Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Rabu, 13 Ogos 2014

MERDEKA- ASMAH HASHIM


  • MERDEKA datang lagi, setiap tahun aku akan meraikannya. Bendera sudah siapku pasang di hadapan rumah. Suka aku melihatnya berkibar megah ketika ditiup angin yang sudi menyinggah. Mataku pejam seketika, dalam usia meniti senja, bagaimana mungkin aku lupakan segalanya. Kehidupan yang sukar ketika zaman kanak-kanak yang tidak sama dengan anak cucuku, dan mereka tidak mungkin akan melaluinya, kuharap mereka tidak akan laluinya. Derita, sengsara, menangis, duka nestapa, geram dan marah bercampur rasa. Betapa beruntungnya mereka, tidak melalui apa yang aku lalui, hujan peluru bermandikan darah, itulah yang kebanyakkan mereka yang seusiaku terpaksa jalaninya. Melihat keperitan hidup, semangat juang dihati berkobar-kobar tumbuh disanubari. Cukup usia aku berjanji mengabdikan diri kepada negara yang aku cintai. Menjadi askar pilihanku, ayah dan ibu tidak membantah, malah bangga kerana aku ingin berbakti kepada negara.

    Aku duduk di anjung rumah, memerhatikan anak cucuku bermain bunga api. Sesekali aku tersenyum melihat gelagat mereka yang riang dan ria terpancar jelas di mata. Kaum perempuan sibuk menyusun juadah untuk santapan kami semua. Menu utama satu kemestian. Ubi rebus, pucuk ubi dan sambal belacan. Aku tahu anak cucuku tak suka, aku hendak mereka merasakannya. Inilah makanan atuk dan Ayah Cu mereka, biar mereka turut berasa di hati, oh! Sukarnya hidup sebelum merdeka. Pasti mereka akan usaha mempertahankan kemerdekaan yang ada.

    “Kita makan ubi kayu lagikah hari ini, ibu?” tanyaku dengan mata berkaca. Sawah luas terbentang tetapi sebutir beras langsung tidak singgah di rumah, ke mana perginya? Hendak bertanya, tidak tahu bahasa apa yang sesuai aku tuturkannya. Tidak mungkin dijual kesemuanya. Tak mungkin ayah tidak tinggalkan sedikit untuk dijadikan makanan di rumah.

    “Ini sahaja yang ada, makanlah buat alas perut. Kalau lapar nanti susah nak tidur,” kata ibu tanpa memandang wajahku. Sugulnya wajah ibu membuat hatiku ingin bertanya lanjut.

    “Ibu… kenapa ibu sedih?” tanyaku ingin tahu. Usiaku baharu mencecah 12 tahun tetapi banyak perkara ingin aku ambil tahu.

    Ibu menoleh memandangku dengan senyuman tawar yang sengaja direka untuk menyedapkan pandangan dan hatiku.

    “Mana ada sedih?” jawab ibu sambil pura-pura ketawa.

    Aku tahu ibu pura-pura ketawa, kerana tawa ibu bukan begitu jika hatinya berlagu riang selalu.

    Sejak keluar pagi tadi, ayah belum juga kembali? Entah ke mana pergi? Ibu pula asyik termenung dan menyendiri, adik di buaian dibiarkan sendiri, tergoyang-goyang buaian, ibu buat tak nampak hanya memandang ke arah jalan bagaikan menunggu seseorang.

    Rupanya ayah ke markas Jepun menghantar beras sebagai pertukaran nyawa kami. Kejamnya mereka sewenang-wenangnya merampas titik peluh ayah. Demi keluarga, ayah sanggup buat apa sahaja. Hiba hatiku mencengkam duka, terjawab sudah kenapa ubi kayu menjadi makanan harian kami.

    “Ibu… Jepun masih memerintahkah ibu? Perang masih berlaku?” tanyaku sambil memandang wajah ibu yang sayu dan sedih melulu. Tiada lagi senyuman suka di bibir ibu sejak perang melanda.

    Ketika bunyi dentuman di kampung sebelah, ibu akan menarik aku dan adik menyorok di celah almari rumah. Mata ibu liar memandang sekeliling, takut bom jatuh di bumbung rumah kami. Ayah pula akan menutup semua pintu dan tingkap, turut menyorok bersama kami. Parang kemas di tangan, mata ayah tetap memandang pintu depan. Dahi ayah berkerut, keringat mengalir ketakutan.

    Sejak Jepun datang ke Tanah Melayu, kehidupan keluarga dan orang kampungku tidak pernah aman. Hati kami diulit resah dan bimbang. Ketakutan menjadi santapan jiwa kami entah bilakan kurang. Bunyi tembakan, dentuman menyinggah setiap waktu dan ketika. Ada masa tiada ruang untuk mendengar suara cengkerik atau burung-burung yang mencari makan di petak sawah. Api dan kepulan asap akan terlihat di angkasa itulah tayangan yang terpancar setiap masa. Takut! Semua rakan-rakan sebayaku takut, tidak berani lagi bermain digigi kali atau menjerat burung terkukur yang merdu suaranya menyanyi. Tidak lagi menerbangkan layang-layang ketika angin petang berlari riang kerana yang kelihatan kapal terbang perang Jepun yang terbang sesekali Kapal terbang perang milik angkatan tentera Bersekutu.


    Ada cerita baharu yang mula tersebar di seluruh kampungku, Bintang Tiga muncul tiba-tiba. Aku mencuri dengar di kedai Haji Jusuh, kononnya kehadiran mereka hendak membebaskan tanah airku dari penjajahan kedua-dua kuasa. Jepun dan Orang Inggeris yang sudah lama memerintah negaraku bagaikan tidak mahu pulang ke negara mereka. Rupanya Inggeris ada agendanya, Jepun pula ingin menunjukkan kuasa. Kalau sudah penjajah, penjajah juga, hak orang tempatan dinafikan semata-mata. Kehadiran Bintang Tiga kononnya membawa rahmat dan bahagia. Ramai penduduk yakin dengan Bintang Tiga, ada yang sanggup bekerjasama,memberi apa sahaja yang mereka pinta, hatta makanan, duit dan harta benda, kerana percaya perjuangan mereka adalah ikhlas untuk kami semua.

    Bertahun- tahun dalam derita peperangan yang hanya beberapa tahun bagaikan terasa seumur hidup melaluinya. Ogos 1945 Jepun menyerah kalah kerana Amerika dan Britain menggugurkan bom atom di Hiroshima dan Nagasaki, Jepun lumpuh sepenuhnya.

    Ayah dan ibu riang tak terhingga, terasa baharu terlepas dari tali gantung ketika zaman Jepun menjajah. Rupanya hanya seketika kegembiraan kami apabila Bintang Tiga pula menjajah mengantikan Jepun yang telah pergi. Jepun terkenal dengan kekerasan dan kerakusannya. Rupanya Bintang Tiga lagi liar pemerintahannya. Waktu Jepun sempat juga makan nasi hatta sesekali bubur nasi. Apabila Bintang Tiga memerintah, habis semua padi mereka ambil buat macam hak sendiri.

    Apa yang tinggal kepada kami adalah pokok ubi yang menggantikan kanji, buat penguat tubuh dan akal kami.

    Sesekali pintu rumah kedai Ah Hong di simpang jalan dipecah masuk, mereka curi semua makanan yang ada. Duit jangan cerita kononnya ingin semua penduduk kampung berjuang sama memerdekakah Tanah Melayu yang masih dijajah oleh bangsa asing yang masih berkuasa.

    “Bintang Tiga penipu!” kata ayah suatu hari ketika kami sedang menikmati makanan tengahari yang biasa sahaja. Ibu rebus cicah sambal belacan, pucuk ubi dibuat ulam penyedah rasa. Ada ketika terasa hendak muntah kalau sudah berbulan-bulan makan benda yang sama.

    “Sabarlah bang… pasti ada sirna ceria, kalau bukan untuk kita, untuk anak cucu kita nanti! Dengar kata ada persatuan baharu ditubuhkan, cuba abang tengok-tengokkan semoga boleh turut serta. Tak tahan rasanya hidup bergelumang dengan Bintang Tiga yang asyik memerah tenaga kita, makanan kita dirampas langsung tidak tinggalkan sisa. Ayam itik dicuri tanpa minta izin kepada kita. Lebih teruk dari yang ada. Sampai bila?” leter ibu, terpancar rasa marah di wajahnya.

    Dalam hatiku terdetik juga. Orang dewasa tahunya perang sahajakah? Yang jadi mangsa anak-anak dan orang tua serta wanita yang tidak berdosa. Tidak terasakah hati mereka, melihat tubuh yang tidak berdosa terkujur kaku.

    Zaman Bintang Tiga terasa perit bertimpa-timpa, sejak kerajaan Inggeris melancarkan perang memerangi mereka, penduduk persekitaran dan kampungku tidak pernah berasa aman dan tenteram. Ada sahaja rumah yang dipecah dan penghuninya dicederakan. Keluarga Ah Hong ada yang telah terbunuh kerana mempertahankan kedai mereka dari terus diceroboh.


  • Ada juga orang Melayu yang sanggup jadi tali barut Bintang Tiga kononnya hendak berjuang bebaskan kampung dan Tanah Melayu. Betul atau tidak, manalah aku tahu, semua kerja orang dewasa yang bijak mengatur hidup. Kononya tindakan mereka betul dan tepat selalu.
    Kehidupan diteruskan juga sejak 1945 sehingga merdeka kehidupan kami perit sentiasa. Berbagai cara dilakukan untuk menghapuskan Bintang Tiga, semakin ditentang semakin menjadi-jadi kekerasan mereka. Pendudukan yang melawan akan dibunuh dan dicedera. Harta pula dirampas dan diambil secara paksa. Yang tidak berdaya hanya mampu menangis sahaja. Yang kuat cuba melawan pasti menerima padahnya. Adikku turut berasa tempiasnya, membesar dengan tubuh yang kecil kerana tidak cukup makanan yang berkhasiat . Untung masih bernyawa biar kecil dia tetap bijak juga. Mungkin khasiat ubi kayu yang dijamah dengan air mata duka, rezeki ALLAH yang beri jua, telanlah asalkan mampu meneruskan hidup walaupun bukan itu yang dipinta.

    Aku melihat penderitaan orang kampungku, aku mendengar keluhan ayah dan ibu. Aku mendengar harapan mereka suatu hari penduduk bersatu dan negara Tanah Melayu lepas bebas dari sebarang penjajah yang tidak perlu.

    ***
    Bunyi dentuman bunga api membawa aku kembali ke dunia nyata. Sudah terlalu lama masa berlalu. Aku pula sudah beberapa tahun pencen dalam angkatan tentera. Berkhidmat untuk negara menyambung perjuangan orang dahulukala. 57 tahun berlalu bagaikan baharu semalam berlaku. Keperitan hidup sebelum merdeka hanya mereka yang lalui sahaja yang tahu. Mereka yang tidak melaluinya tidak akan berasa apa yang kami rasa. Ubi kayu makanan ruji kami sekeluarga, anak-anak serta cucu-cucuku tak suka dan tidak pernah merasanya.

    Hari ini aku dan keluargaku berkumpul seperti selalu. 31hb Ogos aku akan pastikan mereka berada di rumah, mendengar ceritaku tentang pemerintahan Inggeris, Jepun dan Bintang Tiga. Biar mereka tahu apa ertinya sebuah kemerdekaan. Ayah dan ibu sudah lama pergi sempat juga melihat negara ini merdeka. Rasa puas jadi rakyat Malaysia kerana kemerdekaan negaraku bukan dengan tumpahan darah atau rampasan kuasa. Darah dan keringat pahlaman Melayu melawan penjajah diharap tidak dilupakan kerana tanpa mereka negara ini tentu terus dijajah.

    Orang bijak selalu berkata, hargailah apa yang ada di hadapan mata, jika hilang menangis air mata darah sekalipun tiada ertinya. Jangan jadi manusia rakus kerana mengejar harta, pangkat dan kuasa. Inilah negara tumpah darahku dan keluargaku. Akan kudidik anak cucuku menghargainya. Mereka yang tidak melaluinya tidak akan mengerti. Boleh sahaja berkata, sejarah hanya rekaan manusia. Kepada mereka yang melaluinya, darah itu pengorbanan yang besar maknanya.
    Melihat mayat bergelimpangan di negara yang sedang berperang membuatkan hatiku sakit bagaikan dihiris sembilu. Orang dewasa dan berkuasa selalu mengatakan mereka buat kerana untuk kesejahteraan rakyat. Benarkah? Aku hanya mampu mengeluh dalam hati, kerana kudratku tidak sekuat dahulu, untuk berperang, senjata itu bagaikan terasa beratnya. Hanya terdaya membantu apa yang mampu.

    Pada anak cucuku, aku selalu nasihat, inilah negara kita, inilah tanah air kita. Hargailah selagi bernyawa, jangan dibiarkan kembali dijajah. Jangan dibiarkan sekali lagi dirampas, kerana kemerdekaan yang ada bukan mudah didapatkan. Bertarung dengan darah, nyawa dan harta. Kalau tidak tahu belajar dan bertanyalah, agar tidak buta mata dan pekak telinga sejarah negara sendiri tidak tahu. Semoga mereka menghargai apa yang ada, menyayangi apa yang ditinggalkan oleh mereka yang terdahulu. Aku melemparkan senyuman ke arah bendera negaraku yang berkibar di halaman. Aku bangga jadi rakyat Malaysia. Ubi rebus cicah sambal belacan bersulam dengan air kopi panas menjadi santapanku malam itu. Terasa nikmat melalui kerongkongku.

    TAMAT
    13/8/2014


Tiada ulasan:

Catat Ulasan