Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Rabu, 3 Oktober 2012

KERANA DOA DAN AIRMATA

NAMA : ASMAH HASHIM TAJUK : INDAHNYA TAKDIR ILAHI telah ditukar ke tajuk KERANA DOA DAN AIR MATA oleh pihak Fardhu Ain . Ini naskah asal sebelum diedit oleh pihak Penerbit. Selamat membaca ya kawan-kawan....
Haida hanya mampu menangis . Dia tidak berdaya berbuat apa-apa. Keputusan suaminya muktamad. Wajah Halim anak sulongnya yang sedang menangis dibiarkan sahaja. Apalah dayanya untuk memujuk. Dia hanyalah seorang isteri yang harus taat kepada arahan suaminya. Kalau ikutkan hati mahu sahaja dia melawan, memaki suaminya , tapi memikirkan dosa yang akan ditanggung kerana mendurhakai suami, Haidah membisu seribu bahasa. Cuma hatinya sedih melihat anaknya ditarik keluar dari Maahad Tahfiz tempat anaknya belajar oleh suaminya dengan kasar sekali. Malu Haida dengan Ustaz-Ustaz di Maahad tersebut. Apatah lagi suaminya mengeluarkan perkataan yang kurang enak didengar. Orang bukan Islam menghina Islam kita marah, kita akan memberontak, tapi bukankah suaminya juga beragama Islam? Kenapa tergamak suaminya bertindak kejam begitu dia sendiri tidak tahu. “ Nak jadi apa kalau setakat menghafal Al-Quran? Nak kerja apa, nanti dah besar nak makan apa?” jerit Zaki pada Halim yang menangis sambil memeluk kedua belah lututnya. Para pelajar Maahad Tahfiz itu hanya mampu melihat. Apatah lagi Ustaz mereka tidak membenarkan para pelajar mencampuri urusan orang lain. “ Abang ! sudahlah malulah,” kata Haida sambil cuba mengangkat Halim bangun. Halim tetap tidak bergerak. Zaki hilang sabar, hampir setengah jam dia cuba memujuk Halim untuk dibawa pulang. Zaki menyinga memandang Haida. Semua ini salah Haida hantar anak ke Maahad Tahfiz tanpa berbincang dengannya. Dia tidak mahu masa depan anaknya hancur kerana belajar di tempat yang tidak ada system pelajaran, setakat menghafal Al-Quran cukup ke untuk menyara hidup? Setakat tahu membaca Al-Quran boleh ke buat harta?. Kenapalah pendek akal sungguh isterinya. “ Awak diam! Ini semua awak punya pasal, anak dah belajar elok-elok di sekolah awak berhentikan..lepas tu hantar ke tempat macam ni…awak nak suruh anak awak minta sedekah? Tak ada kerja? Awak nak tanggung dia sampai ke tua ke?” jerkah Zaki. Haida beristifar. Tergamak Zaki bercakap seperti itu. Apakah sia-sia menghafal Al-Quran, bukankah Allah swt pernah berfirman jika ada salah seorang ahli keluarga menjadi hafiz atau hafizah akan mampu membawa keluar sepuluh orang ahli keluarga dari api neraka..tidak mahukan suaminya? Apakah mereka tahu di mana tempat akhirnya mereka nanti, syurga atau neraka?. “ En. Zaki..tak baik kita merendah-rendahkan kemampuan orang-orang yang menghafal Al-Quran…rezeki datangnya dari Allah swt, bukan dari kita, kita yang meminta rezeki dariNya…kalau En. Zaki tidak mahu membenarkan Halim belajar di sini, silalah bawa dia balik tapi jangan sesekali menghina kitab Suci Al-Quran kerana di dalamnya mengandungi Kalimat-Kalimah Allah, Kata-kata Allah…sebagai orang Islam sepatutnya En. Zaki faham dan tahu Rukun Iman..antaranya Percaya dengan Al-Quran…En. Zaki orang Islam sepatutnya percaya dan yakin dengan ketentuan Ilahi, dengan rezeki dari Allah…orang kafir lagikan di beri rezeki takkan kita orang Islam yang menghafaz dan memartabatkan Al-Quran tidak diberi rezeki ole Allah swt..fikirkanlah dengan akal yang bijak dan waras En. Zaki..” tegur seorang ustaz. Wajah Zaki mencuka. Dia mendengus kasar. “ Ustaz jangan sibuk, ini urusan keluarga saya, apa yang saya nak buat untuk anak saya itu hak saya..tak ada kena mengena dengan Ustaz..” jerkah Zaki , Kasar dan biadap sekali. Ustaz itu beristifar. Zaki mengheret Halim masuk ke dalam kereta. “ Maafkan kami ustaz..maafkan kami..” kata Haida berkali-kali. Malu dia dengan sikap suaminya tidak beradap itu. Haida masih tercegat melihat tindakan suaminya yang tidak masuk akal itu. Haida tidak faham diakah yang salah atau tindakan suaminya yang kurang waras. Ahh! Haida mengeluh. “ Apa lagi tercegat di situ, awak nak duduk sini ke? Kalau nak saya boleh tinggalkan awak kat sini..” jerit Zaki lagi. Haida menyeka airmata dan melangkah lemah mendekati kereta suaminya. Halim masih lagi menangis . “ Mulai hari ini saya haramkan awak hantar mana-mana anak kita ke mana-mana Maahad..biar mereka sekolah seperti biasa, agama tak penting, yang penting kehidupan masa depan, masa depan mereka! Faham!! Kalau awak buat juga perangai macam ni lagi, saya ceraikan awak!” ugut Zaki. Haida terkedu. Dia memandang wajah suaminya dengan perasaan yang kecewa. Ya, Allah kau berilah hidayah dan petunjuk kepada suamiku ini..doa Haida dalam hati. “ Apa bagusnya mengaji di pondok atau maahad, ramai yang tak ada masa depan, belajar tak sampai ke mana, menganggur duduk kat rumah , habis buruk jadi tok siak je sapu sampah kat masjid, itu yang kau nak je Haida?” marah ibu mentuanya. Haida tetap membisu. Malas dia hendak menjawab kata-kata orang yang tidak faham hakikat kehidupan yang sebenar. Menjadi tukang sapu sampah di masjid lebih mulia dari menjadi arkitek tapi tidak beriman dan bertakwa, makan rahsuah, buat maksiat. Alangkah baiknya jika anak-anaknya menjadi arkitek yang mampu menghafal tiga puluh juzuk Al-Quran dan tahu hukum-hakam agama tidak melakukan maksiat dan kemungkaran. Haida tahu ada juga pelajar-pelajar tahfiz yang gagal meneruskan pengajian mereka, bukan kerana ilmu itu tetapi kerana sikap pelajar itu sendiri. Ilmu yang ada tidak dimanfaatkan sebaik mungkin. Jika ilmu yang dipelajari tidak memberi keberkatan kepada pelajar tersebut maka terjadilah perkara seperti yang dilihat oleh masyarakat. Pelajar itu sebenarnya tidak berminat, tidak menyintai Al-Quran tapi kerana desakan orang tua maka digagahi juga melangkahkan kaki ke Maahad, belajar Al-Quran tetapi tidak menghayati intipatinya. Menghafal Al-Quran tetapi tidak menghafal maksud yang tersurat dan tersirat. Ada juga pelajar yang gagal kerana sikap ibu bapa yang menghantar anak ke Maahad kerana anak itu nakal dan tidak mampu dididik oleh kedua orang tua maka jadilah Maahad Tahfiz atau sekolah pondok bagaikan tempat pemulihan akhlak. Malah Maahad Tahfiz atau belajar agama ini menjadi pilihan terakhir kedua orang tua dalam memberi pendidikan kepada anak-anak sedangkan belajar agama adalah perkara pertama yang perlu ditekankan oleh kedua orang tua. Ramai yang bimbang anak mereka tidak mendapat keputusan baik dalam peperiksaan . ramai ibu bapa bimbang jika akan tidak pandai membaca. Mereka akan berusaha menghantar anak-anak mereka ke kelas tusyen, carikan guru untuk mengajar di rumah namun tidak sedikit pun hati mereka bimbang jika anak tidak solat , tidak tahu membaca Al-Quran. Bagi mereka belajar agama tidak penting yang penting kelulusan akademik. Haida mengeluh. Haida tidak mahu anak-anaknya buta Al-Quran, Haida tidak mahu anak-anaknya tidak pandai mengaji, tapi itu cuma hatinya, dia tidak mampu memberikannya kepada anak-anaknya kerana suaminya tidak pernah menyokong keinginannya itu. Apakah mereka yang menghafal Al-Quran hanya mampu menjadi tok siak, imam masjid sahaja kah. Kenapa cetek sangat pemikiran manusia tidak yakin dengan Ilmu Allah swt. Orang yang menghafal Al-Quran mampu menjadi apa sahaja , mampu menjadi doktor, peguam, atau apa sahaja asalkan rajin menuntut ilmu, tidak malas dan ingin berubah menjadi yang terbaik. Rasanya menghafap Al-Quran lebih sukar dari menghafal fomula matematik, menghafal Al-Quran lebih susah dari menghafal tarikh-tarikh kejadian dalam buku sejarah. Malah anak kawannya yang telah menghafal tiga puluh juzuk mampu mendapat 9A dalam SPM hanya belajar setahun sahaja. Pemimpina baru Mesir menghafal tiga pujuk juzuk Al-Quran, apa lagi bukti yang mereka inginkan. Ketentuan Ilahi tiada siapa mampu menidakkannya. . Di mana kekurangannya. Tidak mahukan Zaki melihat anak-anak mereka menjadi manusia yang bermanfaat kepada orang lain. Berilmu, beriman dan bertakwa itulah impiannya, impian untuk anak-anaknya. Burung tidak akan boleh terbang hanya dengan menggunakan satu sayap untuk sampai ke destinasi yang ingin dituju. Begitu jugalah kehidupan rumahtangganya. Dia sendirian tidak akan mampu membawa anak-anaknya ke destinasi yang diimpikannya tanpa bantuan suaminya. Haida mengeluh lagi, hatinya yang hancur luluh dengan perbuatan suaminya yang memalukan itu. “ Halim maafkan mak ya sayang..” kata Haida sambil memeluk anak sulongnya erat, penuh kasih sayang, dia tahu minat anaknya pada Al-Quran. Tapi apa kan daya. Semoga Allah swt memberi petunjuk kepadanya sekeluarga. Halim hanya memerhatikan wajah emaknya dengan mata berkaca. Adik-adiknya seramai tiga orang turut memeluk dan melingkari Haida. “ Awak saya tak benarkan lagi keluar ke mana-mana, terlalu bergaul sangat inilah jadinya..masjid ke , surau ke. Mana pun jangan pergi, saya takkan izinkan..faham!!’ tegas sekali amaran suaminya. Haida hanya mampu menangis. Kalau suaminya tidak membenarkan dia belajar agama di luar wajib suaminya menyediakan seorang ustazah untuk mengajarnya. Tapi mahukah suaminya. Mulut Haida ringan sahaja ingin menjwab tapi ditahankannya. Dia tidak mahu lagi mengeruhkan keadaan. Halim dihantar belajar ke Luar Negara oleh mentuanya. Begitu juga anak-anaknya yang lain termasuk yang bongsu dihantar sekolah berasrama. Haida tidak berani membantah kerana itulah keputusan suaminya, keputusan keluarga mentuanya. Haida tahu keluarga mentuanya ramai yang berjaya, bekerja besar, miliki rumah besar, kereta mewah pendek kata ada segala-galanya . Mereka mampu memberi apa sahaja kepada anak-anak mereka begitu juga anak-anaknya, suaminya berkemampuan. Haida mengesat airmata yang mengalir. Semua itu akan ditinggal pergi, semua itu sudah tidak berguna lagi. Suaminya bekerja siang dan malam mencari kekayaan dunia. Hari ini tubuh yang kuat dan bertenaga itu sudah tidak mampu bergerak lagi. Terbujur kaku dipembaringan. Membisu tanpa kata-kata, hanya bibir yang bergerak tapi tiada siapa yang faham. Anak-anak yang dihantar belajar sampai ke luar Negara tidak sempat pulang untuk melihat ayah mereka sendiri kerana masing-masing sibuk belajar dan tarikh peperiksaan semakin hampir. Haida hanya mampu menangis. Di dalam rumah tiada siapa yang sudi membacakan Al-Quran atau yasin untuk dijadikan santapan telinga suaminya yang sedang nazak itu. Adik-beradik suaminya hanya berbual-bual kosong, yang sakit bagaikan tiada ertinya . “ Tak ada siapa yang sudi membaca yasin untuk abang Zaki ke?” Tanya Haida kepada ipar duainya. Semua memandangnya dan menggelengkan kepala. “ Dah lama tak mengaji kak..dah lupa, takut salah baca pula..” kata adik iparku yang bongsu. “ Mak tak nampak sangat Haida..panggil je lah Imam surau kat depan tu..bayar je berapa mereka nak..suruh mereka bacakan yasin kat Zaki..” cadang mentuaku yang masih sihat. Kuat sungguh dia, anaknya yang akan pergi dulu. Haida tidak terkata apa-apa. “ Haida…makcik faham perasaan kau..inilah akibatnya jika hidup kita hanya mencari dunia..anak-anak tidak tahu tanggungjawab, ayah dah terlantar sakit macam ni pun masih tak balik..tengok adik-beradik Zaki…tak tahu mengaji…agama penting dalam seluruh kehidupan kita Haida…nanti makcik panggilkan kawan-kawan berzanji makcik, mereka boleh bantu, Haida jangan risau ye..” kata Makcik Limah jiran sebelah rumah yang sering mengadakan majlis baca yasin dan majlis Ilmu di rumahnya. Ada ketika Haida akan turut serta itu pun jika suaminya tidak membantah. Ada masa kena marah juga. Haida hanya mampu menangis. Kalaulah suaminya mendengar kata-katanya dulu taklah jadi macam ni. Hantar anak belajar sampai ke luar Negara. Universiti dalam Negara pun banyak. Bila dan sakit pening macam ni anak-anak pula tak dapat balik. Ya. Allah permudahkanlah segalanya untuk suamiku, doa Haida dalam hati dengan mata yang berkaca. Dia hanya mampu memerhatikan sahaja tubuh suaminya yang lemah dan tidak berdaya itu. Haida bingkas bangun dan duduk di sisi suaminya. Buruk macam mana pun itulah lelaki yang telah dinikahinya berpuluh tahun dahulu.. Makcik Limah telah menepati janjinya. Dia telah membawa kawan-kawannya untuk membacakan yasin di rumah Haida. Haida tidak berganjak dari suaminya. Sesekali dia melafazkan syahadah di telinga suaminya. Airmata Haida bercucuran bila melihat keadaan suaminya yang nazak dan terkial-kial untuk mengucap..Ya,Allah permudahkanlah, doa Haida lagi. Mak cik Limah mengurut belakang Haida menenangkan hati jirannya itu. Ahli keluarga suaminya entah ke mana..mungkin cari makanan untuk dimakan sudah tengahari. Ahh! Mereka lebih pentingkan perut mereka sahaja. Abang mereka yang terbujur kaku tidak diendahkan. Emak mentuanya juga sudah hilang bersama anak-anaknya. Haidah beristifar berkali-kali dalam keadaan macam ni pun mereka buat tak tahu. Simpati sungguh Haida terhadap mereka. Semoga nasib dia tidak seburuk nasib suaminya. Ya, Allah matikanlah aku dalam Khusnul Khatimah..Haida terus berdoa lagi. Berkali-kali yasin dibaca, manzil turut dibaca. Suaminya mula gelisah, sekejap diam sekejap matanya terbeliak ke atas, sekejap matanya dipejamkan. Ada masa memandang ke kiri, ada ketika memandang ke kanan. Semakin laju airmata Haida mengalir. Dia terus memperdengarkan “ Laillahaillallah..ditelinga suaminya..mulut suaminya terkumat-kamit tidak tahu apa yang dikatakannya. Haida mengesat airmata. Dia masih terus berusaha. Akhirnya.. serentak itu kawan-kawan Mak cik Limah mengucapkan Innalillah…Haida memejamkan mata dan hanya pada Allah dia berdoa agar roh suaminya ditempatkan bersama orang-orang yang beriman. Mak cik Limah yang duduk di sebelah Haida memeluk Haida. Semoga jirannya itu bersabar dengan pemergiaan orang tersayang. “ Sabar ya Haida…” kata Mak cik Limah . Perkataan apa lagi yang mampu dilahirkan dari kata-kata sabar kepada mereka yang telah kehilangan orang tersayang. Keluarga Haida yang baru sampai mula membantu. Masing-masing mengucapkan tahziah. “ Kak..anak-anak tak balik ke? Siapa nak mandikan mayat ni? Bilal dan Pak Imam surau taman akak ni tak ada ke? Siapa nak bantu..?” Tanya adik Haida yang baru sahaja sampai dari Kedah. Haida memandang wajah adiknya yang juga merupakan seorang Ustaz lulusan Al-Azhar. “ Imam ada hal lain di luar..akak tak tahu siapa dan bagaimana nak dapatkan orang untuk mandikan mayat..?” jawab Haida . Ustaz Hadi menggelengkan kepala. Inilah akibatnya cari Pak Imam waktu kematian dan kenduri-kendara, waktu sihat tak nak jejakkan kaki ke Masjid atau surau dah meninggal mulalah sibuk ahli keluarga baru nak berurusan dengan orang Masjid dan surau. Anak-anak pula tidak dihantar mengaji Al-Quran dan belajar agama, anggap tak penting, bila ada kematian macam ni siapa pun tak tahu nak buat apa-apa. “ Hadi je lah yang bantu mana yang patut..ini tuntutan kepada kita yang masih hidup..buat je le..” kata ayah Haida yang juga baru sampai. Dari jauh kelihatan keluarga arwah suaminya menangis sambil memeluk antara satu sama lain. Haida menggelengkan kepala, kecewa dengan sikap mereka. Buat apa menangis. Untuk apa? Suka atau sedih? Haida mendengus kasar. Ustaz Hadi menggelengkan kepala. Dia tahu benar sikap arwah abang iparnya yang tidak suka mendekatikan diri dengan ilmu agama atau mahu ke masjid dan surau. “Assalamualaikum..” suara memberi salam. Semua mata memandang ke arah pintu. Haida memandang dengan mata berkaca. Seorang lelaki berjubah dan berserban melangkah masuk mendekatinya. Menghulurkan tangan bersalaman dengannya. Memeluknya erat dengan linangan airmata. “ Halim…anak emak..” kata Haida sayu. “ Ustaz Halim Al-Hafiz dan arkitek ..kak.” sampuk Hadi dengan senyuman manis dibibir. Haida memandang wajah adiknya tidak berkelip. Ustaz Hadi menganggukkan kepala. “ Habis ambil Ijazah Arkitek lima tahun di UK..Halim sambung belajar ambil Hafazan di Mesir dengan perbelanjaan sendiri mak..” jawab Halim lembut. Haida terdiam patutlah sepuluh tahun anaknya belajar di luar tidak mahu balik. Puas di pujuk balik bercuti tetap tidak mahu kerana ingin terus belajar. Ya, Allah sungguh Kau mendengar doa seorang ibu. “ Adik-adik pun balik mak..kejap lagi mereka sampai..” kata Halim. Haida terharu, airmata terus sahaja mengalir tanpa henti, gembira dia mendengarnya. Kalaulah suaminya ada pasti suaminya sendiri tidak menyangka anaknya yang sulong mampu mengambil dua jurusan sekali gus. Mak Mentuanya mendekati Halim dan memeluk cucu kesayangannya. “ Patutlah bila nenek suruh balik tak nak..rupanya belajar ilmu lain juga..” Emak mentuanya menjeling tajam ke arahnya. Dalam situasi begini pun masih nak marah, Haida cepat-cepat melarikan matanya. Tidak sanggup dia memandang wajah marah emak mentuanya itu. Adik-beradik suaminya mencebik. Biarlah, anak-anaknya tahu apa yang mereka lakukan. Inilah kehendak Allah untuk mereka. “ Maafkan Halim nek..Halim dah penuhi kehendak ayah dan menghafal Al-Quran adalah kehendak Halim sendiri, tidak salah Halim memenuhi tuntutan untuk diri sendiri kan…nanti kita sembang lagi..Urusan arwah ayah harus di segerakan. Tu adik-adikku dah sampai..” sambil menunjuk ke jalan. Mentuanya memandang dengan mata yang berkaca. Cucu-cucunya berserban dan berjubah melangkah masuk ke dalam rumah. Semakin sebak dada Haida. Anak-anaknya seramai tiga orang lagi bersalaman dan memeluk Haida erat. Mereka turut menangis kerana kehilangan orang yang mereka sayang. Haida faham perasaan mereka. Buruk-buruk pun ayah mereka juga. “ Jom..Pak Uda..” ajak Halim sambil memandang kea rah Ustaz Hadi. Jenazah dibawa keluar untuk di mandi dan dikapankan. Haida memandang sayu wajah suaminya buat kali terakhir. Ddalam hati Haida berdoa semoga roh arwah suaminya ditempatkan bersama orang-orang beriman dan Allah swt mengampunkan dosa-dosanya. Segala urusan pengkebumian suaminya Zaki berjalan lancar dibantu oleh adiknya Ustaz Hadi dan anak-anaknya . Haidah duduk bersimpuh di hadapan kubur suaminya. Minggu lepas baru sahaja batu nisan yang ditempah siap sepenuhnya. Sudah pun di pacak di perkuburan suaminya. Airmata Haida tumpah lagi. Buruk-buruk arwah tetap suaminya, orang yang hidup bersama-samanya berpuluh-puluh tahun. Ayah kepada anak-anaknya. Setiap awal bulan Haida akan datang ke perkuburan itu menziarahi kubur suaminya. Membacakan yasin biarpun setiap malam dia melakukannya. Semoga arwah suaminya tenang di sana. Semoga arwah ditempatkan bersama orang-orang beriman…amin.. “ Abang! Halim dah ada Ijazah Arkitek dan dia juga Hafiz tiga puluh juzuk, akan mula bekerja di sebuah syarikat pembinaan terkenal minggu depan. Malam kalau tak ada kerja dia akan mengajar mengaji dan beri kuliah agama dekat surau rumah kita . Dua sumber rezeki Allah beri kepadanya bang. Halil pula dah tamatkan pengajian dalam bidang Biologi dan masih sambung belajar dalam jurusan Syariah, tahun depan habis, dia boleh pilih nak kerja apa, cemerlang juga keputusannya bang, tekun anak- anak kita. Halimi pula abang suruh ambil bidang Enginering kan baru je habis minggu lepas ..malah dia sambung belajar Usuluddin di Mesir..kebetulan Halil ada di sana, mereka duduk bersama. Yang bongsu anak kesayangan abang ambil kedoktoran di Mesir, dia tukar university bang , abang tak marahkan…mereka semua rajin bang…selalu mendoakan abang, semoga abang tenang di dalam sana…..” Belajar agama sebenarnya bukan untuk dibangga-banggakan, ia satu tuntutan kepada semua umat Islam, jika orang Islam sendiri tidak memartabatkan Ilmu Allah siapalah yang akan memartabatkannya. Haida mengeluh kesal. Semua orang marah jika orang bukan Islam menghina, memaki agama Islam tetapi terang-terang orang Islam sendiri menghina Islam bila tidak yakin dengan Ilmu agama yang menjadi panduan hidup seluruh umat. Haida membersihkan kubur suaminya. Setelah membaca yasin barulah dia melangkah pulang. Pulang dengan hati yang berbunga-bunga. Pulang dengan penuh semangat kerana anak-anaknya menjadi seperti yang diinginkan. Berkat doa siang dan malam kepada Allah swt dengan hati yang ikhlas. Doa seorang ibukan tiada hijabnya di sisi Allah. Haidah menyeka airmata yang berbaki dipipi dengan lengan baju sambil lidahnya melafazkan zikir memuji kebesaran Ilahi…..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan