Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Khamis, 4 Oktober 2012

RINDU EMAK



Air mata emak mengalir lagi. Aku hanya mampu mengeluh. Emak merungut lagi. Sesekali dia mengesat airmata yang mengalir di pipi. Aku memandang ke laman rumah yang mula ditumbuhu rumput. Sejak emak marah-marah, kawasan rumah tidak terbela lagi. Kain baju hampir menggunung dibiar oleh emak. Sehingga bajuku sendiri terpaksa ku cari di dalam timbunan kain baju tersebut. “Aku dah tua! Itu sebab kau orang tak nak dekat dengan aku…tak mahu balik jumpa aku…ialah apa gunanya lagi…aku tak berguna pada kamu semua,” leter emak seorang diri. Simpati berbaur marah terdetik di hati. “ Kau pun nak jadi abang-abang kau Halim… tak hiraukan emak… tak ambil tahu sakit pening emak…penat aku melahirkan kamu berenam, alih-alih kau orang tinggalkan aku… tak mahu jenguk aku di sini…sibuk sentiasa… aku hantar kau orang belajar tinggi-tinggi bukan suruh lupakan aku…”Emak memandang ke arahku yang duduk di muka pintu. Aku mengerling ke arahnya. Aku mengeluh lagi. “ Halim… telefon abang-abang kau… suruh mereka balik segera… katakan aku sakit… sakit tenat…” perintah emak. “ Emak…!” Aku tidak bersetuju dengan tindakan emak. “ Kau pun nak menderhaka padaku… kau pun dah tak suka pada aku…” jerkah emak apabila aku membantah kehendaknya. Wajahnya berkerut seribu, urat-urat lehernya yang kendur cekang seketika, mungkin menahan marah. “ Halim tak bermaksud pun.” Aku bigkas bangun mendekati telefon . Lagi dibantah lagi tinggi suara emak nanti, desis hati kecilku. Aku mula mendail seorang demi seorang abang-abangku. Aku memberitahu mereka seperti yang diminta emak. Aku menoleh ke arah emak yang sedang menyandar di kerusi malas. Dia melemparkan senyuman padaku. Gagang telefon kuletak semua. Aku mengeluh. Aku memandang wajah emak, umur emak sudah mencecah enam puluh tiga tahun. Sejak kematian ayah dua puluh lima tahun yang lalu, emak tidak pernah berkahwin lagi. Emak menguruskan sendiri sawah peninggalan arwah ayah. Aku memandang ke arah sawah yang menghijau di hadapan rumah. Emak tidak lagi turun ke sawah. Kesihatannya tidak lagi memungkinkan dia melakukan kerja-kerja berat lagi, Sekarang ini akulah yang mengambil alih menjaga tanah pusaka itu. Kerja di sawah tidak seteruk zaman dahulu. Sekarang ini semuanya menggunakan jentera. Aku mampu melakukannya seorang diri. Aku tidaklah sepandai abang-abangku yang berjaya dalam pelajaran dan berjawatan tinggi. Biarpun begitu aku tidak pernah berasa kecewa. Bagiku Allah lebih mengetahui apa yang baik buatku. Kadangkala emak berleter juga kerana aku tidak sepandai abang-abangku. Ada masa dia mengucapkan syukur kerana aku tidak berjaya seperti abang-abangku. Aku faham maksud emak. Kalau aku sepandai mereka tentulah aku juga tidak akan mengerjakan tanah pusaka itu. Tentulah aku juga akan ke bandar, mencari pekerjaan yang tidak perlu bergelumang dengan lumpur dan bergaji lumayan. Dan sudah tentu aku tidak berada di sisi emak, menjaga sakit peningnya, mendengar leterannya. Aku tersenyum sendiri,. Aku benar-benar bersyukur ke hadrat Ilahi. “ Abang-abang kau tak sampai lagi Halim…?” jerit emak dari biliknya. Aku terkejut dari lamunan. Aku bingkas bangun dan menjenguk ke dalam bilik. “ Dah lewat malam ni mak… tidurlah… mungkin esok abang-abang akan sampai…” pujukku. Emak menjeling tajam. “ Kau ada telefon abang-abang kau ke Halim… jangan-jangan kau bohongkan emak… kau takut emak marah, kau pun kata kau telefon…” leter emak lagi. Aku menapak mendekatinya. Aku duduk di sampingnya. Wajahnya yang redup itu kutenung sedalam-dalamnya. Au memicit kakinya. Dia menepis seperti orang merajuk. “ Kenapa emak risau jika abang-abang tak balik… Halim kan ada… Apakah emak tak percaya yang Halim boleh jaga emak, lagi pun kan siang tadi Halim telefon mereka di depan emak…?” kataku. Dia memandang wajahku. Matanya berkaca. Dia mengusap lembut pipiku dan merebahkan diri di atas katil. Aku mengeluh sendiri. Aku menarik selimut dan menyelimuti tubuhnya. Tubuh yang tidak pernah kenal erti letih dan penat. Tubuh yang bertenaga dan bersemangat. Emak membanting tulang siang dan malam, tidak mengenal erti penat, tidak pernah mengeluh. Malah senyuman sentiasa terukir di bibirnya. Aku benar-benar kagum dengan emak. Seorang wanita yang benar-benar tabah, sabar dan penyayang. Tidak pernah dia menyuruh aku dan abang-abangku ke sawah membantunya. Dia hanya mahu aku dan abang-abangku belajar dan belajar. Dia ingin melihat aku dan abang-abangku berjaya dalam hidup, menjadi orang besar. Itulah cita-citanya dan cita-cita arwah ayah Aku tidak berjaya bukan kerana aku lembab, aku tidak salahkan takdir hidupku. Segala apa yang telah Allah aturkan untuk hidupku, bagiku itulah yang terbaik. “ Emak nak kamu semua berjaya…buktikan pada masyarakat… anak kampong macam kamu juga boleh berjaya… kalau benar-benar bersungguh-sungguh dan rajin berusaha… Cuma apa yang emak harapkan ialah kamu semua tidak lupakan emak… jenguklah emak selalu…” “ Along janji, Along akan balik setiap minggu, biarpun Along tinggal di Kutub Utara… Along pasti pulang menjenguk emak…” janji Along pada emak. Kulihat emak tersenyum bangga. Emak mengusap lembut rambut Along. “ Bila cuti Angah akan bawa emak jalan-jalan di kota-kota besar… bawa emak makan angin naik bot besar, pusing dunia… tentu seronok kan emak…” kata Angah sambil tersengih menampakkan gusinya yang rongak itu. Emak tersenyum dan hampir ketawa kerana terlalu gembira. “ Alang pula akan picit badan emak siang dan malam… kerana tubuh emak dah letih dan penat bekerja mencari nafkah untuk kami…” janji Alang pula. Airmata emak mula bergenang. “ Andak pula nak beli rumah besar untuk emak… ada pembantu rumah… ada taman yang indah-indah… emak hanya perlu duduk berehat…” “ Acik pun ada angan-angan juga… Acik nak beli kereta besar untuk emak… biar senang emak nak ke mana-mana…” Acik tersenym . Semua mata memandang ke arahku. “ Adik mesti tak ada janji yang nak di buat ni?” usik Alang. Aku menjeling tajam. “ Adik janji, Adik akan usahakan sawah bendang kepunyaan arwah ayah,” kataku tersengih menampakkan baris gigiku yang tidak sama itu. Abang-abangku mentertawakan janji yang aku pada emak. Itulah janjiku dan janji itu sudah pun aku tunaikan. Tetapi janji abang-abangku masih belum tertunai dan sewaktu menuturkannya mereka tidak mengerti apa yang mereka tuturkan. Begitu juga dengan aku ketika itu. Aku sendiri tidak tahu yang aku akan dapat menunaikan janjiku itu. Biarlah emak kecewa kerana aku tidak seberjaya abang-abangku namun aku berjaya menggembirakan hatinya dengan mengusahakan sawah bendang milik keluarga kami. Dan kini emak mula menuntut janji-janji abang-abangku. “ Mereka tidak sampai-sampai lagi ke Halim…?” tanya emak selepas sahaja menyelesai menunaikan solat Subuh. Aku mengeluh. Pertanyaan yang benar-benar menyakitkan hatiku. Namun aku tidak marah padannya. Sikap orang yang sedang rindu sememangnya begitu. “ Awal lagi ni mak… mungkin siang nanti sampailah abang tu…” kataku terus memujuk, sedangkan jauh di sudut hatiku kecewa dan bimbang, kecewa kerana sikap abang-abangku, bimbang jika mereka tidak juga pulang kali ini. “ Mana mereka Halim… tak balik-balik juga ni..?” tanya emak. . Matanya liar memerhati ke arah jalan tar di simpang depan rumah itu. Tertunggu-tunggu kelibat abang-abangku. Aku mengeluh. “ Halim… telefon mereka… tanya bila mereka nak balik?” perintah emak. “ Nantilah emak… Halim nak selesaikan kerja membajak ni… esok Pak Yusuf nak pinjam mesin ni…” kataku. “ Itu semua boleh ditangguh dulu Halim… abang-abang kau…! Mereka kata mereka nak balik kan…? Tapi sampai sekarang tak sampai-sampai… jangan-jangan jadi apa-apa di tengah jalan tak…?” emak mula berfikir yang bukan-bukan. “” Emak…!” Mulutku terkunci dari berkata-kata. Wajah emak penuh duka, wajah emak penuh dengan bunga-bunga rindu terhadap abang-abangku. Aku tidak sampai hati hendak memarahinya. Aku tidak sampai hati hendak mengeluarkan kata-kata kesat padanya. Dia emakku, emak yang telah melahirkan aku ke dunia ini. Tidak harus ada perasaan marah ketika melayan kerenah tuanya. “ Telefonlah mereka, Halim… tolonglah Halim…” rayu emak. Hampir sahaja gugur jantungku mendengar rayuannya. Sebak dadaku mendengar suaranya sayu merayu padaku. Aku segera meninggalkan Kubota dan berlari menaiki anak tangga. Aku mula mendail satu persatu nombor telefon bimbit abang-abangku. Emak menjadi penonton memerhatikan aku menelefon anak-anaknya yang lain. “ Along tak dapat balik… Along sibuk… emak sakit sikit je kan? Kalau agak teruk bawa saja ke hospital, kalau kami balik pun bukan kami boleh buat apa-apa… kami bukannya doktor…” kata Along padaku. Terdiam aku mendengar kata-katanya. “ Angah ada examlah… Angah ambil Ph.D, Halim kan ada… Halim sajalah tengok-tengokkan emak…” Angah segera meletakkan telefon sebelum sempat aku bercakap apa-apa. “ Anak Alang jatuh basikal… tangan dia patah… maafkan Alang ya Halim… kirim salam pada emak ya… ada masa nanti Alang baliklah, lagi pun kakak ipar kau sedang exam ni.” “Acik ada meeting penting di LA, tak boleh balik juga Halim… Halim bawa emak ke hospital ya… kalau boleh biar emak duduk di hospital swasta… Acik akan bayar bilnya nanti.” Alasan demi alasan yang diberi. Aku hanya mampu mengeluh dan kecewa. Namun kecewaku tidak sampai menusuk kalbu, tetapi emak…! Aku benar-benar bimbang. Perlahan-lahan aku mendekati emak yang kaku seribu bahasa. Air mata mula menitis satu persatu. “ Mereka dah bencikan emak, Halim… emak dah tua tak guna untuk mereka…! Emak dah tua… mereka tak sayangkan emak lagi…mereka dah ada kerja bagus,isteri cantik dan anak-anak yang comel… mereka tak perlukan emak lagi…” Emak menangis di bahuku bagaikan anak-anak kecil. Aku mengusap lembut rambutnya. “ Halim kana da mak… biarlah Halim saya yang menghilangkan perasaan rindu mak tu,” usikku. Namun tiada senyuman yang terukir di bibirnya. Wajahnya muram, sekeruh air sungai di tapak pembinaan. “ Sampai hati abang-abang kau… aku sakit pun mereka tak mahu balik juga… kalau emak tahu jadi begini, biarlah mereka tak pandai pun taka pa… macam kau.” Emak memandang wajahku. Aku melemparkan senyuman. “ Tak baik cakap macam tu mak… kata-kata marah mak adalah ‘sumpah’ bagi kami…” pujukku. Emak terus menangis. Aku tidak tahan melihat air matanya mengalir, dan aku takut hati kecilnya terguris. Kisah Al-Qomah masih terngiang-ngiang di telinga biarpun telah berbelas-belas tahun cerita itu diperdengarkan kepadanya . Kisah seorang pemuda di zaman Rasulullah saw yang terlalu menyintai isterinya sehingga melupakan ibunya dan menyebabkan ibunya murka dan akibat kejadian itu Al-Qomah tidak boleh mengucap ketika nazaknya. Na’uzubillah… aku beristighfar berkali-kali. Minta dijauhi Allah hendaknya. “ Halim, pergilah tidur… emak pun dah mengantuk sangat ni.” Kata emak padaku setelah agak lama dia berbaring di ribaanku. Aku melemparkan senyuman. Aku membetulkan tempat tidurnya. Kuselimutkan seluruh tubuh badannya. Kubelai rambutnya dan kucium pipinya. “ Assalamualaikum mak… selamat malam… tidur lena ya mak…” kataku padanya sebelum melangkah keluar. “ Halim… mak bangga mempunyai anak sepertimu… terima kasih sayang… mak takkan minta apa-apa lagi daripada Halim… Halim anak emak yang baik… Malam ini dapatlah emak tidur nyenyak senyenyak-nyenyaknya…” kata emak sambil tersenyum. Aku turut tersenyum, riang melihat perubahan dirinya. Dan aku harap esok emak tidak akan berkelakuan seperti siang tadi dan emak tidak bertanyakan tentang abang-abangku lagi. Bagiku, abang-abangku bukan anak durhaka, bukan mereka tak sayangkan emak lagi, Cuma masa yang ada terlalu singkat buat mereka. Kesibukan mereka mengatasi segala-galanya. Biarlah mereka fikir sendiri akan tanggungjawab mereka pada emak, mereka bukan budak-budak yang baru belajar, mereka ada akal diberi Tuhan. Aku mengeluh. Aku bingkas bangun apabila terdengar kokokan ayam di reban,. Aku beristighfar, ingatkan sudah terlepas Subuh, rupanya masih awal. Aku bingkas bangun. Jam di dinding menunjukkan pukul 5.30 pagi. Biasanya waktu begini bilik emak sudah terang –benderang. Emak seorang yang rajin melakukan ibadat sunat. Rajin bangun malam. Aku kagum dengannya. Orang muda sepertiku tidak sekuatnya untuk berjaga malam, bertahajud dan berwirid pada Ilahi. Itulah kelebihan emak. Aku mematikan Kubota di tepi sawah. Aku mengesat peluh jantan di dahi dan di leherku. Aku mengeluh, melepaskan lelah. Sekumpulan lembu sedang meragut rumput di tepi sawahku. Lembu dan kerbau tidak perlu bekerja di sawah lagi. Ia sudah diganti dengan alatan moden, jentera moden. Kerja membajak serelung sawah tidak perlu berhari-hari, sejam sahaja sudah mampu membajak serelung sawah. Emak sedang menganyam tikar di hujung denai. Aku menggelengkan kepala. Emak tidak pernah duduk diam, ada sahaja kerja yang hendak dibuat. Emak tidak pandai buang masa, mungkin kerana sudah terbiasa. Perlahan-lahan aku berjalan mendekatinya. Kasut but tinggi penuh dengan lumpur aku buka dan letak di tepi perigi. Emak memandang ke arahku. Aku melemparkan senyuman. Dia membalas dengan senyuman namun matanya berkaca. Wajahku yang manis awal tadi mula berkerut seribu. Emak memandang jauh ke arah jalan besar. Terjengah-jengah, tercari-cari. Aku mengeluh dalam hati. Wajahnya begitu cengkung sekali. Aku mengamati wajah tua itu. Matanya bersinar, berkaca dan akhirnya titisan air mata menitis di pipinya. Aku mengenggam bahunya. Dia memegang tanganku. Dia tersenyum semula, jarinya dengan pantas mengesat air mata yang masih berbaki di pipi. Ya, Allah! Detik hati kecilku. Rindu emak tak kunjung padam, resah emak tak kunjung hilang. Aku kesal sendiri. Sukar untuk aku mentafsirkan hati saudara-saudaraku sendiri. Begitu juga hati emak. Namun yang pasti rindu emak semakin menebal, menjadi pekung di dada, Hanya kepulangan abang-abangku sahaja yang dapat mengubat sakit rindunya itu Emak bukan inginkan rumah besar, emak bukan impikan kereta besar, emak bukan dambakan intan emas berkilauan. Apa yang emak mahu hanyalah melihat anak-anak emak, cucu-cucu emak, menantu-menantu emak. Aku mengeluh sendiri. …Emak, bersabarlah menunggu kepulangan anak-anakmu… detik hati kecilku sambil memeluk bahunya. Matanya tetap terpaku di jalan raya. Menunggu dan menanti, itulah yang pasti.

Oleh Asmah Hashim Cerpen lama yang tersiar di Majalah Wanita keluaran Utusan Oktober 2001

1 ulasan:

  1. Anak anak yg lupa pada mak bapak akan dapat balasan sama macam dia buat pada emaknye....

    BalasPadam