Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Selasa, 26 Ogos 2014

SESALAN TIDAK TERUCAP - ASMAH HASHIM




Zaiton mengeluh kesal,  apa yang sedang berlaku?  Dia sangkakan rumah tangga Amir Hudzaifa, Ummi Khadeeja dan Syifa Umaira sudah berbunga bahagia, tiada lagi sengketa antara mereka.  Rupanya dia silap.  Belah menunggu retak antara Syifa Umaira dan Amir Hudzaifa.  Sudah bertahun-tahun mereka tidak bertemu, hanya mendengar cerita dari kejauhan.  Panggilan telefon daripada  Ummi Khadeeja membuatkan hatinya diulit resah.
“Pergilah…  mungkin awak boleh bantu sesuatu?”  suruh Haji Salleh.
Zaiton menoleh ke arah suaminya.  Dia hanya melemparkan senyuman. 
Dalam kenderaan   mereka hanya mengisi kebisuan dengan mendengar lagu-lagu qasidah yang sedang berkumandang di radio.
 “Maafkan Eja kerana mengajak Ton!  Abang Amir yang suruh jumpa Mai, pujuk agar dia tidak menfailkan saman penceraian!” adu Ummi Khadeeja dengan mata berkaca.
 “Kenapa Ton?  Kenapa tak ajak orang lain?”  Zaiton memandang wajah  Ummi Khadeeja tidak berkelip.  Sahabat yang sudah lama tidak ditemui, berpisah lantaran tuntutan kerja dan waktu yang terbatas, menguruskan rumah tangga dan anak-anak, lebih-lebih lagi suaminya Haji Salleh sudah berniaga sendiri.  Jadi banyak masanya dihabiskan dengan kerja-kerja sendiri.

“Terima kasih kerana mempercayai Ton, Eja…”  Zaiton menepuk bahu sahabatnya. 
Suasana di laman rumah banglo dua tingkat  berwarna putih itu suram dan muram. Tiada kelihatan hiasan di laman rumah.  Tiada pokok renek menghiasi laman tersebut.  Rumput mula memanjang menghiasi laman tersebut. Langkah diayun mendekati pintu utama.  Salam diberi, pintu diketuk perlahan.  Terpacul di muka pintu wajah yang sudah lama tidak ditemui.   Mereka di pelawa masuk.
“Kak Eja!  Ada apa hal datang ni?  Kak Ton pun ada?”  Tiada senyuman terukir di bibir itu.
“Pasal kes mahkamah yang Mai buat terhadap  Abang Amir!” tegas suara Ummi Khadeeja.
Setelah berbincang, nampaknya  dia dan suami terpaksa juga menyelesaikan masalah yang baharu sahaja bertandang.  Tiada  ribut, tiada hujan, tahu-tahu banjir melanda.  Manalah tidak mengelabah jadinya, hendak angkat yang mana dahulu? Sofa mahal atau dokumen penting dahulu.  Zaiton mengeluh kesal.  Tiada mampu dibuat apa lagi.  Nasi sudah hangit, nak telan pun tidak mampu, bau hangitnya memeritkan tekak dan hidungnya sahaja. 

Ummi Khadeja pula malas hendak memaksa.  Kalau orang  sudah tak sudi, buat apa merayu?  Kalau tidak kerana pujukan suaminya, rela terpaksa dia melakukannya.  Kalau ikutkan hati, tidak kuasa dia  hendak mencemar duli.  Bukan sombong diri, tetapi manusia yang tidak ada hati seperti Syifa’Umaira, layakkah dihormati?


***
Sekali lafaz dilepaskan, terburailah segalanya.  Hubungan yang bercantum selama 9 tahun akhirnya putus jua.   Wajah selamba Syifa’ Umaira ditatap lama.  Langsung tiada rasa bersalah di wajahnya itu.  Malah senyuman terukir bangga.  Itulah manusia, paksa diri bermadu selepas itu buat onar dan tingkahlaku bak pelesit betina yang baharu dapat mangsa terbaharu.
Tuntutan bukan calang-calang, 50 gram emas, RM3,000 untuk anak-anak, duit kereta, duit rumah, dan duit sekolah,bayaran pembantu rumah,  semua tanggungan Amir Hudzaifa!  Kerana sayang Amir Hudzaifa turutkan sahaja.  Rela terpaksa menceraikan Syifa’ Umaira.  Kalau sudah isteri meminta, tidak diberi banyak pula songehnya.   Amir Hudzaifa tidak marah, hati Zaiton pula geram  bak tertelan lada.  Ummi Khadeeja hanya mampu mengeluh kesah.  Hendak bercakap dan melarang, bibirnya bak dikunci dengan kunci emas yang hilang anaknya.
Masa berlalu ingatkan sudah selesai satu masalah tidak akan ada gangguan mendatang, rupanya  dia silap, kalau sudah namanya syaitan, agaknya asyik suka menghasut dan menganggu.  Langsung tidak benarkan hidup orang lain tenang, ada sahaja ingauannya.  Kalau tidak pasal anak, mengamuk konon duit yang diberi tidak cukup.  Kalau tidak pasal duit, melenting sebab Amir Hudzaifa tidak datang  menjenguk anak-anak.  Kepala yang pusing 360 darjah siapa lagi kalau bukan Ummi Khadeeja.

Di pagi yang  dingin setelah semalaman hujang membasahi bumi, Ummi Khadeeja menghampiri rumah Zaiton dan  Haji Salleh.    Bagaikan menyerang orang yang salah pula.  Memanglah dia dan suami  berada di mahkamah waktu penceraian Amir Hudzaifa dan Syifa’ Umaira
tetapi bukan dia yang menentukan semuanya dan Amir Hudzaifa  yang melayan kehendak Syifa’ Umaira.  Dia hendak buat apa?  Begitu juga suaminya, mereka hanya membantu apa yang patut.
“Kenapa si Mai tu, Ton?  Abang Amir sudah bagi semuanya, tidak cukupkah lagi?”  marah Ummi Khadeeja yang ziarah Zaiton beberapa hari yang lalu. 
Hanya bahu yang berbicara, tidak tahu apa yang hendak dikata.  Siapa salah sebenarnya?  Amir Hudzaifa pun tahu, bekas isteri keduanya itu tidak mahu dimadukan.  Kenapa menambah masalah?  Tahu-tahu kahwin kali ketiga.  Ummi Khadeeja tidak marah kerana sudah berasa beratnya dan kelatkan kehidupan poligami. Syifa’ Umaira pula berasa tercabar, suami cari orang lain, siapa yang tidak marah!
“Eja bersabarlah ya…  mungkin masalah akan  selesai nanti!”  pujuk Zaiton, walaupun tahu  Syifa’ Umaira tidak akan berubah. Kalau dia hendak berubah, ketika 9 tahun dahulu.  Hati manusia jenis apa agaknya dia?
Terkejar-kejar Zaiton mengikut langkah besar Ummi Khadeeja menuju ke rumah Syifa’ Umaira, aduhai!  Janganlah mereka tarik rambut pula, kes naya ini!
“Eja… sabarlah!” pujuk Zaiton sambil menyambar tangan  Ummi Khadeeja. 
Ummi Khadeeja lebih rela, bekas madunya itu berpisah terus daripada suaminya.  Buat menghabiskan beras sahaja bela manusia yang tiada hati dan belas ehsan kepada suami sendiri.  Siap tuduh lagi, kononnya dipukul dan ada laporan polis pula itu!
“Siapa yang boleh bersabar?  Ton tahukan, dia buat laporan polis!  Lepas tu ajak Eja buat laporan polis sebab Abang Amir berkahwin lagi tidak memberitahu kami! Dia ingat, Eja segila dia agaknya!”  berapi-api marah Ummi Khadeeja.  Tidak tahan dengan sikap kurang ajar bekas madunya itu.
“Tak tahulah Ton nak cakap apa,” kata Zaiton.  Dia sendiri marah!  Bukan Ummi Khadeeja sahaja.  Semakin marah dengan sikap menunduk Amir Hudzaifa.  Apa yang ditakutkan dengan Syifa’ Umaira?  Bimbang keterlaluan kehilangan  anak-anaknya. 
“Ton tahu tak!  Beli televisyen LCD, telefon, Tab…  aduhai!  Duit yang Abang Amir bagi itu, untuk anak-anak, bukan menghabiskannya  sesuka hati!” marah lagi. 
Zaiton menelan air liur. Alamak!  Teruknya.  Lepas berpisah lagi teruk jadinya? Memang hilang akal atau balas dendam.
“Yang Ustaz Amir bernikah lagi itu kenapa? Dah tahu sah-sah   Mai tak setuju!  Sekarang dah berpisah, anak-anak pula jadi mangsa!  Mai pula tahu, ustaz sayang sangat anak-anak, lagilah mudah kerja dia,”  menambah perisa.  Aduhai, tak pasal-pasal dapat dosa mengumpat saudara sesama Islam.
“Itu Eja tak tahu!  Malas nak bertanya,”  Ummi Khadeeja mengendur, nada suaranya bertukar suram.   Air yang terhidang diteguk menghilangkan dahaga dan kering tekaknya.
“Untunglah dia, tak perlu bekerja!  Semuanya sudah tersedia.  Tak perlu melayan suami dan uruskan  makan minum Abang Amir, tapi duit dia hendak!  Sanggup gunakan anak pula itu!”  Melambak kembali rasa geramnya.  Ummi Khadeeja mendengus kasar.
Zaiton hanya mampu menggelengkan kesal. Kecewa dengan apa yang berlaku.  Sikap prihatin dan bertanggungjawab Amir Hudzaifa dipergunakan sebaik mungkin oleh Syifa’ Umaira.  Bijak, bijak, memang bijak!
“Abang Amir terlalu baik, kalau dia berkahwin lagi siapalah kita hendak menghalangnya!  Bukankah dengan izin ALLAH jua, Eja harap, anak-anak akan diserahkan kepada Abang Amir satu hari nanti!”  harap Ummi Khadeeja.

“Semoga Mai akan insaf, Eja…”  Itu juga harapan Zaiton.  Lirih hatinya melihat masalah sahabatnya itu tidak pernah padam.  Tidak tahukah Ustaz Amir Hudzaifa  bahawa isteri-isterinya sudah tidak redha dia berkahwin lagi?  Sehingga berlaku penceraian yang tidak dirancang.  Syifa’ Umaira sudah  jelas-jelas tidak mahu dimadukan!  Ummi Khadeeja akur dalam kepaksaan.  Sekarang siapa yang menjadi mangsa?  Isteri ketiga pula bukan hendak mendamaikan, malah memeritkan lagi kehidupan mereka berempat.   Zaiton menggeleng kesal.  Dia tidak mahu lagi mencampuri urusan rumah tangga sahabatnya itu. Biarlah mereka urus dan selesaikan sendiri.

***
Ummi Khadeeja mencengkam tangan Syifa’ Umaira kuat.  Kalau ikutkan hatinya mahu sahaja penampar naik ke muka bekas madunya itu.  Tergamak buat fitnah, tergamak mengugut, tergamak menghina lelaki yang pernah menjadi suaminya.  Siap guna anak-anaknya pula!  Hati siapa yang boleh tahan, boleh bersabar?  Luarannya penuhlah lembut sampai peguam pun percaya tetapi hati macam ketua iblis, langsung tidak ada tolak ansur.  Zaiton pula sudah tidak mahu membantunya.  Kenalah dia bertindak sendiri.
“Lepaslah kak Eja… sakit tau!”  Tangannya direntap kuat sehingga terlepas dari genggaman Ummi Khadeeja.
“Kau memang dasar muka tak malu, kan?  Sudahlah minta cerai! Minta lagi itu, ini! Ini kau ugut pula Abang Amir!  Kau ni manusia atau syaitan, hah!” lengking suara Ummi Khadeeja yang semakin hilang sabarnya.  Suaminya sampai tidak dapat menumpukan perhatian kepada kuliah dan maahad, kalau dah asyik diganggu dengan sms daripada Syifa’ Umaira. 

“Akak sibuk buat apa?  Abang Amir tak jadi masalah pun!”  lawan Syifa’ Umaira.
“Tak ada masalah?  Kau ganggu dia siang dan malam dengan sms kau yang kurang ajar itu!  Kau ugut tak bagi dia jumpa anak-anak! Kau ugut nak kahwin lain! Heh! Kahwinlah… siapa larang?  Kau ingat kau hebat sangat?  Masak tak pandai, urus rumah tangga tak tahu, anak tak pandai jaga!  Rumah bersepah!  Harap pembantu rumah yang ada, beri makan anak-anak kau dan mengemas! Kalau harapkan kau… makan nasi dengan kicap ajelah budak-budak itu!”  jerkah Ummi Khadeeja.  Cepat-cepat dia beristighfar.  Itulah hakikatnya Syifa’ Umaira yang perasan hebat itu.  Setiap hari dia tahu suaminya terpaksa membeli lauk yang sudah siap di kedai, atas alasan tak sempat hendak memasak  oleh bekas madunya itu.  Rumah pula langsung tidak berkemas, atas alasan yang sama.  Syifa’ Umaira tidak bekerja?  Apa yang dia buat di rumah?  Anak kalau ramai dan kecil-kecil sekalipun takkan tak punya ruang waktu untuk mengemas rumah?  Dasar pemalas dan lembap buat kerja.  Untung bersuamikan suaminya, yang boleh bertolak ansur kalau lelaki lain agaknya sudah lama tangan naik ke badan.

“Selagi hati saya tidak hilang sakitnya!  Selagi itulah kehidupan akak dan isteri ketiga  Abang Amir tidak akan aman!  Saya  haramkan perempuan itu sentuh anak-anak saya!” 

“Hoi! Itu anak-anak Abang Amir juga tau!  Abang Amir berhak bagi kepada sesiapa sahaja untuk menjaga anak-anaknya!”  bebel Ummi Khadeeja.
“Peduli apa saya!  Ini perjanjian antara saya dengan Abang Amir.  Akak jangan masuk campur!”  marah Syifa’Umaira.

“Kau ingat, akak akan biarkan kau terus menganggu kebahagian kami, Mai!  Akak akan pastikan hak penjagaan anak akan jatuh ke tangan Abang Amir!  Biar kau mati kering sendiri!”  ugut Ummi Khadeeja.  Jika bekas madunya itu pandai mengugut, dia juga tahu.   Dia mengetap bibir.
“Padan muka akak di madukan lagi!  Saya dah bebas sekarang!”  kata Syifa’ Umaira bangga.
“Hoi! Sedar diri sikitlah, kau tu janda anak lima, ada ke orang mahu?” sindir Ummi Khadeeja. 
“Main kasar nampak!” Syifa’ Umaira mencekak pinggang.
“Kau sahaja yang berani dan kuat?  Kau ingat akak takut?” 
“Akak jangan  cuba naikkan darah saya!  Kang saya hilang pertimbangan, teruk akak saya kerjakan!”
“Ala, badan kurus melidi!   Ada hati nak ganyang akak! Kau ingat kau seorang sahaja yang berani?”  Ummi Khadeeja mula menyising lengan baju jubahnya.  Perasaan marah yang membara di hati membuatkan dia hilang pertimbangan akal yang waras.  Hilang keayuannya sebagai muslimat dan wanita Melayu.  Inilah akibatnya kalau sudah terlalu marah.
“Eja, Mai!” jerit seseorang. 
Kedua-duanya menoleh.
Amir Hudzaifa dan isteri ketiganya datang menghampiri Syifa’ Umaira dan Ummi Khadeeja.
“Kenapa ini? Kalian hendak malukan abang?”  kata Amir Hudzaifa, tegas.
“Ini, isteri tua abang, ganggu di laman rumah saya!  Datang tak bagi salam, terus maki hamun saya! Saya boleh buat laporan polis kerana kak Eja serang saya!”  ugut lagi.
“Kau!” Ummi Khadeeja mencebik.  Hatinya berbunga benci terhadap bekas madunya itu.  Sejak dahulu, kini dan selamanya.  Tiada aura antara mereka untuk saling kasih mengasihi.  Tidak mungkin wujud keharmonian antara mereka.
“Akak, Mai, kenapa macam ini?  Malu jika didengari oleh jiran-jiran. Kita masih boleh berbincang”  sampuk Nani, isteri ketiga Amir Hudzaifa.
“Kaulah punca segalanya!  Kau rampas  Abang Amir!  Kau memang perempuan tidak tahu malu! Ambil laki orang!”  jerit Syifa’ Umaira, geram, marah, benci, meluat semua ada bagaikan rojak.  Kalau rojak sedap juga di makan.
“Mai tak ambil laki orangkah?” sinis sekali, Ummi Khadeeja mengangkat kening.
Terdiam Syifa’ Umaira.
Ummi Khadeeja memandang madunya yang baharu. Ini pun satu hal juga.  Tahu-tahu sudah bernikah.  Untung dia tidak segila Syifa’ Umaira kalau tidak boleh botak kepala suaminya.  Wajah resah Amir Hudzaifa dipandang sekali imbas.  Kalau ikutkan sakit hatinya, entahlah…  boleh hilang rasa hormatnya kepada suami yang amat disayangi itu.   Kejamkah suaminya berkahwin lagi tanpa meminta izin darinya terlebih dahulu?  Layakkah dia berkecil hati atau membenci suaminya itu?  Hatinya terluka berkali-kali, tiada ruang yang tidak bertampal agar tidak berdarah kembali. Berhati-hati agar hatinya tidak mati lantaran dihunus pisau yang tajam oleh suaminya yang lansung tidak mahu memahami dan cuba mengerti perasaannya.  Lain di mulut, lain di hati, itulah situasi kini. 

“Sudahlah!  Jom balik, jangan buat kecoh di sini lagi.  Mai bukan isteri abang lagi!”  ajak Amir Hudzaifa.
“Abang hendak lepaskan sahaja dia?  Tak cukupkah lagi dia menganggu kebahagian kita?  Mai… akak akan pastikan anak-anak akan menjadi milik Abang Amir!  Biarkau pula putih mata!”  ugut Ummu Khadeeja.  Bukan niat di hati ingin memisahkan seorang ibu dengan anak-anak, tetapi bekas madunya itu sanggup buat apa sahaja demi menghancurkan rumah tangga dia dan keluarganya.  Tidak mungkin dia mendiamkan diri.  Lawan tetap lawan.  Di Mahkamah mereka akan berjumpa!

“Dia bukan isteri abang lagi.  Abang akan dapatkan hak penjagaan anak-anak.  Mai keterlaluan.  Abang pun ada maruah dan harga diri.  Jangan ugut abang lagi, jangan hina abang lagi, anak-anak kini di bawah jagaan Mai, jagalah mereka dengan baik dan asuhlah mereka dengan didikan agama.  Kalau Mai bertemu jodoh, abang doakan Mai bahagia.  Jangan ganggu rumah tangga abang lagi.  Binalah hidup baharu, berubahlah menjadi manusia yang tahu menghormati orang lain, semoga Mai bertemu dengan lelaki yang mampu membahagiakan Mai.  Abang hanya manusia biasa.  Maafkan abang jika selama menjadi suami Mai, abang tidak mampu membahagia dan membimbing Mai menjadi muslimat dan isteri solehah,”  kata Amir Hudzaifa sebelum  berlalu dari  rumah Syifa’ Umaira bersama kedua-dua isterinya.

Syifa’ Umaira termanggu sendiri.  Terdiam dan tidak berkutik.  Wajah tenang Amir Hudzaifa membuatkan hatinya parah.  Luka dan berdarah.  Kini bekas suaminya sudah ada pengganti dirinya.  Mungkin jauh lebih baik dari dirinya.  Air mata berguguran di pipinya yang cengkung.  Dibiarkan sahaja di situ.

Amir Hudzaifa diulit resah, jiwanya kacau dengan sikap isteri-isteri dan bekas isterinya.    Dalam hati dia tetap berdoa, agar ALLAH SWT memberinya kebahagian dunia dan akhirat.
Ummi Khadeeja berwajah kelat.  Menyesal dia setuju suaminya berkahwin lagi.  Payung emas entah ke mana, dosa sahaja mengiringi hidupnya lantaran hatinya tidak redha sepenuhnya.  Makan hati berulam jantung, jiwa kacau, hidung dirundung resah yang sering berkunjung.    Wajah madunya yang tenang dipandang sekali imbas.  Nasib badanlah agaknya, sudah ditakdirkan dia akan berkongsi suami.  Kepada ALLAH dia berserah, semoga ada kebahagian di penghujung kehidupannya dan keluarga.

11 ulasan:

  1. makin betambah benci sy dngn amir hudzaifah....dasar lelaki x pernah puas...yg jd mangsa prempuan jugak...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Kan My Munie, orang lelaki, sudah ada 2 bini, cukuplah... nak juga tambah.

      Padam
    2. nampaknya status Uztaz menujukkan diri yg tak pernah puas...

      Padam
  2. Ni la contoh lelaki yang gunakan agama untuk tambah isteri. Dah dua isteri tak mampu berlaku adil, lagi tambah jadi tiga. Bila jadi dua balik pun masalah tetap bertambah. Kahwin ikut nafsu ni. Hehehe...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih sudi baca. Orang lelaki Misza tidak kira pandai agama atau tidak selalu gunakan alasan ikut sunnah Rasul untuk berkahwin lebih.

      Padam
    2. btul tu...padan dengan muka dia...hahahahaa...klu saya nak watak ija tu pulak minta cerai...buat apa hidup hidup dengan org yg tiada pendirian...heehehee

      Padam
    3. Saya pun setuju ngan Misza..ustaz ni oun macam tak pandai nak kendalikan poligami..ada ke patut nikah waktu isteri sedang melahirkan anak..then tak jenguk pun. Tak layak betul jadi ustaz.

      Padam
    4. Saya pun setuju ngan Misza..ustaz ni oun macam tak pandai nak kendalikan poligami..ada ke patut nikah waktu isteri sedang melahirkan anak..then tak jenguk pun. Tak layak betul jadi ustaz.

      Padam
  3. Akaaakkkk, Umi Khadeeja selalu 'tertangkap' dgn Ustaz Amir bila pi serang Mai. Sib baik tak kena lempang lagi

    BalasPadam
  4. Saya setuju sangat, Mai patut diajar.. Biar hak penjagaan anak jatuh ke tangan Amir.. Biar Mai tahu langit tu tinggi ke rendah..

    BalasPadam