Salam perkenalan. Hari ini adalah hari terakhir kita berada di
dalam tahun 2013. Selamat tinggal 2013
dan selamat datang 2014. Setiap tahun
kita akan membuat azam, AZAM TAHUN BAHARU. Azam saya untuk tahun hadapan adalah
ingin menghasilkan karya bermutu, hendak perbanyakkan waktu mengikuti bengkel
penulisan atau apa sahaja yang sama waktu dengannya. Kalau bolehlah dan tidak menganggu tugasan
harian sebagai pembantu suami di Maahad Tahfiz Anak Yatim Miskin Maahad Azzein Al Makki yang
ditubuhkan pada awal 2012.
Saya
minat membaca, sejak diperkenalkan dengan perpustakaan di sekolah dan atas
paksaan cikgu saya yang mewajibkan setiap pelajar membaca sekurang-kurangnya 3
buah buku seminggu. Bermulalah saat itu
saya berkenalan dengan buku-buku novel kanak-kanak seperti HARDY BOYS, NANCY
DREW, LIMA SEKAWAN dan tajuk yang sama waktunya. Amat popular di zaman saya, sekitar tahun
awal 80-an. Sampailah sekarang, tengok
buku lebih mengasyikan dari melihat pakaian atau barang kemas di kedai
emas. Buku duniaku. Kemudian saya diperkenalkan dengan zaman
novel dewasa, novel keluaran Creative Interprise menjadi pilihan kebetulan
pejabat mereka berhampiran tempat tinggal saya di Bangsar. Sehingga sanggup mencuri demi ingin membeli
buku. Jahatnya saya, kan? Saya juga menjadi ahli perpustakaan
negara. Sanggup mendaftar kerana terlalu
cintakan buku dan minat membaca. Tiada
di kalangan ahli keluarga yang minat melainkan saya seorang. Tidak juga orangtua saya. Di mana saya dapat minat tersebut, jawapannya
adalah dari galakan guru-guru saya di sekolah.
Saya
boleh menulis? Bagaimana ya? Tiada di kalangan ahli keluarga saya seorang
penulis. Mungkin berkat banyak membaca dan kebetulan saya
belajar sastera waktu di sekolah menengah dan bercampur pula dengan mereka yang
minat dengan seni. Tidak kiralah seni tarian, drama, muzik ataupun
lukisan. Waktu zaman sekolah menengah,
saya suka menulis sajak. Meluahkan apa
sahaja yang saya tengok, kalau saya ternampak bola, maka bola itu akan menjadi
idea untuk saya mengarap sesuatu di kertas.
Sehinggalah suatu hari saya menulis kisah ANGAN-ANGAN MAT JENIN. Sebabnya saya memang suka berangan . Bukan berangan yang tidak baik, tetapi
berangan ingin menjadi seseorang.
Anak jiran sebelah rumah emak
saya dahulu, memang suka beli majalah
gelihati. Dia selalu melihat saya
menulis. Dia terbaca sajak saya
ANGAN-ANGAN MAT JENIN itu. Dia minta
keizinan saya untuk hantar sajak itu ke
penerbitan majalah GELI HATI. Waktu itu kita masih sekolah, mana ada
ghairah dan tahu hendak hantar karya di
syarikat penerbitan. Kalau ada orang
yang hendak hantarkan, kita berbesar hatilah. Ya ALLAH
sajak itu keluar dan tersiar.
Gembira bukan kepalang. Tiada
bayaran diterima. Saya tidak kisah. Anak jiran emak saya memberitahu, saya berbakat
menulis. Saya tidak percaya. Bukan tidak
yakin kepada diri sendiri, tetapi entahlah.
Tidak pernah terfikir hendak menjadi penulis
Saya juga pandai
menari… tapi tarian tradisional
sahajalah. Kalau setakat tarian tango,
twist, cha-cha dan samba bolehlah sikit-sikit. Meminati muzik tradisional yang memang masuk
dengan jiwa saya. Saya
tidak mendapat pendidikan mana-mana asas menari ini. Hanya melihat di dalam televisyen dan tengok
kawan-kawan menari. Tetapi saya tidak
masuk pun kumpulan tarian di sekolah. Mungkinkerana
tiada kawan-kawan yang rapat dengan
saya mempunyai minat yang sama dengan
saya. Apabila masuk sekolah menengah,
saya masuk kelab muzik dan kebudayaan, ikut kawan J. Tetapi tidak juga diterima dalam kumpulan
tarian. Saya diterima sebagai penyanyi koir
sekolah. Suara bukan sedap manapun.
Waktu ujibakat diterima, lulus ujibakat. Pelik rasanya. Sejak itu berangan-anganlah hendak jadi
penyanyi, baharu masuk koir sekolah sudah merasa suara merdu. Perasan. Jangan tidak tahu pernah pergi ujibakat untuk
pertandingan nyanyian, di situlah saya kenal dengan Ziela Jalil, usia kami
lebih kurang sahaja. Waktu itu dia
baharu berjinak-jinak dalam industri hiburan.
Sekarang sudah jadi orang terkenal, tak mungkin dia kenal saya
lagi. Kebetulan kami hanya jumpa sekali
sahaja.
Saya juga pernah
bekerja waktu umur saya 16 tahun. Waktu itu bercuti hujung tahun. Sebagai pembantu restoran atau bahasa
Englisnya ‘Waitress’. Di sebuah
restoran bernama SATE RIA milik anak
syarikat UDA HOLDINGS, di Jalan Bukit Bintang. Sebulan sahaja saya bekerja di situ, namun
penyelia saya menyuruh saya menyambung bekerja di situ , mereka benarkan saya bekerja
shif petang sahaja. Saya menolak kerana
saya masih hendak bersekolah dan bakal menduduki peperiksaan SPM. Kenapa orang tawarkan saya bekerja? Sebab saya pekerja paling rajin dan mendapat
anugera pekerja terbaik walaupun hanya sebulan sahaja saya bekerja di
situ. Wah, itukah saya? Saya tersenyum
sendiri. Hebat juga aku ini, kata saya
dalam hati. Dengan wang gaji pertama
itulah saya membeli beg sekolah, baju dan perkakasan sekolah untuk naik
tingkatan 5. Dalam masa yang sama saya
masuk pula kumpulan teater di Jalan Bandar, Kuala Lumpur, berhampiran Bus Stand Klang. Sekarang tidak ada lagi Bus Stand Klang.
Di situlah saya belajar menari dan drama serta muzik dengan lebih
serius. Sehingga saya layak menjadi
pembantu jurulatih tarian. WAH! Hebatnya
saya. Saya sering terpilih menjadi penari utama dalam kumpulan tersebut. Saya minat sangat dengan tarian tradisional
sehingga terfikir hendak jadi koreografer
setelah habis sekolah nanti.
Angan-angan tinggi melangit.
Waktu dalam kumpulan inilah saya berkenalan dengan SISO, SANI SUDIN
dalam kumpulan KOPRATASA. Jalaludin Hassan dalam kumpulan HIDAYAH. SHAHRIZA
MAHMUD dalam kumpulan saya, ARTIS
PENJURU ALAM, kini mereka sudah jadi orang terkenal dalam industri hiburan. Saya tetap jadi diri saya. Inilah sebahagian
cerita tentang diri saya. SELAMAT TAHUN
BAHARU 2014.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan