Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Selasa, 2 Oktober 2012

AKU TURUT BAHAGIA BAB 16- 25




BAB 16
            SYIFA UMAIRA memandang sepi Jubah  berwarna putih yang dihiasi manik dan labuci yang dihadiahkan oleh Ustaz Amir Hudzaifa kepadanya waktu bertunang dahulu.  Hatinya terasa berat hendak meneruskan pernikahannya itu.  Emak dan ayahnya masih di luar, sedang bersiap agaknya.  Sengaja Umaira melengah-lengahkan waktu pernikahannya. Dari selepas maghrib dia meminta agar dilangsungkan selepas Isyak .  Biarlah mereka menunggu hingga bosan. Biar mereka balik. Justeru, tidak perlulah dia bernikah.  Habis cerita.  Syifa’ Umaira mengeluh .

            “Mai…!Mai!” panggil  Haji Mansor sambil mengetuk daun pintu dengan kuat.  Syifa Umaira yang masih mengelamun terkejut.  Dia mengurut dada.

            “Hish!budak ni… kenapa tak keluar-keluar lagi ni?saya dah takut nak jawab panggilan telefon Haji Salleh, tak pasal-pasal kena jerkah nanti,”rungut Haji Mansor pada isterinya, Hajjah Halimah yang masih bertelekung.

            “Awak kenapa tak siap? Kita dah lewat ni?”Haji Mansor membuntang matanya memandang Hajjah Halimah yang masih bertelekung dan termenung.

            “Saya tak nak pergi!saya malu... malu bang!!”jerit Hajjah Halimah.  Haji Mansor mencekak pinggang.

            “Awak jangan nak cari pasal Limah, cepat bersiap!tak pergi, lagi malu, awak tahu tak!!”jerkah Haji Mansor.  Haji Mansor mengetuk  pintu bilik Syifa’ Umaira dengan kuat.

            “Syifa’ Umaira…cepat keluar, kalau tak ayah pecahkan pintu ni,”ugut Haji Mansor.  Syifa’ Umaira mengeluh kasar.  Dia melangkah mendekati pintu, daun pintu dibuka perlahan. Haji Mansor memandang wajah Syifa’ Umaira yang murung.

            “Yang kau tak  bersiap lagi kenapa?”marah Haji Mansor.  Kepalanya mula  berdenyut melihat perangai anak dan isterinya.

            “Mai  tak nak pergi!”syifa’ Umaira mula menangis. Haji Mansor tersandar di dinding rumah.  Menyinga dia memandang wajah Syifa’ Umaira, semakin lama semakin kecil sahaja dimatanya.  Kalau tak ingat Allah pasti mati anak bongsunya itu dikerjakannya.

            “Kau ingat semua ni main-main?boleh ubah ikut suka kau?hah! nak kahwin tergedik-gedik, orang nasihat kau tak nak dengar… kami cakap kau buat tak tahu, buat bodoh.  Hari ni kau cakap tak nak pergi?mana maruah diri kau Syifa’ Umaira?pernah ke kau fikir maruah kami sebagai orang tua kau?Pernah kau fikir nama baik ayah dan mak?”jerit Haji Mansor ke telinga Syifa’ Umaira. Terkedu Syifa’ Umaira.

            Tapi ayah?”

            “Tak ada tapi-tapi… segalanya sudah diatur… kau sendiri yang gatal nak bernikah ,sampai tak tahu membezakan bujang dan suami orang, kononnya cintalah, sayanglah… bila dah sampai hari bernikah, tak nak pula… baik kau bersiap sekarang!! Ayah tak nak berkompromi lagi, suka atau tidak,malam ni kau harus bernikah juga… dah cukup kau membuat perkara bodoh, ayah tak nak sama bodoh dengan kau!”jerkah Haji Mansor.  Terkulat-kulat Syifa’ Umaira memandang ayahnya yang sedang marah itu.

            “Pergi siap sekarang!!”jerit Haji Mansor apabila melihat Syifa’ Umaira masih tercegat tidak bergerak-gerak.

            “Abang ni, budak tu tak nak pergi, biarkanlah, buat apa dipaksa?”Hajjah Halimah membela Syifa’ Umaira..  Kalau boleh dia sendiri mahu majlis itu dibatalkan sahaja.

            “Awak pun sama dengan anak awak!buat keputusan tanpa berfikir… saya tidak mahu dengar apa-apa alasan lagi…pergi bersiap sekarang…saya dah tak sanggup dengar bunyi telefon tu… apa lagi tercegat tu… pergilah siap!!”habis suaranya menjerit sudah sampai tahap maximum.

Syifa’ Umaira melangkah lemah.  Hajjah Halimah menuju ke bilik dengan wajah mencuka. Syifa’ Umaira menghempas daun pintu dengan kuat tanda protes.  Haji Mansor menggelengkan kepala.  Kenapa kau buat ayah begini Syifa’ Umaira, tidakkah kau tahu ayah sayangkan kau, biarpun marah dan bagaikan tidak merestu hubungan kau dengan bakap suami yang kau pilih,namun hati seorang ayah tidak sekejam seperti yang engkau sangka, wahai anakku, detik hati kecil Haji Mansor.  Dadanya sebak.  Dia menarik nafas panjang,tidak mahu air matanya tumpah di depan anak dan isterinya.  Anak-anaknya yang lain telah pun ke masjid tempat acara pernikahan itu akan di adakan.

            Tepat jam 10.30 malam baru mereka sampai di masjid.  Haji Mansor mendekati Haji Salleh memandangnya dengan  penuh kemarahan.

            “Maaf Jie…ada masalah sikit,”kata Haji Mansor sambil bersalaman dengan Haji Salleh.  Haji Salleh menyambut dengan baik.  Kalau ikut marah, macam-macam boleh jadi.  Entah berapa ribu kali dia beristighfar menahan sabar, menahan marah.  Marah itukan hasutan syaitan.  Haji Salleh menarik tangan Haji Mansor berjumpa dengan Ustaz Amir Hudzaifa yang sedang bersolat sunat entah ke berapa kali .

            “Boleh kita mulakan terus?”tanya Haji Mansor,usai Amir Hudzaifa menghabiskan solatnya.  Amir Hudzaifa tersenyum dan mengangguk perlahan.  Haji Mansor memandang Imam Besar Masjid Sultan Azlan Syah.  Iman Besar mengangguk.  Wajah yang tegang tadi semuanya kembali ceria.  Hanya perut yang berbunyi minta diisi.  Haji Salleh mengeluh perlahan.

            Pada mulanya Ustaz Muiz Imam Besar Masjid ingin menikahkan Amir Hudzaifa tetapi Haji Mansor ingin menikahkan sendiri anak gadisnya.  Mereka sepakat dan setuju dengan cadangan itu  Dengan sekali lafaz Syifa’ Umaira sah menjadi isteri Amid Hudzaifa.  Semua tetamu dalam dua puluh orang menarik nafas lega.  Segala-galanya berjalan lancar biarpun berbagai dugaan mendatang.  Usai majlis, doa pun dibaca. Ingatkan majlis akan berakhir.  Tiba-tiba Haji Mansor bangun untuk membacakan khutbah.  Haji Salleh mengurut dada.  Perut dah berkeroncong, hari dah lewat malam masih ada hati nak baca khutbah.  Haji Salleh ingin melarang tapi ditahan oleh Amir Hudzaifa. Para tetamu mula gelisah.  Khutbah yang dibaca bagaikan dengar dan tidak sahaja.

            Haji Salleh menggelengkan kepala.  Pada siapa agaknya khutbah itu disampaikan dia sendiri tidak pasti kerana kebanyakan yang hadir terdiri daripada ustaz dan kadi yang sudah faham akan bab munakahat itu. Tiada siapa yang sudi mendengarnya apatah lagi Haji Mansor sudah mula melalut.  Kalau ikutkah hati mahu sahaja dia memberhentikan khutbah Haji Mansor.  Haji Salleh perasan para tetamu sudah mula kurang selesa lebih-lebih lagi khutbah atau ceramah Haji Mansor bagaikan menyindir Ustaz Amir Hudzaifa berkahwin lagi.  Hampir 11.30 malam baru Haji Mansor berhenti.  Haji Salleh menarik nafas lega begitu juga tetamu yang hadir.

            Amir Hudzaifa mendekati Syifa’ Umaira yang telah pun sah menjadi isterinya.  Dia mengajak Syifa’ Umaira solat sunat dua raka’at sebelum mereka turun ke dewan makan.  Syifa’ Umaira menurut sahaja.  Hatinya bercampur baur antara suka dan duka, antara gembira dan sedih.  Usai solat Syifa’ Umaira mencium tangan Amir Hudzaifa .  Amir Hudzaifa tersenyum riang.

            Di dewan makan tetamu mula menjamu selera, sambil bersembang sesama mereka.  Wajah Amir Hudzaifa manis berseri, wajah Syifa’ Umaira tidak tergambar dengan kata-kata.  Nasi Bukhari, daging masak hitam, Ayam goreng berempah, Pajeri nenas dan buah-buahan citrus dihidangkan bersama pulut kuah durian.  Berselera para tetamu menjamu selera.

            Hajjah Halimah memandang wajah anak gadisnya sayu.  Ala,hai! Anakku sayang, kau sudah bergelar isteri orang, biar berjuta kesalahan kau lakukan pada emak, tidak pernah emak menyimpan dendam padamu sayang. Jauh disudut hati seorang ibu ingin melihat kebahagianmu,emak doakan kau tabah menempuh hari mendatang.  Emak doakan jodohmu berpanjangan sehingga ke akhir hayat…berbahagialah wahai anakku dengan orang yang kau cintai dan sayangi…doa emak sentiasa bersamamu, bisik hati kecil Hajjah Halimah, setitis mutiara gugur di pipi cepat-cepat diseka agar tidak dilihat oleh sesiapa.  Nasi yang  sedap dan lauk-pauk yang enak sedikit pun tidak mengamit selera Hajjah Halimah.

            Syifa’ Umaira menarik nafas panjang, akhirnya aku menjadi milik orang yang aku cintai dan sayangi.  Entah kenapa hatiku tidak gembira?kenapa wajahku tidak ceria?bukankah ini yang aku tunggu-tunggukan?bukankah ini harapan dan impianku berkahwin dengan Ustaz Amir Hudzaifa pujaan hati?Apakah aku terpaksa dalam rela, lain macam bunyinya tapi itulah hakikatnya.  Syifa’ Umaira mendengus kasar.  Nasi sudah menjadi bubur, biarlah aku jalani juga hidup ini.  Susah, senang biarlah aku hadapi. Detik hati kecil Syifa’ Umaira.

            Amir Hudzaifa menjamah makanan dengan hati yang berbunga.  Bukankah Allah lebih mengetahui bahawa jodohnya dengan Syifa’ Umaira telah ditetapkan sejak azali lagi.  Biar badai datang melanda, biar ribut melanda, kalau dah jodohnya dengan Syifa’ Umaira tidak ke mana.  Amir Hudzaifa tersenyum bahagia.



BAB TUJUH BELAS [17]

            Amir Hudzaifa memandu sendiri kereta menuju ke Bukit merah Lake Resort. Esok akan meneruskan perjalanan ke Kedah pula , rumah Haji Salleh.  Kenduri untuk meraikan perkahwinannya akan di adakan di rumah Haji Salleh.  Segala persiapan telah dibuat oleh Haji Salleh dan keluarganya.  Bukan sempena berbulan madu atau apa, sekadar menyinggah menghilangkan penat memandu seorang diri.

            Syifa’ Umaira tidak berkata sepatah pun, membisu sepanjang perjalanan.  Kalau bercakap pun ketika Amir Hudzaifa bertanya.  Syifa’ Umaira cuba melelapkan mata, berbagai perkara bermain dibenak dan fikirannya.  Dia tidak pula bertanya ke mana suami yang baru dinikahinya itu akan membawanya.  Pesan emaknya terngiang di telinga.

            “Mai  jadi isteri orang, baik-buruk terima ajalah, hidup kena teruskan.  Mai sendiri yang memilih, emak dan ayah akan mendoakan kebahagian Mai dan keluarga baru Mai,” kata Hajjah Halimah sambil memeluk Syifa’ Umaira erat. Hanya butir mutiara mengalir di pipi mengambarkan perasaan sedih dengan perpisahan ini.  Syifa’ Umaira memeluk Hajjah Halimah erat.

            “Mai minta ampun dan maaf, emak,” tangis Syifa’ Umaira.  Hajjah Halimah mengusap lembut belakang anak bongsunya. ‘Maaf dan ampunkan Mai, Mak…detik hati kecil Syifa’ Umaira.

            Di sini meniti bahagia, di sana berendam air mata.  Ummi Khadeeja masih bertelekung.  Matanya memandang kosong seluruh isi kamar tidurnya.  Ahh! Kenapa hatiku berasa kosong, sepi dan rindu silih berganti, bukan aku tidak biasa ditinggal pergi, acap kali dia bermusafir tapi kali ini lain sekali, perginya membawa misi… misi kebahagian diri sendiri, aku ditinggal sepi menanggung rindu sendiri.  Ummi Khadeeja bermonolog dalam hati.  Dia bingkas bangun sudah terlalu lama dia duduk di atas sejadah sejak lepas maghrib sehingga hampir ke tengah malam.

            Telekung di buka dan disangkut kemas di tempat penyidai.  Sms dari suaminya berkali-kali masuk, dijawab dengan tenang memberi semangat kepada hati yang sedang gusar menunggu pengantin tidak kunjung datang.  Kenapa dan apa terjadi tidak diketahui.  Tidak putus-putus Ummi Khadeeja memanjatkan doa agar dipermudahkan segala urusan suaminya.  Biar hatiku sengsara wahai kekasih asalkan kau bahagia mengecap nikmat syurga dunia.

            “Betul ni Ija tak nak ikut?nanti boleh terus ke rumah Haji Salleh,”Pelawa Amir Hudzaifa.  Ummi Khadeeja tersenyum sini.  Ikhlaskah kau bang,ingin aku bersama-sama di hari pernikahanmu dengan perempuan lain, bisik hati kecil Ummi Khadeeja.  Wajah ceria Amir Hudzaifa jelas terpancar.  Ummi Khadeeja turut tersenyum.  Aku bahagia melihat kau bahagia, bang, hatinya masih berkata-kata.

            “Tak apalah bang, nanti tak selesa  pula bakal isteri abang lihat Ija di situ, biarlah malam inikan malam dia… Ija tunggu abang pulang di sini ya,”lembut Umi Khadeeja menuturkan kata-kata.  Amir Hudzaifa masih tersenyum manis.

            “Doakan yang terbaik untuk abang ya, sayang…”Amir Hudzaifa mencuit pipi Ummi Khadeeja.

            “Insya-Allah bang... semoga semuanya berjalan lancar.  Emak dan ayah ada telefon bertanyakan abang, mereka pun mendoakan  agar semuanya berjalan dengan baik,”

            “Insya-Allah… harap-harap begitulah hendaknya,”Beg pakaian dimasukkan ke dalam  kereta.  Ummi Khadeeja bersalaman dengan Amir Hudzaifa.  Matanya berkaca, di tahan agar tidak menangis.  Suamiku bukan pergi mana-mana, minggu depan baliklah dia, detik hati kecil Ummi Khadeeja.

Malam ini biarku isi kesepian ini dengan bersujud kepada Allah swt memohon redanya, memohon rahmat dan kasih sayangnya.  Ummi Khadeeja kembali mencapai telekongnya dan menyarungnya semula.  Sejadah dibentang menunggu untuk sujud di atasnya.

‘Ya, Allah… jangan kau uji aku dengan ujian yang tidak mampu aku hadapi, jangan kau tinggalkan aku terkapai-kapai sendiri dalam mencari  redaMu.  Jangan kau tinggalkan aku sepi sendiri, jangan kau jauhi aku lantaran kejahilan hambaMu yang hina ini.’ Amin… Ummi Khadeeja mengusap  ke dua belah tangan ke pipinya.  Dia menarik  nafas panjang dan melepaskannya perlahan.

Setitis air mata kewanitaannya jatuh ke pipi.  Sahlah kini aku di madukan.  Sahlah kini aku akan berkongsi segala-galanya dengan orang lain.  Sahlah kini suamiku sudah beristeri dua.  Ummi Khadeeja seboleh-bolehkan tidak mahu menangis.  Tetapi perasaan seorang wanita tidak mungkin berdusta, reda memang aku reda, ikhlas… telah aku cuba mengikhlaskan segalanya. Namun hati keciku tetap berduka, pergilah jauh-jauh rasa sedih ini, pergilah jauh-jauh rasa sepi ini. Hadirlah damai, hadirlah kau mententeramkan hati yang gundah gulana ini.  Ummi Khadeeja menangis sayu.  Mudah sungguh kau mengalir dan menangis wahai mata.  Jangan dipandang sakitnya hati, jangan dilihat sakitnya jiwa.  Inilah ketentuan Ilahi kepada hamba-hambanya tiada dusta, sudah tercatit sejak azali aku akan berkongsi suami.  Ummi Khadeeja mengesat air mata yang mengalir sehingga mengaburkan pandangan matanya.

‘Abang tetap sayang pada Ija, pada anak-anak… Ija tetap sebahagia dari diri abang, begitu  juga anak-anak… abang berkahwin lagi bukan  bermakna terhentinya hubungan antara kita, bukan terputusnya kasih sayang antara kita.  Abang hargai pengorbananmu sayang, akan abang kenang sehingga ke akhir hayat abang, terima kasih sekali lagi…’ itulah ayat sms dari suaminya untuk kesekian kalinya terputus apabila sahaja pengantin perempuan tiba.  Itu juga harapaku bang, kau tidak akan melupakan isteriku yang sudah meniti senja, dan anak-anak yang sedang meningkat dewasa. Ummi  Khadeeja mengeluh perlahan. Semakin difikir, semakin laju air mata mengalir.  Bukan sengaja dia mencari duka, bukan sengaja membuat sakitnya hati tetapi iya hadir sendiri ketika mengamit sepi.  Air mata tetap mengalir bagaikan air terjun tiada penghujungnya. Ummi Khadeeja bersujud lagi kepada Yang Esa.

Di Jalan yang berliku Amir Hudzaifah memandu dengan tenang, beberapa minit lagi sampailah ke destinasi.  Syifa Umaira sudah pun terlena.  Amid Hudzaifa memandang sekali imbas wajah isteri barunya dengan bantuan cahaya lampu neon di sepanjang jalan.  Memang tidak dinafikan kecantikan  Syifa; Umaira.  Memang benar kata Ummi Khadeeja, ada iras-iras wajahnya.  Siapa sangka, tuah ayam nampak di kaki tuah manusia tiada siapa yang tahu, Amir Hudzaifa tersenyum lagi.  Dia memasang radio untuk menghilangkan rasa sunyi sendiri.  Terfikir sejenak isteri yang berada nun jauh di maahad, sudah tidur agaknya,kali terakhir dia menghantar sms kepada Ummi Khadeeja sebelum pengantin perempuan tiba.  Semoga Ummi Khadeeja baik-baik saja, detik  hati kecilnya. Berkumandang di radio lagu Fantasia di Bulan nyanyian penyanyi rock tanahair terkenal Amy Search.  Amir Hudzaifa tersenyum sendiri.  Macam tahu-tahu sahaja aku ingin berbulan madu, detik hati kecilnya.  Amir Hudzaifa beristighfar, hati jangan kau lalai, bisiknya sendiri.  Amir Hudzaifa membiarkan sahaja radio terbuka sambil menikmat senikata lagu tersebut.

Demi cintaku padamu
Ke mana pun kan ku bawa
Ke hujung dunia ke bintang kejora.
Demi cintaku padamu
Ku korbankan jiwa dan raga
Biarpun harus ku telan lautan bara
Bulan madu di awan biru
Tiada yang mengganggu
Bulan madu di atas pelangi
Hanya kita berdua
Mengecap nikmat cinta
Yang putih tak terbanding
Sesuci embun pagi
Andai dipisah
Laut dan pantai
Musnahlah ilham
Hilang pedoman
Andai dipisah
Cahaya dan bulan
Gelap gelita
Punah asmara.

            Amir Hudzaifa tersenyum sendiri mendengar senikata lagu tersebut.  Bulan madu di atas pelangi  hanya kita berdua, mengecap nikmat cinta, yang putih tak terbanding, sesuci embun pagi.  Wajah Syifa’ Umaira dipandang sekali imbas dan tersenyum lagi.  Lagu nyanyian Allahyarham P. Ramlee Madu Tiga tiba-tiba muncul difikiran.    

‘Senangnya dalam hati,
kalau beristeri dua,
seperti dunia ana yang empunya
kepada isteri tua, ana sayang padamu,
Kepada isteri muda, I say I love you…

            Amir Hudzaifa tersenyum lagi.  Ya, Allah terlalu jauh fikiranku merawang, bisik hati kecilnya.  Syifa’ Umaira sesekali  mengeliat, mungkin lenguh tidur duduk begitu.  Sabarlah sayang, sebentar lagi kita sampai, bolehlah sayang tidur dengan selesa,berkata hati Amir Hudzaifa sendiri.  Akhirnya perjalanan itu sampai ke penghujungnya.  Seperti mana impian dan harapannya sampai juga ke penghujungnya.  Tersergam indah di hadapan mata bangunan Resort Bukit Merah Lake tempat dia dan Syifa’ Umaira akan berbulan madu.  Hanya dia dan Syifa’ Umaira.  Hanya mereka berdua, menikmati nikmat cinta sebagai suami isteri yang sah.  Kereta diletakkan di parking resort.  Amir Hudzaifa melangkah keluar.  Tidak sampai hati hendak mengejutkan Syifa’ Umaira.  DDia terus ke kaunter pendaftaran.  Setelah mengambil kunci bilik, Amir Hudzaifa kembali ke kereta dan mengejutkan Syifa’Umaira.

            “Syifa’ Umaira… bangun kita dah sampai,”panggilnya lembut.  Amir Hudzaifa mengusap pipi Syifa’ Umaira perlahan.  Isteri mudanya mengeliat dan membuka mata.  Dia mengonyoh matanya yang masih terasa kelam .  Amir Hudzaifa melemparkan senyuman apabila sahaja matanya bertemu mata Syifa’ Umaira.

            “Kita di mana ni?”tanya Syifa’ Umaira yang masih mamai.

            “Kita dah sampai di Resortlah… cepat keluar, dah lewat malam ni,”Amir Hudzaifa membuka boot kereta di belakang untuk mengeluarkan beg pakaiannya dan beg pakaian Syifa’ Umaira.  Enjin kereta di matikan.

Syifa’ Umaira mengikut langkah Amir Hudzaifa menuju ke bilik sewaan mereka. Dari belakang dia memerhatikan langkah lelaki pujaan hatinya ,  yang dimimpikan siang dan malam sudah berada di hadapan mata.  Syifa’ Umaira akhirnya tersenyum bahagia.  Hilanglah duka, hilanglah sengsara yang ada hanyalah senyuman bahagia, hati bernyanyi riang seketika melihat wajah tampan Amir Hudzaifa yang sudah sah menjadi miliknya.  ‘Mak… Mai  menuju bahagia, doakan kebahagian ini milik Mai jua, detik hati kecil Syifa’ Umaira sebelum melangkah masuk ke dalam ruang kamar sewaan mereka.

BAB LAPAN BELAS (18)

AMIR HUDZAIFA

            Dia memandu dengan tenang.  Dari Perak terus ke Kelantan melalui Grik.  Jalan yang mempunyai 99 selekoh tajam.  Sudah banyak kemalangan berlaku di sepanjang jalan yang bersimpang-siur itu.  Itulah jalan yang dekat bagi orang Utara yang hendak ke Pantai Timur.  Jalannya juga sudah semakin cantik walaupun hanya ada dua lorong.    Panorama sepanjang perjalanan juga cantik.  Akan melalui pecan-pekan kecil di sepanjang jalan, bukit-bukau dan tasik  Kenyir menjadi santapan mata.

            Dia menarik nafas lega.  Majlis pernikahannya berjalan lancar biar pun berlaku beberapa insiden yang  tidak disangka telah berlaku . Kelewatan rombongan pengantin perempuan waktu akad nikah membuatkan hatinya menjadi seram-sejuk.  Takut-takut tidak jadi pula.  Tidak pula dia bertanya kepada  keluarga mentuanya sebab-sebab kelambatan mereka. Biarlah dia simpan kenangan pahit itu dalam-dalam disanubarinya.  Untuk apa dia bertanya? Apakah jawapan mereka nanti akan membuatkan dia merasa puas,atau akan menambah sakit dihati.  Dia menarik nafas panjang dan melepaskannya perlahan, bagaikan melepas lelah didada.

            Waktu di Kedah, tidak henti-henti ucapan tahniah diterima dari rakan-rakan yang datang meraikan majlis perkahwinannya dengan Syifa’ Umaira, malah mereka memuji-muji kecantikan Syifa’ Umaira.

            “Bertuah Ustaz… walaupun dah menjangkau 40-an masih laku lagi, dapat pula isteri anak dara dan muda lagi… cemburu saya,” kata salah seorang tetamu. Dia hanya tersenyum.  Kecantikan itu kurniaan Allah SWT.  Sudah jodohnya dengan Syifa’ Umaira t iada siapa  yang mampu menghalang.  Dia memandang sekali imbas ke arah Syifa’ Umaira di keliling tetamu muslimat.  Sungguh cantik Syifa’ Umaira mala mini, detik hati kecilnya.

            “Nak tambah cawangan ke Ustaz  Ali?kalau berani dan mampu apa salahnya,”kata seorang lagi.  Lelaki yang bernama Ali itu tersenyum.  Tetamu  yang lain ketawa.

            “Saya?tak beranilah, rasanya tak mampu nak berlaku adil,”jawab Ustaz Ali berterus-terang.  Semakin galak mereka ketawa.  Dia turut ketawa.  Bukan semua orang ditakdirkan berkahwin lebih dari satu dan juga tidak semua mampu berpoligami.

            “Hak masing-masing,siapa rasa dia mampu tak salah,”kata Amir Hudzaifa menasihati.  Dia sendiri bukan suka-suka untuk berpoligami ada matlamat dan tujuan dan semoga tujuannya itu akan direalisasikan dengan jaya bersama bantuan kedua orang isterinya nanti.  Untuk menambah zuriat juga matlamatnya.  Dia tidak memberitahu Ummi Khadeeja matlamat keduanya itu.  Dia tidak mahu isterinya itu berkecil hati lantaran tidak boleh mengandung lagi.

            Amir Hudzaifa menoleh ke arah Syifa’ Umaira yang masih lena.  Mungkin keletihan .  Biarlah dia berehat secukupnya.  Amir Hudzaifa memandu dengan tenang dan berhati-hati, masih jauh destinasi mereka.   Kenduri di rumah Syifa’ Umaira juga meriah.  Ramai tetamu diundang, jiran tetangga, sahabat handai, rakan taulan dan ahli keluarga.  Ucapan tahniah turut diterima.  Walaupun ada juga yang bercakap dibelakang, dia buat tak dengar saja.  Biarlah apa mereka nak kata dan bercerita, mereka ada  mulut itulah fungsinya.  Amir Hudzaifa mengeluh.  Semoga impian dan harapannya menjadi kenyataan dan kedua-dua isterinya boleh hidup rukun dan damai.

UMMI KHADEEJA…

            Permintaan suaminya agar dia turut bersama di majlis kenduri di rumah Syifa’ Umaira tidak mampu ditolak.  Ya, Allah berat sungguh kakinya hendak melangkah ke rumah  itu lagi.  Masih terngiang-ngiang suara Hajjah Halimah menghinakan dulu.  Perlukan dia buang jauh-jauh perasaan itu demi kerana suaminya.  Sabarlah hati,segalanya sudah berlaku dan tidak mungkin berpatah kembali.  Pahit, manis, masin, masam harus ditelan demi suami tercinta.

            Dengan ditemani Zaiton isteri Haji  Salleh, Ummi Khadeeja menjejakkan kaki sekali lagi di rumah itu. Berdebar-debar hatinya sewaktu melangkah masuk.  Semua tetamu yang hadir menoleh dan memandang ke arahnya.  Tidak mampu berkata apa-apa hanya senyuman yang terukir dibibir.  Langkah di atur berhati-hati jangan ada pincang di mata sesiapa. Ah! Sukar untuk menolak jika ada sesiapa yang membandingkan dia dan Syifa’ Umaira.  Madunya masih muda, dia sudah semakin senja.  Biarlah apa yang mereka nak kata, mulut masing-masing ada.

            “Jemput masuk… inilah madu Mai...terima kasihlah sudi datang,” kata Hajjah Halimah memperkenalkan Ummi Khadeeja  kepada tetamu yang berada di bawah khemah .Hajjah Halimah menarik tangan Ummi Khadeeja masuk ke dalam rumah.

            “Duduklah, buat macam rumah sendiri, Mai ada di dalam kejap lagi keluar…”Hajjah Halimah menghilangkan diri ke dapur.  Ummi Khadeeja  hanya tersenyum tidak terkata apa-apa sehinggalah Zaiton mencuit lengannya.  Mata mereka bertentangan.

            “Nak makan nanti, baca doa banyak-banyak… manalah tahu, hati orang kita tak tahu Ija, rambut je sama hitam, hati putih ke, hitam ke, kita tak nampak,”kata Zaiton sambil menyengih.  Ummi Khadeeja tersenyum.

            “Kau ni Ton, takkanlah sampai ke situ… mereka pun ada agama tau,” Ummi Khadeeja menggelengkan kepala.  Dia tidak mahu berfikir yang bukan-bukan, apa yang penting adalah kebahagian suaminya sahaja yang difikirkan ketika itu.

            Tidak sampai sepuluh minit makanan pun terhidang di hadapan mereka.  Udang masak sambal bersama petai, ayam masak merah, arca rampai dan kurma daging sedia terhidang.  Terliur Ummi Khadeeja melihat menu yang terhidang.

            “Sedap nampaknya,”kata Zaiton sambil tersenyum.  Ummi Khadeeja  turut tersenyum.

            “Jemputlah makan, jangan malu-malu,”pelawa Hajjah Halimah.  Seorang perempuan berbadan gempal datang mendekati mereka dan membantu menyendukkan nasi ke dalam pinggan.  Nasi mnyak dan nasi putih. Ummi Khadeeja lebih suka makan nasi putih sahaja.

            “Ini rupanya madu si Mai ya? Eh! Ada juga orang perempuan yang sanggup di madukan ya? Nak dapatkan payung emaslah katakana,”kata perempuan berbadan gempal itu tadi.  Terlopong mulut Ummi Khadeeja dan Zaiton mendengarnya.  Seperti satu sindiran ditelinga mereka.  Ummi Khadeeja tidak melatah, dia hanya tersenyum mendengar kata-kata perempuan itu tadi.  Dalam hati hanya Allah yang tahu.

            “Mak Long… apa yang merepek tu? Ganggu orang nak makan je,”Hajjah Halimah mendekati perempuan berbadan gempal.

            “ Ini tok long Syifa’ Umaira, Khadeeja… jangan kecil hati ya dengan cakap-cakap dia.  Dia  memang begitu, suka menyibuk,”Hajjah Halimah mengurut belakang emak saudaranya dan tersenyum sinis.  Ummi Khadeeja hanya mengangguk perlahan.  Makanan yang enak di hadapannya terasa pahit di tekak, sepahit perasaannya ketika itu.  Para tetamu yang datang pula asyik-asyik meninjau  hendak melihatnya.  Kenapalah dengan manusia ni, adakah pelik seorang isteri yang bersetuju suaminya berkahwin lagi.  Kalau dah suaminya mampu kenapa tidak? Kadang-kadang geram juga dibuatnya, mahu sahaja dia membalas kata-kata mereka, kalau tidak difikirkan maruah suaminya sudah tentu mulutnya juga lancang melawan balik.

            “Tak takut ke suami adik, diambil terus oleh cucu sedara mak  along?”tanya perempuan gempal itu lagi.  Ummi Khadeeja mengerutkan dahi, kurang selesa dengan soalan yang diberi.  Ramai mata yang mermerhati.  Tidak dijawab, nanti dikatakan sombong pula.

            “Kalau saya tidak yakin suami saya akan berlaku adil, saya tak izinkan dia bernikah lagi,”jawab Ummi Khadeeja berterus-terang.  Hajjah Halimah mengetap bibir. Wajah Ummi Khadeeja ditenung tajam.

            “Mak long ni, kacau mood orang tengah makan… kang terbantut selera,”sindir Hajjah Halimah.

            “Maafkan mak long saya ni ya Khadeeja, suka merapu,” Hajjah Halimah menarik tangan  perempuan itu masuk ke dapur. Tidak beberapa minit kemudia muncul Syifa’ Umaira dari dalam bilik.   Berjubah putih, bertudung sedondon.  Ummi Khadeeja memerhati dan mengamati.  Memang cantik madunya ini, bertuahlah kau hai suamiku, detik hati kecil Ummi Khadeeja.

            “Maaflah kak, tak perasan yang kakak dah datang, tadi sedang solat zohor,” Syifa’ Umaira bersalaman dengan Ummi Khadeeja dan Zaiton. Mereka berbual mesra. Syifa’ Umaira siap menolong mengupas kulit udang dan diletakkan isinya ke dalam pinggan Ummi Khadeeja.  Mereka saling tersenyum dan ketawa.  Terjungkit bibir tetamu-tetamu yang berada di ruang tamu itu memerhatikan gelagat kedua madu itu.  Lagi pula selera Ummi Khadeeja mati dengan kata-kata nenek saudara Syifa’ Umaira, kalau soalan itu ditanya ketika dia berseorang, tidak mengapa, ini tidak di majlis perkahwinan yang dihadiri ratusan orang.  Tentulah dirinya menjadi perhatian kerana isteri tua dan sanggup dimadukan.  Hibanya hati tidak terkata.  Sedangkan mereka juga perempuan, apakah mereka tidak faham akan perasaannya.  Ada tetamu tu tidak segan-segan mengambil gambarnya dan kata nak dijadikan kenangan seorang isteri yang mithali sanggup hidup bermadu.  Luar biasa betul poligami ni ye, Ummi Khadeeja mengeluh kasar. Syifa’ Umaira tidak berlama melayan Ummi Khadeeja apabila dipanggil oleh ayahnya untuk diperkenalkan kepada beberapa tetamu penting.

            Hampir dua jam dia menahan rasa, umpatan dan sindiran diterima dengan berlapang dada, wajahnya bersahaja sedangkan hatinya menangis sayu, hiba dan kecewa.  Apatah lagi renungan Hajjah Halimah yang menyinga memandangnya.  Kalau tak kerana suami tercinta, tidakkan ku sudi melangkah ke mari.  Air jernih bagaikan ingin mengalir keluar di juring matanya.  Cuba ditahan agar manik mutiara itu tidak mengalir, nanti apa pula kata tetamu yang ada, isteri tua menahan duka.

            Di luar, Syifa’ Umaira dan Amir Hudzaifa bersalaman dengan tetamu yang ada.  Ummi Khadeeja memerhatikan sahaja dari dalam rumah.  Untuk turut serta mungkin tidak, bukan majlisnya.  Zaiton mencuit bahu Ummi Khadeeja.

            “Kita nak duduk kat sini sampai pukul berapa?Ija selesa ke? saya tak selesai dah ni?”Zaiton dah macam cacing kepanasan.  Sindir-menyindir, usik mengusik jelas di telinga.  Apakah mereka-mereka ni tak faham perasaan orang lain agaknya, detik hati kecil Zaiton.  Kalau tidak kerana majlis meraikan perkahwinan Ustaz Amir Hudzaifa sudah lama dia angkat kaki.  Sakit telinga dan sakit hati mendengarnya.

            “Ikhlas konon? Berapa lama nak ikhlas agak-agaknya, madu saya , mula-mula kahwin dengan suami saya punyalah baik, lepas sebulan dua mulakan buat perangai,” kata seorang perempuan.  Zaiton tidak berani memandang, bukan kerana takut tapi takut tak sabar perempuan tu dia ganyang.

            “Ala! Nak dapat payung emaslah konon?ingat senang ke Allah nak bagi, kalau tidak disusuli dengan ujian dan cabaran,” kata kawan yang disebelah.  Ummi Khadeeja masih menundukkan muka.

            “Banyak lagi anugerah lain dari Allah selain payung emas… kalau akak, minta maaflah nak izinkan suami akak kahwin lagi… orang lelaki kalau kita dah izin dan suruh, tentulah nak sangat,” sampuk seorang lagi teman mereka.

            “Jangan yang muda menjadi mangsa yang tua sudahlah ya,”sampuk Hajjah Halimah.  Terkedu Ummi Khadeeja dan  Zaiton mendengarnya. Dan pasti iyanya ditujukan kepada Ummi Khadeeja.

            “Kak Limah, orang lelaki boleh kahwin sampai empat, jangan ke depan suami si Mai tambah bini lagi sudahlah,”mereka terus berkata.

            “Iyalah Kak Limah, orang lelaki ni kalau dah dua selalunya nak tiga, dan akhirnya empat,”sampuk seorang lagi.

            “Cubalah  kalau dia berani madukan anak akak lagi! akak potong ‘anunya’,” lengking suara  Hajjah Halimah.  Berdesing telinga Ummi Khadeeja mendengarnya.  Tidak habis-habis lagi mereka mengutuk dan memperkatakan tentang perkahwinan suaminya. 

            “Kenapalah Mai yang cantik dan manis tu sanggup dimadukan ya, Kak Limah?” kedengaran suara seseorang bertanya. Ummi Khadeeja mengeluh kasar. Mereka masih tidak puas hati agaknya, desis hati kecil Ummi Khadeeja.

            “Kalau dah ada yang mengoda? Nak buat macam mana?”tuduh Hajjah Halimah.  Mahu sahaja Ummi Khadeeja menjawab.  Kalau tidak kerana Syifa’ Umaira menawarkan diri dan beriya-iya sanggup bermadu kerana ‘cinta’ dia sendiri tidak akan memilih gadis itu menjadi calon isteri untuk suaminya.  Apakah mereka tidak percaya dengan qada dan qadar Allah SWT dan ketentuan takdir jodoh Syifa’ Umaira dan suaminya.  Ah! Kejam sungguh kamu wahai perempuan-perempuan seperti diriku juga, bisik jauh di dalam sanubari Ummi Khadeeja.

            Hampir petang baru mereka boleh pulang dan cukup untuk membuatkan hati Ummi Khadeeja pedih telinga dan hati.  Mereka yang mengata sedikit pun tidak merasa bersalah sedangkan orang yang mereka kata ada di hadapan mereka.  Jangan haraplah  mahu meminta maaf.  Hati Ummi Khadeeja merasa cukup tersiksa bagaikan duduk dalam neraka sepanjang berada di situ.  Waktu hendak berangkat pulang Hajjah Halimah tidak bersalaman dengannya pun, hanya berpamitan begitu sahaja.  Sedih hati Ummi Khadeeja.  Kalau kalian boleh menerima suamiku sudi-sudikanlah menerima diriku juga, bisik hati kecil Ummi Khadeeja.  Perjalanan dari Perak ke Kelantan terasa jauhnya.  Ummi Khadeeja melayan perasaan dukanya sendiri.  Suaminya masih bersama Syifa’ Umaira, esok baru mereka akan berangkat pulang ke Kelantan. Zaiton dan Haji Salleh setia menemani Ummi Khadeeja.

SYIFA’ UMAIRA…

            Hampir seminggu menjadi isteri orang yang cintainya.  Dia terasa begitu bahagia.  Amir Hudzaifa melayannya persis seorang puteri, terasa dirinya dimanjai dan dilimpahi dengan kasih dan sayang.  Bertuah terasa dirinya kini dan tidak sia-sia dia berkahwin dengan lelaki yang sudah berusia dan matang seperti Amir Hudzaifa.

            Kata-kata sindiran dari sepupu sepapatnya tidak dihiraukan.  Mereka tidak akan faham situasi dirinya.  Dia menyintai Amir Hudzaifa dan jika sudah tertulis jodohnya dengan Amir Hudzaifa, mereka tidak punya hak untuk memperkatakannya.  Nenek Longnya juga marah-marah, menuduh dia sudah gila.  Syifa’ Umaira hanya mampu mendengar leteran orang tua itu.

            “Dah habis ke jantan kat dunia ni, laki orang juga kau pilih,”leter nenek long di ruang tamu.  Waktu itu Amir Hudzaifa tidak ada di rumah keluar dengan ayahnya. Terdiam Syifa’ Umaira tidak berkutik.  Pantang nenek long orang menjawab cakap-cakapnya.

            “Kau Limah… takkan tak boleh menasihati anak kau ni? Kau ingat senang hidup berkongsi?”suara nenek long berdesing kedengaran di telinganya.

            “Aku ni dah berpuluh tahun dimadukan… aku tahu pahit getirnya, siang malam aku berdoa agar tidak ada anak cucu aku yang bermadu dan dimadukan.  Alih-alih anak kau yang bermadu,sakit hati aku ni…”suara nenek long kedengaran sedih.  Di tepuk-tepuknya dada sambil mengurut perlahan. Air mata mula mengalir ditubir matanya.  Syifa’ Umaira memerhatikan saja. Kalau dipujuk dan dilayang semakin menjadi-jadi nanti syarahan yang tidak diminta itu.

            “Aku ni.. isteri tua… siang malam berendam air mata kerana tok long kau tak adil melayan aku, mentang-mentang aku dah tua, dipersia-siakan saja, asyik dengan isteri mudanya ke hulu ke hilir… hati siapa yang tidak sedih…” tangis nenek long.  Emak mengurut belakang nenek long.  Syifa’ Umaira tersenyum sendiri, baguslah kalau begitu, dia isteri muda, berumtunglah dirinya jika dilayan sebegitu.  Kalau nak merana pun isteri tua, bukan dirinya.  Syifa’ Umaira memandang sahaja emaknya memujuk nenek long yang sedang dalam kesedihan itu.

            “Sudahlah mak long, dia pun dah bernikah dengan laki orang TU , nak buat macam mana? Dah jodoh dia,”Hajjah Halimah menjeling tajam. Syifa’ Umaira  buat tak dengar.  Nenek long mengangguk lemah sambil mengesat air matanya.

            Sepanjang majlis kenduri berjalan semuanya lancar dan teratur.  Kehadiran Ummi Khadeeja juga membuatkan suaminya tersenyum panjang dan riang.  Asyik dia melayan madunya makan sehinggalah dia dipanggil keluar oleh ayahnya untuk diperkenalkan kepada kawan-kawan lama ayahnya.  Tidak sempat dia nak bermesra dan berkenalan dengan lebih rapat dengan madunya itu.  Syifa’ Umaira tersenyum lagi.  Baki malam bersama suaminya masih lagi bersisa dua hari.  Sungguh indah malam-malam dia bersama suaminya. Semoga keindahan itu terus kekal di sanubari.Hatinya turut berdebar-debar maklumlah pertama kali melangkahkan kaki di maahad kepunyaan suaminya. Malah malam nanti dia akan bertemu anak-anak suaminya. Mahukah mereka menerimanya. Syifa' Umaira mengeluh. Semoga kehadirannya disambut dan diterima dengan baik.

BAB SEMBILAN BELAS (19)

            Ummi Khadeeja terus membilang waktu dan masa, sebentar lagi suami, madu dan anak-anaknya akan sampai, mungkin dalam waktu yang sama dan mungkin juga ada yang dahulu dan terkemudian.  Hati Ummi Khadeeja berdebar-debar.  Dia sendiri tidak tahu bagaimana hendak menyampaikan berita perkahwinan suaminya kepada anak-anak.  Dapatkah mereka menerimanya, itulah yang dibimbangkan Ummi Khadeeja.

            Usai solat Ummi Khadeeja dan Zaiton mengemas rumah yang akan dihuni Syifa’ Umaira.  Zaiton melakukan kerja-kerja menyapu tapi matanya mencuri pandang segala tingkahlaku Ummi Khadeeja.  Kadang-kadang terdengar keluhan dari bibir sahabatnya itu.  Kejap-kejap mendengus kasar, macam orang susah hati. Siapa suruh cari penyakit izinkan suami kahwin lagi, detik hati kecil Zaiton.

            “Ija…rimas akak tengok kau ni tau…tangan berjalan tapi mulut asyik  berdecih… kenapa ni? Ada  masalah lagi?” Dahi Zaiton berkerut memandang wajah Ummi Khadeeja yang kusut itu.

            “Ija risaukan anak-anak Ton… Ija masih tak dapat mencari ayat yang sesuai nak sampaikan pada mereka, tentang perkahwinan baru ayah mereka tu…”Ummi Khadeeja mendengus kasar.  Dia menghempas punggungnya ke sofa dan memandang syiling.  Zaiton duduk di sebelah.

            “Sepatutnya mereka diberitahu sebelum ayah mereka kahwin…Ija dengan Ustaz Amir pandai-pandailah sampaikan pada mereka, jangan sampai mereka terkejut dan memberontak sudahlah,” giliran  Zaiton mengeluh.  Dia sendiri turut bimbang, ada seorang anak kawannya dapat tahu ayah mereka kahwin lagi terus hendak bunuh diri.  Nasib baik dapat diselamatkan jika tidak bukankah suatu perkara yang sia-sia.

            “Ija tak nak beritahu awal sebab takut menganggu pelajaran mereka pula, waktu tu mereka sedang menghadapi peperiksaan akhir… Ija tidak mahu mereka terlalu memikirkan masalah itu,”

            “Habis tu… sekarang ni kalau beritahu  mereka… Ija fikir mereka takkan akan memikirkannya?” soal Zaiton.  Ummi Khadeeja mengeluh.  Semoga ada jalan keluar yang baik untuk mereka sekeluarga.

            Hampir masuk waktu asar baru Amir Hudzaifa dan Syifa’ Umaira sampai ke Maahad Darul Hikmah.  Ummi Khadeeja dan Zaiton menyambut kepulangan dan kedatangan mereka dengan senyuman.

      “Selamat datang ke Maahad Darul Hikmah Syifa’ Umaira,”kata Ummi Khadeeja mengalu-alukan kedatangan pengantin baru dan juga madunya itu. Syifa’ Umaira tersenyum dan memeluk Ummi Khadeeja mesra.  Beg pakaian dibawa masuk ke dalam rumah Syifa’ Umaira yang hanya beberapa ela dari rumah Ummi Khadeeja.  Syifa’ Umairah melangkah masuk diikuti Amir Hudzaifa dan Ummi Khadeeja.  Zaiton terus balik ke rumah penginapannya .  Dia tidak mahu menganggu mereka bertiga berkumpul buat pertama kali.

            “Mulai hari ni…inilah rumah Mai…harap Mai suka dengan hiasannya, maaflah akak tak pandai dalam soal hias menghias ni,”kata Ummi Khadeeja merendah diri.  Syifa’ Umaira memerhati keadaan sekeliling ruang tamu itu.  Langsir berwarna biru tua berbunga kecil warna putih, bukan warna kesukaannya.  Sofa berwarna biru tua, ala, hai kontrasnya warna, semua warna yang tidak disukainya.

            “Maaflah, saya tak suka semua warna ni,” kata Syifa’ Umaira berterus-terang.  Terlopong mulut Ummi Khadeeja mendengarnya. Amir Hudzaifa berubah air mukannya. Dia memandang wajah Syifa’ Umaira yang bersahaja tidak ada rasa bersalah.

            “Ini warna kesukaan abang Amir,”kata Ummi Khadeeja.  Syifa’ Umaira menutup mulut dengan telapak tangannya dan tersenyum sinis.

            “Biru tua dan biru muda warna kesukaan ayang? Maaflah kalau Mai tak suka,”Syifa’ Umaira memaut tangan Amir Hudzaifa.  Ummi Khadeeja melarikan matanya dari melihat kemesraan pengantin baru itu.

            “Tak apalah… kalau tak suka nanti kak Ija tukarkan yang baru. Er!Mai suka warna apa? Nanti Kak Ija carikan warna kesukaan Mai,”kata Ummi Khadeeja tergagap-gagap.  Syifa’ Umaira tersengih.

            “Tak apalah kak… nanti Mai ajak abang Amir pergi beli langsir dan sofa baru, bolehkan bang,”tangannya masih dilengan Amir Hudzaifa.  Ummi Khadeeja tersenyum sinis. Banyak duit laki dia, duit laki aku juga tu, desis hati jahat Ummi Khadeeja, lintasan iblis fikirnya lagi cepat-cepat dia beristighfar.

            “Er! Anak-anak  dah balik ke? tak nampak pun mereka?”tanya Amir Hudzaifa.  Dia merengangkan tangannya dari belitan tangan Syifa’ Umaira.  Amir Hudzaifa duduk di sofa.  Sofa kesayangannya kenapa Ummi Khadeeja letak di sini, fikirnya sendiri.  Dia menepuk-nepuk sofa itu.

            “Mungkin kejap lagi sampailah tu,”jawab Ummi Khadeeja acuh tak acuh.

            “Kalau tak ada apa-apa, Ija keluar dululah, mungkin abang dan Mai penat,” Ummi Khadeeja meminta diri.  Dia melangkah sebelum sempat Amir Hudzaifa berkata apa-apa. Langkahnya terhenti apabila mendengan jeritan Syifa’ Umaira dari dalam kamar.  Amir Hudzaifa kelam-kabut melangkah masuk ke dalam bilik begitu juga Ummi Khadeeja.

            “Kenapa Mai?”tanya Amir Hudzaifa.  Syifa’ Umaira menunjuk ke arah katil.  Ummi Khadeeja memandang  ke arah yang sama, tiada apa pun di situ, begitu juga Amir Hudzaifa.

            “Tak ada apa-apa pun?”Amir Hudzaifa mengangkat bantal dan kain selimut tapi tiada apa yang dijumpai.  Mata Ummi Khadeeja juga liar mencari takut-takut ular ke, lipan ke, yang masuk ke dalam bilik itu.

            “Mai tak sukalah warna terang untuk bilik,cadar warna merah, biar betul? Teruknya cita rasa kak Ija? Tak ada kelas langsung,”kata Syifa’ Umaira kasar.  Amir Hudzaifa mengerut dahi.  Ummi Khadeeja terdiam seketika mendengar omelan Syifa’ Umaira.  Tadi ruang tamu, tak suka warna biru.  Masuk bilik pula tak suka warna merah,sedangkan semua itu suaminya yang suruh .  Ummi Khadeeja mengetap bibir apabila dikatakan tidak ada kelas dalam memilih.  Cuma itu sahaja yang ada buat masa ini, apa yang ada digunakan sebaik mungkin sebelum bertemu yang baru dan warna yang disukai Syifa' Umaira.

            “Ini untuk sementara je Mai, nanti kita beli yang lain,”kata Amir Hudzaifa memujuk.  Ummi Khadeeja mengeluh perlahan.  Dia akan suka apa yang suami dia suka, dia juga tak suka warna merah dan warna biru tapi Amir Hudzaifa suka, maka dia harus suka.  Ummi Khadeeja lemas lama-lama di situ.  Dia terus melangkah keluar sebelum sempat berpamitan.

            “Ini semua cita rasa orang tua, bang, mana sesuai dengan Mai,”kata Syifa’ Umaira lantang.  Ummi Khadeeja mencebik.  Kau kahwin dengan orang yang hampir ke usia tua, itulah citarasanya, bisik hati kecil Ummi Khadeeja.  Semakin laju dia menghayun langkah meninggalkan rumah setingkat itu.

            “Ija…!Ija…! lajunya langkah kau,” Zaiton mendekati Ummi Khadeeja yang berjalan laju bagaikan berlari.  Tercunggap-cunggap Ummi Khadeeja.  Zaiton tersengih.

            “Kau jumpa hantu ke?”usik Zaiton.  Ummi Khadeeja menampar lengan Zaiton.

            “Nak cepat buat air, nanti takut ada orang mati kehausan pula,”kata Ummi Khadeeja garang.  Zaiton ketawa. Apa pula yang terjadi di rumah setingkat tu ya, yang menyebabkan sahabatnya itu berangin , fikir Zaiton sendiri.  Zaiton mengikut langkah Ummi Khadeeja ke rumahnya.

            “Bukan ke tadi Ija dah masukkan air jus, air kotak dalam peti sejuk, buka je peti sejuk tu… bukan susah mana pun,”kata Zaiton yang tidak tahu hujung pangkal yang menyebabkan sahabatnya itu berangin satu badan.

            “Ustaz Amir Hudzaifakan minum air panas, mana minum ais Ton..”hampir sahaja dia jerkah sahabatnya itu.  Ummi Khadeeja beristighfar tidak baik dia melepaskan geramnya pada Zaiton yang tidak tahu apa-apa itu.

            “Hoi! Bini muda dia kan ada? Ija dah lupa ya?”lengking suara Zaiton. Ummi Khadeeja terduduk di sofa.  Dia hampir terlupa bahawa suaminya sudah berkahwin lagi.  Kerana sakit hati dengan kata-kata dan sindiran Syifa’ Umaira dia terlupa langsung semua itu. Zaiton mengurut belakang Ummi Khadeeja.

            “Ija hampir lupa yang Ija dah dimadukan, Ton..”sayu nada suara Ummi Khadeeja.  Zaiton mengeluh.

            “Kenapa bengkeng semacam je ni?ada apa yang tidak kena ke?”soal Zaiton.  Ummi Khadeeja mengeluh.  Kemudian mengeluh.

            “Hiasan ruang tamu dan bilik, ada  orang tak berkenan, old fesyen katanya tak mengikut peredaran zaman,”Ummi Khadeeja mula tersenyum, kemudian ketawa pula.  Zaiton mengerutkan dahi, dah mereng ke si Ija ni, detik hati kecil  Zaiton.

            “Ija ingat kot ada ular ke? binatang berbisa ke? rupanya takut tengok warna cadar, merah menyala,”pecah gelak Ummi Khadeeja.  Zaiton yang tidak faham pokok pangkal cerita hanya tersenyum.

            “Maksudnya Syifa’ Umaira tak suka dengan warna cadar merah cili tu?” Zaiton meminta kepastian.  Ummi Khadeeja mengangguk sambil ketawa.  Sekacak-kacak suaminya dalam pilihan warna memang  teruk , Ummi Khadeeja tersenyum sendiri.  Suaminya suka warna yang orang lain kurang suka seperti, merah cili , biru tua campur putih, oren atau jingga.  Hiasan dalam rumah itu Ummi Khadeeja yang memilih sendiri warna-warna untuk sofa dan langsir.  Ummi Khadeeja tidak harap suaminya memilih .  Lihat sahajalah cadangannya untuk menghias rumah keduanya.  Nasib baik Syifa’ Umaira tidak sakit jantung kalau tidak pasti pengsan.  Ruang tamu langsir warna biru muda berbunga putih, sofa warna biru tua, kalau ikutkan memanglah cantik tapi bagi mereka yang tidak menyukai warna tersebut memanglah akan pening lalat. Kononnya warna merah menyemarakkan lagi cinta pengantin baru, akhirnya ditolak mentah-mentah oleh isteri muda suaminya. Hati Ummi Khadeeja masih digeletek, masih bersisa ketawanya melihat gelagat Syifa’ Umaira dan wajah suaminya apabila isteri mudanya tidak berkenan pilihan warna yang dibuat. Nasib awaklah Amir Hudzaifa, berkata Ummi Khadeeja sendiri.

"Syfai' Umaira tak suka semuanya,"pecah gelak Ummi Khadeeja. Zaiton menggaru kepalanya yang ditutupi tudung labuh itu. Setelah puas ketawa. Ummi Khadeeja mengeluh lagi.

Ummi Khadeeja tersenyum semula. Pada mulanya Amir Hudzaifa bercadang nak mengecat ruang tamu itu dengan warna biru putih tapi Ummi Khadeeja melarang .  Ummi Khadeeja menyuruh Pak Hamid dan beberapa pelajarnya mengecat seluruh rumah itu dengan warna putih sahaja jadi kalau ada pertukaran perabut tidak mendatangkan masalah untuk mengontraskan warna perabut dan dinding nanti.  Ummi Khadeeja tersenyum lagi.  Zaiton mengeluh.  Sejak akhir-akhir ini Ummi Khadeeja terlalu banyak ketawa, kata orang, mereka yang banyak ketawa sebenarnya orang yang banyak menangis, betul ke tidak tidaklah dapat dipastikan.

BAB KE DUA PULUH [ 20 ]

            Aiman Haikal duduk bersandar dipohon rambutan di tepi sungai sambil memeluk lutut.  Air matanya diseka dengan hujung baju.  Hiba hatinya tidak terkata.  Marah, geram, benci semuanya berpaksi di hati.  Kenapa ayahnya tergamak berkahwin lagi? apa yang kurang pada mamanya.  Kenapa begitu mudah ayahnya beralih kasih.  Ah! Hati orang tua susah untuk dimengertikan.

            Masih terbayang diruang mata sewaktu dia melangkah hendak ke rumah melalui rumah setingkat yang tidak berapa jauh dari rumah mamanya, kelihatan di dalam rumah itu kelibat ayahnya sedang duduk berdua-duaan dengan seorang perempuan muda, kebetulan pintu luar  terbuka luas .  Perempuan muda itu merengek manja sambil memaut lengan ayahnya.  Mendidih hatinya melihat sandiwara di depan mata.  Siapa perempuan itu? Aiman Haikal yang sedang menjijit beg pakaiannya meninggalkan beg di tepi jalan dan melangkah ke rumah tersebut.  Terasa darah menyirap seluruh mukanya.  Geram benar dia melihat adengan berpegangan tangan sambil mencuit satu sama lain.

            “Ayah!! Ayah buat apa ni?”jerit Aiman Haikal.  Hilang rasa hormatnya pada ayahnya yang selama ini disanjung dan dihormati.  Ayahnya seorang guru agama, berilmu dan sangat tawaduk takkan bermain gila dengan perempuan lain, fikir Aiman Haikal dalam hati.  Mukanya merah padam menahan marah.  Marah dengan keadaan yang dilihat.  Marah dengan perempuan yang mengada-ngada dan tidak tahu siapa orangnya.  Marah kerana ayahnya bermain kayu tiga.

            “Aiman?” Amir Hudzaifa terkejut.  Dia menolak tangan Syifa’ Umaira dan mendekati anak sulongnya yang sedang meningkat remaja itu.  Amir Hudzaifa Cuma memeluk Aiman Haikal tapi ditolak dengan kasar.  Terkejut Amir Hudzaifa dengan tindakan Aiman Haikal.  Tidak pernah anaknya itu bersikap kasar dengannya.

“Siapa perempuan ni? Ayah main gila dengan perempuan lain ya? Mana mama? Apa semua ini ayah?”sebak dada Aiman Haikal.  Bertalu-talu soalan ditanyakan kepada ayahnya yang berdiri hampir dengannya.  Wajah lelaki yang amat dirindui itu ditenung tajam meminta jawapan dan kepastian.

  Amir Hudzaifa baru tersedar yang anaknya itu masih belum tahu akan perkahwinannya dengan Syifa’ Umaira, tentulah anaknya terkejut apabila dia berada bersama perempuan lain selain dari Ummi Khadeeja.

“Sabar Aiman… mari masuk dulu, nanti ayah kenalkan pada Aiman… mari masuk Nak ,” Amir Hudzaifa menarik tangan Aiman Haikal masuk ke dalam rumah.  Aimah Haikal masih dingin.  Matanya   bulat memandang Syifa’ Umaira dan Amir Hudzaifa silih berganti.  Dadanya berombak kencang.

“Siapa perempuan ni?”tanya Aiman Haikal tegas.  Amir Hudzaifa mengerutkan dahi.  Kurang selesa dengan suara kasar Aiman Haikal.

“Cakap elok-elok Aiman, ayah tak pernah ajar Aiman berkasar begini,”tegur Amir Hudzaifa.  Aiman Haikal menarik tangannya dari genggaman Amir Hudzaifa.

“Maafkan Aiman, tapi Aiman nak tahu siapa perempuan bersama ayah… ayah tak tahu ke berdosa duduk berdua-duaan dengan perempuan yang bukan muhrim,”Aiman Haikal mencebik.  Ayahnya tahu hukum-hakam tetapi masih sanggup melakukan kemungkaran.  Malah di kawasan maahadnya sendiri, apa kata para pelajarnya nanti, tak malukah ayah, hatinya terus berkata.  Amir Hudzaifa tersenyum dan akhirnya ketawa.  Aiman Haikal kehairanan.  Dahinya berkerut.

“Aiman… jangan melatah, lain kali tanya dulu… ini Mami Syifa’ Umaira, ibu muda Aiman, maknanya isteri muda ayah… ayah dah kahwin lagi Aiman,”Amir Hudzaifa memperkenalkan Syifa’ Umaira kepada anak sulongnya.  Syifa’ Umaira mendekati Aiman Haikal dan menghulurkan tangan.  Dahi Aiman Haikal semakin berkerut.

“Kahwin lagi?”Aiman Haikal terkejut.  Dia mengetap bibir.  Kalau ayah berkahwin lagi ini bermakna mamanya telah dimadukan.  Sebak dada Aiman Haikal.  Dia memandang wajah Amir Hudzaifa tidak berkelip, tubir matanya semakin berair.  Dadanya terasa semakin berat.  Bibirnya bergetar. Terbayang dimatanya wajah lembut mamanya.  Semakin dibayang, semakin sebak dadanya dan semakin sakit hatinya.  Amir Hudzaifa cuba meraih tangan Aiman Haikal tapi ditolak dengan kasar.  Aiman Haikal berlari keluar.  Amir Hudzaifa terkejut dengan tindakan anaknya turut melangkah keluar.

“Mama!! Mama!!” jerit Aiman Haikal kuat sehingga menarik perhatian beberapa orang pelajar  yang sedang melakukan tugasan harian mereka.  Aiman Haikal tidak terus masuk ke dalam rumah.  Dia hanya berdiri di muka pintu dan terjerit-jerit memanggil Ummi Khadeeja.

“Aiman? Kenapa ni?”Ummi Khadeeja terkejut mendengar jeritan anak sulongnya itu.  Wajah pucat Aiman Haikal ditenung.  Dia memegang pipi Aiman Haikal, diusapnya perlahan.  Air mata mula mengalir di pipi anak bujangnya itu.  Ummi Khadeeja kehairanan.

“Kenapa ni sayang?apa yang buat Aiman menangis? Adik-adik mana?”tanya Ummi Khadeeja bertubi-tubi.  Dia risau melihat keadaan anak sulongnya itu.  Belum pernah Aiman Haikal bersikap begini.

“Kenapa Ija?”tanya Zaiton pula yang muncul dari ruang tamu.  Keempat-empat mata memandang Aiman Haikal tidak  berkelip dan mengharapkan jawapan.  Semakin laju air mata Aiman Haikal mengalir tapi tiada suara yang keluar dari bibirnya yang merah mekar itu.

“Dia dah tahu pasal kita Ija… pasal perkahwinan abang,”jawab Amir Hudzaifa tiba-tiba sahaja muncul.  Ummi Khadeeja terdiam.  Dia tersenyum pahit. Di dakapnya anak sulongnya itu dengan penuh kasih dan sayang.  Hatinya turut merasa hiba.  Dia memandang ke arah Amir Hudzaifa, senyuman kelat diberi.  Amir Hudzaifa menunduk.  Syifa’ Umaira muncul dari belakang terus memeluk lengan Amir Hudzaifa.  Ummi Khadeeja tersenyum sinis, nak bermanja biarlah kena pada tempatnya, detik hati kecil Ummi Khadeeja.

“Mama! Abang Long? Kenapa ni?” Airil Hakimi dan Aidil Hakim mendekati Ummi Khadeeja.  Semakin sebak dada Ummi Khadeeja apabila melihat wajah anak-anaknya yang masih tidak tahu apa-apa itu. Amir Haikal semakin kuat tangisannya.  Semakin erat jugalah pelukan Ummi Khadeeja.  Amir Hudzaifa mendekati.  Dia cuba menarik Amir Haikal ke dalam pelukannya.  Syifa’ Umaira mencebik apabila  Amir Hudzaifa menolak tangannya.

“Abang pergilah balik dulu, biar Aiman bertenang dulu,”kata Ummi Khadeeja.  Amir Hudzaifa mengeluh.  Dia terasa serba-salah, selama ini Aiman Haikal amat rapat dengannya.  Sedih juga hatinya melihat keadaan Aiman Haikal.  Airil Hakimi dan Aidil Hakim memandang  Syifa’ Umaira tidak berkelip.

“Airil… Aidil…masuk dulu,”panggil Zaiton.  Dia sendiri terasa  hendak menangis melihat keadaan Aiman Haikal.  Ummi Khadeeja menarik tubuh Aiman Haikal masuk ke dalam rumah. Aiman Haikal masih terisak-isak.  Zaiton mengeluh.  Airil Hakimi dan Aidil Hakim memerhatikan sahaja keadaan abang mereka yang menangis macam budak kecil itu.

Airil Hakimi mencuit Aidil Hakim.  Mereka saling berpandangan.  Aidil Hakimi menjungkit bahu tanda tidak tahu sedangkan sewaktu dalam kereta bersama Haji Salleh abangnya riang bercerita tentang pelajaran dan pengajiannya .  Airil Hakimi semakin kehairanan.  Aiman Haikal tidak sabar-sabar hendak bertemu ayah dan mama sehingga tidak mahu menunggu dia dan Aidil Hakimi.  Aiman Haikal berjalan mendahului mereka.  Tapi kenapa Aiman Haikal menangis?sedangkan tadi elok sahaja keadaannya, Airil Hakimi menggaru kepala yang tidak gatal.

“Kenapa mama?kenapa mama benarkan ayah kahwin lagi?kenapa?”tanya Aiman Haikal sambil matanya memandang tepat ke mata Ummi Khadeeja.  Hiba hati seorang ibu terasa menyusuk dihati.

“Ayah kahwin lagi?”hampir serentak Airil Hakimi dan Aidil Hakim bersuara.  Ummi Khadeeja menoleh ke arah mereka.  Ya, Allah… apa harus aku cakapkan pada mereka?desis hati kecil Ummi Khadeeja. Airil Hakimi dan Aidil Hakim mendekati Ummi Khadeeja.  Pelukan Aiman Haikal direnggangkan.   Ummi Khadeeja mengelap air mata Aiman Haikal dengan tisu.

“Anak-anak mama kenapa?kenapa harus merasa hairan ayah kahwin lagi? apakah hanya ayah sahaja yang berkahwin?bukahkah ramai lagi lelaki di luar sana yang berpoligami? Ustaz Aiman juga berpoligami kan?”soal Ummi Khadeeja.  Aiman Haikal mengeluh kasar.

“Kalau lelaki-lelaki di luar sana berkahwin, itu hal mereka… mereka bukan ayah dan mama Aiman,”kata Aiman Haikal agak kasar.  Ummi Khadeeja menjegilkan mata.

“Hati-hati bila berbicara dengan mama Aiman… mama tak pernah mengajar Aiman cakap kasar begini?”lengking suara Ummi Khadeeja.  Aiman Haikal menundukkan muka.

“Maafkan Aiman…”sayu dan perlahan suara Aiman Haikal.  Sakit dihati masih bersisa. Jawapan dari mama pula bagaikan tiada kepuasan dihati.

“Sebagai anak, tiada siapa pun punya hak untuk bertanya dan mempersoalkan kenapa ayah kahwin lagi? ini  urusan orang tua… sebagai anak Aiman, Airil dan Aidil ikut sahaja dan taat akan kata-kata mama dan ayah.  Siapa  pun perempuan yang bersama ayah, kamu bertiga wajib menghormatinya seperti mana kamu menghormati mama… faham!”kata Ummi Khadeeja tegas. Terkebil-kebil mata mereka memandang Ummi Khadeeja.

“Tapi mama!”Aiman Haikal masih tidak berpuas hati dengan jawapan dari mamanya.  Bukan jawapan seperti itu yang dia inginkan dari mulut mamanya.  Dia ingin tahu kenapa  ayahnya sanggup berkahwin lagi?kenapa mama tidak menjawab pertanyaannya atau mama sendiri tidak ada jawapan untuk soalannya tadi.

Aiman Haikal mencampak ketulan  batu ke dalam air sungai yang mengalir tenang.  Dia mengeluh kasar.  Sudah dua hari dia berada di rumah dan sudah dua hari  juga dia tidak bercakap dengan ayahnya.  Hatinya menjadi sakit apabila terpandangkan wajah ayah dan ibu tirinya sedang bermesraan.  Terbayang pula wajah mamanya yang bagaikan menyimpan duka.

“Aiman,”Haji Salleh mendekati anak  sulong sahabatnya itu.  Dia melemparkan senyuman apabila sahaja Aiman Haikal menoleh ke arahnya.

“jom sarapan… dari tadi  ayah dan mama cari, kenapa duduk sorang-sorang di sini?”Haji Salleh duduk di sebelah Aiman Haikal sambil matanya turut tertacap ke arah sungai yang jernih itu.

“Aiman tak lapar pak cik,”jawab Aiman Haikal lemah dan tidak bersemangat.  Keriangan sewaktu baru sampai dari maahadnya bagaikan telah diragut dan direntap.  Tiba-tiba dia merasa menyesal balik bercuti kali ini.  Kalaulah dia tahu  ayahnya sudah berkahwin lagi pasti dia tidak akan pulang ke rumah dan pasti dia tidak akan melihat atau mendengar suara tangisan mamanya di malam hari sewaktu bertahajud.

“Jangan macam ni? Kasihan mama, penat dia masak makanan kegemaran Aiman, nasi lemak sambal ayam… jomlah! Aiman tak nak temankan pak cik? Pak cik bukan selalu datang sini kan, ni pak cik bercuti seminggu semata-mata  nak bertemu Aiman dan adik-adik, kan kita nak memancing di sini sepanjang Aiman bercuti,”Haji Salleh cuba memujuk Aiman Haikal yang masih tidak dapat menerima kehadiran Syifa’ Umaira ke dalam keluarganya dan juga isteri kepada ayahnya itu.

“Kenapa ayah kahwin lagi pak cik? Kenapa ayah tegah sakitkan hati mama? Kenapa ayah menduakan mama? Apakah ayah dah tak sayangkan mama lagi?” bertubi-tubi soalan keluar dari mulut Aiman Haikal, anak remaja yang sudah mencecah enam belas tahun, wajah saling tak tumpah seperti Amir Hudzaifa, kacak, hidung mancung. Kulit putih bersih, tinggi lampai.  Rambut Aiman Haikal juga tersisi rapi, kemas dan segak penampilannya.

“Aiman, kadang-kala jawapan yang kita harapkan dari mulut orang tua tidak seperti yang kita harapkan, macam mama cakap semalam, sebagai anak, Aiman dan adik-adik tidak punya hak untuk mempersoalkan tindakan ayah berkahwin lagi.  Dalam Islam sendiri tindakan ayah tidak salah.  Mungkin ayah berkemampuan dan bukankah berpoligami adalah salah satu sunnah Rasulullah SAW.  Aiman tidak akan faham sehinggalah Aiman cukup dewasa dan ketika itu mungkin Aiman juga akan mempunyai dua isteri, mungkin tiga atau empat,”sempat juga Haji Salleh mengusik anak remaja itu.

“Kenapa pak cik tak kahwin lagi?”tanya Aiman Haikal.  Haji Salleh ketawa.  Sempat pula budak ni bertanyakan soalan cepumas kepadanya.

“Pak cik takut mak cik Zaiton, dia garang,nanti diparangnya pak cik, siapa nak tolong,”Haji Salleh ketawa.  Terbayang wajah isterinya.  Tidak mungkin dia berkahwin lagi kerana dia sedar dari segi kemampuan harta mungkin dia mampu tapi dari segi kemampuan batin, hati dan perasaan belum tentu dia boleh berlaku adil.  Aiman  tersenyum mendengar jawapan Haji Salleh.

“Tu kan dah senyum… jomlah! Temankan pak cik makan, lepas ni kita ke bandar… semalam Aiman kata banyak barang nak beli, pak cik belanja… apa Aiman nak, Aiman bagi tahu… semuanya ditanggung beres,” Haji Salleh memeluk bahu Aiman Haikal yang sama tinggi dengannya.

“Tergamak ayah ya pak cik, kasihan mama, dua hari Aiman lihat mama menangis waktu bertahajud, hiba hati Aiman…”cerita Aiman Haikal.  Wajah riang Haji Salleh bertukar muram.  Dia mengeluh.  Isterinya ada bercerita tentang Ummi Khadeeja yang sekarang ni asyik ketawa sahaja, asalkan bercakap sahaja pasti ketawa sedangkan perkataan yang keluar atau ayat yang dituturkan tidak kelakar  pun.  Apakah hati wanita itu sedang menderita lantaran perkahwinan suaminya.  Haji Salleh mendengus kasar.

“Tak semestinya mama menangis kerana mama sedih Aiman, ada juga orang menangis kerana dia gembira.  Mungkin mama menangis kerana mama gembira dapat bertahajud di hadapan Allah SWT tanpa gangguan dari sesiapa. Itu sebab mama menangis kerana terlalu gembira dapat berkhalwat bersama Allah,”Haji Salleh tersenyum pahit.

Aiman Haikal memandang kosong wajah Haji Salleh.  Dia tidak dapat menerima jawapan Haji Salleh.  Dia pasti hati mamanya terluka. Hati mamanya kecewa.

BAB DUA PULUH SATU [21]

BAB 21

Amir Hudzaifa mengusap mukanya dengan kedua belah telapak tangannya.  Hatinya gusar.  Dia benar-benar bimbang melihat keadaan Aiman Haikal.  Sudah dua hari anaknya pulang ke rumah tapi belum sekali pun dia berkesempatan berbual dan bermesra dengan anak sulongnya itu.  Anak-anak yang lain juga begitu dingin dengannya. Amir Hudzaifa mengeluh.  Anak-anak adalah hati dan jiwanya.  Dia bangga mempunyai tiga orang anak lelaki yang begitu taat dan patuh.  Tidak pernah berkasar apabila bercakap dengannya dan Ummi Khadeeja.  Tapi hari ini Aiman Haikal lain sekali.  Entah di mana kebiadaban itu wujud dalam diri anak bujangnya itu.  Apakah kerana kemarahan membuatkan manusia itu berubah tingkahlakukan.  Amir Hudzaifa mendengus sendiri.

Kehadiran Syifa’ Umaira yang berhias cantik tidak dapat mengubat hatinya yang sedang gundah gulana itu.  Semua lintang pukang dan tonggeng terbalik.  Lain yang diharapkan, lain pula jadinya.  Baru sahaja dia merancang untuk memberitahu tentang perkahwinannya kepada ketiga-tiga anaknya selesai solat Isyak nanti.  Semua yang berlaku adalah kesilapan dan kelalaian dirinya sendiri.  Kalaulah Aiman Haikal tidak melihat atau ternampak dia berdua-duaan dengan Syifa’ Umaira tentu sekarang ini dia masih lagi boleh berbual mesra dengan anak-anaknya.  Ah! Dia rindukan gurau senda mereka.  Dia rindukan celoteh mereka.  Terasa sunyi dihati tanpa kehadiran anak-anaknya di sisi.

“Abang!kenapa ni?Mai berhias dan berdandan cantik-cantik macam ni abang buat tak tahu je?”Syifa’ Umaira melentukkan kepala ke bahu Amir Hudzaifa yang bersandar di sofa,ingin bermanja.  Amir Hudzaifa menarik tangannya.  Dalam keadaan risau begitu, bagaimana mungkin dia dapat bermesra dengan isterinya.  Hatinya tidak tenang, fikirannya asyik teringatkan anak-anaknya.

“Boleh tak, Mai jangan ganggu abang. Abang sedang berserabut ni,”kata Amir Hudzaifa.  Malam nanti ada kuliah di kampong sebelah.  Dalam keadaan dirinya tidak tenang begini tidak mungkin dia dapat memberi ceramah dengan baik.

“Ala! Pasal anak je pun… ni tengok Mai ni lagi baik… kalau anak abang nak marah pun biarkan je lah, apa yang penting sangat… budak-budak… esok lusa eloklah tu,”Syifa’ Umaira menjeling tajam.  Dia tidak suka suaminya hilang tumpuan kepadanya.

“Awak apa tahu Mai… mereka tu kan  anak-anak abang! Mereka adalah jiwa dan hidup abang, jangan sedap mulut  nak  cakap je!” marah Amir Hudzaifa, kurang senang dengan kata-kata Syifa’ Umaira bagaikan tidak menghargai anak-anaknya.  Syifa’ Umaira mencebik.  Dia menghenyakkan tubuh ke sofa.

“Abang nak ke rumah kak Ija… tengok anak-anak,”Amir Hudzaifa bingkas bangun.  Syifa’ Umaira turut bangun.  Dia berdiri menghalang Amir Hudzaifa.

“Sekarang ni giliran Mai, mengikut perjanjian tiada siapa yang boleh kacau giliran masing-masing… abang dah lupa ke?”Syifa’ Umaira mencekak pinggang.  Amir Hudzaifa terkejut dengan tindakan isteri mudanya itu.  Amir Hudzaifa mendengus kasar.

“Abang nak tengok anak-anak abang Mai, takkan tak boleh?”lengking suara Amir Hudzaifa.

“Kalau abang langgar syarat yang abang dan kak Ija sendiri tetapkan, Mai juga boleh langgar syarat yang telah Mai persetujui!” tinggi nada suara Syifa’ Umaira mengugut Amir Hudzaifa.

“Mai… ugut abang?”jerkah Amir Hudzaifa.  Syifa’ Umaira tersenyum sinis.

“Siapa yang mulakan dulu?”soal Syifa’ Umaira.  Amir Hudzaifa memandang tepat ke mata Syifa’ Umaira.  Dia menggeleng kepala.  Ummi Khadeeja tidak pernah bercakap kasar dengannya.  Malah jauh sekali untuk membantah.  Tapi di hadapannya seorang isteri yang cantik, manis dan bergaya sanggup dan tega meninggikan suara kepadanya.

“Awak meninggikan suara pada saya Mai?saya suami awak tau?”kata Amir Hudzaifa.  Syifa’ Umaira mencebik. Dada Amir Hudzaifa berombak, menahan marah.  Isteri yang baru dikahwininya sudah pandai melawan.  Macam tak percaya pula dengan tingkahlaku yang baru sahaja Syifa’ Umaira tunjukkan.  Inikah dia isterinya yang dikahwini minggu lepas? Amir Hudzaifa menggelengkan kepala.

“Saya mempertahankan hak saya bang!bukan ada niat nak melawan abang pun,”kata Syifa’ Umaira tegas.

“Saya ada anak Mai… mereka anak-anak saya… saya perlu tenangkan mereka bukan biarka mereka terkapai-kapai begitu, awak tak faham ke?awak tak tengok keadaan anak-anak saya dua hari lepas ?apa yang ada difikiran awak ni?”marah Amir Hudzaifa.

“Esok giliran abang di sana… esok sahaja abang tengok anak-anak abang, muktamad!” kata Syifa’ Umaira tegas.  Amir Hudzaifa terdiam.  Dia memandang sahaja Syifa’ Umaira melangkah laju ke bilik.Amir Hudzaifa terduduk di sofa.  Dia mengeluh kasar.  Dia tidak percaya Syifa’ Umaira boleh bersikap kasar dengannya.  Malah tidak segan-silu bertekak dengannya.  Azan Zohor berkumandang dari surau maahad.  Amir Hudzaifa beristighfar.  Dia bingkas bangun dan mula menapak hendak ke surau.

“Jangan curi-curi nak ke sana pula?”jerit Syifa’ Umaira.  Terkejut Amir Hudzaifa.  Alahai! Isteri muda,desis hati kecil Amir Hudzaifa.  Dia melangkah keluar dan memandang  ke arah rumahnya.  Di manalah anak-anaknya dan bagaimana keadaan mereka sekarang.  Amir Hudzaifa sayu, hiba hatinya melihat keadaan Aiman Haikal sewaktu dia tinggalkan tempoh hari .  Kerana gilirannya masih bersama Syifa’ Umaira maka dia tidak boleh ke rumah Ummi Khadeeja untuk menjenguk anak-anak .  Dia sendiri yang telah menetapkan syarat tersebut.

Perangai Syifa’ Umaira  yang  lemah-lembut sebelum ini tiba-tiba menjadi kasar. Macam tak percaya pula.  Malam ini malam terakhir dia bersama Syifa’ Umaira setelah seminggu dia tinggal bersama isteri mudanya itu.  Esok, usai Subuh giliran Ummi Khadeeja pula.  Amir Hudzaifa melangkah lemah menuju ke rumah Syifa’ Umaira. Hatinya tidak riang, hatinya tidak gembira seperti dua hari lepas, ada luka bersarang didada, ada kecewa mula berjambatan dihati.

Syifa’ Umaira mencampak bantal-bantal yang berada di atas  katil.  Sakit benar hatinya.  Jeritan suara Aiman Haikal anak sulong suaminya masih terngiang-ngiang ditelinganya.  Kasar dan kurang ajar, desis hati kecil Syifa’ Umaira.  Semakin difikir semakin sakit hatinya.  Ingatkan anak-anak tirinya sudah tahu akan perkahwinannya dengan ayah mereka, rupanya belum.  Wajah bengis Aiman Haikal merenungnya membuatkan hatinya tidak tenteram. Baru hendak bermanja-manja dengan suami yang baru dikahwini diganggu gugat pula oleh anak-anak tiri.  Ah! Aku hanya kahwin dengan ayah mereka, mereka bukan sesiapa pada aku… kalau mereka nak sedih ke? kecewa ke? itu semua tidak ada kena mengena dengan aku, detik hati kecil Syifa’ Umaira.

Syifa’ Umaira melangkah ke dapur, sejak pagi tadi dia tidak menjamah apa-apa makanan.  Nasi lemak pemberian Ummi Khadeeja di dapur masih tidak diusik.  Hanya suaminya sahaja yang menjamah makanan tersebut.  Di membuka peti sejuk, ada ikan, ayam, udang dan ketam.  Sayur-sayuran beraneka jenis.  Dia mengeluh.  Selama Sembilan belas tahun dia belum pernah memasak hatta air panas.  Duduk di asrama dia hanya  membantu siang menyiang bahan-bahan mentah yang memasak adalah kawan-kawan serumah yang lain.  Mereka pun tahu dia tidak pandai memasak.

Syifa’ Umaira menggaru kepala.  Beras ada di dalam bekas, tapi bagaimana hendak menyukatnya.  Dia mengeluh lagi, berdecih lagi.  Susahnya macam ni, desis hati kecilnya.  Akhirnya dia menutup peti sejuk.  Nasi lemak berlauk sambal sotong dan telur goreng ditenung seketika.  Rezeki sudah ada di depan mata buat apa ditolak, akhirnya nasi lemak itu menjadi makanan tengaharinya.

“Mai,”panggil Amir Hudzaifa, dia memandang isteri mudanya yang sedang makan.

“Abang!” Syia’ Umaira menyengih.

“Mai tak masak ke? dah tengahari macam ni takkan makan nasi lemak je? Abang pun belum makan lagi tau?”Amir Hudzaifa mendekati meja makan.  Hanya ada baki telur goreng yang diberi oleh Ummi Khadeeja bersama nasi lemak pagi tadi.

“Hari ni malaslah bang, letih masih belum hilang lagi ni… beli je takkan tak boleh?” Syifa’ Umaira menghabiskan suapan terakhirnya.

“Semalamkan  dah beli lauk, hari ni takkan beli juga? Bahan mentah penuh dalam peti sejuk tu, masak je lah,”kata Amir Hudzaifa.  Syifa’ Umaira menyengih lagi.

“Abang tak kira, abang tak suka makan makanan di kedai… abang lebih suka Mai sendiri  yang masak, lagi pun abang teringin juga nak rasa masakan Mai… takkan nak makan lauk yang dibeli di kedai? Kalau macam tu biar abang kahwin je dengan tukang masak kedai tu… bagaimana? Boleh ke?” usik Amir Hudzaifa.  Syifa’ Umaira mencebik.

“Mai nak masak apa?mana Mai tahu memasak?”kata syifa’ Umaira tidak segan-segan lagi.  Terlopong Amir Hudzaifa mendengarnya.

“Takkanlah tak tahu langsung?”tanya Amir Hudzaifa.  Syifa’ Umaira membuat muka seposen dan menggelengkan kepala.  Amir Hudzaifa terduduk di kerusi.  Dia menggelengkan kepala.

“Nasi pun tak tahu?”tanyanya lagi.  Syifa’ Umaira menggelengkan kepalanya pula.  Amir Hudzaifa mengeluh.

“Habis tu macam mana ni?”Amir Hudzaifa menjegilkan mata.

“Abang carilah tukang masak,”kata Syifa’ Umaira.

“Kalau abang cari tukang masak, isteri abang yang cantik manis ni nak buat apa?Mai tahu tak,kata orang-orang tua, nak tawan hati suami kenalah tawan perutnya dulu,”kata Amir Hudzaifa perlahan.  Syifa’ Umaira mencebik.  Wajahnya masam mencuka.  Amir Hudzaifa melangkah ke ruang tamu.  Untung pagi tadi dia menjamah nasi lemak yang diberi oleh Ummi Khadeeja jika tidak kelaparanlah dia sampai ke petang.  Amir Hudzaifa menyandar di sofa.

“Abang… esok kita pergi beli perabut dan langsir baru ya… Mai pun bercadang nak beli televisyen, boringlah duduk sorang-sorang bila giliran abang ke rumah kak Ija,”Syifa’ Umaira mengurut belakang Amir Hudzaifa.

“Televisyen?di maahad ni tak ada sorang pun beli televisyen melainkan rumah Pak Hamid sebab ada anak-anaknya… rumah kak  Ija pun tak ada,” Amir Hudzaifa menatap wajah Syifa’ Umaira.  Apalah yang isteri mudanya ini pandai buat.  Memasak tak pandai? Apakah mengemas juga tidak tahu? Sejak pagi tadi dia tidak melihat pun isterinya mengemas rumah, asyik berdandan menghias diri, bukan tidak boleh malah itu adalah terbaik dan sememangnya seorang isteri berhias untuk suaminya tapi takkan itu sahaja yang dia tahu.

“Ala!takkan tak boleh… Mai tak kira… Mai nak juga!” kata Syifa’ Umaira merengek macam budak kecil. Amir Hudzaifa berkerut dahi melihat perangai Syifa' Umaira.

“Mai!” Amir Hudzaifa mengetap bibir.

“Muktamad, esok pagi-pagi kita pergi,”kata Syifa’ Umaira membuat keputusan.

“Esok giliran abang bersama keluarga abang yang satu lagi tu, kalau Mai nak pergi beli barang, lusa baru boleh,”Amir Hudzaifa menyengih.  Dia bingkas bangun dan masuk ke dalam bilik.  Dia merebahkan tubuhnya di atas katil.  Dia memandang syiling.  Fikirannya masih teringatkan anak-anaknya, sudah tenangkah mereka? Haji Salleh entah ke mana, bayang Ummi Khadeeja juga tidak kelihatan.  Dia pasti Ummi Khadeeja tidak akan ke mana-mana sebab selalunya kalau hendak ke bandar Ummi Khadeeja akan meminta kebenaran darinya dahulu.  Kusut fikirannya memikirkan anak-anaknya.  Esok? Esok dia akan bertemu mereka.  Tidak sabar rasanya hati menunggu hari esok.  Semoga hubungannya dengan anak-anaknya akan kembali pulih.

            Amir Hudzaifa mengusap perutnya yang mula berbunyi.  Malam ini diakan memaksa Syifa’ Umaira memasak.  Kalau dibiarkan akan menjadi-jadi pula isterinya itu.  Perempuan jenis apa jika nasi pun tidak tahu masak?Amir Hudzaifa masih memikirkan tentang perangain Syifa’ Umaira, dia mengeluh sendiri.  Mengahwini perempuan  yang hanya dikenali melalui gambar dan cakap  orang inilah jadinya, lain yang diharap lain pula yang dapat.  Malam ini ada kuliah dikampung sebelah jadi dia akan malam di sana,melepas lagilah Syifa’ Umaira untuk masak makan malamnya.

BAB Dua Puluh Dua [ Bab 22 ]

            Perkahwinan didasarkan rasa cinta dan kasih sayang, tanpa cinta dan  kasih sayang hambarlah sebuah  perkahwinan itu.  Cintanya pada Amir Hudzaifa tidak pernah berbelah bahagi, sejak kali pertama bertemu dan sejak ijab dan Kabul diangkat cinta dan kasih sayang itu tersemat kemas di hati.  Hari ini cinta dan kasih sayang itu telah diuji masih kembangkah cinta itu sekembang bunga di taman ketika menerima sirami air dan matahari, dia sendiri tidak pasti.  Ummi Khadeeja meraup  mukanya sambil mengeluh.  Keluhan lara seorang isteri yang telah dimadukan.  Sukar benar untuk menerima kenyataan kini dia diduakan.  Seminggu suaminya tiada di sisi, bergelumang dengan isteri muda tanpa gangguan .  Ah! Lelaki mudah kau mengucapkan cinta,semudah itu juga kau memungkirinya, desis hati kecilnya.

Anak-anak pula berjauh hati, rumah sepi bagaikan tanpa penghuni, sepi dan kosong, tiada lagi suara gurau senda anak-anak mengusik dan gelak ketawa.  Kenapa sukar benar anak-anak untuk menerima kehadiran ahli keluarga yang tidak pernah mereka pinta dan duga?  Bukan mereka yang tersiksa tapi dirinya.  Bukan mereka yang sengsara tetapi dirinya.  Mereka tidak perlu buat apa-apa.  Sekadar menerima  ibu muda yang cantik jelita. Ayah mereka sudah bahagia kenapa mereka ingin menambah derita dihatinya? Ummi Khadeeja mengeluh lagi.  Orang kata seseorang yang suka mengeluh adalah orang yang tidak tahu bersyukur.  Perlukah dia bersyukur lantaran dimadukan? Ummi Khadeeja tersenyum sinis pada dirinya sendiri.  Jangan disalahkan takdir kerana apa yang berlaku pasti ada hikmahnya.  Cuma hikmah itu tidak datang segera dan tidak nampak ketika dan waktu itu. Bersabar adalah perkara yang paling baik dan manis dalam mengharungi segala dugaan yang datang.

         Esok gilirannya telah tiba, setelah seminggu ditinggalkan sepi sendiri.  Inilah kehidupan berpoligami kadang-kadang merasa sendiri kerana suami mempunyai tanggungjawab di tempat lain pula.  Giliran selang sehari, enam belas tahun  kamar tidurnya tidak pernah ditinggalkan oleh suami tercinta kini semuanya sudah berubah.  Dia terpaksa berkongsi segala-galanya.  Masa dan waktu suaminya, kasih dan sayang suaminya serta perhatian suaminya.  Segala-galanya akan dibahagi sama rata, tiada kurang dan tiada lebih.  Semoga suaminya boleh berlaku adil, jangan pula sudah berbini dua ingin menambah ketiga dan keempat, jika itu terjadi mampukah dia menghadapinya lagi.  Ummi Khadeeja mengeluh lagi.

          “Aiman hendak ke mana tu?”Ummi Khadeeja memandang ke arah anak-anaknya yang baru keluar dari bilik mereka.  Bagaikan berpakat ketiga-tiganya keluar serentak.  Wajah cemberut dan tidak lagi senyuman manis dibibir mereka.

          “Nak ke asrama lelaki…”jawab Aiman Haikal sebagai anak sulong dan ketua kepada adik-adiknya.

         “Marilah berbual dengan mama.  Mama sunyilah,”Ummi Khadeeja mengamit Aiman Haikal agar mendekatinya.  Ketiga-tiga mereka saling berpandangan.

      “Aiman dan janji dengan abang Zali nak mentelaah kitab Hadis hari ini,nanti terlewat pula,”jawab Aiman Haikal bagaikan ingin menjauhkan diri.  Jangan kalian marah anak-anakku, mamamu ini tidak berdaya menolak permintaan ayahmu untuk berkahwin lagi, jangan dihukum mamamu ini lantaran kegelojohan ayahmu untuk berbini lagi, detik hati kecil Ummi Khadeeja.

       “Janganlah macam tu, sesekali pulang duduklah bersama mama, banyak perkara yang perlu kita bualkan,”Ummi Khadeeja masih memujuk. Aiman Haikal mengeluh.  Dia masih lagi menunduk memandang lantai.  Begitu juga anak tengah dan bongsunya. Seolah-olah mereka tidak mahu bertembung mata dengannya.

        “Mama, kenapa mama izinkan ayah kahwin lagi?”tanya Airil Hakimi anak keduanya.  Ummi Khadeeja mengamit Airil Hakimi agar mendekatinya.  Anak itu menurut dan duduk di sebelah Ummi Khadeeja.

        “Dalam Islam, seorang isteri harus taat akan segala suruhan dan tunjukajar suami selagi suami tidak menyuruh isterinya melakukan kemungkaran, sebagai seorang isteri, mama hanya mengikut kemahuan ayah dan menuruti segala kehendaknya.  Salahkah mama mengizinkan ayah berkahwin lagi?salahkah mama memenuhi permintaan seorang suami?”tanya Ummi Khadeeja sedangkan dia tahu Airil Hakimi tidak akan mampu menjawabnya kerana mereka masih muda dan mentah untuk memahami perjalanan hidup sebuah rumah tangga.

     “Tapi kenapa ayah kahwin lagi?apa kurangnya mama dan apa lebihnya perempuan itu?”sampuk Aidil Hakim, bila yang kecil berbicara bagaikan tidak diduga ayat yang meluncur dari mulutnya.  Ummi Khadeeja tersenyum sinis.  Kenapa ayah mereka berkahwin lagi?apa kurangnya dirinya dan apa lebihnya perempuan itu?dia mengulangi kata-kata anak bongsunya di dalam hati. Ya! Kenapa suaminya berkahwin lagi? Kerana inginkan seseorang menjaga maahad, cukup kuatkan alasan itu?Apa kurang dirinya?Dia sudah berumur dan sudah tidak mampu memberikan zuriat lagi .  Apa lebihnya perempuan itu?Perempuan itu masih muda dan boleh memberi seramai mana anak untuk suaminya.

      “Aidil, setiap lelaki yang ingin berpoligami tidak harus memberikan sebab dan kenapa mereka berkahwin lagi, sebab dan kenapa hanyalah alasan untuk menguatkan keinginan mereka, Aidil juga lelaki suatu hari nanti Aidil akan faham juga,”Lelaki memberi sebab kenapa mereka berkahwin lagi adalah hanya untuk menyedapkan hati seorang isteri yang akan dimadukan.  Alasan dibuat, sebab dicari agar keinginan dipenuhi tanpa perlu rasa bersalah pada diri sendiri lantaran menduakan isteri yang telah bertahun-tahun dikahwini.

    “Ayah kejam!”kata Airil Hakimi.  Ummi Khadeeja memeluk bahu  Airil Hakimi kejap.

    “Ayah kejam? Kenapa Airil kata macam tu?ayah bukan tinggalkan mama, ayah masih ada bersama mama, cuma perlu mengikut giliran kerana ayah sudah ada isteri lain, lagi pun lelakikan boleh berkahwin lebih dari satu?”

  “Mama tak kecewa?Mama tak sakit hati ke?”Aidil Hakim pula bertanya.  Ummi Khadeeja tersenyum .  Kecewa?tentulah kecewa, sakit hati, sudah semestinya.  Tapi sakit hati dan kecewa itu mampukah menghalang keinginan suaminya berkahwin lagi?  Biarlah dia sendiri yang menyimpan kedua-dua perasaan itu kukuh disanubari.

           “Taklah sayang, bagi mama… apa yang penting ayah berlaku adil pada kami berdua dan tidak mensia-siakan anak-anak mama ini.  Mama harap ayah tidak akan berubah, ayah tetap seperti dulu menyayangi kita sama seperti dulu.”dia berbohong.  Berbohong untuk kebaikan, berbohong untuk menyembunyikan perasaan sakit hati dan kecewanya itu.  Mata Ummi Khadeeja sempat tertacap diwajah Aiman Haikal yang masih lagi berdiri macam patung dihadapannya, hanya jarak beberapa  kaki sahaja.

           “Aiman tidak penat berdiri ke?”usik Ummi Khadeeja.  Aiman Haikal mencebik.

            “Berdosa buat muka macam tu pada mama tau,”Ummi Khadeeja menarik perhatian Aiman Haikal.

           Aiman Haikal menerpa memeluk Ummi Khadeeja dan menangis.  Ya, Allah, desis hati kecil Ummi Khadeeja.  Kenapa kau masih berduka anakku, bukan kau diduakan tapi mamamu.  Ummi Khadeeja memeluk erat tubuh sasa Aiman Haikal yang sebentar lagi akan membesar menjadi anak remaja yang kacak dan bergaya persis ayahnya, Amir Hudzaifa.

            “Maafkan Aiman kerana menyusahkan mama.”kata Aiman Haikal dalam sendunya.  Ummi Khadeeja menarik dagu Aiman Haikal agar memandangnya.

           “Anak mama tidak pernah menyusahkan mama…”mata Ummi Khadeeja mula berkaca.  Sebak dadanya melihat air mata anak sulongnya itu.  Aiman Haikal susah untuk menangis jika tidak kerana perkara yang benar-benar membuatkan dia  bersedih

          “Maafkan kami mama,”kata Airil Hakimi dan Aidil Hakim serentak.  Ummi Khadeeja melemparkan senyuman.  Air mata yang baru sahaja ingin mengalir cepat-cepat diseka dengan hujung jari.

           “Mama cuma minta satu sahaja dari anak-anak mama, terimalah kehadiran ibu syifa’Umaira dalam hidup kalian, berbaiklah dengan ayah, tentu ayah kecewa dengan sikap kalian.  Ayah sudah banyak beban dibahunya jangan ditambah bebanan itu dengan sikap  dingin kalian pada ayah.  Mama tidak mahu keadaan rumah tangga kita yang suram dan tidak harmoni seperti ini, mama ingin kita seperti dulu, riang dan ceria… bolehkan kalian buat begitu untuk mama dan ayah?” Ummi Khadeeja memandang mereka bertiga seorang demi seorang.

          “Insya-Allah ma…cuma berilah kami sedikit masa untuk menyesuaikan diri,” Aiman Haikal menatap wajah polos mamanya.  Senyuman mamanya tidak seceria dulu, seolah-olah ada perasaan luka yang tersembunyi disanubari.  Mama… detik hati kecil Aiman Haikal.  Mereka saling berpandangan dan saling tersenyum.  ‘Aiman berjanji akan membahagiakan mama dengan belajar bersungguh-sungguh dan sehingga berjaya menjadi seperti ayah, itulah cita-cita mamakan’, desis hati kecil Aiman Haikal lagi.

            “Assalamualaikum,”suara orang memberi salam membuatkan mereka serentak memandang ke arah pintu.  Salam dijawab serentak.  Terpacul dimuka pintu kelibat Zaiton.  Dia melangkah masuk sambil tersenyum.

            “Semalam kata nak ke bandar beli barang keperluan, lama tau pak aji dan mak ton tunggu kat bawah,”leter Zaiton.  Ummi Khadeeja mengerutkan dahi.  Anak-anaknya tidak beritahu pun mereka ada janji dengan Zaiton suami isteri sedangkan waktu mereka nak keluar tadi mereka kata hendak ke asrama lelaki.  Ummi Khadeeja menggelengkan kepala.  Lupa lagilah tu.

           “Ya, Allah… Aiman lupalah Mak Ton,”Aiman Haikal menepuk dahinya sendiri lantaran kelupaannya terhadap janjinya dengan Pak Haji Salleh untuk ke bandar Kota Bahru.

            “Mak Ton dah agak, mesti kalian lupa… pergi turun cepat, Pak aji dah tunggu di bawah tu,”perintah Zaiton pada anak-anak sahabatnya itu.  Mereka tersengih.  Aiman Haikal menuju ke bilik air untuk membasuh mukanya yang terdapat sisa air mata.  Zaiton memandang wajah Ummi Khadeeja setelah anak-anak itu berlalu keluar.

           “Macam mana? Dah selesai?”tanya Zaiton.  Ummi Khadeeja tersenyum.

            “Alhamdulillah,”jawab Ummi Khadeeja sepatah.  Zaiton tersenyum dan menepuk bahu sahabatnya itu.

         “Setiap yang berlaku pasti ada jalan keluar yang terbaik Ija,”

           “Yalah Ton… kau dah hampir seminggu di sini, bila nak balik Kedah?”Ummi Khadeeja menatap wajah Zaiton.

          “Ija  tak suka ke Ton berlama di sini?macam nak cepat-cepat kami balik je?”rajuk Zaiton.  Ummi Khadeeja ketawa kecil.  Dia memeluk bahu Zaiton.

            “Taklah…  Ija lagi suka, kalau boleh  nak kalian berdua tinggal  terus di maahad ni,saja tanya bukan menghalau tau… malah berterima kasih kerana masih setia di sisi Ija dikala suka dan duka,”  Ummi Khadeeja mengenggam erat jari jemari Zaiton mereka saling tersenyum.

          “Mungkin tunggu sampai budak-budak balik asrama kot, sekalian hantar mereka, bolehlah kami balik terus,” jawab Zaiton.  Ummi Khadeeja mengangguk perlahan.  Mereka suami isteri telah banyak membantu dia sekeluarga.  Sahabat yang setia dan sejati sukar dicari.  Sudah ada dihadapan mata hendaklah pandai menghargai mereka.

           “Ija tak nak ikut ke?boleh kita bawa budak-budak makan angin…jomlah, takkan Ustaz Amir tidak izinkan, dia sibuk tu melayan isteri muda dia,”ajak Zaiton.  Ummi Khadeeja tersenyum.

           “Kena minta  kebenaran abang Amir dulu… tak baikkan seorang isteri keluar tanpa izin suami,”kata Ummi Khadeeja, matanya dilepaskan keluar pintu. Bagaimana dia hendak bertanya sedangkan dia tidak boleh menelefon atau menganggu giliran madunya itu.  Ummi Khadeeja mengeluh.

          “Nak pergi ke tidak?”Zaiton mendengus.  Ummi Khadeeja serba-salah.

           “Tapi abang Amir tak tahu, Ija tak selesa keluar tanpa kebenarannya,”Ummi Khadeeja serba-salah.  Zaiton menarik tangan Ummi Khadeeja.

           “Pergi siaplah, Ustaz Amir dan beri kebenaran, Pak aji dah tanya  pada ustaz  sewaktu subuh pagi tadi,”Zaiton tersenyum manis.  Ummi Khadeeja memeluk sahabatnya itu erat.

            “Sayang Eton,”Ummi Khadeeja berlalu masuk ke dalam bilik dan bersiap sekadarnya.    Zaiton menunggu dianjung rumah.  Dia memandang ke arah rumah Syifa’ Umaira yang tingkapnya asyik tertutup walaupun hari sudah siang.  Tidak bangun lagikah?Ustaz Amir Hudzaifa  pula setahunya sudah ke kelas pengajiannya sejak selepas subuh lagi.  Zaiton mengeluh.

          “Apa dikeluhkan tu Ton?”Ummi Khadeeja menampar bahu Zaiton.  Zaiton menoleh dan tersenyum.

            “Tu…”sambil memuncungkan bibirnya ke arah rumah Syifa’ Umaira.  Ummi Khadeeja memandang ke arah rumah yang sama.

          “Kenapa?”tanya Ummi Khadeeja.  Dahinya berkerut.  Zaiton memandang jam ditangan.

            “Dah pukul 10.00 pagi, tingkap pun belum buka, tidur lagi ke?”Zaiton berjalan keluar sambil memakain sandalnya.  Ummi Khadeeja menggelengkan kepala.  Dia mengunci pintu rumah sebelum memakai sandalnya.

          “Biarkanlah dia, Ija tak nak campur, sebab bukan urusan Ija,”jawab Ummi Khadeeja.  Zaiton mengangguk perlahan. Benar, bukan urusan sahabatnya itu.  Mereka melangkah menuju ke tempat letak kereta yang  berada berhampiran surau maahad.  Anak-anak sudah melambai-lambai menyuruh mereka cepat.   Ummi Khadeeja melemparkan senyuman dan duduk di belakang bersama anak-anaknya.  Haji Salleh memandu keluar dari perkarangan maahad.

           Ummi Khadeeja memandang ke arah dewan tempat suaminya mengajar diwaktu itu.  Terpandang kelibat lelaki yang dirinduinya itu.  Ah! Dia rindukan belaian manja suaminya, rindukan gurau senda, rindukan usikan dan gelak ketawa. Ummi Khadeeja mengeluh sendiri.  Anak-anak yang duduk di sebelahnya asyik bergurau sesama mereka. Akhirnya senyuman terukir dibibirnya melihat keletah anak-anaknya.

BAB Dua puluh Tiga [bab 23]

            Syifa’ Umaira menghempas diri di atas katil.  Sarapan pagi itu dia hanya menyediakan biskut dan roti bakar sahaja.  Sejak subuh suaminya keluar , sampai sekarang  belum lagi pulang ke rumah.  Perutnya sudah mula berbunyi.  Syifa’ Umaira menyumpah-nyumpah dalam hati, kalau nak ke mana-mana bagi tahulah dulu, ini tidak, detik hati kecilnya.  Syifa’ Umaira bingkas bangun dan menjengah ke tingkap, dia memandang ke arah rumah madunya, bertutup rapat, tak ada di rumah ke?fikirnya Syifa’ Umaira sendiri. Uh! Dia mengeluh kasar.  Dia ingatkan pagi ini giliran suaminya dengan madunya itu tetapi ada sehari lagi untuk dia bersama suaminya.  Baru beberapa jam ditinggalkan dia sudah  merasa bosan,macam mana jika tinggal seharian, dua puluh empat jam.

            Mata Syifa’ Umaira meliar memandang persikataran ruang tamunya, hiasan yang membosankan.   Ditambah tinggal sendiri bertambah kebosanannya.  Kalau ada telivisyen atau laptop boleh juga dia melayan internet dan menonton.  Syifa’ Umaira mengeluh lagi.  Dia mula mengira dengan jarinya.  Hish! Dah seminggu rupanya dia berkahwin dengan suaminya, pejam celik, pejam celik,  sudah seminggu,cepat masa berlalu. Syifa’ Umaira menuju ke dapur, air milo yang dibuatnya sejak pagi tadi sudah pun sejuk.  Milo kalau dah sejuk bukannya sedap melainkan ditambah ais.  Syifa’ Umaira menyimpan mug berisi air milo itu ke dalam peti sejuk dan duduk di meja makan.  Dia memandang sepi roti bakar yang sudah sejuk dan keras, hilang selera untuk menjamahnya.  Syifa’ Umaira mengetap bibir.  Bila tak buat sarapan, suaminya bising-bising, bila dan buat tak balik pula. Biskut yang masih berbalut plastic disimpan semula ke dalam bekas.  Nasib baik tidak dibuka dari plastiknya jika tidah sudah tentu lemau dan terpaksa dibuang. Syifa’ Umaira mengemas kembali meja makan.  Hari semakin mendekati tengahari.  Syifa’ Umaira memuncungkan bibir.  Pasti kena masak untuk makan tengahari, semalam dah beli, malam tadi makan di tempat suaminya ada kuliah.  Hari ini, mahu tidak mahu kenalah dia memasak.  Tapi  masakan apa yang hendak dia masakan untuk suaminya.  Dia mana tahu lauk kegemaran suaminya, dia mana tahu apa yang suaminya suka dan tidak.  Baru seminggu kahwin tentulah banyak perkara yang belum dia tahu  tentang suaminya.  Syifa’ Umaira mendengus sendiri.

            Jam 11.00 pagi baru Amir Hudzaifa melangkah pulang ke rumah.  Sejak subuh dia belum menjamah apa-apa makanan, harap-harap Syifa’ Umaira ada menyediakan sarapan pagi ini.  Isterinya Ummi Khadeeja dan anak-anak dah keluar ke bandar bersama Haji Salleh suami isteri. Amir Hudzaifa melangkah laju, para pelajarnya sudah pun masuk ke kelas yang berikut pula.  Amir Hudzaifa memberi salam dan mengetuk pintu yang berkunci rapat.

            Syifa’ Umaira yang sedang membilik bahan-bahan mentah dan sayur-sayuran di dalam peti sejuk mengerutkan dahi.  Sayur-sayuran banyak sebab semalam madunya ada menghantar sebekas sayur-sayuran segar, mungkin ambil di kebun maahad agaknya, teka Syifa’ Umaira.  Ikan pula, semuanya ikan darat, dia kurang makan ikan-ikan tersebut.  Syifa’ Umaira mendengus lagi sehingga dia terlupa  ada orang di luar rumah.

            “Mai….Mai…!”panggil Amir Hudzaifa.  Dahi Syifa’ Umaira berkerut.  Dia menutup semula peti sejuk dan melangkah ke ruang tamu.  Keadaan pintu dan tingkap tertutup membuatkan dia tidak mendengar orang memberi salam.

            Syifa’ Umaira menguak daun pintu.  Amir Hudzaifa berdiri mencekak pinggang di muka pintu, matanya tajam memandang Syifa’ Umaira.

            “Abang, maaflah… Mai di dapur tadi itu sebab tak dengar abang beri salam,”Syifa’ Umaira memberi ruang untuk suaminya masuk ke dalam rumah.

            “Mai buat sarapan tak? Abang lapar ni… belum jamah apa-apa sejak pagi tadi,”Amir Hudzaifa  duduk disofa sambil membuka serban di kepala dan diletakkan di atas meja kopi di hadapannya.  Dia memandang semula ke arah Syifa’ Umaira yang masih lagi berdiri di muka pintu.

            “Kenapa tak buka tingkap?jangan biar tertutup je, tak masuk udara bersih ke dalam rumah,” Mata Amir Hudzaifa masih lagi memandang Syifa’ Umaira.

            “Tadi sibuk sehingga lupa nak buka,”jawab Syifa’ Umaira. Dia berjalan ke arah tingkap dan membukanya satu persatu.

            “Mai buat sarapan apa hari ni?”tanya Amir Hudzaifa lembut.  Syifa’ Umaira mengeluh.

            “Mana ada sarapan lagi? Dah pukul berapa… kalau dah tahu nak sarapan abang baliklah cepat-cepat, ini dah pukul 11.00 pagi, kalau biskut adalah,”Syifa’ Umaira melabuhkan punggungnya di sebelah Amir Hudzaifa dan tersenyum.

            “Laa… setiap hari abang akan balik bersarapan pukul 11.00 pagi sebab lepas subuh terus ada kelas, abang makan tengahari selepas zohor… makan malam sebelum maghrib, malam pula sekadar minum air tea atau kopi sahaja sebelum tidur, itu rutin makan abang setiap hari… kena simpan dalam otak Mai tu, supaya bila abang balik taklah tak ada makanan yang terhidang untuk abang jamah,”sini nada suara Amir Hudzaifa.  Syifa’ Umaira menjeling. Kurang selesa dengan nada suara Amir Hudzaifa.

            “Kenapa tak beritahu awal?baru hari ni nak bagi tahu… Mai ingatkan dah lewat-lewat macam ni tentulah abang tak ambil sarapan dah, rupanya sarapan  pagi pukul 11.00 pagi, macam tak kena je tu,”sindir Syifa’ Umaira.  Amir Hudzaifa tersengih.  Kesibukan diwaktu pagi membuatkan dia tidak sepat untuk mengambil sarapan diawal waktu.  Dia lebih mengutamakan anak-anak muridnya lantaran kesibukan mengadakan kelas di luar maahad, jadi waktu dan luang masa yang ada dia tidak mahu sia-siakan .

            “Mai tak tanya pun kan, macam mana abang nak cakap?”

            “Ni… nak makan juga ke?Mai tak masak apa-apa pun hanya ada roti bakar dan biskut je, cukup kot,”Syifa’ Umaira menatap wajah Amir Hudzaifa.  Terdiam Amir Hudzaifa.  Takkanlan roti dan biskut je,’ desis hati kecil Amir Hudzaifa.  Dia mengeluh.

            “Bolehlah… dari perut abang masuk angin,”malas Amir Hudzaifa hendak bising-bising, nanti jadi lain pula.  Dia akan memberi Syifa’ Umaira masa untuk belajar menguruskan rumah tangga, menguruskan makan minumnya,pakaiannya.  Pagi tadi pun jubah yang hendak digunakan masih tidak bergosok, akhirnya terpaksalah dia pakai jubah yang digunakan malam tadi, nasib baik tidak dimasukkan ke dalam bakul.  Amir Hudzaifa mengeluh lagi.

            “Kenapa abang mengeluh, macam tak suka je?”Syifa’ Umaira mengerutkan dahi.

            “Taklah… pergi ambilkan abang air dan biskut pun tak apalah, dah lapar sangat ni,”Amir Hudzaifa mengusap perutnya yang berbunyi sejak tadi.  Syifa’ Umaira mencebik dan bingkas bangun menuju ke dapur. Secawan kopi panas dibancuh, sepiring biskut dihidangkan bersama dibawa ke ruang tamu.

            “Biskut je? Roti bakar mana?”tanya Amir Hudzaifa sambil matanya meneliti sarapan yang terhidang.  Syifa’ Umaira mencebik, tadikan minta biskut saja tak sebut pun roti, bisik hati kecil Syifa’ Umaira.

            “Tadi abang kata biskut je, mana ada sebut roti pun?”Syifa’ Umaira mencekak pinggang. Amir Hudzaifa menggelengkan kepala, inilah padahnya berkahwin dengan anak bongsu yang tidak tahu menguruskan rumah tangga.

            “Tak apalah, jangan nak marah-marah pula,”kata Amir Hudzaifa tidak tahu memanjangkan perkara tersebut.  Dia membuka plastik yang membalut biskut dan mencicahnya ke dalam kopi panas.  Kopi pula nipis sahaja, minum sahajalah, sedap atau tidak itulah rezekinya hari itu.  Syifa’ Umaira memerhatikan sahaja suaminya menjamah biskut dan kopi yang dibuatnya tadi.  Dia menarik nafas lega kerana Amir Hudzaifa tidak marah-marah seperti semalam.

            “Untuk tengahari, Mai bercadang nak masak apa?”tanya Amir Hudzaifa.  Lima bungkus biskut habis dijamahnya.  Syifa’ Umaira menggaru kepalanya.  Dia masih belum memikirkan menu yang hendak di masaknya, lagi pun dia bukannya pandai sangat, kalau masak telur goreng dengan ikan sardine bolehlah.

            “Abang suka makan sambal, tak kira sambal apa, suka masak lemak cili api dan kari kepala ikan… kalau sayur,abang makan semua jenis sayur-sayuran, baik untuk kesihatan.  Minuman pula abang suka kopi tapi kenalah buat pekat dan kurangkan manisnya,”kata Amir Hudzaifa bercerita tentang manakan dan minuman kegemarannya.  Dia berharap Syifa’ Umaira mampu memasaknya dan jika tidak tahu belajarlah dari orang yang mengetahuinya.

            “Mai tak makan pedaslah bang… Mai suka makan sup terutama sup ayam,”sempat lagi dia bercerita tentang masakan kegemarannya pula. Syifa’ Umaira menyengih.  Amir Hudzaifa mengeluh.  Dia tidak suka makan ayam terutama sup ayam.  Nampaknya selera dia dan Syifa’ Umaira tidak sama.

            “Pergilah masak, nanti terlewatlah pula, tak makan abang tengahari nanti,”sindir Amir Hudzaifa.  Perlahan-lahan Syifa’ Umaira duduk di sebelah Amir Hudzaifa dan diurut belakang suaminya perlahan.

            “Nak masak apa? Semua dalam peti sejuk tu ikan darat je? Mai tak makan ikan daratlah bang,”renggek Syifa’ Umaira.  Amir Hudzaifa memandang wajah isteri mudanya.  Dia mendengus kasar.

            “Sama je… ikan darat ke, ikan laut ke? Tiada bezanya… tetap ikan,”kata Amir Hudzaifa tegas.

            “Tapi hanyir tau ikan darat ni,”kata Syifa’ Umaira tidak mahu kalah.

            “Ikan-ikan tu kita bela  sendiri Mai, tak ada hanyirnya, cuba dulu baru tahu,”cadang Amir Hudzaifa.  Syifa’ Umaira mencebik.

            “Mai tak pandai siang ikan, selalunya emak yang siangkan… Mai cuma tukang makan,”Syifa’ Umaira mengecilkan mata dan tersenyum.  Amir Hudzaifa menggelengkan kepala.  Dia mengeluh kasar.Syifa’ Umaira tersengih.

            Amir Hudzaifa menyiang ikan-ikan yang berada di dalam peti sejuk, membasuh dan menyimpannnya semula.  Hanya dua ekor ikan lampan dikelar dan disapu garam dan kunyit untuk digoreng dan dibuat sambal.  Syifa’ Umaira hanya duduk di kerusi memerhati.

            “Kenapa duduk je,bantulah saya potong sayur kangkung tu,”Amir Hudzaifa memuncungkan bibirnya ke arah sayur kangkung yang terletak di atas meja makan.  Syifa’ Umaira menyengih lagi.  Sakti benar hati Amir Hudzaifa melihat tingkahlaku isteri mudanya itu.  Sepatutnya waktu begini dia tidur sebelum zohor ini tidak terpaksa pula menyiang ikan dan  memasak bagi pihak isterinya yang tidak tahu menyiang ikan dan memasak masakan kegemarannya.  Kalau setakat sambal ikan bukan susah mana pun takkan tidak tahu atau malas nak mencuba.  Amir Hudzaifa mengeluh dalam hati.

            “Tengok apa yang abang buat, nanti abang tak nak ajar lagi tau,”kata Amir Hudzaifa tegas.  Dia merebus cili kering.  Di tambah tiga biji bawang besar dan blend sehingga lumat.  Ikan yang sudah digoreng garing diletak dalam pinggang.  Dia memanaskan minyak dan menumis cili blend tadi, ditambah garam dan sedikit gula. Di biar sehingga garing dan masak betul.  Setelah siap masak sambalnya dituangkan ke atas ikan tadi.  Siap untuk dimakan.  Syifa’ Umaira masih lagi menyiang sayur kangkung.  Amir Hudzaifa menggelengkan kepala.  Lambatnya buat kerja takkan menyiang sayur kangkung pun tak tahu.

            “Mai buat apa ni?nak buat bunga rampai ke?”Amir Hudzaifa memandang sayur kangkung yang diracik halus oleh Syifa’Umaira.

            “Abang tak ajar pun macam mana nak potong,”jawab Syifa’ Umaira.

            “Nasi dah masak ke?”tanya Amir Hudzaifa.  Syifa’ Umaira menggeleng perlahan.

            “Pergi masak nasi dulu, tak payah makan sayur hari ni, kobis ada saya makan kobis mentah  je le,”Amir Hudzaifa mengambil kangkung yang telah diracik halus dan dibuang ke dalam tong sampah.  Semakin dilihat semakin sakit hatinya.  Amir Hudzaifa beristighfar berkali-kali.  Dapur lintang pukang, bersepah sana sini.

            “Macam mana nak sukat airnya ni?”tanya Syifa’ Umaira.  Dahi Amir Hudzaifa berkerut seribu. Kalau dia marah, keadaan akan jadi semakin teruk, baik bersabar sahajalah selagi boleh.  Amir Hudzaifa mendekati Syifa’ Umaira.

            “Awak masak berapa sukatan ni?”tanya Amir Hudzaifa.

            “Tak kira pun main letak  je?” jawab Syifa’ Umaira macam orang bingung.

            “Ini nak makan sepuluh orang sayang oi!”jerkah Amir Hudzaifa.  Hampir penuh periuk  nasi kecil itu berisi beras yang sedang dibasuh oleh Syifa’ Umaira.

            “Abang tak cakap pun?”itulah jawapan penyelamat Syifa’ Umaira.  Amir Hudzaifa menggaru kepalanya.  Dia mengeluh kasar.  Dia menyalin beras tersebut ke dalam periuk yang lebih besar.  Beras sudah dibasuh dan basah tidak boleh disimpan melainkan dittos dan dijemur semula atau simpan ke dalam peti sejuk, itulah yang selalu dilakukan oleh Ummi Khadeeja apabila tiba-tiba menerima undangan untuk ke mana-mana majlis tanpa diduga sedangkan ketika itu dia sudah mula hendak menanak nasi.  Untung dia suka memerhatikan isteri tuanya itu melakukan kerja rumah bila waktu terluang walaupun bukan selalu.

            “Kena masak  beras tu juga ke?”tanya Syifa’ Umaira seperti orang bodoh.  Amir Hudzaifa tersenyum sinis.

            “Saya dah masak, takkan nak mengemas dapur yang berselerak ni pun Mai tak boleh buat?”sindir Amir Hudzaifa.  Dia membuka apron plastik yang dipakainya dan berlalu ke dalam bilik untuk membersihkan diri.  Sudah hampir  waktu Zohor sebentar lagi dia hendak ke surau pula.  Matanya terasa letih kerana bangun sejak pukul 4.30 pagi dia belum melelapkan mata.  Gara-gara isterinya terpaksalah dia bersengkang mata dalam kuliah nanti.

            Waktu malam nanti jawabnya nasi goreng menjadi santapannya.  Dia pasti Syifa’ Umaira mesti pandai buat nasi goreng kerana itulah menu para pelajar di luar negara atau di dalam negeri sendiri sebab mudah dan menjimatkan.  Usai mandi Amir Hudzaifa bersiap untuk ke surau.  Bajunya masih tidak bergosok.  Amir Hudzaifah sudah tak larat hendak mengeluh lagi.  Dia menghidupkan sterika dan mula menggosok jubah yang hendak  di pakai.  Kalau dia menyuruh Syifa’ Umaira pasti banyak  omelan isterinya itu nanti. Pasti dia sedang sibuk mengemas dapur yang berselerakan.

            “Abang ke surau dulu,”Amir Hudzaifa menjengok ke dapur setelah selesai memakai jubahnya dan bersiap serba ringkas, minyak wangi tidak pernah dilupakan kerana ia sebahagian dari sunnah Rasulullah SAW, Baginda SAW sangat suka dengan wangi-wangian.  Syifa’ Umaira masih lagi bertungkus-lumus mengemas dapur hanya tersengih menampakkan baris giginya yang  tersusun kemas itu

            “Abang makan tengahari lepas Zohor tau,”Amir Hudzaifa mengingatkan isteri mudanya itu akan jadual makan tengaharinya .  Dengar atau tidak, tidak pula dia memastikannya.  Amir Hudzaifa melangkah ke surau.  Dia meraup mukanya dengan kedua belah tangannya.  Para pelajar sudah pun memenuhi ruang solat .  Mereka duduk tenang, ada yang berzikir dan ada yang mengaji, masa yang ada tidak baik dibiarkan kosong.  Amir Hudzaifa sempat memandang ke arah tempat letak kereta, masih tidak kelihatan kereta Haji Salleh ini bermakna isteri dan anak-anaknya belum pulang lagi.  Biarlah mereka keluar ke bandar sekali-sekala tanpa bersama dengannya.  Mereka harus menyesuaikan diri kerana tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga sudah bertambah.  Keluarga keduanya juga perlu diberi perhatian. Bukan mudah rupanya berpoligami.  Amir Hudzaifa mengeluh sendiri.

Bab Dua Puluh empat [ Bab 24]

            Pagi-pagi lagi Ummi Khadeeja sudah menyiapkan sarapan untuk suaminya. Bee hon goreng , sambal udang bersama kopi pekat.  Walaupun masih awal namun itulah rutin hariannya sewaktu suaminya itu masih bersama-sama tanpa perlu ada giliran dengan sesiapa.  Ummi Khadeeja mengeluh.  Bila difikir dan dikenang terasa juga sakit dihati. Dia beristighfar.  Dia sudah mengizinkan dan merelakan tidak perlulah disebut atau mengungkit.  Tetapi kalau tidak diizinkan apakah suaminya tetap akan berkahwin juga, jawapan yang tiada padanya.

            Anak-anak masih di surau.  Harap-harap mereka boleh berbual dengan ayah mereka dari hati ke hati hari ini.  Esok sudah kembali giliran madunya pula dan esok juga anak-anaknya akan pulang ke asrama.  Kalau boleh dia mahu hubungan anak-anaknya dan suaminya kembali seperti dulu.  Penuh dengan gurau senda dan gelak ketawa.Dia tidak perkahwinan kedua suaminya akan membuatkan mereka semakin jauh. Apa ertinya jika perkara itu terjadi.  Kebahagian tidak akan datang sendiri.  Kebahagian perlu disemai dan dibajai setiap hari.  Bukan hanya bercakap tetapi hendaklah juga dilahirkan dengan perbuatan.  Ummi Khadeeja tersenyum puas setelah semuanya sudah siap terhidang.

            Marah tidak akan mendatangkan kebaikan kepada sesiapa, tidak pada dirinya, tidak pada anak-anaknya.  Sakit hati membuatkan diri menderita, pada dirinya juga pada anak-anaknya.  Selalu juga Ummi Khadeeja mendengar cerita tentang isteri tua yang mengamuk-ngamuk apabila suami pulang ke rumah lantaran cemburu dan sakit hati mengenangkan terpaksa berkongsi kasih dengan perempuan lain.  Kalau ikut sakit hati memanglah, setiap orang pasti akan  bertindak begitu tetapi dia tidak mahu jadi bodoh, amukan, marah, sakit hati akan membuatkan hubungan semakin rengang.  Sebagai isteri dia harus bijak.  Bijak mengatur strategi agar kasih suami semakin bertambah bukan berkurang.  Setiap kali suami pulang sajikan dengan senyuman, belaian, manjaan yang akan diingati setiap masa dan ketika hatta bersama orang kedua, itulah strategi yang bijak dan teratur.  Kalau suami masih tidak hargai, apakan daya kita, sudah sah-sahlah suami itu pekak, buta dan tuli sebab tak nampak kebaikan isteri.

            Suara riuh rendah di hadapan rumah membuatkan dia melangkah laju ke laman rumah.  Beberapa pelajar perempuan mendekatinya.  Wajah mereka pucat lesi dan tergagap-gagap hendak bercakap.  Dahi Ummi Khadeeja berkerut seribu.

            “Ada apa?”tanya Ummi Khadeeja.  Dadanya berdegup kencang, berbagai perkara bermain fikirannya. Hatinya berdebar-debar.  Kedua-dua pelajar saling berlawan tolak, siapa harus bercakap dulu.

            “Farhana, awak cakap dulu!”perintah Ummi Khadeeja tegas.

            “Walid panggil… Aiman Haikal tolak, Ibu Syifa’ Umaira ke dalam sungai!” beritahu Farhana.  Terkejut Ummi Khadeeja mendengarnya.  Dia seperti tidak percaya mendengar berita tersebut.  Aiman Haikal ke mana? Bukankah dia di surau bersama adik-adiknya?Syifa’ Umaira pula kenapa berada di sungai? Cari apa? Berbagai persoalan bermain difikirannya.  Ummi Khadeeja menutup pintu rumah dan mengikut ke dua pelajar perempuan  menuju  ke arah sungai yang terletak di hadapan rumah Syifa’ Umaira.  Keadaan di situ riuh-rendah dengan suara Syifa’ Umaira memaki hamun Aiman Haikal yang berdiri kaku di hadapan ayahnya tanya berkata apa-apa.  Wajah Amir Hudzaifa cemberut memandang Aiman Haikal.

            “Kak Ija tengok ni, anak Kak Ija sengaja tolak Mai ke sungai… nasib baik ada Pak Hamid dan haji Salleh kalau tidak dah mati agaknya Mai kat dalam tu!”adu Syifa’ Umaira.  Dia menangis.  Ummi Khadeeja memandang wajah Aiman Haikal tidak berkelip.   Amir Hudzaifa mencekak pinggang.

            “Aiman tak buat! Dia yang jatuh sendiri!”kata Aiman Haikal membela diri.

            “Diam! Dah buat salah masih tak mengaku!” jerkah Amir Hudzaifa.

            “Mama… Aiman cakap benar… Aiman tak buat!” Aiman Haikal memandang wajah Ummi Khadeeja .  Dia berharap mamanya akan mempercayainya.  Zaiton yang baru datang mendekati  Ummi Khadeeja.

            “Jom kita balik dulu Aiman,”ajak Ummi Khadeeja.  Dia tidak menghiraukan mereka yang memandangnya.  Dia tidak pedulikan tuduhan Syifa’ Umaira yang memandangnya dengan penuh kebencian.  Dia tidak kisah dengan wajah mencuka suaminya yang memandangnya dengan penuh kemarahan.  Dia menarik tangan Aiman Haikal dan membawanya pulang.  Kedua anaknya turut mengikut langkahnya.  Hilang rasa kegembiraan dihati untuk menyambut suaminya.  Sebal dan sebak memenuhi ruang hatinya kini.  Tangannya erat memegang lenga Aiman Haikal.  Zaiton mengikut langkah sahabatnya itu setelah di suruh Haji Salleh yang basah kuyup kerana membantu Syifa’ Umaira yang terkapai-kapai di dalam sungai. Amir Hudzaifa membawa Syifa’ Umaira pulang ke rumah.  Hatinya benar-benar sakit dengan apa yang terjadi.  Dia tidak menyangka Aiman Haikal akan bertindak seperti itu.  Kalau marah sekali pun janganlah menjadikan nyawa orang lain dalam bahaya.  Syifa’ Umaira tidak henti mengomel lagi.  Amir Hudzaifa hanya mengeluh.

            “Memang kurang ajar anak abang tu, sanggup dia menolak Mai ke dalam sungai… kalau mati macam mana? Sukalah dia sebab mamanya tak ada madu lagi, itulah tujujannya!! Abang kena ajar anak abang tu hormatkan Mai!”jerit Syifa’ Umaira.  Dia melangkah ke bilik untuk mandi dan menyalin pakaiannya yang  basah kuyup.

            “Kan abang dah marah dia, lempang dia… tak cukup ke?”Amir Hudzaifa mendengus kasar.  Syifa’ Umaira mengetap bibir.  Tidak cukup, anak itu harus diberi hukuman yang setimpal dengan perbuatannya yang tidak berperikemanusiaan itu.  Anak yang tidak tahu menghormati orang lain.

            “Macam mana isteri tua abang ajar anak-anak dia agaknya? Abang  tengoklah sendiri apa dia dah buat pada Mai…”masih tidak berpuas hati, Syifa’ Umaira terus berleter.  Amir Hudzaifa mengeluh.

Dia melangkah keluar dari rumah Syifa’ Umaira dan menuju ke rumah Ummi Khadeeja.  Sepatutnya hari itu adalah giliran Ummi Khadeeja.  Tiba-tiba berlaku kemalangan yang tidak disangka-sangka.  Cuma dia tidak bertanya kenapa Syifa’ Umaira ke sungai di awal pagi itu.  Fikiranya berserabut dengan apa yang terjadi membuatkan dia lupa segalanya.  Tidak sampai dua minit dia sudah berada di muka pintu.

            “Aiman tak buat mama, percayalah, dia jatuh sendiri tergelincir… Aiman duduk kat pokok rambutan tu je sambil memancing… Aiman tak buat!” air mata Aiman Haikal meluncur laju.  Ummi Khadeeja turut menangis.  Dia yakin anaknya tidak akan buat begitu walau macam mana benci pun dengan orang lain.  Dia tidak pernah mengajar anak-anaknya bermusuh dengan sesiapa. Kelmarin anaknya sudah dapat menerima perkahwinan kedua ayah mereka dan tidak menjadi masalah untuk mereka berbaik dengan Syifa’ Umaira. Belum sempat untuk bermesra sudah berlaku insiden yang tidak disangka sama sekali.  Di luar dugaannya dan di luar perancangannya.

            “Mama percayakan Aiman, tapi orang lain bagaimana? Pak Aji? Para pelajar maahad? Apakah mereka akan mempercayai Aiman?”soal Ummi Khadeeja.  Kalau benar Aiman tidak menolak Syifa’ Umaira dan madunya itu memang jatuh sendiri tentulah Aiman berada di tempat yang betul tetapi di waktu yang salah atau pun Syifa’ Umaira berada di tempat yang salah dan di waktu yang salah juga.

            “Masih tak mengaku?”jerit Amir Hudzaifa.  Tanpa memberi salam dia melangkah mendekati Aiman Haikal yang berada di dalam pelukan Ummi Khadeeja. Dia merentap tangan Aiman Haikal dan membawanya masuk ke dalam bilik.  Ummi Khadeeja terkejut dengan tindakan suaminya.  Belum pernah suaminya berkasar dengan anak-anak, kalau anak-anak buat salah sekali pun dia akan menasihati dengan penuh hikmah bukan melenting seperti tadi penuh dengan api kemarahan.

            “Abang! Abang nak buat apa dengan Aiman?”Ummi Khadeeja mengetuk pintu bilik Aiman Haikal yang berkunci dari dalam, hanya terdengar jeritan Aiman Haikal dan suara Amir Hudzaifa memarahi anaknya itu.

            “Mama… abang kena pukul ke?” tanya Airil Hakimi.  Aidil duduk di sofa sambil memeluk lutut.  Dia pasti abangnya tidak menolak isteri muda ayahnya itu sebab sewaktu dia keluar dari surau dia nampak kelibat Syifa’ Umaira berjalan menyusuri sungai dengan kasut yang bertapak tinggi dan kebetulan baru lepas hujan semalam dan tebing sungai agak licin.  Dia benar-benar pasti  Syifa’ Umaira tergelincir sahaja.  Abangnya cuma hendak menolong apabila terdengar jeritan Syifa’ Umaira, kebetulan abangnya ada di situ sedang memancing, itulah hobi abang sulongnya itu.

            “Abang!!tolonglah jangan buat anak macam tu bang,”rayu Ummi Khadeeja.  Zaiton turut bersedih dengan apa yang terjadi.  Kalau boleh dia tidak mahu masuk campur tapi sudah ada di situ baik duduk diam-diam.  Dia memeluk bahu Aidil Hakim erat dan mengeluh kesal dengan apa yang terjadi.  Dahi Zaiton berkerut, ‘apa perempuan tu buat pagi-pagi buta di tepi sungai tu,”detik hati kecil Zaiton.

            Lima belas  minit kemudian baru Amir Hudzaifa melangkah keluar dan memandang wajah Ummi Khadeeja .  Tajam pandangannya bagaikan hendak menelan Ummi Khadeeja.

            “Macam  mana Ija ajar anak?kecik-kecik dan pandai nak jadi pembunuh, belum besar lagi dan pandai kurang ajar dengan orang yang lebih tua. Abang harap ini pertama dan terakhir kejadian seperti ini berlaku, kalau berlaku lagi tahulah abang apa nak buat dengan dia, abang tak suka dengan apa yang terjadi, abang mendidik orang lain tapi anak sendiri tidak terdidik, anak-anak cermin diri kita tahu tak?kalau dah sampai nak jadi pembunuh siapa yang salah?”leter Amir Hudzaifa.  Ummi Khadeeja menunduk, walaupun kata-kata suaminya itu satu pun tidak benar tapi dia tidak mahu menjawab kerana tiada gunanya.  Mudah sungguh suaminya mengambil tindakan terhadap anak sendiri tanpa usul periksa.  Apakah suaminya sudah tidak mengenali anak mereka sendiri. Ummi Khadeeja menerpa ke dalam bilik dia tidak menghiraukan leteran Amir Hudzaifa.  Sayu hati seorang ibu melihat anak terkulai di tepi katil sambil memeluk lutut.  Air mata merembas keluar.  Ummi Khadeeja mendekati Aiman Haikal.  Dia menahan sebak.

            “Aiman tak buat mama… perempuan tu jatuh sendiri,”kata Aiman Haikal dengan suara yang tertahan-tahan menahan sedu. Ummi Khadeeja menganggukkan kepala.  Dia tahu anaknya itu tidak akan bertindak diluar batasan seperti itu.  Ini semua fitnah.  Syifa’ Umaira menfitnah anaknya.  Dia tidak akan duduk diam.  Dia akan mempertahankan anaknya itu.  Ummi Khadeeja memeluk Aiman Haikal erat.  Tangan dan kaki anaknya berbalar dengan kesan pukulan rotan.  Sampai hati suaminya.  Tergamak suaminya memukul Aiman Haikal.    Mereka menangis bersama.  Zaiton yang bersama Aidil Hakim dan Airil Hakimi menahan kesedihan.  Amir Hudzaifa sudah meninggalkan rumah.  Tentu ke rumah isteri mudanya.  Zaiton mendengus kasar.  Dia bingkas bangun dan melangkah ke dalam bilik Aiman Haikal.

            “Ija… sabarlah,”pujuk Zaiton.  Dia memegang bahu Ummi Khadeeja yang terhenjut-henjut kerana menangis.  Ummi Khadeeja meleraikan pelukan Aiman Haikal dan memandang  ke arah Zaiton.

            “Aiman tidak akan mencederakan orang Ton! Ija tak percaya…  Ton, awak pun tak percayakan?Aiman takkan buat!”tangis Ummi Khadeeja.  Zaiton hiba.  Dia kenal Aiman Haikal sejak  lahir  lagi.  Aiman Haikal anak yang taat dan penyayang.  Jika sehari dua ini dia berubah sikap adalah kerana terkejut dengan perkahwinan ayahnya.  Kalau marah sekali pun anak itu tidak akan sampai hendak membunuh.

            “Ton percaya Ija… Aiman takkan buat perkara tu, sudahlah… mari kita keluar, kalian tak sarapan lagi kan,”ajak Zaiton.  Aiman Haikal terlena kerana terlalu banyak menangis dan teruk di pukul ayahnya tadi.  Hiba hati  Ummi Khadeeja melihat keadaan Aiman Haikal.  Dia mencapai minyak di atas meja dan menyapu di bahagian yang lebam dan berbekas di tubuh, lengan dan kaki anaknya itu.  Sambil menyapu air matanya masih mengalir.  Zaiton tidak mampu melihatnya lagi.  Dia berlalu pergi.

            “Aidil, Airil… mari makan,”Zaiton menarik tangan kedua-dua anak tersebut menuju ke meja makan.  Zaiton memandang sarapan yang terhidang tetapi masih tidak disentuh.  Tentu Ummi Khadeeja menyiapkannya  untuk suaminya .  Lain yang diharap, lain pula jadinya.  Zaiton mengeluh.  Dia memandang kedua-dua beradik itu dan melemparkan senyuman.  Mereka menggelengkan kepala tanda tidak mahu menjamah makanan tersebut.  Zaiton menjegilkan mata.

            “Duduk!”paksa Zaiton.  Mereka akur tidak membantah.  Air kopi di tuang ke dalam cawan.  Bee hon dan sambal udang disenduk ke dalam pinggan.  Dia meletakkan di hadapan kedua beradik tersebut.

            “Baca doa dan makan,”perintah Zaiton.  Terkebil-kebil kedua beradik itu.

            “Airil,Aidil… kasihan mama… penat mama masak pagi tadi… jangan buat mama susah hati, mama dah banyak masalah jangan ditambah lagi masalah mama, faham tak,”kata Zaiton tegas. Kedua beradik itu menunduk.    Zaiton duduk di hadapan mereka.  Suara orang memberi salam membuatkan mereka menoleh.  Haji Salleh melangkah masuk.

            “Aiman mana?”tanya Haji Salleh .  Terpancar kerisaun diwajah tua itu.  Zaiton memuncungkan bibirnya menunjuk ke arah bilik.

            “Pak Aji… abang tak tolak perempuan tu, dia jatuh sendiri!” kata Aidil Hakim berani  Dia harus memberitahu perkara sebenar.  Dia tidak mahu abangnya disalahkan. Ini tak betul.  Abangnya tidak menolak isteri muda ayah mereka. Haji Salleh memandang wajah Aidil Hakim dan  tersenyum.

            “Pak Aji tahu… kebenaran sebenar akan terbongkar…  Aidil jangan bimbang ya,” pujuk Haji Salleh.  Zaiton mengeluh.  Memang benarlah tekaannya.  Aiman Haikal tidak akan berani buat tindakan bodoh seperti itu.

            “Ustaz Amir mana bang?”tanya Zaiton.

            “Ada di rumah isteri mudanya,”jawab Haji Salleh dan terus duduk mengadap hidangan yang terhidang. Perutnya dan berkeroncong baru nak pergi beli sarapan terdengar kecoh-kecoh di sungai terbatut urusannya hendak ke kedai makan di depan maahad.

            “Tuangkan saya kopi tu,”suruh Haji Salleh.  Zaiton menuang secawan kopi untuk suaminya.  Kemunculan Ummi Khadeeja membuatkan semua yang berada di meja makan menoleh.

            “Mari sarapan Ija… awak pun belum sarapan kan?”Zaiton menarik sahabatnya duduk di kerusi.  Wajah Ummi Khadeeja sugul dan muram. Zaiton menuang kopi panas dan meletakkannya di hadapan Ummi Khadeeja  yang masih lagi bersedih.

            “Sabarlah Ija… “pujuk Zaiton.

            “Ija tak sedih jika Syifa’ Umaira menuduh Aiman nak bunuh dia Ton, tapi Ija sedih sebab ayahnya percaya dengan tuduhan itu… tak pernah lagi Abang Amir pukul anak-anaknya Ton, belum pernah… ini pertama kali dia sanggup pukul Aiman…Ija sedih Ton… remuk hati Ija, hancur hati Ija… Ton”Ummi Khadeeja menangis lagi.  Zaiton mengusap belakang Ummi Khadeeja.  Ya, Allah! kau berilah sahabatku ini kesabaran menghadapi ujian ini… doa Zaiton dalam hati.

            “Ija… sabarlah,”nasihat Haji Salleh pula.

            “Macam mana Ija nak sabar bang aji… anak Ija dituduh nak membunuh!”tinggi suara Ummi Khadeeja.  Haji Salleh mengeluh.  Berat tuduhan itu. Haji Salleh sendiri kesal dengan tuduhan yang dilemparkan oleh Syifa’ Umaira terhadap Aiman Haikal.

            “Abang Amir pula percaya dengan cakap isteri muda dia tu, apakah dia dah tak kenal anaknya sendiri?Apakah dia dah tak sayang kami lagi?”

            “Ija…! Jangan cakap macam tu,”Zaiton mengeluh.  Kedua-dua beradik itu hanya memerhatikan mama mereka menangis.  Hati mereka turut hiba dan sedih dengan apa yang berlaku.  Mereka sendiri tidak menduga ayah mereka sanggup memukul abang mereka.

            “Sudahlah Ija… kasihan kat anak-anak ni, dah lewat ni tapi mereka belum sarapan lagi, nanti sakit perut pula,”Zaiton cuba menyabarkan Ummi Khadeeja.  Dia tahu sahabatnya itu sedih dan berduka tapi apa yang mampu mereka lakukan. 

            Ummi Khadeeja memandang ke arah kedua orang anaknya itu.  Dia cuba tersenyum tapi hambar.  Hatinya masih sakit, masih sedih, masih kecewa dan berduka dengan apa yang terjadi.  Dia tidak dapat menerima keadaan ini.  Dia tidak akan membiarkan nama baik anaknya dicemarkan oleh orang yang tidak bertanggungjawab seperti Syifa’ Umaira.  Dia akan berhadapan dengan madunya itu.  Biar suaminya hendak memarahinya, membencinya tapi dia tidak akan membiarkan tuduhan palsu itu menghantui hidup anaknya dan hidup orang disekeliling mereka.  Dia tidak akan membiarkan perkara itu diperkatakan oleh para pelajar di maahad itu.  Dia tidak mahu mereka fikir anaknya itu sengaja ingin membunuh.  Dia tidak akan biarkan nama anaknya tercemar.  Tidak sama sekali.  Ummi Khadeeja mendengus kasar. Dia mengetap bibir menahan marah.

Bab Dua Puluh lima [Bab 25]

            Syifa Umaira berdehem kasar.  Amir Hudzaifa duduk di sofa sambil memejamkan mata.  Dia kecewa dengan apa yang terjadi.  Dalam dirinya turut merasa bersalah pada anaknya Aiman Haikal.  Tidak pernah dia memukul anak sulongnya itu.  Tidak pernah tangannya naik ke muka anaknya itu.  Tapi hari ini semuanya berubah, semuanya sudah berlaku.  Dia tidak akan membiarkan anaknya itu berkelakuan tidak sopan dengan orang lain lebih-lebih lagi dengan isteri mudanya, ibu tiri mereka.

            “Anak abang tu memang kurang ajar!”marah Syifa’ Umaira.  Dia sengaja menyemarakkan kemarahan Amir Hudzaifa terhadap anak-anaknya.  Dia tidak mahu mereka berbaik.  Kenapa dia bersikap begitu Syifa’Umaira sendiri tidak tahu.  Tapi ada satu perasaan timbul dihati.  Ada perasaan jahat sudah mula menjalar disanubarinya.  Hatinya tiba-tiba sakit apabila pagi tadi sebelum ke surau untuk solat subuh suaminya memberitahu akan giliran madunya pula.  Seminggu bersama bagaikan tidak puas bersama. Syifa’ Umaira mendengus sendiri.  Apakah dia cemburu?cemburu suaminya ke rumah madunya?itukah namanya cemburu, hatinya sakit, jiwanya tersiksa,tertekan, panas, membara, sakit memang sakit.  Ah! Dia cemburu?Syifa’ Umaira mengetap bibir.

            “Abang!hari ni tak payah balik rumah kak Ija… dia harus dihukum kerana perbuatan anaknya itu,”Syifa Umaira tersenyum yakin.  Amir Hudzaifa mengeluh.  Dia memandang syiling.  Esok anak-anaknya akan kembali ke asrama, hubungannya dengan mereka bukan semakin baik malah semakin renggang pula.

            “Betul ke Aiman menolak awak Mai?”tanya Amir Hudzaifa tanpa memandang wajah Syifa’ Umaira, matanya masih lagi memandang syiling.  Sebab kejadian pagi tadi dia terbantut hendak ke kelas, nasib baik ada ustaz yang sanggup menggantikannya.  Syifa’ Umaira terkejut dengan pertanyaan suaminya.  Dia tergamam, tersentak dan tidak mampu berkata apa-apa.  Mencari akal untuk menjawab   pertanyaan suaminya itu.

            “Kenapa awak diam?betul ke… Aiman menolak awak ke sungai?”kali ini suaranya sedikit ditekankan.  Dia memandang Syifa’ Umaira yang terkebil-kebil memandangnya tanpa apa-apa jawapan.  Amir Hudzaifa memandang tepat ke mata isterinya itu meminta kepastian.

            “Be…betullah… takkan Mai nak tipu pula,”jawab Syifa’ Umaira gugup.  Dia menelan air liur.  Cuba berlagak biasa namun jiwanya kacau tidak tenang.  Ah! Nanti orang akan lupa akan kejadian itu, anak tirinya pun tidak akan ingat akan kejadian tadi.

            “Kalau betul, abang takkan marah, tapi kalau awak menfitnah anak abang… abang takkan maafkan awak,”Amir Hudzaifa mengecilkan mata memandang wajah isteri mudanya.  Dia berasa hairan buat apa Syifa’ Umaira ke tepi sungai? Cari apa?.

            “Awak buat apa di sungai? Dah seminggu awak di sini awak jarang keluar, tiba-tiba keluar kenapa?” tanya Amir Hudzaifa.  Syifa’ Umaira mendengus kasar.

            “Saja nak ambil angin… bosan duduk rumah sorang-sorang… lagi pun abangkan nak ke rumah isteri tua abang… dah seminggu Mai di sini tak pernah keluar berjalan di persekitaran maahad dan terlanjur abang tak ada, Mai ambil peluang keluar melawat kawasan persekitaran,”cerita Syifa’ Umaira.  Memang benar itulah niatnya pada awalnya tapi sedang berjalan di tepi sungai dia tidak perasan ada bahagian tanah yang rendah dan licin menyebabkan dia terpelecok dan mengelungsur jatuh ke dalam sungai.  Kebetulan dia ternampak kelibat Aiman Haikal yang sedang memancing, tidak menghiraukan dia menjerit meminta tolong.  Aiman Haikal hanya memerhatikan dia jatuh dan menjerit meminta tolong.  Nasib baik ada Haji Salleh dan Pak Hamid berhampiran sungai, kalau tidak dah tentu pendek umurnya.  Nau’zubillah, dia tidak mahu mati lagi.  Dia masih muda walaupun dia tahu nyawa jika Allah SWT nak ambil tidak kira muda atau tua, kecil atau besar . Entah kenapa lancar sahaja mulutnya menuduh anak tirinya menolak dia jatuh, apakah kerana dia merasa malu kerana terjatuh ke dalam sungai dan tidak tahu berenang.  Atau kerana dia tidak mahu hubungan anak beranak itu baik, jahatnya dia, Syifa’ Umaira mengeluh sendiri.  Tuduhan sudah dibuat, kalau dia tarik balik dan mengata dia tersilap tentu teruk dia dimarahi suaminya.  Tentu semua pelajar dan  mereka di maahad akan menganggap dia jahat dan tidak  berperikemanusian sehingga sangguh membuat fitnah.  Kalau tiada siapa yang membuka mulut pasti tiada siapa yang tahu dia membuat fitnah.  Dia pasti tiada orang yang nampak dia terjatuh melainkan Aiman  Haikal.

            “Abang  tak izinkan awak dekati sungai itu lagi, dah tahu tak tahu berenang jangan berani-berani menjejakkan kaki di situ, faham!”tegas Amir Hudzaifa.  Syifa’ Umaira mencebik.

            “ala! Takkan tak boleh…?”Syifa’ Umaira membantah.  Amir Hudzaifa menggelengkan kepala,dia tetap dengan keputusannya.  Semakin tajam muncung Syifa’ Umaira.  Amir Hudzaifa tersenyum, walaupun begitu isteri mudanya itu tetap cantik, buatlah macam mana pun dah tersedia cantik.

            “Ada apa nak makan ni? Perut abang dah lapar?”tanya Amir Hudzaifa.  Syifa’ Umaira mengerutkan dahi.  Dia baru sedar yang dia sendiri  belum bersarapan.  Dia menyengih.  Amir Hudzaifa tahu akan jawapannya.  Dia bingkas bangun dan berjalan keluar.  Syifa’ Umaira mengerutkan dahi.

            “Abang!”panggilnya. Amir Hudzaifa menoleh.

            “Beli sarapanlah,”Amir Hudzaifa memandang ke arah rumah isteri tuanya.  Sunyi dan sepi.  Hari itu dia tidak akan di rumah Ummi Khadeeja.  Mereka harus dihukum dengan apa yang telah berlaku.  Dia tidak mahu mereka melakukan kesalahan yang sama lagi.  Kalau Syifa’ Umaira berbuat begitu dia juga akan mengambil tindakan yang sama terhadap isteri mudanya itu dengan menarik sehari dari hari giliran mereka. Syifa’ Umaira menarik nafas lega, semoga kebohongannya itu akan tersimpan kemas dan juga merasa lega kerana dia tidak perlu menyediakan sarapan.

            Syifa’ Umaira menuju ke dapur untuk menjerang air bagi dibuat kopi panas untuk suaminya.  Kalau sarapan tidak disediakan sekurang-kurangnya dia sediakan air.  Tidaklah ketara sangat sikap malasnya itu.  Sementara menunggu air masak Syifa’ Umaira menjamah  biskut kosong yang ada di dalam tin.  Dia makan dengan penuh selera sebab perutnya sendiri sudah lapar.

            “Syifa’ Umaira! Syifa Umaira!!” panggil seseorang dari luar.  Dahi Syifa’ Umaira berkerut.  Macam suara madunya, dia melangkah laju ke ruang tamu.  Pintu luar tidak  berkunci, berdiri tegak sambil mencekak pinggang dengan wajah yang bengis, tiada senyuman.

            “Akak nak kau tarik balik tuduhan kau terhadap anak akak… sampai hati  kau fitnah anak akak, apa salah anak akak pada kau?kalau nak  marah akak, nak maki akak, makilah… tapi jangan kau cemarkan nama anak-anak akak,”Ummi Khadeeja memandang wajah Syifa’ Umaira tidak berkelip.  Dia tidak memperdulikan pelajar yang lalu lalang memandang ke arah mereka berdua.

            “Akak cakap apa ni? Saya buat fitnah? Eh! Tak baik akak tuduh saya macam tu tau?akak ingat saya orang tak ada agama ke? Nak tuduh-tuduh orang! Memang anak anak tolak saya, tak percaya?”Syifa’ Umaira masih mempertahankan tuduhannya itu.  Dia tidak akan mengaku kalah begitu mudah.  Dia tidak akan menarik  balik kenyataannya. Ini melibatkan maruahnya juga.  Tidak sama sekali.

            “Kau bohong! Ada saksi mengatakan kau jatuh sendiri, Aiman pun mengatakan kau jatuh sendiri!!” jerkah Ummi Khadeeja, hilang semua perasaan hormatnya pada isteri muda suaminya itu.  Hilang perasaan malunya sebagai ibu di maahad itu demi maruah anak-anaknya.

            “Akak jangan tuduh saya pembohong! Saya ada maruah tau kak! Saya takkan tuduh tanpa sebab, siapa saksi tu? Akak jangan main serkap jarang je?”Syifa’ Umaira mengetap bibir.  Ada saksi?tapi siapa? Saksi tu nampakkah dia terjatuh sendiri.  Syifa’ Umaira mula bimbang, dia meneka-neka siapaka saksi itu,  Haji Salleh atau Pak Hamid? Sewaktu dia berjalan mendekati sungai tiada siapa di situ.  Hanya kelibat Aiman Haikal sahaja yang kelihatan. Dia pasti itu.  Terasa darah menyerbut ke mukanya namun dia berlagak biasa tidak mahu rahsiannya terbongkar.

            “Memang kau pembohong!!” jerit Ummi Khadeeja.

            “Ija!!”Amir Hudzaifa mendekati Ummi Khadeeja.  Dahinya berkerut seribu memandang wajah Ummi Khadeeja.

            “Abang pun nak bela isteri abang yang pembohong ni?”tengking Ummi Khadeeja.  Satu tamparan melekat di pipi Ummi Khadeeja.  Terkejut Syifa’ Umaira .  Terkejut Ummi Khadeeja.   Amir Hudzaifa lelaki yang dikahwininya enam belas tahun dahulu sudah pandai meletakkan tangan ke mukanya.  Belum pernah tangan yang pernah membelai dan memanjakannya itu menampar pipinya.  Ummi Khadeeja mengusap pipinya yang terasa perit akibat tamparan  Amir Hudzaifa.  Mereka saling berpandangan.  Setitis demi setitis air mata Ummi Khadeeja mengalir di pipi.  Hatinya bertambah marah.

            “Wah!hebat abang sekarang ya, dah pandai menaik tangan ke muka Ija… dah pandai memukul anak abang yang tidak bersalah tu,”lereh hati Ummi Khadeeja menuturkannya. Amir Hudzaifa mengetap bibir.  Dia menoleh ke arah lain.  Dia sendiri terkejut dengan tindakan spontan dia.

            “Ija sendiri dah pandai meninggikan suara pada abang!takkan abang nak biar?”Amir Hudzaifa mempertahankan perbuatannya.  Syifa’ Umaira hanya memerhatikan kedua suami isteri itu saling bertelingkah.  Dia tidak menyangka suaminya akan menampar pipi madunya.

            “Abang dah tak kenal kami lagi kan? Abang percaya cakap orang yang baru abang kenal tak sampai sebulan pun, tapi abang kenal kami dah berbelas-belas tahun… sampai hati abang!”Ummi Khadeeja berlari meninggalkan Amir Hudzaifa sendiri bersama Syifa’ Umaira yang tersenyum sinis kepadanya.  Amir Hudzaifa bagaikan orang bingung. Semua tindakannya di luar dugaan dirinya sendiri.  Dia seperti orang hilang arah.  Dia memandang kosong ke arah langkah Ummi Khadeeja yang semakin laju.  Dia telah menampar isterinya, kenapa ringan sahaja tangannya menampar isterinya itu, belum pernah dia lakukan dan tidak pernah sekali pun dia lakukan.  Amir Hudzaifa mengeluh kesal.

            “Ija… Ija!!” panggil Amir Hudzaifa.  Ummi Khadeeja tidak menghiraukan panggilan tersebut.  Dia terus balik ke rumah dengan hati yang sakit bertambah sakit, marah bertambah kemarahannya.  Kecewa bertambah dukanya.

            “Abang! Dahlah tu…jom masuk,”ajak Syifa’ Umaira.  Amir Hudzaifa mengeluh.  Dia kebingungan, kenapa keadaan menjadi kucar-kacir? Kenapa keadaan menjadi kelam-kabut.  Semuanya berantakan.  Bungkusan ditangan Amir Hudzaifa diambil dan dia menarik Amir Hudzaifa ke dapur.  Kopi panas sudah pun terhidang.  Nasi dagang yang dibeli Amir Hudzaifa dimasukkan ke dalam pinggan.  Amri Hudzaifa masih lagi seperti orang bingung.  Syifa’ Umaira mencium dahi suaminya.  Dia melemparkan senyuman manis buat kekasih hati yang sudah menjadi suaminya itu.

            “Sampai hati kak Ija tuduh Mai pembohong… ibu dan anak sama teruknya,”runggut Syifa’ Umaira, tiada apa-apa respon dari  Amir Hudzaifa.  Syifa’ Umaira mendengus kasar.

            “Makanlah bang, nanti lapar pula?”Nasi yang sudah diisi kedalam pinggan di hulurkan kepada Amir Hudzaifa. Mati selera Amir Hudzaifa.  Kepalanya berserabut  dengan masalah yang datang bertimpa-timpa itu.

            “Abang tak lapar,”Dia berlalu masuk ke dalam bilik.  Syifa’ Umaira mencebik.  Kalau tak nak makan sudah, biar dia saja yang makan.  Syifa’ Umaira makan dengan penuh selera.  Perut tengah lapar apa sahaja sedap walaupun dia tidak suka nasi dagang kerana terpaksa dia jamah  juga.

            Ummi Khadeeja mengesat air mata yang mengalir.  Zaiton dan Haji Salleh sudah lama balik setelah dia anak-beranak tenang.  Usai mereka pulang dia ke rumah Syifa’ Umaira.  Dia berharap dapat membersihkan nama baik anaknya tapi sebaliknya berlaku.  Hadiah paling berharga diberi oleh suaminya sendiri.  Sungguh mahal hadiah itu dan tidak pernah diterima selama mereka hidup bersama.  Air mata mengalir tanpa dipinta lantaran terlalu sedih mengenangkan apa yang terjadi.  Dia tidak sengaja meninggikan suara pada suaminya tadi kerana terlalu marah dengan Syifa’ Umaira.  Aiman Haikal masih lagi tidur.  Aidil Hakim danAiril Hakimi mengikut Zaiton dan Haji Salleh ke rumah mereka.  Ummi Khadeeja menyandar di birai katil yang sudah seminggu sepi sendiri.  Hari ini sepatutnya gilirannya tapi dia pasti Amir Hudzaifa membatalkan gilirannya itu sebagai hukuman dengan apa yang terjadi.  Kejam, abang kejam!!jeritnya dalam hati. Pipi yang masih terasa panas tangan Amri Hudzaifa diusap lembut.  Ija tak pernah meminta tamparan tapi Ija rindukan belaian manja’desis hati kecilnya.  Ummi Khadeeja menangis semahu-mahunya.

4 ulasan: