Rembulan menyorokkan wajahnya malam itu. Suasana terasa sepi walau
adakalanya terdapat beberapa kereta lalu lalang di hadapan rumah, memecah
kesunyian malam. Kepekatan malam itu, sepertinya mahu hujan. Cuma awan mendung
tidak kelihatan di langit yang hitam dan bunyi kodok memanggil hujan masih
belum kedengaran. Walau malam pekat dan suasana agak sunyi, itu tidak
menghalang Faezah Hanim memasukkan barang-barang keperluan peribadinya ke dalam
kereta. Bagi sesetengah wanita, pasti mereka sudah takut hendak keluar rumah di
malam yang sunyi sepi. Lebih-lebih lagi, malam itu adalah Khamis malam Jumaat.
Selesai sahaja solat
isya` dan membava surah yasin, dia sudah mula mengemas barang-barang keperluan
yang hendak dibawa. Kesemua barang-barangnya dibubuh didalam beg sandang,
disumbat masuk ke dalam kereta. Dia tidak mahu lagi pulang ke rumah sewa
selepas tamat waktu sekolah tengahari esok. Didalam perancangannya, Faezah
Hanim mahu terus memandu pulang ke kampung.
Jika tidak ada aral
melintang, sebelum ayah pulang dari sembahyang Jumaat, dia sudah berada di
rumah. Sudah dikhabarkan hal kepulangannya kepada ibu tadi. Nanti, dapatlah dia
makan tengahari bersama ayah dan ibu yang amat dirindui. Dua minggu tidak
pulang bertemu ayah dan ibu, terasa seperti tiga bulan tidak menjejak kampung.
Dua minggu Kamal Arif sunyi sepi tanpa sebarang SMS atau panggilan telefon,
terasa seperti dua tahun dia menanti. Jika boleh, selepas makan tengahari,
ingin sahaja dia ke pasaraya tempat Kamal Arif bekerja untuk bertemu dengannya.
Dia risaukan keadaan Kamal Arif. Entah apa yang terjadi pada jejaka itu, dia
langsung tidak tahu. Entah apa masalah yang melanda hingga menyebabkan Kamal Arif
langsung tidak memberitahu apa-apa. Entahkan hidup, entahkan mati. Hatinya
bimbang. Tetapi jika sesuatu yang tidak diingini berlaku, pastilah emak atau
Kak Nora akan mengkhabarkan padanya. Hendak menelefon terus kepada Kak Nora-
dia malu. Takut nanti, Kak Nora mengesyaki yang dia menaruh hati dengan dengan
Kamal Arif. Kak Nora itu, memang pandai membaca hati orang. Jika berdepan
dengannya, Kak Nora pasti boleh membaca riak wajahnya.
Faezah Hanim menarik
nafas panjang. Sampai bila harus dia menyembunyikan perasaaanya, dia tidak
tahu. Tetapi, sebagai seorang muslimah, dia sememangnya harus menyembunyikan
perasaannya. Sememangnya, dia harus menjadi perahsia. Tidak manis, malah tidak
elok mungkin…menghebahkan atau menjaja perasaan hati kepada sesiapa sahaja.
Hanya ALLAH sahaja, tempat dia mengadu. Hanya ALLAH sahaja yang tahu perasaan
sucinya terhadap rakan sepermainannya itu.
Ilyas pula, sejak
pulang dari Kulai hingga hari ini, masih tidak putus-putus menghantar SMS.
Semasa menjadi siswazah yang ditanggung hidupnya oleh emak, ayah dan wang
biasiswa pun, Ilyas memang gemar membazir menghantar SMS. Inikan pula ketika
sudah bekerja sendiri. Makan gaji tiap-tiap bulan dengan titik peluh sendiri,
haruslah Ilyas boleh berbelanja mewah. Biasanya, Ilyas akan menghantar SMS
ketika waktu pagi, berpesan supaya solat subuh. Waktu rehat pada pukul 10.00-
bertanya samada Faezah Hanim sudah bersarapan atau belum. SMS pada waktu petang
pula, berpesan supaya jangan tidur dan pergi berjogging. Kemudian, SMS yang
akhir, pada waktu malam sebelum tidur. SMS yang mendoakan kesejahteraan Faezah
Hanim dan mendoakan dia bermimpi yang indah-indah. Ada yang dibalas terus oleh
Faezah Hanim. Ada yang dibiarkan sahaja.
Faezah Hanim akui, dia
agak teruja juga dengan pertemuan semula dengan Ilyas. Itulah salah seorang
sahabat akrab semasa di UPSI dahulu. Itulah salah seorang sahabat lelaki yang
begitu memahami dirinya tanpa meminta dia berubah. Ada rakan-rakan di kampus –
khususnya lelaki, meminta Faezah Hanim mengubah personaliti sebelum bergelar
guru. Hanya Ilyas dan rakan-rakan wanita sahaja yang menerima dia seadanya.
“Kau rasa, aku ni tomboy ke?” Tanya Faezah Hanim kepada
Ilyas sewaktu mereka membuat aktiviti senaman memanaskan badan di padang kampus
di suatu petang.
“Bukan rasa, memang kau tomboy pun!” Jawab Ilyas bersahaja
sambil tersengih-sengih, meregang-regangkan tubuhnya.
Faezah Hanim menjeling dan
memuncungkan mulutnya.
“Kenapa kau tanya? Aku rasa, kau memang
macam ni sejak kau sekolah lagi,kan?”
“Tak adalah...geng-geng kita yang
lain suruh aku jadi wanita ayu. Minta aku jadi wanita melayu terakhir.
Bersopan-santun, berlemah-lembut semua supaya aku sesuai jadi cikgu,” getus
Faezah Hanim. Mulutnya dimuncungkan tanda tidak puas hati.
“Alah Nim, yang pentingkan, hati.
Kalau lemah lembut, sopan-santun, pijak semut tak matipun, hati busuk buat apa?”
Ilyas mengangkat kening meminta persetujuan.
Faezah Hanim tersenyum menjeling
Ilyas dan sahabatnya itu membalas senyumannya sambil mengenyit mata.
Entah kenapa, sekarang ini, ketika
teringatkan kenangan-kenangan lama di kampus bersama-sama Ilyas – dia sering
sahaja tersenyum sendiri. Memang banyak kenangan manis ketika dia bersama-sama
dengan Ilyas. Rakan-rakan di kampus juga menggelar mereka belangkas. Ada juga
yang menggelar mereka couple. Apa
tidaknya, jika mereka pulang ke Johor, Ilyas pasti akan menemaninya menaiki bas
ekspress hingga ke Batu Pahat. Kemudian, dari Batu Pahat, dia akan menyambung
perjalanannya menaiki bas ke Johor Bahru pula.
Mungkin kerana itulah rakan-rakan di
kampus menyangka yang mereka itu berpacaran. Tetapi bagi Faezah Hanim, dia
hanya menganggap Ilyas sebagai teman yang akrab. Tidak lebih dari itu. Cuma, di
hari mereka menerima ijazah, baharulah Ilyas menyatakan perasaan dan hasratnya
terhadap Faezah Hanim. Bermula dari hari itu jugalah, Faezah Hanim mengambil
keputusan untuk mendiamkan diri dan menjauhkan diri. Dia menukar nombor telefon
dan menukar akaun emelnya. Dia tidak mahu berhubungan dengan Ilyas lagi. Pada
Faezah Hanim, Ilyas telah mengkhianati dirinya. Ilyas juga telah mengambil
kesempatan ke atas dirinya yang menganggap persahabatan mereka adalah tali
persahabatan yang suci. Selepas hari graduasi, dia tidak pernah lagi menghubungi
Ilyas kerana dia sangat membenci Ilyas. Walau sebenarnya, ada sekelumit
perasaan rindunya pada Ilyas.
Namun kini, setelah bergelar guru
dan setelah bergaul dengan rakan-rakan guru yang lebih senior, Faezah Hanim
mengenangkan perbuatannya terhadap Ilyas. Mungkin juga dia sudah mencapai tahap
kedewasaan yang mematangkan. Kini, Faezah Hanim merasa bersalah. Saat Ilyas
menyatakan perasaannya, Faezah Hanim sepatutnya bertenang dan berterus-terang
kepada Ilyas. Dia sepatutnya memberitahu Ilyas yang hatinya sudah dimiliki.
Mereka seharusnya boleh terus menjadi sahabat. Dia tidak sepatutnya memutuskan
hubungan persahabatannya dengan Ilyas. Ilyas tidak bersalah. Temannya itu hanya
menyatakan hati dan perasaannya yang suci terhadap dirinya. Ilyas hanyalah
seorang lelaki biasa yang punya hati dan perasaan. Selama mereka bersahabat,
Ilyas tidak pernah sama sekali mengambil kesempatan atau menggatal dengannya.
Jujurnya, Ilyas adalah seorang lelaki yang beriman. Solat dan puasanya terjaga.
Mujurlah Faezah Hanim tidak menuturkan
kata-kata kesat kepada Ilyas. Mujurlah dia hanya berdiam diri dan menghilangkan
diri. Dia membuatkan Ilyas tertanya-tanya. Kali ini, Faezah Hanim mahu menjadi
sahabat yang jujur. Jika pertemuan kali ini membuatkan Ilyas menyatakan semula
hasratnya (dia yakin Ilyas masih bujang) – dia akan berterus-terang. Dia akan
memberitahu Ilyas yang hatinya telah dimiliki. Mereka masih terus bersahabat
kerana dia selesa berkawan dengan Ilyas. Jejaka itu amat memahami dirinya. Dia
amat berharap yang Ilyas memahami. Itupun jika Ilyas masih menaruh hati
padanya.
Hari Jumaat, adalah hari yang agak
sibuk untuk Faezah Hanim. Tiga waktu awal, dia mengajar subjek Pendikan Jasmani
dan Kesihatan. Faezah Hanim memang sudah memakai baju sukan dari rumah. Selepas
waktu rehat pula, dia punya kelas Pendidikan Moral untuk pelajar-pelajar bukan
Islam. Sejurus selepas mengambil buku persediaan mengajar di pejabat
pentadbiran, Faezah Hanim berjalan laju menuruni tangga sekolah. Dia hendak
segera ke tempat parkir kereta.
“Faez, nak balik kampung ke? Laju
semacam aje,” tegur Cikgu Ina semasa mereka terserempak di tangga sekolah.
“Haah kak. Dua minggu dah saya tak
balik, Kak Ina, rindu dengan mak,”jawab Faezah Hanim berterus-terang.
“Rindu dengan emak ke, rindu dengan
gulai asam pedas mak?” Cikgu Ina menyakat.
“Dua-dua kak! Dah naik hijau asyik
makan dekat kantin sekolah aje.”
Cikgu Ina mengekek ketawa, “Pergilah
balik cepat. Baik-baik memandu tu Faez. Kirim salam mak eh,” pesan Cikgu Ina.
Faezah Hanim mengangguk dan terus
berjalan menuju ke kereta yang terletak berdekatan dengan bangunan pentadbiran.
Dia mahu segera sampai ke Peserai, Batu Pahat. Sebelum pukul 12.30 tengahari,
Faezah Hanim sudah meluncur laju memandu keretanya membelah jalanraya menuju ke
kampung halaman.
Telco Global Network.
Jumaat, 2.30 petang
Hari ini, hari Jumaat. Penghulu
segala hari. Hari kebesaran umat Islam. Hari dimana semua muslim di seluruh
dunia disunatkan untuk menunaikan solat Jumaat. Hari Jumaat ini juga, hari
dimana dia akan menghadapi ujian latihan sebagai konsultan Telco Global
Network. Ujian yang membuatkan isi perutnya menggelodak. Sejak dari subuh tadi,
dia sudah berdebar-debar. Jantungnya berdegup kencang hingga Johari
mentertawakannya. Hari ini, Johari menyuruhnya memakai kain skirt labuh. Tetapi
Adik menolak kerana dia mahu menunaikannya solat Jumaat di Masjid Sunway. Takut
Pak Imam terperanjat melihat lelaki memakai skirt menjadi jemaah di solat
Jumaat!
Hari ini, terdapat sepuluh konsultan
baru yang akan bersama-sama dengannya menjalani ujian kecekapan. Sepuluh teman
sekerja yang baharu itu juga telah mengikuti hari orientasi bersama-sama dengan
Adik. Agak tertekan juga Adik kerana pada minggu itu, pelbagai perkara baharu
yang perlu dipelajari dan difahami. Otaknya sudah berkarat barangkali. Ditambah
pula dengan masalah yang dia alami, haruslah Adik tertekan. Saban hari, kembali
dari pejabat, dia lesu. Makan pun tidak selera. Kepala asyik pening sahaja.
Mujurlah Johari, Diana dan Kajol sentiasa memberi kata-kata semangat.
“Alah Dik...senang aje kerja ni. Kau
jangan risaulah. Kalau akak yang nak masuk four
series ni boleh buat, takkan kau yang muda belia ni, tak boleh lulus competency test tu. Kacang goreng aje,
Dik,” Diana memberi kata-kata semangat sambil memetik jarinya beberapa kali.
“You
mesti boleh buat, Dik. Kerja ni, sebenarnya kerja yang paling senang tau.
Cakap-cakap dengan pelanggan mat saleh. Dia minta baki kad, dia nak buat
bayaran, dia tanya tarikh akhir buat bayaran, itu saja. Senang aje, kan? Senior
pun ramai, semua boleh tolong you,”
Kajol pula membantu dia membuka minda yang bercelaru.
“Dik...kau kerja dengan Kak Nora tu,
lagi susah tau. Kena panjat tangga, kena turun tangga. Kena pasang pelamin,
kena panjat tangga bawa tukul, bawa paku. Kena pasang lampu, gubah bunga. Lagi
susah kerja kau dulu. Kalau aku yang tak masuk universiti ni pun, boleh buat.
Kau yang dah belajar tinggi, lagi laa senang,” Johari menyuntik semangat.
Di dalam masa empat hari itu, selain
dari perlu memahami prosedur kad-kad kredit yang ditawarkan, dia juga perlu
mahir mengendalikan sistem-sistem komputer yang digunakan. Disamping
mengendalikan sistem, yang paling utama, dia perlu mahir berkomunikasi dalam
bahasa inggeris dengan pelanggan yang menelefon. Itulah yang membuatkan
fikirannya bercelaru hingga makan pun tidak lalu. Baharulah Adik tahu yang
Telco Global Network menguruskan talian khidmat pelanggan kad kredit yang
terkenal ke seluruh dunia. Oleh kerana itulah, setiap konsultan perlu mahir
bertutur di dalam bahasa inggeris. Jika mereka boleh bertutur di dalam bahasa
kantonis atau mandarin, itu adalah satu kelebihan yang baik. Mereka akan diberi
elaun yang lebih jika boleh berkomunikasi lebih dari satu bahasa. Amat berbeza
sekali cara kerja di sini berbanding dengan promoter bahagian pakaian di Batu
Pahat dahulu. Sebelum ini, semasa menjadi promoter, dia hanya perlu melipat
baju, menggosok baju, mengira stok kemeja atau seluar. Jika ada yang susah
sedikit pun, jika pelanggan meminta dia mengukur, memotong dan menjahit seluar.
“Dik...buat betul-betul tau. Kalau
dah lulus, kau boleh kerja dengan aku. Hari-hari boleh duduk sebelah aku.
Jangan takut, kalau sudah masuk ofis, aku boleh tunjukkan kau. Yang penting,
kau lulus dulu eh.” Itulah kata-kata terakhir Johari ketika mereka berpisah di
hadapan pintu lif pagi Jumaat itu.
Kampung Peserai Pantai, Batu Pahat.
2.30 petang.
Puas rasanya dapat makan tengahari
bersama-sama dengan ayah dan ibu. Walaupun asam pedas daun kesum dan pucuk ubi
masak lemak tu bukan dari air tangan ibu, namun dia tetap merasa seperti masakan
dari rumah. Batu Pahat sememangnya terkenal dengan masakan gulai asam pedas.
Oleh kerana ayah dan ibu memang selalu membeli lauk-pauk di luar, mereka tahu
gerai mana yang menyediakan lauk-pauk yang enak.
Cikgu Amir dan Cikgu Zakiah masih
lagi mengajar walau anak perempuan mereka sudah besar panjang. Lebih kurang
lima tahun lagi, bersaralah mereka dari menjadi pendidik. Oleh kerana Faezah
Hanim telah memaklumkan dengan lebih awal tentang kepulangannya, Cikgu Zakiah
dengan segera pulang ke rumah sejurus selepas waktu loceng waktu akhir
berbunyi. Cikgu Amir pula tidak berlama-lama di masjid selepas solat Jumaat.
Segera dia pulang ke rumah kerana hendak makan tengahari bersama-sama dengan
anak tunggal kesayangannya.
“Nanti, kalau pergi ke peringkat
kebangsaan, Anim ke yang jadi guru pengiring?” Tanya Cikgu Amir kepada anak
perempuannya sambil menyuap nasi berisi ikan sembilang ke dalam mulutnya.
Berselera benar Cikgu Amir dan Cikgu Zakiah makan pada hari ini. Mungkin
kerana, Faezah Hanim ada bersama. Jika tidak, hanya mereka berdua yang
menghiasi meja makan yang mempunyai lapan kerusi itu.
“Iyalah, yah. GPK Ko-ko sudah
beritahu awal-awal lagi. Pertama, sebab kita memang ketua jurulatih.
Kedua...sebab kita masih bujang. Kena pergi Sekolah Sukan Bukit Jalil tu,
seminggu. Kalau orang dah kahwin, susah laa, kan. Takkan nak tinggal suami dan
anak lama-lama,” Jawab Faezah Hanim.
“Hmm...kalau macam tu, kena kahwin
cepatlah...jadi, bolehlah elak dari pergi mana-mana!” Usik Cikgu Zakiah kepada
anak perempuannya. Cikgu Amir tersengih-sengih.
“Eh mak ni...kesitu pulak...takde
orang nakkan Anim ni, mak,” pantas Faezah Hanim menjawab.
“Anak ayah ni cantik lawa, slim melim, takkanlah takde cikgu lelaki
yang nak?” Faezah Hanim menjulingkan matanya melihat Cikgu Amir dan Cikgu
Zakiah tergelak besar.
Faezah Hanim binti Amir Hamzah.
Inilah penawar, inilah buah hati
Cikgu Amir dan Cikgu Zakiah. Apabila Faezah Hanim ada di rumah, hilang segala
rasa sunyi sepi mereka. Walaupun anak perempuannya itu sudah besar panjang,
namun Cikgu Zakiah masih lagi menasihati anak perempuannya. Masih dipesan
kepada Faezah Hanim agar menjaga diri sambil menjaga keselamatan pelajar yang
akan dibawa. Pada Cikgu Zakiah, menjaga anak orang lain itu, lebih besar dan
berat tanggungjawabnya dari menjaga anak sendiri. Amanah yang dipikul tidak
boleh diambil ringan. Tidak boleh leka dan lalai ketika membawa pelajar keluar
dari sekolah. Itu yang Cikgu Zakiah sentiasa mengingatkan anaknya. Biar guru
pengiring tidak makan, tapi perut pelajar mestilah sentiasa kenyang. Sakit
pening pelajar, guru pengiring kena ambil tahu.
Selesai makan tengahari dan mencuci
pinggan mangkuk, Faezah Hanim membersihkan diri dan menunaikan solat zohor. SMS
dari Ilyas bertanyakan khabar, tidak dihiraukannya. Nanti sahaja, fikir Faezah
Hanim. Dia mahu segera ke rumah Kak Nora. Keluar sahaja dari kamarnya, dia
terlihat ayah sudah terlelap di sofa sambil tangannya masih memegang alat
kawalan jauh televisyen. Faezah Hanim tersenyum dan menggeleng-gelengkan kepala
beberapa kali melihat ayah. Ayah, guru sukan yang berbadan atlet itu sudah
dimakan usia. Seingatnya sewaktu remaja dahulu, selesai makan dan solat, ayah
akan keluar semula untuk ke padang sekolah. Tugasnya sebagai jurulatih bola
sepak dan bola baling untuk sekolah, dipikul dengan penuh rasa tanggungjawab.
Kini, dia juga adalah seorang guru sukan. Dia juga jurulatih bola jaring untuk
pelajar-pelajar sekolahnya.
Faezah Hanim merapati ayahnya dan
mengambil alat kawalan jauh televisyen untuk diletakkan di meja kopi yang
terletak di sebelah sofa. Cikgu Amir membuka mata.
“Baring tidur betul-betullah yah,”
cadangnya lembut.
“Eh...kalau tidur baring tu, dah
macam tidur malam! Ayah nak lelap sekejap aje,” jawab Cikgu Amir dalam nada
gurau kepada anak perempuan yang dikasihi. Faezah Hanim tergelak kecil dan
menuju pula ke kamar ibunya.
Faezah Hanim yakin yang ibunya juga
sudah tertidur di dalam bilik usai solat zohor tadi. Sememangnya menurut ibu,
apabila mereka sudah berusia, stamina mereka sudah tidak seperti dahulu. Pulang
dari sekolah, serasa badan ini selayaknya berada di tilam. Jika dahulu, pulang
dari sekolah, Cikgu Zakiah masih mampu untuk terus membuat persediaan mengajar
atau menanda buku. Kini, untuk mengelakkan dari tidur selepas waktu asar, dia
hanya menyiapkan persediaan mengajar, menanda buku-buku pelajar atau menanda
kertas-kertas peperiksaan pada waktu petang dan malam. Kedua-dua orang tua
Faezah Hanim ini sebenarnya sudah tidak sabar-sabar lagi menanti waktu pencen.
Hendak berehat sepenuhnya kata mereka. Tanpa pengetahuan Faezah Hanim, jauh di
dalam sudut hati Cikgu Zakiah, dia hendak bermain dengan cucu.
Kamar ibu dikuak perlahan. Serasa
udara dari penghawa dingin menampar wajahnya. Memang enak tidur di dalam kamar
yang sejuk dingin di waktu mentari sedang terik bersinar. Memang benar
telahannya, ibu sedang tidur. Dia datang hampir kepada wanita separuh abad yang
sedang nyenyak tidurnya. Ibu tidur mengiring ke kanan. Pipinya beralaskan tapak
tangan kanan. Dipegang lembut bahu ibu. Mata Cikgu Zakiah terbuka sedikit.
“Kenapa Nim? Mengantuk benar mak ni,”
Cikgu Zakiah bertanya anaknya sambil matanya hanya separuh terbuka.
“Tak ada apalah, mak. Nak beritahu
mak, Anim nak pergi rumah Kak Nora.”
“Ohh...haa, iyalah. Kirim salam kat
dia. Dengar khabar dia sakit. Mak tak sempat-sempat nak menjenguk dia lagi.”
Faezah Hanim hanya mengangguk lalu
meninggalkan ibunya. Pintu kamar ditutup perlahan. Cikgu Zakiah meneruskan
tidurnya.
Berjalan kaki menyelusuri jalanraya
kampung yang hanya boleh memuatkan sebuah kereta untuk melaluinya, mengimbau
kenangan zaman kanak-kanak. Kedai runcit Pak Seman masih ada lagi berdekatan
dengan rumahnya. Kedai runcit itu adalah satu-satunya kedai yang menjadi pusat
orang kampung membeli barang-barang runcit jika malas hendak ke bandar Batu
Pahat. Jika dizaman kecilnya, kedai itu hanyalah kedai kayu kecil yang beratap
nipah. Kini, kedai itu sudah dibina semula dengan bantuan kerajaan. Dari kedai
inilah dia, Adik, Johari, Ani dan rakan-rakan sepermainan membeli snek ringan
atau jajan kata orang kampung. Dahulu, selain membeli kerepek ubi pedas, dia
suka membeli oren lemnet atau oren bodoh yang berharga tiga puluh lima sen.
Faezah Hanim tersenyum sendirian. Sejak Kamal Arif tidak menghubunginya,
kenangan demi kenangan, seringkali bermain di dalam fikiran. Entah kenapa, kali
ini, lain benar rasanya.
Lima puluh meter sebelum sampai ke
rumah Kak Nora, sudah terlihat pohon mempelam yang sentiasa berbuah. Pangkin
kayu tempat dia dan rakan-rakannya bermain pondok-pondok atau kahwin-kahwin
semasa mereka kecil dahulu juga masih teguh berada di situ. Cuma mungkin Kak
Nora sudah menggantinya. Kelihatan pangkin itu lebih besar dan lebar dari
dahulu. Pangkin itu memang selesa diduduki di waktu petang. Apatah lagi,
pangkin itu membolehkan mereka mengadap sungai Simpang Kanan. Dia pasti, Kak
Nora, Makcik Salimah, Mak Bedah dan ibunya masih lagi duduk-duduk di pangkin
itu untuk berbual-bual di waktu petang.
Jantung Faezah Hanim berdebar-debar
ketika semakin menghampiri rumah Kak Nora dan rumah makcik Salimah. Entah
kenapa dia begitu, dia tidak pasti. Adakah dia akan terserempak dengan Kamal
Arif? Adakah Kamal Arif ada di rumah hari ini? Jika iya, pasti dia boleh
mendengar Faezah Hanim memberi salam nanti. Sewaktu menghampiri rumah Kak Nora,
terdengar suara bayi menangis dari rumah Kamal Arif. Mungkin itu tangisan anak
Abang Khalid. Teringin juga dia melawat bayi kecil anak sulung Abang Khalid.
Semasa kelahiran anak itu, Kamal Arif menyatakan perasaan keterujaannya.
Temannya itu juga berkongsi pengalaman menukar lampin bayi buat pertama kali.
Memang dia seorang ayah saudara yang baik walau dia amat mengetahui yang
hubungan Kamal Arif dengan Khalid tidak pernah baik. Khalid, sedari kecil
memang sering membuli Kamal Arif.
Dia kini sudah berada betul-betul di
hadapan tangga rumah Kak Nora. Sunyi sepi rumah itu seperti tidak ada orang.
Namun, dari pemerhatiannya, kelihatan baju-baju masih di ampaian dan
tingkap-tingkap terbuka luas, dia yakin Kak Nora ada di rumah.
Faezah Hanim memberi salam. Sekali,
dua kali, tiga kali. Tidak ada jawapan dari dalam. Faezah Hanim menaiki tangga
rumah Kak Nora lalu memberi salam sambil mengetuk pintu.
“Waalaikumus salam. Siapa tu?”
Kedengaran suara Kak Nora dari dalam rumah.
“Hanim.”
Pintu kayu kemudian terkuak luas.
“Subhanallah. Bertuah punya budak.
Meh masuk.” Tersembul wajah Kak Nora dengan wajah yang baru bangun tidur.
Rambut panjangnya disiput tinggi macam orang perempuan dalam pantang.
Faezah Hanim segera bersalaman
sambil mencium tangan Kak Nora. Wanita separuh abad itu kemudian memeluknya dan
mencium kedua-dua belah pipinya. Dia akui yang dia merindui Kak Nora. Dia
pasti, Kak Nora juga begitu. Apabila Kamal Arif tidak menghubunginya, terasa
hubungannya dengan Kak Nora juga seakan jauh. Mungkin juga dia memang sudah
lama tidak bertemu Kak Nora. Hampir dua minggu dia tidak pulang ke kampung.
Semasa kepulangannya dua minggu lepas dan minggu-minggu sebelumnya, bukannya
dia ada berjumpa Kak Nora. Selalunya, hujung minggu, waktu dia pulang ke
kampung, Kak Nora pula yang sibuk dengan urusan majlis pertunangan, pernikahan
atau persandingan. Memang sebenarnya, dia memang sudah agak lama tidak berjumpa
Kak Nora.
Kedua-dua wanita yang sudah lama
tidak bertemu itu akhirnya melabuhkan punggung mereka di atas kerusi sofa di
hadapan televisyen. Mereka duduk menyenget untuk membolehkan mereka mengadap
antara satu sama lain.
“Akak tengah tidur ke? Maaflah Anim
kacau pulak.”
“Eh...takdelah kacau. Memanglah Kak
Nora tidur. Kalau kau tak datang tadi, entah pukul berapalah agaknya Kak Nora
terjaga. Kak Nora makan ubat hospital, Nim. Itu yang mengantuk dua puluh empat
jam,” jelas Kak Nora panjang lebar.
“Haa, itulah mak cakap tadi. Kak
Nora sakit dan mak pun kirim salam. Dia minta maaf, tak sempat-sempat nak
datang jenguk Kak Nora.”
“Alah...takde sakit apalah, Nim. Kak
Nora batuk aje. Tapi dah lama batuknya tak baik-baik. Itu yang, masa Mak Uda
bawa cucu dia pergi klinik kesihatan, Pak Ghani sewa kereta, Kak Nora tumpang
sekali. Kau tahulah Nim, Kak Nora bukan suka makan ubat hospital. Tapi,
iyalah...kena usaha jugaklah...dah tak baik-baik. Melarat kang, susah pulak.”
Faezah Hanim mengangguk. Walaupun
Kak Nora sudah dimamah usia, namun rupa parasnya masih lagi cantik. Wajahnya
masih lagi cerah dan ayu. Kak Nora memang rajin menjaga kulit. Makan minumnya
juga amat dijaga. Sayang Kak Nora masih lagi bersendirian.
“Dah makan ubat hospital, macam mana
rasanya kak? Ada kurang tak batuknya?” Tanya Faezah gusar. Iyalah, seingatnya,
Kak Nora ini jarang jatuh sakit. Mungkin faktor usia menyebabkan dia lambat
sembuh.
“Mengantuk ginilah. Malam-malam
masih batuk juga. Hendak gubah bunga pun, Kak Nora macam nak ralip. Nak buat
menjahit manik, jangan cakap...tercucuk jarum jari Kak Nora, Nim,” adu Kak Nora
kepadanya. Faezah Hanim hanya tersenyum dan menepuk-nepuk tangan Kak Nora.
“Dahlah si Adik tak ada. Patah kaki
rasanya. Semua Kak Nora buat sendiri. Susah juga bila dia tak ada.” Keluhan Kak
Nora kali ini membuatkan Faezah Hanim yang tadinya tenang, tersentak.
“Adik tak ada? Apa maksud Kak Nora?”
Terus jantungnya berdegup kencang.
‘Ya ALLAH, tak mungkin.’ Dia tidak
sanggup membayangkannya.
“Eh...Anim tak tahu ke?” Kerutan
kening Kak Nora memandangnya menambah rasa galau di dalam hati.“ Sudah
kira-kira dua minggu juga Adik pergi, Nim. Tinggal Kak Nora seorang nak urus
semua. Kalau dia ada, rasa semangat Kak Nora nak mengandam dan buat pelamin.
Eh...takkan Anim tak tahu yang Adik dah tak ada?” Tanya Kak Nora lagi sambil
mengenggam erat tangan kanan Faezah Hanim.
Faezah Hanim menggeleng-gelengkan
kepalanya. Debaran di dada kian menggila. Kedua-dua tangannya serta-merta
menjadi sejuk. Jantungnya seakan-akan terhenti/
‘Ariffff...tak mungkinnnn.’ Faezah
Hanim memejamkan matanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan