Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Khamis, 7 Ogos 2014

ULASAN NOVEL 7 WARNA CINTA- karya FIDA ROHANI


7 WARNA CINTA
FIDA ROHANI
ALAF 21
RM21.00
2014

Kamilia seorang gadis yang naïf dan setia.  Cinta pertamanya gagal di tengah jalan lantaran kekasih hati berkalih kasih kepada gadis lain.  Hatinya hancur berkecai, namun dia pasrah.  Cinta itu mati di hati.  Kamilia juga seorang anak yang baik dan taat.  Dia menerima perkahwinan yang diaturkan keluarga.  Dia menyerahkan hati dan jiwa kepada perkahwinannya itu.  
Zamri seorang yang cemburu buta.  Sikap Zamri yang suka mengongkong membuatkan jiwa Kamilia tertekan namun dia cuba bersabar.  Kerana kebosanan Kamilia memohon izin untuk bekerja.  Zamri izinkan setelah dirayu Kamilia.  Setiap hari Kamilia menumpang kereta bosnya  untuk ke tempat kerja, perbuatannya membuatkan Zamri cemburu.  Kamilia cuba menerangkan bahawa bukan dia berdua-duaan dengan bosnya  itu, tetapi ada isteri lelaki itu.   Lama kelamaan sikap Zamri semakin menjadi-jadi, semakin bingung Kamilia jadinya.  Lantaran sikap cemburu yang terlelaluan menyebabkan Zamri sanggup berhenti kerja dan memantau kegiatan Kamilia setiap hari.  Sehingga menerbitkan kemarahan ahli keluarganya.    Kamilia juga tidak  kuat untuk terus bertahan.  Penghinaan keluarga Zamri menambah sakit di hati.  Dia rela dilepaskan dari hidup tertekan dan tidak bahagia. 

Nik Arif, tiba-tiba diberi kata dua oleh Zamri agar mengahwini Kamilia jika dia menceraikan isterinya itu.  Kamilia tidak setuju.  Nik Arif?  Dalam diam lelaki itu memang benar-benar mencintai Kamilia.  Apabila Zamri sudah menceraikan  Kamilia, Nik Arif hadir menghulur tangan mengharap kasih Kamilia.  Bagaimana dia sanggup menghancurkan hati perempuan lain, dia tahu Nik Arif sudah beristeri.    Namun pujuk rayu Nik Arif membuat hati Kamilia lemah, akhirnya dia bersetuju mengahwini Nik Arif biarpun menjadi isteri kedua.  Janji manis Nik Arif membuai jiwanya. 
Perkahwinan yang diharapkan bahagia sehingga ke penghujungnya namun tidak kesampaian jua.  Nik Arif bermain tarik tali. Kehadiran Kamilia tiada siapa yang mengetahui, hidup bagaikan perempuan simpanan.  Hati Kamilia kecewa, sehingga sanggup dilepaskan setelah bertahun-tahun hidup bersama.  Dia tidak sanggup lagi menjadi mangsa penipuan suaminya sendiri.  Dia juga ada harga diri.  

Apakah yang berlaku seterusnya.  Karya yang hebat, penuh dengan ceritanya tersendiri.  Air mata pasti mengalir mengenangkan nasib Kamilia yang bagaikan tiada penghujungnya.  Duka bagaikan permainan kehidupannya.  Air mata bagaikan teman yang setia.  Mampukah kebahagian menjadi  miliknya?  Kalau hendak tahu jom dapatkan karya ini. 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan