Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Sabtu, 28 Disember 2013

POKOK PISANG IBU










POKOK PISANG IBU

                Rimas rasanya, pokok pisang itu semakin meliar tumbuhnya.  Semakin banyak pula anak-anak pokok melata.  Mahu sahaja dia menebangnya.  Memanglah boleh makan hasilnya tetapi jika sudah keterlaluan sehingga menyemak mata memandang.  Parang sudah di tangan, Harun mengatur langkah menuju ke arah pokok pisang yang tumbuh subur itu. 
                Dia memandang ke atas, ke bawah.  Di mana hendak mula dahulu.  Kalau sebatang dua tentulah dia tidak kisah, ini tidak sudah memenuhi hampir separuh laman rumahnya.   Daun-daun kering yang berjuntaian usah ceritalah, semakin sakit matanya memandang.  Dia menarik keluar daun-daun  yang sudah kering.   Dipotong satu persatu.    Dia menghayun parang.
                “Abang! Buat apa?” jerit seseorang.  Dia menoleh.  Aduh! Tentu tidak  menjadi rancangannya.  Cepat pula isterinya balik. 
                “Abang buat apa?” lengking suara  Norma yang baharu sahaja pulang dari kenduri rumah rakan sekolahnya.
                “Tak ada buat apa-apalah, bersihkan daun pisang kering ini sahaja,”  Harun menyengih.  Norma mengetap bibir.  Dia mencekak pinggang.
                “Abang nak tebang pokok pisang ini ya?”  Norma memandang wajah suaminya tidak  berkelip. 
                “Mana ada?”  Dia menggaru kepalanya.
                “Abang jangan nak buang pokok pisang ini! Ini pemberian arwah ibu Nor…  hanya ini sahajalah peninggalan ibu untuk Nor.”  Norma menahan sebak.  Susah payah arwah ibunya bawa dari kampung  anak pokok pisang itu. Sudah ditanam, tumbuh dan membesar. Malah sudah makanpun hasilnya. Eh, senang-senang hendak tebang.
                “Nor… cuba perhatikan keadaan pokok pisang ini.  Terlalu banyak, sampai separuh laman kita dipenuhi pokok pisang ini.  Tak cantik langsung!”  kata Harun.  Norma membulatkan mata. 
                “Nor tidak kira, kalau pokok pisang ini penuhi laman rumah ini sekalipun, biar ia di sini.  Abang faham tak maksud Nor.  Ini pokok pisang pemberian arwah  ibu Nor.  Tidak mungkin Nor membuangnya.  Melihat pokok pisang ini hilanglah rasa rindu Nor kepada arwah.  Abang faham tak maksud Nor!”  sedikit meninggi suaranya.  Harun mengeluh.   Dia menggelengkan kepala.
                “Nor kena faham abang juga!  Tak sanggup abang lihat pokok ini.  Semak laman rumah kita,”  Harun mengerling.  Norma menjeling.
                “Kalau abang tebang juga pokok itu, bermakna abang telah menghancurkan hati Nor!” Norma  melangkah masuk ke dalam rumah.  Tidak kuasa dia  bergaduh dengan suaminya.  Buat dosa kering  sahaja.  Harun memandang sepi pokok pisang itu.  Tiba-tiba kau jadi musuhku, detik hati kecil Harun.

***
                Harun duduk tenang di anjung rumah sambil memerhatikan pokok pisang yang  beralun-alun ditiup angin. Sebatang pokok sudah berbuah.  Buah pisang yang sudah jarang ditemui kini.  Pisang Embun.  Kulitnya berwarnan hijau biarpun sudah masak ranum.  Memang sedap dan manis.  Jaganya juga tidak susah.  Dahulu di Malaysia banyak  benih pokok ini tetapi sekarang tidak lagi.  Dia sendiri tidak tahu kenapa.  Di mana arwab ibu mertuanya mendapatkan benih tersebut, dia tidak tahu.
                Dia perlu lakukan sesuatu.  Ini kawasan rumah, bukan kebun pisang.  Untung rumahnya terletak di bahagian hujung sekali.  Luas kawasannya.  Tetapi separuh sudah dipenuhi pokok pisang Embun dan anak-anaknya.  Hendak dibuang terpaksa bertekak dahulu dengan isterinya.  Pening juga kepalanya.  Dia ingin membina taman mini di laman rumahnya.  Ingin mencantikkan kawasan laman rumahnya.  Kehadiran pokok pisang itu telah membantutkan keinginannya. Kepada isterinya sudah diperjelaskan tujuannya.  Norma masih berkeras.  Tidak sesekali mengubah atau membuang pokok tersebut.  Aduhai, isteri.  Sayang sangat dengan pokok pisang itu. 
                Norma mengemas kain bajunya ke dalam beg pakaian yang sudah  terletak di atas meja.  Dia memandang wajah suaminya yang sedang membaca buku kegemaran.  Dia mengerling. Usai mengemas, dia duduk di sisi Harun.
                “Nor pergi seminggu sahaja.  Selama Nor tiada, abang jangan pandai-pandai nak buang pokok pisang Nor.  Ingat bang, kalau abang lakukan juga bermakna abang sakitkan hati Nor.  Biar laman rumah Nor tidak cantik asalkan kenangan arwah ibu sentiasa bersama Nor.” Pesan Norma sebelum dia   pergi menghadiri kursus selama seminggu di Sabah. 
                “Takkan abang nak buat seperti itu.  Abang tahu Nor sayangkan pokok pisang itu.” Harun menyengih.  Norma mencebik.   Boleh percayakah?  Bersangka baik sahajalah. 

***
                Harun duduk di hadapan pokok pisang sambil  merenung lama.  Dia tersenyum sendiri.  Bunyi kenderaan jentolak memasuki laman membuatkan senyumannya semakin lebar.  Dia mengamit kenderaan tersebut.  Bukan hendak memungkiri janji.  Tetapi dia sudah tidak tahan melihat pokok pisang tersebut.  Pokok itu harus dibuang.  Esok sebuah kolam mini akan terbina di situ.  Rimbunan pokok pisang akan diganti dengan taman mini. Dipenuhi aneka jenis pokok renek yang berbunga dan tidak berbunga.  Sejuk mata memandang.
                Setiap kali telefon, Norma  pasti akan bertanyakan tentang pokok pisangnya.  Harun menjawabnya dengan jujur.  Masih hidup, hanya itulah jawapan yang diberi.  Dia tidak menipu.  Taman Mini semakin siap terbina.  Semakin lebar senyuman di bibir Harun.  Cantik sungguh laman rumahnya.  Dua buah kerusi laman diletak di kiri dan kanan kolam.   Boleh duduk berehat sambil membaca buku.  Ada duit lebih sikit dia ingin membina tembok dan bumbung.  Di situ dia ingin bina ruang membaca.  Buku-buku miliknya akan diletakkan di situ.  Seronoknya, detik hati kecilnya.

**
                Norma melangkah turun dari perut teksi.  Matanya melekat ke arah tempat pokok pisangnya  tumbuh.  Mana pokok pisang aku, bisiknya sendiri.  Terkocoh-kocoh dia keluar.  Sehingga tidak sempat mengambil baki tambang.  Beg di tangan terlepas  jatuh ke lantai.  Dadanya sakit, dia sebak.  Pokok pisang sudah tiada lagi.  Terduduk dia di hadapan kolam sambil menangis.  Kenapa suaminya kejam?  Kenapa suaminya memungkiri janji  Air matanya bercucuran keluar, selaju air di kolam taman mini itu.  Dia memandang taman mini itu dengan mata berkaca.  Memang cantik tetapi cantik lagi  pokok pisang milik arwah ibunya.
                “Nor! Kenapa Nor?”  Harun mendekati isterinya.  Jari telunjuk Norma menunjuk ke arah  taman mini tersebut.  Harun memandang sambil mengeluh.
                “Maafkan abang.  Tidak sanggup rasanya membiarkan pokok pisang tersebut tumbuh meliar Nor.  Buruk sangat kelihatan laman rumah kita.  Abang tukarkan dengan taman mini ini, lebih tenang dan cantik.”  Kata Harun memujuk.  Norma meraung lagi.  Hiba pula hati Harun mendengarnya. 
                “Kenapa abang kejam sangat! Abang sudah tidak sayangkan Norkah?  Bukankah pokok pisang itu peninggalan arwah ibu Nor.  Abang sudah lupakah?”  Norma menangis bagaikan anak kecil.  Dia sudah tidak peduli lagi.  Suami yang disayangi sudah menghancurkan hatinya.  Mengecewakan perasaannya. 
                “Abang tidak kejam, sayang.  Abang buat semua ini demi Nor juga!” pujuk Harun.
                “Mana pokok pisang ibu! Mana pokok pisang ibu!” jerit Norma.  Harun menggaru kepala. 
                “Sudahlah, malu dengan jiran tetangga.  Mari iku abang!”  Harun menarik tangan Norma menaiki kereta.  Norma masih menangis , sedih terlalu sedih.  Harun menghiris hatinya dengan pisau tajam.  Berdarah dan sudah tentu lambat sembuhnya.  Lukanya terlalu dalam.  Menusuk ke dalam jantungnya.
                “Cuba awak bawa bertenang.  Berhenti menangis.”  Harun sudah hilang sabar.  Suara tangisan Norma yang mendayu-dayu lama-kelamaan menyakitkan telinga.  Kalau anak kecil tentulah merdu kedengarannya.  Ini orang tua.
                “Mana boleh bertenang! Abang hancurkan  kepercayaan Nor kepada abang.  Abang buang satu-satunya milik kesayangan Nor.  Bukan Nor minta abang belikan intan berlian, atau emas sekilo.  Minta jangan buang pokok pisang itu, tapi abang lakukan juga.”  Marah Norma.    Harun menggelengkan kepala.  Semakin dilayan semakin menjadi-jadi rajuk isterinya.  Biarlah dia hendak menangis sehingga keluar air  mata darah sekalipun,apakan daya.
                Norma memandang sekeliling kawasan.  Ke mana pula suaminya hendak membawanya.  Dia memandang sekali imbas suaminya yang sedang memandu. 
                “Kita hendak ke mana?” tanya Norma dalam tangisnya. 
                “Ikut sahaja,” jawab Harun.  Langsung tidak memandang wajah Norma.  Sakit juga hatinya.  Kerana pokok pisang mereka bertengkar.  Sudahlah berpisah seminggu.  Ingat bila balik bolehlah bermanja-manja, ini tidak menjadi mangsa kemarahan pula.
                “Sudah sampai! Turunlah!”  Harun memberhentikan keretanya di satu kawasan kebun yang baharu sahaja ditanam dengan pelbagai jenis pokok buah-buahan.  Norma  melangkah keluar.  Matanya terpandangkan deretan anak pokok pisang yang tersusun kemas di  batas.  Dia berjalan mendekati kawasan tersebut.  Sudah berpagar dawai.  Harun menarik tangan Norma masuk ke dalam kawasan kebun.
                “Kebun siapa ini bang?” tanya Norma sambil menyeka air mata yang berbaki.
                “Kebuh kitalah.”
                “Kebun kita?”  Norma memandang wajah suaminya.  Harun mengangguk dan tersenyum.
                “Pokok pisang ini?”  Norma memandang anak pokok pisang yang rendang itu.
                “Pokok pisang arwah ibulah.  Inilah anak-anak pokok pisang yang terdapat di laman kita.  Abang bawa ke mari.  Kan bagus pokok pisang ini di sini.  Tengok ada dua puluh batang pokok.  Banyakkan?  Kalau semuanya tumbuh subur, hasilnya kita boleh jual.  Dapatlah kita menambah pendapatan!”  cerita Harun.  Norma terkejut.  Dia tidak menyangka sama sekali perancangan suaminya begitu strategik.  Pokok pisang  arwah ibunya mampu menjana pendapatannya sekeluarga.
                “Abang juga tambah beberapa jenis lagi pisang lain.  Pokok-pokok buah seperti rambutan, durian, manggis,  duku langsat dan mangga juga abang tanam.  Nor sukakan?”  Harun menarik bahu Norma dekat dengannya.
                “Terima kasih bang!”  Norma menangis lagi.  Bukan sedih, tetapi tangisan bahagia dan gembira.
                “Abang sayangkan Nor, mana mungkin abang sakitkan hati Nor.  Abang tahu Nor sayangkan pokok pisang itu.  Cuma tidak sesuai ianya berada di kawasan rumah.  Inilah tempat yang sesuai untuknya. “  Harun memeluk bahu Norma erat.  Norma mengukir senyuman paling manis untuk suaminya tersayang.  Pokok pisang arwah ibunya akan tumbuh subur dan terjaga.  Ibu, kau tetap di hati.  Norma memeluk erat pinggang suaminya dan tersenyum gembira.
               

Tiada ulasan:

Catat Ulasan