Ujian tiada duit dan hidup susah, perlahan-lahan kita berusaha untuk mendapatkan pendapatan yang banyak. Ujian diuji dengan kesakitan, sukar disembuhkan selagi tiada keizinan Allah swt.
Ujian paling gentar adalah ujian sakit. Bukan sakit demam atau luka terkena pisau. Tetapi ujian sakit berat seperti strok, kanser dan sakit-sakit berbahaya yang lain.
Kalau melangkahkan kaki ke hospital, terlihatlah wajah-wajah manusia yang diuji Allah dengan pelbagai penyakit yang tidak pernah terduga akan dialami setelah lanjut usia.
Seperti kata Baginda Rasulullah dalam hadisnya, punca segala penyakit adalah perut. Berhati-hatilah menjamah dah memilih makanan agar tidak memudaratkan. Makanan fizikal dan rohani biarlah seiring terjaga kebersihan dan halalnya. Jaga juga, punca rezeki yang masuk ke dalam perut. Doa jangan lupa dibaca. Carilah rezeki yang halal.
Hati juga harus dijaga. Jika baik seketul daging itu, baiklah seluruh anggota tubuh kita. Hati yang ada dengki, iri hati dan khianat, akan mengalirkan racun dalam seluruh tubuh badan dan boleh membuatkan tubuh kita mudah dihinggapi penyakit. Hati yang sihat, suci bersih akan mengalirkan aura positif dalam tubuh dan membuatkannya segar dan tenang.
Umpama air sungai, kalau dibiarkan kotor dan berkeladak, sudah tentu ianya tercemar.
Kita sakit bukan hanya sebab kita berdosa, tetapi sebagai ujian tanda Allah sayang dan ingin kita sentiasa mengingatinya. Ujian sakit yang diberi adalah ladang pahala bagi mereka yang sabar dan tabah. Terimalah ujian itu dengan tenang kerana ganjarannya besar diberi Allah.
Kesakitan adalah pencuci dosa-dosa kecil yang tidak kita sedar pernah berlaku kepada diri.
Semoga teman-teman yang ditimpa sakit tetap sabar dan tabah. Semoga dipermudahkan segala urusan dan diberi kesembuhan aamiin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan