AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Thursday, 14 July 2016

USAH MENANGIS LAGI! - BAB 7

Lumpur yang memenuhi kasut butnya dibersihkan dengan berus sabut yang terletak di luar laman rumah keluarganya.  Dia mengesat peluh dengan tuala kecil yang sedia tersangkut di lehernya.  Tubuh yang berpeluh minta dibersihkan segera.  Namun dia tidak terus mandi, berehat seketika sebelum membersihkan diri.  Dia berlalu menuju ke arah pangkin yang terletak di bawah pokok nangka berhampiran bendang milik keluarganya.  Dia merehatkan diri di situ. Mata memandang tepat ke arah bendang yang telah siap ditajak sebentar tadi.  10 ekar bendang milik keluarganya sudah lama diuruskan.  Sejak arwah ayahnya meninggal, dialah yang mengambil alih menguruskan sawah tersebut.  Siapa lagi emaknya boleh harapkan.  Abang dan kakaknya sudah punya kehidupan sendiri.  Dia bukannya tidak berpelajaran,ijazah yang dimiliki sejak beberapa tahun yang lalu hanya menjadi penghias dinding biliknya.  Gambar waktu dia konvo itu pun hanya menjadi santapan mata, penenang di waktu malam. 
            Bukan tidak ingin bekerja di luar, keluar dari kampung itu, tetapi memikirkan ibunya yang tinggal seorang diri dia mematikan keinginannya itu.  Mana mungkin dia meninggalkan ibunya yang sudah tua itu sendirian.  Abang dan kakaknya tentu tidak berminat atau ingin menguruskan bendang tersebut.  Mereka ada pekerjaan baik, mereka berkelulusan tinggi.  Arman mengeluh. 
            “Arman!  Mari minum, buat apa termenung di situ?”  Halidah menjerit memanggil anak bongsunya.
            “Baiklah ibu!” jawab Arman.  Jarak kedudukan mereka membuatkan mereka terpaksa menjerit sedikit. 
            Arman melangkah menuju ke anjung rumah.  Sepiring pisang goreng bersama secawan kopi panas sudah siap terhidang.  Hembusan angin petang menyapa pipinya.  Dia  tersenyum puas.  Damai melihat keindahan kawasan bendang yang luas terbentang itu.  Sesekali ada juga burung-burung bangau datang menyinggah.  Mencari anak-anak ikan bagi santapan perut si bangau.  
            “Semalam Kak Rafeah telefon tanyakan kau,”  kata Halidah perlahan. 
            “Kak Rafeah?  Dia nak apa?” tanya Arman, mulutnya mengunyah pisang goreng yang sudah pun berada di dalam mulut.
            “Kawan dia cari akauntan, itu sebab dia bertanyakan Arman.  Armankan lulusan jurusan akauntan,”  cerita Halidah lagi.
            “Mak nak suruh Arman bekerja di luar ke?  Kalau Arman bekerja di luar, siapa nak uruskan  bendang itu?”  Arman kurang setuju dengan cadangan ibunya. 
            “Pasal bendang, usahlah Arman risaukan sangat, tahulah emak uruskannya nanti, lagipun urusan bendang boleh kita pajak kat orang. Sampai bila Arman nak berkurung di kampung?  Pergilah bekerja di luar sana, mak masih kuat untuk buat sendiri kerja-kerja rumah,”  pujuk Halidah.  Dia faham benar perasaan anak bongsunya itu. 
            “Arman tak boleh tinggalkan mak seorang diri, kalau jadi perkara yang tak baik, macam mana? Terjatuh ke? Sakit ke?”  Arman masih tidak berganjak dengan keputusannya.  Wajah emaknya yang tegang ditenung seketika. Hembusan nafasnya turun naik, melepaskan rasa risau yang bertandang.  Bukan kesenangan yang dicari, bukan harta yang didambakan.  Segala yang dimiliki sudah cukup buatnya.  Tiada harta yang lebih bererti melihat emaknya di hadapan mata.  Melihat wajah kesayangan itu sihat sudah memadai buatnya.
            “Buat apa Arman belajar sehingga masuk universiti semata-mata ingin menjadi petani?” soal Halida.
            Arman tersenyum mendengar kata-kata yang terlahir di bibir emaknya itu.
            “Masuk universiti tidak semestinya kena bekerja di dalam bidang yang dipilih mak, ada orang belajar bidang enginering, tapi akhirnya jadi guru sekolah.  Arman minat kerja kampung, biarlah Arman lakukan.  Mak tak perlu risaulah.” Senyuman masih kembang mekar di bibirnya.
            “Arman!” Halidah tidak bersetuju dengan keputusan anak bongsunya itu.  Dia berasa serba salah, dek kerana dirinya Arman sanggup melepaskan semua peluang yang ada kerana dirinya. 
            Arman mendekati emaknya.  Dia merebahkan dirinya dipangkuan wanita yang telah melahirkannya ke dunia ini.  Sejak kematian arwah ayah, emaknya tinggal sendirian.  Abang dan kakaknya jarang pulang ke kampung. Masing-masing sibuk dengan urusan sendiri.  Arman tidak salahkan mereka. Tuntutan hidup zaman sekarang. 
            “Mak faham perasaan Arman, tapi mak tak mahu Arman hidup sendirian begini, keluarlah nak, pergilah bekerja di luar sana, sesekali Arman baliklah jenguk mak. Bukan jauh sangat kampung kita dengan Kuala Lumpur.  Arman takut hidup sendiri ya? Tak yakin?”  Halidah memandang wajah manja Arman. Biarpun sudah besar panjang tetapi terasa masih kecil di hadapannya.
            “Mak ni.” Arman mengeluh.   Semakin erat dia memeluk lutut emaknya.
            “Mak carikanlah isteri untuk Arman, orang kampung ini pun tak apa.  Asalkan Arman sentiasa ada dengan mak,” ujar Arman. 
            “Hish! Orang sekarang cari sendirilah Arman,” jawab Halida.  Dia tersenyum.  Anak muda zaman sekarang, tidak suka jodoh yang ditentukan oleh orang tua, berlainan pula dengan anak bongsunya itu. 
            “Kalau mak carikan, kan lebih berkat,”  tutur Arman dengan wajah ceria.  Usia sudah mengjangkau 25 tahun tapi masih bersendirian.  Tidak pandai mencari sendiri, dia pemalu orangnya apatah lagi jika berhadapan dengan perempuan.  Itu sebab sampai sekarang masih sendiri, di universiti dahulu pun dia jarang bergaul dengan rakan-rakan perempuannya. 
            “Pergi kerja dulu, kasihan Kak Rafeah, kawan dia benar-benar nak cari akautan tu, nak cari orang yang jujur zaman sekarang, bukan senang,”  ucap Halida, cuba meyakinkan anak bongsunya itu.
            Arman bingkas bangun, memandang wajah tenang emaknya.  Wajah yang telah dimamah usia, tangan yang berurat timbul itu diusap perlahan.
            “Mak tak kisah tinggal seorang diri?” tanya Arman, matanya masih memandang wajah keibuan yang terpancar disebalik kedut yang semakin kelihatan di wajah emaknya.
            Halida mengusap lembut wajah anak kesayangannya itu. Dia tersenyum.
            “Sesekali balik jenguk mak ya?” pinta Halida.
            Arman mengeluh perlahan. Harapan seorang emak yang ingin melihat anaknya berjaya dalam bidang kerjaya, bukan hanya terperuk di kampung mengusahakan bendang yang tidak seberapa itu. Apa lagi yang harus dikatakan.   Arman mencium pipi emaknya. Dipeluk erat wanita kesayangannya itu.
            “Arman akan selalu telefon mak ya.”  Sebak dadanya, bukan mudah membiarkan emaknya hidup sendirian di kampung pula itu.  Makan sendiri, tiada teman berbual nanti. Tentu emaknya akan kesunyian.  Arman menahan rasa sendunya jauh di lubuk hati.



No comments:

Post a Comment