Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Selasa, 6 Mac 2018

HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS- BAB 82




Jambangan bunga yang bertulis tangan sudah siap ditempah.  Rose tersenyum senang.  Dia mengangkat kening ke arah Ain yang melihatnya dengan penuh kehairanan.

    Idea gila manalah gadis itu ikut, bisik hati kecil Ain sendiri. Dia membayar harga jambangan bunga itu.  Pertama kali agaknya dalam sejarah, seorang perempuan menghadiahkan bunga kepada lelaki. Tidak pernah dibuat orang.  Memang gila!  Ikutkan sahajalah idea Rose, manalah tahu menjadi.  Pesanan ringkas tidak berjawab, whatsapp juga begitu. Takkan nak hantar gambar dia pula di Instagram, memang kes teruklah itu.

    “Kau rasa akan menjadi ke Rose?” tanya Ain cuak.  Kalau bunga itu Haikal buang ke dalam tong sampah macam mana? Membazir sahaja.  Bukannya murah.  Bunga itu akan dihantar oleh pihak kedai kepada Haikal. Takkanlah dia yang hantar sendiri? Tak kuasalah.

    “Hari tu aku dah bagi tahu dia, kau dah berubah, dia tak percaya.  Dia cakap aku sengaja mereka cerita.  Kita cuba yang ini dululah, tengok macam mana?  Kau pun dah belajar memasak dengan aku, nanti kau cuba pula hantar mangkuk tingkat.”  Rose sendiri tidak faham perangai seorang lelaki, rajuknya lebih teruk daripada seorang perempuan.  Nak pujuk macam mana lagi?  Kata-kata rayuan sudah terluah.  Pujuk sudah, rayu pun sudah, masih lagi jual mahal. Gambar kemesraan keluarganya dengan Ain juga sudah dihantar dalam whatsapp, lelaki itu masih tidak percaya. Gambar Ain bersama Hajah Mona juga sudah dikirim, masih juga berdegil.  Amboi! Bukan main keras hati dan egonya!

    “Memang keras hati betullah dia!” Ain mendengus kasar. Penatlah kalau macam ini.  Dia tahu dia berdosa dan bersalah. Dia sudah pun insaf dan dapat menerima kehadiran Rose yang telah berjasa dan menyelamatkan nyawanya.   Emaknya juga sudah berubah, rupanya telefon yang tidak berjawab itu sebab emaknya  ke kelas pengajian agama di masjid kampung mereka.

Berubah sungguh emaknya. Malah siap meminta maaf dengan mereka yang pernah menjadi usikan mulutnya.  Ramai yang terkejut dan tidak percaya, lama-kelamaan mereka mengakuiny sendiri bila melihat kesungguhan emaknya melakukan ibadat.  Hujung tahun akan ke Mekah mengerjakan umrah siap bawa  bersama besan dan kedua orang tua Rose. Untuk menebus rasa bersalah di atas perbuatannya yang lalu. Ain bangga dengan sikap emaknya.  Benarlah kata Rose, manusia boleh berubah jika ingin lakukannya dan bersungguh-sungguh.  Buktinya, emaknya sendiri.


    “Kau jangan bimbang.  Bunga ini pasti akan melembutkan hati kelelakiannya,”  gurau Rose, namun tetap yakin.

    “Yalah… banyaklah kau punya lembut!”  Ain mendengus kasar. 

    “Minggu depan kita kirim coklat pula, kalau tak berjaya kita pujuk dengan strawberry coklat macam Dato Siti Nurhaliza makan tu,”  cadang Rose.

    Ain menggeleng.  Apalah punya idea, klise sungguh. Sudah ramai yang buat. 

    “Yakinlah dengan diri sendiri Ain… kalau kau tak yakin, takkan aku pula nak yakinkan diri kau?”  Rose mencebik.  Susah bercakap dengan orang yang ada sedikit ego ini.

    “Mungkin dia dah tak suka dengan aku, buat apa aku berusaha macam ni dan terhegeh-hegeh memujuk. Dia masih juga berkeras  tak nak balik dengan aku.” Dasar lelaki, rungut Ain sendiri.

    “Haikal masih sayangkan kaulah Ain, kau jangan bimbang.” Rose pasti tentang itu. Haikal sayangkan Ain tetapi keegoaan lelaki itu menghalang mereka kembali bersama.  Geram juga dia, kalau ikutkan hati mahu saja dia debuk lelaki itu. 

    “Yalah tu… jomlah makan, aku dah lapar.” Ain mengusap perutnya.  Dia memandang sekeliling, mencari kedai makan yang berhampiran.

    “Takkan nak makan nasi? Pagi tadi dah melantak!”    Rose  menolak, dia nak makan makanan lain.  Bukan nasi. Jaga keterampilan walaupun tidak cantik.

    “Apa kata kita makan Pizza!” cadang  Ain.

    “Ton ni mana?  Lambat lagi ke?” keluh Rose.  Hujung minggu mereka bertiga sering keluar bersama, kalau tidak balik kampung, mereka akan berjalan sekitar Kuala Lumpur, pergilah ke mana sahaja asalkan boleh menenangkan fikiran dan menghilangkan rasa letih di badan.

    “Kejap lagi sampailah tu. Jangan ke mana-mana, kang dia tercari-cari kita.” Matanya melilau mencari sahabatnya.  Zaiton ada hal di pejabat, terpaksa buat kerja di hujung minggu. Matanya tertangkap kemesraan sepasang teruna dan dara yang amat dikenali.  Banyak barang di tangan. Keluar membeli belah bersama, rupanya. Dia tersenyum, mereka layak bersama.  Dia sedar dirinya.  Dalam diam dia menyimpan perasaan terhadap Dasuki. Biarlah hanya di dalam hati, tidak mungkin lelaki itu memilihnya sebagai teman hidup, sedar diri Rose, sedar diri! Bisiknya di dalam hati yang paling dalam.

    “Kau tengok siapa?” tanya Ain kehairanan.  Tidak berkelip Rose melihat pasangan yang berjalan menuju ke kereta BMW yang diparkirkan tidak jauh dari pusat membeli-belah Sogo.

    “Kau kenal ke?” Ain menyiku Rose yang masih terpaku memandang pasangan itu.
    “Hah?”  Rose terpinga-pinga, dia menoleh ke arah Ain semula. Senyuman cuba dilakarkan, tetapi hambar. Ada kesakitan di hati.  Ya ALLAH kenapalah aku menyimpan perasaan kepada lelaki itu? Aku sedar diriku, doa Rose dalam hati.

    “Kau ni kenapa?” Ain menggeleng laju.  Mesti ada perkara yang bermain difikiran temannya itu.

    “Tak ada apalah, jom kita ke Pizza Hut, nanti kita telefon Ton suruh ke situ.”  Rose tidak mahu terus bersedih dan menangis. Untuk apa? Dia hanya bertepuk sebelah tangan. Keprihatinan lelaki itu dan kemesraan selama ini hanya sebagai kenalan dan teman.   Dia sahaja yang perasan dan tidak sedar diri.  Fikirannya menerawang jauh, memikirkan nasib sendiri. Zaiton bakal bertunang tidak lama lagi dengan lelaki pilihan abangnya.  Kawan abangnya sendiri. Lambat sangat cari sendiri, maka abangnya tolong carikan. Tinggalkan dia sendirian di alam yang fana ini, mengharungi hidup tanpa teman di sisi.  Sebak menyingah, mengulit rasa sedih di hati.  Jangan menangis wahai mata, katanya dalam hati.  Biarlah kupendam sebuah duka, omelnya dalam hati lagi.  Bercakap sendiri bagaikan terasa puasnya. Tidak mengganggu sesiapa. Terluah apa yang dirasa, tiada siapa yang akan memahaminya.

    “Kau kenal lelaki dan perempuan itu tadi kan?”  Ain masih bertanya tentang hal itu tadi.

    “Ooo… mereka berdua pelanggan aku,” cerita Rose, tidak mahu Ain bertanya lagi. Dia ingin melupakan apa yang dilihat. Ain sibuk pula mengingatkannya.

    “Hmm… kacak dan lawa, sesuai sangat,”  puji Ain.

    Rose mengangguk. Memang sesuai bagaikan pinang dibelah dua.  Kalau dengan dirinya sudah pasti bagaikan pinang dibelah dengan kapak, erk… atau gergaji. Sedar diri Rose, sedar diri! Rose malas melayan perasaanya, buat hatinya sedih dan kecewa.  Biarlah mereka bahagia bersama, dia tumpang gembira. Ikhlaskan hati Rose! Bebelnya sendiri.

Sabtu, 3 Mac 2018

HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS - BAB 81



Bintang bergemerlapan di langit malam, cahaya bulan menerangi alam yang gelap itu. Kenderaan bertali arus sepanjang perjalanan mereka ke restoran yang dituju.  Emaknya sudah pun menjamah masakan Rose, usai solat isyak terus sambung membaca  Al-Quran.  Dasuki sudah meminta izin untuk keluar malam itu.  Ada perkara yang ingin dibincangkan dengan Weeda.  Perkara itu serius dan melibatkan kehidupannya. 
            Wajah Weeda yang putih bersih dipandang sekali imbas.  Dia tersenyum sendiri. Tidak menyangka pertemuan semula melahirkan bibit-bibit indah di hati.  Cintakah namanya, dia sendiri tidak pasti.  Apa yang dia tahu, hatinya sudah terpaut dengan teman tetapi mesra itu.  Sudah berkali-kali mereka berjumpa dan berbual mesra. Bercerita tentang zaman belajar dan masa hadapan.  Namun tentang perasaan masing-masing belum pernah terluahkan.
            Desakan emaknya agar dia berumah tangga sesekali mengganggu tidurnya.  Tidak salah mencuba dan menyelami perasaan wanita yang seorang ini.  Mereka singgah di sebuah restoran yang terletak tidak berapa jauh dari tempat tinggal mereka.  Sudah terbiasa menjamu selera di situ.  Masakannya juga tidak kurang enaknya. 
            “Kenapa hari ni awak serius saja? Ada apa-apa yang ingin awak beritahu saya?”  Weeda meneguk air kosong yang sudah siap terhidang. 
            “Kita pesan makanan dan minuman dulu, nanti kita sembang semula,” kata Dasuki dan memanggil pelayan yang bertugas.  Usai memesan makanan dan minuman, mereka kembali menyambung perbualan yang tertangguh.
            “Kita sudah saling berumur, saya pun tak mahu tunggu lama-lama lagi. Hubungan awak dengan emak saya pun baik.  Weeda, saya bukan seorang yang pandai bermain dengan kata-kata.  Saya serius dan berterus terang orangnya. Saya tidak memaksa awak memberi jawapan segera, jika awak sudi, saya terima dengan hati gembira. Jika awak menolak, saya tidak akan berkecil hati,” luah Dasuki.  Berdebar juga hatinya.  Tidak tahu reaksi gadis itu.
            “Awak maksudkan apa Suki? Tentang kita?”  Weeda memandang wajah lelaki yang sentiasa tenang dan mendamaikan jiwa itu. 
            “Ya tentang kita,  memanglah terlalu pendek masa kita bertemu semula dan saya terus meluahkan rasa hati.  Rasanya tak salah.  Kalau hati sudah suka sama suka, buat apa bertangguh lagi, kan?”
            Weeda terdiam. Dia mencari kekuatan dalam diri.  Bukan tidak mahu berumah tangga. Jauh sekali ingin hidup sendirian.  Namun, mampukah dia menjadi suri di hati Dasuki?  Dia punya impian dan cita-cita ingin berjaya dalam kerjaya sehingga ke peringkat yang lebih tinggi lagi.
            “Kalau saya masuk meminang awak, macam mana?”  tanya Dasuki. Matanya tidak lepas daripada memandang wajah manis itu.
            “Awak dah fikir masak-masak ke?  Kita sesuai bersama ke?  Saya tak pandai memasak sangat. Takut awak menyesal pula.  Lagipun saya tak suka buat kerja rumah.  Saya suka dengan kerja saya, dan saya takkan tinggalkan kerja saya kerana orang lain,”  terang Weeda. Bukan dia jual mahal tetapi dia mahu Dasuki mengenali dirinya betul-betul.
            “Saya bukan seorang yang cerewet dan saya juga tidak meminta kesempurnaan.  Selagi awak sudi bersama saya, menerima emak saya dalam hidup awak, perkara lain bukan besar bagi saya,” luah Dasuki. Dia menerima gadis itu seadanya.  Tidak meminta lebih. 
            “Kalau begitu kata awak… saya takkan menolak. Terpulanglah kepada awak. Saya ikutkan saja,”jawab Weeda dengan wajah berseri-seri.  Dia tidak bertepuk sebelah tangan.  Hatinya juga menyukai lelaki itu. Mereka bukan muda  lagi untuk meluahkan rasa cinta seperti orang muda. Cukuplah saling memahami, sudah suka  terus masuk meminang.
            Mereka terus berbual mesra, tentang masa depan dan kehidupan yang bakal mereka tempuhi nanti.  Dasuki gembira bukan kepalang. Akhirnya ada juga yang sudi menerima kehadiran dia dan emaknya.  Apa yang penting baginya, adalah emaknya.    Dia pasti emaknya akan suka dengan pilihannya.  Weeda juga mesra dengan emaknya.  Berita gembira itu akan disampaikan segera kepada emaknya.
            “Minggu hadapan, saya masuk memimang,” kata Dasuki, tidak sabar lagi.  Buat apa berlengah. Masa terus berjalan, usianya juga tidak akan muda lagi.
            “Cepatnya!”  Weeda terkejut. Teruja sangat nak berumah tangga.  Biarkanlah.  Orang lelaki, perlaksanaan tidak mahu ditangguh.
            Usai makan malam, mereka terus pulang ke rumah.  Dasuki menghantar Weeda kembali ke rumahnya. Kisah malam ini pasti akan terbawa ke dalam mimpi.  Dasuki tersenyum bahagia. Langkah diatur penuh keceriaan.

***
            Di ruang tamu Hajah Sofiah masih tidak melelapkan mata.  Menunggu kepulangan anak tunggalnya.  Dia tersenyum mesra ketika melihat Dasuki yang datang mendekatinya.
            “Mak tak tidur lagi?”  Dasuki duduk di sebelah Hajah Sofiah.
            “Keluar dengan Weeda?” tanya Hajah Sofiah.
            “Ya… mak,”  jawab Dasuki. Wajahnya berona bahagia.
            “Mak nak cakap sesuatu dengan Suki, boleh?”   Hajah Sofiah memandang wajah Dasuki yang terpancar kegembiraannya. Tentu ada sesuatu yang berlaku antara anaknya dan gadis itu.
            “Boleh mak.” Dasuki menunggu dengan sabar.  Mata mereka saling bertatapan.
            “Mak nak Suki meminang Rose!” luah Hajah Sofiah. 
            Dasuki terkejut, terdiam dan tergamam. Biar betul emaknya. Meminang gadis hitam manis itu?  Dia menelan air liur sendiri.
            “Mak serius?” tanya Dasuki, serba salah jadinya.  Takkan emaknya serius.  Tidakkah emaknya terlihat dan ternampak kemesraannya dengan Weeda? Adakah emaknya tidak menyenangi Weeda?  Bukankah emaknya begitu mesra dengan Weeda? 
            “Ya...” Hajah Sofiah memegang tangan Dasuki.   Dia mengusapnya perlahan, lembut dan penuh dengan kasih dan sayang.
            “Suki tak suka?  Suki suka dengan Weeda?”  Seperti memahami perasaan anak tunggalnya itu.  Hajah Sofiah tersenyum.  Tiada lelaki yang akan sudi mengahwini Rose, kerana fizikalnya.  Dia mengeluh kesal.  Gadis itu terlalu istimewa tetapi tiada siapa yang nampak.  Hanya melihat kepada fizikalnya sahaja sudah buat andaian.
            “Suki dah melamar Weeda tadi, mak…” jelas Dasuki, menunduk.
            “Mak tak marah, jika itu keputusan dan pilihan Suki.”  Hajah Sofiah memandang ke arah lain. Bukan kecewa tetapi entahlah, hatinya lebih berkenan kepada Rose, biarpun gadis itu tidak sempurna penampilannya.  Jika anaknya menolak, dia tidak mampu berbuat apa-apa.  Mungkin  bukan jodoh anaknya dengan gadis itu.
            “Kenapa mak suka dengan Rose, bukan Weeda?” tanya Dasuki ingin menyelami perasaan emaknya.
            “Kejujuran dan keikhlasan Rose.  Weeda masih ada kepura-puraannya.  Melayan emak kerana terpaksa.  Tidak dengan Rose, itu yang membezakan mereka,”  luah Hajah Sofiah.
            “Mungkin kerana Weeda bekerja dan penat mak.  Lagipun dia tak biasa menjaga orang lumpuh dan sakit seperti mak.  Rose pula, mungkin dia selesa melakukannya.” Dasuki tidak mampu menyanggah pendapat emaknya.  Memang Weeda kelihatan sedikit kekok dalam menguruskan emaknya, berbeza dengan Rose yang selamba sahaja melakukan apa sahaja yang dipinta.  Hatta membawa emaknya ke bilik air. 
            “Kalau Suki dah buat keputusan, emak tak mampu menyekat. Suki yang akan hidup dengan gadis pilihan Suki, emak hanya menumpang kasihnya.”  Hajah Sofiah tidak mahu menjadi seorang emak yang kejam dan hanya mementingkan diri sendiri.  Jika Weeda pilihan anaknya, dia terima dengan hati terbuka.
            “Bila nak masuk meminang?” tanya Hajah Sofiah.
            “Minggu hadapan, emak ikut sama ya?   Nanti Suki beritahu pada Pak Long di Kampung,”  terang Dasuki. Senyuman kembali terukir. Hajah Sofiah telah memberi persetujuan.
            “Yalah…” Hajah Sofiah menolak kerusi rodanya dengan tangan menuju ke biliknya.  Biarlah anak lelakinya menyulam bahagia.  Dia tidak akan kecewa, biarpun sedih tetap ada.  Wajah manis Rose menyinggah di mata.  Tidak hairanlah gadis itu beria-ia dan bertungkus lumus ingin menjadi kaya, kerana tahu dia tidak akan menjadi milik sesiapa, hanya milik keluarga dan dirinya sendiri. Hiba merayap di hati. Simpati dengan nasih Rose yang tetap riang, siapalah tahu duka di hati gadis yang sentiasa berwajah manis itu.  Dia sempat berdoa, agar Rose dipertemukan jodoh dengan lelaki yang mampu membahagiakannya.