Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Rabu, 13 Ogos 2014

KEGHAIRAHAN SEORANG PENULIS- ASMAH HASHIM









GHAIRAHNYA INGIN KARYA TERBIT SEGERA!

                Seronokkah jadi penulis?  Kenapa ingin jadi penulis?  Kerana minat?  Memang berbakat? Atau ingin mengejar populariti yang sebenarnya tidak sepopular mana pun.  Sejak menjadi admin beberapa grup penulisan dan peminat novel kadangkala hati saya tercuit dengan sesetengah manusia yang mengejar cita-cita ingin bergelar penulis, punya buku sendiri dan hasil usaha sendiri.  Sayang seribu kali sayang, dalam keghairahan mengejar nama dan populariti ada sesetengahnya terlupa bahawa mereka perlu tengok syarikat  yang akan mereka bernaung. 

                Penipuan yang menjadi-jadi, hasil karya tidak dibayar, janji ingin diterbitkan tidak diterbitkan, hanya ucapan maaf yang diberi.  Cukupkah?  Bagaimana dengan harapan dan impian  penulis tersebut?  Berkubur bersama syarikat tersebut?  Tiada jalan keluar atau penulis terus ditindas lantaran karya yang ada imbuhannya tidak setimpal.

                Sejak menulis, saya tidak pernah menghantar karya ke rumah penerbitan yang kecil.  Mula bertapak di Sebuah syarikat yang amat kukuh dan ada nama.  UTUSAN, di situlah karya-karya saya mula tumbuh dan banyak juga hasil dari mereka saya perolehi sepanjang menghantar karya ke sana.  Kenapa tidak adik-adik semua yang bercita-cita jadi penulis, mencuba dari bawah.  Mulakan dengan CERPEN, hantar ke dada akhbar, majalah keluaran Utusan, Karangkraf,Berita Minggu, antara syarikat yang mampu mencungkil bakat anda dalam erti kata yang sebenar.  Karya anda akan dibayar, hasil penat lelah anda tampak di mata.  Anda juga menjadi penulis yang baik jika karya anda berjaya terbit di rumah penerbitan tersenarai.  Takut?  Memanglah sebab ketiga-tiganya melalui penapisan yang ketat.  Bukan mudah?  Sudah tentu, hanya TERBAIK  sahaja yang akan terpilih. 
                Bila sayamenulis NOVEL.  Langsung tidak terfikir hendak hantar ke rumah penerbitan yang baharu di buka.   Saya terus hantar karya ke rumah penerbitan yang besar, stabil dan ada nama.  Biar ditolak berkali-kali diri ini tetap sabar, hantar dan hantar, tidak kenal erti putus asa.  Akhirnya…!  Jadi bersabarlah.  Dahulu tiada siapa yang nasihatkan para penulis lama yang ada di mana dan ke mana harus menghantar karya mereka.  Kami usaha sendiri, cari jalan sendiri, cari alamat sendiri.  Namun kini kita diberi tunjuk ajar, diberi alamat, diberi penerangan bagaimana hendak menghantar karya ke dada akhbar dan rumah penerbitan namun masih ada yang tertipu dan ditipu.  Kerana kita kurang ilmu tentang hak kita.  Jangan gelojoh, jangan terlalu gembira apabila ada rumah penerbitan menawarkan untuk terbitkan karya kita, selidiki dahulu latar belakang syarikat, tanya kepad apara penulisnya.  Cari gali maklumat tentang mereka, supaya tidak menyesal di kemudian hari. 

                PTS, Utusan, DBP, ITBM, JS, Karya Seni, Kaki Novel, Grup Buku Karangkraf, antara syarikat yang sudah stabil dan kukuh.  Cubalah dengan syarikat-syarikat ini.  Kalau ditolak jangan putus asa,  rombak dan hantar kembali, suatu hari pasti lekat kerana kesungguhan kita yang tidak patah semangat.    Syarikat baharu bukan tidak boleh, tapi iyalah tidak stabil lagi.  Menulis bukan senang, cari idea bagai nak pecah kepala, jadi hargailah bakat yang ada.  Setiap usaha kita ada nilainya biar kecil tetapi ada imbuhannya.  Cerpen, puisi dan novel, serta artikel kalau dihantar pasti ada bayarannya ya.  Melainkan yang masuk pertandingan sayembara atau apa sahaja yang sama waktu dengannya,  kalau menang baharulah ada imbuhannya.  Sabar dan tabah, dunia penulisan bukan seindah yang kita bayangkan.  Hanya mereka yang kuat dan tegar sahaja mampu bertahan. Sekali menulis bukan boleh berhenti hanya sebuah buku.  Kita akan dituntut menulis dan menulis lagi.  Tiada  perkataan berhenti bagi seorang penulis.  Bakat bersandarkan ilmu.  Ilmu perlu dicari gali sampai ketemu.  Yakin kepada diri sendiri dan bakat kurniaan  ILAHI.  Sekali melangkah tiada patah kembali.  Selamat maju  jaya, jadilah penulis yang segar dengan idea terkini, bukan yang sambil lewa dan sudah berkali-kali penulis lain hasilkannya.  Cari kisah dipersekitaran kita, yang mampu disajikan kepada pembaca.  Kejayaan bukan semudah kopek kacang kuda.  Seumpama buka durian yang kulitnya kalau tak hati-hati pasti cedera.  Kalau berani teruskan usaha, jangan putus asa dan menangis berlagu hiba.  Sekali ditolak tak selamanya, jadi teruskan usaha sehingga berjaya.


3 ulasan: