Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Isnin, 30 Disember 2013

RINDU YUSUF, CINTA ZULAIKHA

RINDU YUSUF CINTA ZULAIKA
Bab 2

ZULAIKA menapak dengan hati yang mendongkol ke rumah yang tersergam di persiaran Tasik Titiwangsa – rumah yang menjadi milik seorang pelukis terkenal bernama Intan Juliana. Hatinya mempertikaikan untuk apa seorang wanita bujang perlu tinggal bersendirian di sebuah rumah besar yang mempunyai lima buah bilik begitu. Lainlah halnya kalau dia mempunyai ahli keluarga yang ramai. Menurut suaminya, nilai rumah termasuklah tanah di kawasan tersebut mencecah harga setengah juta ringgit atau lebih tinggi daripada itu.
Halaman rumah terhias indah dan bersimbah cahaya untuk menyambut para tetamu yang tiba. Dua buah kanopi yang disediakan sudah mula dipenuhi oleh para tetamu. Kalau di kampungnya kanopi begitu hanya didirikan untuk majlis kenduri kahwin.

Dari jauh lagi dia sudah melihat kelibat tuan rumah yang anggun mengenakan kebaya nyonya warna kuning lemak ketam sedang sibuk melayan para tetamu. Cemburu yang tiba-tiba bertapak di jiwa membuatkan dia menoleh ke arah suami di sisi.
“Tu pun Kak Ju, bang!” dia cuba mengawal emosinya yang sedang galak diamuk cemburu. “Bukan main cantik lagi dia malam ni.” Entah mengapa terpacul pujian yang tidak berapa ikhlas dari mulutnya untuk wanita itu.
Yusuf Hakimi mengangguk.
“Jom kita jumpa dia dulu.” Tingkah Yusuf Hakimi. Dia tidak membantah, sebaliknya segera memaut lengan suaminya erat-erat supaya perempuan berkebaya nyonya itu tahu siapa dia di sisi Yusuf Hakimi.

Intan Juliana memberikan senyuman manisnya untuk mereka berdua. Matanya yang kelihatan lebih galak setelah dielus dengan maskara menoleh ke arah Zulaika yang sedang mengepit erat lengan kanan suaminya.
“Apa khabar, Ika?” soalnya sambil menghulurkan tangannya ke arah Zulaika. Mahu tak mahu Zulaika terpaksa melepaskan pautannya di lengan suaminya untuk menyambut salam yang terhulur.

“Khabar baik. Kak Ju?’
“Akak sihat.” Sahut Intan Juliana. Matanya menoleh pula ke arah Yusuf Hakimi. “I dah agak dah... you mesti lupa dengan jemputan I malam ni. Tulahlah sebabnya I call you tadi.”
Yusuf Hakimi ketawa.
“Masa you call tadi, I dan Ika dah bersiap-siap nak keluar makan. Rezeki kamilah sebab dapat jemputan makan percuma macam ni, betul tak Ika?” ujarnya sambil menoleh ke arah Zulaika di sisinya. Isterinya hanya tersenyum nipis.

“Tau dah habit you tu, asyik nak makan free aje!” hentak Intan Juliana yang kelihatan sungguh gembira malam itu. “Hmmm... you dan Ika pergilah isi perut dulu. Help yourself, semuanya self service kat sini. I nak jumpa beberapa orang kawan kejap.”
“No problem, Ju, go ahead. Kalau pasal makan kita orang berdua ni mesti tak miss punyalah.” Getus Yusuf Hakimi sambil menghamburkan tawanya. Di sebalik jelingan tajam yang diberikan oleh Intan Juliana, dia menarik lengan Zulaika dan mencicit menuju ke bawah kanopi untuk menjamu selera bersama-sama dengan para jemputan yang lain.

“Hey, Yusuf!”
Yusuf Hakimi dan Zulaika yang sedang enak-enak menjamu selera menoleh ke arah satu suara garau yang menyapa di belakang mereka. Seorang lelaki kacak tersenyum lebar ke arah mereka. Zulaika menoleh ke arah suaminya. Dia melihat Yusuf Hakimi seolah-olah terkejut melihat lelaki itu.
“Taufik!” dan, kedua orang lelaki itu berpelukan bagaikan dua orang teman lama yang sudah lama tak bersua muka. “Hey, apa khabar kawan?” soal Yusuf Hakimi ketika Taufik melabuhkan punggung di sisinya.

“Kau tengok sendirilah. Sihat, beb! Siapa kat sebelah kau ni, Suf, orang rumah kau ke?”
Yusuf Hakimi mengangguk.
“Nilah isteri aku, Taufik, Zulaika namanya. Ika, Taufik ni dulu kawan baik abang semasa kat U. Dia sambung belajar ke England dan bekerja kat sana.” Yusuf Hakimi menerangkan sementara Zulaika hanya mengangguk. Mata Taufik menjalar seketika ke wajah wanita di sisi Yusuf Hakimi itu sebelum tersenyum lebar.

“Akhirnya antara kita berdua, kau yang kahwin dulu ya, Suf!”
“Dah jodoh kami, Taufik. Kau pula bila lagi nak tamatkan zaman bujang?” soalnya.
Taufik melambakkan tawanya.
“Aku bukan macam kau, Suf! Aku ni, siapalah yang nak...” dan, matanya melurut lagi ke wajah ayu wanita di sisi Yusuf Hakimi. Zulaika yang tersenyum kecil kelihatan begitu menawan di matanya.

Yusuf Hakimi menepuk bahunya.
“Tu, tuan rumah ni pun masih solo tau. Cantik, bergaya, berharta dan cukup bijak orangnya, taste kau, kan? Kau tak nak cuba nasib ke?” usiknya. Zulaika di sisi hanya mengekel.
Taufik menoleh ke arah wanita yang sedang diperkatakan oleh teman di sisinya. Intan Juliana kelihatan sedang sibuk melayani para tetamunya berbual di kanopi sebelah. Dia memang sempurna serba serbi.

“Maksud kau, Ju?” dia menyoal balik. Yusuf Hakimi angguk. Dia geleng kepala. “Kalau Ju, aku tak berani!”
“Kenapa? Apa yang kau takutkan?”
“Perempuan macam Ju patut dapat lelaki yang lebih segala-galanya daripada aku. Dia sebagai wanita bujang dah memiliki semuanya, Suf. Kau lihat ajelah rumahnya yang tersergam ni, entah berapa harganya aku pun tak sanggup nak tanya. Sedangkan aku ni lelaki biasa aje, yang ada sebuah motokar cabuk serta sebuah apartmen yang bersepah. Lelaki biasa-biasa macam aku ni wajar cari perempuan yang juga biasa-biasa aje. Tapi kau janganlah risau, Suf, belum sampai seru aku nak berteman hidup agaknya. susah-susah nanti aku suruh aje orang rumah kau carikan calon yang sesuai untuk aku jadikan isteri.” Taufik segera menjawab sambil menyengih ke arah Zulaika.

Yusuf Hakimi dan Zulaika ketawa.
“Kau ni, Taufik, kau ingat isteri aku ni tak ada kerja lain ke selain daripada mencari jodoh untuk kau?” tukas Yusuf Hakimi.
Mereka bertiga tergelak riang tanpa menyedari sesusuk tubuh yang sedang menghampiri meja mereka.
“Seronok nampak? Apa yang lucu sangat ni?” Intan Juliana menyoal.
“Ju! You tau tak Yusuf ni kawan baik I masa kat U dulu? Entah macam mana kami boleh berjumpa semula kat rumah kau ni. kalau dah jumpa teman lama mestilah banyak yang nak diceritakan.” Sahut Taufik pantas sambil mengenyitkan matanya ke arah Yusuf Hakimi.
Yusuf Hakimi tersenyum dan angguk.

“IBU I sedang sakit sekarang ni. Uncle Jo yang temankan dia dapatkan rawatan di London.” Adu Intan Juliana.
“Ibu you sakit apa, Ju?”
“Kanser payudara. Dah hampir tiga tahun dia menderita penyakit tu.”
Yusuf Hakimi mengeluh perlahan. Dalam keceriaannya memiliki rumah baru yang ratusan ribu harganya itu, Intan Juliana sedang menyembunyikan penderitaannya. Ibunya sedang sakit tenat sementara hubungannya dengan ayah kandung pula masih belum bertaut sepenuhnya. Dia sedang bersendirian merawat luka di hatinya dengan menenggelamkan dirinya ke dalam lautan kerjayanya sebagai seorang pelukis terkenal.
“Sabarlah, Ju. Semua ni dah takdir Tuhan.” Dia memujuk.
Intan Juliana tersenyum.

“Dahlah, buat apa kita cemarkan malam ni bercerita tentang masalah hidup, betul tak, Suf?”
Yusf Hakimi angguk.
“Betul! Eh, ni I nak tanya macam mana you boleh kenal dengan Taufik tu? Terkejut beruk I tengok dia berada kat depan mata I tadi?”
“Kami kenal masa kat Londonlah. Kebetulan dia singgah kat tempat I melukis kat sana dulu. Di luar negara, kalau dah jumpa orang yang sebangsa dan senegara dengan kita, apa lagi... jadi memberlah.” Terang Intan Juliana sambil tersenyum riang seolah-olah membayangkan semula pertemuan pertamanya dengan Taufik di kota London dahulu.
“You dengan dia tak ada apa-apa ke?”
“Maksud you?”
“Err... you dengan dia tak jalinkan hubungan istimewa ke?” korek Yusuf Hakimi. “Taufik tu boleh tahan, kacak juga orangnya.”

“You ingat senang-senang aje I nak jalinkan hubungan cinta dengan lelaki ya, Yusuf? Hey, I pun ada taste tau.” Intan Juliana sudah mula terbakar dengan usikan teman di hadapannya.
Yusuf Hakimi tergelak kecil. Dia segera meminta maaf daripada wanita itu sambil melilau mencari kelibat Zulaika.

TANPA disedari oleh Yusuf Hakimi mahupun Intan Juliana, Zulaika sedang galak memerhatikan kemesraan yang terjalin di antara mereka berdua dengan hati yang berkocak. Dia melihat suaminya memperkatakan sesuatu kepada Intan Juliana dan perempuan itu melambakkan gelaknya. Penuh riang dan mesra! Kemudian dia melihat Intan Juliana pula mengusik Yusuf Hakimi dan suaminya tergelak senang degan usikan itu. Semuanya terakam kemas dalam mindanya dan membuatkan hati seorang isteri jadi berkocak dengan irama yang dinamakan cemburu.

Ya, dia terlalu sayangkan suaminya. Dan melihat kemesraan suaminya dengan seorang perempuan lain apatah lagi perempuan cantik, kaya dan bergaya seperti Intan Juliana, hati isteri mana yang tak terbakar.
“Hai, Ika!” sapaan itu membuatkan dia tersentak. Dia mengalihkan matanya dan menoleh ke arah Taufik yang menegurnya. “Yusuf mana?”
“Err... dia tengah berborak dengan Kak Ju, kat sana tu!” dia menudingkan jarinya ke arah tempat di mana Yusuf Hakimi dan Intan Juliana sedang tenggelam dalam perbualan mereka.
“Boleh saya duduk kat sini?” soal Taufik sambil melabuhkan punggung di atas sebuah kerusi plastik. Zulaika menyengih. “Ika, saya serius dengan kata-kata saya tadi...”
Kata-kata yang meluncur keluar dari bibir Taufik membuatkan Zulaika menoleh ke arahnya.
“Yang mana satu?” soalnya dengan nada keliru.
“Saya nak minta Ika carikan calon isteri untuk saya!”
Zulaika terlopong. Reaksi spontan isteri temannya itu membuatkan Taufik tergelak kecil.

“Betul, Ika! Saya nak minta pertolongan Ika carikan seorang perempuan yang sesuai untuk dijadikan isteri. Seorang perempuan yang cantik dan baik macam... macam Ika!” dia sempat menaburkan pujiannya. “Intan Juliana tu memang cantik dan sempurna serba serbi, Ika, tapi saya tahu gandingan saya bukanlah dengannya. Saya mahukan seorang perempuan yang sederhana dan boleh menjadi seorang teman serta isteri yang setia di samping saya selagi hayat di kandung badan.” Ujar Taufik lagi dan kesungguhan nada suaranya membuatkan Zulaika terpaku.

Itulah hakikat sebuah perkahwinan. Semua yang merancang hendak mendirikan mahligai bahagia itu mahu kekal bahagia sehingga ke akhir hayat. Namun dia sedar, perjalanan hidup ini banyak ranjau dan durinya. Manusia harus percaya kepada takdir yang telah ditetapkan untuk mereka.
“Boleh tak Ika tolong saya?” Taufik menyoal setelah melihat waniat di sisinya hanya berdiam diri.
“Err... bukan Ika tak nak tolong Taufik. Tapi Ika tak tahu citarasa Taufik macam mana? Kalau tak serasi nanti, macam mana? Ika... Ika takutlah!”
Taufik ketawa kecil.

“Ala, tu kerja senang aje Ika. Takkan Ika tak ada kawan-kawan perempuan yang baik yang Ika rasa sesuai dengan Taufik? Perempuan tu tak perlu cantik macam Ratu Universe, Ika! Sedap mata memandang dah cukup bagi Taufik.”
“Err... okey. Insya-Allah, Ika akan cuba tolong kenalkan Taufik dengan seseorang. Tapi lepas tu pandai-pandailah Taufik untuk sama ada nak teruskan hubungan tu ataupun tak.” Akhirnya Zulaika bersetuju setelahs atu wajah terakam di benaknya.
“Okey, Taufik setuju!” sahut lelaki itu pantas sambil menyeluk poket dan menghulurkan kad namanya pada Zulaika agar mudah dihubungi kelak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan