Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Sabtu, 30 Julai 2016

TOLONG CARI SUAMIKU! - BAB 25 - ASMAH HASHIM



S
udah lama dia tidak melangkahkan kaki ke rumah tersebut. Rumah teres setingkat itu kelihatan kemas dan bersih. Pepohon renek yang tumbuh subuh dipotong dengan penuh cermat dan kemas. Laman rumah bersih dari sebarang sampah sarap. Begitu juga longkang laluan air hujan tiada langsung kesan lumut, bersih sekali. Daun pintu utama didekati. Hatinya berdebar-debar kencang. Kali terakhir bertemu sebelum dia berpindah ke rumah ibu mertuanya. Terasa rindu menyapa diri.
Daun pintu diketuk perlahan sambil mengucap salam. Adab tetamu hadir ke rumah orang. Dia berdiri jauh sedikit dari pintu. Menunggu dengan sabar. Peluh mula membasahi dahi dan belakang bajunya. Cuaca yang terik, mentari memancarkan cahayanya dengan garang sekali. Sudah berhari-hari hujan tidak membasahi bumi. Bagaikan merajuk dengan penghuni bumi.
Daun pintu dibuka perlahan. Muncul wajah yang amat dirindui ini. Tangan dihulur, bersalaman tanda menghormati tuan rumah. Mastura melangkah masuk dengan senyuman terukir di bibir. Dia melabuhkan punggung di sofa kain berwarna putih. Putih! Benar, bersih tiada langsung sebarang tanda-tanda lusuh dan kotor. Rumah itu bersih dan susun aturnya kemas. Hiasan dalaman ringkas dan selesa serta sedap mata memandang. Tuan rumah terus melangkah ke dapur. Kembali semula beberapa minit kemudian bersama talam berisi teko, dua cawan dan sepiring kek cawan yang comel dan dihias cantik.
Talam diletak di atas meja sofa. Tuan rumah melabuhkan punggung sebelah Mastura. Matanya mengerling tajam. Mereka saling berbalas senyuman. Sesekali Mastura menunduk malu. Terasa malu kerana sudah lama tidak menjenguk lelaki itu. Bukan orang lain.
“Maaf lama tak datang menjengah. Dah duduk rumah Ibu Halijah, macam-macam perkara berlaku,” adu Mastura.
“Tak apalah. Yang penting Mas tak pernah lupa telefon,” kata lelaki itu. Dia faham, tiada siapa mengetahui dia masih hidup. Ramai beranggapan dia sudah tidak ada lagi di dunia ini. Dia telah memalsukan kematiannya.
“Macam mana hubungan Mas dengan ibu mertua? Dia masih tak boleh terima kehadiran Mas?” tanya Wan Kamarudin ingin tahu.
“Sehingga hari ini, hatinya langsung tidak mahu terima kehadiran Mas, tak apalah. Mas tak kecil hati pun,” jawab Mastura untuk menyedapkan hati sendiri. Dia mengambil beg tangan. Laju sahaja dia mengeluarkan kunci dan sekeping fail nipis. Diletakkan di atas meja kopi.
“Apa ni?” tanya lelaki itu. Matanya memandang kunci dan fail tersebut sesekali memandang wajah Mastura.
“Haji Arshad sudah tukarkan kembali wasiat kepada nama ayah sebagai pewaris tunggal harta ayah itu. Sebelum ini arwah Abang Ashraf telah letakkan nama Maria sebagai pewaris tunggal dan saya sebagai pemegang amanah. Atas bantuan Haji Arshad sekali lagi harta ini kembali kepada ayah semula. Ini kunci banglo yang Mas beli untuk ayah. Tidak berapa jauh dari rumah lama. Segalanya sudah disiapkan oleh Haji Arshad. Pemandu, pembantu rumah dan tukang kebun sudah sedia menunggu kehadiran tuan rumah. Ayah... sudah tiba masa untuk ayah kembali ke dunia,” kata Mastura panjang lebar.
“Mas?” Lelaki itu mengerutkan dahi. Bukan itu yang dia harapkan. Dia cuma mengharapkan orang yang merancang kematiannya dihadapkan ke muka pengadilan. Orang itu harus dihukum. Jika Ashraf sudah letak nama cucunya biarkanlah. Selayaknya. Daripada jatuh ke tangan orang lain.
“Macam mana kalau ibu mertua kau bertembung dengan ayah?” Ada nada kurang selesa.
“Biarlah... sudah sampai masanya orang yang bertanggungjawab terima balasannya.” r.
“Mas, apa yang ayah terima adalah balasan terhadap dosa yang telah ayah lakukan selama ni. Ayah tinggalkan keluarga, adik-adik ayah tanpa belas kasihan. Ayah pentingkan diri sendiri. Ayah lupa yang ayah masih ada tanggungjawab yang sepatutnya ayah galas, menjaga dan membela adik-adik ayah setelah kedua-dua orang tua ayah meninggal. Ayah leka mencari kekayaan dunia. Lupa keluarga, lupa asal usul,” luah lelaki itu, sayu. Apabila dia sedar semuanya sudah terlambat. Dia hampir menemui ajal sewaktu perjalanan pulang ke kampung keluarganya.
Nasib orang kampung sempat mengeluarkan dia dari kereta yang hampir terbakar hangus. Dan orang yang menyelamatkannya rupanya bukan orang lain tetapi adik kandungnya sendiri. Air mata lelakinya gugur juga. Kesedihan yang tidak mampu ditahan lagi. Keperitan yang terpaksa ditelan seorang diri. Kekesalan yang menerjam di hati sehingga kini tidak mampu ditumpulkan. Rasa bersalah yang tidak mampu dipadamkan, walau selautan air cuba memadamkannya.
“Sudahlah, ayah. Usah dikenang kisah lama,” pujuk Mastura. Lelaki itu bukan orang lain dengannya. Bapa saudara merangkap bapa mertua. Arwah suaminya hanya anak tiri kepada pak longnya itu, maka dia boleh mengahwini lelaki tersebut. Lelaki itu merupakan abang kepada arwah ayahnya. Arwah ayahnyalah yang telah menjumpai bapa mertuanya yang terperangkap di dalam kereta yang terbakar suatu ketika dahulu. Untung ketika itu ayah mertuanya masih bernyawa dan dapat diselamatkan. Belum ajal menjemput walaupun diambang maut.
Lama juga ayah mertuanya itu koma, hampir sebulan. Doktor juga hampir putus asa. Namun berkat doa seisi keluarga dan adik-beradik yang lain, akhirnya ayah mertunya sedarkan diri. Segalanya diceritakan kepada keluarganya dan ketika itulah mereka mengharapkan dia membantu untuk membalas dendam. Dendam kepada keluarga sendiri. Kekejaman dibayar dengan kekejaman. Adakah salah?
“Esok Haji Arshad akan datang jemput ayah. Mas tunggu di rumah,” ucap Mastura.
“Mas, maafkan ayah kerana menyusahkan hidup Mas dan emak. Kerana ayah, arwah ayah Mas menemui ajal, waktu cuba menyelamatkan ayah buat kali kedua.”
Pembunuh itu mendapat tahu bahawa dia masih hidup dan cuba melakukan pembunuhan kali kedua. Bedilan peluru tidak bermata mengena tepat ke dada arwah adiknya.
Haji Arshad telah mengatur strategik lain dengan menyiarkan di akhbar tentang kematiannya. Waktu ditanam barulah mayatnya digantikan dengan arwah adiknya demi melindungi dirinya. Harta yang telah ‘dicuri’ daripadanya telah ditukar nama kepada nama anak tirinya. Nampaknya anak tirinya juga bijak dengan meletakkan nama Maria sebagai pewaris dan Mastura penjaga amanah.
Hari ini dia dapat tahu harta itu ditukar nama kepada dirinya pula. Semuanya permainan bagi menghancurkan pembunuhnya. Mereka sudah tahu siapa yang merancang. Dan mereka hanya perlu pengakuan daripada pembunuh tersebut untuk membawanya ke muka pengadilan.
“Ayah... Mas tak nak kenangkan hal tu lagi. Apa yang penting sekarang, bagaimana kita nak buat pembunuh tu mengaku.” Mastura mengeluh pula.
“Mas, kemungkinan besar suami Mas juga dibunuh oleh orang yang sama. Pembunuh itu tak mahu Mas dan Ashraf kembali bersama. Walaupun Ashraf berkahwin lain tetapi dia tidak mahu melepaskan Mas. Ayah tak sangka Ashraf benar-benar sayangkan Mas,” ujar Wan Kamarudin. Anak tirinya dibela sejak kecil lagi. Itu sebab namanya dibinkan dengan namanya demi melindungi Ashraf sebagai waris tunggal hartanya nanti
“Dibunuh? Tapi siapa?” Mastura sukar menerimanya. Apa yang dia faham, suaminya terlibat dalam kemalangan dan keretanya hangus terbakar. Mayat tidak berwajah, rentung dan hangus. Sebahagian anggota badan sudah menjadi abu.
“Mungkin orang yang sama, kerana tak mahu harta tu jatuh ke tangan Mas dan Maria?” teka Wan Kamarudin.
Mastura mengeluh kesal. Hanya kerana harta dunia sesama ahli keluarga sanggup berbunuhan. Ada juga yang sanggup menyihir ahli keluarga hanya ketamakan ingin membolot sendiri harta yang ada. Kejamnya manusia.
“Macam mana kehidupan Mas di sana? Tak kena buli ke? Dua lawan satu?”
“Waktu mula sampai, memanglah Mas diletakkan di dalam bilik pembantu rumah. Tak ada kemudahan selain barang-barang lama. Mas beli perabot dan keperluan lain. Terkedu mereka,” cerita Mastura tentang pengalaman pertamanya di rumah ibu mertuanya itu.
“Mas tak rindukan arwah?” duga lelaki itu. Selidiki hati kecil seorang isteri yang ditinggalkan sepi sendiri. Suami berkahwin lagi tanpa kebenaran demi memenuhi kehendak ibu kandung sendiri.
“Siapalah yang tak rindu, ayah? Tempat yang jatuh lagi dikenang, inikan tempat menumpang kasih dan sayang.” Mastura sayu. Hatinya membengkak pilu. Suami pergi sewaktu kemarahan bersawang di dada. Sedang kemarahan memuncak dan bibir menuturkan perkataan yang kurang enak menjadi halwa telinga. Adakah sempat suaminya mengampunkan segala dosanya? Takut juga dengan hukum ALLAH yang menanti di sana. Mahkamah dunia mampu melepaskan diri, mahkamah ALLAH belum tahu lagi. Tiba-tiba terasa seram sejuk menyelubungi tubuh. Ketakutan menerja di hati. Semoga suaminya tidak marah kepadanya waktu malaikat maut menjemput.
“Maafkan ayah. Kerana harta semuanya jadi berantakan. Kerana harta kasih sayang hilang sekelip mata. Kerana harta kau menjadi balu, Maria kehilangan ayah.” Wan Kamarudin mengulit pilu. Semuanya kerana dirinya. Semuanya kerana harta yang dimiliki tujuh keturunan tidak habis makan. Kenapalah pembunuh itu kejam sangat. Harta mereka banyak tidak mampu dikendung semuanya. Apa salahnya berkongsi dengan adik beradik? Atas sebab itulah dia dibunuh, sewaktu dalam perjalanan hendak menyerahkan sebahagian hartanya kepada adik-beradiknya di kampung.
“Ayah, sudah lama Mas di sini. Sebentar lagi Maria pulang dari sekolah. Nanti tertanya-tanya pula orang di rumah ke mana Mas menghilang. Mas perasan segala gerak-geri Mas diperhatikan mereka berdua. Ayah jangan lupa bersiap awal pagi esok. Rumah ini akan disewakan. Ayah cuma perlu bawa barang peribadi sahaja. Segala keperluan ayah sudah disiapkan oleh Haji Arshad,” jelas Mastura tentang rancangan keesokan hari. Semoga segala perancangannya berjalan lancar. Selepas ayah mertuanya sedar, orang pertama yang diminta untuk dihubungi adalah Haji Arshad merupakan kawan karib dan merangkap peguam kepada ayah mertuanya.
“Hati-hati, Mas,” pesan Wan Kamarudin sebelum menantunya berlalu pulang setelah menikmati kopi panas dan kek cawan air tangannya sendiri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan