Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Isnin, 27 Ogos 2018

HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS - BAB TERAKHIR


Dasuki memandang wajah polo situ.  Boleh pengsan?  Terkejut sangat agaknya?  Mahu sahaja pecah gelaknya, kalau tidak memikirkan ada ramai tetamu di bawah sana.  Apalah punya teruk.  Baharu sarung cincin dan cium di dahi. Kalau lebih-lebih lagi agaknya, mahu koma tidak sedar-sedar lagi.  Semakin lebar senyumannya memikirkan perangai poyo isterinya itu.  Dia mengeluh.  Dia tidak membenci isterinya itu, sesekali pun tidak pernah, walaupun sebesar zara.  Dia tidak pernah memandang rendah pada isteri yang baharu sahaja dinikahi sebentar tadi.  Malah kagum dengan semangat dan kerajinan Rose, ketabahannya begitu menyentuh hati.  Cuma, dia tidak pernah terfikir untuk mengambil Rose sebagai seorang isteri.  Bukan kerana paras rupa, kerana hatinya lebih terpaut pada Weeda yang terlebih dahulu datang dalam hidupnya.   Cuma, tidak terluah ketika itu.  Bila bertemu kembali, tentulah dia ingin menyambung semula hubungan yang terputus. Menyulam kembali rasa cinta yang tersimpan kemas di lubuk hati.  Sedang sibuk melayan perasaan, bunyi telefon mengganggu khayalannya. Dia terus membaca mesej yang diterima

            ‘Maafkan saya kerana bertindak di luar dugaan semua orang.  Awak tetap di hati saya sehinggalah saya berjumpa dengan lelaki yang mampu mencuri hati saya… saya ucapkan Selamat Pengantin Baharu.  Cinta tidak semestinya harus hidup bersama. Cinta yang sebenar adalah sanggup berkorban demi orang yang disayangi dan dicintai.  Isteri awak orang yang saya sayangi, dan awak adalah insan yang amat saya cintai.  Selamilah hatinya. Pupuklah rasa bahagia.  Dia adalah jodoh awak yang sebenar.  Saya doakan awak bahagia sehingga ke syurga. Terimalah dirinya seadanya.  Awak dan emak awak akan bahagia bersama Rose. Panjang umur kita berjumpa lagi.’  

            Dasuki mengeluh berat.  Weeda, bisik hati kecilnya.  Gadis itu terlalu baik, baik hatinya, cantik orangnya.  Dia juga sudah dapat menerima hakikat ini.   Kalaulah tipis imannya mahu sahaja dia mengamuk seperti mana Jebat mengamuk di Melaka. Mungkin ada hikmah atas apa yang berlaku.  Mungkin juga Roseyatimah atau Rose yang diahwininya itu  mampu membahagiakan dia dan emaknya, siapa yang tahu? Ini juga adalah permintaan emaknya. Sebagai anak yang taat, dia tidak mahu menghampakan perasaan emaknya itu.  Dia pasti pilihan emaknya adalah yang terbaik.  Tidak mungkin emaknya nak menganiaya dirinya  pula.  Telefon ditutup semula  Weeda sudah menjadi lipatan sejarah setelah dia mengangkat ijab dan kabul dengan Rose.  Biar buruk  dan hodoh sekalipun, Rose adalah isterinya sekarang.

            Dia menoleh lagi ke arah Rose yang sudah mula membuka mata.  Terjojol mata isterinya ketika melihat dia masih ada di situ.
            Lekas-lekas Rose bangun dan duduk  di katil, kaku, diam dan keras seperti patung cendana.
            “Awak dah okey ke?” tanya Dasuki penuh prihatin.  Risau juga melihat keadaaan Rose.
            Hanya anggukan yang diterima.  Bisukah isterinya?  Dasuki menggeleng laju dan tersenyum sendiri.  Sebelum ini ramah sahaja,  hari ini berat pula suara  dari mulut isterinya itu.
            “Awak tak lapar? Kalau nak makan saya suruh Kak B bawakan.” Melayan seorang isteri biarlah santun agar diri ini lebih dihargai.
            “Abang Suki!  Maafkan Rose!  Rose minta maaf ampun juga.  Manalah Rose tahu, mak cik nak kahwinkan Rose dengan Abang Suki.  Abang boleh ceraikan Rose kalau abang tak suka jadi suami Rose.  Rose takkan marah.  Rose takkan ganggu abang lagi.  Tapi… janganlah marah Rose, jangan benci diri ini!”  Luah Rose dengan deraian air mata.  Sebak mengusik hati.  Risau bercambah di jiwa.    Takut merayap dalam diri.
            “Rose sedar diri.  Rose tak sesuai bergandingan dengan abang.  Maaf bang!  Rose rela pergi asalkan abang boleh cari pengganti Kak Weeda, atau abang cari Kak Weeda dan pujuk dia kembali.  Rose tak mahu berumah tangga dengan orang yang terpaksa berkawin dengan Rose.  Klise sangatlah bang, kahwin paksa ni.  Tak mainlah!”  kata Rose, sempat lagi dia buat lawak bodoh dalam kesedihan yang melanda.
            “Dah habis bercakap?”  tanya Dasuki sambil melakarkan senyuman manis buat isteri yang sedang menangis sedih.
            “Belum! Banyak lagi nak cakap… takut tak cukup masa,”  bentak Rose.  Dia mengelap air mata yang membasahi pipinya.
            “Abang tak tahu pun selama ini, Rose menyimpan perasaan terhadap abang?  Padanlah setiap kali di meja makan, Rose tengok abang tak berkelip.  Rupanya dalam hati ada cinta ya?” usik Dasuki ingin menceriakan suasana.
            Hah?  Rose terlopong mendengarnya.  Bagaimana lelaki itu tahu?  Siapa yang bagi tahu? Nak tanya tak?  Kalau tak tanya dia tidak tahu.  Dahi Rose berkerut.
            “Mana abang tahu Rose suka kat abang?”  Rose sedikit tenang. Melihat wajah Dasuki yang tenang dan mesra itu menghilangkan sedikit rasa gugup di hati.
            “Dari pandangan matamu, abang sudah tahu rentak tarinya, dik,”  kata Dasuki sambil tersenyum manja.
            Ya ALLAH! Kacaknya suami aku! Detik hati kecil Rose.  Boleh pengsan kali kedua ini, bisiknya lagi.
            “Kak Weeda?”  Rose benar-benar rasa bersalah.  Bukan dia yang suruh gadis itu melarikan diri di hari perkahwinannya.  Tiada siapa yang memaksa.  Hatinya benar-benar kecewa.  Sepatutnya, hari itu adalah hari bersejarah untuk gadis itu dan lelaki yang berada di hadapannya itu.
            “Jangan bimbangkan dia… dia sudah dewasa dan tahu apa yang dia lakukan.  Kita bercakap tentang kita saja, boleh tak?”  Dasuki mengenyitkan mata.  Hitam pun hitamlah… kalau emak  sudah  berkenan, apakan dayanya.  Mak, kuterima jodoh pilihanmu dengan hati yang terbuka, kata Dasuki dalam hatinya sendiri.
            “Abang boleh terima Rose yang hitam macam bontok kuali ini?  Abang tak mahu berjalan dengan Rose nanti?  Abang tak kisah anak kita kulitny macam tahi cicak?  Abang tak malu berpimpin tangan dengan Rose?  Abang tak risau orang mengata Rose dan abang?” soal Rose bertalu-talu.
            Dasuki ketawa kuat.  Apalah punya teruk isterinya ini.  Soalan itu adalah permainan perasaan manusia sahaja yang hanya tahu membezakan orang dengan pandangan mata lahiriah, bukan batiniah.  Biarpun kauhitam pekat macam kicap sekalipun, jika sudah ditakdirkan kau adalah jodoh untukku, kuterima dengan hati yang terbuka, redha dan pasrah dengan ketentuannya.
            “Orang tanya, dia ketawa pula?” Rose mencebik.  Dia berpeluk tubuh.
            “Kalau abang tak setuju, abang tak nikah dengan Rose, kalau abang tak rela, abang tak duduk bersama Rose dalam bilik ini.  Kalau abang tak redha, abang dah lari keluar dari rumah.  Roselah isteri abang di dunia dan akhirat.  Abang bukan baik sangat, tetapi jika suatu hari nanti abang tersalah langkah, sebagai seorang isteri, tegurlah abang ya,”  kata Dasuki dengan wajah ceria.
            “Betul?”  Rose melonjak riang.  Ya ALLAH, baiknya Kau kepadaku.
            “Jangan suka sangat!kang koyak baju tu,” usik Dasuki.
            Gadis itu tidak cantik pada wajah dan penampilan, tetapi pandai memasak, pandai mengambil hati dan bijak orangnya.  Biarlah dia cuba membahagiakan isterinya itu sedaya upaya.  Biarlah masa dan waktu yang menentukan masa depan mereka bersama. 
            “Kalau Kak Weeda datang kembali, Rose rela berkongsi abang dengannya,”  kata Rose sambil menunduk.
            “Syyy… tak ikhlas tu…” usik Dasuki.
            “Mana pula tak ikhlas?”  Rose menjeling manja.
            “Belum terfikir lagi, yang ada pun belum tahu keadaannya bagaimana?” Dasuki menyengih.  Orang perempuan, mulut kata setuju, dalam hati hanya ALLAH jua yang tahu.
            “Rose akan sambung belajar dua minggu lagi, abang benarkan ke?”  Rose baharu teringat, lagi dua minggu dia akan mendaftar masuk untuk menyambung master dalam bidang perniagaan.   Berharap sangat tiada halangan daripada suaminya itu.  Suami?  Macam pelik sahaja bunyinya.  Tidak percaya pun ia.
            “Abang izinkan. Rose boleh sambung belajar setinggi mana yang Rose mahu. Abang akan terus sokong Rose,”  jawab Dasuki, dia tahu cita-cita isterinya itu.  Kata-kata yang sering diucapkan kepadanya bila sahaja mereka bertemu di meja makan.  Nak jadi kaya dan berjaya.  Tidak mahu tunduk dengan dugaan dan masalah.  Dalam diam dia kagum dengan isterinya itu.  Cuma… tiada cinta di hati.  Sekarang keadaan telah berubah.  Gadis itu sudah pun menjadi isterinya yang sah.
            “Abang, jangan ada kecewa di hati kerana terpaksa berkahwin dengan Rose.”  Rose menunduk memandang jari-jemari sendiri yang dipakaikan inai secara paksa oleh Zaiton malam tadi.
            “Adik, jangan ada syak wasangka, sekali lafaz ijab dan kabul terucap, selamanya kekal di hati,”  ucap Dasuki.  Dia memegang dagu Rose dan sekali lagi dahi itu disentuh oleh bibirnya.
            Aduh! Romantik rupanya lelaki ini.  Ya ALLAH, bertuahnya diriku ini, kata hati kecilnya.  Ketika itu mahu sahaja dia melompat kegembiraan.  Hatinya berbunga riang. Jiwanya bernyanyi lagu merdu.  Nasib baik dia tidak bernyanyi, kalau tidak sudah tentu pengsan suaminya mendengarnya.
            “Abang, Rose bukan Dayang Senandung tau, lepas melahirkan anak akan jadi putih, atau dicampak ke dapur ke, di belakang rumah ke, di luar rumah ke… inilah warna kulit Rose sampai mati,”  terang Rose.  Masih terasa kurang berkeyakinan dengan apa yang sedang berlaku.  Biarpun dia sudah sah menjadi isteri lelaki itu tetapi kenapalah sukar benar dia ingin percaya.
            “Tak apalah… nanti abang belilah Qu Puteh, baharulah puteh!” gurau Dasuki
            “Hish,”  Rose mengetap bibir, kita bimbang, dia sempat pula bergurau!
            “Abang ikhlas ni?” sambung  Rose lagi, masih kurang yakin.  Mudahnya lelaki itu menerima dirinya.  Buta warnakah?  Dia mengeluh.  Takut pula menghadapi hidup bersama lelaki itu.
            “Ya ALLAH, jika iman sudah tebal di hati, apa yang emak abang suka, abang akan suka.  Takdir yang datang diterima dengan hati terbuka.  Abang tahu, inilah ketentuan ILAHI, Rose adalah pasangan hidup abang di dunia dan di akhirat.  Kenapa risau tidak bertempat?  Abang terima Rose seadanya,” ujar Dasuki, cuba meyakinkan isterinya yang masih ternampak akan was-wasnya.
            Rose menarik nafas lega.  Kepada ALLAH dipanjangkan syukur yang tidak mampu diucapkan dengan kata-kata.  Cinta ALLAH tiada tandingannya.

            Setelah   isterinya berasa kuat sedikit.  Dasuki menemani Rose ke laman rumah bertemu dengan para tetamu yang hadir.  Tidak kekok dia memperkenalkan Rose kepada para tetamu yang ada. Walaupun ada yang berbisik sesama sendiri, biarkan sudah penat berhentilah mereka. 
            “Rose!”  Zaiton menerpa dan memeluk sahabatnya erat.  Dia menangis di bahu Rose, hatinya terlalu hiba, terlalu gembira sehingga tidak mampu berkata apa-apa.
            “Kau kenapa?” Rose menolak sedikit tubuh Zaiton.
            “Aku terlalu gembira! Terlalu suka!”   kata Zaiton.  Dia memeluk kembali tubuh kecil itu.
            “Rose, Ya ALLAH, akhirnya!”  Haikal dan Ain mendekati.  Senyuman lebar mekar di bibir mereka.  Ain terus menerpa dan memeluk Rose erat.
            “Habislah bau macam-macam tubuh isteri saya,” usik Dasuki yang  setia di sisi.
            “Kami semua wangi tau En. Suki!” ujar Zaiton.  Hanya ALLAH yang tahu betapa gembiranya hati di dalam.  Terima kasih Cik Weeda, walau di mana cik berada, bisik hati kecil Zaiton.  Gadis itu sanggup berkorban demi sahabatnya itu.  Bukan semua  orang cantik buruk perangainya, busuk hatinya, bodoh fikirannya.  Setiap manusia sama sahaja, tidak kira cantik atau buruk, jika di hati ada keimanan maka terlahirlah hati yang cantik, bersih dan sesuci salju.  Jika wajah buruk sekalipun, tetapi hati baik, tetap dikenang orang.  Jahat atau baik, buruk atau cantik terpulang kepada diri sendiri, bukan kerana wajah, bukan kerana penampilan tetapi kerana seketul hati yang berada di dalam diri…
            Rasulullah saw. bersabda, “….Bahwa dalam diri setiap manusia terdapat segumpal daging, apabila ia baik maka baik pula seluruh amalnya, dan apabila ia itu rusak maka rusak pula seluruh perbuatannya. Gumpalan daging itu adalah hati.” (HR Imam Al-Bukhari)
            Zaiton tersenyum bahagia.
            Rose memeluk setiap orang yang disayangi dan yang telah memberi kehidupan kepadanya.  Nasibnya sungguh baik, ALLAH SWT itu Maha Adil, Maha saksama.  Tidak sia-sia dia berdoa agar diberikan yang terbaik dalam hidup, baik di dunia mahupun di akhirat.
            “Terima kasih mak, kerana sudi mengambil diri ini menjadi menantu emak,” ucap Rose sewaktu bertemu wajah dengan Hajah Sofiah. 
            “Terima kasih juga kerana sudi menjadi menantu mak,”  balas Hajah Sofiah kembali.
            “Mak… saya dah tunaikan permintaan mak.  Semoga mak dan saya bahagia dengan menantu pilihan mak ini,” ujar Dasuki lalu tubuh kecil emaknya dipeluk erat.
            “Terima kasih sayang.  Maafkan mak kerana memaksa Suki berkahwin dengan Rose,”  kata Hajah Sofiah separuh berbisik.
            “Pilihan mak adalah terbaik untuk anaknya,”  jawab Dasuki dengan mata yang berkaca.  Apa lagi yang lebih bererti dan membahagiakan dalam hidup seorang anak selain membahagiakan orang tua sendiri.
            “Rose!” Kak Maznah mendekati bekas pekerja dan bakal adik ipar tidak menjadi.
            “Kak Maznah.”  Rose memeluk erat wanita yang pernah baik dan banyak mengajarnya selok belok menguruskan restoran.
            “Tahniah dik, Joe kirim salam, dia tak dapat hadir.  Isterinya tidak berapa sihat.”  Maznah menarik nafas lega, akhirnya gadis itu berjumpa juga kebahagiannya.  Tidaklah dia dan adiknya berasa bersalah sangat.  Sekurang-kurangnya Rose sudah ada teman istimewa yang akan menjaganya seumur hidup.
            “Terima kasih kak, sudi datang.  Ini mesti Ton yang jemput, kan?”  Rose memandang Zaiton yang berbual mesra dengan tunangnya yang turut dijemput memeriahkan majlis.
            “Dia kawan Rose yang sejati, kalian berdua memang sesuai jadi sahabat,”  puji Kak Maznah.  Dia bangga melihat keakraban kedua-dua insan itu.
            “Dah jadi isteri orang, kenalah pandai uruskan rumah tangga ya Rose, jangan garang sangat!” Pesan Mak Limah. Bahu Rose dipeluk erat.
            “Syurga isteri di bawah tapak kaki suami, jangan meninggikan suara.  Jangan melawan, dan kenalah banyak bersabar ya Rose,”  nasihat Hajah Mona pula.
            Dasuki diam sahaja mendengar nasihat orang-orang tua di sekeliling dia dan Rose.  Dia mencuri pandang wajah cerita isterinya.  Alahai… Hitam-hitam si tampuk manggis, sungguh pun hitamku pandang manis. 
            Rose tersenyum bahagia, hari itu sahaja pelbagai nasihat di terima, kalau dicatatkan pasti mampu menjadi buku.  Dia tersenyum sendiri.  Merekalah insan-insan yang amat bermakna buat dirinya. Wajah suami yang setia di sisi di pandang seketika.  Mula hari ini, wajah kesayangan hamba itu akan dilihat dan ditatap setiap ketika, kecuali ketika suaminya pergi bekerjalah.  Semakin lebar senyuman bahagia meluncur laju di bibirnya.
            Terima kasih ALLAH!

Jumaat, 17 Ogos 2018

Hitam-Hitam Si Tampuk Manggis - Bab 97


            Di  sebalik rimbunan yang tubuh subur. Di hadapan sebuah tasik yang tenang airnya.  Kelihatan burung-burung beraneka jenis terbang  dan bermain-main di gigi air.  Menerkam dan menangkap ikan yang bermain di dalam air tasek yang tenang dan damai itu.  Di tangannya ipad menjadi santapan mata. Memandang gambar yang tertera dengan juraian air mata. Gembirakah? Atau duka yang menyinggah di hati.  Dia menyeka air mata yang mengalir. Mencari kekuatan diri.  Kisah seminggu yang lalu menyinggah di fikiran.  Semakin lebat air matanya mengalir.

Seminggu yang lalu…

            Wajah Zaiton dan Hajah Sofiah yang datang bertandang di rumahnya di pandang lama.  Bagaikan tidak percaya kedua insan yang amat dikenalinya itu sanggup datang memujuk dirinya agar meninggalkan Dasuki dan melupakan lelaki itu kerana seorang gadis yang amat disayanginya, sudah dianggap seperti adik sendiri. 
            “Cik Weeda  ada segala-galanya, harta, pangkat dan rupa.  Tapi Rose tak ada apa-apa.  Hanya ada kami dan dirinya yang sering bernasib malang.  Tidak sanggup saya melihatnya menangis sendirian di kamarnya yang sepi memikirkan nasib diri.  Mencintai Abang Suki dalam diam, tidak pernah dilafazkan kepada sesiapa, melainkan diri saya,” luah Zaiton.
            “Ya Weeda, mak cik nampak renungan matanya, cara dia memandang Suki lain benar.  Hati tua ini berdetik, Rose simpan perasaan terhadap Suki, tetapi kerana dirinya, fizikalnya,  dia pendamkan rasa itu. Tak sanggup mak cik tengok dia, bila tengok kau dan Suki bernikah nanti,   sudi ke Weeda berkorban?”  Hajah Sofiah menunduk, terasa berat dan serba salah jadinya. Dia tidak mahu Rose hidup dalam angan-angan untuk mengapai cinta anak lelakinya.  Kalaulah dia ada anak lelaki lain, sudah pasti akan dinikahkan dengan  Rose.  Sayang seribu kali sayang, hanya Dasuki sahaja anaknya yang ada.
            Gila! Kedua-dua insan ini bagaikan sudah hilang akal agaknya. Mana mungkin dia meninggalkan lelaki yang telah berlabuh di hatinya?  Mana mungkin dia berkorban dalam soal seperti ini?  Nanti, siapa pula yang disalahkan?  Pasti buruk namanya dan nama kedua orang tuanya.  Weeda bingkas bangun dan berdiri di muka tingkap. Dia memandang jauh ke laman rumah yang bersih dan kemas.  Dahinya berkerut memikirkan masalah yang menerjah tanpa diduga.  Berat sungguh masalah yang mendatang.  Kesannya pasti terkena kepada seluruh keturunannya.
            “Mak cik rayu Weeda, kasihanilah Rose!”  pujuk Hajah Sofiah.
            “Rose tahu tak? Kalau dia tahu saya pasti, dia takkan setuju.  Mak cik dan Ton dah jatuhkan air mukanya.”  Weeda mengeluh berat.  Gadis itu terlalu menjaga maruah dirinya. Menyembah, meminta tolong dan merayu pada orang lain, bukan caranya.  Dia menyerah kehidupannya kepada ALLAH SWT.  Tidak pernah mengeluh dan tidak pernah kenal putus asa.  Semuanya dilalui dengan hati yang tabah dan kuat.  Kenapa kedua insan ini tidak memahami hati gadis itu?
            “Dia tak tahu Cik Weeda,  saya yang minta mak cik Sofiah bantu pujuk Cik Weeda. Kalau Cik Weeda keberatan, kami tak mampu nak buat apa-apa. Kami sekadar mencuba.” Zaiton mengeluh kesal.  Dia mendengar keluhan sahabatnya tentang perkahwinan Dasuki dan Weeda yang semakin dekat, biarpun dia suka, kelihatan gembira tetapi lelaki itu adalah yang dicintainya.  Rose pendamkan perasaan itu kerana sedar diri dan tidak mungkin lelaki itu akan memilih dia sebagai teman hidup.  Sesekali dia melihat Rose menangis seorang diri melihat kad perkahwinan yang ada di tangannya.  Tidak sanggup dia melihatnya.  Cik Weeda masih boleh jatuh cinta dengan lelaki lain, tetapi tidak Rose.  Tiada siapa yang sudi mengahwini gadis hitam manis itu. 
            “Baliklah! Saya takkan lakukannya mak cik, Ton.  Saya cintakan Dasuki.  Saya akan mengahwininya.  Keputusan saya muktamad.  Kalau kerana ini mak cik membenci saya, saya tak kisah.  Asalkan saya dapat menggembirakan  Dasuki dan mak cik.,” ujar Weeda dengan mata berkaca.  Berat sungguh permintaan mereka. Tidak mungkin dia sanggup melakukannya.
            “Kalau begitu, kami tidak mampu berbuat apa-apa.  Terima kasih kerana sudi mendengar luahan rasa hati kami,” kata Zaiton hiba.  Hatinya kecewa.  Percubaannya gagal. Misi tidak tertunai. 


***
Hari ini…
            Weeda mengesat air mata yang mengalir.  Melihat gambar bekas tunangnya menyarungkan cincin ke jari Rose membuatkan hatinya tersiat luka, dia sendiri yang meminta Zaiton menghantar gambar-gambar itu.   Hati siapa yang tidak pedih, bohonglah dia tidak terasa dan tidak kecewa.  Hiba mengasak dalam hati, menyuburkan duka dalam diri.  Kepada kedua orang tuanya sudah diperjelaskan akan tindakannya.  Jangan lagi ada yang bertanya kenapa dia bertindak di luar kotak fikiran.  Bukan sengaja, atau terpaksa.  Dia rela demi melihat gadis yang sudah dianggap seperti adik sendiri itu hidup bahagia.  Biarpun mereka baharu sahaja berkenalan dan tidak lama mengenal hati budi masing-masing, tetapi melihat diri gadis itu membuatkan hatinya sering dibalut rasa sedih yang tidak kunjung padam. 
            Dia boleh mencari kebahagian di tempat lain, mungkin sudah tertulis, jodohnya bukan dengan Dasuki, biarpun mereka saling mencintai.  Bercinta tidak semestinya sehingga ke jinjang pelamin.  Burung-burung camar berterbangan ke udara bila di sergah oleh sekumpulan anak-anak yang sedang bermain di gigi air.  Terjerit-jerit mereka menghalau burung-burung itu terbang pergi.  Ketawa dan gembira tiada batasannya pada mereka. Indahnya zaman kanak-kanak.  Weeda bingkas bangun.  Sudah beberapa hari dia berada di bumi matahari terbit ini.  Dia akan sambung belajar mungkin perlahan-lahan akan cari calon suami yang boleh menerima diri seadannya.  Dia akan terus berdoa, agar kedua-dua orang yang disayanginya itu berbahagia sehingga ke syurga.  Apa lagi yang lebih bererti dalam hidup selain melihat orang yang dicintai dan disayangi  menyulam bahagia bersama.  Semoga kebahagiaan itu milik mereka.  Dia?  Pasti ada kebahagian lain yang sedang menunggunya.