Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Jumaat, 1 Julai 2016

HARI RAYA DALAM KENANGAN -




Tinggal beberapa hari sahaja lagi, umat Islam akan meraikan Hari Kemenangan, hari menyambut kemenangan melawan nafsu, mencegah diri dari makan dan minum di waktu siang,  Menawan gelora hawa nafsu melakukan dosa, mata, telinga dan mulut.
Semakin berusia kita, semakin kurang semangat kita menyambut bulan yang mulia, jiwa dan hati kita lebih kepada melakukan ibadat semata-mata, berusaha mencari redha Allah dan mendapatkan rahmatNYA selagi ada nyawa di badan.
Saya masih ingat lagi beberapa kenangan sewaktu saya masih bersekolah rendah.  Emak saya seorang peniaga goreng pisang di kaki lima tepi jalan, berpuluh tahun dia berniaga di kaki lima kedai dobi, di Jalan Bangsar, sekarang sudah ada Speed Mart.  Rasanya ramai rakan-rakan sekolah dan jiran-jiran sekampung masih ingat lagi.
Waktu saya dan adik-adik masih dikecil, emak rajin buat kuih raya, seperti bahulu, putu kacang, sagun dan kuih sepit. Makanan kegemaran kami adik beradik.  Terutama kuih sepit.  Arwah abahlah yang akan membakarnya, emak cuma mengadunkan bahannya sahaja.  Setiap kali arwah abah membakar kuih sepit, kami akan duduk di tepi dapur minyak tanah dan masing-masing akan cakap,
                “Hangit, hangitlah, hangitlah!” 
Selalunya kuih sepit yang hangit, arwah abah akan bagi kami makan, masa itu tak pandai lagi nak berpuasa penuh, maklumlah masih darjah satu.  Sebungkus tepung beras, hanya dapat  setengah tin biskut sahaja, emak yang balik dari berniaga, tentulah naik angina.  Betapa nakalnya kami waktu itu.
Waktu zaman saya, biskut raya tidak sebanyak hari ini, yang ada hanya biskut kana, biskut mentega kacang dan biskut sampret atau dahlia.  Kalau jumpa biskut tersebut di rumah jiran tetangga yang saya dan kawan-kawan pergi beraya, pasti berebut menghabiskannya.  Enaknya bukan main, maklumlah emak saya tak berapa pandai buat dan malas melayan biskut yang dikatakan agak moden pada tahun awal 80-an itu.
Lama kelamaan, emak semakin tidak suka buat kuih atau apa sahaja jenis kuih untuk menyambut  hari raya. Emak sibuk berniaga. Katanya orang bukan makan sangat.  Sebagai anak, kita akurkan sahajalah, kan? Dalam hati berasa malu sebab kawan-kawan di sekolah sudah mula bercerita tentang biskut raya yang dibuat oleh emak mereka.  Rasa kecil diri tau. 
Masih saya ingat lagi, waktu itu Hari  Raya Haji, emak memanglah tak buat apa, sehari sahaja dia bercuti berniaga, hari kedua dia sudah sibuk berniaga semula. Kebetulan hari kedua  Hari Raya Aidul Adha jatuh hari sabtu, kawan-kawan sekelas entah kenapa beria-ia hendak berjalan raya, termasuklah ke rumah saya.  Ketika itu tiada apa yang hendak dihidangkan.  Rasa malu menebal dalam hati.  Alamak! Apa harus saya lakukan? Menggelabah gila.  Tutup semua tingkap dan pintu rumah,  malu kawan datang, tiada apa yang hendak dihidangkan.  Emak memang tak buat apa-apa pun.  Adik-adik semuanya sudah merayap entah ke mana.  Arwah abah tolong emak berniaga.  Tinggal saya seorang di rumah.  Fikir punya fikir, akhirnya saya menyorok di dalam bilik air sambil mengintai kawan-kawan yang datang dan memberi salam.  Lama juga mereka menunggu di laman rumah.  Sampailah kawan-kawan balik, barulah saya menarik  nafas lega. 
Hari Isnin, pergi ke sekolah seperti biasa, tentulah ditanya pelbagai soalan oleh rakan-rakan sekelas.  Macam-macam alasan saya bagi. 
                “Kau teruklah Asmah, kami nak rasa kuih raya kat rumah kau!” kata kawan saya Siti Rohani.
                “Ala… aku lupa, esok aku bawa kuih raya kat kau orang ya,” kata saya beria-ia.
Memanglah ada kuih raya yang dibekalkan oleh nenek saya, import dari kampung.   Demi menjaga hati kawan-kawan, saya bungkus kuih yang diberi oleh nenek untuk diberikan kepada kawan-kawan sekelas saya. Biarpun bukan semua yang dapat, sekurang-kurangnya mereka gembira dan tidak bertanya lagi tentang kuih raya daripada saya.
Paling seronok waktu hadirnya Ramadhan adalah pemberian kad hari raya.  Setiap kedai buku seminggu selepas raya sudah  tersusun kemas di rak yang mereka sediakan untuk menjual kad ucapan tersebut.  Ada untuk guru, kawan, sahabat, kekasih, ibu bapa, adik beradik.  Seronok bukan main, harga paling murah sepuluh sen, kata-kata yang terdapat di dalam kad tersebut begitu menarik hati.  Waktu itu mana tahu nak menulis kata-kata pujangga dan madah seloka setakat pantun PECAH KACA PECAH GELAS, SUDAH BACA HARAP BALAS. Yang lain pinjam kata-kata indah yang terdapat di dalam kad ucapan Hari Raya yang terjual.
Bila dapat balasan, suka bukan main.  Saya ada juga menghantar kad ucapan kepada artis pujaan saya, bertambah gembira  bila mendapat balasan.  Tayang pada kawan-kawan, saling bersembang pasal hal tersebut.  Seronok bukan main.  Kenangan yang tidak mungkin dilupakan. 
Duit raya pula paling sedikit sepuluh sen, paling banyak 50 sen.  Paling banyak terkumpul dapatlah dua puluh ringgit lebih.  Duit tersebut digunakan untuk belanja sekolah.  Seronok pergi beraya bersama kawan-kawan. Setiap rumah yang disinggah, kalau tak minum sahaja, kami akan jamah seorang sedikit, maklumlah kalau sudah rumah ke sepuluh, bayangkanlah, mahu meletup perut.  Kampung Paya yang terletak di antara Kampung Haji Abdullah Hukum dan Kampung India  di Jalan Bangsar memang puas berjalan, banyak rumah. Setiap rumah yang kami singgah, akan berhenti sejenak untuk mengira jumlah duit yang berjaya terkumpul.  Kalau seminggu cuti, seminggulah kami berhari raya. 
Kini, duit hari raya tetap diberi tetapi jumlahnya sudah berubah, lebih banyak dan anak-anak juga sudah pandai demand.  Tidak mengapa, kita gembirakan hati mereka, seperti mana kita digembirakan oleh orang tua kita dahulu. 
Makanan kegemaran saya adalah lontong serta ketupat nasi dimakan dengan kuah kacang atau rendang daging air tangan emak memang sedap.  Selalunya emak buat rendang tahan sebulan, sehingga jadi seperti serunding.  Biarpun sudah pandai membuatnya sendiri, tapi masakan  emak tetap di hati. 
Banyak kenangan hari raya sewaktu zaman kanak-kanak yang kita tidak akan lupakan sampai bila-bila.  Memilih baju, kasut juga begitu.  Biasanya arwah abah akan ukur kaki kami adik beradik dengan tapi rapia sebelum dibawa ke kedai kasut yang terletak berhampiran rumah sahaja. Di Jalan Bangsar ketika itu apa yang tiada?  Kalau baju raya pula, emak akan  bawa kami adik beradik pergi ke Petaling street atau Chow Kit atau Jalan Tuanku Abdul Rahman, itulah tempat membeli belah yang paling canggih manggih bagi kami dan banyak pilihan. Kalau musim raya, orang punyalah bersesak.  Baju yang dibeli selalunya dua pasang seorang.  Sehelai baju kurung, dan sehelai lagi skirt atau seluar panjang dipakai bersama blaus atau t-shirt. Kasut pula, saya memang jenis kaki melawa, nak pakai kasut tumit tinggi, bila berjalan kan berdetup berdetap bunyinya, terasa macam model pula.
Seronokkan hari raya ketika zaman kanak-kanak?  Bagaimana dengan kawan-kawan? Tentu ada pengalaman sendiri.  Semoga kita tetap gembira menyambut Hari Raya tidak kira di mana kita berada. SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI, MAAF ZAHIR DAN BATIN.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan