AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Friday, 29 July 2016

TOLONG CARI SUAMIKU- BAB 24 - ASMAH HASHIM



alijah melabuhkan punggung di buaian berhampiran laman rumah. Dia merenung taman mini yang telah dibina beberapa tahun dahulu. Bersih dan kemas. Pandai juga tukang kebun yang diupah oleh menantu sulungnya itu. Entah berapa gaji yang dibayar oleh menantunya itu. Keluhan demi keluhan mengalir keluar. Sebal dan sesal.
Kalaulah dia tidak meletakkan nama arwah anaknya sebagai pewaris tunggal harta-harta itu pasti hidupnya tidak tertekan begini. Semakin dan bertambah benci dia kepada menantu sulungnya itu. Ada menantu sampai dua orang tetapi satupun tidak mampu mencuri hatinya. Dahulu yang kedua begitu disayangi, namun sejak-sejak akhir ini yang kedua juga sering membakar api kemarahannya.
“Ibu!” laung Katrina.
Halijah menoleh. Dia menggeleng. Semakin hari terlihat kekasaran menantunya itu. Alahai nasib. Asyik dapat menantu yang tidak menyenangkan. Hendak suruh anaknya kahwin lain, arwah sudah tiada. Terpaksalah dia gigit jari. Menahan rasa.
“Menantu ibu tu... dahlah sombong, berlagak pula tu,” adu Katrina. Dia berdiri di tiang buian sambil mencebik. Kelat di wajah sudah tahu merajuk tidak habis-habis.
“Dah tahu begitu, buat apa menerjah arus? Nanti tenggelam, ibu tak mahu tolong!’ Halijah memberi amaran. Nampak gayanya Mastura sukar mempercayai dirinya dan Katrina. Mungkin pengalaman telah mengajar menantu sulungnya itu lebih berhati-hati.
“Cuba nasib, mana tahu dapat. Buat muka kasihan dan meraih simpati. Tak salah mencuba,” selamba Katrina menuturkannya.
“Apa rancangan Rina sekarang? Ibu tak dapat bantu,” keluh Halijah.
“Nak buat macam mana? Terpaksalah cari kerja,” jawab Katrina. Apa dayanya lagi? Ada ibu mertua tidak boleh membantu. Ada orang tua sudah hampir muflis. Bukan sahaja tidak boleh menolongnya. Hendak tolong diri sendiri pun orang tuanya tidak mampu. Malah meminta lagi daripadanya. Maaflah, dia hendak cekau di mana duit ratusan ribu itu? Tidak mungkin mencuri? Mencuri di mana? Di bank? Rompak bank? Pandai sangatlah. Silap hari bulan dia meringkuk di dalam penjara. Adrian? Lelaki tidak boleh diharap itu. Sedang mengatur rancangan mendekati janda kaya yang sedang meriah hidupnya. Siapa lagi, kalau bukan madunya itu. Geram terus-terusan bercambah di hati, menjalar disetiap pelusuk tubuhnya.
Sudah berhari-hari panggilan daripada orang tuanya tidak dijawab. Bukan tidak hormat atau tidak merindui mereka tetapi panggilan daripada mereka buat hatinya risau keterlaluan. Daripada menanggung kepayahan perasaan sendiri, lebih baiklah dia mendiamkan diri. Pandai-pandailah mereka hendak hidup.
Selama ini pun bukan dia yang menyara mereka. Mereka yang menyara dirinya. Sejak harta habis berjoli inilah kehidupan mereka begitu perit mencengkam dirinya. Dirinya dijadikan umpan untuk mendapatkan apa yang mereka inginkan. Tetapi tidak kesampaian lantaran suaminya pergi terlalu awal sebelum masanya. Langsung tidak sempat menikmati apa yang sepatunya diperoleh. Jangan fikir yang bukan-bukan ya, hartalah. Itulah yang menjadi idamannya dan idaman kedua orang tuanya. Hampas sahaja yang tinggal. Santannya sudah dirembat oleh madunya awal-awal lagi.
Apa yang bermain di benaknya, bagaimana suaminya boleh menukar wasiat dalam masa yang singkat? Sebelum meninggal atau selepas? Kemusykilan yang tidak mampu dijawab. Jawapan yang hanya ada pada suaminya dan juga peguam arwah. Ya, peguam arwah. Kenapa dia tidak memikirkan perkara itu sebelum ini? Bukan hendak tunjuk atau berlagak jadi penyiasat tetapi dia hanya ingin mendapatkan semula haknya.
“Ke mana kau merayap?” tegur ibu mertuanya.
Katrina menyengih. Terlalu jauh dia membawa diri, memikirkan untung nasib. Mencari jalan memperbaiki kehidupan sendiri.
“Ibu tak ada jalan ke nak singkirkan perempuan tu?” Kartina mencuit lengan ibu mertuanya yang memandang kosong ke arah taman mini, menikmati desiran air dan kembangan yang sedang berbunga mekar.
“Bunuh aje dia. Habis cerita.” Halijah mencebik. Bunuh? Bunyinya macam mudah, tetapi siapa yang akan melakukannya? Siapa berani? Kalau hendak mengupah pembunuh upahanpun memerlukan belanja yang besar. Jika dia berduit seperti dahulu, mungkin mudah. Dia ingatkan jika dia meletakkan harta itu di bawah nama anaknya, kehidupannya akan menjadi lebih baik. Lain yang dipinta, lain yang mendatang.
“Bagus juga idea tu, ibu. Biar hilang di dunia, taklah semak mata.” Katrina menyengih.
“Ha’ ah... kalau dia mati, tak apa. Kalau hidup, tak pasal-pasal kita ke tali gantung atau penjara seumur hidup.” Halijah menggeleng kemudian. Idea mudah tetapi tidak bijak.
Dia memandang Katrina sekali imbas. Bersiap bukan main, bersolek 24 jam. Memasak tidak pandai, mengemas jauh sekali. Baru sekarang perasan apabila sudah serumah. Menantu yang seorang lagi, sedikit degil dan kalau hati sudah tidak suka, kebaikan di hadapan bagaikan pasir di dalam mata.
“Kita kena cari jalan juga, ibu. Takkan nak hidup dengan pendapatan RM1500 sebulan? Mana cukup?” omel Katrina.
“Nanti ibu cari jalannya. Yang Rina masih tidak tukar baju lagi ni kenapa? Takkan nak pakai macam ini di rumah? Solekan punyalah tebal,” tegur Halijah. Tidak pernah sekali pun dia melihat Katrina tidak bersolek. Hampir setiap masa. Tidak salah ingin kelihatan cantik sepanjang masa tetapi tidaklah wajah itu disolek macam hendak buat pertunjukan pentas. Sudah bagaikan wayang Cina pun ada juga. Dia tersenyum dalam hati.
“Kejap lagilah. Ibu, kita pergi jumpa peguam arwah Abang Ashraf nak? Macam ada tak kena aje. Rina nak tanya waktu bila arwah tukar wasiat tersebut? Ibu tak rasa? Tiba-tiba sahaja arwah tukar wasiat, sedangkan kita tahu harta-harta itu sudah diserahkan kepada ibu dan Rina,” cadang Katrina.
“Molek juga tu. Ibu pun setuju. Kejap. Ibu ambil beg . Kita ke pejabat peguam tu.” Halijah bersetuju. Dia turun dari buaian dan melangkah ke dalam rumah. Namun langkahnya terhenti lalu menoleh ke arah Katrina. “Alamat ada ke? Ibu dengar dia dah tukar pejabat baru,” tanyanya. Setahunya, mereka tidak ada ambil apa-apa daripada peguam tersebut.
“Tak ada.” Laju gelengannya. Katrina menyengih.
Halijah tepuk dahi Tidak mungkin dia akan meminta daripada Mastura. Nanti banyak pula soalan. Buat sakit kepala dan minda untuk menjawabnya. Dapat menantu langsung tidak boleh harap. Laju langkahnya menuju ke dalam biliknya sendiri.
Pintu dikunci. Dia mencapai telefon bimbit dan mendail nombor seseorang. Terpaksa. Kalau ikutkan dia tidak mahu buat begini. Tapi kalau diri sudah tercabar, mendiamkan diri bukan caranya.
“Jumpa aku esok, petang. Di tempat biasa,” katanya agak tegas. Namun masih mengawal nada suara. Takut didengari oleh orang lain. Dia tidak akan membiarkan dirinya jadi papa kedana. Susah payah dia mendapatkan harta itu untuk arwah anaknya. Sekarang senang-senang jatuh ke tangan orang lain.
Dia tidak akan mendiamkan diri. Dia ada matlamat dan keinginan. Penat lelahnya selama ini tidak akan dibiarkan ghaib begitu sahaja. Kalau Mastura ingin berperang, dia sedia mengangkat senjata. Ketakutan tiada dalam diari kehidupannya. Dia tidak takut kepada sesiapa. Sesiapa sahaja akan disanggah jika melibatkan harta. Suami sendiri pun dia sanggup hancurkan, inikan pula hanya seorang menantu.
Kalau Mastura penghalang dia menjadi pemilik mutlak harta tersebut. Dia akan hapuskan perempuan itu selama-lamanya. Mastura tidak tahu siapa dirinya? Mendiamkan diri tidak bermakna dia kalah. Permainan belum bermula. Tunggu dan lihat. Hendak sangat tengok ibu mertua yang brutal dan samseng, nantikanlah. Dia menyengih sendirian.

No comments:

Post a Comment