Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Selasa, 26 Julai 2016

USAH MENANGIS LAGI - BAB 13- ASMAH HASHIM



Dari tingkap bilik. Riana memerhatikan suaminya, Haziq sedang menyiram pokok bunga yang terdapat di kawasan rumah.  Dia hanya memandang dengan wajah serius.  Berdosakah dia? Semalaman dia memikirkan hal tersebut. Ingin meminta cerai, lelaki itu tidak mahu melepaskannya. Apa yang harus dia lakukan. Bukan tidak simpati, tetapi sikap dan perbuatan Haziq cukup menyakitkan hatinya.  Dia melepaskan keluhan.  Bukan itu sikapnya, mendera suami sendiri.  Bukan itu kehendaknya, menjadi isteri derhaka jauh sekali.  Dia bukan lemah, bukan mudah menunduk hanya kerana tidak mahu hidup bersendirian.  Tetapi dia tidak mahu dilaknati ALLAH swt.  Tidak mengapa, dia tidak mahu menjadi manusia kejam yang tiada perasaan dan hati.
            Riana melangkah ke tingkat bawah. Anak-anak tentu sudah ke sekolah. Masa mereka bersama tidak lagi sekerap dahulu, anak-anak sibuk dengan urusan mereka, dia sibuk dengan perniagaannya.  Bau aroma mee goreng masakan Mak Tam, isteri Pak Mat mengusik perutnya yang mula berbunyi, minta di isi.
            Riana terus ke pintu utama, dia membuka daun pintu yang indah ukiran kayunya. Melihat suaminya menyiram pokok bunga membuatkan hatinya tidak senang. Tidak selayaknya dia melayan suaminya sebegitu, biar bagaimana besar pun dosa suaminya terhadap dirinya.  Syurga seorang isteri tetap di kaki suami. Tidak boleh suka-suka derhaka.  Inilah ujian namanya.  Ujian kesabaran menghadapi kerenah seorang lelaki bernama suami.  Sekali akad sudah diucapkan, sahlah lelaki itu sebagai imam dan pembimbing jalan ke syurga. Mampu atautidak suaminya membawanya ke syurga Allah biarlah keadaan yang menentukan.
            Langkah di atur mendekati lelaki yang telah beberapa tahun menjadi suaminya itu. Biarpun bernanah hatinya, terasa dikhianati, lelaki itu tetap suaminya.  Dunia dan akhirat.  Wajah Haziq yang berpeluh dipandang seketika.  Dia tersenyum sinis.  Baharu lelaki itu tahu, bukan mudah juga buat kerja tukang kebun.  Dengan memeluk tubuh, Riana berdiri di sebelah Haziq.
            “Ada apa Rin?” Haziq berhenti menyiram pokok-pokok bunga yang ada di laman rumah banglo dua tingkat itu. Matanya memandang wajah Riana yang segar tanpa sebarang alat solek.  Raut wajahnya tenang, hanya senyuman sinis dilakarkan buatnya.
            “Pergilah naik mandi dan salin baju, Rin bukan sekejam yang abang sangkakan.  Rin masih ada perasaan, masih ada timbang rasa,”luah Riana.
            “Betul ni Rin?” soal Haziq seperti tidak percaya.
            “Nak ke tidak?”  kata Riana agak kasar.
            Haziq menyengih. Cepat-cepat menutup kepala paip.  Dia menyapu lututnya yang dikotori tanah dan rumput. Wajahnya ceria.
            Riana mengeluh berat. Kalau ikutkan hatinya, tidak semudah itu dia memberi peluang kepada Haziq, suaminya itu,  Ya Allah! Ya Allah!  Kau berilah aku kekuatan, doa Riana dalam hati.  Apa yang ada di dalam hatinya adalah keinginan untuk membunuh sahaja lelaki itu. Biar lenyap dari muka bumi ini, lelaki yang telah mencemar dan menghinanya sesedap mulut di pejabat tempohari. Malunya hanya Allah yang tahu.  Ditambah suaminya itu telah menyebabkan bekas pekerjanya mengandung dan sekarang terlantar di hospital kerana keguguran.  Di mana dia hendak letak muka?  Malunya hanya Allah yang tahu.  Terasa tebal berinci-inci mukanya.  Suaminya langsung tidak menjaga maruah dan harga dirinya sebagai soerang isteri.  Sanggup malukan dirinya.  Kini, dia terpaksa merendah diri kerana Haziq masih suaminya yang sah.  Talak di tangan suaminya.  Kalau dia buat aduan dan minta fasak pun belum tentu Haziq akan lakukan. Tebus talak sama seperti bekas suaminya dahulu, bertambah malu dia dengan pegawai agama nanti. Ah! benar-benar mencabar kredibilitinya sebagai seorang isteri dan perempuan. 
            Apa pilihan yang dia ada?  Wajah Haziq yang riang itu benar-benar menyakitkan hati. Tidak ikhlaskah dia?  Langkah laju Haziq melangkah masuk ke dalam rumah dipandang dengan pandangan yang kosong. Tiada makna buatnya. Hatinya bagaikan sudah tertutup untuk lelaki itu. Buat apa dia masih bersama dengan Haziq?  Perlahan-lahan dia melangkah masuk ke dalam rumah.  Mak Mah pembantu rumahnya berdiri memandangnya dengan penuh tandatanya.
            “Apa daya saya Mak Mah,” ujar Riana perlahan.
            “Sabarlah Rin… Mak Mah faham perasaan Rin,” pujuk Mak Mah.
            “Selagi saya mampu Mak Mah,” ucap Riana sebak. 
            Haziq sudah menghilangkan diri ke tingkat atas.
            “Mak Mah sokong apa sahaja keputusan Rin, tapi jangan sampai menjadi hamba keadaan ya, kita punya hak.  Jangan terus terpedaya dan ditindas ya,” nasihat Mak Mah. Dia menepuk bahu Riana.
            Riana terdiam  mendengar kata-kata akhir Mak Mah.  Adakah dia terpedaya? Dia tertindas?  Haziq menindasnya?  Kenapalah dia tidak boleh mendapat seorang suami yang baik? Adakah dia bukan seorang perempuan yang baik, maka dia asyik mendapat suami yang tidak mampu membimbingnya?  Riana mendengus kasar.
            “Mak Mah, saya ni perempuan yang jahat ke? Maka Allah takdirkan saya mendapat suami yang tak baik?” soal Riana. Dia menunduk seketika.  Dia masih berdiri di hadapan tangga ke tingkat atas. 
            Mak Mah menarik tangan Riana menuju ke ruang makan.  Dihidangkan kopi panas kegemaran majikannya itu.  Disendukkan nasi goreng kampung yang juga kegemaran Riana.  Ditarik perlahan tangan Riana agar duduk di kerusi. Menikmati sarapan pagi.  Mak Mah duduk di sebelah Riana.
            “Hidup ini memang tidak dijangka, Rin.  Ada sahaja ujian yang akan menimpa.  Apa yang penting, kita perlu bersabar, tabah dan kuat. Allah swt berikan yang terbaik buat hamba-hambaNYA, kalau dapat yang tidak baik, bukan bermaksud kita tak baik, tetapi Allah nak uji keimanan kita, kesabaran kita.  Rin, kena hadapai ujian ini.  Jangan lupa minta petunjuk Allah, jangan lupa minta kebahagian dunia dan akhirat,”  nasihat Mak Mah persis seorang ibu.
            “Saya kena sabar ya Mak Mah?” soal Riana.
            “Ya Rin… doa dan minta yang terbaik daripada Allah, Dia lebih mengetahui, setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya.  Cuma, kita tak tahu apa hikmahnya.” Mak Mah tersenyum.
            “Terima kasih Mak Mah,” ucap Riana. Wajahnya tenang semula. Biarpun hatinya bergelora, tidak mampu rasanya serumah dengan Haziq.  Lelaki itu benar-benar mencabar kesabarannya. Bau wangi menampar lembut deria baunya.  Terpacul di hadapannya seorang lelaki yang segak bergaya, berkemeja merah hati, berseluar slack berwarna hitam, rambut tersisir kemas, senyuman terlakar di bibirnya.  Duduk tenang di hadapannya, mengambil pinggan dan menyenduk nasi goreng yang terhidang.
            Mak Mah menuang air kopi dan meletakkannya di hadapan Haziq.  Dia berlalu ke dapur.
           “Sayang tak makan lagi? Tunggu abang ya?” kata Haziq dengan wajah selamba dan seperti tiada yang berlaku beberapa minggu yang lalu. 
            Riana menahan loya di tekaknya.  Wajah ceria Haziq benar-benar menyakitkan hati.  Tiada sepatah pun perkataan maaf keluar dari mulut suaminya itu.  Tiada perasaan bersalahkah? Bisik hati kecil Riana.  Dia memandang sahaja wajah suaminya yang ceria sangat-sangat itu. Ya Allah! Kuatkah aku menghadapi ujian ini?  Bisik hati kecilnya

1 ulasan:

  1. Mmg best2 cerita puan asmah..cerita masyarakat..mmg banyak kisah2 gini..tp cuma nak tanya satu soalan..teruk sgt ke mahkamah syariah kita ni sampai nak kena tebus talak kalau suami tu teruk..sorang kaki hisap dadah n sorang kaki zina..x layak rasanya nak jadi imam pada anak isteri..dulu pun kes penyanyi jazz dgn suaminya komposer terkenal pun hakim letakkan rm1.00 tebus talak..ini kan pulak kalau dpt suami yg tak layak seperti cerita ni..maaf ya puan asmah..bkn apa, saya agak terganggu kalau isteri meletakkan diri di celah tapak kaki suami dgn alasan tak nak jadi isteri durhaka..Islam agama yg sangat indah dan sangat adil..

    BalasPadam