Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Selasa, 31 Disember 2013

KENALI DIRI SAYA








Salam perkenalan.  Hari ini adalah hari terakhir kita berada di dalam tahun 2013.  Selamat tinggal 2013 dan selamat datang 2014.  Setiap tahun kita akan membuat azam, AZAM TAHUN BAHARU. Azam saya untuk tahun hadapan adalah ingin menghasilkan karya bermutu, hendak perbanyakkan waktu mengikuti bengkel penulisan atau apa sahaja yang sama waktu dengannya.   Kalau bolehlah dan tidak menganggu tugasan harian sebagai pembantu suami di Maahad Tahfiz Anak  Yatim Miskin Maahad Azzein Al Makki yang ditubuhkan pada awal 2012. 
                Saya minat membaca, sejak diperkenalkan dengan perpustakaan di sekolah dan atas paksaan cikgu saya yang mewajibkan setiap pelajar membaca sekurang-kurangnya 3 buah buku seminggu.  Bermulalah saat itu saya berkenalan dengan buku-buku novel kanak-kanak seperti HARDY BOYS, NANCY DREW, LIMA SEKAWAN dan tajuk yang sama waktunya.  Amat popular di zaman saya, sekitar tahun awal 80-an.  Sampailah sekarang, tengok buku lebih mengasyikan dari melihat pakaian atau barang kemas di kedai emas.  Buku duniaku.  Kemudian saya diperkenalkan dengan zaman novel dewasa, novel keluaran Creative Interprise menjadi pilihan kebetulan pejabat mereka berhampiran tempat tinggal saya di Bangsar.    Sehingga sanggup mencuri demi ingin membeli buku.  Jahatnya saya, kan?   Saya juga menjadi ahli perpustakaan negara.  Sanggup mendaftar kerana terlalu cintakan buku dan minat membaca.  Tiada di kalangan ahli keluarga yang minat melainkan saya seorang.  Tidak juga orangtua saya.  Di mana saya dapat minat tersebut, jawapannya adalah dari galakan guru-guru saya di sekolah.
                Saya boleh menulis?  Bagaimana ya?  Tiada di kalangan ahli keluarga saya seorang penulis.  Mungkin  berkat banyak membaca dan kebetulan saya belajar sastera waktu di sekolah menengah dan bercampur pula dengan mereka yang minat dengan seni. Tidak kiralah seni tarian, drama, muzik ataupun lukisan.  Waktu zaman sekolah menengah, saya suka menulis sajak.  Meluahkan apa sahaja yang saya tengok, kalau saya ternampak bola, maka bola itu akan menjadi idea untuk saya mengarap sesuatu di kertas.  Sehinggalah suatu hari saya menulis kisah ANGAN-ANGAN MAT JENIN.  Sebabnya saya memang suka berangan .  Bukan berangan yang tidak baik, tetapi berangan ingin menjadi seseorang.   Anak  jiran sebelah rumah emak saya dahulu, memang suka  beli majalah gelihati.  Dia selalu melihat saya menulis.  Dia terbaca sajak saya ANGAN-ANGAN MAT JENIN itu.  Dia minta keizinan saya untuk hantar  sajak itu ke penerbitan majalah  GELI HATI.  Waktu itu kita masih sekolah, mana ada ghairah dan tahu  hendak hantar karya di syarikat penerbitan.  Kalau ada orang yang hendak hantarkan, kita berbesar hatilah.                Ya ALLAH  sajak itu keluar dan tersiar.  Gembira bukan kepalang.  Tiada bayaran diterima.  Saya tidak kisah.  Anak jiran emak saya memberitahu, saya berbakat menulis.  Saya tidak percaya. Bukan tidak yakin kepada diri sendiri, tetapi entahlah.  Tidak pernah terfikir hendak menjadi penulis
Saya juga pandai menari…  tapi tarian tradisional sahajalah.  Kalau setakat tarian tango, twist, cha-cha dan samba  bolehlah sikit-sikit.  Meminati muzik tradisional yang memang masuk dengan  jiwa saya.    Saya tidak mendapat pendidikan mana-mana asas menari ini.  Hanya melihat di dalam televisyen dan tengok kawan-kawan menari.  Tetapi saya tidak masuk pun kumpulan tarian di sekolah.  Mungkinkerana  tiada kawan-kawan yang rapat dengan saya  mempunyai minat yang sama dengan saya.  Apabila masuk sekolah menengah, saya masuk kelab muzik dan kebudayaan, ikut kawan J.  Tetapi tidak juga diterima dalam kumpulan tarian.  Saya diterima sebagai penyanyi koir sekolah.  Suara bukan sedap manapun. Waktu ujibakat  diterima, lulus ujibakat.   Pelik rasanya.  Sejak itu berangan-anganlah hendak jadi penyanyi, baharu masuk koir sekolah sudah merasa suara merdu. Perasan.  Jangan tidak tahu pernah pergi ujibakat untuk pertandingan nyanyian, di situlah saya kenal dengan Ziela Jalil, usia kami lebih kurang sahaja.  Waktu itu dia baharu berjinak-jinak dalam industri hiburan.  Sekarang sudah jadi orang terkenal, tak mungkin dia kenal saya lagi.  Kebetulan kami hanya jumpa sekali sahaja.
Saya juga pernah bekerja  waktu umur saya 16 tahun.  Waktu itu bercuti hujung tahun.   Sebagai pembantu restoran atau bahasa Englisnya ‘Waitress’.   Di sebuah restoran  bernama SATE RIA milik anak syarikat UDA HOLDINGS, di Jalan Bukit Bintang.    Sebulan sahaja saya bekerja di situ, namun penyelia saya menyuruh saya menyambung  bekerja di situ , mereka benarkan saya bekerja shif petang sahaja.  Saya menolak kerana saya masih hendak bersekolah dan bakal menduduki peperiksaan SPM.  Kenapa orang tawarkan saya bekerja?  Sebab saya pekerja paling rajin dan mendapat anugera pekerja terbaik walaupun hanya sebulan sahaja saya bekerja di situ.  Wah, itukah saya? Saya tersenyum sendiri.  Hebat juga aku ini, kata saya dalam hati.  Dengan wang gaji pertama itulah saya membeli beg sekolah, baju dan perkakasan sekolah untuk naik tingkatan 5.  Dalam masa yang sama saya masuk pula kumpulan teater di Jalan Bandar, Kuala Lumpur, berhampiran Bus Stand Klang.  Sekarang tidak ada lagi Bus Stand Klang.  Di situlah saya belajar menari dan drama serta muzik dengan lebih serius.  Sehingga saya layak menjadi pembantu jurulatih tarian.  WAH! Hebatnya saya.  Saya sering terpilih menjadi  penari utama dalam kumpulan tersebut.    Saya minat sangat dengan tarian tradisional sehingga terfikir hendak jadi koreografer  setelah habis sekolah nanti.  Angan-angan tinggi melangit.  Waktu dalam kumpulan inilah saya berkenalan dengan SISO, SANI SUDIN dalam kumpulan KOPRATASA. Jalaludin Hassan dalam kumpulan HIDAYAH. SHAHRIZA MAHMUD  dalam kumpulan saya, ARTIS PENJURU ALAM, kini mereka sudah jadi orang terkenal  dalam industri hiburan.  Saya tetap jadi diri saya. Inilah sebahagian cerita tentang diri saya.  SELAMAT TAHUN BAHARU 2014.

Isnin, 30 Disember 2013

RINDU YUSUF, CINTA ZULAIKHA

RINDU YUSUF CINTA ZULAIKA
Bab 2

ZULAIKA menapak dengan hati yang mendongkol ke rumah yang tersergam di persiaran Tasik Titiwangsa – rumah yang menjadi milik seorang pelukis terkenal bernama Intan Juliana. Hatinya mempertikaikan untuk apa seorang wanita bujang perlu tinggal bersendirian di sebuah rumah besar yang mempunyai lima buah bilik begitu. Lainlah halnya kalau dia mempunyai ahli keluarga yang ramai. Menurut suaminya, nilai rumah termasuklah tanah di kawasan tersebut mencecah harga setengah juta ringgit atau lebih tinggi daripada itu.
Halaman rumah terhias indah dan bersimbah cahaya untuk menyambut para tetamu yang tiba. Dua buah kanopi yang disediakan sudah mula dipenuhi oleh para tetamu. Kalau di kampungnya kanopi begitu hanya didirikan untuk majlis kenduri kahwin.

Dari jauh lagi dia sudah melihat kelibat tuan rumah yang anggun mengenakan kebaya nyonya warna kuning lemak ketam sedang sibuk melayan para tetamu. Cemburu yang tiba-tiba bertapak di jiwa membuatkan dia menoleh ke arah suami di sisi.
“Tu pun Kak Ju, bang!” dia cuba mengawal emosinya yang sedang galak diamuk cemburu. “Bukan main cantik lagi dia malam ni.” Entah mengapa terpacul pujian yang tidak berapa ikhlas dari mulutnya untuk wanita itu.
Yusuf Hakimi mengangguk.
“Jom kita jumpa dia dulu.” Tingkah Yusuf Hakimi. Dia tidak membantah, sebaliknya segera memaut lengan suaminya erat-erat supaya perempuan berkebaya nyonya itu tahu siapa dia di sisi Yusuf Hakimi.

Intan Juliana memberikan senyuman manisnya untuk mereka berdua. Matanya yang kelihatan lebih galak setelah dielus dengan maskara menoleh ke arah Zulaika yang sedang mengepit erat lengan kanan suaminya.
“Apa khabar, Ika?” soalnya sambil menghulurkan tangannya ke arah Zulaika. Mahu tak mahu Zulaika terpaksa melepaskan pautannya di lengan suaminya untuk menyambut salam yang terhulur.

“Khabar baik. Kak Ju?’
“Akak sihat.” Sahut Intan Juliana. Matanya menoleh pula ke arah Yusuf Hakimi. “I dah agak dah... you mesti lupa dengan jemputan I malam ni. Tulahlah sebabnya I call you tadi.”
Yusuf Hakimi ketawa.
“Masa you call tadi, I dan Ika dah bersiap-siap nak keluar makan. Rezeki kamilah sebab dapat jemputan makan percuma macam ni, betul tak Ika?” ujarnya sambil menoleh ke arah Zulaika di sisinya. Isterinya hanya tersenyum nipis.

“Tau dah habit you tu, asyik nak makan free aje!” hentak Intan Juliana yang kelihatan sungguh gembira malam itu. “Hmmm... you dan Ika pergilah isi perut dulu. Help yourself, semuanya self service kat sini. I nak jumpa beberapa orang kawan kejap.”
“No problem, Ju, go ahead. Kalau pasal makan kita orang berdua ni mesti tak miss punyalah.” Getus Yusuf Hakimi sambil menghamburkan tawanya. Di sebalik jelingan tajam yang diberikan oleh Intan Juliana, dia menarik lengan Zulaika dan mencicit menuju ke bawah kanopi untuk menjamu selera bersama-sama dengan para jemputan yang lain.

“Hey, Yusuf!”
Yusuf Hakimi dan Zulaika yang sedang enak-enak menjamu selera menoleh ke arah satu suara garau yang menyapa di belakang mereka. Seorang lelaki kacak tersenyum lebar ke arah mereka. Zulaika menoleh ke arah suaminya. Dia melihat Yusuf Hakimi seolah-olah terkejut melihat lelaki itu.
“Taufik!” dan, kedua orang lelaki itu berpelukan bagaikan dua orang teman lama yang sudah lama tak bersua muka. “Hey, apa khabar kawan?” soal Yusuf Hakimi ketika Taufik melabuhkan punggung di sisinya.

“Kau tengok sendirilah. Sihat, beb! Siapa kat sebelah kau ni, Suf, orang rumah kau ke?”
Yusuf Hakimi mengangguk.
“Nilah isteri aku, Taufik, Zulaika namanya. Ika, Taufik ni dulu kawan baik abang semasa kat U. Dia sambung belajar ke England dan bekerja kat sana.” Yusuf Hakimi menerangkan sementara Zulaika hanya mengangguk. Mata Taufik menjalar seketika ke wajah wanita di sisi Yusuf Hakimi itu sebelum tersenyum lebar.

“Akhirnya antara kita berdua, kau yang kahwin dulu ya, Suf!”
“Dah jodoh kami, Taufik. Kau pula bila lagi nak tamatkan zaman bujang?” soalnya.
Taufik melambakkan tawanya.
“Aku bukan macam kau, Suf! Aku ni, siapalah yang nak...” dan, matanya melurut lagi ke wajah ayu wanita di sisi Yusuf Hakimi. Zulaika yang tersenyum kecil kelihatan begitu menawan di matanya.

Yusuf Hakimi menepuk bahunya.
“Tu, tuan rumah ni pun masih solo tau. Cantik, bergaya, berharta dan cukup bijak orangnya, taste kau, kan? Kau tak nak cuba nasib ke?” usiknya. Zulaika di sisi hanya mengekel.
Taufik menoleh ke arah wanita yang sedang diperkatakan oleh teman di sisinya. Intan Juliana kelihatan sedang sibuk melayani para tetamunya berbual di kanopi sebelah. Dia memang sempurna serba serbi.

“Maksud kau, Ju?” dia menyoal balik. Yusuf Hakimi angguk. Dia geleng kepala. “Kalau Ju, aku tak berani!”
“Kenapa? Apa yang kau takutkan?”
“Perempuan macam Ju patut dapat lelaki yang lebih segala-galanya daripada aku. Dia sebagai wanita bujang dah memiliki semuanya, Suf. Kau lihat ajelah rumahnya yang tersergam ni, entah berapa harganya aku pun tak sanggup nak tanya. Sedangkan aku ni lelaki biasa aje, yang ada sebuah motokar cabuk serta sebuah apartmen yang bersepah. Lelaki biasa-biasa macam aku ni wajar cari perempuan yang juga biasa-biasa aje. Tapi kau janganlah risau, Suf, belum sampai seru aku nak berteman hidup agaknya. susah-susah nanti aku suruh aje orang rumah kau carikan calon yang sesuai untuk aku jadikan isteri.” Taufik segera menjawab sambil menyengih ke arah Zulaika.

Yusuf Hakimi dan Zulaika ketawa.
“Kau ni, Taufik, kau ingat isteri aku ni tak ada kerja lain ke selain daripada mencari jodoh untuk kau?” tukas Yusuf Hakimi.
Mereka bertiga tergelak riang tanpa menyedari sesusuk tubuh yang sedang menghampiri meja mereka.
“Seronok nampak? Apa yang lucu sangat ni?” Intan Juliana menyoal.
“Ju! You tau tak Yusuf ni kawan baik I masa kat U dulu? Entah macam mana kami boleh berjumpa semula kat rumah kau ni. kalau dah jumpa teman lama mestilah banyak yang nak diceritakan.” Sahut Taufik pantas sambil mengenyitkan matanya ke arah Yusuf Hakimi.
Yusuf Hakimi tersenyum dan angguk.

“IBU I sedang sakit sekarang ni. Uncle Jo yang temankan dia dapatkan rawatan di London.” Adu Intan Juliana.
“Ibu you sakit apa, Ju?”
“Kanser payudara. Dah hampir tiga tahun dia menderita penyakit tu.”
Yusuf Hakimi mengeluh perlahan. Dalam keceriaannya memiliki rumah baru yang ratusan ribu harganya itu, Intan Juliana sedang menyembunyikan penderitaannya. Ibunya sedang sakit tenat sementara hubungannya dengan ayah kandung pula masih belum bertaut sepenuhnya. Dia sedang bersendirian merawat luka di hatinya dengan menenggelamkan dirinya ke dalam lautan kerjayanya sebagai seorang pelukis terkenal.
“Sabarlah, Ju. Semua ni dah takdir Tuhan.” Dia memujuk.
Intan Juliana tersenyum.

“Dahlah, buat apa kita cemarkan malam ni bercerita tentang masalah hidup, betul tak, Suf?”
Yusf Hakimi angguk.
“Betul! Eh, ni I nak tanya macam mana you boleh kenal dengan Taufik tu? Terkejut beruk I tengok dia berada kat depan mata I tadi?”
“Kami kenal masa kat Londonlah. Kebetulan dia singgah kat tempat I melukis kat sana dulu. Di luar negara, kalau dah jumpa orang yang sebangsa dan senegara dengan kita, apa lagi... jadi memberlah.” Terang Intan Juliana sambil tersenyum riang seolah-olah membayangkan semula pertemuan pertamanya dengan Taufik di kota London dahulu.
“You dengan dia tak ada apa-apa ke?”
“Maksud you?”
“Err... you dengan dia tak jalinkan hubungan istimewa ke?” korek Yusuf Hakimi. “Taufik tu boleh tahan, kacak juga orangnya.”

“You ingat senang-senang aje I nak jalinkan hubungan cinta dengan lelaki ya, Yusuf? Hey, I pun ada taste tau.” Intan Juliana sudah mula terbakar dengan usikan teman di hadapannya.
Yusuf Hakimi tergelak kecil. Dia segera meminta maaf daripada wanita itu sambil melilau mencari kelibat Zulaika.

TANPA disedari oleh Yusuf Hakimi mahupun Intan Juliana, Zulaika sedang galak memerhatikan kemesraan yang terjalin di antara mereka berdua dengan hati yang berkocak. Dia melihat suaminya memperkatakan sesuatu kepada Intan Juliana dan perempuan itu melambakkan gelaknya. Penuh riang dan mesra! Kemudian dia melihat Intan Juliana pula mengusik Yusuf Hakimi dan suaminya tergelak senang degan usikan itu. Semuanya terakam kemas dalam mindanya dan membuatkan hati seorang isteri jadi berkocak dengan irama yang dinamakan cemburu.

Ya, dia terlalu sayangkan suaminya. Dan melihat kemesraan suaminya dengan seorang perempuan lain apatah lagi perempuan cantik, kaya dan bergaya seperti Intan Juliana, hati isteri mana yang tak terbakar.
“Hai, Ika!” sapaan itu membuatkan dia tersentak. Dia mengalihkan matanya dan menoleh ke arah Taufik yang menegurnya. “Yusuf mana?”
“Err... dia tengah berborak dengan Kak Ju, kat sana tu!” dia menudingkan jarinya ke arah tempat di mana Yusuf Hakimi dan Intan Juliana sedang tenggelam dalam perbualan mereka.
“Boleh saya duduk kat sini?” soal Taufik sambil melabuhkan punggung di atas sebuah kerusi plastik. Zulaika menyengih. “Ika, saya serius dengan kata-kata saya tadi...”
Kata-kata yang meluncur keluar dari bibir Taufik membuatkan Zulaika menoleh ke arahnya.
“Yang mana satu?” soalnya dengan nada keliru.
“Saya nak minta Ika carikan calon isteri untuk saya!”
Zulaika terlopong. Reaksi spontan isteri temannya itu membuatkan Taufik tergelak kecil.

“Betul, Ika! Saya nak minta pertolongan Ika carikan seorang perempuan yang sesuai untuk dijadikan isteri. Seorang perempuan yang cantik dan baik macam... macam Ika!” dia sempat menaburkan pujiannya. “Intan Juliana tu memang cantik dan sempurna serba serbi, Ika, tapi saya tahu gandingan saya bukanlah dengannya. Saya mahukan seorang perempuan yang sederhana dan boleh menjadi seorang teman serta isteri yang setia di samping saya selagi hayat di kandung badan.” Ujar Taufik lagi dan kesungguhan nada suaranya membuatkan Zulaika terpaku.

Itulah hakikat sebuah perkahwinan. Semua yang merancang hendak mendirikan mahligai bahagia itu mahu kekal bahagia sehingga ke akhir hayat. Namun dia sedar, perjalanan hidup ini banyak ranjau dan durinya. Manusia harus percaya kepada takdir yang telah ditetapkan untuk mereka.
“Boleh tak Ika tolong saya?” Taufik menyoal setelah melihat waniat di sisinya hanya berdiam diri.
“Err... bukan Ika tak nak tolong Taufik. Tapi Ika tak tahu citarasa Taufik macam mana? Kalau tak serasi nanti, macam mana? Ika... Ika takutlah!”
Taufik ketawa kecil.

“Ala, tu kerja senang aje Ika. Takkan Ika tak ada kawan-kawan perempuan yang baik yang Ika rasa sesuai dengan Taufik? Perempuan tu tak perlu cantik macam Ratu Universe, Ika! Sedap mata memandang dah cukup bagi Taufik.”
“Err... okey. Insya-Allah, Ika akan cuba tolong kenalkan Taufik dengan seseorang. Tapi lepas tu pandai-pandailah Taufik untuk sama ada nak teruskan hubungan tu ataupun tak.” Akhirnya Zulaika bersetuju setelahs atu wajah terakam di benaknya.
“Okey, Taufik setuju!” sahut lelaki itu pantas sambil menyeluk poket dan menghulurkan kad namanya pada Zulaika agar mudah dihubungi kelak.

ULASAN AKU TURUT BAHAGIA- TUAN YATIM AHMAD (KOLUMNIS DI NEW SABAH TIMES)

Bukan Semua Novel Popular
OLEH: YATIM AHMAD
(ytaubatal@yahoo.com)

PERTAMA KALI, saya membeli novel popular! Apabila rakan mengetahui menerusi muka buku (facebook) saya membei buku novel popular atau poket novel, mereka 'berasakan' janggal, kerana walaupun saya kutu buku, pembaca tegar buku sastera, tetapi tahu benar saya tidak pernah menyentuh novel popular, melainkan, kerana gemar membaca apa sahaja, saya menatap juga kulit belakang novel berkenaan.

Bagaimanapun, kali ini saya bukan sahaja tertarik, malah berminat untuk berfikir (bukan mengkaji) mengenai novel popular ini. Pernah juga dahulu saya membicarakan soal novel popular di kolumnis sastera saya di New Sabah Times, isunya ialah pengabaian bahasa pada novel itu, menggunakan bahasa pesanan ringkas (sms), pembaziran dan pemborosan kata-kata, selain sarat kisah percintaan muda mudi, kegagalan dan hubungan sosial yang melampau. ini semua adalah identiti novel popular, berbanding novel serius, penggunaan bahasa dan pemikiran terkawal.

Tetapi, ketidak serisuan saya terhadap novel popular ini, membetik ketika membaca satu status seorang pengarang, wartawan dan novelis yang dikenali ramai apabila menyentuh isu ini dan kemudian disambar oleh penulis lain yang menempelak golongan penulis novel popular sebagai perosak moral generasi muda dan perosak bahasa. Daripada komen itu, dan kebetulan Asmah Hashim pula mempromosikan novel sulungnya 'Aku Turut Bahagia' di kosas, menjentik keinginan saya untuk membuat sedikit analisis ringkas. Lalu, ketika saya nak ke bandar, saya teringat novel asmah ini dan masuk di toko buku putatan dan nasib baik ada sebuah sahaja lagi. Saya membeli pada harga RM26.

Setiba di rumah, saya membaca beberapa bahagian novel Asmah dan memang ada sedikit berbeza dengan novel popular. 'Aku Turut Bahagia' boleh dikatakan bukan novel popular, atau bayangannnya, tetapi kerana ia diterbitkan oleh penerbit novel popular, maka ia kelihatan begitu. Ini ialah novel yang sama pengucapan dengan novel serius. Itulah tanggapan awal saya. Kemudian, saya menghubungi asmah untuk mendapatkan biodatanya, jadi mari kita kongsikan sedikit dapatan saya mengenai dirinya.

Asmah lahir pada 13 Jun 1969, di Kuala Lumpur, bertugas sebaga pembantu pengurusan Rumah Anak Yatim Tahfiz Maahad Azzein al Makki. Pendidikan awanya bermula Sekolah Rendah Bangsar Pantai Baharu, Kuala Lumpur; sebelum melanjut di Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Pantai Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur. Sebelum ini pernah menghasilkan pelbagai karya yang disiar oleh akhbar arus perdana. Antara karyanya ialah novel Aku Turut Bahagia (Alaf 21), Doa dan Air Mata (Fardu Ain edisi 15-2012), cerpen Rahsia Malam Pengantin (Majalah Wanita), cerpen Akhirnya Dia ke Tanah Suci dan al-Islam (Utusan), cerpen Biarlah Dia Pergi (Utusan Malaysia , edisi jawi); cerpen Warkah Untuk mama (URTV -Utusan); cerpen Warkah Untuk mama, Ayah oh Ayah, Masih Ada Bahagia, Rindu Emak dan Kerana Cinta (Utusan).

Novel Aku Turut Bahagia (ATB) setebal 584 muka surat termasuk biodata dan segmen ilmu, adalah karya novel sulung Asmah. Dai berkata novel ini disiapkan dalam tempoh empat bulan.

Novel ATB adalah kritikan sosial yang tajam, terutama terhadap mereka yang beristeri lebih daripada satu, juga mengambarkan ketelusan isteri tua yang baik hari dan sikap isteri muda yang lupa daratan (secara perbandingam, ada juga isteri tua berperilaku habat terhadap isteri muda). Ia mengisahkan Ummi Khadeeja yang sanggup bermadu dan membenarkan suamiya berkahwin dengan seorang pelajar negara yang masih belajar di pusat pengajian tinggi Mesir. Selepas berkahwin, Ummi menghadapi konflik rumahtangga apabila madunya, Syifa' Umaira berubah sikap, termasuk mendesak suami meceraikan Ummi. Bagaimanpun, keadaan itu berubah juga akhirnya apabila mereka hidup bahagia. Dengan megambil latar belakang Maahad, novel ini lebih kepada aspek penceritaan kemasyarakatan yang berkaitan gambaran hidup bermadu. Ia mungkin pengalaman penulis, perkara yang pernah berlaku, dan kebanyakan perhubungan antara madu ini digambarkan agak terperinci dan gambaran sikap segelintir isteri muda itu agak mengesankan, dan gambaran had kesabaran isteri tua itu agak realistik.

Begitulah. Saya sudahi sedikti pandangan novel Asmah ini, yang sangat bermanfaat untuk menambahkan khzanah bahasa kita.

Smentara itu, apapun namanya, novel serius atau popular, penulis telah memanfaatkan bakat dan minatnya untuk menghasilkan cerita. Sebagai pengurus banyak perkataan, menyiapkan novel bukan mudah.

Jadi, di sini, saya cuba mengubah persepsi kebanyakan pembaca (baca penulis dan pembaca sastera serius), bahawa novel yang diterbitkan oleh pihak swasta seperti Alaf 21, bukan semuanya berbau 'popular', ia sebenarnya mungkin daripada penulis itu sendiri, jika dia hanya tahu bagaimana menulis novel ringan, dan berasa enggan membaca dan mempelajari bagaimana menghasilkan novel serius, maka tahapnya di  situ sahaja, begitu penulis novel serius atau semi-popular, jika dia menghasilkan novel popular, mungkin tiada masalah untuk diterbitkan selepas melalui penilaian pihak panel penerbit.

Bagaimanapun, memang berlaku perselisihan pendapat antara penulis novel serius dan popular ini, bukan pada cara dan teknik menghasilkan karya, tetapi sikap segelintir penulis novel popular yang memperlekehkan bahasa Melayu. Jangan anda kata sebahagian percubaan menggunakan bahasa sms atau bercampur bahasa Inggeris itu tanda kemajuan, saya tak fikir bahasa rojak itu mampu melariskan sebuah buku (barangkali ada, tetapi sementara sahaja). yang sepatutnya ialah anda kena tahu bagaimana mengayakan bahasa, walaupun ia novel serius. Bagitu di pihak penulis novel popular, jangan mengatakan bahawa novel serius tak laku atau tidak mendapat pasaran tinggi kerana 'kerseriusan' itu, sebaliknya seperti yang saya katakan tadi, ia berpunca kegagalan penulis itu memahami aspek pengayaan bahasa. Dua kali saya sebut pengayaan bahasa, apakah pengayaan bahasa itu? Jika sajak, pengayaan bahasa boleh dikatakan kemahiran penyair mengeksploitasikan aspek penyimpangan bahasanya untuk pengucaan yang menarik, bukan hanya dibantu metafora, personafikasi atau pelbagai istilah lagi.

Pengayaan bahasa ialah bagaimana penulis mampu memberikan pengucapannya mampu memgugah perasan pembaca, bagaimana ia mengambarkan suatu emosi, kemarahan, kesukaan dan kedukaan, memek wajah, pergerakan tubuh badan, tanpa memaksa pembaca bergembira dengan pernyataan - dia bergembira, - dia kegirangan, atau jika gambaran bersedih penulis menyebutkan - dia mengalirkan air, air jernih membasahi pipinya; sebaliknya bijak mengeksploitasikan bahasa tubuh dijadikan bahasa pengucapannnya. Tapi lainkali lah berbicara hal ini.

Jadi, saya berfikir, ada baiknya penulis novel popular mengkaji bagaimana menjadikan pengucapan mereka berubah daripada bergantung kekuatan bahasa rojak dan sms, percintaan dan hubungan sosial rambang, kepada penyampaian yang berkesan untuk melariskan buku mereka. Jangan kata saya tak tahu penerbit mahukan keuntungan dan penulis perlukan royalti.

Semua usaha memerlukan keberanian, kita perlu berani untuk menggunakan sepenuhnya bahasa Melayu tanpa merojakkan sebagai bahasa pengucapan karya, kita perlu menguatkan asas dan akar bahasa kebangsaan tanpa memadang rendah ia dengan menggunakan bahasa Melayu yang berkarat, kerana masalahnya bukan soal laris atau tidak jika anda menggunakan bahasa baku (termasuk pengucapan/logat tempatan, daerah dan negeri), tetapi keyakinan terhadap jati diri penulis itu memang barangkali berkarat dan rosak.

Marilah, tidak kira penulis novel serius atau novel popular, kita fahami benar-benar kehendak berbahasa, bahasa sendii sendiri untuk menghasilan penceritaan yang bagus, buku yang laku (laris), bukan hanya sekadar menulis supaya anda termasuk dalam senarai penulis. Kita perlu bersatu meninggikan martabat bahasa kerana itulah yang menjadikan kita dikenali, penutur bahasa Melayu.

Mari kukuhkan Bahasa Jiwa Bangsa

ULASAN AKU TURUT BAHAGIA- NURHARYATI ISHAK

 ULASAN AKU TURUT BAHAGIA- NURHARYATI ISHAK (PENULIS)

Hmmm. Ini pandangan saya sebagai pembaca. Saya mengulas dari sudut pandangan saya terhadap cerita ini. ketika membaca, saya letakkan diri saya di dalam cerita. Terlebih dahulu ingin saya beritahu, setiap ulasan saya tentang satu2 cerita adalah tentang bahan cerita yang ditulis bukan tentang diri penulis. Ini apa yang saya selami apabila berada dalam cerita ini,

Bagi anda siapa yang benar2 menyakitkan hati?
1- Amir Hudzaifa
2- Ummi Khadeeja
3- Syifa’ Umairah

Pandangan peribadi saya, paling saya sakit hati adalah terhadap Ummi Khadeeja. Kedua, Syifa’ Umairah, ketiga baharulah kepada Amir Hudzaifa. Banyak review yang saya baca tentang novel ini. Semua bencikan Amir Hudzaifa. Kenapa ya bencikan dia? sebab dia kawin dua? sebenarnya kahwin 2 tak salah. Yang salahnya tindakan orang yang berpoligami itu.

Kenapa saya paling sakit hati kepada Ummi Khadeeja:

Kerana katanya dia reda suaminya berkahwin lagi kononnya dia ingin melihat suaminya bahagia. Kononnya ingin menjadi wanita solehah. Wahai Ummi Khadeeja dan wahai para wanita di luar sana! kalau kamu reda maksudnya kamu mesti reda akan segala-galanya. Bukan setakat membenarkan suami berkahwin sahaja, tetapi reda dengan apa yang bakal berlaku apabila sudah berpoligami, reda andai diri anda tidak diterima baik oleh madu, reda andai suami meluruhkan perhatian secara berlebih-lebihan kepada orang di sana sekali pun, reda meskipun suami berlaku munafik kerana telah melanggari perjanjian. Itu baru dinamakan reda. Mesti reda segala2nya andai suami bersikap tidak adil ke atas diri kita. Andai reda, tidak ada sebarang syarat dalam perkahwinan. Apa gunanya syarat2 tersebut? Kerana risau diri disingkirkan oleh suami? Risau madu mendapat lebih dari diri sendiri? Itu namanya tidak ikhlas! Andai tidak ikhlas, makanya tidak reda. Di mana letaknya perkataan reda dalam diri waima dalam hati? Ha.. kan dah naik marah dah kat Ummi Khadeeja? Mana taknya? Selepas dia izinkan suami kawin lagi, dia pulak nak buat perangai.


Tahap kemarahan saya kepada Shifa’ Umairah? memang sah2lah saya marahkan dia. yalah! Berkahwin berasaskan nafsu. Siapa tak marah? Kononnya dia kata dia cintakan Amir Hudzaifa kerana Amir Hudzaifa itu orang beriman, bertakwa dan soleh. Di samping kacak. Rasanya kalau setakat beriman, bertakwa dan soleh pun dia tak nak kalau tidak kacak. Cuba Amir Hudzaifa itu hodoh yakmat, mahu Shifa’ Umairah tu nak jatuh cinta? Itulah maknanya dia cintakan Amir Hudzaifa kerana nafsu. Hingga sanggup melukakan hati orang tua, hingga sanggup berhenti belajar kerana tergila2kan ustaz kacak kononnya. Bila sudah dapat, macam2 pulak dia buat perangai. Mengamuk macam orang tidak waras, macam orang tidak ada agama. Itulah… belajar agama bukan menentukan seseorang itu ada iman. Iman itu di hati, bukan di pelajaran.


Amir Hudzaifa saya marah sebab suka beri alasan untuk memenuhi kehendak sendiri. Katanya mahu berkahwin lagi sebab mahu menyenangkan Ummi Khadeeja. Supaya ada orang boleh tolong jagakan maahad ketika dia berpergian untuk berceramah. Itu semua alasan! Alasan semata2! Kemudian heret pulak nama Haji Salleh dan Dato’ Ibrahim menyuruh dia tambah cawangan satu lagi untuk memudahkan kerja2nya. Padahal orang cuma berkias. Dia pulak sudah bersungguh2. Huh! Kononnya mahu darah daging sendiri jaga maahad, sebab itu beri alasan mahu kawin lagi. Itu, anak2 yang dihantar keluar tu, panggillah balik jaga maahad. Kononnya mahu anak2 tinggal di luar agar mereka boleh hidup berdikari. Kalau tinggal di maahad sendiri pun mereka boleh berdikarilah Encik Amir Hudzaifa ooiii... Biarlah mereka tinggal di kediaman asing. Jangan tinggal sekali ibu bapa. Selain dari itu, boleh juga mereka tengok-tengokkan maahad. Ingin berkahwin lain semata2 untuk kepentingan maahad itu propa semata2 la… itu untuk memenuhi tuntutan nafsu sendiri. Mahu tak dikatakan dia berkahwin kerana nafsu? Baru sahaja tengok gambar calon isterinya, sudah tersenyum2 sendiri dan tidur tidak lena. Padahal belum tahu bagaimanakah sikap dan perangai calon yang diambil jadi isterinya lagi. hinggakan terpaksa berhabis wang untuk kenduri pihak perempuan, berhabis untuk itu ini sampai berpuluh2 ribu pun sanggup. Hinggakan pihak perempuan melengahkan pernikahan pun sanggup jugak tunggu. Semata2 nakkan sangat dengan Shifa’ Umairah yang cantik sangat tu. Akhirnya apabila sudah kawin, semak dan serabut kepala. hah! Padan muka!

Catatan buat penulis Asmah Hashim: syabas! Saya mudah menghadam cerita anda. Cara penceritaan seperti penulis2 senior Aisya Sofea, Sharifah Abu Salem, Norhayati Berahim dsb… penulis banyak buat reseach. Saya suka jalan penceritaannya.

Ahad, 29 Disember 2013

RINDU YUSUF, CINTA ZULAIKHA - SITI ROZILAH






BAB 1
 HAKIKATNYA, hidup taklah semudah yang disangka. Realiti kehidupan tak wajar disamakan dengan sebuah cerita dongeng yang tak berpijak di bumi nyata. Hidup ini banyak halangan dan dugaannya. Dan buahnya ada yang masam, pahit, kelat mahupun manis. Perjalanan hidup bagaikan membaling sebiji dadu ke atas meja. Sebijak manapun si pembaling, kemungkinan balingannya tersasar tetap ada.
“Ika! Towel abang mana?” teriakan suaminya dari arah bilik mandi membuatkan konsentrasinya terganggu. Dia mengherotkan bibirnya. “Ika!” sekali lagi Yusuf Hakimi menjerit.
Zulaika menggetap bibir dan menutup kedua belah telinganya dengan telapak tangan.
“Ika! Dengar tak abang panggil ni? Pekak ke, huh!”
Adoi!!! Sakitnya telinga. Apakah lelaki bernama Yusuf Hakimi ni tak tahu makna sabar? Apakah lelaki bernama Yusuf Hakimi ni ingin dimanjakan bagai anak-anak kecil hinggakan masuk ke bilik mandi pun selalu terlupa untuk membawa tuala? Apakah lelaki bernama Yusuf Hakimi ni diciptakan untuk menyusahkan perempuan bernama Zulaika?
Hhmmmph!
“Ika! Abang bilang sampai tiga... kalau tuala abang tak sampai juga abang akan keluar tanpa seurat benang!”
“Heh, abang ni dah gila ke?” dia terpekik.
Suara Yusuf Hakimi tergelak bagaikan guruh berdentum di dada langit.
“Apa salahnya? Ni rumah abang kan? Abang beli rumah ni pun dengan duit hasil titik peluh abang!”
Isy, si dia ni kalau mengungkit pasal tu, memang cukup bijak! Zulaika mengutuk suaminya dalam hati.
“Suka hati abanglah nak buat apa pun. Satu... dua...” Yusuf Hakimi berdegil.
Zulaika berlari ke muka pintu bilik mandi lalu mengetuknya bertalu-talu.
“Yelah, Encik Yusuf! Ni towelnya.” Dia menjerit dari luar.
Yusuf Hakimi merenggangkan sedikit daun pintu. Dia tersengih sambil mencapai tuala biru yang dihulurkan oleh isterinya itu. Dia memang sengaja masuk ke bilik mandi tanpa membawa tuala. Bukannya mengada-ada. Tapi dia memang suka menyakat isterinya. Siapa lagi yang hendak disakat oleh Yusuf di muka bumi ini selain daripada Zulaika?
Beberapa minit kemudian dia keluar dari bilik mandi sambil tersenyum kambing. Naik menyampah Zulaika memandangnya. Nyampah-nyampah sayang, beb! Siapa lagi yang hendak disayangi olehnya kalau bukan suaminya sendiri?
“Tak habis-habis menaip. Tak kontot ke jari tu?” tempelak Yusuf Hakimi sambil menyeringaikan giginya yang putih berderet ke arah Zulaika yang duduk bersila di atas katil mengadap laptopnya.
“Kenapa kalau jari kontot?” tingkah Zulaika. “Kenapa abang sengih-sengih kat Ika macam tu?”
“Kalau kontot jari sayang tu, adalah peluang abang tambah cawangan.”
“Apa abang cakap? Ulang balik!”
Yusuf Hakimi selamba. Dia tahu isterinya cukup pantang apabila dia mengusiknya begitu. Mungkin bukan isterinya saja yang cukup ngeri apabila memikirkan tentang isu poligami; mungkin semua perempuan di muka bumi ini pun begitu.
“Apa abang cakap tadi?” Zulaika mengulangi soalannya yang tak berjawab.
“Malaslah! Kalau bercakap dengan Ika, asyik nak kena ulang aje. Dah berapa tahun tak korek telinga tu?” usiknya lagi. Dia yang sudah lengkap berpakaian menjeling isterinya yang menyinga di atas katil dengan ekor mata. Geli hatinya melihat wajah Zulaika yang lembut berubah cemberut begitu. Tapi hati lelakinya mengakui kejelitaan milik isterinya. Buatlah muka macam mana pun, Zulaika tetap cantik.
Kejelitaan isterinya itu membuatkan dia sering terfikir bagaimanakah jelitanya isteri pemerintah Mesir yang juga bernama Zulaika, yang tega menggoda Nabi Yusuf berkurun silam? Mungkin lebih cantik daripada Zulaika di depan matanya ini. Pun begitu, persembahkanlah seribu orang Zulaika yang lebih cantik dan ayu daripada isterinya, dia tetap akan menolaknya kerana dia pasti cintanya yang satu hanya untuk wanita yang sedang muncung di atas katil itu.
“Dahlah tu! Abang dah lapar ni. Kata nak keluar makan tadi, jomlah!” dia melembutkan suaranya.
“Selera Ika dah hilang!”
Yusuf Hakimi tersenyum. Isterinya yang masih muda belia itu merajuk sudah.
“Macam mana boleh hilang? Kalau macam tu cepatlah cari.”
“Cari apa?”
“Eh, tadi kan Ika kata selera Ika dah hilang, cepatlah cari. Dah jumpa nanti bolehlah kita keluar makan.” Getus Yusuf Hakimi sambil menyengih panjang.
“Ada-ada ajelah abang ni!”
Dia mendekati isterinya. Tangan kanan isterinya dicapai lalu dikucup perlahan. Di hujung matanya dia melihat riak wajah tegang yang tadinya bertapak di wajah Zulaika sudah mula kendur.
“Sorry, sayang. Jangan marah, ya. Abang gurau aje. Kalau tak bergurau dengan sayang, abang nak bergurau dengan siapa lagi? Takkan nak bergurau dengan Nur Ain kat pejabat tu pulak?” Dalam memujuk, dia masih sempat menyakat isterinya.
Zulaika mengutil lengannya membuatkan Yusuf Hakimi menjerit kecil. Senyum sudah mula terukir di bibir merah bersalut gincu red winenya.

ZULAIKA terkocoh-kocoh keluar dari bilik air. Dia yang tadinya sudah bersedia hendak keluar dengan suaminya terpaksa berlari ke bilik air akibat perut yang menyenak secara tiba-tiba. Kelibat Yusuf Hakimi tiada di ruang tamu. Mungkin Abang Yusuf berada di luar, getus hatinya sambil mencapai tas tangan Bonia warna merah tua yang tergeletak di atas meja kopi lalu melangkah pantas ke muka pintu. Sangkaannya seratus peratus tepat. Yusuf Hakimi kelihatan sedang berdiri di halaman rumah berhampiran dengan kolam ikan kap, sedang tenggelam dalam perbualan dengan seseorang dengan menggunakan telefon bimbitnya.
Zulaika menghayun langkah menghampiri suaminya. Setelah mendapati dirinya dihampiri, Yusuf Hakimi segera menamatkan perbualannya. Dia menoleh ke arah Zulaika yang kelihatan manis dengan baju kurung merah darah berbunga tabur yang telahpun berdiri di sisinya.
“Siapa yang telefon, bang?” soal isterinya.
“Kak Intan. Nampaknya kita tukar rancanganlah malam ni, sayang...”
“Kenapa pulak?” soalnya dengan rasa kurang senang. Nama yang baru saja meluncur keluar dari bibir suaminya seketika tadi sudah cukup membuatkan hatinya jadi tak menentu. Mindanya sudah membayangkan wajah Intan Juliana, wanita kota yang cantik, elegan dan sentiasa bergaya itu.
“Dia jemput kita berdua ke rumah barunya. Kebetulan pula dia sedang adakan rumah terbuka malam ni. Minggu lepas dia ada bagitau abang, tapi abang terlupa. Tadi dia call untuk ingatkan abang agar bawa Ika ke sana.” Tingkah Yusuf Hakimi.
Dia sebenarnya berat hati hendak ke sana. Kalau boleh dia mahu menikmati makan malam di mana-mana restoran atau gerai, berdua-duaan dengan suaminya sahaja. Selain daripada kurang senang dengan keakraban hubungan di antara suaminya dengan pelukis terkenal yang masih berstatus solo itu, dia juga masih kurang biasa bergaul dengan teman-teman suaminya. Entah mengapa dia sentiasa berasa rendah diri di kalangan mereka. Teman-teman suaminya rata-rata berpendidikan tinggi, bak kata omputih, educatedlah katakan. Ketika berada di samping mereka, kadangkala mereka berbual dengan menggunakan Bahasa Inggeris yang membuatkan Zulaika ternganga-nganga. Bahasa omputih yang mereka gunakan berhabuk, beb, kalah omputih yang sebenar.
Bunyi hon kereta membuatkan khayalan Zulaika terganggu. Dia segera melangkah ke arah Kia Spectra hijau milik suaminya lalu memboloskan diri ke dalam perut kereta itu.
Yusuf Hakimi tersengih panjang melihat wajah isteri yang tadinya ceria tiba-tiba sahaja berubah mendung. Dia faham dengan gelojak hati wanita di sisinya, namun dia hanya mendiamkan diri. Zulaika harus menyesuaikan diri dengan kesibukan kerjaya, teman-temannya serta kehidupan di kota metropolitan ini. Dia harus sedar bahawa dia bukan lagi gadis kampung ataupun pekerja sektor industri yang naif sebaliknya isteri seorang jurutera yang berjaya.
Dia memecut laju keretanya meredah malam yang bersimbah cahaya neon.

Sabtu, 28 Disember 2013

POKOK PISANG IBU










POKOK PISANG IBU

                Rimas rasanya, pokok pisang itu semakin meliar tumbuhnya.  Semakin banyak pula anak-anak pokok melata.  Mahu sahaja dia menebangnya.  Memanglah boleh makan hasilnya tetapi jika sudah keterlaluan sehingga menyemak mata memandang.  Parang sudah di tangan, Harun mengatur langkah menuju ke arah pokok pisang yang tumbuh subur itu. 
                Dia memandang ke atas, ke bawah.  Di mana hendak mula dahulu.  Kalau sebatang dua tentulah dia tidak kisah, ini tidak sudah memenuhi hampir separuh laman rumahnya.   Daun-daun kering yang berjuntaian usah ceritalah, semakin sakit matanya memandang.  Dia menarik keluar daun-daun  yang sudah kering.   Dipotong satu persatu.    Dia menghayun parang.
                “Abang! Buat apa?” jerit seseorang.  Dia menoleh.  Aduh! Tentu tidak  menjadi rancangannya.  Cepat pula isterinya balik. 
                “Abang buat apa?” lengking suara  Norma yang baharu sahaja pulang dari kenduri rumah rakan sekolahnya.
                “Tak ada buat apa-apalah, bersihkan daun pisang kering ini sahaja,”  Harun menyengih.  Norma mengetap bibir.  Dia mencekak pinggang.
                “Abang nak tebang pokok pisang ini ya?”  Norma memandang wajah suaminya tidak  berkelip. 
                “Mana ada?”  Dia menggaru kepalanya.
                “Abang jangan nak buang pokok pisang ini! Ini pemberian arwah ibu Nor…  hanya ini sahajalah peninggalan ibu untuk Nor.”  Norma menahan sebak.  Susah payah arwah ibunya bawa dari kampung  anak pokok pisang itu. Sudah ditanam, tumbuh dan membesar. Malah sudah makanpun hasilnya. Eh, senang-senang hendak tebang.
                “Nor… cuba perhatikan keadaan pokok pisang ini.  Terlalu banyak, sampai separuh laman kita dipenuhi pokok pisang ini.  Tak cantik langsung!”  kata Harun.  Norma membulatkan mata. 
                “Nor tidak kira, kalau pokok pisang ini penuhi laman rumah ini sekalipun, biar ia di sini.  Abang faham tak maksud Nor.  Ini pokok pisang pemberian arwah  ibu Nor.  Tidak mungkin Nor membuangnya.  Melihat pokok pisang ini hilanglah rasa rindu Nor kepada arwah.  Abang faham tak maksud Nor!”  sedikit meninggi suaranya.  Harun mengeluh.   Dia menggelengkan kepala.
                “Nor kena faham abang juga!  Tak sanggup abang lihat pokok ini.  Semak laman rumah kita,”  Harun mengerling.  Norma menjeling.
                “Kalau abang tebang juga pokok itu, bermakna abang telah menghancurkan hati Nor!” Norma  melangkah masuk ke dalam rumah.  Tidak kuasa dia  bergaduh dengan suaminya.  Buat dosa kering  sahaja.  Harun memandang sepi pokok pisang itu.  Tiba-tiba kau jadi musuhku, detik hati kecil Harun.

***
                Harun duduk tenang di anjung rumah sambil memerhatikan pokok pisang yang  beralun-alun ditiup angin. Sebatang pokok sudah berbuah.  Buah pisang yang sudah jarang ditemui kini.  Pisang Embun.  Kulitnya berwarnan hijau biarpun sudah masak ranum.  Memang sedap dan manis.  Jaganya juga tidak susah.  Dahulu di Malaysia banyak  benih pokok ini tetapi sekarang tidak lagi.  Dia sendiri tidak tahu kenapa.  Di mana arwab ibu mertuanya mendapatkan benih tersebut, dia tidak tahu.
                Dia perlu lakukan sesuatu.  Ini kawasan rumah, bukan kebun pisang.  Untung rumahnya terletak di bahagian hujung sekali.  Luas kawasannya.  Tetapi separuh sudah dipenuhi pokok pisang Embun dan anak-anaknya.  Hendak dibuang terpaksa bertekak dahulu dengan isterinya.  Pening juga kepalanya.  Dia ingin membina taman mini di laman rumahnya.  Ingin mencantikkan kawasan laman rumahnya.  Kehadiran pokok pisang itu telah membantutkan keinginannya. Kepada isterinya sudah diperjelaskan tujuannya.  Norma masih berkeras.  Tidak sesekali mengubah atau membuang pokok tersebut.  Aduhai, isteri.  Sayang sangat dengan pokok pisang itu. 
                Norma mengemas kain bajunya ke dalam beg pakaian yang sudah  terletak di atas meja.  Dia memandang wajah suaminya yang sedang membaca buku kegemaran.  Dia mengerling. Usai mengemas, dia duduk di sisi Harun.
                “Nor pergi seminggu sahaja.  Selama Nor tiada, abang jangan pandai-pandai nak buang pokok pisang Nor.  Ingat bang, kalau abang lakukan juga bermakna abang sakitkan hati Nor.  Biar laman rumah Nor tidak cantik asalkan kenangan arwah ibu sentiasa bersama Nor.” Pesan Norma sebelum dia   pergi menghadiri kursus selama seminggu di Sabah. 
                “Takkan abang nak buat seperti itu.  Abang tahu Nor sayangkan pokok pisang itu.” Harun menyengih.  Norma mencebik.   Boleh percayakah?  Bersangka baik sahajalah. 

***
                Harun duduk di hadapan pokok pisang sambil  merenung lama.  Dia tersenyum sendiri.  Bunyi kenderaan jentolak memasuki laman membuatkan senyumannya semakin lebar.  Dia mengamit kenderaan tersebut.  Bukan hendak memungkiri janji.  Tetapi dia sudah tidak tahan melihat pokok pisang tersebut.  Pokok itu harus dibuang.  Esok sebuah kolam mini akan terbina di situ.  Rimbunan pokok pisang akan diganti dengan taman mini. Dipenuhi aneka jenis pokok renek yang berbunga dan tidak berbunga.  Sejuk mata memandang.
                Setiap kali telefon, Norma  pasti akan bertanyakan tentang pokok pisangnya.  Harun menjawabnya dengan jujur.  Masih hidup, hanya itulah jawapan yang diberi.  Dia tidak menipu.  Taman Mini semakin siap terbina.  Semakin lebar senyuman di bibir Harun.  Cantik sungguh laman rumahnya.  Dua buah kerusi laman diletak di kiri dan kanan kolam.   Boleh duduk berehat sambil membaca buku.  Ada duit lebih sikit dia ingin membina tembok dan bumbung.  Di situ dia ingin bina ruang membaca.  Buku-buku miliknya akan diletakkan di situ.  Seronoknya, detik hati kecilnya.

**
                Norma melangkah turun dari perut teksi.  Matanya melekat ke arah tempat pokok pisangnya  tumbuh.  Mana pokok pisang aku, bisiknya sendiri.  Terkocoh-kocoh dia keluar.  Sehingga tidak sempat mengambil baki tambang.  Beg di tangan terlepas  jatuh ke lantai.  Dadanya sakit, dia sebak.  Pokok pisang sudah tiada lagi.  Terduduk dia di hadapan kolam sambil menangis.  Kenapa suaminya kejam?  Kenapa suaminya memungkiri janji  Air matanya bercucuran keluar, selaju air di kolam taman mini itu.  Dia memandang taman mini itu dengan mata berkaca.  Memang cantik tetapi cantik lagi  pokok pisang milik arwah ibunya.
                “Nor! Kenapa Nor?”  Harun mendekati isterinya.  Jari telunjuk Norma menunjuk ke arah  taman mini tersebut.  Harun memandang sambil mengeluh.
                “Maafkan abang.  Tidak sanggup rasanya membiarkan pokok pisang tersebut tumbuh meliar Nor.  Buruk sangat kelihatan laman rumah kita.  Abang tukarkan dengan taman mini ini, lebih tenang dan cantik.”  Kata Harun memujuk.  Norma meraung lagi.  Hiba pula hati Harun mendengarnya. 
                “Kenapa abang kejam sangat! Abang sudah tidak sayangkan Norkah?  Bukankah pokok pisang itu peninggalan arwah ibu Nor.  Abang sudah lupakah?”  Norma menangis bagaikan anak kecil.  Dia sudah tidak peduli lagi.  Suami yang disayangi sudah menghancurkan hatinya.  Mengecewakan perasaannya. 
                “Abang tidak kejam, sayang.  Abang buat semua ini demi Nor juga!” pujuk Harun.
                “Mana pokok pisang ibu! Mana pokok pisang ibu!” jerit Norma.  Harun menggaru kepala. 
                “Sudahlah, malu dengan jiran tetangga.  Mari iku abang!”  Harun menarik tangan Norma menaiki kereta.  Norma masih menangis , sedih terlalu sedih.  Harun menghiris hatinya dengan pisau tajam.  Berdarah dan sudah tentu lambat sembuhnya.  Lukanya terlalu dalam.  Menusuk ke dalam jantungnya.
                “Cuba awak bawa bertenang.  Berhenti menangis.”  Harun sudah hilang sabar.  Suara tangisan Norma yang mendayu-dayu lama-kelamaan menyakitkan telinga.  Kalau anak kecil tentulah merdu kedengarannya.  Ini orang tua.
                “Mana boleh bertenang! Abang hancurkan  kepercayaan Nor kepada abang.  Abang buang satu-satunya milik kesayangan Nor.  Bukan Nor minta abang belikan intan berlian, atau emas sekilo.  Minta jangan buang pokok pisang itu, tapi abang lakukan juga.”  Marah Norma.    Harun menggelengkan kepala.  Semakin dilayan semakin menjadi-jadi rajuk isterinya.  Biarlah dia hendak menangis sehingga keluar air  mata darah sekalipun,apakan daya.
                Norma memandang sekeliling kawasan.  Ke mana pula suaminya hendak membawanya.  Dia memandang sekali imbas suaminya yang sedang memandu. 
                “Kita hendak ke mana?” tanya Norma dalam tangisnya. 
                “Ikut sahaja,” jawab Harun.  Langsung tidak memandang wajah Norma.  Sakit juga hatinya.  Kerana pokok pisang mereka bertengkar.  Sudahlah berpisah seminggu.  Ingat bila balik bolehlah bermanja-manja, ini tidak menjadi mangsa kemarahan pula.
                “Sudah sampai! Turunlah!”  Harun memberhentikan keretanya di satu kawasan kebun yang baharu sahaja ditanam dengan pelbagai jenis pokok buah-buahan.  Norma  melangkah keluar.  Matanya terpandangkan deretan anak pokok pisang yang tersusun kemas di  batas.  Dia berjalan mendekati kawasan tersebut.  Sudah berpagar dawai.  Harun menarik tangan Norma masuk ke dalam kawasan kebun.
                “Kebun siapa ini bang?” tanya Norma sambil menyeka air mata yang berbaki.
                “Kebuh kitalah.”
                “Kebun kita?”  Norma memandang wajah suaminya.  Harun mengangguk dan tersenyum.
                “Pokok pisang ini?”  Norma memandang anak pokok pisang yang rendang itu.
                “Pokok pisang arwah ibulah.  Inilah anak-anak pokok pisang yang terdapat di laman kita.  Abang bawa ke mari.  Kan bagus pokok pisang ini di sini.  Tengok ada dua puluh batang pokok.  Banyakkan?  Kalau semuanya tumbuh subur, hasilnya kita boleh jual.  Dapatlah kita menambah pendapatan!”  cerita Harun.  Norma terkejut.  Dia tidak menyangka sama sekali perancangan suaminya begitu strategik.  Pokok pisang  arwah ibunya mampu menjana pendapatannya sekeluarga.
                “Abang juga tambah beberapa jenis lagi pisang lain.  Pokok-pokok buah seperti rambutan, durian, manggis,  duku langsat dan mangga juga abang tanam.  Nor sukakan?”  Harun menarik bahu Norma dekat dengannya.
                “Terima kasih bang!”  Norma menangis lagi.  Bukan sedih, tetapi tangisan bahagia dan gembira.
                “Abang sayangkan Nor, mana mungkin abang sakitkan hati Nor.  Abang tahu Nor sayangkan pokok pisang itu.  Cuma tidak sesuai ianya berada di kawasan rumah.  Inilah tempat yang sesuai untuknya. “  Harun memeluk bahu Norma erat.  Norma mengukir senyuman paling manis untuk suaminya tersayang.  Pokok pisang arwah ibunya akan tumbuh subur dan terjaga.  Ibu, kau tetap di hati.  Norma memeluk erat pinggang suaminya dan tersenyum gembira.