan aturcara seharian mereka di Sunway Pyramid seperti dia seorang ketua rombongan.

Sedang dia menyiapkan air coklat panas di dapur, dia terdengar yang Johari sedang bercakap. Adik segera membancuh serbuk coklat Van Houten bersama-sama dengan sedikit susu manis. Dua mug disediakan. Selesai membancuh air coklat panas berasap, dia mengambil kedua-dua mug itu dan diletakkan di atas meja makan. Dari meja makan, dia terlihat yang Johari sedang menelefon.

“Esok, I nak shopping tau. Hmmm...abang masukkanlah duit sikit. I nak beli beg baru. Beg yang lama tu, dah outdated laa.”

Agak aneh perbualan Johari itu. Adik cuba memasang telinga dan yang kedengaran kini adalah gelak-gelak kecil Johari.
“Nantilah kita jumpa. I uruskan kawan I dulu, ok. Tapi abang jangan lupa eh...masukkan duit....hmmm....aaaa....ok...ok...ya, esoklah masukkan duit...I nak pergi Pyramid esok pagi-pagi lagi. Ok...janji eh...kalau ayang check  ATM esok...duit dah ada eh...janji tau.”

Johari akhirnya mengakhiri perbualannya dan berjalan keluar dari kamar.
“Dah siap eh air aku?”
Adik menyuakan mug yang berisi susu coklat panas kepada Johari.
Marvellous tau kau ni!” Ucap Johari tersengih-sengih.
Sahabatnya itu kemudian ke ruang tamu dan membuka suis televisyen. Dia memilih-milih rangkaian televisyen yang berkenan di hati. Adik juga akhirnya menyertai Johari untuk menonton. Tetapi, otaknya ligat berfikir.
‘Siapa yang bercakap dengan Johari tadi?’
Johari akhirnya menonton sebuah filem inggeris. Adik pula memandang Johari dengan seribu persoalan yang bermain di fikiran.


Sabtu Pagi, Sunway Pyramid.

Seperti yang dirancang, pagi Sabtu, jam sembilan pagi, Johari dan Adik sudah pun keluar meninggalkan rumah.

“Adik...enjoy your shopping hor,” pesan Alice sebelum dia masuk tidur pada subuh tadi. Menurut Alice, jika esoknya hari bercuti, dia pasti akan menyertai mereka.

Kedua-duanya masih belum bersarapan ketika meninggalkan rumah kerana Diana dan Kajol pula mengajak mereka sarapan bersama di kedai mamak di kawasan Sunway. Betapa Adik berfikir, berbeza sungguh kehidupannya di dalam seminggu dua ini. Jika di kampung, hari-hari Sabtu begini, dia mungkin akan meneman Kak Nora mengandam. Ayah pula mungkin akan ke kebun selepas membawa emak ke pasar. Hari ini, hari minggu di ibu kota, warga kota kebanyakkannya bersarapan di luar. Ada juga yang mengambil peluang memasak untuk makan bersama keluarga. Ada juga yang mengambil peluang ke pusat membeli-belah, menonton wayang, main bowling atau berpiknik. Jauh sekali cara hidup warga kota dan di kampung.

Memang benar kata Johari, keempat-empat teman itu masuk ke Sunway Pyramid ketika kebanyakan kedai baru membuka pintu kedai mereka. Adik teruja ketika kakinya melangkah masuk ke dalam pintu utama pusat membeli-belah Sunway Pyramid itu. Pusat itu, entah berganda-ganda besarnya dari pasaraya tempat dia bekerja di Batu Pahat.

“Bagus nyah kita datang pagi-pagi. Nak cari parking pun senang. Kalau tak pening kepala hotak aku...pusing, pusing, pusing cari tempat kosong,” jelas Diana yang hari ini memakai baju blaus pendek berwarna hijau pucuk pisang dengan jeans biru.
“Eleh...cakap cari parking sampai pening kepala...macamlah dia yang bawa kereta...chit!” Jeling si Kajol kepada Diana sambil mengangkat tangan kanannya. Diana kemudian ketawa terkekeh-kekeh. Begitu juga dengan Johari dengan Adik. Menurut Johari, Diana dan Kajol itu sudah berkawan lebih dari lima belas tahun. Mereka juga tinggal serumah.
“Dah kau yang sain jadi drebar aku...mak nak buat macam mana? Kan Datok dah bayar kau nyah...bawak mak jalan-jalan...kau jangan banyak songel tau nyah!” Bidas Diana.
“Oi...kau orang jangan nak buat drama hari ni ok. Kita mesti fokus...fokus untuk cari baju yang vogue the vasss untuk Adik ok,” Johari menyelit. Adik hanya tersengih-sengih melihat telatak rakan-rakan barunya.
“Ooops...sorry  cik Julia...ampunkan mak ya. Mak yang excited  ni tau!” Jelas Diana dan ternyata, terpancar di wajahnya yang dia memang teruja.
“Kau ingat kau seorang aje yang excited, Dee? Aku pun dah siapkan list  tau! Tengok ni haa,” Johari mengeluarkan senarai kertas putih kecil sambil menunjukkan isi kandungan kertas itu kepada Diana dan Kajol.
“Eh Juls...siapa yang nak shopping ni? Kau ke Adik?” Bulat mata Kajol memandang Johari.
“Sama-sama laa you alls...lagipun, Abang Edward dah masukkan duit you alls! So...akak kaya hari ni!” Ujar Johari keriangan.
“Kelas kau Juls! Belanja laa mak sikit,” Diana membuat mimik muka merayu.
“Heh kau ni...bagi aku belanja Adik pulak laa Dee...kau dah selalu. Nanti laaa birthday kau, aku belanja,” jawab Johari.
“Sentaplah mak macam ni...birthday mak dah lepas tau, nyah,” Diana memuncungkan mulutnya.
“Kalau macam tu, kau tunggu tahun depan!” Kajol mencelah dan Diana menjeling Kajol.
Keempat-empat mereka ketawa dan berjalan masuk ke dalam pusat membeli-belah Sunway Pyramid yang bertemakan senibina dan hiasan dalaman seperti di pyramid, Mesir.

          Mereka masuk dari satu kedai ke satu kedai. Membelek-belek, memilih-milih baju dan seluar yang sesuai untuk Adik. Adik juga melihat harga yang diletakkan pada pakaian-pakaian yang dipilih untuknya. Mak Datuk! Harganya macam beli baju raya untuk satu keluarga jika di Batu Pahat. Dari kedai British India, mereka memasuki kedai Charles and Keith. Ada juga jenama yang hendak terbelit lidah Adik hendak menyebutnya. DKNY, Bvlgari, Gucci, Hugo Boss dan bermacam lagi jenama antarabangsa yang terdapat di dalam Sunway Pyramid. Johari yang hendak mencari beg tangan baru pun, memasuki dari satu kedai ke satu kedai. Dari kedai Sachs, mereka memasuki kedai Bonia. Dari kedai Bonia, mereka memasuki kedai Fossil. Kajol dan Diana sudah pun membimbit beberapa beg plastik pakaian yang dibeli dari Giordano dan Padini. Pakaian untuk dia berjogging kata Kajol.
        
          Adik akhirnya membeli lima helai blaus dan dua helai seluar palazo dari Reject Shop dan Nichii.
           “Cukup ke eh untuk bawa pergi kerja?” Tanya Adik kepada ketiga-tiga rakannya ketika mereka menikmati aiskrim sambil melihat kawasan tempat bermain ais skating. Apabila dia mengikuti latihan selama seminggu tempoh hari, Adik merasa serba kekurangan apabila melihat pakaian staf-staf yang bekerja di situ. Kebanyakannya up to date. Kebanyakannya macam pakaian artis-artis.              
         “Oklah tu, Dik. Cukuplah untuk permulaan. Nanti dapat gaji pertama, kita shopping lagi. Tak lari pun Pyramid ni,” ujar Diana.
         “Haah Dik, jangan risau. Baju aku pun banyak, kau boleh pinjam. Kalau nak ambil terus pun boleh, ada can aku beli baju baru!” Pujuk Johari.
         “Haah laa, Dik. Don’t worry lah, you and Juls sama saiz...Cuma you tinggi sikit. Bila-bila masa boleh tukar-tukar pakai...lainlah kalau I dengan housemate I tu,” Kajol menjeling Diana tanda menyakat.
         “Siapa eh housemate you, tu?” Tanya Diana sambil mengangkat kening ala Ziana Zain kepada Kajol. Adik dan Johari sudah mula terkekeh-kekeh ketawa melihat gelagat Diana menjeling Kajol.
         “Adalah sorang tu...nak jugak pakai kebaya pergi kerja...sudahnya semput sebab ketat sangat! Dah satu ofis panik nak bawak dia pergi klinik ambil gas!” Jawab Kajol.
         “Mak tahulah mak ni muatan besar nyah...mak pun nak merasa pakai kerongsang kebaya macam kau tau nyah! Tengok kau orang bukan main lagi macam janda berhias...sentap tau mak!” Bidas Diana.
         “Kalau nak pakai kebaya, dietlah sikit. Ini tidak, masa pakai kebaya tu, dia pergi melantak nasi kandar kepala ikan sampai dua pinggan! Hah!Bila masuk ofis, semput kau!” Marah Kajol kepada Diana.
         “Mak tahu mak salah, nyah. Mana tak semput kau! Sengkak perut ni haaa...balik dari klinik, mak tengok, meretas jahitan baju kebaya mak! Ohhh tak relaaaa!”
         Keempat-empat mereka akhirnya ketawa berderai.
         “Entah kau ni, Dee. Dietlah sikit. Kalau tak jadi apa, tak kisahlah, ini kau semputlah, tekanan darah tinggilah,” Johari menyambung bebelan.
         “Alah, tekak aku ni nyah, sedap aje. Selera aje. Itupun rezeki jugak tau, nyah. Kalau ALLAH ambil selera kang? Haa...kurus kering macam orang dekat Somalia sana, lagi sedih nyah!”
         “Iyalah, makan berpada-padalah. Nanti, kau cemburu pulak tengok kita tiga orang pakai baju meletop-letop...kau balik-balik pakai baju gedoboh kau ni! Sangat macam makcik-makcik tau,” sambung Johari.
         Adik hanya memerhati gelagat teman-teman barunya. Gurauan mereka kedengarannya kasar namun Adik tahu, mereka mengambil berat antara satu sama lain. Sebentar tadi, selain dari Johari membelikannya sepasang pakaian, Kajol dan Diana juga, masing-masing membelikan dia sehelai blaus Padini. Walau Adik melarang, mereka tetap membelikannya. “For our friendship,” kata Kajol.

         Sebentar tadi, semasa Diana mengatakan tentang janda berhias. Ingatan Adik terpercik kepada Kak Nora. Apalah khabar Kak Nora sekarang? Siapalah yang meneman Kak Nora untuk memasang pelamin dan menggubah dulang-dulang hantaran? Jika dia sudah punya kereta nanti, ditanam niat di dalam hati hendak bawa Kak Nora jalan-jalan di kota. Kak Nora pasti suka. Kak Nora banyak duit dan suka membeli-belah, pasti tidak cukup tangan Kak Nora menjinjing beg-beg yang penuh dengan barang yang dibeli.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan