Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Jumaat, 1 Julai 2016

ADUH, PENING! - BAB 44



AIR minuman sudah dipesan. Makanan juga sudah terhidang. Hanya menunggu untuk dijamah sahaja. Wajah Amran yang memandangnya dengan penuh tanda tanya ditatap sekali sekala. Tidak baik pandang wajah lelaki yang bukan mahram kerap sangat, jadi satu dosa. Keluar berdua ini pun salah sebenarnya. Tidak kisahlah. Sudah lama juga dia tidak bertembung semula dengan lelaki ini. Tiba-tiba ada di hadapan matanya?
            “Kau cari Nadia ke?” tanya Aleeya. Matanya terkedip-kedip memandang Amran yang tersenyum sejak tadi.
            “Hantar barang dia yang tertinggal dalam kereta aku semalam,” jelas Amran. Dia menyandar di kerusi.
            “Ooo… kau keluar dengan Nadia semalam?” Aleeya mengangguk. Betullah kata suaminya.
            “Kau cakap pasal Nadia, macam kenal sangat dengan dia?” Amran kehairanan.
            Aleeya mengeluh. Perlukah dia bercerita tentang hubungan dia dan Nadia? Bagaimana dia harus memulakannya?
            “Nak cerita macam mana ya?” Aleeya menyedut minumannya. Ice lemon tea… minuman kegemarannya.
            “Ceritalah, kau macam tak kenal aku. Aku kan pendengar setia.”
            “Yalah tu, berapa banyak kisah Nadia yang telah kau dengar?” usik Aleeya.
            “Eh, mana ada? Dia hanya kawan biasa aku aje. Soal peribadi, jarang kami kongsikan bersama. Dia kan janda, aku pula duda, mana tahu ada jodoh. Nak ajak kau kahwin, kau dah pun berumah tangga. Tak baiklah rampas isteri orang,” gurau Amran. Wajahnya yang tenang sentiasa mendamaikan perasaan Aleeya.
            “Nadia tu, bekas isteri suami aku,” jelas Aleeya, akhirnya. Buat apa bermain sorok-sorok, kalau tertangkap tak pasal-pasal kena bom c4 dengan Amran.
            “Bekas isteri suami kau?  Ikmal tu suami kau?” Amran berfikir seketika.
            “Mereka dah bercerai setahun masa tu. Enam bulan bercerai, keluarga Ikmal datang meminang aku. Kebetulan emak aku dan emak Ikmal sahabat baik sewaktu sekolah dahulu. Kebetulan pula, aku masih belum berpunya. Tunggu kau tak balik-balik, nasib baik tak jadi anak dara tua,” cerita Aleeya lanjut.
            “Pandai kau bergurau bab nak tunggu aku! Antara kita hanya ada hubungan persahabatan dan perasaan kau dan aku hanya perasaan seorang abang dan adik. Aku faham benar perangai kau, Leya.” Amran mengeluh perlahan.
            “Tahu pun kau. Ikmal suami aku, bekas suami Nadia. Tapi semenjak dua menjak ni, dia asyik ganggu suami aku. Dia nak pujuk suami aku berbalik dengan dia. Kau fikir apa? Macam mana dengan aku? Takkan aku boleh terima? Dah tu pulak, Nadia tak nak hidup berkongsi. Habis tu? Takkan nak suruh Ikmal ceraikan aku? Takkan aku nak biarkan rumah tangga aku hancur? Anak-anak mereka pula memusuhi aku. Teruk hidup aku, Amran... tapi aku tak salahkan takdir. Semua ini ujian buatku,” luah Aleeya panjang lebar.
            “Ya ALLAH! Padanlah dia layan aku acuh tak acuh aje. Aku ingat nak pikat dia, Leya. Manalah tahu boleh dijadikan suri hatiku. Sudah bertahun hidup sendiri, sunyi tau. Aku bukan tua lagi,” ujar Amran,
            “Dia tetap nak berbalik dengan suami aku. Suami aku bukan setuju pun, tapi terpaksalah layan kerenah dia dan anak-anak. Aku juga yang tersepit, tak tahu nak buat apa. Serba salah jadinya. Takkan aku nak pisahkan kasih sayang suamiku terhadap anak-anaknya? Kejamlah aku. Tapi, Nadia lagi kejam. Dia buruk-burukkan aku pada anak-anaknya. Itu sebab mereka tak suka dengan aku! Kalau mereka keluar bersama, aku diketepikan,” adu Aleeya. Dia tidak bermaksud hendak memburukkan sesiapa, tetapi jika tidak diluahkan akan menjadi sekam yang membakar setiap inci hatinya.
            “Kasihannya kau.” Amran terkejut mendengarnya. Tidak pula dia menyangka Ikmal adalah suami Aleeya.
            “Nasib akulah agaknya, nak buat macam mana.” Aleeya mengangkat bahu.
            “Kau nak aku bantu ke?” Amran menghulurkan tangan untuk membantu.
            “Kau boleh bantu apa?”
            “Kalau Nadia setuju terima aku, taklah dia ganggu kau dan Ikmal,” terang Amran.
            “Kau kenal Ikmal ke?”  Aleeya memandang wajah Amran meminta kepastian.
            “Kenallah. Ikmal dan Nadia satu kampus dengan aku. Kira kami berkawan bersamalah. Aku pernah cuba pikat Nadia, tapi Ikmal yang mampu menawan hatinya. Aku cari calon lain. Tak mahu peningkan kepala. Kalau orang tak sudi, buat apa terkejar-kejar. Cari aje orang yang sudi,” cerita Amran pula.
            “Ooo… jadi kau orang memang kenallah ya?” Aleeya tersenyum. Kecilnya dunia.
            “Ya, kalaulah aku tahu Ikmal suami kau, dah lama aku cari dia. Kalau dia susahkan hidup kau, dia terpaksa berdepan dengan aku!” kata Amran sambil menepuk dadanya.
            “Kau nak buat apa? Jadi samseng?” Aleeya ketawa.
            “Kau sabar ya, Leya… aku akan bantu kau selesaikan masalah kau,” janji Amran.
            “Terima kasih, Amran. Jangan kau ugut pula suami aku. Kalau kau nak kahwin dengan Nadia, aku sokong. Tapi, kau kena fikir lima mulut kau kena bela juga. Kau sanggup ke?”
            “Apa masalahnya? Aku tak ada anak, kalau ada anak tiri kira anak-anak aku juga.”
            “Yalah, aku pun berperasaan macam itu, tapi kau tengoklah Nadia... langsung dia tak bagi aku peluang untuk mendekati anak-anaknya. Aku pulak dibuatnya macam musuh!”
            “Berat juga masalah kau, ya?” Amran mengeluh. Simpati dengan nasib sahabat lamanya.
            “Berat mata memandang, berat lagi bahu aku yang pikulnya, Amran,” keluh Aleeya.
            “Ingat janji ALLAH, sesudah kesusahan pasti ada kesenangan, sesudah kesusahan pasti ada kesenangan, jadi bersabar, berdoa dan berserah,” nasihat Amran.
            “Terima kasih, sahabat!” ucap Aleeya.
            “Sama-sama, sahabat. Kan dah tenang semula. Nampaknya, kau kena jumpa aku selalu untuk tenangkan hati kau yang berserabut tu,” usik Amran.
            “Nak mampus! Kau nak suruh suami aku kerat kau?” gurau Aleeya. Lagipun suaminya mana tahu hubungannya dengan Amran. Silap hari bulan suaminya boleh tersalah tafsir nanti.
            “Kalau suami kau tahu siapa aku dengan kau, pasti dia tak marah. Kau kan sahabat aku?”
“Terima kasih kerana sudi mendengar luahan rasa hatiku, Amran.”
            “Terima kasih kembali kerana percaya dan yakin pada aku untuk mendengar cerita kau tu.”
            Hampir dua jam mereka bersembang dan berbual. Akhirnya, jiwa Aleeya tenang kembali. Dia pulang dengan hati yang lega dan selesa. Hilang rasa marah dengan Nadia. Amran akan pikat bekas isteri suaminya itu, baguslah. Sekurang-kurangnya kalau tersangkut, tidaklah perempuan itu menyusahkan hidupnya. Semoga Amran bertemu jodoh dengan Nadia. Bukan calang-calang orang juga sahabatnya itu. Ada pangkat dan kedudukan. Harta juga ada. Muka kacak, berkarisma dan berkaliber.  Siapa sangka anak orang miskin boleh hidup senang sekarang. Memang layaklah dengan Nadia. Anak-anak pula pasti bahagia hidup di sisi Amran yang memang seorang prihatin dan penyayang. Seorang lelaki yang baik. Sesuai sangat dijadikan suami. Rugilah kalau Nadia menolak.
            Aleeya terus pulang ke rumah. Separuh hari dia keluar dari pejabat. Tujuannya hanya ingin bertemu Nadia dan bertembung pula dengan Amran. Harap Ikmal tidak tahu. Nanti mengamuk pula suaminya itu. Aleeya berdoa dalam hati, semoga segalanya berjalan lancar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan