Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Jumaat, 18 Oktober 2019

AJARLAH ANAK BERCAKAP BENAR- ASMAH HASHIM.

Sukarnya mendidik anak-anak agar bercakap benar. Sifat semulajadi anak-anak adalah akan bercakap benar. Tetapi, dalam situasi tertentu mereka akan bercakap bohong. Terutama ingin melepaskan diri daripada dihukum.
Bercakap benar merupakan akhlak. Bukan mudah untuk mereka yang melakukan kesalahan berlaku jujur kepada orang lain dan diri sendiri. Bercakap soal kesalahan dan mengaku melakukannya perlukan kekuatan hati yang padu. Sikap dan akhlak ini semakin hari semakin terhakis dalam diri mereka.
Seorang anak yang berakhlak mulia sudah pasti berani mengaku biarpun kecil sahaja kesalahannya, ia mencerminkan keperibadian yang utuh, jujur dan bertanggungjawab.
Bukan mudah memiliki anak-anak yang mampu bersikap seperti ini. Keperibadian mulia ini, ia perlu dibentuk, dididik dan diasuh sejak kecil agar berani berkata benar. Berani menerima hukuman biarpun sekeras manapun hukuman yang diterima.
Sekali berbohong dan kita terima pembohongan itu tanpa kita sedari ia membentuk keperibadian dan akhlak yang tidak baik dalam diri mereka. Lama-kelamaan mereka tahu bagaimana hendak melepaskan diri daripada dihukum.
Perhatikan sikap anak-anak kita sewaktu ditangkap melakukan kesalahan, apa reaksi mereka? Apa pula yang kita lakukan untuk memastikan anak-anak sentiasa bersikap jujur biarpun pahit buat mereka.
Didiklah anak-anak agar sentiasa berani mengaku melakukan kesalahan. Tidak takut menerima hukuman. Nasihatilah kenapa mereka wajib berlaku jujur. Mereka yang berani mengakukan kesalahan adalah seorang yang bertanggungjawab kepada dirinya sendiri dan merupakan satu sikap seorang yang berakhlak mulia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan