AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Thursday, 9 November 2017

BAB 38- JALAN PULANG



Salmah sudah sibuk di dapur sejak kelmarin lagi.  Menyiapkan barang hantaran buat Zara yang akan bertunang hari ini.  Terpancar kecerian di wajahnya.  Panggilan telefon daripada keluarga sebelah lelaki membuatkan dia tidak kering tangan menyiapkan segalanya.  Pada awalnya hanya datang merisik telah bertukar ke masjlis pertunangan.  Alhamdulillah, ucap Salmah dalam hati.  Keluarga tersebut masih mahu menerima Zara biarpun mereka tahu siapa ayah Zara. 
            Beberapa jiran tetangga berdekatan sudi membantu.  Penduduk kampung juga menyiap dan memasang khemah.  Biarpun jemputan tidak ramai, hanya penduduk kampung yang dekat dengan rumah Salmah, namun ruang di dalam tidak mampu memuatkan kehadiran semua tetamu yang datang. 
            Salmah telah menyalai ikan keli kelmarin untuk dimasak Masak Lemak Cili Api. Dia juga memasak beberapa masakan lain. 
            Zakuan juga sibuk membantu. 
            Zara turut turun pandang membantu ibunya di dapur.  Hampir pukul 12.00 tengahari tetamu sudah pun hadir.  Deretan kereta mewah yang memasuki laman rumah membuatkan penduduk kampung yang berada di laman rumah saling bercakap. 
            Salmah sudah menunggu di laman rumah bersama dengan Zakuan, Haji Shauki juga ada bersama. Di celah-celah pendudukan kampung, Malek juga tidak mahu melepaskan peluang ingin melihat anak gadisnya bertunang, biarpun Zakuan ada menjemputnya.  Namun, hatinya berasa berat untuk turut serta.  Bukan malu dengan sesiapa, tetapi dia malu dengan Zara, dia tidak layak berada di samping anak gadisnya itu.  Anak yang tidak dibesarkan olehnya.
            “Wan jemput lelaki itu ke?” tanya Salmah sebaik sahaja terlihat kelibat Malek.
            “Ya, Wan ada jemput ayah,” jawab Zakuan. 
            “Wan nak malukan ibu?”  Salmah mendengus kasar.
            “Ibu, sudahlah… keluarga lelaki sendiri yang minta ayah hadir sama,”  ujar Zakuan.  Dia menggeleng kesal.  Sampai bila agaknya dendam akan hadir di hati ibunya.  Sampai bila?  Zakuan berjalan ke arah Malek.  Dia terus menarik tangan ayahnya naik ke rumah. 
            Malek serba salah apatah lagi melihat jelingan tajam Salmah. 
            “Wan!”  Malek menarik tangannya.
            “Ini permintaan Haji Latif ayah, nanti apa kata dia, kalau tengok ayah tak ada. Mereka dah nak masuk tu.”  Zakuan faham perasaan ayahnya.  Tetamu yang tidak diundang oleh ibu.
            “Naiklah Malek,” suruh Haji Shauki. 
            Mereka melangkah masuk dan duduk  di ruang tamu, diikuti tetamu yang hadir.  Barang-barang hantaran telah pun di susun di tengah-tengah ruang tamu. Haji Shauki akan menjadi jurucakap bagi pihak perempuan. 
            Salmah menjeling tajam.
            Malek sesekali menunduk.  Tidak mahu melawan jelingan tajam bekas isterinya seperti tidak sabar-sabar hendak menikam tepat ke jantungnya.  Malek mengeluh.  Aku hanya harapkan satu kemaafan, hanya itu, detik hati kecil Malek.
            Majlis berjalan dengan penuh harmoni.  Hantaran dan tarikh perkahwinan terus ditetapkan oleh pihak lelaki.  Salmah tidak meletak harga buat anak gadisnya, terserah pihak lelaki untuk beri berapa.  Dia terima seadanya.   Asalkan mereka sudi membimbing dan menjaga anak gadisnya dengan baik, sudah cukup buatnya.  Usahlah anaknya disia-siakan seperti dirinya dahulu. 
            Majlis kemuncak, acara menyarung cincin tanda si gadis sudah pun bertunang.  Zara melangkah keluar dan duduk di hadapan tetamu. Wajahnya disolek nipis.  Cantik berbaju kurung moden daripada kain list berwarna merah jambu.  Sebiji bantal besar menjadi pelapik punggungnya. Hajah Maimun telah menyarungkan cincin bermata nilam ke jari manis Zara. 
            Salmah menahan hiba di hati. Tangisan kegembiraan mengalir laju di pipinya.  Semoga Zara beroleh kebahagian sehingga ada hayat.
            Malek turut sebak di hati.  Dia berbalas senyuman dengan Haji Latif.  Sempat Malek mengucapkan terima kasih dan menunduk hormat kepada lelaki yang bakal menjadi ayah mertua anak gadisnya nanti. 
            Zakuan mengusap belakang ayahnya.  Dia turut bahagia melihat kegembiraan di wajah adik bongsunya itu.  Satu-satunya darah daging yang dia ada.  Hanya dia belum bertemu jodoh. 
           
            Usai majlis menyarung cincin dan bertukar hantaran, para tetamu dijemput menikmati makanan tengahari.  Majlis berakhir cepat, kerana Haji Shauki terpaksa ke masjid untuk mengimamkan solat zohor. 
            Haji Shauki dan Malek juga tidak sempat menjamu selera. 
            Zakuan telah membungkus makanan untuk kedua lelaki yang disayanginya itu.
            Malek sempat bersembang seketika dengan Haji Latif dan Taufik yang turut hadir di majlis pertunangannya sendiri. 
            Salmah melayan bakal besannya dengan mesra.  Hidangan yang terhidang menarik selera para tetamu yang hadir.  Ikan keli salai masak lemak cili api, Ikan kembung goreng berlada, pajeri terung, ulam-ulaman dan sambal belacan.  Kuih seri muka dan cendol turut dihidangkan.
            Salmah menarik nafas lega, majlis berjalan lancar.  Tiada masalah, tiada persoalan daripada pihak lelaki siapa ayah si gadis.   Salmah juga menarik nafas lega melihat kemesraan Haji Latif, bakal besannya dengan bekas suaminya. 
            Enam bulan dari sekarang, Zara akan bergelar isteri.  Salmah tiada saudara mara, hanya mengharapkan bantuan jiran sekampung.  Dia masih memikirkan jodoh untuk Zakuan, takkan selamanya Zakuan  ingin membujang?  Takkan tak ada seorang pun gadis yang berkenan di hati, rakan sekerjakah, atau anak-anak jiran sekampung, asalkan mereka mahu menerima Zakuan seadanya.  Salmah bukan memilih sangat, cukuplah mereka tahu menghormati dirinya dan anak-anaknya.  Ah!  biarlah Allah yang menentukannya.

No comments:

Post a Comment